Wednesday, 9 May 2012

Cerpen: Sesaat Kau Hadir..






“Aku terima nikahnya Hanina Maisarah binti Haris Umair dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai,”

“Sah?”

“Sah”

“Sah”

“Alhamdulillah,” 

Kedengaran suara tuan kadi membaca doa sejurus selesai akad nikad dijalankan dengan sempurna.  Dengan sekali lafaz, terpaterilah sebuah janji sehidup semati yang bersaksikan berpuluh pasang mata di dalam Masjid As-Syakirin yang penuh dengan tetamu.

            Saat akad dibacakan, ada genangan mutiara yang bertakung di tubir mata Hanina.  Hari ini dia akan sah bergelar seorang isteri kepada lelaki yang amat dicintainya.  Bertahun menyulam kasih dan bukan sedikit rintangan yang harus diharungi.  Saat doa dibacakan, tangannya ditadah.  Bukan sekadar mengaminkan doa yang dibacakan oleh tuan kadi malah dia juga memanjat doa agar mahligai yang baru dibina dirahmati olehNya.

            Mutiara yang ditakung akhirnya berjuraian jua saat takliq dibacakan oleh lelaki yang baru beberapa minit sah menjadi suaminya.  Pantas tangan mak andam mengesat linangan mutiara jernih itu.  Bahunya ditepuk perlahan.  Hanina  menahan diri dari terus tersentuh rasa lalu menawarkan senyuman kepada mereka.   Mutiara ini bukan sembarangan.  Ia tanda syukur dan kebahagiaan seorang insan yang telah sah bergelar isteri.

            Hati Hanina berkocak kencang saat Ilham menghampiri dengan sedulang hantaran.  Kelihatan sebentuk cincin dan seutas rantai tangan bersemayam indah di atas kotak baldu merah berbentuk hati yang dihias dengan bunga-bunga lili segar.  Ah, cantiknya!  Memang Ilham sedia maklum dengan minat Hanina terhadap bunga-bunga lili yang putih suci.    Semua mata mula terpaku ke arah pasangan pengantin yang sangat cocok di mata mereka.  Bagai pinang dibelah dua, eh, kalau dibelah sepuluh pun padan juga.  Bukan sehari dua pasangan kekasih itu menganyam cinta, bertahun lamanya dan hari ini terpateri sudah kasih sayang mereka oleh ikatan akad yang sungguh besar dan agung nilainya di sisi Ilahi.

            Tiba-tiba Hanina menjadi sangat pemalu.  Hish, selalunya dialah yang berlagak selamba.  Wajahnya yang telah disolek nipis kini dicalar dengan rona merah yang bertamu.  Segan apabila semua mata tertumpu kepada mereka.  Sohseh sohseh suara berbisik jelas kedengaran di telinganya.  Ilham yang sudah pun berlutut di hadapannya tersenyum lembut menyedari rona-rona merah di wajah Hanina.  Dalam perangai gila-gila isterinya itu, memang terselit sifat pemalu yang dalam.  Dia meraih lembut jejari Hanina lalu menyarungkan sebentuk cincin berbentuk hati yang dililiti dengan permata kecil.  Cincin itu memang menjadi pilihan Hanina.  Satu Kuala Lumpur mereka redah untuk mencari cincin berbentuk hati begitu.  Dan kerana sebentuk cincin itu jugalah jenuh mereka berbalah.  Hanina memang cerewet, tapi sifat cerewet itulah yang menjadi kegilaan Ilham.  Jemari Hanina masih lagi digenggam erat.

            “Hish, pengantin ni, tahulah dah sah.  Sabar-sabarlah sikit.  Ni rantai tangan belum dikalungkan lagi,” usik mak andam yang bertimpuh di sebelah Hanina.  Terlerai tawa hadirin di dewan masjid mendengar usikan mak andam.  Hanina dan Ilham bagaikan baru tersedar lalu tersipu-sipu.  Alahai, kantoi la pula.

