Sunday, 18 March 2012

Mengintai Bahagia ~ 8






       Kalau tak disebabkan dia dilantik sebagai pembantu kepada Qaid, sudah tentu dia tidak akan keluar ke mana-mana dengan jejaka itu.  Bukan tak suka pada Qaid, tapi Acam tidak mahu memberikan sebarang harapan kepada lelaki itu.  Bukan dia tidak tahu, dah banyak bunga-bunga bahasa yang Qaid tunjukkan.  Kadang-kadang, dalam selamba dia ucapkan kata hati.  Dalam bergurau Qaid selitkan perasaannya. 

          Kali ini Acam tak dapat nak mengelak lagi.  Mereka ditugaskan bersama dalam menjayakan program syarikat.  Esok dia dan Qaid ditugaskan untuk mencari barang-barang keperluan Family Day yang akan diadakan pada hujung minggu nanti.  Tugas mereka menyediakan hadiah untuk aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan.  Jenuh Acam mencari akal, hadiah apa yang sesuai untuk semua aktiviti itu.  Qaid pula menyerahkan segalanya kepada Acam.  Setelah idea-idea Acam mendapat kelulusan pihak pentadbiran, barulah kembang hati Acam.  Tapi kembang semangkuk sahaja, kerana masih susah hati hendak keluar berdua dengan Qaid.  Hendak diajak Juliana, gadis itu pun banyak tugasnya.

          Selepas waktu kerja petang itu, Acam telah memaklumkan kepada ibunya yang dia akan pulang lewat.  Qaid pula bermurah hati telah berjanji untuk menghantarnya pulang setelah selesai mencari barang-barang keperluan yang telah ditulis siap-siap di atas kertas.  Cepat mendapatkan semuanya, cepatlah mereka pulang.

          “Acam, nak beli kat mana ni?” tanya Qaid.  Dalam hati biarlah jauh sedikit, barulah seronok dapat menghabiskan masa dengan Acam.  Peluang yang datang, gunakanlah sepenuhnya.

          “Ingat nak cari kat Wiracourt jelah.  Kat situ pun banyak kedai-kedai yang jual barang-barang ni,” balas Acam selamba. 

          “Hmm.. ok lah.  Kita ke Wiracourt jelah,” perlahan Qaid mengiakan usul Acam.  Nak dibantah, risau juga takut Acam berubah fikiran. 

          Kereta diparkir di ruang parkir yang terletak di tingkat bawah.  Setelah itu, Acam dan Qaid menyusuri kedai-kedai yang terdapat di dalam Kompleks Membeli belah Wiracourt yang merupakan satu-satunya kompleks membeli belah terbesar di situ.  Kalau hendak mencari yang lebih besar, terpaksa pula mereka ke Johor Bahru. 

          Walau pun sikap Acam nampak ganas dan selamba, bab membeli belah dia memang teliti.  Setiap barang yang dijamah dek tangannya akan diperhatikan sebaik mungkin.  Tidak mahu ada cacat cela.  Lagi pun ia melambangkan sikapnya dan persepsi majikan terhadapnya.  Jika sambil lewa, maka tentutlah akan mendapat persepsi corot daripada majikannya.  Nama dan pandangan majikan terhadapnya perlu dijaga walau pun dia hanya budak praktikal.  Tak kisahlah nak lama mana pun, asalkan dia puas hati.  Wajah Qaid sesekali dikerling juga namun mamat seorang tu macam tak kisah sahaja. 

          Qaid pula, lagilah suka.  Lebih cerewet sikap Acam, lebih lama dia dapat peluang bersama gadis itu.  Diperhatikan sahaja tingkah Acam yang leka membelek barang-barang di hadapannya.  Mulut gadis itu ada sahaja celotehnya.  Komen itu, komen ini namun semua yang keluar daripada mulut Acam terdengar manis sahaja di telinganya.  Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia menyuruh emaknya pergi meminang budak Acam ni.  Tapi iyalah, akal kena mendahului hati.  Si Acam ni bukan boleh main redah-redah je, kena pandai memikat hati yang keras tu.  Dalam dok sibuk memerhatikan gelagat Acam, terdengar laungan azan dari corong radio yang dipasang oleh pasaraya itu. 

