Wednesday 21 December 2016

Cik Cashier Mamat Skru - #4


Selesai meninggalkan segala pesanan, aku membawa kedua-dua anak kecil itu menaiki Kancilku menuju ke Taman Tas. Jam tiga petang. Pelanggan masih ramai berbaris di hadapan kaunter.
"Okey, abang dan adik duduk kat meja ni ye. Biar Kak Firah ambilkan makanan."
Kedua-duanya hanya menurut kataku. Ya Allah, baiknya anak-anak ni. Tentu baik sekali didikan ayah dan ibu mereka.
Dua bungkus nasi kukus ayam berempah aku hidangkan kepada dua anak kecil yang memang ketara sedang kelaparan itu. Berselera mereka menjamu selera. Sesekali aku menghulurkan air kepada si kecil. Dah macam mak orang pula aku rasa. Tapi kalau dapat anak-anak sebaik macam ni, sepuluh orang pun aku sanggup.
"Kakak... boleh tak kakak belanja kita makan kat sini hari-hari?"
Oh my! Seronoknya kau dengar suara si kecil itu. Itu tandanya dia suka dengan apa yang aku hidangkan. Yang penting dia sudah mula terbuka untuk bercakap denganku.
"Iskh adik ni..." Si abang seolah-olah menghalang adiknya.
"Tak apalah abang. Boleh aje Kak Firah belanja tapi kenapa ye sayang?"
"Kita sukalah makan kat sini. Nasi dengan ayam goreng ni sedap. Ayah masak tak sedap. Selalu ada hitam-hitam..."
"Ayahkan lelaki, mana pandai masak macam ni. Adik ni, tak bersyukur tau ayah dah masak untuk kita."
"Bukan adik tak syukur, tapi nasi ni memang sedap la abang."
Aku hanya memasang telinga sambil tersenyum mendengar perbualan dua beradik itu. Mulut si kecil masih lagi sibuk mengunyah sambil berceloteh.
"Kalau Kak Firah tanya sikit boleh?"
Mata kedua-duanya terarah kepadaku. Wah, fokus.
"Ibu tak masak?"
Diam.
Si adik memandang si abang. Kedua-duanya menggeleng kepala. Pelik. Sakit ke ibu mereka atau sibuk sangat ke sampai tak boleh masakkan untuk anak-anak. Tak berani nak buruk sangka. Husnuzon.
"Ibu dah tak ada. Ibu dah tak sayang kita kan abang..."
Jawapan si kecil bermata bundar itu merenggut jantungku. Aku terdiam. Mataku membulat memandang mereka. Biar betul. Saat itu, telefon bimbitku berbunyi nyaring. Lagu Janam Janam kuat kedengaran dan disambut dengan ketawa rakan-rakan sekerja di kaunter.
"Ya, saya Zafirah," jawabku setelah menjawab salam si pemanggil.
"Oh, anak-anak encik ada dengan saya sekarang ni. Kalau encik nak ambil mereka boleh datang ke Restoran Nasi Kukus My Mama cawangan Taman Tas ye."
Tak sempat nak beri salam pun, talian dimatikan. Huish, pelik manusia ni.
Tidak mahu sentapkan mood aku dengan sikap manusia pelik yang telefon aku tadi tu, segera mataku beralih kepada dua anak kecil itu. Aku memerhatikan tingkah mereka. Si abang sibuk mengelap mulut si adik yang comot dengan minyak dan rempah yang bersisa di tepi bibir. Sayangnya dia kat adiknya ye. Beruntunglah. Hmm.. Abang Long dulu ada tak buat kat aku macam tu, rasanya macam tak pernah sahaja.
Mataku mula menyorot ke uniform sekolah mereka.
Nurul Afini.
Muhammad Azfar.
Molek sungguh nama anak-anak ni. Sedap telinga mendengar. Manis bila disebut. Siapa la gerangan nama ayah dan ibu mereka.

