“Lorrhh, sikit je kot makan. Bukan tadi ko kata lapar ke?” Soalan Dirah dibalas dengan wajah yang masam
mencuka.
“Eii, macam mana mamat tu boleh
jumpa laki ko hah. Dah tu siap boleh invite makan dengan kita sekali. Benci tau!”
Nappy di ribanya diramas-ramas
dan dipulas-pulas melepaskan geram. Tak
dapat pulas orang, pulas kain pun jadilah.
“Entahlah, mana aku tahu. Tak ada pula encik suami aku tu bagi tahu dia
ada ajak sesiapa makan dengan kita. Tadi
ko pun dengarkan, diorang baru berkenalan.”
Sedaya upaya Dirah cuba menenangkan keadaan. Dah pasti ini memang kerja suaminya. Azzalea yang masih tidak berpuas hati
mencebikkan bibir. Alahai, comel sangat
la tu. Kalau diikat dengan riben, lepas
tu buat hadiah hari lahir pun cantik juga.
Nasib baiklah ketika itu hanya
tinggal mereka berdua menikmati makanan di atas meja. Nak kata makan pun tidak juga, sebabnya
Azzalea hanya lebih menjadi pemerhati makanan yang terhidang daripada
menikmatinya. Udang bakar yang
diletakkan oleh Fayyad tadi dikuis-kuis.
Hish, mamat tu memang lebih-lebih je.
Sengaja nak membakar hati Azzalea yang memang dah nak hangus. Tak payah nak tunjuk gentleman la sangat, siap ambilkan makanan bagai. Macam tak ada apa-apa je yang pernah terjadi
antara mereka. Menyampahnya! Err .. tapi udang bakar ni tempting la pulak, memang kegemaran Azzalea pun. Dalam dok menyampah tu, tercuit juga hati
dengan ingatan Fayyad terhadapnya.
Fayyad dan Wan Aidil serta si comel
Iman Yasmine kembali semula ke meja dengan tangan yang dipenuhi makanan. Kali ini lagi meriah. Ketam bakar, udang bakar, ayam bakar, jagung
dan beberapa makanan lain dilambakkan di atas meja untuk santapan. Dengan selamba juga Fayyad meletakkan
beberapa ketul sosej serta jagung bakar ke dalam pinggan Azzalea walaupun dia sedar
mata gadis itu yang mencerlun ke arahnya.
Relax Fayyad, relax.
Buat macam tak ada apa-apa je, desis hati lelakinya.
Jelingan maut Azzalea itu ditangkap
oleh mata Dirah yang turut memerhatikan adegan panas di sebelahnya. Keras perut menahan tawa, tapi apa pun mesti
kena jaga. Biar pecah di perut jangan
pecah di mulut. Jangan terburai di situ sudahlah, harus perang dunia ketiga
dilancarkan antara dia dan Azzalea.
Bukan tak kenal fiil sahabatnya itu, tak boleh tersentap sikit apatah
lagi jika melibatkan hati dan perasaan yang berkaitan dengan lelaki bernama
Fayyad tu.
“Makanlah Lea, kesian Fayyad tu dok
beratur panjang tunggu ketam tu,” ujar Wan Aidil membelah kesunyian yang
tiba-tiba bertandang. Wajah isterinya
dijeling sekilas. Senyum.
“Ermm, Lea tak suruh pun.” Alamak!
Sudah ada baur-baur panas dalam nada suara Azzalea. Cepat-cepat Wan Aidil menepuk bahu Fayyad
mengisyaratkan agar lebih berhati-hati.
Bukan apa, kalau dah keluar fire
makcik yang seorang tu, bukan kata bomba, malah si Storm anak buah Prof X dalam
X-Men tu pun tak mampu nak padamkan.
“Tak apalah, tadi Wan ada bagi tau
yang awak suka makan ketam. Tu yang saya
tolong ambilkan, rasalah sikit. Tak baik
tau membazirkan makanan, Rasulullah tak suka umatnya membazir.”
