Badan kecilnya dihempaskan ke atas
katil tanpa memperdulikan tudung yang masih berlilit di atas kepalanya. Pening dan terasa berdenyut2 kepalanya akibat
terlalu banyak memikirkan persoalan yang bermain di minda. Nak tak nak kena juga berfikir. Kalau mata telah melihat, hati telah terusik,
jiwa telah tertampar, takkanlah pula hendak buat tak tahu sahaja. Hatinya yang rapuh itu pula sudah dihimpit
rasa sayu dan sakit yang bertalu-talu.
Parut luka yang dalam suatu ketika dulu kini mula terasa berdarah
kembali.
Ingat senang ke nak pulihkan hati
yang parah. Bertahun-tahun lamanya dia
mencari ketenangan dan penawar untuk mengubati luka di hati. Luka yang teramat dalam yang bisa membuatkan
hidupnya lumpuh bahagia. Parut yang
ditinggalkan membuatkan dia hampir nanar untuk terus hidup. Ketenangan yang hadir setelah hampir dia
musnahkan hidupnya sendiri.
Azzalea masih teringat ketika kad
ucapan berbentuk hati itu tiba ke tangannya lima tahun nan lalu. Betapa tega lelaki itu menghancurkan hatinya
dengan bait-bait bicaranya. Meninggalkan
dia tanpa tahu apa silapnya. Memutuskan
hubungan yang baru terbina tanpa tahu puncanya sedangkan baru beberapa bulan
sebelum itu lelaki yang sama telah mengucapkan kata-kata sayang kepadanya. Lelaki itu juga yang telah menjemput dirinya
untuk hadir sebagai suri di hati.
Sungguh rasa diri terlalu kecil pada saat itu. Tega sungguh membiarkan dia dilambung ombak
teka-teki, menilik di mana kesilapan diri sehingga terlontar jauh
sebegitu. Lantaran hati nan retak seribu
itulah yang membawa Azzalea jauh daripada kesibukan kota .
Berkelana sendirian membawa diri ke daerah terpencil mencari sebuah
keyakinan yang hilang.
Masih segar di ingatan, sepasang
tangan yang dihulur, menarik dirinya yang tenggelam dalam lembah kedukaan dan
kekeliruan yang hampir memusnahkan dirinya sendiri. Sepasang tangan milik seorang wanita yang sangat
dipujanya, walau pun hubungan mereka jauh tapi wanita itulah yang merubah hati
dan dirinya. Kerana sepasang tangan
itulah, dia mampu mencorak kehidupan barunya hari ini. Menjadi seorang Amira Qaireen Azzalea yang
baharu, yang tabah dan kuat menghadapi dugaan yang mendatang. Ingatan silam berputar dan memanggil-manggil
dia kembali mengingati setiap detik pedih itu.
**************
Seminggu dia memendam rasa, mencari
di mana silapnya sehingga Fayyad sanggup mengecewakannya sebegitu rupa. Hampir dia tewas dengan kekecewaan diri. Akhirnya, tidak sanggup lagi menghadapi
wajah-wajah yang dikenalinya di pejabat itu, lantaran peristiwa pilu kehadiran
kad ucapan itu telah diketahui ramai.
Hatinya sakit melihat ada senyum sinis yang bertenggek di bibir rakan
sekerja. Pernah juga dia terdengar
soseh-soseh mereka bergossip mengenainya.
Kononnya tak setaraf dengan anak Datuk itulah yang menyebabkan hubungan
dia dan Fayyad kecundang. Bermacam-macam
spekulasi timbul gara-gara mulut tempayan yang tak pernah lepas peluang untuk
mengambil kesempatan di atas kesedihannya.
Sudahnya, Azzalea mengambil
keputusan untuk pergi meninggalkan bandar kosmopolitan itu. Notis sebulan yang dihantar kepada Encik
Eshan awalnya ditolak mentah-mentah.
Puas En. Eshan menasihatinya agar berfikir panjang dan bersikap
rasional. Jangan kerana hati yang patah,
kerjayanya juga turut terkorban. Namun,
bila hati sudah dijentik rasa pilu yang parah, mana mungkin untuk dia berlelama di situ lagi. Ditambah pula dengan soseh-soseh nakal yang
sering mengundang air matanya, dia nekad.