          “Acam, dah maghriblah.  Aku nak ke surau kejap,” ujar Qaid. 

          Acam menganggukkan kepala.  Dia yang sedang bercuti, yelah Cuti Allah Bagi, segera mengambil bungkusan yang dihulur oleh Qaid lalu berlalu menuju ke deretan kedai pakaian yang menggamit matanya.  Cantik pula melihat gayutan baju-baju di kedai itu.

          Lama juga mamat ni solat, panjang zikir kot, bisik Acam.  Dia tersenyum sendirian.  Entahlah kan, nak kata tak suka pada Qaid, dia macam suka je.  Tapi sebagai kawan jelah.  Kalau nak dikira, tak ada kurangnya si Qaid tu, hensem pun ia, macho pun bolehlah dikira, kedudukan, dah eksekutif tu, nak apa lagi.  Kereta ada, rumah pun dah siap-siap beli, bak kata orang, basuh kaki je sesiapa yang jadi isteri si Qaid tu.  Tapi semua tu tak berjaya menerobos ruang di hati Acam.  Atau mungkinkah aku yang selama ini tak pernah nak beri hati aku peluang untuk kenal orang lain, soal Acam sendirian. 

         
          “Wah, jauh mengelamun.  Takkan aku tinggal sekejap dah rindu kot,” tegur Qaid. 

Sebenarnya telah lama dia berdiri di tepi kedai memerhatikan Acam yang duduk melepas lelah di bangku itu.  Wajah polos gadis itu diperhatikan.  Semakin hari semakin berkenan pula melihat gadis itu.  Mungkin di mata orang lain Acam kelihatan kasar dan boyish, tapi di mata Qaid terdapat kelembutan dan keayuan semula jadi pada gadis itu.  Alah hati, kenapalah yang susah nak pikat tu juga yang kau nak, gumam Qaid sendiri.

          “Banyaklah ko punya rindu.  Ko doakan aku sama tak?” balas Acam.  Terseringai sengihan di mulut kecil gadis itu.

          “Ada, aku doakan ko cepat kahwin,”

          “Apa punya kawan daa.. doakan aku cepat kahwin pula.  Doakanlah bos murah hati bayar elaun praktikal aku ke, aku dapat grad dengan cemerlang ke, ni suruh aku cepat kahwin..apa daa,” bising mulut Acam mengomel. 

          “Alah, takat elaun tu Acam oi, kalau bos tak bayar kat ko aku pun boleh bayar.  Lagi pun ko kan kerja untuk aku.  Kalau ko nak, tiap-tiap bulan pun aku boleh bagi ko elaun, tapi ada syarat la..”

          “Wah, baik hati ko nak bagi aku elaun, ni aku sayang lebih-lebih ni,” ujar Acam.  Tersenyum mendengar kata-kata Qaid.

          “Ko jangan sayang aku lebih-lebih Acam, kang aku berdesup pergi meminang ko nanti,” balas Qaid.  Hati kembang kempis mendengar kata-kata sayang daripada mulut Acam.  Susah wei nak dengar budak perempuan ni keluarkan kata sayang tu. 

          “Berani la ko, bertelur dahi tu nanti,” ugut Acam selamba.  Minah ni kalau bercakap, tak hengat.

          Kata-kata Acam bersambut dengan tawa panjang oleh Qaid.  Lucu jugak melihat garis cemas yang bertandang di wajah polos gadis itu.  Comel!  Dah sahlah, makin teruk angau si Qaid ni.  Qaid teringat kata-kata emaknya, kalau berjumpa dengan seseorang yang sentiasa lekat di ingatannya, yang siang malam asyik datang bertamu di hatinya, itu tanda dah cukup haulllah tu.  Dah wajib kena kahwin.  Alah emak, Qaid dah memang nak kahwin sangat ni, tapi budak Acam ni macam tak ada perasaan, jerit hati Qaid.