Perghhhh, sejak bila mamat ni pandai
masukkan sunnah-sunnah nabi pula dalam percakapannya. Tapi iyalah, kalau dah dikaitkan dengan hukum
hakam, akur jugalah. Dua kerat ketam
dicapai lalu diletakkan ke dalam pinggan bersama makanan lain yang telah
terlebih dahulu diisi oleh Fayyad. Terkial-kial
juga Azzalea dibuatnya dengan ketam tu.
Kalau kat rumah bolehlah nak dikepak-kepak atau digigit-gigit, kat hotel
ni kenalah control ayu sikit.
“Meh saya tolong awak kopekkan ketam
tu.” Tanpa disuruh, Fayyad telah sedia
mengambil satu persatu ketam yang berada di pinggan Azzalea lalu mengupas kulit
dan meletakkan isi ketam ke dalam pinggan gadis itu.
Saat itu Azzalea rasa hendak
menjerit. Awak, janganlah buat baik
sangat kat saya. Saya tak suka!
Peristiwa makan malam masih lekat di
ingatan Azzalea walaupun sudah dua hari mereka pulang ke Puncak Alam. Malas hendak melayan perasaan yang masih
berperang, dia menyibukkan diri mengemas pakaian yang dibawa pulang. Apa lagi mendobilah kerjanya. Beberapa hari di sana, mana sempat nak
mendobi kain baju walaupun perkhidmatan dobi disediakan. Leceh.
Lagi pun tinggal seorang bukan banyak kerja sangat pun. Dua tiga kali picit orang gaji dari Jepun tu,
dah siap. Tinggal sidai, angkat, lipat
dan simpan je.
Namun hati masih tetap
berdegil. Masih juga teringatkan setiap
saat dan kejadian yang mempertemukan kembali dia dan Fayyad. Ingat senang ke nak lupakan semua kesedihan
dan kepiluan yang ditinggalkan lelaki itu.
Penderitaan yang ditanggungnya hingga ke hari ini. Tidak pernah sedikit pun berkurangan. Malah kehadiran lelaki itu kembali ke dalam
hidupnya menambahkan lagi derita yang tidak terperi. Untuk apa lagi dia dipertemukan semula dengan
lelaki yang telah meninggalkannya dengan kejamnya. Kejam kerana membuang dirinya tanpa tahu
hujung pangkal. Kejam kerana melukakan
hatinya pada saat dia menyambut ulang tahun kelahirannya.
“Arghhhhh! Penat la macam ni. Wahai otak, wahai hati, wahai jiwa, wahai
semua yang ada di badan ni, sudah-sudahlah ingat kat lelaki tu. Tak ada maknanya pun nak ingat-ingat
lagi.” Ujar Azzalea sendirian. Ini kalau orang ternampak dia bercakap
sendirian sambil menyidai pakaian, harus dikatakan ada masalah mental. Tak pun tekanan perasaan. Haru gitu.
Nanti tak pasal-pasal tak ada orang pula nak hantar anak-anak mereka ke
Taska dan Tadika mereka.
Matanya
liar memerhatikan jiran sekeliling. Fuh,
selamat! Sunyi dan sepi, tak ada orang pun.
Almaklumlah, hari bekerja memang kawasan mereka tu sunyi sepi. Malah, taska yang berhadapan dengan rumahnya
itu pun sunyi sahaja. Pagi-pagi macam ni
anak-anak jagaan taskanya masih lena diulit mimpi selepas ditinggalkan oleh
ibubapa mereka. Azzalea pun harus
bersiap selepas itu untuk ke Tadika Permata Hati yang dibelinya secara kongsi
dengan Dirah daripada sahabat Ayesha yang berpindah ke luar negara mengikut
suaminya. Hampir empat tahun dia mengendalikan tadika dan taska itu
bersama-sama Dirah.
