Thursday, 8 November 2012

Mengintai Bahagia ~ Bab 27





            Semenjak bergelar mahasiswi semula ni, Acam semakin sibuk.  Bukan sibuk dengan apa pun, sibuk menyesuaikan diri semula dengan segala makneka buku-buku dan jadual kelas yang semakin padat.  Lagi pun kali ini, kolej dah di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur, bukan lagi di Ipoh yang agak kurang sedikit kesibukannya.  Kali ini mata Acam lebih luas terbuka.  Kalau dulu kelompok pelajar tidaklah seadvance pelajar-pelajar di bandaraya kosmopolitan ini.  Macam-macam ragam, dengan dressing ala-ala Hong Kong pun ada, K-pop pun ada, Hollywood jangan cakaplah memang berlambak apatah lagi yang sudah sememangnya serasi dengan hidup di bandar.  Ah, lantaklah.  Yang penting aku tetap dengan cara aku, suka kawan, tak suka boleh jalan, desis hati kecil Acam.  Malas nak fikir sangat pasal penampilan diri.  Dia selesa dengan dirinya sekarang, cukup rencah dalam menjaga peradaban dan aurat yang telah digariskan sudah memadai.  Tak payahlah nak membazir melaram bagai.

            Sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Kolej Twintech itu, dia telah pun mendapat seorang rakan baru.  Heh, pelajar lelaki ye.  Poyo je budak Faizal ni, membuatkan Acam teringat kepada Dzil dengan tingkahnya yang satu.  Iyalah, mana ada budak lelaki yang suka sangat menyakat Acam, mengekor aje mana Acam pergi selain daripada Dzil?  Kat Twintech ni kembar Dzil pun ada, siapa lagi kalau bukan si Faizal tu.  Kembar tak seiras, sepusat sepusing, lain mak bapa asing-asing. Kerjanya sama je, asyik mengekor Acam ke hulu ke hilir.  Ke kantin jumpa muka budak yang sama, ke tandas ..oppss, laluan ke tandas ajelah pun jumpa juga.  Sudahnya, bila dah memang sekelas, Acam terima sahajalah sebagai sahabat.  Tapi kira okey jugalah si Faizal tu, kepala boleh ngam dengan Acam.  Mereng dua kali lima je.

            Paling syok kalau masa kena buat kerja berkumpulan, sanggup si Faizal tu minta tukar kumpulan semata-mata nak satu group dengan Acam.  Apalagi, Acam pun pandai dan bijak sungguh mengambil kesempatan.  Hampir lapan puluh peratus kerja diletakkan di bahu Faizal, dah nak sangat satu groupkan, mestilah sanggup pikul semua.  Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. 

            Suara Mojo yang mendayu-dayu memecah kesunyian kelas yang sedang memberi sepenuh tumpuan kepada penerangan Encik Halim, pensyarah senior di kolej itu.  Semua mata beralih ke arah Acam termasuk jugalah Encik Halim.  Menyedari dirinya menjadi perhatian, cepat-cepat Acam meraba-raba telefon bimbit yang berada di dalam beg kuliahnya.  Macam manalah telefon bimbit ni boleh berbunyi pula.  Bukan dah set ke  silent mode  ke pagi tadi.  Iskh, ada juga yang dapat ceramah free ni karang.

“Tuan Puteri, please put your phone in silent modeI’m trying to help you for an A+ here,” tegur Encik Halim.  Lembut tetapi ada nada ketegasan di situ.  Biasalah pelajar-pelajar sekarang, mana nak lekang dengan telefon mereka mengalahkan businessman.  Dah la tu, telefon bimbit pun semuanya yang canggih manggih, kalahkan pensyarah.

Sorry Sir,” jawab Acam pantas.  Alahai, macam mana pula boleh lupa tukar mode telefon ni tadi.  Biasanya kalau masuk kelas Acam akan memastikan telefonnya ditukar ke silent mode atau vibrate sahaja.  Tak mahu mengganggu konsentrasi pelajar sekelas. 

            Sambil mendengar penerangan Encik Halim, sempat mata Acam menangkap bait-bait yang terpapar di skrin telefon bimbitnya.

Halloooo my dearest Acam, I’m back!  Cuba teka aku kat mana?  ~ Qaid.

