Friday 30 March 2012

Mengintai Bahagia ~ 11






            Latihan Praktikal telah selesaikan dijalankan.  Kini Acam bergelut pula dengan tugasan menyiapkan laporan yang perlu diserahkan kepada ketua kursus masing-masing.  Kalau setakat satu dua helai muka surat tu, tak adalah merunsingkan sangat.  Namun apabila syarat yang tertera bersama arahan laporan tersebut menghendaki setiap pelajar yang telah tamat menjalani latihan praktikal menyiapkan satu laporan bertaip dalam jumlah perkataan sebanyak dua ribu ke dua ribu lima ratus yang bersamaan dengan lima belas ke enam belas muka surat, Acam dah naik pening.

          Bukan tidak pernah menyiapkan assignment tapi berat sungguh hendak memperincikan setiap latihan yang diterima.  Bukan juga tidak ada kerja khusus yang dilakukan di syarikat itu, tetapi selalunya Qaidlah yang menjadi penyelamat.  Bila teringatkan Qaid, hati Acam disapa rindu.  Ewah, rindulah pula.  Bukan rindu rindu serindu-rindunya macam lagu Acik Spoon tu, tapi rindu mengenangkan sikap ambil berat Qaid terhadapnya.  Kadang-kadang Acam merasa dirinya sangat bodoh kerana menolak mentah-mentah hasrat hati Qaid.  Apa salahnya jika dia memberi peluang hatinya menimbang tara diri Qaid.  Namun, dia yakin dalam hatinya itu sudah terisi dengan nama seseorang yang dia sendiri kurang pasti.

          Lagi beberapa hari, Acam akan kembali semula ke PUO.  Menjalani kembali kehidupan sebagai seorang pelajar.  Bertemu lagi dengan ungka-ungka yang mungkin dah naik taraf jadi orang utan setelah satu semester dia tiada di sana.  Atau mungkin masing-masing dah dapat hidayah, bertukar menjadi manusia semula.  Entahlah, yang pasti Acam akan merindui mereka yang rapat dengannya semasa latihan praktikal itu.  Acam melepaskan satu keluhan yang berat.

          Satu persatu butang huruf di mesin taip lamanya ditekan.  Eh, mana ada lagi orang guna mesin taip sekarang ni.  Hendak tergelak pun ada dibuatnya mengenangkan kata-kata Juliana ketika dia sibuk mencari karbon untuk mesin taip kesayangannya itu.  Bukan sebarang mesin taip tau, itu mesin taip pemberian ayahnya ketika dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR dahulu.  Kalau hendak menyediakan laporan, bolehlah menggunakan laptop, tapi kalau hendak mengisi borang, kenalah gunakan mesin taip.  Lebih mudah dan lebih kemas.

          Sesekali Acam mengeluh.  Ketukan jari di papan kekunci mesin taip juga sudah beberapa kali terhenti.  Kalau berterus-terusan begini, harus tidak siaplah segala tugasannya yang perlu dihantar pada hari pendaftaran semester akhir nanti. Namun apakan daya, hatinya terasa sepi.  Sunyi hidupnya kini.  Adik-adik telah pun ke sekolah semuanya.  Ibu pula sibuk di luar, mungkin sedang bermesyuarat tingkap dengan para ibu-ibu.  Biasalah, mengisi masa lapang sementara menanti lori tauke ikan sampai.  Tentu banyak gossip hangat yang dibawa pulang hari ini.  Semenjak menjadi penghuni tetap di rumah ini, itu sahajalah kerjanya.  Melayan ibu dengan gossip-gossip terhangat di pasaran. 

          Telefon berdering-dering menjerit minta diangkat.  Malas-malas, Acam bangkit daripada kerusi dan berlari turun ke ruang tamu.  Hendak harapkan ibu yang mengangkat telefon, memang tak adalah.  Kalau dah bermesyuarat di luar, tak adanya hendak mendengar bungi deringan telefon tu.  Silap hari bulan, kalau dengar pun buat dek sahaja.

          “Hello..”

     “Apa hello, hello.. Assalamualaikumlah perempuan,” sergah suara di hujung talian.  Hampeh, ada pula nak sergah-sergah orang, gerutu Acam.

         “Iyolah, Assalamualaikum di sana.  Saya di sini, nak bercakap dengan siapa?” balas Acam menyindir.

          “Nak cakap dengan ko la, rindu giler ko tak de Acam oi.”  Qaid.  Itu suara Qaid.  Acam memang kenal sangat suara mamat berhantu tu.

          “Wei, ko mengulor ye call aku time macam ni,” balas Acam. 

Terdengar tawa Qaid yang sudah pasti memenuhi ruang bilik pejabatnya itu.  Qaid kalau ketawa, minta ampun.  Pecah gegendang telinga.  Serta-merta perasaan sepi dan sunyi Acam tadi hilang.  Sebaliknya, hati Acam berbunga riang.  Rindu sungguh mendengar suara-suara yang akan ditinggalkannya itu.

“Hahaha.. mana ada aku mengulor.  Ini dipanggil sela masa.  Ko buat apa tu Acam, buat taik mata eh?”

“Banyak la ko punya taik mata.  Aku tengah bersilat nak siapkan laporan praktikal ni,”

“Alah, dua minit je laporan tu.  Jom lunch dengan aku,” ajak Qaid selamba sahaja.

“Huih, aku banyak kerja la.  Kejap lagi nak tolong ibu aku masak,”

“Waa, macam tak percaya je aku ko nak masak,”

“Kan aku dah cakap, tolong-ibu-aku-masak.  Telinga ko dah berapa lama tak masuk bengkel?”

“Jomlah, keluar dengan aku jap.  Aku half day hari ni, teman aku cari barang.”  Qaid masih belum beralah memujuk Acam menemaninya. 

