Friday 14 February 2014

SENGKETA CINTA - 32 & 33

Assalamualaikum kesayangan kak yus... lama sungguh tak titip sesuatu di blog ni.  Busy tu satu hal, tapi masalah tak boleh nak masuk ke blog pun satu hal.. alhamdulillah, masalah sudah dapat diatasi.  Malam ni kak yus nak up 2 bab sekali gus ye.. bab2 ni kak yus dah upload di grup BJB @ fb sebelum ni.. mungkin sayang2 kat sini belum dapat peluang membacanya.

Maaf atas kekurangan dan ketidaksempurnaan.




Bab 32

Fayyad hanya mampu merenung telefon yang telah lama hanya mengeluarkan bunyi bingit tanpa suara itu.  Seminit, dua minit dan akhirnya gagang telefon diletakkan kembali.  Keras betul hati perempuan ni.  Orang kata hati perempuan ni macam kerak nasi, keras-keras kerak nasi, kena air lembut juga.  Hmmm.. betul ke pepatah tu?  Masih releven lagi ke nak digunakan zaman sekarang ni.  Melihat kepada cara Azzalea sahaja sudah tahu, dia ni bukan stok kerak nasi biasa.  Harus kerak nasi lemak tak pun nasi tomato, jenis yang makan hari nak rendam.

Tidak sempat hendak mengeluh, deringan mesin fax berbunyi dan serentak dengan itu kedengaran bunyi kertas dicetak.  Fayyad segera bangkit daripada duduknya lalu menghampiri mesin fax yang terletak di sudut pejabat.  Wah, cepat betul minah ni buat kerja.  Tak sampai lima minit, dah sampai faxnya.

Butir-butir lanjut yang tertera di atas kertas fax diteliti dengan penuh minat.  Memang tepat seperti tekaannya.  Azzalea tetap Azzalea yang lama, tidak pernah berubah.  Tidak pernah sesekali mengambil kesempatan walaupun telah ditawarkan dengan tawaran yang lebih lumayan.  Hanya enam permainan sahaja yang dipilih sedangkan quotation yang dikirimkan kepada gadis itu memang banyak pilihan.

“Assalamualaikum Encik Fayyad.”  Suara memberi salam di muka pintu pejabat yang terbuka membawa Fayyad kembali ke dunia nyata.  Senyuman dilemparkan kepada Kak Jarah, tea lady di pejabat itu.

“Waalaikumsalam Kak Jarah, masuk kak.”  Perlahan Fayyad berlalu ke meja kerjanya.

Kak Jarah membalas senyuman Fayyad ikhlas sambil meletakkan secawan teh panas dan sepiring karipap di atas meja Fayyad.  Waktu-waktu begini memang itu kegemaran Fayyad.  Teh panas dan kalau ditemani dengan karipap pusing tu, lagilah berselera jejaka idaman Malaya tu. 

“Lorh Kak Jarah, susah-susah je belikan saya karipap ni.”  Tersentuh hati apabila melihatkan karipap pusing di atas mejanya.  Dia tahu, bukan dekat nak dapatkan karipap pusing tu, tiga blok daripada pejabat mereka.  Tentu penat Kak Jarah berjalan kaki.

“Iskh, mana ada jauhnya Encik Fayyad.  Tadi Kak Jarah kebetulan pergi cari air kelapa untuk Datuk, teruslah Kak Jarah singgah sekali.  Lagi pun bukan jalan kaki hari ni, Kak Jarah rempit dengan Mat Lobo.” 

“Siapa Mat Lobo kak?  Saya kenal ke?”  Soal Fayyad agak cuak.  Iyalah, dengan mamat rempit mana pula Kak Jarah ni berkawan.  Setahu dia, mana ada Mat Lobo kat situ.  Soalan Fayyad disambut dengan ketawa Kak Jarah.  Cepat-cepat Kak Jarah menutup mulut dengan tangannya.  Iskh, lepas laku betullah, dah la depan bos pulak tu, desis Kak Jarah.