Selalunya
pagi-pagi Azzalea akan ke tadika, menjalani rutinnya di sana, mengemaskini
segala urusan perjalanan tadika, menyelia persediaan dan laporan mengajar oleh
guru-guru yang ditugaskan mengajar anak-anak kecil yang berusia empat hingga
enam tahun di situ. Alhamdulillah,
selama empat tahun beroperasi, kini Tadika Permata Hati menjadi antara tadika
yang dikenali dan dipercayai oleh masyarakat di situ. Silibus pendidikan yang digubal mengikuti
piawaian Sistem Pendidikan Negara serta beberapa aspek pendidikan agama dan
moral telah dipraktikkan di situ.
Azzalea sangat teliti dalam pengendalian tadikanya. Setiap pelajar di tadika itu dikenalinya
secara individu malah ada ketikanya dia sendiri akan berbual-bual dan berjumpa
dengan setiap seorang daripada mereka.
Guru-guru
juga sentiasa dipantau perkembangan mereka.
Azzalea akan sentiasa memastikan kebajikan guru-gurunya dijaga dan
setiap seorang akan diberi pendedahan dan peluang untuk mendalami ilmu melalui
kursus-kursus dan bengkel-bengkel yang dianjurkan. Tidak hairanlah jika Azzalea tidak pernah
mengalami masalah kekurangan guru kerana kesemua empat orang gurunya adalah
mereka yang mula-mula bersamanya ketika dia bermula.
Dirah
pula lebih senang menguruskan taska kerana katanya malas hendak fikir
banyak-banyak. Macamlah kat taska tu tak
payah nak fikir. Banyak perkara harus
diuruskan di taska tu tapi tak adalah sibuk sangat kerana staf mereka yang
tujuh orang tu sudah cukup terlatih dalam hal-hal penjagaan kanak-kanak seramai
hampir enam puluh orang itu. Itu belum
termasuk lagi anak-anak yang transit, iaitu anak-anak yang singgah sebentar
setelah pulang daripada sekolah untuk mandi, makan dan bersiap ke sekolah KAFA
semula.
Kalau
di Kuala Lumpur dan Selangor, KAFA dan Sekolah Rendah Agama (SRA) anjuran
kerajaan negeri adalah satu pilihan yang selalunya akan diutamakan oleh
ibubapa. Banyak faedah yang diperolehi
oleh anak-anak yang mengikuti pembelajaran agama di situ. Malah anak sulung Kak Nida yang menjadi
kebanggaan Kak Nida dan suaminya Abang Din telah berjaya melanjutkan pelajaran
ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz – Maiwp kerana
mendapat 5A dalam UPSR dan 9A dalam UPSRA.
Syarat utama untuk memasuki sekolah-sekolah agama hebat di bawah kawalan
ini haruslah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan wajib mendapat mumtaz
dalam UPSRA juga. Azzalea turut
menumpang bangga dengan kejayaan Salsabilla yang telah dianggap seperti anaknya
sendiri. Kadang-kadang anak gadis itulah
yang menjadi penemannya di rumah kala kesunyian. Kerana itu jugalah, segala perbelanjaan
Salsabilla ditanggung sepenuhnya oleh Azzalea walau pun ditolak oleh Kak
Nida. Azzalea turut bangga kerana
seorang lagi bakal Hafizah akan lahir di muka bumi ini. Semoga perjalanan menuntut ilmu anak gadis
itu dipermudahkan sentiasa.
Tepat
jam sembilan setengah pagi Azzalea tiba di perkarangan tadika. Dia disambut dengan girang oleh anak-anak
kecil yang riang berlarian bermain di halaman tadika. Beginilah selalunya anak-anak ini, diberi
ruang untuk berehat dan bermain setelah penat memerah otak di dalam kelas. Itu pun selepas menghabiskan makanan yang
disediakan. Tak silapnya pagi itu
menunya nasi himpit dan kuah kacang kerana bau kuah kacang semerbak harum
sehingga ke luar tadika. Kalau Ibu Zai
yang masak, mana boleh tak sedap. Kalah
Masterchef tau! Ibu Zai ni kalau masak
makanan tradisional memang tak boleh lawan.