Rindu benar pada wajah gadis itu.  Seminggu tidak merenung wajah Acam, terasa tawar sahaja.  Setiap kali memandang ke arah meja yang pernah dihuni oleh Acam, seakan-akan ternampak gadis itu.  Tersenyum, tertawa dan muncung empat belas incinya.  Hadoii, dah angau ke Qaid oi.. Seketika kepalanya digeleng-gelengkan.

“Jomlah..” pujuk Qaid lagi.

“Oklah, pukul berapa ko nak datang?  Lunch kat sini eh?  Aku bagi tau kat ibu ko lunch kat sini ye, lepas tu ko mintalah izin dengan ibu aku,” balas Acam. 

Selamba badak je budak Acam ni mengajak Qaid makan tengah hari di rumahnya.  Nanar juga Qaid seketika.  Apa taknya, dia bukannya biasa sangat datang ke rumah Acam, tiba-tiba diajak makan tengah hari bersama pula.  Setakat sekali dua menghantar Acam balik dan bersalam dengan ibu Acam tu adalah.  Tak pasal-pasal nak kena bersoal jawab dengan ibu dan ayah Acam pula nanti.  Hish, susah-susah aku risik aje budak Acam nih, getus Qaid sambil tersengih sendirian.

“Wei, ko dengar tak,” jerit Acam mematikan lamunan Qaid.  Sempat lagi nak mengelamun.

“OKlah, ko punya pasal.  Tapi aku seganlah Acam.  Ayah ko ada ke?”

“Ayah aku memang selalu balik makan kat rumah.  Alah, ko nak segan apanya.  Bukan ko tak ada hidung, ke mulut ko kat belakang?” seloroh Acam.  Kasar je bunyinya tapi Qaid sudah biasa sangat dengan lawak Acam.  Dah tak berbekas di hati dengan mulut laser Acam tu.

“Hmm.. yelah.  Pukul satu setengah boleh aku sampai?”

“Orait, set.  Aku nak pergi kat luar, tengok ibu aku beli lauk jap.  Jumpa ko nanti,” balas Acam. 

“Masak sedap-sedap ye,” order Qaid.

“Hamboi..,” kata-kata Acam disahut dengan tawa Qaid yang nyaring.  Nak pecah gegendang telinga kalau dengar mamat ni ketawa.

Setelah salam bertukar sahut, talian dimatikan.  Cepat-cepat Acam melangkah mendapatkan ibu yang masih lagi sibuk bermesyuarat.  Hebat agaknya topik yang digossipkan hari ini hinggakan kehadiran Acam pun tidak disedari oleh kaum-kaum ibu itu.  Malah, Pak Rahmat pemilik lori yang menjual ikan itu pun sama naik melangut mendengar perbualan mereka.

Acam segera membelek ikan-ikan dan sayur-sayuran lain yang dibawa oleh Pak Rahmat.  Ligat otaknya berfikir akan menu yang hendak dimasak hari itu.  Menyedari kehadiran Acam yang tertilik-tilik barangan di dalam lori putih Pak Rahmat, ibunya mula membuat muka tidak percaya.  Maklumlah, anak dara seorang ni bukan suka pun bab-bab ke dapur, apatah lagi membeli barangan dapur.  Memang jauh panggang dari api.

“Mimpi apa anak dara ibu ni, tiba-tiba berminat dengan Pak Rahmat ni?” sergah Pn. Radziah, ibu Acam. 

“Mana ada orang mimpi-mimpinya.  Ni orang nak tengok lauk apa nak beli, tadi Qaid ajak orang keluar petang ni.  Temankan dia cari barang, orang lak ajak la dia makan kat rumah,” balas Acam panjang lebar.

Tersengih lebar Pn. Radziah mendengar jawapan dari mulut anak daranya itu.  Wah, sudah ada kemajuan.  Dah mula hendak memperkenalkan kawan lelaki dengan keluarga.  Hati sang ibu yang selama ini risau dengan sikap anak perempuannya bertukar senang.  Senang apabila memikirkan yang anaknya itu sudah mula lembut hati.  Sebelum ini, bukan tidak ada rakan lelaki yang ingin mendekati Acam, tapi semuanya tak menjadi.  Apa tidaknya, kena sergah dek Acam sahaja, kecut perut semuanya.  Waima, hendak melintas depan rumah pun tak berani.  Brutal sungguh anak daranya yang seorang ni.

“Yang ibu tersengih-sengih ni kenapa?  Orang ajak makan je pun,” bebel Acam.

“Iyalah.  Dah, biar ibu yang cari lauk kat luar ni, kamu pergi la siapkan apa-apa yang patut kat dapur tu.  Tanak nasi ke, potong-potong bawang ke,” arah Pn. Radziah.

Terkulat-kulat Acam melangkah ke dalam rumah.  Sebal juga hati tak pasal-pasal dah kena ke dapur.  Itulah mulut gatal sangat nak mengajak si Qaid tu makan di rumah, kalau dah sah-sah dah tiga empat muka surat laporannya siap.  Padanlah muka sendiri.

Seperti yang telah dijanji, jam satu tiga puluh lima Qaid sampai di rumah Acam.  Wajah lelaki itu agak pucat sedikit.  Mungkin tidak berapa sihat, atau mungkin juga berdebar-debar kerana inilah pertama kali akan bertemu dengan keluarga Acam keseluruhannya.  En. Daud, ayah Acam sudah menanti di hadapan pintu apabila terdengar bunyi enjin kereta dihentikan di hadapan rumah.

Acam yang baru sahaja melangkah menuruni anak tangga terdengar riuh suara lelaki berbual-bual di luar rumah.  Sempat dia mengintai sebentar di sebalik langsir tingkap.  Mulutnya menguntum senyuman apabila melihat Qaid yang ramah berbual dengan ayah. 

