Tuesday, 21 February 2012

Setelah 20 Tahun Berlalu ... Dir dalam ingatan seorang aku ..

Salam n selamat pagi sayang2 Kak Yus.


Maaf ye, hari ni tak de n3 baru untuk Emeer & Ayesha.  Masih lagi dalam proses menaip dan menggarap.. memasukkan watak2 baru.. hah..suspen tu..


Ok, hari ni Kak Yus nak flashback kenangan lama sikit.  Sempena kedatangan 22 Feb 2012, setelah 20 tahun Arwah Sudirman Hj Arshad meninggalkan kita .. seminggu lepas tu mak saudara Kak Yus lak mengikut jejak langkah arwah kerana cancer.


Pada tahun tu, Kak Yus baru berusia 18 tahun, sedang menunggu result SPM.  Kak Yus sangat2 mengagumi arwah Dir, walau pun kegagalan rumahtangga dan percintaannya mencengkam jiwa, arwah mampu bangkit dengan lagu2 yg mampu mengusik jiwa.  Setiap lirik lagu mengandungi maksud yang tersendiri.  Kala ini, Kak Yus bagaikan ternampak-nampak diri Kak Yus 29thn lepas, dalam uniform biru paras betis, bertali leher merah, bertocang dua diikat riben, berkasut bata tapak hijau.. menggalas beg kain hijau (waktu tu glamer tau beg tu.. skrg dah tak de agaknya).. berjalan pulang drp SK Sultan Hishamudin (sebelah Bank Negara .. berhadapan Bukit Aman) .. ke pejabat mak Kak Yus di yang terletak di Bg. Kraftangan Msia, Jln Tun Perak.. dekat Majlis Peguam tu.. .. dlm perjalanan tu, Kak Yus terjumpa arwah Dir. 


Masih segar di ingatan wajah arwah, senyuman dan ramah beliau.  Masih terasa kepala Kak Yus diusapnya lembut.  Masih teringat pesanan arwah, belajar pandai-pandai, gembirakan hati ibu dan ayah.  


Masa arwah wat show pertama kalinya di Chow Kit, Kak Yus pun pergi.  Sanggup abah dan mak menggendong Kak Yus dan adik dalam lautan manusia tu.  Sayangnya, wajah arwah nampak kecil sangat.  Buku autograf yang Kak Yus beli khas untuk arwah tak dapat pun ditanda tangan.  


Bila mendengar berita yang menyayat hati tentang pemergiaan arwah, hati jadi sangat sedih.  Walau pun bukan saudara mara sendiri, tapi kata-kata dan usapan beliau sangat bererti buat Kak Yus.


Lagu ni.. feveret Kak Yus.. dan Kak Yus pun tahu arwah suka lagu ni .. untuk sayang2 Kak Yus semua, al-fatihah untuk Arwah Sudirman Haji Arshad .. rindu pada lunak suaramu, moga bersemadi dengan aman di sana ...


Sayang
Kubawa jauh rinduku
Kerna akau telah tahu
Kau bukan milikku

Sayang
Sesunguhnya bukan mudah
Menjalani hidup ini
Tanpa kau di sisi

Jauh disudut hati
Aku masih bermimpi
Mimpi yang indah
Esok kau kembali

Jauh di sudut hati
Ada waktu-waktunya
Aku berdoa
Kau pulang semula

Sayang
Biar ku mengingatimu
Biar kugantung harapan
Hingga sampai waktu
Nafas terakhirku



~ Kak Yus ~

Saturday, 18 February 2012

Bab 29 .. Biar Cinta Bertaburan





        Kepalaku terasa dielus lembut berulang-ulang kali.  Perlahan-lahan mata kubuka.  Aku tersenyum melihat wajah yang kunanti-nantikan berdiri di hadapanku.  Wajah yang penuh dengan kasih.  Wajah yang penuh dengan cinta.  Tersenyum memandangku.

          “Abang, abang ok ke?” ujarku lembut lalu jari-jemari yang mengusap rerambutku kuraih.  Kudekatkan telapak tangan itu ke bibir lalu kukucup penuh rasa rindu.

          Dia mengangguk dan senyuman masih lagi terpamer di wajahnya.  Terpancar riak kelesuan di wajahnya.

          “Abang, kita di mana ni?”

          “Kita di hospital sayang, tadi sayang pengsan.” Balasnya lembut. 

          “Eh, macam mana abang boleh ada di sini?  Bukan tadi abang terluka?  Luka abang macam mana?” soalku bertalu-talu setelah teringat tentang peristiwa yang berlaku.

          Emeer sekali lagi tersenyum.  Senyuman yang cukup menawan, mampu menggegarkan hati yang melihatnya.  Jika sepuluh kali aku terpaksa terlantar di sini hanya kerana untuk melihat senyuman itu pun aku sanggup. 

          “Sayang, abang kena pergi ni.  Sayang jaga diri baik-baik ye.  Sayang kena sentiasa menjadi sayang abang yang kuat.  Menjadi sayang abang yang selalu ingatkan abang, selalu buatkan hati dan jiwa abang bahagia.  Sayang berjanji pada abang, sayang akan bangun semula, teruskan hidup sayang,” tuturnya syahdu. 

          Aku terpana dengan tutur lembut yang bernada syahdu itu.  Wajahnya kurenung.  Tiada lagi senyuman bergaris di wajah itu, yang ada hanya secarik sendu yang kian bertahta.  Mataku mula berkaca.

          “Kenapa abang cakap macam ni.  Abang nak pergi mana?  Abang nak tinggalkan Sofi ke?” soalku bertalu-talu.  Kejap jarinya kugenggam.  Tak akan aku lepaskan dia pergi dengan begitu mudah setelah hatiku dicurinya.  Hati dan jiwa yang telah aku serahkan, tak mungkin akan kubiarkan terobek di sini.

          “Sayang, abang harus pergi.  Bukan kehendak abang untuk tinggalkan sayang.  Tapi siapa abang untuk menolak kehendak yang telah tersurat.  Walau pun kita tak ditakdirkan bersama di sini, abang tunggu sayang di sana nanti.  Abang akan sentiasa bersama sayang di sini,” tanganku yang masih digenggamannya diraih lalu diletakkan di dadanya.