“Ya Allah, akak tak tahu Encik Fayyad tak kenal Mat Lobo tu.  Ingatkan glamour sangat dia kat sini.  Si Kahar, mamat peon kita itulah Mat Lobo.  Kan dia suka sangat pakai ala-ala cowboy, konon-konon nak jadi si Blue dalam cerita High Caparal tu,” terang Kak Jarah masih bersisa tawanya.

“Hai, macam-macamlah Kak Jarah ni.  Terima kasih ye kak,” ucap Fayyad.  Mulutnya sudah mula menjamah sebiji karipap pusing yang masih hangat. 

Melihatkan Fayyad yang seolah-olah sedang menikmati kelazatan kuih yang terhidang, Kak Jarah perlahan-lahan meninggalkannya.  Pintu ditutup rapat.  Biarlah bos kecilnya itu berehat sebentar.  Bukan dia tidak sedar, dari pagi lagi Fayyad sudah berkejaran dengan mesyuarat di pejabat itu.  Sejak Fayyad pulang kepangkuan keluarganya dan mengambil semula tugas sebagai Pengurus Besar di syarikat itu, memang kelihatan banyak perubahan.  Fayyad ni berbeza sedikit dengan Datuk Ilham.  Datuk Ilham seorang yang tegas dan jarang bertolak ansur dengan pekerja, kalau putih katanya putihlah, tak ada maknanya nak jadi hitam.  Fayyad pula lebih suka mendengar banyak pendapat dalam membuat keputusan, mengambil kira daripada berbagai sudut dan mencari solusi terbaik mengikut fikirannya.  Namun, jika melibatkan hal-hal yang lebih besar, sudah tentulah pendapat Datul Ilham tetap dirujuk.

Habis sahaja tiga ketul karipap pusingnya, Fayyad terus menghubungi pihak pembekal dan menguruskan pesanan yang telah difakskan oleh Azzalea sebentar tadi.  Sempat juga dia meminta beberapa barangan lain yang dilihatnya dalam katalog yang dirasakan perlu walaupun tidak diminta. 

“Bos, boleh jumpa sekejap?” Wajah Camillia tersembul di celah pintu yang terkuak sedikit setelah diketuk beberapa kali.

“Sure, masuklah,” jemput Fayyad.  Terkejut sebenarnya melihat kehadiran Camillia di pejabat.  Sepatutnya gadis itu berehat di rumah, katanya cuti sakit.

“You buat apa kat sini?  Bukan you tak sihat ke?”

“I baru balik klinik tadi ni, pergi kali kedualah bos.  Pagi tadi I pergi dah, lepas tu boleh tertinggal mykad I kat klinik.  Tu yang I pergi balik, singgah la sekejap ambil fail urgent yang bos besar nak esok tu.”

“Haish, you ni.  Sakit buatlah cara sakit.  Mykad tu pesan je kat I boleh tolong ambilkan.  Pasal fail yang nak kena siapkan esok tu, you tak payah risau, I dah serah kat Hasnul suruh dia kawtimkan,” bebel Fayyad. 

Boleh tahan juga mamat ni membebel ye.  Camillia hanya tersenyum melihat wajah Fayyad.  Namun senyumannya itu termati di situ saat Fayyad mengangkat muka dan merenungnya.

“Okey, apa yang you nak bincang dengan I.  Sekejap je, lepas tu boleh balik tidur.”

Tanpa melengahkan masa, Camillia terus membincangkan urusan kerja yang harus diselesaikannya segera.  Betul juga kata Fayyad, dalam keadaan tidak sihat begitu tidur adalah nikmat yang tidak terhingga dan ubat yang paling mujarab.  Banyak juga informasi dan jalan penyelesaian yang dapat dikumpulkan hasil sepuluh minit perbincangan mereka.  Memang Fayyad tak beri peluang langsung untuk menukar topik, straight to the point.  Dah tu siap boleh halau suruh balik lagi.  Ganas punya bos.