Biarlah En. Eshan memujuk dia berkali-kali pun, biarlah lelaki itu
menawarkan gaji yang banyak pun, dia tetap akan meninggalkan kerjayanya dan kota itu sekali gus.
Kekecewaan itu turut dirasai oleh
Dirah kerana saban hari melihat linangan air mata Azzalea. Mungkin kerana itu jugalah, Dirah tidak
pernah sesekali menghalang Azzalea untuk mencari ketenangan di mana-mana pun
Azzalea mahu. Pergilah, asalkan Azzalea
mampu pulang dengan dirinya yang baharu.
Tamat sebulan notis perletakan
jawatan Azzalea dan setelah menyerahkan semua tugas-tugas yang akan ditinggalkannya
kepada pengganti barunya, Azzalea tidak menoleh walau sekali pun. Kaki diatur laju meninggalkan pejabat
itu. Hanya beberapa orang rakan setugas
yang sememangnya rapat dengannya sahaja yang tahu mengenai pemergiannya hari
itu. Memang berita tentang pemergiannya
telah tersebar luas namun tidak ramai yang tahu akan tarikh sebenar. Sengaja dia tidak mahu mewar-warkannya. Cukuplah hatinya terobek di situ, tidak mahu
lagi ada spekulasi lain yang akan lebih memedihkan jiwanya yang sudah terlalu
parah.
Dirah hanya menyorot sayu bayang
Azzalea yang telah pun masuk ke dalam ruang menanti di LCCT itu. Tangannya masih melambai walau pun dia sedar,
Azzalea pasti tidak akan berpaling lagi.
Hati gadis itu sudah cukup terluka dengan perlakuan Fayyad. Entahlah, dia sendiri pun tidak tahu punca
perpisahan mereka tapi jikalau dia berada di tempat Azzalea, mungkin dia juga
akan nanar begini. Mana tidaknya, hari
lahir yang sepatutnya disambut dengan meriah tercalar dengan kehadiran kad
ucapan yang terkandung dengan kata-kata pedih menghiris hati. Setelah pasti kelibat Azzalea tidak kelihatan
lagi, Dirah kembali semula mendapatkan kereta yang diparkir. Biarlah sahabatnya itu mencari
ketenangan. Doanya agar ada cahaya baru
yang akan bersinar buat Azzalea.
“Carilah
ketenangan yang telah dirampas darimu Lea, aku sentiasa akan doakan kau,”
bisiknya sayu.
Sepanjang penerbangan ke Lapangan
Terbang Sultan Ahmah Shah ditemani dengan rasa sebak yang membuak di dada. Azzalea hanya memejam rapat matanya tanpa
menghiraukan orang di sekeliling. Genangan
air mata dibiarkan sahaja. Peduli jika
ada mata yang memerhati. Penerbangan yang hanya mengambil masa empat puluh lima minit itu akhirnya
menjejakkan kaki Azzalea kembali ke negeri asal ibunya, negeri yang sering dirinduinya.
Selesai urusan di ruang bagasi,
cepat-cepat dia mengambil teksi yang bersusun di luar lapangan terbang. Setelah menyusun bagasi-bagasinya ke dalam boot kereta, terus sahaja Azzalea
melangkah lesu ke dalam perut teksi. Seketika,
teksi yang lebih dikenali dengan kereta sewa itu meluncur laju membelah
kesibukan Bandaraya Kuatan bersama kemelut hati yang ditinggalkan Azzalea. Pemandangan yang sebelum ini selalunya indah
menjadi pudar pada penglihatannya kini.
Apa yang tinggal hanyalah genangan air mata tatkala teringatkan
tempat-tempat yang pernah mereka singgah bersama. Kuantan ini bukanlah bandar yang asing bagi
Azzalea dan Fayyad. Dua kali mereka ke
Cherating dan dua kali juga mereka pernah singgah di situ. Mata Azzalea dipejam rapat, tidak mahu
mengingati lagi detik-detik yang terlakar itu.
Jauh, jauh… Biarlah semua
kenangan itu bertebaran jauh. Tidak mahu
satu pun dikutip, kerana dia yakin ia hanya akan menambahkan lagi kedalaman
duri yang sedang menyusuk di tangkai hatinya itu.