            Sekali lagi, semua mata tertumpu pada ucapara mengalungkan rantai tangan di lengan halus Hanina.  Cantik.  Terletak sahaja.  Hanina sendiri terkejut dengan hadiah itu kerana rantai tangan itu tidak termasuk dalam perancangan mereka.  Pandai suaminya ini membuat kejutan. 

            Hanina menunduk menyalami Ilham.  Tangan kasar suaminya itu dikucup lembut.  Sebagai balasan,  Ilham meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun Hanina sambil berdoa perlahan, “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang telah Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya.”  Air mata yang ditahan-tahan kembali mengalir mendengar doa yang dibacakan oleh Ilham.  Sayu rasa hati Hanina.  Pertama kali merasakan dirinya benar-benar dikasihi.  Sedalam itu cinta Ilham untuknya.  Ilham menggeleng perlahan kepalanya pohon agar air mata Hanina tidak dibazirkan.  Pantas, jari kasarnya menyeka linangan halus itu.  Wajah Hanina didongak lembut lalu satu kucupan dihadiahkan di dahi Hanina.  Lembut, hangat dan lama.  Suasana yang suram dan sunyi sebentar tadi tiba-tiba menjadi riuh dengan sorak dan usikan hadirin. 

            Adegan dua minit kini menjadi sepuluh minit apabila diminta mengulanginya lagi untuk diabadikan di dalam photo.  Hendak tak hendak, kena jugalah dituruti.  Maklumlah, bila menjadi pengantin ni terpaksalah menghormati permintaan saudara mara yang datang daripada jauh meraikan mereka.  Tentu sekali saat indah itu hendak dirakam bersama mereka menjadi kenangan dibawa pulang.

            Selesai adegan bergambar, Hanina menuruti langkah Ilham menuju ke bilik wuduq.  Kedua-dua mempelai mengerjakan solat sunat selepas nikah sebagai tanda syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan bergelar suami isteri.  Pertama kali buat Hanina mengerjakan solat berimamkan Ilham, suaminya.

            “Ya Allah, Engkahlah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian bagiMu.  Aku bersyukur kepadaMu telah selesai pernikahanku ini, kami memohon kepadaMu Ya Allah, berkatilah pernikahan kami.  Jadikanlah aku dan isteriku orang-orang yang soleh.  Ya Allah, padaMulah kami memohon pertolongan.  Engkau anugerahkanlah  padaku isteri yang soleh, berikanlah kami petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaanMu.  Tunjukkanlah kami jalan yang lurus sepanjang hidup kami.  Kau berikanlah kekuatan untuk memimpin isteri dan anak-anak kami ke jalan yang Engkau redhai.  Engkau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Rasulullah dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa.  Engkau anugerahkan kami anak-anak yang ramai dah soleh, kesihatan dah kesejahteraan pada isteri, anak dan cucu-cucu kami di sepanjang hayat kami dan hayat mereka. 

         Ya Allah, Peliharakanlah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan kemesraan dan kebahagiaan rumahtangga kami, berikan kami rezeki yang halal, jadikan kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertaqwa kepadaMu.  Ya Allah, bahagiakanlah kami, bahagiakanlah kami, bahagiakanlah kami.  Engkau berkatilah rumahtangga kami, berkatilah rumah tangga kami, berkatilah rumah tangga kami, Amin Ya Rabbal Alamin.”  Tangan yang menadah doa diraupkan ke wajah.  Penuh syahdu.  Hadirin yang berdekatan dengan mereka juga tersentuh hati mendengar doa yang panjang dialunkan oleh Ilham.  Hanina sekali lagi menyalami dan mengucup jari jemari Ilham.  Wajah polos Hanina mempamerkan rasa bangga dan bahagia yang tidak terkira. 

