Genangan air di tubir mata tak mampu
ditahan lagi lalu deras mengalir membasahi pipi. Kalau tadi dia masih mampu menyembunyikan
rasa apabila motivator yang didatangkan khas untuk program itu mula menyentuh
mengenai ibu bapa dan kekeluargaan.
Perasaannya luruh di situ jua namun mengenangkan rasa malu yang menampar
diri, rela dia melarikan diri ke sini.
Alah, bukan gelap mana pun kawasan ni.
Cantik pula dengan bangku-bangku kecil yang tersusun di bawah sinaran
neon yang terang benderang.
Hatinya digigit pilu terkenangkan
umi di kampung bersama adik-adik yang tentunya bersama umi ketika itu. Jam di pergelangan tangan dikerling
sekilas. Masih awal dan masih sempat
lagi untuk dia bertanya khabar. Lincah
jemari runcingnya menekan papan kekunci di dada telefon bimbit. Senyuman kecil tersungging apabila terdengar
suara halus di hujung talian.
“Assalamualaikum
umi, belum tidur lagi?” soal Azzalea
lembut menyembunyikan nada sendu yang berlagu.
“Waalaikumussalam. Kakak ye, umi belum tidur lagi. Sedang temankan si Azriel ni menonton
movie.” Suara umi melenyapkan kerinduan
di hati Azzalea. Walau pun Kuala Lumpur dan Sabak
Bernam tidaklah jauh mana, namun bukanlah kerap sangat Azzalea dapat
pulang. Sebulan sekali sahaja dia dapat
bertemu dengan uminya. Kerja yang
berlambak-lambak sering membataskan masanya.
Apatah lagi waktu-waktu senggang diisi dengan kegiatan persatuan.
“Oh, Azriel
ada balik ye umi. Nanti kirim salam kat
Azriel ye. Hari tu janji nak datang
rumah kakak, tunggu juga tapi tak sampai pun.”
“Sibuk
agaknya adik kamu tu. Ni pun dia ambil
cuti empat hari balik sini, lepas ni nak ke Filipina katanya. Ada kursus kat
sana dua
minggu.”
Alahai, adik aku seorang ni. Memang sibuk sungguh, bisik hati
Azzalea. Jarak usia hanya setahun yang
membezakan mereka memang menjadikan dia sangat rapat dengan Azriel malah
sebagai kakak sulong, dia juga rapat dan amat mengambil berat hal-hal kebajikan
adik-adiknya yang lagi dua orang tu, si Amira Hannan Sufi dan Ammar Wijdad.
“Kakak okey
ke kat Cherating tu? Bila balik?”
“Kakak okey
je umi. Esok petang dah habis program
dan terus baliklah. Ingat minggu depan
kakak nak balik rumah ye umi. Rindu kat
umi, semenjak dua menjak sibuk dengan program Belia ni kakak dah tak sempat nak
jengok umi. Kakak minta maaf ye umi,”
ujarnya sayu. Azzalea dipamit rasa
bersalah kerana hampir dua bulan dia tidak pulang menjengok uminya. Walau pun begitu selang sehari dia akan
menghubungi umi melalui telefon tetapi masih tidak sama. Wajah tua umi jugalah yang dirinduinya. Masakan daripada air tangan umi juga yang
dirinduinya.
Suasana
sunyi seketika. Kedengaran nafas lembut
umi di hujung talian. Azzalea semakin
dihambat rasa rindu dan sayu. Umi, kakak
sayang umi! Dia juga tahu umi pasti amat
merinduinya saat itu. Iyalah, sebagai
anak sulung dan paling dekat di hati umi, dia banyak berkongsi suka dan duka
bersama umi. Biarlah umi, umi masih ada
kakak dan adik-adik.
“Okeylah
umi, hari dah lewat malam. Umi tidur
awal ye, jangan dilayan sangat si Azriel tu,” pesannya sebelum mengakhiri
perbualan. Ucap salam daripada umi
disambut dengan rasa sebak. Telefon
bimbit yang digenggam dibawa dekat ke dadanya seolah-olah dia sedang memeluk umi. Air mata tumpah lagi. Entah mengapa malam ini terlalu murah harga
linangan air matanya. Kata-kata
motivator sebentar tadi mengundang kembali kenangan silam yang sangat pedih
untuk ditebarkan.
Tanpa
Azzalea sedar, Fayyad menjadi pemerhati di belakangnya. Senyap-senyap lelaki itu menghampiri Azzalea,
tidak mahu mengganggu perbualan gadis itu.
Bait-bait perbualan jelas tertangkap di telinga Fayyad. Pasti Azzalea rindu benar kepada uminya. Anak manja, desis Fayyad.
“Oh mak
engkau!” jerit Azzalea terkejut dengan kehadiran Fayyad yang selamba menarik
bangku di sebelahnya agar lebih dekat.
Hah, kan
dah terkeluar segala latah dari bibir munggil gadis itu.