"Kak Firah, boleh tak adik nak bungkus bawa balik rumah?" Si kecil bersuara. Aku tergelak apabila melihat si abang mencuit si adik sebagai isyarat jangan. Alahai, memang pandai betul jaga adik si abang ni.
"Boleh. Nanti Kak Firah bungkuskan ye. Yang ni adik makan bagi habis tau."
Manis senyuman yang dihadiahkan kepadaku.
"Eh, tak payahlah Kak Firah. Adik ni mengada-ngada je."
"Tak apalah abang. Kak Firah kan nak belanja." Kulihat wajah si abang seperti serba salah. Baru berusia sepuluh tahun tapi sudah nampak kematangan dalam perwatakannya. Aku seperti dijentik-jentik rasa ingin tahu latar belakang mereka. Ini pertama kali aku jatuh suka kepada kanak-kanak. Anak-anak buah sendiri pun takut dengan aku. Moksu garang kata mereka.
"Adik nama Nurul Afini. Abang nama Muhammad Azfar. Betulkan?"
"Eh, macam mana Kak Firah tahu nama kami?" Si abang mempamer wajah pelik.
"Laaa.. kan kat baju abang dan adik ada tag nama tu."
Sekali lagi aku tergelak melihat gelagat si abang. Dahi yang comel ditepuk dengan tangannya menunjukkan aksi macam mana dia boleh terlupa agaknya. Haishhh.. comel sungguhlah. Rasa nak peluk-peluk je budak berdua ni. Sengihan menghiasi bibir kedua-duanya.
"Kak Firah nak tanyalah ni. Ayah nama apa?"
"Muhamad Idlan. Tapi kat bengkel ayah diaorang panggil Abang Lan je."
Oooooo.. baru kutahu nama si manusia pelik tu. Muhammad Idlan ye. Hmmmm.
"Nama ibu?" Sejurus pertanyaan itu aku lontarkan, kelihatan ceria di wajah mereka beransur hilang. Si adik merenung wajah si abang.
"Nurul Aizah," balas si abang perlahan. Sayu.
Aku masih tidak faham. Mengapa agaknya ada nada sendu setiap kali perkataan ibu itu diutarakan. Perit sangatkah kenangan yang mereka bawa bersama si ibu.
Aku tinggalkan mereka berdua, tidak mahu mereka perasaan rasa sendu yang mula bertandang di wajahku. Langkah kuatur laju ke kaunter.
"Jeff, tolong bungkuskan tiga set. Sekejap lagi aku ambik." Jeff mengangguk faham permintaan aku.
"Air apa nak?"
"Hmm.. budak-budak tak elok bagi minum air karbonat sangat. Kau bungkuskan air sirap ajelah."
"Ni tiga bungkus, satu lagi untuk siapa?"
"Extra. Mana tau kot-kot tak cukup. Kalau tak, kira aku belanja ayah diaorang sekali la."
"Wah, baik kau ye. Bukan senang nak tengok kau macam ni. Dengan kitaorang pun kau tak pernah belanja," usik Jeff. Mengada betul mamat ni. Aku ketuk kepala tu karang baru tau.
"Hek eleh, buat apa aku nak belanja kau. Bukan hari-hari bos dah belanja kauorang nasi kukus ni ke?"
"Ceh.. kedekut!!!" Nyaring suara aku tertawa. Alah, bukan semua tak kenal aku. Memang kedekut pun. Tapi kadang-kadang aku belanja juga rakan-rakan sekerja aku ni kalau emak aku buat kuih koci. Selalunya memang aku minta emak buat banyaklah. Kuih koci emak memang tak ada tandingan kat kawasan ni.
Sambil aku enak-enak membebel dan bersandar di kaunter, terlihat kelibat seorang lelaki yang tergesa-gesa ke arah si abang dan si adik. Eh, ni ayah diaorang ke. Segera aku menyusul mendapatkan kedua anak itu.
"Anak ..."
"Siapa yang benarkan awak bawa anak-anak saya ke sini?"
Hamboi. Garang sungguh suara lelaki yang berdiri di hadapanku ini. Garang. Sombong. Tak ada perasaan. Lengkap. Pakej molek untuk aku humbankan dalam senarai bukan calon suami impian. Nak tunjuk garang ya. Tak apa. Kau tak kenal lagi aku siapa.
"Encik memang tak bagi saya keizinan tapi saya ni perihatin. Tak sampai hati saya lihat anak-anak encik ni tunggu ayah diaorang berjam-jam dalam keadaan letih dan kelaparan. Ayah jenis apa encik ni biarkan anak-anak tertunggu-tunggu macam tu?" Hambik! Nak sangat cari gaduh dengan aku kan.
"Awak..."
"Dah, tak payah nak komplen banyak-banyak. Terima kasih sahaja pun saya terima," tingkahku tanpa membenarkan mulut busuk lelaki itu bersuara. Busuk? Tak adalah bau busuk pun. Tapi orang tua kata, kalau hati busuk, mulut pun busuk juga. Err.. iya ke?
Lelaki itu terpaku. Terkejut agaknya dengan aksi dan jawapan aku. Apa dia ingat orang lelaki je yang boleh garang-garang, berlagak macho macam dia tu. Aku pun sepuluh kali lebih hebatlah. Malas nak tunjuk lebih-lebih. Malas nak layan mamat poyo yang masih mempamer muka tak puas hati itu, aku segera beralih ke arah si abang dan si adik yang hanya terdiam melihat aksi kami. Kasihan anak-anak ini. Mereka tak mengerti apa-apa.
"Ok, abang dan adik dah kenyang?"
Angguk. Masih lagi membisu. Si adik segera bangun dan memelukku lalu satu kucupan sayang aku hadiahkan di pipi mulus itu. Dia membisikkan ucapan terima kasih kepadaku. Sayunya hati.  
Si abang juga turut menyusul. Menyalami aku lalu memelukku seperti adiknya tadi. Hati yang geram terhadap ayah mereka sedikit reda dengan perlakuan kedua-dua anak kecil itu. Si ayah hanya memerhati tanpa riak. Sombong.
Tangan si abang dan si adik terus ditarik dan dipimpin keluar daripada restoran.
"Awak!!" Aku menjerit memanggil mereka setelah aku menyedari sesuatu masih belum selesai. Mamat poyo itu berhenti seraya berpaling dengan wajah tidak puas hati.
"Apa lagi?" Kasar. Ucapan terima kasih pun masih berhutang.
"Nah, untuk abang dan adik. Sama-sama ya." Aku mengunjukkan bungkusan nasi yang aku minta Jeff sediakan tadi. Berkerut dahi lelaki itu ketika menyambut pemberianku.
"Nanti abang dan adik ajak ayah makan sekali petang nanti ye. Okey, kita jumpa lagi ya."
Tanpa memperdulikan pandangan mamat poyo ayah si abang dan si adik, aku berlalu pergi. Buang karan aje layan orang macam tu, kata orang kampong aku lah.
*************************************
Salam sayang
Kak Yus.

No comments:

Post a Comment

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com