          “Di sini, di hati abang ini hanya ada nama sayang.  Tiada suatu ruang pun di sudut hati ini tidak tertulis nama sayang.  Semuanya milik sayang.  Abang ingin berikan segalanya untuk sayang tapi abang tak mampu,” kata-katanya tersekat-sekat.

          Aku sudah mula beriak resah.  Apa yang dituturkan oleh kekasih hatiku ini?  Apa yang bermain di fikirannya saat ini?  Ke mana hendak dia pergi?  Kenapa perlu ada kegelisahan dan kesyahduan ini saat aku terjaga ini?

          “Apa yang abang cakap ni, Sofi tak faham abang,”

          “Abang nak sayang bersabar.  Apa pun yang terpaksa sayang hadapi, terima dengan tenang.  Abang nak sayang tahu, abang sentiasa cintakan sayang.  Abang mahu lihat sayang bahagia.  Bukan kehendak abang segalanya terjadi begini.  Bukan kehendak abang,” balasnya lalu tanganku dilepaskan.

          “Kenapa abang nak tinggalkan Sofi?  Abang tak sayang Sofi lagi?  Abang tak ingat janji abang pada Sofi?  Abang janji abang tak akan sesekali tinggalkan Sofi.  Sofi nak abang.  Sofi nak abang,” rengekku.  Airmata sudah menghambur laju.  Terasa hati ini bagai dicucuk-cucuk dengan sembilu.

          “Abang cinta sayang, sepenuh hati.  Sayang ingat tu selalu,”

          Emeer melangkah menjauhi aku.  Tanganku tergapai-gapai  ingin mencapai lengannya namun hampa.  Semakin dia menjauh dariku.  Tangisan senduku semakin menjadi-jadi.

          “Abang, jangan tinggalkan Sofi.  Jangan tinggalkan Sofi.  Sofi nak abang,” laungku berulang-ulang kali.  Namun dia terus pergi, melangkah jauh meninggalkan aku yang tak terdaya.  Jiwaku rasa melayang, hatiku terasa sakit.  Tekakku sudah terasa kesat, sakit dan perit dengan jeritan.

          Aku meronta-ronta ingin bangun dan mengejar Emeer.  Aku ingin memaut kakinya agar tidak terus melangkah meninggalkan aku.  Namun, badan ini terasa berat.  Tidak mampu terangkat dengan kudratku. 

          “Abang, Sofi nak abang,” laungku dalam sendu.  Semakin lemah. 


***************


Terasa badanku digoncang lembut.  Bahuku ditepuk-tepuk perlahan.  Mataku masih memberat namun aku gagahkan jua membukanya.  Putih.  Aku mengalih pandang ke arah sesusuk tubuh yang berada di sebelahku.  Wajahnya berkerut seolah kehairanan.

“Ya Allah, ko ni Pina, sedar je dari pengsan terus terjerit-jerit ni kenapa?” ujarnya lembut menyapaku.

“Pipah, aku kat mana ni?  Emeer mana Pipah.  Aku nak Emeer” ratapku.  Bukankah sebentar tadi aku melihat Emeer melangkah pergi meninggalkan aku.  Air mata mula deras berarus turun dari kolam rasa.  Aku teresak-esak di dalam pelukan Hafifah.

“Hish, cuba ko bawa bersabar Pina.  Semua ni takdir Tuhan.  Janganlah ko berteriak macam ni,” pujuk Hafifah.  Pelukannya kejap. 

“Pipah, apa yang dah berlaku ni.  Mana Emeer Pipah?” soalku bertalu-talu.

Pelukan direnggangkan.  Hafifah memandang wajahku dengan wajah yang sayu.  Namun ada kerut kehairanan terpamer di wajah itu sekali lagi.  Perlahan, keluhan dilepaskan.  Jangan kau kata Emeer sudah meninggalkan aku Pina, getus hatiku. 

“Ko ni kena amnesia ke Pina?  Ko dah tak ingat apa yang berlaku tadi?”

Kata-kata Hafifah memukul ruang ingatanku.  Aku cuba menyusun satu persatu peristiwa yang telah terjadi.  Kehadiran Rashdan yang mengamuk di luar rumah, pisau di leherku, kedatangan Emeer dan pergelutan, Emeer yang berada di sisiku sebentar tadi.  Seketika aku menjadi bingung. 

“Pipah, aku jumpa Emeer tadi.  Dia datang sini bercakap dengan aku,”

“Hish ko ni Pina, dalam pengsan pun sempat lagi nak bermimpi bagai,” usiknya. 

Kepalanya yang berada hampir denganku, kuluku perlahan.  Ada hati nak bergurau dengan aku pula minah ni.  Sudahlah aku bergelut dengan jiwa yang meracau-racau ni.  Hafifah mengangkat wajahnya merenungku.  Ada genangan air mata bertamu di tubir matanya.  Aku kaget.  Apa yang terjadi selama aku pengsan ini.  Kenapa Hafifah tidak mahu percaya Emeer datang berjumpa denganku sebentar tadi. 

Kenapa Hafifah tidak mahu menjawab persoalanku.  Di mana Emeer Zafranku?  Aku mahukan Emeer.  Abang, Sofi mahukan abang.  Abang di mana?

“Pipah, baik kau bagi tahu aku apa yang sebenarnya terjadi selepas aku pass out tadi.  Ko jangan selindung apa-apa pun daripada aku Pipah,”  nada suaraku semakin tegang.  Aku tahu Hafifah berada dalam keadaan tertekan. 

Aku cuba untuk bangun namun segera tangan Hafifah menolak lembut bahuku agar terus berbaring. 

“Ok, aku akan ceritakan semuanya kat ko Pina, tapi aku nak ko tenang aje bila ko dengar setiap cerita aku ni.  Ko dah betul-betul bersedia Pina?” soalnya.  Hatiku semakin terpukul dengan pertanyaan Hafifah namun aku sedaya upaya cuba mengawal emosi.  Aku harus bersedia menerima segala kemungkinan.