“Err, one more thing bos, tadi katanya Cik Azzalea ada telefon,” ujar Camillia saat terpandang katalog di atas meja Fayyad.

“Aah, I dah settlekan pasal permainan tu,” balas Fayyad, “tuannya je I belum settle lagi,” sambung Fayyad perlahan lebih kepada berbisik tetapi ayat yang terakhir itu masih dapat ditangkap telinga Camillia walaupun diucapkan perlahan.

Camillia merenung wajah Fayyad seketika.  Dia perasan, setiap kali nama Azzalea dibangkitkan mesti wajah Fayyad bertukar.  Ada riak gembira menghiasi wajah itu dan sesekali ada riak teruja juga terpamer.  Camillia perasan saat mereka di Tadika Permata tempoh hari, corak dan cara Fayyad merenung Azzalea. 

“Bos, I dengar ayat last you tadi tu.  Apa yang tak settle lagi dengan tuan punya tadika tu.  Kalau I boleh tolong settle, apa salahnya I tolong.”  Sengaja mengumpan untuk mendengar cerita.

“Hmmm, panjang ceritanya.  Susah I nak cerita kat you, lagi pulak you tak sihat ni.  Nanti pitam pula you dengar cerita I, cukuplah I cakap, I pening kepala dah nak pujuk buah hati pengarang jantung I tu.”

Oooooo… patutlah!  Buah hati mamat ni rupanya.  “Bos, orang perempuan ni kalau merajuk suka dipujuk.  Sekali dua tak makan pujuk, jangan mudah putus asa.” 

“Ini bukan sebarang merajuk Cik Cam oi, ni dah merajuk campur marah campur macam-macam dah.  Susah betul I nak tackle hati dia semula.”

“Ermm.. in that case, I just can advise you, sit down with her and do some explanation.  Maybe the truth isn’t always beauty, but the hunger for it is.”

Fayyad terkesima seketika tatkala mendengar kata-kata Camillia.  Tak sangka gadis di hadapannya itu memang berbakat.  Berbakat menjadi cik penasihat dua puluh lima percentnya.

“Okey cik penasihat, kalau berjaya dua puluh lima percent,” seloroh Fayyad mengakhiri perbualan mereka.  Segera gadis itu digesanya pulang ke rumah.  Lagi berlelama di situ, bertambah tidak sihat gadis itu.  Bukan senang hendak mendapat pekerja yang berkaliber seperti Camillia.

Di sebalik pintu bilik yang telah tertutup rapat, Camillia bersandar lesu.  Tangannya masih lagi berada di tombol pintu.  Dia melepaskan keluh berat.

“Nampaknya kena bungkuslah perasaan kau kemas-kemas Camillia oi.  Burung pujaan sudah ada pemiliknya.  Tak payahlah nak susah payah buat operasi memikat,” bisiknya perlahan.  Dia sedar selama ini pemerhatiannya tidak pernah tersasar.  Walaupun telah berkali-kali dia cuba memikat hati bos kecilnya itu melalui tingkah serta sikap ambil beratnya, dia nampak penolakan di mata lelaki itu. 

Tanpa berpaling, Camillia berlalu meninggalkan pejabat Fayyad laju.  Entah bagaimana, tanpa sengaja tubuh Camillia dilanggar daripada belakang.  Bertaburan surat-surat di atas lantai.

“Oh, jatuh..” latah Camillia.  Alamak, pecah rahsia.  Cepat-cepat Camillia berpusing melihat orang yang telah melanggarnya itu.  Matanya mengecil merenung Kahar yang tersengih-sengih.

“Jatuh cinta lagi, lagi lagi jatuh cinta…” Sambil mengutip surat-surat yang bertaburan itu, sempat lagi Kahar menyanyi menyambut perkataan jatuh yang terpacul daripada bibir Camillia.  Sengaja la tu.

