Monday, 27 May 2013

SengKeTa CinTa ~ 24

Salam dan selamat tgh hari...

N3 kali ini agak pendek sedikit.. tidak  banyak mengenai Azzalea, tp mungkin ini akan membuatkan semangat Fayyad memenangi semula hati Azzalea semakin membara... maaf ye kalau tidak memuaskan hati.. maaf juga utk ketidaksempurnaan... selamat membaca, semoga terhibur...

******************************************************




           Hampir sejam Datin Norseha menjadi pemerhati gelagat anak bujangnya yang seorang.  Sudah dua tiga kali juga dia keluar masuk ke ruang tamu namun anak bujangnya masuk tersandar di sofa tidak bergerak-gerak.  Tangan memegang akhbar harian tapi mata seperti jauh menembusi dada akhbar.  Bibir pula terkuntum senyuman lebar seolah-olah sudah melayang jauh.  Apa kena agaknya dengan anak bujang yang seorang tu.  Lagak dan gayanya macam orang tengah angau, bercinta semulakah.  Hish, kalau betul biarlah kali ni melekat.

            Punggung dilabuhkan di atas sofa berhadapan dengan Fayyad.  Sekilas, masih lagi menjeling anak bujang itu namun tiada sedikit pun beriak.  Seakan tidak menyedari kehadirannya di situ.

            “Ehem, berita apa agaknya yang seronok sangat tu Ayyad?” 

            “Eh, apa mama?”  Tersentak.  Tak perasan kehadiran mamanya lalu Fayyad membetulkan duduk dan berpura-pura fokus pada pembacaannya.

            “Mama tanya, berita apa yang Ayyad baca sampai tersengih sakan tu?”  Ulang Datin Norseha.

            “Err, err..” Sudahnya tergagap-gagap hendak menjawab soalan Datin Norseha.  Kantoi sudah!

            “Mana tak senyum melebar mamanya, dok teringatkan buah hati pengarang jantungnya la tu,” celah Datuk Halim yang baru sahaja menyertai mereka setelah selesai solat Asar.  Nampaknya hari itu kedua-dua anak dan ayah pulang agak awal ke rumah tidak seperti kebiasaan.  Fayyad pun sudah dua hari bermalam di rumah Datuk Halim.  Selalunya dia lebih selesa tinggal sendirian di kondo yang dibelinya di pinggir bandaraya.

            “Oh, mana you tau dia teringatkan buah hati Bi?”  Datin Norseha seakan tidak percaya kata-kata suaminya. 

            “I dah jumpa tadi, itulah agaknya yang tersengih sampai dalam tidur karang tu.” 

            Kali ini Datin Norseha memang betul-betul berminat untuk mengorek cerita selanjutnya.  Duduknya dikalihkan rapat dengan Datuk Halim yang hanya berkain pelikat. 

            “Serius Bi, you dah jumpa budak tu?  Ceritalah sikit kat I orangnya macam mana.”

            “Macam perempuan lain la juga.  Kalau you tanya muka tu tak adalah versi supermodel, tapi kalau keperibadian yang I nampak dan raut wajah tu memang boleh dibuat menantu,” jawab Datuk Halim bersahaja. 

            Fayyad yang hanya memasang telinga sudah menggelegak hatinya.  Papa dah mula membuka cerita, harus selepas ini mama pula sibuk akan mengorek lebih lanjut.  Selama ini memang dia tidak pernah menceritakan apa-apa tentang Azzalea tapi rasanya kali ini dia harus memperkenalkan gadis itu kepada keluarganya.  Fayyad tidak mahu pisang berbuah dua kali, walau pun kalau diikutkan untunglah pisang berbuah dua kali tu, mana nak cari. 

            Datuk Halim menceritakan tentang pertemuannya dengan Azzalea dan urusan yang melibatkan Tadika/Taska milik Azzalea dan Syarikat Lestari Unggul.  Datin Norseha mendengar dengan tekun dan amat teruja.  Tak sangka suaminya sanggup melakukan semua itu demi menebus kesilapan mereka terhadap anak bujang mereka itu.  Kehilangan Fayyad beberapa tahun yang lalu memberi impak yang besar dalam kehidupan mereka.  Sejak itulah mereka bertekad tidak akan memaksa Fayyad apatah lagi mencampuri hal-hal peribadi Fayyad.  Siapa pun pilihan Fayyad, itulah pilihan mereka juga.