“Masa ko pengsan tadi, ko dan En. Emeer telah dihantar di hospital ni dengan ambulans.  Aku pun tak tahu siapa yang panggil ambulans.  Polis pun ada sama tadi.  Sekarang ni, En. Emeer sedang bertarung dengan maut di ICU.  Dia kehilangan banyak darah.  Doktor kata, kita kena tunggu sehingga waktu kritikalnya tamat.  Jika segalanya berjalan lancar, insyaAllah, panjanglah jodoh ko, Pina,” terang Hafifah sambil mengelus-elus tanganku. 

“Pipah, ko bawa aku kat Emeer sekarang Pipah.  Aku nak jumpa Emeer.  Aku nak jengok dia.  Ya Allah, ini semua kerana aku Pipah.  Kalau aku tak layan si Rashdan gila tu, dah tentu semua ni tak terjadi.  Pipah, kau bawa aku,”.  Tangan Hafifah aku goncang kuat.  Aku menggagahkan diri untuk bangun namun kepalaku terasa berpusing-pusing.

“Hish ko ni Pina, kan aku dah cakap tadi.  Bawa bertenang.  Ko tu pun teruk juga cedera di leher tu.  Tertusuk mata pisau, nasib baik tak hilang banyak darah.  Doktor dah bagi kau antibiotik, tu yang kau rasa dizzy semacam tu,” getus Hafifah.

“Aku tak kira Pipah, aku nak jumpa Emeer.  Ko tolong aku Pipah,” 

“Ok, ko tunggu sini.  Aku cuba cari kerusi roda untuk ko kejap.  Aku takut ko jatuh pengsan lagi nanti.  Tunggu tau,”

Aku menyoroti langkah laju Hafifah yang keluar ke kaunter jururawat untuk meminjam kerusi roda buatku.  Aku merintih sendiri mengenangkan nasib Emeer yang entah bagaimana.  Ya Allah, Kau selamatkanlah dia.  Kau selamatkanlah insan kesayanganku itu.

Hafifah yang terkocoh-kocoh menyorong kerusi roda kusambut dengan rasa gembira.  Akhirnya, aku dapat juga bertemu dengan Emeer.  Aku akan rasa bersalah seumur hidupku jika sesuatu terjadi padanya.  

Abang, Sofi sayang abang.  Jangan tinggalkan Sofi!!!




~ mungkin aku terlalu menyayangimu..
semua yang ada padamu
kerana kamu membuatku bererti
hinggku tak dapat menjauh

dalam setiap langkahku
kuingin kau di sini
hingga akhir usiaku kau tetap
menjadi yang terbaik untuk diriku ~


********************


N3 khas untuk sayang2 Kak Yus.. moga semua terhibur.  Maaf ye utk segala kekurangan.. sudi2lah drop komen.. TQ muah2..



_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

Friday, 17 February 2012

Bila Pena Kak Yus Melakar Kata ..

Salam untuk sayang2 Kak Yus.. 

Kali ni K. Yus masukkan dulu Teaser utk bab 29 Biar Cinta Bertaburan ye.. masih dlm progress.. mungkin selepas ini n3 seterusnya akan lambat sedikit kerana Kak Yus sedang sibuk menyiapkan manuscript untuk Emeer & Ayesha.

Kak Yus juga nak minta maaf sangat2 cos sayang2 Kak Yus selepas ini terpaksa menanti lama untuk mengetahui kesudahan kisah percintaan Emeer & Ayesha ni.  Beberapa hari sudah, Biar Cinta Bertaburan kita ini telah dilamar untuk dinilai oleh sebuah penerbitan.  

Kalau manuscript Kak Yus berjaya, mungkin akan diteruskan dalam versi cetak.  Mulanya Kak Yus berfikir untuk tidak menerima lamaran tersebut, kerana sayang2 Kak Yus yang ada di blog ni...tetapi bila difikirkan semula, tak ramai sahabat-sahabat Kak Yus yg dapat meluangkan masa melayan enovel ini secara on9.  Apa salahnya Kak Yus berkongsi sedikit kebahagiaan ini bersama mereka yang di luar sana secara menerbitkannya dlm versi cetak, kan?  

Kak Yus rasa, sayang2 Kak Yus amat memahaminya.  Untuk itu, buat masa ini n3 BCB akan dihentikan seketika, namun jgn risau.. K. Yus akan sentiasa updatekan teaser dan full n3 utk 2 bab lagi buat semua sayang2 kak Yus ni.

Harap sayang2 Kak Yus dapat bersabar ye.. sudi2lah terus memberi Kak Yus support dan doa agar manuscript BCB kita dinilai dengan baik.  

Kak Yus sayang anda semua...

~ Kak Yus ~

TEASER Bab 29 .. Biar Cinta Bertaburan




          Kepalaku terasa dielus lembut berulang-ulang kali.  Perlahan-lahan mata kubuka.  Aku tersenyum melihat wajah yang kunanti-nantikan berdiri di hadapanku.  Wajah yang penuh dengan kasih.  Wajah yang penuh dengan cinta.  Tersenyum memandangku.

          “Abang, abang ok ke?” ujarku lembut lalu jari-jemari yang mengusap rerambutku kuraih.  Kudekatkan telapak tangan itu ke bibir lalu kukucup penuh rasa rindu.

          Dia mengangguk dan senyuman masih lagi terpamer di wajahnya.  Terpancar riak kelesuan di wajahnya.

          “Abang, kita di mana ni?”

          “Kita di hospital sayang, tadi sayang pengsan.” Balasnya lembut. 

          “Eh, macam mana abang boleh ada di sini?  Bukan tadi abang terluka?  Luka abang macam mana?” soalku bertalu-talu setelah teringat tentang peristiwa yang berlaku.

          Emeer sekali lagi tersenyum.  Senyuman yang cukup menawan, mampu menggegarkan hati yang melihatnya.  Jika sepuluh kali aku terpaksa terlantar di sini hanya kerana untuk melihat senyuman itu pun aku sanggup. 

          “Sayang, abang kena pergi ni.  Sayang jaga diri baik-baik ye.  Sayang kena sentiasa menjadi sayang abang yang kuat.  Menjadi sayang abang yang selalu ingatkan abang, selalu buatkan hati dan jiwa abang bahagia.  Sayang berjanji pada abang, sayang akan bangun semula, teruskan hidup sayang,” tuturnya syahdu. 