            “Kita bina mahligai kita ini dengan sujud kepada Allah dan mohon keberkatanNya ye sayang,” bisik Ilham ketika mengucup dahi Hanina.

            “Terima kasih abang.  Nina harapkan agar untuk memimpin Nina, tegur Nina jika Nina tersasar jalan,” ucap Hanina lembut membalas bisikan suaminya.

            Suasana riuh rendah di halaman rumah.  Kanak-kanak berlari riang di kawasan lapang yang berhampiran bersama lollipop di tangan.  Kelihatan pekerja katering sibuk melayan tetamu.  Di bawah khemah penuh dengan tetamu yang rancak berbual sambil menikmati hidangan.  Deretan bunga mangga menyerikan kawasan yang sesak dibanjiri kenderaan yang dipakir.  Yang jauh, yang dekat berkumpul di perkarangan rumah Hanina hari itu.  Menjalinkan ukhuwah sesama mereka.  Merapatkan silaturrahim yang renggang.  Mengeratkan lagi hubungan yang mesra.   Tersenyum mempelai bersanding sambil disaksikan para hadirin.  Pencak silat ditarikan mengalu-alukan pengantin.  Tidak ketinggalan, kumpulan kanak-kanak cilik yang menarikan tarian zapin dengan lemah gemalai.  Alunan suara penyanyi band yang dijemput menyerikan lagi majlis diselang seli dengan suara pengacara majlis yang sesekali mengusik pengantin.  Semuanya dibawa khas untuk meraikan pengantin yang memang ditunggu-tunggu majlis mereka.  Kedua ibu dan bapa pengantin masing-masing tersenyum lebar melihat anak-anak mereka cantik dan molek duduk bersanding.  Hati tua mereka penuh dengan kegembiraan. 

            Selesai majlis menepung tawar, Hanina dan Ilham diarak ke meja santapan Raja Sehari.  Deretan makanan yang digubah begitu indah hasil kerja tangan Zalifah, sahabat baik Hanina yang memang terkenal dengan masakan pengantinnya.  Terhidang udang memanjat nenas, opor daging rusa di dalam labu, tembikai yang diukir cantik dan beraneka jenis masakan lagi.  Semuanya sungguh menyelerakan namun Hanina sedikit terkilan.  Sedih pun ada.  Mana tidaknya, kalaulah tidak makan beradab begini, sudah pasti habis dikerjakan segala hidangan yang ada.  Sekarang ni kenalah control ayu, makan pun setakat ambil nama sahaja.  Bahu Hanina ditepuk lembut daripada belakang.  Hanina berpaling dan segaris senyuman terukir dibibir merahnya.

            “Macam mana lauk pengantin, okey?” bisik Zalifah ke telinga Hanina.

            “Kau yang masak mestilah sedap.  Err.. boleh tak kau simpankan untuk aku.  Tak bestlah tak dapat makan kat sini,” balas Hanina masih dalam mode berbisik.  Tersungging senyuman Zalifah yang sangat memahami. 

            “Beres bos, aku simpan semua untuk kau.”  Zalifah segera beredar apabila menyedari jurugambar sibuk merakam gambar pengantin.  Nanti dikata sibuk nak enterprem pula.

            Hanina melepaskan lelah di anjung bilik.  Memerhatikan pekat malam yang damai.  Rambut yang hampir kering dikirai-kirai dengan jari runcingnya.  Ilham masih lagi di luar bersama papa menonton perlawanan bola antara Chelsea dan Liverpool.  Hmm, dua orang tu tak kira gempa bumi ke, tsunami ke, gunung berapi ke, kalau ada pertandingan bola memang tak akan missed.  Obses sangat dengan bola diorang tu.  Sanggup tak makan pun tak apa.  Dia tersenyum sendirian.  Dalam pekat malam bersama angin dingin yang menyapa lembut, ingatannya berputar kepada kisah silam.