          “Banyak lagi tak?” tanya Qaid sambil tangan ligat membelek-belek beg yang diambil daripada tangan Acam.

          “Dah settle la bro.  Aku dah cari semua tadi,”

          “Wah, ni yang buat aku lagi sayang kat ko ni Acam.  Ko tak payah balik kampus la, terus je kerja kat sini,”

          “Habis tu, ko nak bagi aku diploma?” balas Acam.  Geram melihat Qaid yang asyik nak melawak tu. 

          “Laparlah, kalau ko sayang aku belanja aku makan eh?” lembut Acam mengampu.

          “Wahai Puteri Darlina, tak payah tunggu aku sayang kat ko, hari-hari pun aku boleh belanja ko makan la wei, ko je yang jual mahal” balas Qaid.  Bulat mata Acam mendengar nama penuhnya ditutur dek bibir lelaki itu.  Iskhh..mamat ni.

          Segera tangan Acam ditarik menuju ke foodcourt yang terletak di tingkat tiga bangunan itu.  Selamba pula si Qaid menarik tangan anak dara orang.  Cepat-cepat tangan yang diraih dileraikan oleh Acam.  Suka suki nak pegang tangan, ingat suami aku ke, gerutu Acam.  Namun, ketika itu ada satu perasaan lain yang cuba bertandang.  Acam cepat-cepat membuang jauh perasaan itu.  Tak mungkin dibenarkan perasaan itu bertamu terlalu cepat.

          Acam dan Qaid melabuhkan diri di ruang makan yang agak lengang.  Mungkin hari bekerja, tidak ramai pelanggan di situ.  Makanan yang berada di atas meja membuatkan perut Acam bernyanyi-nyanyi.  Tanpa berlengah, laju sahaja tangan menyuap Mee Jawa yang bagaikan menggamitnya di dalam mangkuk itu.  Murah hati betul Qaid, belanja dia makan malam itu.  Saiz xxl lagi mangkuk Mee Jawanya.  Jus tembikai disedut apabila tekak terasa pedas.  Terkekeh-kekeh Qaid melihat merah wajah Acam.

          “Manja la ko ni.  Pedas sikit pun tak tahan,” usik Qaid.  Kuew Tiaw Kungfunya sudah tinggal separuh.  Laju gila mamat ni makan.

          “Huh, ni bukan pedas sikit.  Ni dah macam lori cili api tumpah.  Ke ko saja nak kenakan aku ye,” tempelak Acam.  Rasa macam berasap je hidung dan telinga menahan pedas.

          “Eh, mana pula.  Aku order je ikut ko suruh.  Agaknya makcik tu ada kebun cili api kot,” bela Qaid.  Seronok bukan kepalang hatinya malam itu dapat melayan Acam.  Menyakat Acam tanpa ada gangguan, memang boleh simpan jadi memori indah ni.

          “Esok kalau aku tak datang, ko jawab dengan bos eh,”

          “Alah, aku ingat ko ganas.  Makan cili sikit dah tak datang kerja,”

          “Yang ganas muka aku, bukan perut aku,”

          Terlerai tawa daripada mereka.  Mata-mata yang berada di sekeliling turut terarah kepada mereka.  Pelik agaknya, melihat mereka yang ketawa bagai nak rak.  Jangan-jangan dikata orang skru longgar.  Lantaklah!

          Dalam dok asyik melayan Mee Jawanya dan mengelap leleh di hidung, Acam tertangkap satu wajah yang sedang memerhatikannya.  Wajah yang memang dirinduinya.  Wajah yang sering mengganggu lena malamnya.  Puas diusir wajah itu, puas dihalau kerinduan itu namun tetap juga ia datang bertamu.  Lama matanya terpaku pada wajah itu.  Terhenti kunyahannya. 