“Hamboi, sempat lagi nyanyi tu.  Ada jugak makan pelempang Mat Lobo ni karang,” bebel Camillia berlalu.  Malas betul nak layan mamat tak cukup skru ni.  Ada je akal dia.  Orang dah la frust menonggeng-nonggeng cinta hati tak kesampaian. Jawabnya makin melaratlah demam.
Kata-kata Camillia sebentar tadi masih lagi terngiang-ngiang di telinga Fayyad.  Betul tu, mungkin sudah masanya dia mempercepatkan langkahnya.  Atau mungkin sudah masanya dia minta pertolongan mama dan papa.

“I love you Lea, and because I love you, I would prefer you hate me for telling you the truth than adore me for telling you lies. For that, I’m willing to do anything just to win you back.  Anything…”





Bab 33

Azzalea ketap bibir.  Sesekali tangannya memicit-micit dahi.  Pakaian untuk esok sudah siap disangkut di grill pintu apabila tiba-tiba bunyi mesej masuk ke telefon kedengaran.  Lama dia membaca setiap patah perkataan yang tertulis di dada skrin leper itu.  Nak kata kecil benar tulisan tu tak juga, dah besar amat skrin tu pun.  Kalau telefon cap mentibang laut bak kata Dirah tu boleh la kata kurang nampak, ni dah pakai telefon canggih manggih pun.  Skrin pun dah lebih besar dari buku tiga lima Cik Limah Kedai Runcit di kampungnya tu.  Duduknya jadi serba tak kena.  Mesej itu diulang baca sekali lagi.

            Kak, ada orang nak masuk meminang ko kak. ~ Azriel.

            Pendek je ayat-ayat tu tapi cukup menyesahkan jiwa raga Azzalea.  Apa cerita ni, tadi semasa dia dihubungi umi tak ada pula umi utarakan pasal pinang meminang ni.  Apa kes pulak ni!  Hati dah jadi tak keruan.  Jarinya yang runcing terus menekan keypad membalas sms Azriel.  Takkan Azriel nak bergurau kot.  Heh, kalau bergurau ni memang nak tempah rumah batu dua budak ni.  Tapi rasanya tak mungkin kot, sebab dia tahu Azriel lah adik paling rapat dengannya.  Apa-apa pun yang terjadi dalam keluarga mereka, Azriel la yang menjadi tukang reportnya.

            Ko biar betul dik, kang akak tuba ko dengan minyak tanah Pak Cik Husin hujung Jalan Kenanga tu.  Yang nak bertuanng minggu ni si Hanan tu. ~ Kak Ya.

            Mana ada orang main-main.  Orang tahulah Hanan yang nak bertunang tapi tadi orang dengar sendiri umi yang cakap macam tu.. dah tu umi pun ada cakap dah bagi tahu kat Pak Long Din tadi. ~ Azriel.

            Masak akak dik macam ni ~ Kak Ya

            Bukan masak dah kak, rentung dah orang tengok ko kak..hahaha ~ Azriel.

            Boleh ko gelak kat akak ye, kurang asam keping punya adik ~ Kak Ya

Okeh kak, orang nak gi Maghrib kat surau sat. Hari Jumaatlah orang jumpa akak kat rumah, orang bertolak pagi Jumaat tu dari sini ~ Azriel.

            Hah, ko jalan elok-elok dik, jangan pulak ko nak kornar rumah tok siak yang ramai anak dara tu. ~ Kak Ya

            Hek eleh.. tak ada maknanya kak oi. Orang nak jadi tokoh imam muda ni. ~ Azriel

            Apo-apolah dik oii.. ok, take gud care. Love you ~ Kak Ya

            Love you too sis ~ Azriel.