          Suara ayah Acam dan Qaid semakin hampir ke ruang makan.  Acam yang sudah pun selesai menghidangkan makanan tersenyum menyambut Qaid yang kelihatan agak mesra dengan ibu dan ayahnya.  Mudah benar lelaki itu menyesuaikan diri.  Waktu makan lebih meriah daripada biasa dengan suara ibu yang sibuk mengunjukkan lauk pauk kepada Qaid sehingga berkerut dahi Qaid untuk memilih.  Ayah pula sesekali bertanya itu ini kepada Qaid.  Adik-adik Acam pula lebih mengerling ke arah Acam yang sentiasa berlagak selamba dengan senyuman sumbing mereka.  Ceh, nak mengenakan aku la tu, bisik Acam.

          “Pak Cik, saya minta izin nak bawa Acam keluar sekejap.  Petang nanti saya hantar semula,” ucap Qaid meminta izin daripada En. Daud.
          “Hmmm.. nak ke mana ni?” sengaja hendak diduga keikhlasan lelaki itu.

          “Saya nak ke bandar je, cari barang sikit,”

          “Iyalah, Pak Cik serahkan Acam ni kepada kamu, jagalah anak Pak Cik ni baik-baik.  Jangan balik lambat sangat,” pesan En. Daud bersungguh-sungguh.  Pn. Radziah sudah pun terkekeh-kekeh tertawa.

          “Yang awak ketawa tu kenapa?” soal En. Daud kepada isterinya.  Serta merta tawa Pn. Radziah terhenti.

          “Yang abang dok pesan bagai kat Qaid tu buat apa.  Abang tengok je lah anak perempuan abang yang tak berapa nak perempuan ni, tak adanya orang berani nak dekat,” balas Pn. Radziah.  Acam hanya menjeling sekilas ibunya.  Amboi, sedap mengata aku ye!

          Sedang elok Acam membuka pintu kereta, Normi terjerit-jerit memanggilnya.

          “Kak, ada telefon.  Cepatlah,” jerit Normi.

          Terpinga-pinga Acam sekejap.  Namun dia sempat mengangkat tangan menyuruh Qaid menunggunya sebentar.  Laju sahaja dia menapak menuju ke dalam rumah.  Hati Acam tertanya-tanya, siapa pulalah yang tak ada kerja menelefonnya. 

          “Hello..”

          “Hello, hello.. assalamualaikumlah awak,” sergah suara di hujung talian.  Acam tersentak.  Alamak, Dzil la pula.  Apalah mamat ni hendak, menelefon aku siang-siang buta ni.  Selalunya dia ni burung pungguk.  Siang tidur malam berjaga.  Ke ada teropong boleh nampak aku nak keluar.  Acam berperang dengan persoalan demi persoalan dalam hatinya.  Hish, seorang menunggu di luar, yang seorang lagi menunggu di hujung talian.  Hadoiii!!!!

          “Yelah, waalaikumussalam..” balas Acam sebal.  Mamat ni kalau tak mengenakan orang tak sah.

          “Tengah buat apa tu?” Alahai, nak tanya itu je ke telefon aku, bentak Acam.

          “Awak, saya tak dapat nak cakap dengan awaklah.  Saya nak keluar, awak telefon saya malam nanti boleh?”

          “Oh, nak keluar?  Pergi mana?  Dengan siapa?” Alahai, macam polis pencen pula.  Terseringai senyuman di wajah Dzil apabila menyedarinya.  Pelik juga, Acam ni bukanlah jenis yang suka suki nak keluar ke mana-mana. 

          “Saya nak keluar dengan kawan jap.  Nak temankan dia cari barang,” balas Acam.

          “Kawan lelaki ke perempuan?” Wah!! Dzil sendiri terkejut dengan soalan cepumas yang keluar daripada mulutnya.  Tapi, yelah, hati dah mula rasa tak sedap apabila Acam kata nak keluar tadi.

          “Dengan Qaid la, awak.  Dia ada kat luar tu, tunggu saya.  Dia minta tolong saya temankan dia cari barang sikit,” laju sahaja Acam bercerita.  Alamak! Acam menekup mulut.  Macam manalah dia boleh lancar sahaja menyebut nama Qaid.  Dah sah-sah mamat kat sana tu akan berangin. 

          Walau pun mereka berdua tiada hubungan apa-apa, tapi semenjak dua menjak ni, Dzil seperti menunjukkan perasaannya secara terang-terangan.  Kadang-kadang jika bercakap dengan Dzil di telefon seperti orang tengah bercinta pula.  Terdengar keluhan keluar dari mulut Dzil.

          “Hmm.. tak apalah.  Awak nak keluarkan, saya tak nak kacaulah.”  Suara Dzil mendatar.  Hati Dzil terpukul dengan pengakuan Acam sebentar tadi.  Cemburu?  Iya, dia memang cemburu.  Cemburu kerana Qaid dengan mudahnya mendapat tempat di hati Acam.  Mungkin bukan sebagai kekasih, tetapi layanan Acam tetap istimewa.  Dzil tidak mahu itu.  Dia hanya mahu ada nama ‘DZIL’ di hati perempuan yang bernama Acam itu.  Dia mahu hanya namanya yang terukir indah di situ.  Dia mahu itu, dia mahu ini.  Arghhhhhh… pedih sungguh hati bila memikirkannya.

          “Eh, awak ok ke?  Malam nanti kita borak lagi ye,” ucap Acam seperti tiada perasaan.  Sebenarnya Acam sudah dapat menangkap nada tidak puas hati Dzil namun sengaja dia tidak mahu memikirkannya.  Kasihan pada Qaid yang telah lama menanti. 