****************


Sayang2 Kak Yus,

Nantikan full n3 dalam masa-masa terdekat ni nanti ye.
Lots of luv from Emeer & Ayesha


~ Kak Yus ~

Tuesday, 14 February 2012

Bab 28 .. Biar Cinta Bertaburan




          Suasana riuh rendah diluar rumah mengganggu konsentrasi aku melayan novel Andai Itu Takdirnya nukilan Siti Rosmizah yang baru dibeli.  Apa-apa sajalah pagi-pagi ni.  Dahlah bukan selalu aku mendapat peluang semenjak bertunang duduk di rumah bersenang-lenang macam ni.  Biasalah kan, kalau setiap hujung minggu tu, aku akan berada di rumah mama membantu mama menyiapkan persediaan majlis kami.  Minggu ini, mama dan papa tiada di rumah.  Pulang ke kampung halaman menjemput sanak-saudara untuk majlis kami nanti.  Emeer pula sudah awal-awal kuberi amaran untuk tidak menggangguku hari ini.  Tapi kalau dah nama Emeer tu, tetap Emeer juga.  Subuh-subuh lagi dah called aku.  Kejutkan subuh katanya.  Eleh, macamlah aku tak tau, tak senang duduklah tu kalau tak dengar suara aku.  Alahai, perasaannya kau Ayesha oi.  Penyudahnya, malam nanti kena juga aku temankan dia makan malam.  Agak-agaknya kalau sebulan tak bertemu, macam manalah ya.  

          Eh..eh.. chop!  Emeer je ke, bukan En. Emeer?  Rasanya dah patut kot sekarang ni aku gugurkan gelaran Encik di hadapan nama lelaki tu.  Selepas ni nak kena adjust mulut dengan panggilan ‘abang’ lah pula.  Aku tersenyum sendirian melayan persoalan hati yang tak berapa nak betul tu.  Gatal juga kau ni ye, Ayesha.  Senyuman meleretku mati tiba-tiba apabila seakan terdengar namaku dilaungkan dalam riuh di luar. 

          Langsir yang tertutup litup kukuak sedikit.  Seakan tidak percaya pada pandangan mataku sendiri.  Kasihan mata yang tak berdosa, kugosok berkali-kali.  Betulkah apa yang kulihat di luar itu?  Aku menarik tudung yang tergantung di birai katil lalu bergegas turun.

          “Apa hal kat luar riuh rendah tu?” sapa Hafifah yang tersembul di sebalik pintu bilik dengan mata yang separuh terbuka.  Hish, membuta lagi minah ni.  Manalah badan tu tak naik, kalau tidur tak hengat.

          “Ko nih Pipah, menternak badan lagi ek??  Tu ada orang gila dok melaung-laung kat luar tu. Buat pasal betullah lelaki ni,” balasku.  Tiba-tiba aku teringat yang aku tertinggal telefon bimbitku di dalam bilik.  Segera langkah kupusing kembali ke arah bilik.  Apa-apa hal pun, aku perlu menghubungi Emeer dahulu.

          Ah, mesej sajalah senang.  Kalau berbicara nanti panjang lebar pula.  Dahlah kat luar tu terjerit-jerit bagai. 

          Assalamualaikum.  Awak, boleh datang sini tak?  Rashdan ada kat luar rumah saya, tengah terjerit-jerit macam orang gila. ~ Ayesha.

Butang send kutekan lalu telefon kucampakkan ke atas katil.  Aku melangkah laju turun ke bawah.  Kalau tak ditenangkan mamat mental kat luar tu, sudah pasti penduduk satu taman ni akan berkampung di luar rumahku pula.  Haishh.. buat malu betullah.  Dah habis kerja agaknya.

Ketika aku keluar, Hafifah juga sudah siap bertudung dan menantiku di luar bilik.  Kami sama-sama melangkah menuruni tangga dengan hati yang sebal.  Sakit hati jangan kiralah.  Jawabnya tak habislah melayan novel Siti Rosmizah tu.  Baru je nak layan perasaan.  Khabarnya novel tu antara best seller.  Ramai rakan-rakan kaki novel di facebook yang menyarankan aku membelinya.

Pintu yang tertutup rapat kubuka seluas-luasnya.  Lelaki yang terjerit-jerit di luar pintu pagar itu masih tidak berhenti.  Malah pintu pagarku pula digoncang-goncang dan diketuk-ketuknya kuat.

“Ash, apa awak buat ni?” laungku dengan nada yang agak tinggi.

“Ko dah gila ke Ash, terpekik-pekik kat sini” sampuk Hafifah sambil mencekak pinggang dengan gaya mak tirinya.  Matanya sudah dijegilkan. 

Namun jeritan Hafifah dan launganku masih tidak dapat meredakan keadaan Rashdan.  Dia semakin menggila terjerit-jerit dan menggoncang pintu pagarku.

Dua tiga orang jiran-jiran bersebelahan rumahku sudah mula keluar.  Abang Nordin yang masih berpelikat juga muncul di balik pagar.  Berkerut-kerut dahinya.

“Kenapa tu Ayesha?” soal abang Nordin. 

“Entahlah bang..,” balasku sambil menjungkit bahu.

“Hello bro, kalau ye pun janganlah terjerit-jerit macam ni kat depan rumah orang.  Boleh bawa berbincang kan,” tegur abang Nordin.  Rashdan yang masih menggila mula membentak.  Matanya mencerlung memandang ke arah abang Nordin.

“Kau jangan masuk campur.  Ini urusan aku dengan perempuan ni,” laungnya.  Bergegar jantungku mendengar jawapan daripada mulut Rashdan.

“Hish, susah betul.  Ayesha pujuk lah dia tu.  Cakap baik-baik.  Orang telah menggila ni bukan boleh kita bentak-bentak, nanti makin menjadi la pula.  Kena cakap elok-elok.  Abang dengan kakak ada je kat dalam ni kalau perlukan apa-apa ye,” nasihat abang Nordin sebelum berlalu masuk.  Aku mengangguk perlahan.

“Ash, Sya buka pintu pagar, kita bincang elok-elok ye,” rayuku.  Perasaan malu terhadap jiran-jiran sudah semakin menebal.  Masing-masing sudah mula berbisik sesama sendiri. 

Seketika, Rashdan sudah mulai dapat menguasai perasaannya.  Dia diam lalu mengangguk.