            Keluhan kecil dilepaskan.  Nak meraung ke nak menjerit?  Azzalea dah mula rasa macam nak demam kura-kura pun ada menyerangnya.  Kenapa umi tak bangkitkan hal itu semasa mereka bercakap di telefon pagi tadi.  Atau umi memang sengaja nak merahsiakan tentang tu.  Mana boleh biar macam ni.  Entah betul ke tak Azriel ni.  Tapi kan, Azriel mana pernah menipu.  Dia tu kan best bro yang Azzalea ada.  Ammar pun best juga tapi adik lelaki bongsu dia tu jenis pendiam sikit.  Tak suka sangat ambil tahu hal orang lain tapi kalau dah sekali ngam dengan kepala dia, harus empat hari lima malam tak tidur pun tak apa.

            Jam tangan Tissot dikerling sekilas.  Huh, dah nak masuk Maghrib, baik cepat-cepat ke rumah Dirah.  Kesian pula minah tu tunggu lama.  Lagi pun nanti dah azan, tak elok pulak masih merayap atas jalan.  Walau pun rumah Dirah selang beberapa pagar sahaja tapi risau juga nak berjalan ketika senja-senja ni.  Orang tua-tua kata ketika Azan Maghrib berkumandang, eloklah tidak berada di luar rumah kerana waktu itulah syaitan bertebaran di atas muka bumi Allah.  Malah ada hadis yang berbunyi, dari Jabir r.a katanya: “Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sehingga sampai hilangnya cahaya senja.”

            Pintu pagar ditutup kemas.  Dari jalan besar yang di hadapan rumahnya kelihatan jelas cahaya lampu terang di dalam rumah.  Memang sengaja Azzalea membiarkan rumahnya ditinggalkan dalam keadaan terang begitu.  Ketika sampai di hadapan pintu rumah Dirah, sudah kelihatan Iman Yasmine melambai-lambai ke arahnya.  Beg plastik yang dijinjingnya sebentar tadi dihulurkan kepada Iman Ysmine.  Bukan main tersenyum lebar anak gadis genit si Dirah itu apabila mendapati beberapa bungkus jajan (makanana ringan) yang terdapat di dalam beg itu.  Mana tidaknya, hendak ke kedai pun mamanya tak larat nak berjalan.  Nasiblah umi Lea baik hati, sentiasa ingat padanya. 

            “Umi, terima kasih,” ucap gadis kecil itu lalu menarik tubuh Azzalea agar mendekatinya.  Azzalea menundukkan wajah lalu pipi kecil mongel itu dikucup perlahan.

            “Sama-sama kasih sayang.  Nanti makan sambil tengok tv ye,” balasnya. “Jom kita masuk, tutup pintu dah maghrib ni.  Nanti syaitan ikut umi masuk rumah kalau tak tutup pintu cepat-cepat,” sambungnya lagi seraya menutup pintu rumah. 

            “Tadi umi dah baca doa kan.”  Anak kecil itu memandang Azzalea dengan wajah penuh tanda tanya.  Takut agaknya mendengar kata-kata Azzalea sebentar tadi.

            “Dah, jom ikut umi baca.  Inkullu nafsillammaa alaihaa haa fizun.”  Terkumat kamit mulut Iman Yasmine mengikut bacaan doa yang diajar Azzalea.  Bersungguh-sungguh sekali.

            “Maksud doa tu, tiada suatu jiwa pun melainkan diawasi penjaganya.  Doa tu dalam Al-Quran, surah At-Tariq, ayat 4.  Nanti bila Iman dah besar dan dah pandai baca Al-Quran, Iman akan jumpalah ayat ni.  Sekarang Iman baca Iqra’ berapa sayang?”  Soal Azzalea setelah menerangkan tentang doa yang diajarnya sebentar tadi.

            “Iman dah masuk Iqra’ dual ah umi.”

            “Wah, Iman dah pandai ye.  Nanti selalu-selalu mengaji dengan Ustazah Sofea ye.”

            “Hish, dua beranak ni kalau dah berborak tak ingat dunia.  Sudah-sudah la tu ko melayan Iman, nanti terlepas Maghrib baru tau,” celah Dirah sambil melabuhkan punggung di atas sofa.  Telekung sembahyang ditanggalkan, tanda dia baru sahaja menyudahkan ibadah solatnya.  Termengah-mengah seketika.