            Hati Acam tiba-tiba bertukar gembira.  Sangat gembira.  Rindu pada Qaid setelah berbulan-bulan lamanya tidak bersua terubat dengan kiriman sms itu sahaja.

Waalaikumussalam bro.  Aku tengah kelaslah ni.  Ko kat mana, tak yah la main teka teki dengan aku. ~ Acam.

Hehehe, Assalamualaikum. (macam kena penumbuk je sebiji kat hidung aku ni ustazah oii).  Wei, kalau kat kelas wat apa ko balas sms aku.  Belajar la dulu.  Nanti petang aku call ~ Qaid.

Alaaaa, cakaplah ko kat mana ~ Acam.

Apasal?  Ko rindu kat aku ke? ~ Qaid.

Banyaklah ko punya rindu, tapi sikit-sikit tu ada juga ~ Acam

Kelas ko abis pukul berapa?  Aku ambil ko petang nanti ye ~ Qaid.

Eh, ko tau ke kolej aku kat mana?  Aku kat Twintech dah ni ~ Acam.

Eleh, ko pergi US ke, UK ke, Pakistan ke, Afghanistan ke, jejak ko tu senang je aku nak trace ~ Qaid.

Hek eleh, berlagak.  Okey, ko tunggu aku kat pagar depan kul 5 petang ye ~ Acam.

Okey Princess, see ya ~ Qaid.

            Huh, nasib baik Encik Halim tak perasan aktiviti sampingan Acam ketika itu.  Hati dah seronok sangat hendak bertemu semula dengan Qaid.  Rindu nak mendengar suara mamat poyo tu, mesti banyak cerita yang dibawa pulang dari Qatar.  Entahlah, Acam sendiri tidak pasti perasaannya ketika itu, namun satu rasa yang dia cukup pasti, dia gembira dan tak sabar-sabar untuk bertemu Qaid.

            Semua kuliah yang dimasukkinya hari itu terasa sangat lambat untuk berakhir.  Alahai, lambat sungguh waktu berlalu.  Malah makan tengah hari tadi pun rasa tak berselera.  Ayam yang tergolek dalam pinggan pun nampak macam kayu je.  Sudahnya, nasi dan lauk dijamah sedikit.  Punyalah dahsyat penangan rindu pada kengkawan ni. Dah terbiasa dengan kehadiran Qaid sebelum ini walau pun tidak selalu namun bila berbulan-bulan mamat tu menyepikan diri terasa sedikit kekurangan dalam hidupnya.  Untuk menyatakan yang hatinya telah terpikat dengan Qaid, itu belum cukup pasti.  Oh no..no..no.. bukan mudah nak menembusi tembok hati Acam seorang ni.  Tembok Berlin pun tak tentu lagi kukuh macam ni.

            Tepat jam empat lima puluh, Acam menyelinap keluar daripada kelas mendahului rakan-rakan yang lain tanpa menoleh ke belakang lagi.  Terdengar juga namanya dilaungkan, tapi tidak diendahkan.  Siapa lagi, dah tentulah si Faizal tu.  Malas nak melayan mamat perasan hero Malaya tu saat ini.  Dibiarkan sahaja Faizal terpinga-pinga dengan sikap tidak pedulinya itu.  Kadang-kadang meluat juga hendak melayan mamat sengal seorang tu, asyik nak menempel dan berkepit sahaja dengannya.  Apa yang ada di fikirannya kini hanyalah untuk cepat-cepat sampai ke pagar depan kolej.  Sudah ternampak-nampak senyum manis Imam Muda Qaid yang baru pulang dari Qatar itu.  Silap-silap haribulan dah berserban bagai.  Ahaks, tak boleh menahan sungguh bayangan si Acam ni. 

Wei makcik, kat sinilah,” laung Qaid setelah melihat Acam tercangak-cangak mencarinya.  Memang sengaja dia memakirkan kereta agak jauh sedikit daripada pintu pagar, seronok nak usyar Acam dari jauh.  Berbulan-bulan tak bertemu dengan si gadis idaman hati, dapat tenung lama-lama sikit baru masyuk.