“Pina, ko biar betul.  Ko tak takut ke kalau dia apa-apakan ko nanti,” bisik Hafifah di sebelahku.

“Hish, aku tak rasa dia akan apa-apakan aku Pipah.  Dia kawan kita, tak kan dia sanggup buat benda tak baik pada aku,”

“Ok, kalau ko kata camtu.  Aku ada je kat sini,” Hafifah mengunjukkan kunci pagar. 

Pantas kau mencapai kunci daripada tangan Hafifah lalu bergerak menuju ke arah pintu pagar.  Di dalam hati aku berdoa agar tiada musibah yang bakal berlaku.  Manalah Emeer ni tak sampai-sampai lagi, getus hatiku.

Aku membuka kunci pintu pagar lalu mengajak Rashdan menuju ke arah kerusi taman yang berada di laman rumah.  Hafifah yang tadinya berdiri sudah beredar ke pintu rumah, melabuhkan diri di atas bangku yang berada di situ.  Nasib baiklah kedua-dua buah kereta kami diparkir di luar pagar.  Halaman yang terbuka dan luas memberi ruang kepada kami.  Jika apa-apa terjadi masih dapat dilihat oleh orang sekeliling.

Aku selalu ingat pesan abah.  Sentiasa bersangka baik dengan sesiapa pun.  Maka, pagi ini, aku juga bersangka baik terhadap Rashdan.  Aku tahu, dia jadi begini pun kerana aku.

“Kenapa Ash buat macam ni, Ash?” ujarku lembut.  Niatku hendak memujuk.  Wajah yang ketat dan tegang itu kurenung. 

“Kenapa Sya tolak Ash berkali-kali Sya?  Ash betul-betul sayang kat Sya.  Ash nak Sya.  Apa kurangnya Ash?” soalanku berbalas soalan.  

Aku terpaku mendengarnya.  Jawapan apa lagi yang harus aku berikan agar lelaki di hadapanku ini mengerti.  Aku mengerling ke arah Hafifah dengan harapan dia dapat membantuku menjawab persoalan lelaki itu.  Perlahan satu keluhan keluar daripada mulutku.

“Ash.. jodoh pertemuan tu bukan kerja kita.  Dah tertulis di mahfuz siapa pasangan hidup kita Ash.  Ayesha sayang Ash..”

“Kalau sayang, kenapa Sya tolak Ash?” sampuknya mematikan kata-kataku.  Hish, susah betul mamat ni lah.  Hilang dia yang gila meroyan, nanti aku pulak yang masuk hospital mental.

“Sya sayang Ash sebagai sahabat.  Kita kan kawan daripada kecil Ash.  Sya letakkan Ash di tempat yang tinggi dalam hati Sya, tempat yang sepatutnya bagi seorang sahabat baik,” pujukku lagi.  Sabarlah hati, getusku lagi.

“Tapi aku tak nak tempat tu.  Aku nak kau, Ayesha.  Aku nak kau hidup dengan aku.  Aku nak kau ada depan mata aku setiap hari.  Aku tak sanggup tengok kau hidup dengan orang lain,” Ash sudah mula melenting.  

Tiba-tiba aku kau sudah kedengaran.  Ini bukan lagi Rashdan yang aku kenal.  Lelaki yang lembut percakapannya, lelaki yang sentiasa mengambil berat perasaan aku.  Lelaki yang ada di hadapan aku ini hatinya sarat dengan amarah.  Dendam.  Tolong aku Emeer.  Aku semakin takut untuk berhadapan dengan Rashdan.

          Aku liar memerhatikan sekeliling.  Hati menjadi sedikit tenang melihat abang Nordin dan Kak Kamariah yang turut berada di luar rumah.  Konon-kononnya sedang menyidai baju dan mengelap kereta.  Abang Nordin mengangguk-angguk kepadaku menghantar isyarat yang dia sentiasa akan berada di situ memerhatikan kami.  Hafifah juga masih terlekat di atas bangku. 

          “Ash, kalau betul Ash sayangkan Sya, Ash lepaskanlah Sya.  Ash terimalah hakikat yang kita tak boleh bersama.  Bukan jodoh kita di dunia ni,” pujukku lagi.  

      Aku seboleh-bolehnya ingin mendinginkan hangat hati sahabatku ini.  Walau telah banyak kesakitan yang dibawanya di dalam hidupku, aku tetap menganggap dia sahabat.  Dia menggeleng-geleng kepala.  Mukanya diraup kasar.  Ada garisan-garisan kecewa terserlah di wajah itu.

          Aku sendiri pun tidak mengerti mengapa aku harus mengecewakan dua hati sepanjang hidupku ini.  Aku memang tidak boleh menitip rasa cinta untuk Rashdan mahu pun abang Hairul.  Kedua-duanya pernah meminta ruang kecil di hatiku ini dan kedua-duanya aku tolak.  Aku sayang mereka.  Aku sayang sebagai seorang sahabat dan seorang adik.  Abang Hairul dapat menerimanya dengan baik namun tidak bagi lelaki yang sudah mula menggelisah di hadapanku ini.  Tuhan, Kau bantulah aku untuk menangani lelaki ini.  Berilah aku kekuatan untuk membuatkan dia faham tentang hubungan kami.

          Bunyi enjin kereta dimatikan mengalihkan perhatianku daripada Rashdan.  Kelihatan Emeer tergesa-gesa keluar daripada pintu keretanya.  Kereta pun diparkir sewenang-wenangnya di tengah jalan berhadapan rumahku.  Risau kelihatan jelas di wajahnya.  Melihatkan kehadiran Emeer, Rashdan yang duduk terus bangun dan menuju ke arahku.  Terasa bahuku dipaut daripada belakang.  Leherku terasa perit seperti dicucuk benda tajam.

          Emeer terhenti di situ.  Hafifah sudah mula menjerit.  Abang Nordin dan Kak Kamariah sudah mula menghampiri laman rumahku.  Masing-masing kelihatan kaget.  Terasa seperti ada cecair meleleh di leherku.  Sakit.

          “Rashdan.. jangan apa-apakan Ayesha.  Kalau kau nak, kau boleh bunuh aku.  Tapi jangan cederakan dia,” pujuk Emeer.  Air mataku mengalir deras menahan sakit. 