          “Ok.. enjoy yourself,” ucap Dzil lalu talian dimatikan.  Begitu sahaja.  Hati Acam terpukul dengan perlakuan itu.  Marahkah dia?  Cemburukah dia?  Ah, lantaklah!

          Tergesa-gesa Acam menyambar beg tangan di atas sofa lalu kembali menuju ke arah Qaid yang masih setia menanti sambil berbual-bual dengan ayah.  Setelah mengucap salam, kereta meluncur laju membelah kesibukan jalan menuju ke destinasinya.



***********************

          Malam semakin larut.  Acam masih tidak dapat melelapkan matanya.  Dia masih berbaring di atas sofa.  Masih lagi menanti telefon yang terletak si sudut itu berdering.  Hampir satu jam matanya dipaksa berjaga semata-mata menanti panggilan itu.  Nampaknya, malam itu dia tidak akan mendapat panggilan.  Marahkah Dzil padanya?  Adakah begini rasanya bila dilamun perasaan?  Menanti dan terus menanti.  Jika benar Dzil marah, apa yang harus dia lakukan.  Untuk memujuk lelaki itu, tentu sekali tidak.  Egonya terlalu tinggi untuk tunduk merayu-rayu kepada lelaki itu. 

          Beg kertas kecil yang diberikan oleh Qaid petang tadi diambil lalu dikeluarkan isinya.  Terbeliak mata Acam apabila melihat isi kotak yang terkandung di dalam beg kertas itu.  Sebuah telefon bimbit bersama sim kadnya sekali.  Hish, dah la telefon mahal, siap simkad sekali.  Melampaulah mamat ni, getus Acam.

          Terimbau perbualan antara Qaid dengan dirinya di hadapan pagar tadi.

          “Nah, ni untuk ko,” ujar Qaid sambil mengunjukkan sesuatu kepada Acam.

          “Hish, apa ni.  Bukan birthday aku lah yang ko nak bagi hadiah bagai,” tolak Acam.

          “Ni bukan untuk birthday, ni untuk khidmat cemerlang ko dengan aku.  Kan orang lain ada bagi ko hadiah, aku je yang tak bagi.  Ni aku bagilah, tapi ko buka nanti,” balas Qaid.  Hendak tak nak terpaksalah Acam menerimanya.

          Dalam sibuk membelek telefon bimbit itu, dia terpandang secebis kertas kecil terselit di celah kotak.  Perlahan cebisan kertas diambil lalu satu persatu baris ayat dibacanya.

          Cik Puteri Darlina,
          Jangan mengada-ngada nak tinggal telefon ni kat rumah bila balik PUO nanti.  Bawa telefon ni sekali.  Jangan risau duit top up kalau tak ada, roger-roger aje aku.  Ko kan dah janji kita tak akan pernah putus hubungan, so telefon ni aje yang boleh hubungkan kita.  Kalau ko tu rajin sangat nak ber ‘facebook’ tak apalah juga, tak pun YM ke.. boleh juga aku lepas rindu tengok muka ko kat lappy.  Ok, aku akan rindu kat ko.  Belajar rajin-rajin!

Qaid Firdaus

          Senyuman terukir mekar di bibir Acam.  Haih, dia ni buat hati aku cairlah.  Kalau tak kuat iman, dah lama aku terima mamat ni jadi suami, getus Acam.  Kemudian dia tertawa sendirian mengenangkan apa yang difikirkannya tadi. 

          Telefon yang tadinya sunyi sepi kini berdering-dering minta diangkat.  Acam mengerling sekilas ke dinding.  Jam menunjukkan angka satu pagi.  Wah, boleh tahan mata aku ni berjaga, bisik Acam.

          “Assalamualaikum..” ucap Acam.  Tidak mahu lagi diperli oleh mamat tu.

          “Waalaikumussalam..” balas Dzil.  Kemudian masing-masing terdiam.. talian hanya dibiarkan sepi.

          “Hmmm.. awak marah saya ye,” soal Acam memecah kesunyian di antara mereka.  Kalau nak dibiarkan talian tanpa penghuni, baiklah dia tidur sahaja.

          “Awak nak saya cakap yang betul ke, tipu?” soal Dzil semula.

          “Eh, tentulah yang betul, nak tipu-tipu buat apa,”

          “Memang tadi saya marah.  Lebih kepada jeles.  Saya jeles tau bila awak kata awak nak keluar dengan mamat tu.  Tapi sekarang jeles saya dah kalah, rindu saya lagi banyak la kat awak,” ucap Dzil tanpa selindung.  Penat nak main selindung-selindung ni.  Asyik dok berselimut, dah berpeluh-peluh kepanasan dek panahan rasa hati.  Biarlah diungkapkan sedikit demi sedikit agar hati perempuan di hujung sana tu terkesan.

          Acam yang mendengarnya terkesima seketika.  Terpukul dengan kata-kata Dzil.

          “Sorry la awak.  Tak maksud nak sakitkan hati awak.  Lagi pun saya bukan ada apa-apa pun dengan Qaid tu.  We were just friends,”

          “Hmm, tak apalah.  Yang penting saya dah dapat Acam saya semula malam ni.  Awak tunggu saya ye, sekejap je telefon berdering dah diangkat,” usik Dzil.  Wajah pun dia tidak nampak wajah Acam, namun dia tahu pasti wajah itu sudah disimbah kemerahan bagai udang dibakar.  Acam memanglah macam tu.

          “Tak adalah.  Kebetulan je,” nafi Acam.  Masih nak cover line.  Malu kalau Dzil tahu dia sedang menantikan panggilan mamat tu.

          “Oklah, dah dapat dengar suara awak pun dah cukup.  Boleh tidur lenalah saya malam ni.  Gud nite my girl, sweet dream.  Bawa saya dalam mimpi awak ye,” ujar Dzil.  Lembut suara lelaki itu memukul hati Acam.  Terpana dengan rasa indah yang tiba-tiba menjalar ke tangkai hatinya.