            “Sakitlah kak,” rengek Hanina.  Wajahnya ditenung oleh dua orang jururawat yang sedang bertungkus lumus cuba mengambil sampel darahnya.  Campur kali itu, sudah empat kali lengannya dicucuk, namun masih tiada hasil.  Makin lebam adalah.

            “Yelah Kak Tina, kesian pula budak ni.  Dan lebam lengannya tak dapat-dapat juga urat.  Kita minta doktor jelah yang buat,” ujar jururawat yang memakai tag nama Linda kepada rakan setugasnya. 

            “Okeylah dik, nanti kakak minta doktor yang ambilkan darah ye.  Urat adik ni halus sangatlah, susah kami nak buat.  Kesian, dah lebam-lebam ni.”  Jururawat yang bernama Kartina itu cuba menenangkan Hanina.  Lengan gadis itu digosoknya perlahan. 

            “Iyalah kak, dah macam ayam kena lenyek steamroll lengan saya ni,” seloroh Hanina sambil tersenyum.  Kata-kata Hanina disambut dengan tawa besar dua gadis itu. 
            “Iskhhh.. dalam sakit-sakit pun boleh buat lawak lagi adik ni,” ucap Linda.  Best juga layan budak ni, satu kepala je, desis Linda.
           
            Hanina ditinggalkan sendirian menanti kehadiran doktor bertugas yang akan mengambil darahnya.  Jiran di katil sebelah sudah pun tidur.  Dia ditempatkan di dalam wad kelas dua yang menempatkan empat pesakit di dalam satu bilik.  Namun setakat malam itu, hanya ada dua pesakit sahaja di situ.  Esok-esok penuhlah tu.  Hanina cuba melelapkan mata, terasa ubat yang diberikan sebentar tadi mula memberikan kesan.  Agak mengantuk sedikit.  Baru hendak melelapkan mata, tiba-tiba dia terdengar suara menegurnya.

            “Assalamualaikum.  Hanina Maisarah binti Haris Umair, betul kan?  Okey, abang minta izin nak pegang tangan adik kejap ye,”  ujar doktor muda itu. 

Hanina membulatkan mata apabila terdengar perkataan ‘abang’ yang digunakan.  Heh, miang betul doktor ni.  Tag nama di dadanya dikerling.  Ilham Naufal.  Nama sikit punya best, muka hensem, kulit putih tapi sayang, miang!  Tangan Hanina dipegang lembut oleh doktor muda itu lalu getah pengikat diikat di bahagian lengan.  Digosok-gosok perlahan di bahagian pelipat siku.  Apabila Ilham merasakan apa yang dicari telah dijumpai, cepat-cepat dia melakukan tugasnya.

“Genggam jari kuat-kuat ye,” ujarnya sambil mencucuk jarum ke kulit Hanina.  Kening Hanina sedikit berkerut menahan sakit.

“Okey, boleh lepas genggaman.  Sakit ye?  Nanti abang sapu ubat sikit lagi kat tempat kena cucuk ni tak bagi sakit.  Dah okey ke perut yang sakit tadi?” soal Ilham sengaja hendak berbual dengan gadis yang terbaring itu.  Comel.  Hanina hanya mengganguk.  Eii.. miang, miang, miang.  Menyampah!

“Kalau macam tu Nina tidurlah ye.  Esok pagi abang datang lagi, kita bincang prosedur untuk operation kita tu ye.  Ok, sleep well sweetie,” sambung Ilham.  Suka melihat cebik di bibir Hanina.  Sah-sah dia mengata aku dalam hati tu, desisnya. 

Hilang sahaja kelibat Ilham, mata Hanina terus terlelap.  Memang mengantuk sangat.