            Senyum.  Hadoi, senyuman Acam yang satu itulah yang buatkan Qaid angau tak hengat.  Kalau boleh dihentikan waktu, mahu sahaja dia hentikan di situ.  Boleh la tatap lama-lama sikit wajah polos gadis yang sedang laju melangkah ke arahnya.  Kalau dilihat daripada gaya tu, berjalan pun tak, berlari pun tak.. entah jogging kot. Ngee…

Walawei… skin headlah bro,” tegur Acam menekup mulut menahan tawa.  Iyalah, selalunya tengok Qaid bukan main lagi control hensem dengan rambut ala pacak bagai.  Kali ini penampilan dah memang macam calon-calon Imam Muda.

“Agak-agak la kalau nak tegur tu, apa tak hensem ke macam ni?”

Err, aku tak cakap ko tak hensem kan.  Kiranya boleh la masuk program Imam Muda tu lepas ni,” balas Acam selamba.  Memang selamba sangat pun minah ni kalau nak mengenakan orang.  Lebih-lebih lagi kalau dengan Qaid dan Dzil.  Nasiblah kedua-dua jejaka tu dah masak sangat dengan fiil tak berapa betul gadis kesayangan yang menjadi rebutan mereka tu.

“Banyak la ko punya imam muda, dah jom blah.”

Wait seminit .. cuba ko cerita dulu kat aku bila ko balik, lepas tu ko nak bawa aku pergi mana.  Ni macam nak kidnap anak dara orang je ghopenye.” 

Apsal? Ko takut aku kidnap ko?  Kalau aku kidnap, aku bawa pergi sempadan Siam tu terus.”

“Hek eleh.. ada berani ke bro?  Aku ni pemegang talipinggang hitam kaler pink tau.”

            Terletus tawa Qaid mendengar celoteh Acam.  Masih macam itu juga, tak pernah berubah.  Kepala gila-gila tak sepadan dengan perwatakan muslimah sejati yang dibawanya.  Itulah Acam, kalau hendak mengenali gadis comel itu, memang kena selak sepenuhnya keperibadian yang dimilik.  Inilah orang kata, don’t judge a book by its cover.  Tak kenal maka tak cinta.  Aduhai, sebut pasal cinta… tak menanggung dah rasa cinta tu dalam hati cuma nak diluahkan sahaja tak termampu.

“Cakap la betul-betul ko nak bawa aku pergi mana ni?” soal Acam sekali lagi setelah kereta meluncur laju meninggalkan kawasan Kolej Twintech.

“Eh, bro, baru aku perasan la.  Kereta baru ke?” soal Acam sekali lagi tanpa menunggu jawapan kepada soalannya yang pertama.  Sebenarnya dia bukan risau sangat pun ke mana Qaid hendak bawanya pergi.  Bukan kali pertama pun dia mengikut si Qaid tu, cuma seronok menyakat je.  Kalau bersama Qaid, dia memang akan sentiasa berasa selamat.

“Hui, macam bertih goreng la mulut ko ni.  Ko rindu sangat kat aku ke, sampai tak sempat aku nak jawab satu persatu soalan ko?” usik Qaid.  Tersenyum melihat muncung yang terbentuk di bibir Acam.  Comel!

“Tak ada maknanya,” balas Acam menjungkit kening ala-ala Ziana Zain.  Heh, dia pun boleh buat tau. 

“Kita makan malam kat rumah Kak Long eh.”

“Bila lak Kak Long duduk kat KL ni?  Bukan Kak Long duduk kat JB ke?”

“Itulah, tak ambil pot dunia luar.  Kak Long tu dah dekat enam bulan duduk kat KL ni, Abang Long kena take over tugas-tugas abang dia kat syarikat keluarga diorang tu.”

“Ooo… macam itu ke? Lama tak jumpa Qeira, seronoknya dapat jumpa budak kecil tu.  Singgah pasaraya kejap boleh?  Aku nak beli something untuk dak kecik tu.”

Okay madam, as you wish.”

            Suasana bandaraya Kuala Lumpur yang sesak sudah mula berkurangan apabila mereka memasuki kawasan perumahan yang terletak di Kampung Batu.  Namun kereta masih meluncur laju sehingga memasuki perkarangan parkir pasaraya Giant Batu Caves.  Mudah pula mendapat parkir petang itu, almaklumlah hari bekerja.  Biasanya kalau awal bulan atau pun hujung minggu, memang terpaksa berpusing empat lima kalilah untuk mencari parkir. 