          “Awak pun, sweet dream.  Assalamualaikum,” balas Acam.  Kedengaran salam berjawab dan talian telefon dimatikan.  Hati Acam berdegup kencang.  Acam berperang dengan perasaan sendiri.

          Kenapa hati ini bagai dipalu-palu, bagai berada di awangan ketika mendengar suaranya.  Sudah jatuh hatikah aku?  Tak mungkin!  Acam lemas dalam mengatur satu persatu persoalan yang mula membukit di dadanya..


Aku cuba untuk mendekati
tapi engkau tiada peduli
tulusnya niat di hati
mungkin kau tersalah erti

Bukanlah ingin merantai dirimu
ataupun mengikat janji
masih ada banyak lagi
harus kau pelajari

Aku ingin kemesraan
serta senyuman keramahan
biar kekal berterusan
tak hilang di tengah jalan..

(Spin -- Malam Makin Dingin)


*********************

Sayang2 Kak Yus..maaf ye, lama memeramkan diri dari MB ni.. harap2 n3 kali ni dptlah meleraikan rindu sayang2 kak yus pd Acam, Dzil n Qaid.. maaf ye utk segala kekuranga, typo error ke.. hehehe.. tak larat nak buka mata dah ni.. sudi2lah drop komen untuk tatapan kak yus..


Ok.. lots of luv frm kak yus, Emeer & Ayesha

~  Kak Yus  ~
31.3.12 --- 1.25 a.m

Monday 26 March 2012

Perutusan Kasih ~ 1





         Fayyad tersenyum kecil mengingatkan saat mula-mula dia mengenali Azzalea.  Gadis bertubuh kecil itu kelihatan malu-malu ketika mula-mula menyertai persatuan belia mereka.  Kecil orangnya, tapi besar ideanya.  Sekali bibir kecil itu mengeluarkan kata-kata, pasti terdiam semua yang mendengarnya.  Bukan calang-calang orang gadis itu.  Hari pertama bertentangan mata, hatinya sudah terpaut kasih.  Setiap kali gadis itu melontarkan pendapat, dia akan merenung terus wajah itu tanpa berkelip.  Dan tiap kali itu jugalah, gadis itu akan cuba melarikan pandangannya ke arah lain.  Suka Fayyad mengingatkan riak wajah itu.  Merona-rona merah kerana ditenung begitu.  Ah, comel sungguh.

            Beberapa kali pertemuan dalam mesyuarat bulanan membuahkan rasa kasih yang bertambah mekar.  Fayyad terpaksa memberanikan diri mengambil langkah seterusnya apabila terdengar siulan-siulan kecil Ahli Jawatan Kuasa lain yang bercita-cita untuk mengayat Azzalea.  Oh, nanti aku yang kempunan, getusnya.  Itu belum lagi kemungkinan lain di pejabat Azzalea sendiri.  Gadis comel yang cukup sempurna di mata lelakinya itu tak mungkin tiada peminat di mana sahaja dia berada.  Sebelum disambar garuda, baiklah langkah disusun dahulu.

            Selepas tamat mesyuarat bulanan yang kelima malam itu, Fayyad memberanikan diri menghampiri Azzalea secara peribadi.

            “Lea, free tak lepas ni.  Saya ingat nak ajak awak minum,” pelawa Fayyad walau pun tidak seratus peratus meletakkan harapan pelawaannya itu akan diterima.

            “Hmm.. kalau dekat-dekat sini je oklah.  Kalau jauh tak naklah.  Esok saya kerja, takut lambat pula tidur,” jawab Azzalea mengundang rasa gembira di hati Fayyad.  Pelawaannya bersambut.

            “Ok, saya tunggu awak dekat kereta.  Nanti saya hantar awak balik.” Laju langkah diatur.

            “Iyad, saya inform Dirah dulu ya, suruh dia balik tak payah tunggu saya.  Tadi saya datang dengan Dirah,” kata Azzalea. 

Fayyad menggangguk perlahan.  Dia bersandar di pintu kereta sementara menunggu kehadiran Azzalea yang kelihatan sedang bercakap sesuatu dengan Dirah.  Seketika pandangan mereka menghala ke arahnya.  Senyuman kecil tersungging di wajah Dirah.  Hmm, mengata apalah tu.

Perjalanan ke Taman Datuk Senu, Sentul hanya mengambil masa dua puluh minit.  Kereta di parkir di kawasan lapang yang terletak bersebelahan dengan Kedai Makan Naili’s yang memang terkenal dengan keenakan masakannya.  Azzalea  menuruti langkah Fayyad yang memilih untuk makan di gazebo tradisional.  Di situ mereka bebas untuk bersila atau bertimpuh sambil menikmati makanan.  Tidak banyak restoran atau kedai makan di Kuala Lumpur ini yang mempunyai konsep seperti itu. 

Biasalah, jika restoran yang ramai pelanggan sudah pastilah kena bersabar sedikit menunggu hidangan.  Apa yang penting, penantian itu berbaloi.  Hidangan yang dihantar empat puluh minit kemudian dinikmati perlahan.  Terasa nikmatnya, namun tidak dapat dihayati sepenuh hati oleh Azzalea.  Apa tidaknya, dia perasan mata Fayyad yang asyik mengerling ke arahnya sejak tadi.  Tidak selesa untuk menikmati makanan jika diri menjadi perhatian.

“Lea, tak ada selera ke?” tegur Fayyad yang perasan sikit benar makanan yang dijamah Azzalea.

     “Eh, taklah.  Memang lapar pun tapi tak boleh nak makan,”

     “Kenapa, tak sedap ke?” soal Fayyad.  Hendah tergelak pun ada Azzalea melihat kedutan di dahi Fayyad.  Over pulak mamat ni.