          Di benak Acam bermain-main pelbagai persoalan.  Adakah lelaki itu sedang berdating dengan kekasih hati?  Hatinya menjadi tidak keruan tiba-tiba.  Seleranya mati di situ.  Hati bagai dirobek dengan segala prasangka yang hadir.  Tiba-tiba hati dipalu dengan rasa sayu yang teramat.  Kolam rasa juga sudah dijentik rasa yang ingin berhamburan keluar.  Sabar hati, sabarlah.  Jangan gugur di sini.  Acam berperang dengan hatinya sendiri. 

          Cemburukah aku dengan perempuan berbaju biru itu?  Tapi kenapa aku harus cemburu, sedangkan aku tidak mempunyai apa-apa ikatan hati pun dengan lelaki itu.  Sukar sangatkah kau nak akui Acam, yang lelaki itu telah mendapat tempat di hati engkau, walau pun kecil tapi namanya telah mula terpahat di situ.  Acam masih berbalah dengan kata hati. 

          Cepat-cepat matanya dialihkan daripada bertembung lebih lama dengan lelaki itu.  Tak sanggup melihat mata lelaki itu yang jelas menghantar isyarat tanda tanya.  Dan tak sanggup juga untuk melihat pasangan lelaki itu yang bakal keluar daripada kedai di hadapannya bila-bila masa.  Sedangkan melihat mereka duduk berdua di kampus dulu pun hatinya sudah bagaikan dihiris-hiris, ini kan pula jika ternampak mesranya mereka berdua-duaan berpeleseran di situ.




          Di sudut itu pula, Dzil yang tercegat memerhatikan Acam sudah mula gelisah.  Gelisah melihat gadis itu berdua-duaan dengan lelaki yang tak kurang hebatnya.  Berkemeja jalur-jalur hitam putih dan berseluar hitam.  Memang jelas, lelaki itu sudah berkerjaya.  Tengok daripada lagaknya, bukan calang-calang orang.  Rasa diri terlalu kecil saat itu.  Adakah Acam sudah letakkan hatinya kepada jejaka itu? Tak mungkin terlalu cepat jejaka itu dapat menakluki hati Acam yang keras bagai kerikil tu, bisik kata hati Dzil.  Lebih kepada menenangkan perasaan sendiri.

          Tak mampu bertahan lebih lama memerhatikan mereka, Dzil terus berlalu pergi.  Sakit mata melihat gadis yang selalu dirindunya sedang menjamu selera dengan lelaki lain.  Hati rasa bagai hendak menjerit.  Kau tu milik aku Acam.  Hanya milik aku.  Tapi jeritan itu hanya berlagu dalam hati Dzil.  Tak mampu diluahkan. 

          “Eh, ko kenapa Acam?” tegur Qaid yang terperasan perubahan wajah Acam yang kelat tiba-tiba.

          “Err.. tak ada apa-apalah.  Cepat sikit boleh tak, aku nak baliklah, dah lambat ni.  Nanti bising ibu aku,” balas Acam tak berperasaan.

          “Mee Jawa ko ni tak habis lagi.  Tadi kata lapar,”

          “Hmm.. pedas sangatlah.  Tak tahan,” tutur Acam sengaja mencari alasan.

          “Oklah, jom aku hantar ko balik,” lembut suara Qaid.  Memang mamat ni tak pernah beriak kasar pun dengan Acam.  Cuma Acam je yang kadang-kadang terover sikit kalau bercakap.  Main lepas je.  Alah, dah nama pun Acam, main redah je.

          Mereka tiba di hadapan pagar rumah Acam tepat jam sembilan setengah malam.  Setelah mengucapkan terima kasih, Acam berlalu meninggalkan Qaid tanpa banyak bicara.  Hati Acam masih sebal dengan pertemuan tadi. 