            Operasi mencari buah tangan untuk Qiera tidak mengambil masa yang lama, sementalah pula waktu yang terhad tidak mengizinkan mereka berlelama di situ. Namun sempat juga Acam mencapai beberapa jenis buah-buahan untuk dibawa bersamanya.  Adatlah kan, kalau bertandang ke rumah orang tak kanlah lenggang kangkung sahaja.  Sekurang-kurangnya bawalah sebungkus dua buah tangan.  Itu pesan ibu yang selalu dipraktikkannya. 

Tidak sampai lima belas minit meninggalkan pasaraya Giant, mereka tiba di hadapan sebuah rumah banglo yang terletak di kawasan perumahan di Taman Mas Tiara .  Cantik seni binanya, ringkas tetapi cukup menarik.  Rumah-rumah di sekeliling juga kelihatan menarik.  Menurut Qaid rumah banglo tiga tingkat itu peninggalan arwah bapa mertua Kak Long.  Rumah itu dulunya didiami oleh abang ipar Kak Long, namun semenjak syarikat mereka telah mengembangkan sayap selangkah lagi ke luar negara, maka abang ipar Kak Long yang bertindak sebagai tulang belakang syarikat telah bersetuju untuk menetap di sana.  Maklumlah, membuka cawangan baru di Australia bukanlah satu usaha yang mudah, memerlukan tenaga pakar yang hebat dan berpengalaman.  Oleh kerana itulah, Abang Long pulang ke Kuala Lumpur untuk mengambil alih urusan di pejabat pengurusan menggantikan abangnya.  Untung orang yang mewarisi empayar perniagaan yang sudah pun stabil dan berkembang ni kan.  Tak payah susah-susah nak berkejar ke sana ke sini mencari peluang pekerjaan.  Iya lah pun, sekarang ni satu kerja kosong diiklankan, beribu orang datang memohon.

Kedatangan mereka memang dinanti-nantikan oleh oleh Kak Long dan Abang Long.  Malah, ketika kereta yang dipandu Qaid memasuki perkarangan rumah pun telah kelihatan si kecil Qeira berlari-larian menuju ke arah mereka.  Rambut kerinting yang ditocang dua itu bergoyang-goyang menambahkan lagi kecomelan si kecil.  Rindu benar Acam kepadanya lalu sebaik sahaja pintu kereta ditutup terus sahaja dia mendapatkan anak kecil itu dan mendukungnya.  Puas pipi Acam dicium dek si kecil apatah lagi apabila mendapat hadiah.  Bukan main seronoknya.

Kak Long yang menghampiri mereka juga turut disalami lalu tubuh Acam diraih dan dipeluk mesra.  Memang seawal pertemuan pertama lagi, keluarga ini sudah terlalu baik padanya.  Sudah terlalu mesra menerimanya.  Kadang-kadang membuatkan Acam rasa sukar untuk melepaskan mereka.  Bimbang jika dia terpaksa memilih dan membuat keputusan yang akhirnya akan merobekkan hati mereka-mereka yang menyayanginya setulus begini.


*****************************************


Maaf ye .. n3 kak yus agak pendek sedikit kali ni, sekadar utk melepaskan rindu pd Acam n Qaid .. hehe.. Dzil tak ada untuk n3 kali ini, direhatkan sebentar... insyaAllah, kak yus akan sambung lagi nanti.. sudi2 komen ye..

Luv u ols.. 
Kak Yus. 

4 comments:

  1. rindu ngn dorang neh..Dzil x de lak tak pe nanti next n3..

    ReplyDelete
  2. Yes...Qaid is back.. suka..suka!

    ReplyDelete
  3. My abang Dzil tak adalah... huhuhu. tapi tak apa. Layan Qaid pula untuk entry ni. hehehe... Buat lepas rindu untuk cerita ni. Terima kasih kak Yus. :)

    ReplyDelete
  4. sabar ye utk next n3.. nak siapkan assignment dulu.. hehehe

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com