Sebab itu jugalah ibu bapa anak-anak yang dihantar ke tadika itu sering
menempah kuih muih dengan Ibu Zai. Air
tangan Ibu Zai tak ubah macam masakan Mak Long Yati di kampung. Memang sedap.
Eh, bukan kata masakan ibu sendiri tak sedap, mestilah sedap masakan ibu
sendiri. Tapi kadang-kadang ada lagi
orang yang hebat memasak yang harus diperakui kehebatannya.
“Cikgu,
cikgu, tengok Alif ni. Dia tolak saya,”
adu si kecil molek bertocang dua yang diikat riben merah jambu. Kain baju kurung Azzalea ditarik lembut.
“Eh,
kenapa Alif tolak Mimi. Tak baik tolak
kawan kan, mari sini kat cikgu.”
Tangannya menggapai anak kecil yang dikenali dengan nama Alif. Perlahan kaki anak kecil itu melangkah ke
arah Azzalea yang sudah pun melabuhkan punggung di atas bangku yang disediakan
di laman tadika.
Wajah
anak kecil itu direnung lembut, tidak mahu menambahkan lagi rasa resah dan
takut di hati kecil itu. Tangan Alif dipaut
lalu kedua-dua anak kecil itu didudukkan bersebelahan dengannya. Kepala Alif dan Mimi diusap lembut.
“Kalau
berkawan, kita tak boleh gaduh tau sayang.
Kita tak boleh sakitkan kawan kita, tak boleh cederakan kawan kita sebab
kawan kita adalah orang yang kita kena sayang selalu. Alif sayang cikgu tak ?”
Anak
kecil itu memandang tepat ke wajah Azzalea lalu mengangguk. Mulutnya masih membisu seribu bahasa. Si kecil bertocang dua itu pula menghadiahkan
jelingan tajam kepada musuhnya.
Menguntum senyum di bibir Azzalea melihatkan keletah mereka. Adoi laa, lawak betul!
“Kalau
sayang cikgu, Alif nak ke tolak cikgu? Nak ke bagi cikgu menangis?” sambung
Azzlaea lagi. Kali ini Alif menggeleng
laju malah Mimi juga turut sama menggeleng walaupun soalan bukan ditujukan
kepadanya.
“Hmmm,
kalau macam tu tak mo gaduh-gaduh ye.
Kena kawan baik-baik, main sama-sama, barulah kata sayang kawan kita
kan. Hari ni Alif dan Mimi makan apa?”
Mulalah
omeh mulut si kecil bercerita tentang apa yang dimakan sehinggalah kepada kisah
dalam kelas dan kerja-kerja yang telah dilakukan. Persengketaan yang berlaku tadi dengan mudah
dilupakan. Itulah adat dunia
kanak-kanak, bergaduh, bersengketa dan dengan mudah pula berbaik dan bersatu
semula. Alangkah baiknya jika hidupnya
juga begitu. Alangkah baiknya jika
semuanya semudah itu.
Perbualan
mereka yang mulanya hanya bertiga menjadi lebih meriah dengan kehadiran
anak-anak kecil lain yang turut menjadi pemerhati pada awalnya. Tak menang mulut Azzalea melayan anak-anak
kecil itu berceloteh sehinggalah loceng menandakan waktu rehat tamat
berbunyi. Masing-masing berlarian membuat
barisan kecil mengikut kelas masing-masing sebelum masuk semula ke dalam kelas
menyambung pelajaran. Kelihatan
guru-guru yang berdedikasi masing-masing mengambil tugas mereka.
Setelah
anak-anak itu beredar ke kelas masing-masing, Azzalea mengatur langkah untuk
turut sama menyertai mereka di dalam tadika.