*************

          “Acam, oo Acam.  Ni ada panggilan telefon,” laung ibu Acam dari tingkat bawah.  Siapa pula yang rajin menelefon malam-malam ni, getus Acam. 

Jam di dinding dikerlingnya sekilas.  Dah jam sebelas.  Malas-malas Acam bergerak menuruni tangga. 

“Siapa yang telefon Acam ibu?” soalnya.

“Kawan kamulah.  Hah, jangan lama-lama sangat, dah lewat malam ni.  Nanti dah habis bercakap, padam lampu.  Ibu nak tidur dah,” balas ibu Acam lalu beredar ke kamarnya.

“Hello, assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam, awak dah tidur ke?” ujar suara di hujung talian.  Hati Acam disapa rasa gembira.  Gembirakah apabila mendengar suara itu?

“Dah nak tidur, kalau awak tak kacau,” balasnya menyembunyikan rasa hati.

“Yelah, saya ni kacau awak je.  Kalau orang lain tak apakan,” sedikit bernada rajuk dalam suara Dzil.  Iskh, mamat ni malam-malam nak sentap apahal entah, gumam Acam.

Ada apa awak telefon saya ni?”

“Kenapa tadi awak tak tegur saya?” soal Dzil.

“Tegur awak?  Hish, takkanlah saya nak melaung-laung panggil nama awak.  Kalau nak suruh saya tegur, lalu la kat tepi saya ke, berhenti kat meja saya ke,” balas Acam masih lagi berlagak selamba.  Dia sedar suara Dzil sudah bernada rajuk.  Eleh, dia je tahu nak merajuk.  Aku tak pandai nak merajuk, getus Acam.

“Tadi tu siapa, pakwe awak ke?”  Soalan Dzil mengundang tawa Acam.  Kalau boleh terguling, mahu dia tergolek-golek berguling di atas lantai tu.  Nasib baiklah terkenangkan dah lewat malam, risau seisi rumah ingat benda lain pula yang dok mengilai.

“Haih, tak boleh blah lah statement awak ni.  Nampak macam pakwe saya ke?” soal Acam kembali. 

“Kalau bukan pakwe awak, siapa.  Mesra semacam je,”

“Awak ni macam cemburu je.  Saya bukan siapa-siapa dengan awak yang awak nak kisah pun.  Yang awak berkepit siang malam dengan budak baju biru tu ada saya kisah ke?” sinis suara Acam.

“Siapa kata awak bukan siapa-siapa kat saya?  Awak yang katakan, bukan saya.  Saya kata awak ada ‘sesiapa’ pada saya,” tutur Dzil malas hendak bermain tarik tali.

“Lawak la awak, nak bernanah telinga saya dengar.  Tak payah nak susun ayat-ayat cintalah dengan saya.  Lebih baik awak pergi ayat makwe baju biru awak tu,” sindir Acam.  Hatinya masih sakit mengenangkan kemungkinan Dzil masih lagi berhubungan dengan perempuan itu.

“Eh.. bunyi macam awak jealouslah.  Awak suka saya ye,” seloroh Dzil.  

Perangai menyakatnya telah kembali apabila bercakap dengan Acam.  Bukan boleh lelama pun nak simpan rasa amarah atau cemburu.  Bila bercakap dengan Acam je, hati dah kembali riang.  Itu belum lagi dapat bertemu berdua-duaan.  Hati yang sakit cepat sahaja pulihnya.

Ada ke bunyi jealous yang keluar dari mulut saya ni?”

“Lah, mana saya nampak mulut awak, kalau nampak dah lama saya cubit mulut tu,”

“Eiii.. cakap dengan awak ni kan, geramlah,” marah Acam.  Nak marah, tapi mulut tersenyum.  Aduhai, mulut dan hati dah tak sehaluan. 

“Kalau geram, katakanlah.. tidak saya, tidak marah..” boleh pula ubah lirik lagu Arrow tu si Dzil ni.  Tersenyum lebar Acam yang mendengarnya.  Nasib baik berbual di telefon, kalau tidak dah tentu kantoi dengan lelaki ni.