Seminggu Hanina ditahan di wad.  Pembedahan kecil yang lebih kepada prosedur dilation (memasukkan camera dan belon ke dalam salur esofagus) sudah selamat dilakukan.  Tujuannya untuk membesarkan saluran esofagus yang mengecut.  Sudah sebulan selepas menjalani pemeriksaan rapi, Hanina dikenalpasti mengidap penyakit Achalasia Cardial iaitu saluran esofagusnya mengecil dengan sendiri yang mengakibatkan makanan yang dimakan tidak dapat mengalir ke usus.  Akibatnya, dalam tempoh enam bulan sahaja berat badan Hanina menyusut hampir dua puluh kilogram.  Ilham antara pakar yang terlibat dalam proses dilation itu.  Semenjak itu juga, hubungan antara mereka mula agak mesra.  

“Nina dah boleh balik hari ni ye?” Tegur Ilham yang berdiri di sebelah Hanina.  Tangannya memeriksa tekanan nadi dan mengambil bacaannya.  Mata Ilham masih lagi terpaku di wajah manis Hanina yang sudah kelihatan lebih segar.  Hanina hanya menggangguk.

“Ni nombor telefon abang ye, nanti jangan lupa telefon abang,” pesannya lalu mengunjukkan sekeping tisu putih yang tercatit sebaris nombor di situ.  Ahaksss… kertas tisu je mamat ni, gelak Hanina.  Dalam hati je.

Hubungan yang bermula dengan perasaan kurang senang itu akhirnya semakin intim.  Semakin kerap Hanina dan Ilham berhubungan.  Malah, bukan sekali dua Ilham sudi bertandang ke rumah Hanina dan sering juga dia sudi menjawat jawatan pemandu menghantar Hanina ke kampus.  Empat tahun mereka menjalin kasih sayang, akhirnya tamat sahaja pengajian Ilham terus menghantar rombongan meminang.  Tak sanggup hendak menunggu lebih lama.  Lebih tragis, pertunangan hanya untuk tempoh tiga bulan.  Dah tak sabar sangat Ilham untuk hidup bersama insan yang dicintainya. 

Lamunan Hanina mati tatkala saat itu terasa dua tangan melingkar di pinggangnya.  Dia tersenyum.  Haruman yang sangat mesra di deria baunya itu memang sudah sebati benar.  Tangannya turut memeluk tangan Ilham yang semakin kejap.  Hembusan nafas Ilham di cuping telinganya menggetarkan hati gadisnya.  Perawan yang tak pernah terusik sudah pasti akan dilanda resah gelisah diperlakukan begitu.  Degupan jantung sudah berubah rentak.

“Sayang termenung ye.  Ingatkan siapa?” soal Ilham.  Bibirnya bermain-main dengan juraian rambut Hanina yang terjuntai di leher.  Sesekali Ilham menghembus lembut leher Hanina.  Sengaja mengusik isterinya itu.  Hanina sesekali merengek-rengek kecil kegelian diperlakukan begitu. 

“Ingatkan orang tulah, yang tak ingatkan kita bila dapat mengadap football match,” balas Hanina pura-pura merajuk.  Tawa Ilham memecah kesunyian malam.  Terasa seram sejuk tubuh Hanina apabila bibir nipis Ilham mula merayap di lehernya.  Terbuai-buai dengan perasaan indah di saat itu.

Pelukan kejap Ilham dirungkaikan.  Sekilas, tubuh Hanina sudah pun berada di awangan.  Senyuman paling manis Hanina pamerkan untuk Ilham.  Tangan Hanina memaut erat leher Ilham yang melangkah masuk ke kamar peraduan mereka.  Sempat sebelah tangannya menarik langsir menutupi ruang kamar yang terdedah.  Tatkala mata mereka bertaut, tiada kata-kata yang terucap.  Hanya perasaan yang bergelora menjadi perantara.

“I want you so much darling, please complete me tonight,” bisik Ilham lembut. 