          “Ini semua kau punya pasal.  Kenapa kau rampas Ayesha daripada aku hah?” laungnya. 

          “Ash..sakit,”rengekku agar dia sedar yang dia sedang menyakitiku.

          Ketika itu aku hanya berdoa pada Allah agar aku tidak dipengapa-apakan. 

          “Rashdan, kau lepaskan Ayesha.  Kalau kau lepaskan Ayesha, aku janji aku akan tolong kau,” terdengar suara Emeer memujuk lagi.  

        Emeer semakin mendekat.  Aku tahu, Emeer dan abang Nordin sedang mencari peluang untuk melepaskanku.  Jiran-jiran semakin ramai mengerumuni rumahku.  Kelihatan dua tiga orang jiran lelaki juga merapati pagar. 

          “Jangan harap kau nak dapat dia.  Kalau aku tak dapat dia, kau pun tak dapat,” laungnya lalu ketawa mengilai.  Rashdan sudah hilang kewarasannya.   Badanku mula menggigil.  

          Keadaan yang tegang semakin tegang.  Rashdan mengetatkan pautan tangannya di bahuku.  Pisau yang diacukan dileher di hala kan pula ke hadapan.  Mengacu ke arah Emeer yang semakin mara.  Melihatkan perlakuan Rashdan itu, Emeer pantas menerpa ke arah kami.  Aku ditolaknya ke tepi lalu jatuh di atas rumput.  Emeer dan Rashdan saling bergelut.  Hafifah berlari meluru ke arahku lalu memelukku erat.  Darah di leher mengalir perlahan. 

          Aku menjerit meminta tolong melihatkan pergelutan kedua-dua lelaki yang aku sayangi.  Abang Nordin dan dua tiga orang yang lain maju ingin membantu.  Seketika, pandanganku terpana apabila melihat pisau di tangan Rashdan tertusuk ke perut Emeer.

          Sekali.  Dua kali. Emeer jatuh terjelepuk ke atas simen.  Rashdan sudah menggila namun sempat ditangkap oleh kumpulan lelaki yang menerpa tadi.  Aku meluru ke arah Emeer yang mengerang kesakitan.  Darah membuak-buak keluar dari perut Emeer.  Kesakitan dan darah yang mengalir di leherku sudah tidak kupedulikan.

          “Awak.. bertahan awak.  Jangan tinggalkan saya..” wajah itu aku raup perlahan-lahan.  Kuangkat kepala Emeer ke ribaanku.  Aku peluk badan yang semakin layu itu.  Emeer, jangan tinggalkan aku. 

          Tangan Emeer memegang wajahku.  Kuraih tangan itu lalu kukucup berulang kali.  Semakin lemah. 

          “Awak, jangan tinggalkan saya…” rintihku. Aku meraung sekuatnya.

          “Tolong.. tolong  .. panggilkan ambulans,”  Hafifah dan semua yang berada di situ menerpa ke arah kami.  Kain di ampaian direntap oleh Hafifah lalu dibawa kepadaku untuk mengikat luka di perut Emeer.  Moga dapat membantu mengurangkan pengaliran darah.

          “Abang sayang Ayesha.. sayang sangat..Allah sakitnya sayang,” rintih Emeer menusuk jantung hati.  Pelukan aku eratkan dan tubuh itu semakin lama semakin lemah.  Namun tangannya masih kejap digenggamanku.

          Aku sudah tidak tentu arah.  Meraung-raung memanggil nama Emeer yang semakin layu.  Mataku mula berpinar-pinar.  Kesakitan di leher tidak menjadi nanah buatku.  Emeer yang berada di riba mula merapatkan mata lalu wajah itu kutepuk lembut. 

          “Buka mata awak, buka mata.  Jangan pejamkan mata.  Saya tak akan biarkan apa-apa terjadi pada awak..”.  Aku menggoncang badannya yang semakin layu.

          “Ayesha.. sabar.  Bawa bertenang,” pujuk Kak Kamariah di sebelahku.  Belakangku diusap lembut. 

          Ketawa nyaring Rashdan yang dipegang oleh beberapa orang itu tidak aku pedulikan.   

          “Mengucap Emeer, mengucap..Ashaduallahilahaillallah…” bisik abang Nordin.  

          Dada Emeer sudah berombak kencang.  Nafasnya tersekat-sekat.  Aku meraung lagi untuk kesekian kalinya.

          Abang, jangan tinggalkan Sofi.  Sofi nak abang.. Siapa nak kejutkan subuh Sofi, siapa nak temankan Sofi makan, siapa yang nak usik Sofi lagi, siapa yang nak manjakan Sofi?  Sofi nak ikut abang…. Abang tunggu Sofi…aku mengongoi sendiri.  

         Ya Allah, jangan Kau rampas dia dariku.  Kau telah membuka laluan kebahagiaan kepada kami, tapi kenapa perlu ada kelukaan ini.  Ya Allah, aku mohon padamu, jangan biarkan aku sendirian.  Aku sayang dia.  Amat.

          Kelam!  Duniaku semakin gelap.





Sayangnya... harapan yang selama ini kubawa
hancur berkecai musnah jua akhirnya
semuanya bagaikan sebuah mimpi
Oh..kau pergi jua
setelah cintaku kini membara
belum sempat kucurahkan kasihku
kau pergi tak kembali.....



*************************

P/s  maafkan K. Yus jika n3 kali ini tidak seronok .. huhuhu.. sudi2 drop komen ye sayang2 k. Yus...












_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

Monday, 13 February 2012

Takbir Rindu Eidul Fitri




Alunan surah yassin sayup-sayup menerjah gegendang telingaku.  Aku merenung sayu sekujur tubuh yang telah dikafankan menanti waktu untuk segera dikebumikan.  Air mata sudah laju berlinangan di pipi yang gersang.  Segera aku menyekanya.  Aku kena kuat demi untuk adik-adik.  Aku kena kuat demi untuk umi.

"Pergilah umi.. kakak relakan pemergian umi.  Kakak akan jaga amanah umi ini sebaik-baiknya," bisik hatiku lantas setitik demi setitik air mata mempamerkan diri lagi.  