Namun langkahnya terhenti apabila kedengaran bunyi deruman enjin van
berhenti di hadapan pagar. Dia berpaling
lalu berpusing menapak menuju ke pagar.
Van siapa pula pagi-pagi ni, dah tu ada lambang Florist pulak, siapalah yang order
bunga pagi-pagi buta ni. Rungutnya.
“Cik,
ada penghantaran untuk Cik Amira Qaireen Azzalea.”
Weh,
siapa pula yang rajin hantar bunga kat aku ni.
Lebih empat tahun aku kat sini, tak pernah ada orang hantar bunga pun,
dah tu siap tahu nama penuh lagi tu.
Hati Azzalea berkira-kira sendiri.
Namun unjukan jambangan mawar yang dihias cantik itu disambutnya
lalu pantas sahaja dia menandatangani kertas yang diunjukkan oleh lelaki
penghantar itu.
Mawar
merah di tangan ditenung lama. Akalnya
mula berfungsi. Bukan ramai sangat pun
yang tahu nama penuhnya dan hatinya berat menyatakan yang satu. Terketar-ketar jemarinya mencapai kad kecil
yang terselit di celah-celah kuntuman mawar itu.
Mungkin sukar untuk awak memaafkan saya,
tapi saya tak akan pernah penat untuk menuntut kemaafan itu. ~ Fayyad
Terduduk
Azzalea seketika di bangku yang didudukinya tadi. Marah? Suka? Geram? Benci? Tersentuh? Entah,
yang nyata akal dan hatinya kosong saat itu.
Beberapa minit terpaku dengan kehadiran mawar semerbak harum itu, Azzalea kembali
berpijak di bumi yang nyata. Tidak mahu
terus hanyut dengan perasaan dan emosi sendiri, dia bergegas menuju ke ruang
pejabatnya bersama jambangan mawar di tangan.
“Wah,
cantik bunga Lea. Ada peminat bagi ke?”
soal Ibu Zai yang sedang mengelap meja.
Rutin seharian setelah anak-anak selesai makan bagi memastikan keadaan
tadika sentiasa kemas dan bersih.
“Hmmm,
kawan yang bagi Ibu. Nanti ibu letak
atas meja Lea ye, nak jengok budak-budak kat kelas kejap,” balasnya lalu
mengunjukkan jambangan itu kepada Ibu Zai yang tersenyum. Alah, jangalah senyum sangat Ibu Zai oii,
orang tengah tension ni.
Senyuman
terukir di bibir kala pintu kelas dikuak sedikit, tidak mahu mengganggu
konsentrasi anak-anak kecil yang berada di dalamnya. Terhibur dengan keletah anak-anak itu
mengikut guru mereka bernyanyi dan menari riang. Lagu Anak Itik Tok Wi yang mudah tu kalau
dinyanyikan dengan betul bersama gaya tari dan lakon yang tersusun, memang
menyeronokkan. Berbagai gaya anak-anak
itu melakonkannya, yang terkedek-kedek macam itik pulang petang pun ada. Kemudian, Azzalea menjengok ke kelas yang
terletak di sebelahnya pula. Hati rasa
tenang dan senang melihat tekunnya anak-anak yang berumur enam tahun seramai
dua puluh orang itu tekun menulis latihan Jawi yang sedang diajar oleh Ustazah
Sofea.
Bangga
menyelinap ke hatinya melihat dedikasi Ustazah Sofea yang lebih senang
dipanggil Sofea itu. Semenjak Ustazah
Sofea menyertai mereka, anak-anak kelahiran Tadika Permata Hati memang dipuji
ramai. Apa tidaknya, seawal usia enam
tahun sudah pandai dan lancar membaca tulisan Jawi, malah tidak kekok untuk
mendirikan solat berserta bacaannya sekali.
Ada antara mereka yang sudah pun mampu menghafal bacaan Doa Qunut dengan
lancar. Semua itu hasil didik dan kerja
keras Ustazah Sofea. Gadis bertudung
labuh dan berpurdah itu tidak pernah lokek waktu dan tenaga.