Nafas Ilham semakin memberat.  Tangan Hanina yang melingkar di dada suaminya dapat merasai degup hebat jantung itu.  Bagai bersatu irama jantung mereka.  Saat bibir Ilham mula bertaut di bibir mungil Hanina, dua rasa semakin bertaut. Dalam suram malam, gelora rasa kedua-duanya bersatu.  Dengan lafaz Bismillah, bersama doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi, ibadah yang satu itu menjadi kenangan paling indah bagi Ilham dan Hanina.  Tenggelam dalam badai asmara, berselimut dengan luahan cinta yang tak terucap.  Biarlah malam semakin kelam.

Penat!  Itulah perkataan yang paling tepat untuk Hanina.  Seharian hari itu dia melayan tetamu.  Ramai juga tetamu yang hadir di majlis sambut menantu mereka di rumah mertuanya.  Seminggu selepas majlis di rumah ibubapanya, kedua mertuanya mengadakan majlis sambut menantu di kediaman mereka pula.  Walau pun penat tapi dia seronok.  Gembira melihat kesepakatan di kalangan masyarakat kampung yang saling bantu membantu dalam menjayakan majlis mereka. 

Hanina leka memerhatikan sekumpulan lelaki yang sedang menurunkan khemah di perkarangan rumah.  Majlis mereka telah tamat lebih sejam lalu.  Hampir semua tetamu sudah pulang, yang tinggal pun hanyalah saudara mara jauh yang akan pulang petang itu.  Dia yang telah pun menyalin pakaian pengantinnya kepada baju kurung berwarna krim senada dengan Ilham.  Rimas dengan duduk berbual-bual dengan saudara-mara dengan pakaian yang sarat dengan labuci dan manik-manik itu.

“Sayang abang ni suka termenung eh?” sapa Ilham yang tiba-tiba tercengol di sebelah Hanina.  Asyik bertenggek di atas tembok simen anjung rumah sehingga tidak sedar kehadiran Ilham.  Tangan Ilham melingkar di bahu Hanina.

“Eii abang ni.  Nak manja-manja pula kat sini.  Nanti makcik-makcik tu nampak, seganlah,” ujar Hanina manja.

“Alah, makcik-makcik tu lagi suka apa.  Dapat tengok free show.  Tak percaya?  Cuba kalau abang kiss Nina kat sini, mesti bersorak diorang tu suka,” balas Ilham bersahaja.  Ouchhh! Jerit Ilham halus.  Kan dah kena sepit ketam Hanina. 

“Eii.. sayang ni dah pandai jadi ketamlah.  Nanti habislah lebam badan abang ni kena sepit je selalu,” adu Ilham disambut dengan tawa halus Hanina.

“Siapa yang suruh abang miang keladi kat sini, dapatlah habuan dia,”

“Sayang, abang nak ke rumah Pak Ngah Hairi sekejap ye, tadi anak Pak Ngah telefon minta abang tolong tengokkan ayahnya.  Pak Ngah pitam tadi balik daripada sini,” ujar Ilham. 

“Err.. lama ke abang nak ke sana?  Tak jauhkan rumah Pak Ngah tu, nak Nina temankan ke?”

“Dekat kampung sebelah tu je.  Tak apalah, Nina kan penat lagi so Nina berehat sahajalah kat rumah.  Biar abang pergi dengan Zakir je,” balas Ilham.

“Abang nak pergi sekarang ke?” soal Hanina menyedari kehadiran Zakir yang bermain-main dengan kunci kereta.  Ilham mengangguk.

“Elok-elok ye abang, Nina tunggu abang kat sini.” Ada sebak dalam nada suara itu.  Hanina menatap wajah suaminya sayu. 

“Abang pergi sekejap je.  Sayang tunggu abang ye.  Always remember that I love you more than you know, hanya maut yang boleh pisahkan kita,” bisik Ilham lembut.  Entah kenapa bisikan itu mengundang sayu di hati Hanina.  Air mata bergenang di tubir mata.  Ilham mengucup lembut dahi Hanina dan kucupan itu jatuh ke mata, hidung dan bibir Hanina.  Hangat, lama dan syahdu. 