Tak mampu aku bendung kesakitan di hati ini.  Adik-adik di sekelilingku sedari tadi tidak henti lagi menangis.  Lebih-lebih lagi Athirah, yang baru berusia 6 tahun itu, tidak mengerti apa-apa, terus menjerit marah apabila melihat umi dikafankan.  Aku meraih badan Athirah dan memeluknya kejap.  Kasihan adik aku yang kecil ini, masih tidak mengerti apa-apa.

Sebagai anak lelaki yang sulung, Aiman yang baru berusia 13 tahun, mengepalai usungan jenazah umi ke perkuburan.  Suasana sunyi dan sepi menyelubungi pagi.  Terasa seakan-akan alam juga turut sama berkongsi kesedihan kami.  Kubiarkan adik-adik berada lebih lama di pusara umi.. biarlah mereka meluahkan rasa pilu yang aku sendiri pun tak mampu ubati.  Seorang demi seorang meninggalkan kami di situ.  Berat hati ingin meninggalkan umi keseorangan.  Athirah yang hebat menangis sudah tersedu-sedu.  Rintih hatiku apabila melihat Athirah meronta-ronta ingin mengikut umi masuk ke liang lahad.

“Umi, kakak bawa adik-adik pulang dahulu.  Umi jangan sedih ye, kakak akan sentiasa datang menjengok umi bersama adik-adik..kakak sayang umi,”

Pusara umi kami tinggalkan dengan langkah yang teramat berat.  Bersemadilah umi dengan aman di sana.  Akan kakak pikul amanah umi ini sebaiknya.

“Sakinah, mampu ke kamu nak jaga adik-adik kamu ni.  Biarlah Mak Teh yang jaga Ainul dan Athirah tu." ujar Mak Teh seminggu selepas pemergian umi.  Aku tersentak dengan usul Mak Teh.

“Mak Teh, bukan Kinah nak tolak bantuan Mak Teh, tapi Kinah tak sanggup nak pisahkan adik-adik.  Kami dah biasa membesar bersama Mak Teh..,”

"Tapi kamu tu sekolah lagi Kinah.. mananya kamu nak jaga adik-adik lagi, nak sekolah lagi.. bukannya banyak sangat peninggalan arwah umi kamu tu. Arwah abah kamu tu lagi la pulak, mananya ada harta yang ditinggalkan untuk kamu adik beradik.  Itulah, dari dulu aku dah cakap kat arwah umi kamu tu, jangan beranak ramai-ramai.. hah, sekarang kesian nasib kamu semua ni.." leter Mak Teh.

Tersentuh hatiku dengan leteran Mak Teh terhadap umi.  Memang benar, arwah abah seorang penagih dadah tetapi abah tidak pernah mengabaikan kami.  Abah bekerja berhempas pulas menoreh getah untuk membesarkan kami.  Mungkin abah tersilap langkah semasa mudanya yang membinasakan dirinya sendiri.  Tapia bah sering berpesan kepada kami untuk tidak mengikuti jejak langkahnya.  Sebab itulah abang mahu kami belajar bersungguh-sungguh buktikan kepada masyarakat, anak penagih juga boleh berjaya. 

Umi pula hanya suri rumah tetapi umi juga bijak membantu abah.  Umi pandai menjahit.  Hasil upah menjahit itulah yang membantu abah menguruskan perbelanjaan kami.  Aku sebenarnya setuju dengan Mak Teh tentang bilangan keluargaku yang ramai. Aku sering diperli rakan-rakan sebaya dengan bilangan ahli keluargaku.  Aku anak sulung daripada tujuh orang adik beradik.  Suhana akan menduduki PMR, Aiman baru 13 tahun, Suraya pula 11 tahun, Adli baru 9 tahun, Ainul berusia 7 tahun dan Athirah pula baru 6 tahun.  Aku juga pernah menyuarakannya kepada umi.  Namun umi selalu berkata, anak-anak itu rezeki Allah.  Aku hanya terdiam dengan jawapan umi.

"Kinah..oo Kinah..orang dok bercakap dengan dia, boleh pulak dia termenung.. macam mana cadangan Mak Teh ni?" sergah Mak Teh mematikan ingatanku kepada Umi.

"Mak Teh, Kinah bukan sombong atau tak perlukan pertolongan Mak Teh, tapi Kinah dah janji dengan umi tak akan pisahkan adik-adik.  Kinah akan jaga adik-adik semuanya, Kinah akan berhenti sekolah.  Kinah nak cari kerja, tak kisahlah kerja apa pun.  Duit peninggalan Umi pun masih ada cuma kalau Mak Teh benar-benar ingin menolong Kinah, harap sangat Mak Teh dapat bantu Kinah uruskan permohonan bantuan pelajaran adik-adik daripada Jabatan Kebajikan," balasku lembut agar hati Mak Teh tidak terluka.  Melukai hati Mak Teh sama lah seperti melukai hati umi.  Mak Teh sahajalah saudara umi yang masih ada.

Alhamdulillah, Mak Teh akhirnya bersetuju dengan cadanganku.  Namun, Mak Teh juga meletakkan syarat yang memerlukan aku sentiasa memaklumkan perkembangan dan masalah kami kepadanya.  Aku bersyukur dengan anugerah Ilahi ini.  Sekurang-kurangnya aku masih punya tempat untuk bergantung harap.  Masih punya saudara yang sudi mengambil berat.

Hampir setahun, aku bekerja di kantin sekolah rendah di kampungku.  Syukur kerana masih ada insan yang sudi menawarkan aku pekerjaan walau pun umurku masih terlalu mentah.  Duit gajiku yang tak seberapa itulah aku gunakan untuk membeli makanan dan keperluan harian.  Bantuan daripada Jabatan Kebajikan memang aku peruntukkan untuk pelajaran adik-adikku.  Suhana yang akan menduduki PMR sebulan lagi tidak kubenarkan membuat kerja-kerja rumah walau pun dia sering membentak.  Katanya tak betah untuk duduk sahaja melihat aku bertungkus-lumus.  Namun sering aku titipkan alasan setiap apa yang aku lakukan untuk kebaikannya juga.  Aku mahu Suhana menumpukan perhatian kepada peperiksaannya.  Selepas habis PMR, barulah dia boleh membantuku semula.  Aku amat berharap adik-adikku ini dapat menyambung pelajaran setinggi-tingginya.  Syukur aku mempunyai adik-adik yang sangat baik budi pekertinya.