Menyedari
kehadiran Azzalea, Ustazah Sofea yang sedang menyelia anak-anak kecil itu
segera menghampiri majikannya lalu tangan dihulur menyalami Azzlaea. Jemari Azzalea dikucup lembut. Itu juga salah satu sifat dan sikap yang
menyentuh hati Azzalea sehingga menerbitkan rasa sayangnya kepada Ustazah
Sofea. Walaupun dilahir dan dibesarkan
di United Kingdom dan merupakan anak kepada seorang Professor, tetapi tidak
pernah ada sikap meninggi diri dalam pembawakan gadis itu.
Azzalea
meninggalkan Ustazah Sofea setelah berbicara seketika. Tidak mahu mengganggu waktu mengajar. Mendengar riuh di kelas anak-anak yang
berusia empat tahun, segera pintu dikuak lebar.
Wah, rupa-rupanya sedang berlakon drama.
Terlihat adegan kejar mengejar dan ada yang menyorok di balik
pokok. Pokok la sangat. Pokok tu hasil lukisan mural guru-guru dalam
projek memperindahkan lagi kelas dan tadika mereka. Kelihatan Teacher Rozita yang lebih selesa
digelar Ita sedang mengarahkan anak-anak kecil itu.
“Amboi,
main apa ni?” tegur Azzalea. Riuh rendah yang kedengaran tadinya terhenti
seketika.
“Bukan
mainlah cikgu. Kitorang tengah berlakon
ni,” terang seorang anak kecil yang berlagak sebagai peragut. Hampir tergelak Azzalea melihat mimik
wajahnya.
“Oh,
berlakon ke. Wah, bolehlah cikgu jadi
penonton ye,” balasnya kembali. Lakonan
anak-anak kecil itu disambung kembali.
Rupa-rupanya berlakon cerita peragut dan perompak.
Sebenarnya,
dalam mendidik anak-anak seusia begini, praktikal lebih berkesan daripada
teori. Disebabkan itu jugalah Azzalea
lebih gemar guru-gurunya lebih kreatif di dalam kelas. Bagi Teacher Rozita, pengalaman bersama
anak-anak kecil itu sangat berguna kepadanya apatah lagi kini dia juga sedang
menyambung pengajian di dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Malaya. Puas melayan karenah anak-anak kecil itu,
Azzalea kembali semula menyambung kerja-kerja di pejabat kecilnya. Mata sesekali melirik ke arah jambangan bunga
mawar yang terletak indah di atas meja sudut.
Pandai Ibu Zai menyusun atur jambangan itu, lebih pandai orang yang
memilih dan menghantar jambangan itu.
Err.. bukan sepatutnya rasa marah tu masih ada ke? Takkan sejambak bunga je dah boleh sejuk hati
kot, haishh Azzalea. Tak mungkin!!!
****************************************************************
Salam sayang2... semoga terhibur dengan n3 kali ini, kita tenang2kan perasaan dulu ye..next chap kita layan perang dingin antara fayyad n azzalea pula.. TQ sbb sabar menanti, sudi2lah drop komen sbgai pembakar semangat Kak Yus utk terus menulis dan menulis dan menulis.. Maaf utk ketidaksempurnaan.
Salam kasih sayang...
Kak Yus
best sangat kak Yus. terima kasih. go Fayyad! ini baru permulaan untuk ambil hati Azzalea. Jangan putus asa! hehee... :D
ReplyDeletehehehe... TQ Afifah, kita tengok setakat mana kerasnya azzalea tu ye..
ReplyDeletePeluang kedua....bukan mudah nak dapat ye fayyad, usaha lebih gigih...kak yus..buat azalea garang2 sikit dgn fayyad tu boleh? Hehe
ReplyDeleteOk...relax..relax. Marah Azzalea masih terkawal lagi.
ReplyDeleteKak Yus, sihat?