*********************

            “Nina, masuk dalam nak.  Dah nak maghrib ni, tak baik duduk di luar tu,” tegur Puan Hasmah di ambang pintu.  Ralit dia memerhatikan menantunya yang masih bertenggek di tembok batu itu.

            “Sekejap lagi mak, Nina nak tunggu abang.  Lambat pula abang sampai, kata sekejap je,” balas Nina masih melemparkan pandang ke arah jalan.  Hati Puan Hasmah remuk mendengar ucapan yang entah berapa kali keluar daripada bibir menantunya itu. 

            “Masuklah sayang, nanti abang baliklah tu.  Tak baik orang perempuan mengandung duduk kat luar rumah maghrib-maghrib begini.  Jom kita masuk dulu, solat sama-sama,”  pujuk Puan Hasmah.  Langkah diatur menuju ke arah Hanina yang masih tidak beralah.

            “Pagi tadi abang kata nak balik cepat.  Tak kesian kat Nina agaknya abang ni.  Tengoklah, baby dah rindu dekat papa dia.  Nanti abang balik mak marahkan dia ye.  Kalau Nina marah nanti abang merajuk,” rengek Hanina manja.  Tubuh mertuanya itu dipeluk erat.  Jari jemari Puan Hasmah mengusap lembut rerambut Hanina.  Hatinya dibelit rasa pedih.  Kasihan melihat menantunya yang tak henti-henti begini.

            “Iyalah, nanti mak cakap dengan abang.  Biar mak tarik telinga dia kalau dia degil.  Okey, kita masuk sekarang ye sayang,” pujuk Puan Hasmah lagi.  Lega hati tuanya apabila Hanina sudah mula beralah.  Kadang-kadang makan pun tak ingat apabila leka menanti Ilham di situ.  Risau melihat tubuh Hanina yang kian susut.  Kandungan Hanina yang sudah mencecah lima bulan itu sudah mula kelihatan di sebalik tubuh yang semakin kurus.

            Abang, kenapa abang pergi lama.  Abang janji abang tak akan tinggalkan Nina.  Abang tak sayang Nina lagi ke?  Nina rindu abang.  Nina rindu suara abang, Nina rindu pelukan abang.  Nina nak abang dodoikan Nina, tak apalah suara abang tak berapa nak merdu pun.  Nina suka.  Abang… abang pergi mana.  Abang janji nak balik cepat.  Nina rindu sangat kat abang.  Nina nak abang, Nina tak marah kalau abang nak peluk ke nak cium Nina kat mana-mana pun.  Nina tak marah kalau abang nak sakat Nina.  Nina nak abang.  Nina rindu abang.  Abang tak rindu Nina?  Abang tak rindu baby kita.. Abang, baliklah, Nina tak boleh hidup tanpa abang.  Abang baliklah, bawa Nina sekali dengan abang….

            Hanina mengongoi lagi di birai katil.  Seperti setiap malam semenjak lima bulan lalu.  Baju melayu krim Ilham dipeluknya erat.  Dicium-ciumnya.  Air mata sudah kering di pipi.  Setiap malam dia akan termenung di birai jendela yang terbuka luas.  Lewat malam barulah dedaun jendela dikatup, itu pun oleh mertuanya setelah dia terlelap di tepi jendela.  Wajah Hanina sudah tidak ceria seperti dahulu.  Dalam hatinya cuma ada sebuah penantian yang tak bertepi buat Ilham Naufal.  Penantian yang tiada pengakhirnya.  Penantian yang meragut semua kebahagiaan dan keindahan milik mereka.


      Di sebalik jendela pintu, Puan Hasmah dan Encik Arman hampir terduduk.  Airmata sudah tiada harganya.  Deritanya anak itu, sengsaranya jiwa wanita itu.. seminggu menyulam bahagia dan direnggut pergi begitu sahaja…. Siapalah kita untuk menentang takdir yang telah tersurat..