“Oklah awak, ibu saya pesan tadi jangan borak lama-lama.  Dah malam ni, saya nak tidur,” kata Acam ingin menamatkan perbualan.

“Nanti awak kirim salam sayang saya kat ibu awak ye,”

“Hamboi, awak ada affair apa nak kirim salam sayang pula kat ibu saya, tak takut ke ayah saya tuba awak,”

“Nak tuba apa, ibu awak tu kan ‘ibu mertua in the making’ saya, ayah awak tu pula ‘ayah mertua in the making’ saya.”  Serentak dengan itu terdengar tawa Dzil.  Terkedu Acam mendengarnya.

“Banyaklah in the making awak.. orang nak tidurlah,”

“Awak tak jawab lagi soalan saya tadi, yang makan dengan awak tadi tu siapa?  Pakwe awak ke?” soal Dzil masih belum berpuas hati.

“Eii.. awak ni kan.  Kalau saya kata pakwe saya, awak nak buat apa?”

“Saya nak isytihar peranglah.  Rampas balik awak daripada dia.  Dia dah rampas awak daripada saya, mana boleh saya bagi muka,”

“Apa main rampas-rampas ni.  Sejak bila saya jadi milik awak.  Alah awak, saya nak tidurlah.  Esok nak kerja, lagi pun siapalah nak kat saya ni.  Kasar, tomboy, tak lawa, mulut laser, hah apa lagi kawan-kawan awak kata,”  balas Acam.  Terdengar tawa Dzil lagi.  Hish, ada pula ketawa.  Bukannya nak pujuk orang, marah Acam sendiri.

“Saya nak kat awak tapi awak je jual mahal,” ujar Dzil.  Kembali dengan nada romantisnya.  Ceh, konon-konon cuba mengayat Acam la tu.  Bukan dia tak tahu, hati minah tu bukan senang nak takluk.  Bertuah besar kalau dapat sedikit daripada ruang di hati itu pun.

“Dahlah awak, malas nak fikir pakwe makwe ni.  Nak tidur, dah malam.  Mengantuk sangat ni,” bebel Acam. 

“Oklah, nanti saya calling-calling lagi.  Mimpi indah-indah ye, jangan lupa jemput saya sekali masuk mimpi awak,” ucapnya sebelum memberi salam dan mematikan perbualan.

Dzil tersenyum mengenangkan bebelan Acam.  Rasa sweet saja di telinganya.  Parah dah aku ni, bisiknya sendirian.  Senyuman puas terukir di bibir lelaki itu.  Sekurang-kurangnya dia tahu, lelaki yang dilihatnya bersama Acam di Wiracourt tadi bukan sesiapa pada Acam.  Masih ada peluang yang cerah untuk dia. 

Acam, satu hari nanti jodoh itu pasti milik kita!  Matanya terlelap dengan gambaran Acam yang tak pernah pudar.





*****************************

Ok sayang2 Kak Yus.. harap enjoy dengan n3 ni ye.. maaf atas segala kekurangan n typo error, sudi2lah drop komen utk Kak Yus.. 


Lots of luv from Emeer & Ayesha
~ Kak Yus ~
17/3/12 -- 3.27 pm

5 comments:

  1. kau tetap di hati ku..walau ramai yg datang bertandang..ku rindu wajah dan senyumanmu..

    ReplyDelete
  2. ngahahaha... Dzil ni comel... hihihi

    ReplyDelete
  3. agak2 si acam ni dengan sape yer. kan tersalah sokong, kecewa plak. pandai akak ni nak suruh kitaorang tertanya2. takpe2. wait n see

    ReplyDelete
  4. kak yus nak senyum je utk ketiga2 komen..:)

    ReplyDelete
  5. ehm2x,...akhirnya terluah jg hasrat hati yea Dzil:)

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com