     “Sedap tapi kalau asyik kena curi-curi pandang je memang tak lalu nak telan.  Segan,” jawabnya selamba. 

Nah, ambik kau.  Sekali keluar macam peluru berpandu, tepat je sasarannya, gelak Azzalea di dalam hati.  Nak pengsan kalau gelak kuat-kuat dekat situ.  Baru sebut tak boleh makan, dah berkerut seribu dahi mamat di hadapannya itu.  Kalau tergelak kuat tadi mahu pengsan terus mamat tu.

     Fayyad tersenyum memandang wajah Azzalea.  Boleh tahan juga mulut makcik ni.  Pedas je kalau keluar ayat-ayat cintanya tu.  Bukan calang-calang orang boleh tahan ni, silap hari bulan mahu terbakar hati.  Tapi Fayyad suka dengan cara selamba Azzalea.  Comel pula kelihatan di matanya.

     “Awak, saya dah lama perhatikan awak.  Daripada mula-mula awak join kitorang sampailah sekarang ni, saya rasa saya dah jatuh sukalah kat awak,” ujar Fayyad. 

     “Saya nak kenal awak lebih rapat boleh?” sambungnya lagi tanpa memberi peluang Azzalea bernafas seminit pun. 

    Azzalea yang baru hendak menyuapkan makanan ke mulut terhenti.  Wajahnya didongakkan mengarah ke wajah Fayyad.  Nasib baik tak terlepas sudu dan garpu di tangannya.  Kalau tidak mana nak diletakkan mukanya yang dah setebal sepuluh inci tu.  Ya Allah, minta nyawa, getus Azzalea.  Mamat ni kalau nak cakap main sound direct je, tak ada cover line langsung. 

     Fayyad masih lagi tersenyum melihat reaksi Azzalea yang sudah mula merona merah wajahnya.  Serba tak kena gadis itu.  Sekejap memegang sudu, sekejap mengambil tisu tapi satu apa pun tak menjadi.  Segera tangan Azzalea dicapai.  Terbuntang mata Azzalea melihat keberaniannya menyentuh tangan gadis itu. 

     “Awak, saya tak main-main bila saya kata saya nak kenal awak lebih rapat lagi.  Dalam erti kata yang lain, saya nak awak jadi seseorang yang lebih rapat daripada sahabat dalam hati saya.” Kali ini suaranya lebih lembut dan lancar.  Ada kematangan dalam lamaran itu.

   “Adakah ini bermakna awak melamar saya untuk menjadi girlfriend awak?” aju Azzalea.  Mulutnya masih sedikit ternganga.
 
      “Hmmmm…”

     “Awak, saya tak pandai nak bermadah berhelah, saya ni jenis yang cakap straight to the point.  Jadi, apakah benar telahan saya tu?” soal Azzalea lagi.

     “Ye cik Amira Qaireen Azzalea, jadi girlfriend saya jika awak berminat untuk mengisi jawatan kosong tu,” jawab Fayyad bernada seloroh.

      Hish, hampeh betul mamat ni.  Jawatan kosong ke girlfriend tu.  Hati Azzalea berkata-kata sendiri. 

      “Hah, kutuk saya la tu,” sindir Fayyad.  Mulut Azzalea yang terkumat-kamit dijelingnya.

     “So, awak nak tanya kata putus saya ke atau awak bagi arahan kat saya sekarang ni?” soal Azzalea dengan muka dua puluh sennya. 

Sebenarnya, hati Azzalea terloncat-loncat gembira mendengar kata-kata Fayyad sebentar tadi, kalau hanya bercakap di telefon sudah pasti dia melompat ketika itu juga.  Dah di depan public ni, kena control ayu lah pula.

    “Cik Azzalea, siapalah saya nak bagi arahan pada awak.  Serius ni, saya nak kenal awak lebih rapat lagi, awak sudi tak nak kenal dengan saya?” Tak main-main nada suara Fayyad. 

Matanya merenung terus ke wajah polos Azzalea yang sedang sedaya upaya mengawal perasaannya.  Nampak ketara sangat gadis itu sedang dilanda gelisah.  Itulah yang membuatkan lagi seronok Fayyad menyakatnya.  Azzalea yang tadi begitu berani bertentang pandang kini mula menundukkan wajah.  Tak betah menentang anak mata lelaki yang duduk di hadapannya itu.  Anak mata hazel colour milik lelaki bernama Fayyad Iskandar itu terasa seperti menyucuk terus ke tangkai hatinya.  Dup dap dup dap, huh, kalau asyik macam ni jantungnya berdenyut, jawabnya lepas ni kena booking satu katillah kat IJN.  Dalam diam, dikerling juga wajah itu.  Iskh, mamat ni masih lagi asyik dok merenung mukanya.  Habislah segala jerawat, jeragat, blackhead, whitehead mesti diperhatikan.  Alahai, desis hati Azzalea.

Ini baru Fayyad luahkan hasrat untuk mengenalinya lebih rapat.  Agak-agaknya kalau tadi Fayyad kata nak masuk meminang, mahu dia terus pengsan. Azzalea bermain soal jawab dengan dirinya sendiri.

“Awak, saya sedang menanti ni.  Sudi tak?” gesa Fayyad.  Tersenyum dia melihat tingkah Azzalea yang sudah mula tidak senang duduk.  Agaknya, direct sangat kot cara dia meluahkan hasrat hati, fikir Fayyad.

“Sebelum saya kata ya, boleh tak En. Fayyad Iskandar, pulangkan semula tangan saya.  Suka hati mak ayah je nak pegang-pegang tangan anak dara orang,” sindir Azzalea.  