******************************

Salam sayang2 Kak Yus.. mlm ni  Kak Yus post sebuah cerpen ye.. mood nak menulis cerpen plak tetiba enterprem.. harap sudi2lah layan cerpen Kak Yus ni.. maaf typo error.. dah malas nak proofread tadi..  sudi-sudi drop komen ye.. TQ darlings..

Lots of luv ~ Kak Yus ~

24 comments:

  1. PENAT???!! owh, penat lyn guest rupenyer..

    mmg best kak tp mcm cepat sgt pulak ending cmtu..xpuas bersedih..

    *td airmata dh nk kuat, termasuk blk*

    apapepon, mmg terbaekkk laa hasil tgn kak yus..

    =) so proud of u kak..

    ReplyDelete
  2. hehehe... penat tu suspen ye KKK? itulah, ingat nak taip panjang lagi tadi Puan Yati,.. tp dah tak larat n dah tak nak tengok lagi babak2 ni.. huhuhuuuuu..

    Sue Isma ~ sampai ke rasa sedih tu... hidup mmg kdg2 mcm tu kan..

    ReplyDelete
  3. terbaikla kakyus.

    ReplyDelete
  4. sedihnye....

    ReplyDelete
  5. Anon ~ TQ darling.. try the best utk sayang2 k.yus semua..

    ReplyDelete
  6. waaaa. banjir lappy macam ni:'(

    ReplyDelete
  7. Alahai sad ending rupanya. Hampir nak nangis dah ni. Apa pun memang best cerpen ni.

    ReplyDelete
  8. Arin Arida ~ >__<

    Naisma ~ sesekali layan sad ending kan dear..

    ReplyDelete
  9. hu3x..sedih je akhir citer ni..

    ReplyDelete
  10. waaa! sedihnya. sian dia. D;

    ReplyDelete
  11. Alahaii...dah nangis teruk dah nie... Member opis pelik jerr tengok..huhuhuhu..sedihhh

    ReplyDelete
  12. alahai kak, nape la buat sad ending. mood sedih ni

    ReplyDelete
  13. err.. x de smbungan eh? hehehe...

    ReplyDelete
  14. Aiyakkk... Why kak yus whyyyyy..seminggu jer sempat hidup bersama. Sian nyer..T_T

    ReplyDelete
  15. Jodoh pertemuan semua di tangan Tuhan (ayat cover line ye..)

    ReplyDelete
  16. dah habis lah.... best lah cerpen nie kak yus.. rse mcm nk nangis je.. ='(

    ReplyDelete
  17. Anonymous & Kecik-Keymah .. jom kita nanges sama2.. hehe.. inilah takdir yg kita tak pernah nak jangka kan..

    ReplyDelete
  18. Sedihnye..cerpen ni mmg lain drpd yg lain..I like it.. -ash-

    ReplyDelete
  19. INGIN CEPAT JADI JUTAWAN YUK MARI GABUNG SEKARANG JUGA

    KharismaPokerMenjadiSitusBandarQOnlineTerprcayaIndonesia
    Promo yang diberikan :
    Minimal DP dan WD Rp. 20.000.
    Support bank lokal : BCA, BNI, BRI, MANDIRI, dan DANAMON.
    Bisa dimainkan di iPhone, Android, PC / Laptop.
    Online 24 jam setiap hari meskipun hari libur nasional.
    Link Alternatif Kharismapoker :
    www.khpk288.net
    www.kharismapkr.com
    www.kharismaqiu.com
    CS nya yang ramah , siap melayanani anda 24 jam
    Bonus REFERRAL 20% setiap minggunya (seumur hidup)
    Bonus CASHBACK 0.3- 0,5% setiap hari
    Contact resmi kharismaPoker :

    Telp :+85588278896
    BBM;dc7cdd80
    WA: +85588278896

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com