“Alamak,
latah juga awak ni ye,” ujar Fayyad diikuti dengan tawa yang
berdekah-dekah. Lucu pula melihat
tingkah spontan Azzalea itu.
“Eii, tak
suka tau. Tiba-tiba je tersembul kat
sini.”
“Iyalah, dah
awak tu bawa diri sangat, jauh-jauh duduk seorang kat sini. Tak sampai hati saya nak biarkan awak seorang
malam-malam buta kat sini, tak takut ke?” usik Fayyad. Dia perasan riak muram yang terpamer di wajah
gadis itu dan oleh sebab itulah dia seboleh-bolehnya tidak mahu menambahkan
lagi kemuraman Azzalea.
“Awak okey
ke?”
“Hmmm, okey
je.”
“Lea, you’re
not good at lying dear. Fail hundred
percent. Apsal ni?” pujuk Fayyad
perlahan takut hati Azzalea tersinggung dengan pertanyaannya.
“Tak ada
apa-apa. Saya okey.” Jawapan Azzalea kedengaran bercanggah dengan
wajahnya. Fayyad merenung wajah suram
gadis itu. Jelas terpapar kesedihan di
merata sudut.
Kesunyian yang hadir membuatkan hati
Azzalea tidak sedap. Dia mengangkat
wajah dan saat itu matanya bertembung dengan mata Fayyad yang asyik
merenungnya. Hatinya berkocak
hebat. Tidak tahu bagaimana hendak
menyorokkan rasa sedih yang bertamu. Dia
sebolehnya tidak ingin berkongsi kesedihan itu, cukuplah dia seorang yang
menelannya.
“Ceritalah
awak, saya sudi mendengarnya. Orang kata
jangan pendam kesedihan sorang-sorang, luahkan agar hati tidak menjeruk rasa,”
pujuk Fayyad tidak mengalah.
“Hmmm.. tak
ada apa-apa. Saya cuma rasa sedih sikit
je apabila mendengar kata-kata motivator tu.
Teringat kat umi.”
“Takkanlah
rindu kat umi sampai menangis macam ni, kedekut ye.”
“Kedekut?”
“Iyalah,
kedekut nak kongsi cerita. Saya janji,
saya akan menjadi pendengar yang setia.”
Tersenyum Azzalea seketika melihatkan memek wajah Fayyad yang masih
tidak jemu memujuknya. Haish, dah ada
orang nak dengar ni luahkan sahajalah, getus hatinya.
“Ermm.. masa
En. Badri bercerita mengenai ibu bapa tadi saya jadi sedih sangatlah awak. Saya terkenangkan kisah zaman kecil-kecil
saya.” Mata Fayyad yang redup
merenungnya dikerling sekilas. Azzalea
menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskan lagi kisahnya.
“Umi saya
berkahwin dalam usia yang sangat muda.
Arwah tokma dan tokki yang menjodohkan umi dengan abah pada usia umi
baru menjangkau tujuh belas tahun. Abah
bawa umi tinggal bersama arwah nenek di Sabak Bernam. Mungkin umi bukan cinta hati abah, maka sebab
itulah abah tidak bahagia dengan umi agaknya.
Sehinggalah umi melahirkan saya, Azriel, Hannan dan Ammar, abah masih
tidak berubah. Kesian umi, saban masa
berendam air mata dalam mengharapkan secebis kasih daripada seorang suami. Jarak antara kami adik beradik pun tak banyak
beza, saya dan Azriel hanya tua setahun, Azriel pula dua tahun tua daripada
Hannan manakala Ammar hanya setahun muda daripada Hannan. Paling sedih dalam hidup kami, ketika umi
mengandungkan Ammar, abah pulang ke rumah setelah berbulan tidak pulang hanya
semata-mata untuk meminta izin berkahwin lagi.”
Kata-kata Azzalea terhenti di situ.
Sebak di dada semakin hebat namun dia masih mencari kekuatan diri untuk
mengingati setiap detik. Fayyad yang
mendengar juga tidak mampu berkata sepatah pun, turut terasa tempias kepiluan
itu.
“Masa tu
umur saya baru empat tahun, kecil sangat lagi tapi saya dah biasa tak dapat
kasih seorang ayah. Umi dalam keadaan
sarat mengandung tenang sangat. Sanggup
mengizinkan abah kahwin lagi sedangkan ketika itu arwah nenek memang marah
sangat kat abah sehingga nenek halau abah daripada rumah. Nenek disown
abah dan lucutkan nama abah daripada pewaris harta pusaka milik arwah atok
dan nenek. Selepas daripada itu
sehinggalah Ammar dilahirkan kami tak pernah jumpa abah. Tapi selepas arwah nenek meninggal tiga tahun
lepas, abah datang semula menuntut haknya.
Kesian umi, hanya harta arwah nenek itu sahajalah yang menjadi sumber
pendapatan umi selama ini. Ladang dan
sawah itulah yang membesarkan kami.