            “Ni buatkan mama nak jumpa sangat dengan Azzalea tu Ayyad, bawalah mama jumpa dia.”

            “Mama, Ayyad ni dalam proses nak tackle semula Lea tu.  Hati dia dah pernah Ayyad kecewakan, bukan mudah nak direbut kembali.  Lea tu kalau boleh, muka Ayyad pun tak mahu dipandangnya,”  luah Fayyad lemah.  Memang itulah kebenarannya.

            “Hmm, iyalah, kalau mama pun memang mama tak nak jumpa lagi orang yang kecewakan mama.  Hati mana yang tak sakit bila dikecewakan.  Kesian anak mama, tapi mama tahu Ayyad mesti kuatkan.  Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih orang kata.  Kita sama-sama usaha, mama backup Ayyad tiga ratus percent.”

            “Hamboi, you pula yang terlebih semangat,” celah Datuk Halim menepuk paha isterinya.  Tersungging senyuman di wajah mereka.

            “Anak I punya pasal, mestilah.”

            Perbualan hangat mereka terhenti apabila Kak Ton, pembantu rumah mereka tiba dengan sedulang makanan untuk minum petang.  Cawan dan piring disusun rapi di atas meja.  Kak Ton yang telah berkhidmat lebih daripada dua puluh tahun di rumah agam itu sangat memahami fiil Datin Norseha yang agak cerewet.  Kemas dan kemas.  Jangan nak berselerak sana sini, sehinggakan hidangan di atas meja pun mesti teratur.  Iyalah, orang belum ada cucu.  Kalau dah bercucu nanti tahulah kena pejamkan mata dengan keletah cucu-cucu.

            “Lim, Seha, Yad, jom minum petang dulu,” panggil Kak Ton yang sedari dulu memang membiasakan panggilan nama sahaja. 

            “Hmm.. perut saya pun dah berbunyi-bunyi ni Kak Ton.  Lagi pun teringin nak makan puding karemel yang saya bawa balik tadi.”  Datuk Halim segera bangkit lalu menuju ke meja makan.

            “Bi, bila you bawa balik puding?”  Terus Datin Norseha juga turut mengikut langkah suaminya ke meja makan.  Sesuatu yang asing baginya, mana pernah suaminya itu bawa balik makanan ke rumah.  Kalau pergi makan kat luar adalah.

            “Kan tadi I pergi jumpa Lea tu, helper Lea kat Tadika tu rajin memasak, masa kitorang sampai tadi dia tengah kukus kuih talam ubi.  Dapatlah kitorang merasa, memang sedap betul.  Puding ni dia buat untuk Lea, tapi diberinya sebagai bekalan untuk kita.”  Datuk Halim sudah pun mengambil tempat duduk dan segera hidangan di hadapannya dijamah.  Memang sedap, terasa lengkap segalanya.  Memang dipuji sungguh kehandalan Ibu Zai ni memasak.

            “Err.. siapa nama helper Lea tu ye Yad?” soal Datuk Halim cuba mengingati nama Ibu Zai.

            “Ibu Zai, papa.”

            “Hmm.. Kak Ton, rasalah ni.  Memang sedap dia masak Kak Ton, nanti bolehlah Kak Ton masak macam ni ye.  Tak pun nanti saya minta Lea bawa Ibu Zai datang sini bila-bila.” 

            Melihatkan Datuk Halim yang berselera sungguh menghadap puding yang telah dua kali bersalin ke piringnya, Datin Nurseha juga tidak mahu mengalah.  Hatinya memuji keenakan masakan Ibu Zai itu.  Kak Ton juga turut dihulurkan sepiring.  Bukanlah Kak Ton tidak pandai memasak, tapi bab-bab kuih muih ni Kak Ton agak jarang sedikit memasaknya.  Lagi pun tak banyak masa nak mempraktikkan di rumah itu, iyalah, bukan ada sesiapa yang nak makan sangat pun.  Sesekali kalau ada tetamu sahaja barulah sibuk nak masak beraneka macam.

            “Hmm.. sedapkan Kak Ton,” usik Fayyad sambil mencucuk pinggan Kak Ton yang duduk di sebelahnya.

            “Oh kau, cantik tak Kak Ton…”

            Apa lagi berderailah tawa ketiga-tiga beranak tu mendengar latah Kak Ton.  Hampir tersembur makanan yang berada di dalam mulut Datin Norseha.  Lengan
Fayyad dicubitnya perlahan, geram dengan perangai anak lelaki yang seorang ni.  Tak ada kerja, nak mengacau Kak Ton je.  Kesian pula tengok Kak Ton yang terlatah-latah diusik sebegitu. 
            “Mak Ton cantik,” usik Fayyad lagi.