Terseringai senyuman sumbing di bibir Fayyad.  Hah, kan dah kena sebijik.  Cepat-cepat jari jemari Azzalea dilepaskan.  Itulah, kononnya nak feeling sangat kan dah kena bedebus kat muka tu.  Minah ni boleh tahan juga mulut tu, ye lah cik SU, bila bercakap bernas je.  Kalau kat dalam meeting, pantang ada yang bagi idea, pasti kena interview habis-habisan.  Jangan haraplah nak lepas idea yang tak ada back up kalau dengan minah ni.  Mungkin sebab itulah kot Pengerusi persatuan sanggup postpone meeting kalau cik SU ni tak dapat datang.  Dan mungkin kerana itu jugalah Fayyad tersangkut hati pada Azzalea. 

“Hmmm.. oklah, saya bagi awak peluang untuk kenal saya ‘lebih rapat lagi’, tapi nak serius tu kita biarkan masa yang tentukan, boleh gitu?” balas Azzalea sengaja menekankan perkataan ‘lebih rapat lagi’ tu. 

Senyuman Fayyad semakin melebar kalau tadi dah sampai ke telinga, sekarang ni dah hampir nak sampai ke mata pun.  Lapang sungguh dada apabila hasrat hati diterima.  Akan dia buktikan kepada Azzalea yang dia seorang teman yang paling setia.  Disematkan dalam hatinya untuk menjaga hati milik gadis itu yang telah dihulurkan kepadanya sebaik-baiknya. 

Malam yang semakin lewat membataskan pertemuan mereka.  Dalam malu-malu kucing, habis juga sepinggan nasi goreng USA di hadapan Azzalea.  Fayyad yang telah lama menghabiskan makanannya menjadi penunggu yang penuh sabar.  Memerhatikan setiap inci pergerakan Azzalea.  Menikmati setiap inci kejelitaan gadis di hadapannya.  Walau pun Azzalea tidak secantik Erra Fazira, tidak semanja Nora Danish, tapi Azzalea tetap yang tercantik dan termanja di matanya.  Susah betul bila dah sukakan seseorang ni.

Sepanjang perjalanan pulang, tak banyak yang dibicarakan.  Masing-masing sibuk melayan perasaan sendiri.  Mungkin masih memikirkan apakah langkah seterusnya dalam perhubungan yang baru dibina.

**************

Walaupun sesak kepala Azzalea dengan timbunan fail yang tak susut-susut di atas meja, hatinya tetap berbunga-bunga.  Kenangan makan malam berdua bersama Fayyad masih segar diingatan.  Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, sukar untuk menolak hasrat hati Fayyad.  Apatah lagi dia sendiri pun memang teramat suka dengan lelaki itu.  Setiap kali bertemu di dalam mesyuarat matanya memang sering mencuri pandang pada seraut wajah Fayyad.  Hensem gila mamat tu pada pandangan matanya.  Kalau di tanya pada Dirah, tentulah Dirah akan kata Hareth lagi hensem.  Takkanlah dia nak kata orang lain lagi hensem daripada pakwe dia la pula kan.

Matanya akan tertumpu pada wajah Fayyad setiap kali lelaki itu mengusulkan apa-apa isu.  Sukar untuk mengalih perhatian kepada orang lain bila sudah lekat pada wajah Fayyad.  Kulit yang cerah tak berapa nak cerah, gelap tak berapa nak gelap itu sedang molek sahaja dengan penampilan lelaki itu.  Pelik juga Azzalea, selalunya kalau Engineer ni selalunya akan sibuk tapi lain pula dengan Fayyad.  Ada pula masa dia nak berpersatuan bagai.  Pandai sungguh membahagikan masa mamat ni. 

Walau pun hatinya memang tertarik dengan sikap dan perwatakan Fayyad tetapi dia tetap tidak akan memulakan langkah pertama dalam memulakan sebuah perhubungan.  Mungkin pada pandangan teman-teman baiknya dia seorang yang outdated.  Mana ada lagi istilah perigi cari timba sekarang ni.  Orang semua dah guna pat-patnya, siapa cepat dia punya.  Tapi bagi Azzalea, dia tak akan pernah berubah.  Mungkin perwatakannya tidaklah seratus peratus Wanita Melayu Terakhir, tapi dia tidak mempunyai keberanian yang jitu dalam memulakan sebuah perhubungan.

Kalau asyik melayan perasaan bilalah hendak siap kerja yang bertimbun tu.  Lincah sahaja jari jemarinya mengetuk huruf-huruf yang berada di keyboard komputer.   Laporan yang diberikan oleh En. Eshan pagi tadi harus ditaip dan disiapkan dengan kadar segera.  Petang nanti dah hendak dihantar ke bilik Setiausaha Syarikat untuk dikompilasikan bersama minit mesyuarat.

Interkom di atas meja menjerit-jerit bising.  Segera Azzalea mengangkat gagang telefon.

“Lea, ada mamat bunga kat depan ni.  Keluar jap,” sergah Kak Baiti di hujung talian.  Mamat bunga? Siapa pula ni, getus Azzalea. 

Rasanya dia tidak mempunyai rakan lelaki yang bernama Mamat Bunga.  Hish, mamat mana pula yang pagi-pagi buta datang mengacau dia yang sedang sibuk bersilat dengan kerja-kerjanya tu.  Mata dikerlingkan ke arah jam dinding yang tergantung molek di dinding.  Dah lewat sebelas setengah pun, tak berapa nak pagi dah.  Langkah diatur laju menuju ke meja penyamput tetamu.

Kak Baiti dan Nik Khadijah, penyambut tetamu baru yang menggantikan Kak Azni, tersenyum memandangnya.

“Mana mamat bunga tu kak?” soalnya perlahan.  Takut terdengar pula dek empunya diri.  Harus terjegil biji mata mamat tu digelar mamat bunga.  Kak Baiti menuding ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri bersama sejambak bunga.  Huh, rupanya rider daripada kedai bunga.  Hampeh betul Kak Baiti ni, kutuk Azzalea.