“Tiada harta yang paling bernilai dalam hidup ini selain ilmu ..duit ringgit dan harta benda akan habis jika dikikis setiap hari, tapi ilmu itulah yang boleh menjamin kehidupan.."  Pesanan umi masih terngiang-ngiang di telingaku.

“Kakak berjanji umi, kakak akan pastikan adik-adik tidak akan tercicir dalam pelajaran.  Kakak akan pastikan mereka akan berjaya menggenggam segulung ijazah seperti yang umi selalu impikan," tekadku.  

Biarlah aku seorang sahaja yang tidak meneruskan persekolahan.  Ilmu itu ada di mana-mana.  Belajar itu setiap waktu.  Selagi ada nafasku, selagi itulah aku akan mencari ilmu dengan caraku sendiri.  Iqra’ ku merata di atas bumi ini.

****************

“Kakak, tak kan kakak nak terus begini?  Kakak dah banyak berkorban untuk kami, kakak terima sahajalah lamaran tu.  Hana kesian tengok kakak,"  kata-kata Suhana kembali menerpa ruang ingatanku.

“Tak boleh Hana.  Tak boleh! Kakak dah berjanji dengan umi, kakak akan jaga Hana dan adik-adik.  Selagi adik-adik kakak belum berjaya, kakak tidak akan pergi ke mana-mana.  Kakak tak akan terima sesiapa pun dalam hati kakak.  Kakak tak nak bahagikan kasih sayang kakak," bantahku.

“Tapi Hana dan adik-adik dah besar kak, kami boleh jaga diri kami.  Lagipun bukan bermakna kakak akan terus tinggalkan kami," pujuk Suhana beria-ria mahukan aku menerima lamaran yang dibawa oleh Mak Teh.

          Memanglah Mak Teh ada datang membawa lamaran daripada anak jirannya.  Kalau tak silap aku, seorang Engineering yang bertugas di bandaraya besar.  Memang dia mampu menyara aku tetapi aku tidak mahu mengharap ihsan orang lain untuk adik-adikku.  Aku mahu hasil daripada tulang empat kerat ini  yang menyara mereka. 

"Kakak tak nak ada orang lain antara kakak dan adik-adik kakak.  Bagi kakak, amanah umi ini sangat bermakna.  Pada hari umi meninggalkan kita, kakak telah berjanji dengan umi.  Janganlah Hana paksa kakak. Kakak takut kakak tak mampu menjadi isteri yang baik.. "  

Semenjak hari itu, persoalan itu tidak pernah ditimbulkan lagi.  Semua adik-adikku telah maklum dengan keputusanku.  


**********


Bertahun telah berlalu.  Aidilfitri akan disambut tiga hari lagi. Kalau dahulu, kami menyambutnya dengan serba sederhana.  Hari ini, selepas dua belas tahun pemergian umi, aku amat menantikan takbir raya  ini.  Takbir raya yang membawa rinduku pada umi.  Malam-malam Ramadhanku ditemani dengan mimpi kehadiran umi.  Umi tersenyum.

Inilah Aidilfitri yang paling bermakna buatku.  Kepulangan Aiman yang ditunggu-tunggu setelah menamatkan pengajiannya di luar negara. Adikku akan bergelar seorang doktor.  Suhana juga telah menjadi seorang pendidik yang bertugas di daerah kami.  Suraya pula akan menamatkan pengajiannya manakala Adli dan Ainul masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi Tempatan.  Athirah pula sedang menanti panggilan untuk menyambung pengajiannya.  Alhamdulillah, adik-adikku telah berjaya mencapai cita-citaku.  Mungkin aku tidak bernasib baik dalam pelajaran, tetapi aku bahagia kerana mereka inilah nyawaku.

Aku??  Masih lagi di sini, di daerah sepi ini setia menemani umi dan abah.  Namun hidupku telah jauh berubah.  Aku tidak lagi bekerja di kantin sekolah.  Berbekalkan simpanan umi yang masih berbaki dan hasil keringatku, aku telah membuka sebuah kedai jahit di rumah.  Semuanya hasil didikan umi sewaktu hayat umi masih ada.  Aku juga sering mengikuti kursus-kursus serta bengkel-bengkel yang diadakan di sekitar daerah ini.  Alhamdulillah, rakan-rakan serta Suhana banyak membantuku.  Malah Suraya juga sering membawa tempahan jahitan daripada rakan-rakan mahasiswinya.  Rezeki adik-adikku semakin bertambah.

“Umi, kakak telah tunaikan janji kakak kepada umi.  Kakak tahu umi selalu ada bersama kakak.  Aidilfitri ini, umi tunggu kakak ye.  Kakak akan datang bersama adik-adik.  Aiman akan pulang umi.  Kita raikan Aidilfitri ini bersama-sama seperti dulu, ye umi.  Kakak mahu umi bangga dengan adik-adik.  Kakak mahu umi bahagia di sana melihat adik-adik.  Umi... kakak rindu umi..rindu sangat-sangat.  Umi tunggu kakak ye.."

Bergemalah alunan takbir Aidul Fitri.. bawalah rinduku.  Agar aku terus mampu berdiri di sini bersama saki baki kehidupan anugerahMu.

Kasihnya ibu
membawa ke syurga 
kasihnya saudara
masa berada

Berkorban raga
reka binasa
berkorban nyawa
tanda kasihnya

Kasihnya ayah
sanggupkah berpisah
dan kasihnya anak
berkorban nyawa

Biar pun jiwa
akan tersiksa
ikhlas dan rela
asal kau bahagia



************************

Sebenarnya cerpen ini telah lama Kak Yus tulis, asalnya, sebagai contoh kepada anakanda Nurin Hasya utk berkarya (menulis karangan bercerita --kerja sekolah).. hari ni Kak Yus polish sedikit dan nak berkongsi di blog ni.  Sudilah sayang2 Kak Yus melayan nya ye.. sudi2 juga utk drop komen.. terima kasih sayang2 K. Yus.

~ Kak Yus ~
 

Blog Template by YummyLolly.com