            “Hmmm, betullah Iman.  Umi belum solat maghrib lagi, Iman dah solat?”  Pertanyaan Azzalea dijawab dengan gelengan kepala.

            “Iman nak solat? Jom solat dengan umi..”  Sepantas kilat anak kecil itu menghulurkan tangan minta dipimpin mengikuti Azzalea.  Memang mudah hendak mengajar anak kecil ini.  Hatinya suci dan bersih.

            Usai mengerjakan solat maghrib, Azzalea, Dirah dan Iman Yasmin berkumpul di ruang tamu.  Tilam dan toto telah dibentangkan di hadapan tv bersama bantal dan selimut.  Memang sengaja tidur di situ kerana memikirkan keselamatan dan kemudahan bagi mereka.  Bukan apa, risau juga Azzalea kalau-kalau Dirah sakit di tengah malam.  Sekurang-kurangnya tak perlulah mereka turun naik tangga.  Lagi pun mudah untuk Dirah bergerak ke dapur.

            Masih terlalu awal untuk bermalas-malas, lalu Azzalea bergerak ke dapur menyediakan makan malam mereka.  Petang tadi, Ibu Zai telah singgah ke situ menghantar sedikit lauk untuk mereka.  Rajin Ibu Zai ni.  Katanya kasihan kat Dirah yang tak sihat, lagi kasihan pada Azzalea yang sangat sibuk hari itu.  Ayam masak kerutuk dan sambal udang dipanaskan dalam microwave oven.  Nasi telah ditanak lebih awal.  Si kecil Iman Yasmin pun sibuk ke dapur hendak membantu.  Tugasan ringan diberikan kepada anak kecil itu untuk menggembirakan hatinya.  Menyusun pinggan dan gelas di atas meja makan serta mengatur mangkuk lauk yang telah diletakkan Azzalea. 

            Ketika Azzalea ke ruang tamu memanggil Dirah untuk makan malam bersama, Dirah baru sahaja selesai bercakap di telefon.  Kelihatan wajah sahabatnya itu girang semacam je.  Harus berbual dengan suami tercinta tu.

            “Apa cerita, happy semacam je ni Ah So.”

            “Haha, mak telefon tadi.  Katanya minggu mak dengan abah nak datang sini.  Marah diorang tak bagi tahu Abang Wan outstation, kalau tidak awal-awal lagi mak dah datang temankan aku.”

            “Hamboi, sayang betul kat menantu perempuan seorang ni.” 

Gembira melihat wajah ceria Dirah.  Peristiwa yang berlaku di kampung ketika Dirah pulang dahulu telah pun diketahuinya.  Tak sangka mak Wan Aidil sanggup berfikir sebegitu sekali hanya semata-mata inginkan cucu lelaki sebagai pewaris mereka.  Kasihan sahabatnya itu.  Kalaulah Wan Aidil bersetuju, Azzalea tak teragak-agak menjadi orang pertama yang istiharkan perang terhadap lelaki itu.  Jangan nak senang-senang buli sahabat baiknya dunia akhirat itu.

            Semenjak kedua ibu bapa Dirah meninggal dunia, memang seluruh kasih sayang Dirah tumpah sepenuhnya kepada ibu dan bapa Wan Aidil.  Walaupun Dirah mempunyai seorang abang, namun hubungan mereka tidak berapa rapat kerana abangnya dahulu dibesarkan oleh ibu saudara mereka.  Mungkin sebab itulah, dia mudah jatuh kasih kepada keluarga Wan Aidil.

            “Dah, simpan sikit senyum tu.  Jom makan ayam masak kerutuk ni.”  Nasi disenduk ke dalam pinggan lalu seketul ayam juga turut disudu ke dalam pinggan Dirah.  Tersenyum lebar Dirah kala melabuhkan punggung apabila dilayan sebegitu rupa. 