“Adik bunga, nilah Cik Amira Qaireen Azzalea,” panggil Kak Baiti.  Laju juga langkah pemuda itu.  Bunga bertukar tangan, kertas di yang diunjukkan oleh pemuda itu juga telah ditandatangani oleh Azzalea.

“Kak, lain kali pakailah nama yang senang-senang sikit.  Susah betul saya nak sebut kak.  Nasib baik hantar bunga je, kalau akad nikah, sepuluh kali pun tak tentu lagi sah kak,” tegur pemuda itu berseloroh.

Terkedu Azzalea mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut pemuda itu.  Kak Baiti dan Nik Khadijah yang tak larat menahan tawa terus tergelak mengekeh-ngekeh.  Hampeh betul budak ni, dikutuk pula nama aku yang sedap-sedap ni, marah Azzalea.  Rasa bagai hendak dihempuk sahaja mamat tu dengan bunga di tangan.  Tapi segera ditahan perasaan apabila melihat kuntuman-kuntuman ros merah yang cantik.  Hatinya tertanya-tanya siapakah pengirimnya.

Tanpa memperdulikan tawa Kak Baiti dan kepoh mereka untuk tahu siapa pengirim bunga itu, terus sahaja Azzalea pulang ke mejanya.  Kad kecil yang terlekat di jambangan bunga itu diambil.

Cik Amira Qaireen Azzalea,
Terima kasih kerana sudi makan malam dengan saya malam tadi.      
Kejap lagi lunch dengan saya ye?  Saya tunggu awak kat 
lobi….
Fayyad Iskandar

Bunga-bunga yang ada di hatinya semakin kembang setaman.  Lebih kembang daripada jambangan bunga yang berada di tangannya kini.  Alahai, En. Fayyad Iskandar, kenapalah awak sweet sangat ni.  Nanti cair meleleh-leleh hati aku ni, detik hati kecil Azzalea yang tak mampu nak mengecut lagi. 

Senyuman di wajah Azzalea sudah tidak dapat dipadamkan.  Menaip pun tersenyum.  Menulis pun tersenyum.  Hati tengah dilamun perasaan indah, nak buat macam mana.  Layan ajelah….



********************************

Sayang2 kak yus.. maaf ye kalau n3 bab 1 ni tak seberapa n maaf juga utk typo error.. moga tak penat menanti bab seterusnya.. sudi2 drop komen ye..tq.


Lots of luv..
Kak Yus
27.3.12 (10.45 am.)

Perutusan Kasih ~ Prolog



Fayyad merenung lama kad merah berbentuk hati itu.  Sekejap dia meletakkannya di atas meja, sekejap lagi diangkat kembali.  Sesekali tulisan di dalamnya dibaca.  Masuk kali ini sudah enam kali dia mengulangi perbuatan yang sama.  Setiap kali membaca tulisannya sendiri, setiap kali itu jugalah ada lirih di hatinya.  Terpukul dengan kata-katanya sendiri.  Pena dicapai lalu tangannya mengatur kata-kata lagi.  Mencari ayat-ayat yang paling lembut agar tidak lebih melukakan hati pembacanya. 

            Sudah banyak kelukaan yang dibawa dalam hidup gadis bernama Amira Qaireen Azzalea itu.  Dia menghulurkan harapan dan dia jugalah yang akan menoktahkan harapan itu tanpa dapat menjelaskan apa-apa pun.  Bukan sedikit kesakitan yang diberikan hingga menjadi penyebab gadis itu dimasukkan ke hospital.  Tiada sekelumit pun di hati lelakinya itu niat untuk menyakiti gadis yang disayanginya.  Azzalealah jantungnya, jiwanya. 

            Coretan yang telah siap ditulis dibaca lagi.  Kali ini, bersama hati yang hancur luluh.  Dia menyumpah dirinya sendiri kerana tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menghancurkan hati gadis itu.  Tak sanggup untuk menulis lebih panjang.  Hatinya turut mati bersama kata-kata yang termati di kad ucapan kecil itu.
Azzalea sayang,
Selamat menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-24.  Maaf atas segala yang terjadi.  Saya tidak pernah berniat untuk menyakiti awak.  Melukakan hati awak sama seperti merobek hati saya sendiri.  Tapi saya terpaksa melepaskan awak pergi.  Mungkin takdir tidak mahu kita bersama dalam permainan hidup yang kejam ini.  Tabahlah sayang untuk hadapi hari depan.
Mencintai awak adalah perkara terindah pernah berlaku dalam diri saya. 
Fayyad Iskandar

            Dia tahu pasti Azzalea akan kecewa dengan kehadiran kad kecil itu.  Siapalah yang mampu menahan pilu apabila menerima kad seperti ini di hari bahagia mereka.  Lebih-lebih lagi daripada orang yang disayangi.  Orang yang telah mendapat tempat istimewa di hati.  Tentu hati gadis itu terluka dengan apa yang tertulis di dalamnya.  Hati kecil gadis itu akan tersayat dengan keputusannya tapi yang lebih pasti dia sendiri akan lebih merana dengan perpisahan itu.

Sebelum kad itu pergi mendapatkan penerimanya, biarlah dia melayan perasaannya sendiri.  Mengingati setiap detik indah bersama insan yang bernama Azzalea.  Gadis yang akan sentiasa di hatinya.  Gadis yang pertama mencuri setiap inci ruang di hati lelakinya.  Gadis yang tak pernah pudar daripada ingatannya.



************************
Sayang2 Kak Yus.. first n3 untuk Perutusan Kasih.. maaf utk sgl kekurangan, bab 1 akan menyusul.. 

 

Blog Template by YummyLolly.com