            “Hish kamu ni Ayyad, dah melalut Mak Ton ni,” bebel Mak Ton geram.  Namun Kak Ton gembira kerana rumah besar itu kembali ceria dengan kepulangan Fayyad.

Kak Ton ni pun bukan orang lain dengan Datin Norseha, saudara mara juga.  Bau-bau kuini orang kata.  Sejak arwah suaminya meninggal dalam kemalangan di kilang papan tempatnya bekerja, Kak Ton membawa diri dan bekerja di rumah agam itu.  Dia tidak mahu kenangan pahit kehilangan suami yang dicintainya menghantuinya saban hari.  Datin Norseha mengajaknya tinggal bersama di rumah itu namun Kak Ton menolak melainkan jika dia dibenarkan bekerja untuk mereka.  Pada awalnya Datin Norseha menawarkan Kak Ton kerja di Syarikat Lestari Unggul, sebagai pembantu am, bolehlah tolong-tolong itu dah ini.  Iyalah, pendidikan tak tinggi mana kalau diberi jawatan yang penting nanti takut tak mampu pula dilaksanakan. 

Namun Kak Ton menolak mentah-mentah tawaran Datin Norseha yang ketika itu masih belum mendapat gelaran Datin lagi.  Malah Kak Ton memohon agar dia diberikan kerja sebagai pembantu rumah sahaja.  Alasan Kak Ton, dia tak sanggup meninggalkan dua orang anaknya yang baru meningkat remaja.  Alhamdulillah, kini kedua-duanya telah pun mendirikan rumah tangga dan mempunyai kerjaya yang baik.  Kak Ton pula sudah terlalu selesa di rumah itu sehingga dia pernah berkata, biarlah dia pejamkan mata di situ. 

Fayyad tersenyum sendirian tatkala melihat reaksi mama dan papanya yang seolah-olah menerima pilihan hatinya kini.  Reaksi positif papa dan komen papa tentang Azzalea sewaktu pulang selepas pertemuan mereka tadi pun nampak seperti Azzalea sudah mula mendapat tempat di hati papanya itu.  Rasanya mungkin dengan cara sponsorship ini juga dapat membantu Fayyad memenangi semula hati Azzalea walaupun dia tahu ia bukan satu jalan yang mudah.

            “Dah tak payah nak senyum-senyum, nanti bawa mama jumpa gadis idaman hati jejaka idaman Malaya mama ni,” usik Datin Norseha yang sedari tadi hanya memerhatikan Fayyad.

            Tersipu apabila perlakuannya menjadi perhatian, sengihan semakin melebar.  Kepala yang tidak gatal digaru-garu.

            “Hmm, kalau mama nak join aktiviti sukaneka tadika tu nanti, bolehlah Fayyad bawa mama sama.”

            “Wah, itu dah bagus tu.  Mama pun dah lama tak join aktiviti-aktiviti luar macam ni.  Asyik sibuk dengan aktiviti persatuan je, nak juga mama sama-sama berpanas tengok riuh budak-budak kecil.  Nak harapkan cucu, entah bila la tu.” 

            “Mama doakan Ayyad banyak-banyak.  Doa seorang ibukan dimakbulkan Allah,” bisik Fayyad perlahan.


            Datin Norseha menggangguk perlahan.  Dia amat faham perasaan anaknya itu.  Walaupun dia bukan ibu kandung Fayyad, tapi dia percaya Allah tak akan meminggirkan doa yang dipanjatkan untuk anaknya itu setiap waktu.  Setiap amalan yang dilakukannya, diiringi doa agar andai ada pahala untuk setiap amalan itu dititipkan untuk kebahagiaan anaknya yang seorang.  Kasih sayang Datin Norseha tumpah sepenuhnya untuk Fayyad Iskandar, walaupun bukan darah dagingnya tapi anak itulah yang membawa seribu kebahagiaan buat dirinya.  




************************
Salam penuh kasih sayang...

Kak Yus..

3 comments:

  1. Kak Yus terharunya baca part kasih ibu. Walaupun bukan ibu kandung tapi kalau dah sayang bawa ke syurga.

    Kmas

    ReplyDelete
  2. endbie : (Y)

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com