            “Tak payah nak sengih sangat, balik Abang Wan nanti aku resign la dari jadi oldbaby sitter ko,”  perli Azzalea meledakkan tawa Dirah.  Iman juga turut tertawa seakan mengerti perbualan dua wanita dewasa itu.

            Selesai sesi mengemas ditemani dengan riuh mulut Iman bertanya itu dan ini, Azzalea menyusuri Dirah ke ruang tamu yang telah menempatkan toto dan tilam mereka.  Seronok juga sesekali begini, rasa seperti zaman mereka berdua di rumah sewa dahulu.

            “Dirah, aku ingat hari Khamis petang aku nak balik rumah umi lah.”

            “Hmm.. kenapa?  Umi tak sihat ke?”

            “Umi sihat walafiat.  Hanan nak bertunang minggu ni, nanti ko datang ye dengan Abang Wan.  Aku kena balik dulu la tolong umi lagipun memang umi suruh aku balik awal, nak cari barang katanya.”

            “Err, tapi kenapa aku tengok ko lain je.  Hanan yang nak bertunang kan?” Sebenarnya dari tadi lagi Dirah perhatikan wajah Azzalea agak keruh.  Malas hendak bertanya lebih awal jika tuan punya badan tidak buka cerita sendiri. 

            “Aah, umi cakap Fatih nak meminang Hanan tapi yang peliknya, tadi sebelum aku datang sini Azriel sms aku bagi tau ada orang nak masuk meminang aku,”  balas Azzalea berwajah sedikit kendur.  Anak rambut Iman yang berjuntai di dahi diselak lembut.  Sekejapan sahaja sudah lena diulit mimpi.

            “Ko biar betul.  Ke Riel salah dengar kot.”  Terkejut.  Pantas Dirah berubah posisi daripada berbaring kini bersila menghadap Azzalea.

            “Itulah, aku tanya balik takut dia tersilap tapi dia kata memang itu yang umi cakap.  Hanan nak bertunang tu pun betul, pasal orang nak meminang aku pun betul juga.”

            “Haish, sudah jadi kerja ni.  Ko tak telefon umi ke?”

            “Aku ingat nak telefon umi bila dah sampai sini, sudahnya terlupa pula.  Dah malam ni kot nak telefon.”

            “Iyalah, dah pukul sebelas ni mesti umi dah tidur.  Esok pagi-pagilah ko call umi tanya betul-betul.”

            “Aku risau tak hengat ni.”  Dirah tersenyum.  Tahu takut!  Itulah orang dah suruh terima sahaja Fayyad tu tak nak, jual mahal.  Sekarang kalau betul ada orang masuk meminang, dah lagi parah kalau umi dah setuju.  Takkan nak bangkang pula, nanti jadi anak derhaka.

            “Err, ko agak-agak la kan, kalau betul la ada orang masuk meminang ko, siapa orang tu ye?”  Sengaja hendak mengusik.  Seronok juga dapat buli sahabat baiknya itu sekali sekala.

            “Err..”

            “Hah, Sufian kot?” Sengaja dikuatkan suaranya.  Dirah tahu sangat Azzalea cukup alergik mendengar nama lelaki itu.

            “Choy, mulut ko Ah So.  Simpang malaikat empat puluh empat.”  Dicubitnya lengan Dirah melepaskan geram.

            “Eii, tak baik tau buli ibu mengandung.  Tapi mana tau kalau betul-betul Sufian tu, ko nak buat macam mana?”

            “Dia mana tau alamat kampung aku lah.  Dia cuma ada alamat sini aje,” balas Azzalea yakin.  “Ko tau kan aku jumpa isteri Sufian tu hari tu,” sambungnya.

            “Aah ko ada bagi tau aku tapi ko tak cerita panjang pun.”  Nak sentap pun tak boleh sebab memang dia sendiri yang menjadi punca tak dapat mendengar cerita panas lagi sensasi tu.  Asyik tak sihat dan berkurung di rumah je.