Nasib baik maklong, kakak kepada abah ada. Maklonglah yang kuat menentang hasrat abah tu
dan maklong jugalah yang membantu kami membawa perkara itu ke muka
pengadilan. Macam-macam kata-kata nista
abah lemparkan kepada umi ditambah pula dengan cacian isteri baru abah tu. Masa tu saya tak ada kat sana , Hannan yang nangis-nangis telefon saya
suruh balik.” Air mata yang mengalir
diseka.
“Oh.. habis
selama tu umi awak digantung tak bertali ke?
Macam mana kes harta tu akhirnya?” spontan soalan itu terkeluar daripada
mulut Fayyad. Persoalan yang
berlegar-legar di mindanya sedari tadi.
Simpatinya mula tumpah kepada umi Azzalea. Tidak sangka ada juga manusia yang sanggup
melakukan begitu kepada anak dan isteri sendiri.
“Dua tahun
selepas berkahwin baru, umi dapat surat
daripada pihak Jabatan Agama Islam Selangor.
Abah failkan kes cerai dan umi terima dengan redha. Pasal harta tu sebenarnya umi nak serahkan
aje kepada abah tapi maklong dan paklong yang tak bagi, kata mereka pihak
mahkamah pun dah sabitkan yang abah memang tak ada kena mengena dengan harta
pusaka arwah nenek sebab sebelum meninggal memang arwah telah hibbahkan semua hartanya kepada umi dan
maklong. Jadi nak faraid pun tak boleh juga sebab semua harta telah dibahagi dan
ditukar nama sebelum arwah nenek meninggal lagi. Arwah nenek bukan calang-calang orang, bekas
guru besar dulu tu. Sebab itu kami adik
beradik tak pernah ketinggalan dalam pelajaran,” balas Azzalea lega. Sememangnya dada Azzalea berasa ringan
setelah dia meluahkan segala yang terbuku di hati. Selama ini tiada seorang pun yang tahu
mengenai kisah keluarganya walau pun Dirah, rakan karibnya.
Fayyad mengangguk-angguk perlahan cuba mencerna
setiap perkataan yang didengarnya. Jerih
juga kisah gadis kesayangannya itu. Jika
dilihat daripada wajah yang tenang dan manis itu, tidak sangka begitu sekali
kisah silam yang diharunginya. Jauh
berbeza dengan kisah hidupnya yang sungguh bertuah. Walau pun kehilangan kedua ibu bapa namun
kehadirannya dalam keluarga Datuk Halim disambut bagaikan menatang minyak yang
penuh. Tidak pernah ada sedikit pun
kekurangan kasih sayang dan kemewahan sehingga kadang-kadang dia sendiri rasa
lemas di dalamnya.
“Hmm..
agak-agak bila awak nak kenalkan saya kepada umi awak ye?” Bulat mata Azzalea mendengar soalan cepumas
yang diajukan Fayyad. Hish, selamba pula
mamat ni menutur kata, macam tak ada apa-apa je. Azzalea berperang dengan hati sendiri. Sudahnya, persoalan Fayyad dibiarkan berlalu
bersama hembusan bayu laut malam yang semakin kencang. Suasana semakin kelam dan kesejukan sudah
mula melekat pada kulit yang terdedah.
“Awak, jom
balik bilik.”
“Err, bilik
awak ke bilik saya?” usik Fayyad sengaja.
Tak semena-mena kakinya terasa sakit akibat dipijak Azzalea.
“Ouch!”
“Padan muka,
gatal sangat!”
Sengihan terseringai di bibir nipis
Fayyad. Hish, tak sangka ganas juga
minah ni. Muka kemain lagi lembut dan
ayu je, tapi sesekali bila mengganas nasib baik pakai sneakers kalau tidak harus bengkak kakinya.
Fayyad dan Azzalea beriringan pulang
ke bilik masing-masing. Tiada sepatah
perkataan pun terucap antara mereka.
Setelah memastikan Azzalea benar-benar telah masuk ke bilik
penginapannya, barulah Fayyad beredar.
Alhamdulillah, dia bersyukur kerana Azzalea sudah kembali ceria. Dalam hati lelaki itu berdoa agar kedukaan
gadis itu dapat dikongsinya.
*************************************************
Salam sayang2 kak yus.. maaf ye, bagi mereka yang mengikuti kisah Fayyad & Azzalea. Dah lama sangat tak update kisah mereka, okey.. ni bab 7 k.yus bagi dulu, sekarang ni sedang bergelut utk menyiapkan beberapa bab tapi sedihnya, bukan bab 8 dah seterusnya tetapi idea dtg mencurah2 untuk bab2 tengah dan akhir.. doakan k.yus semoga dapatlah menyiapkan manuskrip ni.. err perjalanan mereka ni masih panjang dan insyaAllah, k.yus akan hapdet lagi nanti, sekerap mampu ye.. sudi2lah drop komen utk k.yus .. Luv u ols..
~ Kak Yus ~
Baru nak warminng up. Tabahnya hati ibu Azalea tu kan. Syukurlah keluarga mentua dia tak sia2kan mereka.
ReplyDelete