            “Aku macam tak percaya tau.  Kak Julia tu sikit punya baik, lembut sangat bila bercakap.  Muka pun cantik, muda lagi tapi tak faham kenapalah si Sufian tu sanggup buat macam ni kat isteri dia.”  Azzalea sudah mula menceceh.  Sakit benar hatinya mengenangkan sikap lelaki itu.  Sudah beristeri dan beranak tiga tapi masih lagi ingin bermain kayu tiga dan tergila-gilakan perempuan lain.  Lagi menyakitkan hati, perempuan itu adalah dirinya sedangkan dia sedikit pun tidak pernah melayan dan memberi perhatian kepada lelaki itu.  Antara dia dan Sufian hanya urusan kerja semata-mata.

            “Orang lelaki ni Lea, bukan kira isteri kat rumah tu cantik ke, muda ke, bergetah ke, kalau dah gatal tak boleh nak buat apa.  Macam-macam alasan diorang bagi.  Ada yang sanggup bawa anak dara orang kahwin kat Siam semata-mata tak dapat kebenaran isteri nak berpoligami.  Lagi aku geram, tengok kat MHI hari tu, sorang mamat tu boleh cakap, orang lelaki ni suka yang cantik-cantik.  Kalau isteri tak cantik simpan je kat rumah, carilah perempuan yang cantik kat luar.  Hangin satu badan aku, kalaulah mamat tu depan mata aku dah lama meninggal kena cepuk dengan aku.”  Perghhh!  Penuh emosi Dirah bercerita.

            “Gila mengong mamat tu.  Kalau dah tahu nak yang cantik-cantik, buat apa cari isteri yang tak cantik?  Saja la nak buat kuli batak diorang kat rumah?”  Membara sungguh kedua-dua wanita itu.

            “Hmm, susah betul.  Ada tu bila isteri minta duit sikit nak belanja untuk diri sendiri punyalah berkira.  Tapi bila nak belanja kawan-kawan tak pun nak mengayat perempuan lain boleh pula.  Sanggup pula nak berhabis ribu-ribu nak kahwin lain, sedangkan nak bagi isteri dua tiga ratus untuk maintain cantik punyalah kedekut.  Pelik kan, inilah lelaki sebelum dapat sepuluh batu pun sanggup kejar, bila dah jadi hak dia, dua jengkal pun buat tak peduli je,”  gerutu Dirah.  Berasap!

            “Si Sufian tu pun satu, geram betul aku.  Dah aku maki pun dia kadang-kadang tapi tak reti-reti nak mengalah.  Nak jugak kacau aku sedangkan Kak Julia tu aku rasa dah sebaik-baik isteri.  Mungkin aku tak kenal dia betul-betul, tapi cara dia bercakap dan gaya dia tu aku tak rasa dia berpura-pura.  Kadang-kadang orang berpura-pura ni kita boleh kenal.”  Kesal Azzalea apabila mengingatkan nasib malang Juliana. 

            “Dalam bab ni, aku rasa jalan terbaik dan terakhir untuk ko lari daripada lelaki miang dan tak reti bahasa tu perkahwinan aje Lea,” saran Dirah.  Bulat mata Azzalea seperti pentol bakso Embak Ati di hujung simpang tu apabila mendengar saranan Dirah.  Tak boleh blah betul sahabat seorang ni.  Orang dah la pening dengan macam-macam hal, ditambah pula dengan saranan yang lagi memberatkan kepala.

            “Heh, banyaklah ko.  Lagi banyak ko bagi idea, lagi sakit kepala aku.  Dah, jom tidur.  Esok aku banyak urusan nak selesaikan.”  Gelak besar Dirah mengiringi kata-kata Azzalea.  Kelakar juga melihat cemberut Azzalea apabila diusik begitu.  Hakikatnya, dia yakin hanya itulah jalan yang terbaik buat sahabatnya itu.


****************************
Salam penuh kasih sayang...
Yusnida Tajudin
 

Blog Template by YummyLolly.com