Kereta sewa merah kuning yang
dipandu oleh lelaki separuh usia itu dibelok kemas ke perkarangan Black Stone
Resort yang terletak di Pantai Batu Hitam.
Angin laut yang bertiup lembut menyambut kedatangan Azzalea. Rimbun resah yang berpohon di hatinya dibiarkan
berlalu bersama angin lalu. Segera dia
mengambil huluran bagasi yang telah dikeluarkan oleh pemilik kereta sewa dan
setelah membayar lelaki itu, Azzalea melangkah laju ke arah lobi Resort. Cepat, mudah dan tidak perlu berlelama di
kaunter penyambut tetamu. Lima minit
sahaja yang diperlukan untuk urusan pendaftaran dan akhirnya Azzalea telah
selamat berbaring di biliknya yang betul-betul menghadap lautan lepas.
Usai mengerjakan solat Asar, Azzalea
mendapatkan telefon bimbitnya yang telah lama dimatikan sebelum menaiki kapal
terbang tadi. Hah, tu dia.. hampir
sepuluh missed call daripada Dirah.
Namun dibiarkan sahaja tanpa mahu membalas panggilan itu. Seterusnya, peti mesej dibuka apabila
terlihat ada beberapa mesej masuk.
Dirah, Dirah, Dirah dan Dirah lagi, umi dan satu mesej daripada nombor
yang dia tidak kenali. Satu persatu
mesej dibaca dan bibirnya tidak berhenti tersenyum apabila membaca mesej Dirah.
Aku dah selamat sampailah makcik, ko tak
payah la risau sangat. ~ Lea.
Selang lima minit,
bip notifikasi mesej masuk berbunyi.
Alhamdulillah. Ko nanti jangan hilang macam tu aje. Cepat balik sini tau, takutlah aku duk
sorang-sorang ni. ~ Dirah.
Alah, ko kan dah nak kahwin tak lama
lagi. Mana ada duk sorang lama-lama. ~
Lea.
Apa pun, keep in touch darling. Tenangkan jiwa ko dulu..ambillah masa selama
mana yang ko nak, ubati luka di hati tu.
Aku selalu ada untuk ko. Ingat Once kata.. selalu ada..lalalalalala
selalu ada.. (ko nyanyilah ikut lagu Dealova tu).. *__< ~ Dirah..
Tersengih lebar Azzalea membaca
mesej terakhir Dirah. Sempat lagi nak
bergurau, siap suruh nyanyi bagai. Dia
tahu sudah banyak yang Dirah lakukan untuk memujuk hati lukanya. Bertuah rasa
dirinya mempunyai sahabat yang cukup mengambil berat. Dalam dunia hari ini, bukan mudah untuk
mendapat sahabat yang sudi berkongsi kesedihan bersama, kalau seronok dan
senang ramailah yang menghimpit.
Mesej Dirah dibiarkan tidak
berbalas. Dia tahu, telefon bimbitnya
itu tak akan sunyi dengan mesej-mesej Dirah nanti.
******************************
Sudah seminggu Azzalea bertamu di
Batu Hitam, membawa diri mencari ketenangan yang diharapkan. Namun, masih terlalu jauh kedamaian itu untuk
dicapai. Entah kenapa, pantai, pasir,
ombak, angin laut menderu tidak mampu mendamaikan hatinya. Semakin resah, semakin gelisah. Tiap kali pandangan mata tertumpah ke dada
laut, hatinya akan gundah. Hatinya akan
disapa setiap saat kenangan lalu bersama Fayyad. Ombak laut yang menghempas di kakinya seakan
menyeretnya kembali kepada lelaki itu.
Dia semakin keliru. Apakah pelarian ini satu tindakan tepat yang
telah diambilnya. Atau adakah ia sebuah
lagi kesilapan yang dilakukan tanpa sedar?
Azzalea benar-benar buntu saat itu.
Tangannya mengutip batu-batu kecil yang meliar di kaki lalu dicampakkan
ke laut.
Tiba-tiba bahunya terasa ditepuk
lembut. Azzalea berpaling,
terkejut. Sebuah senyuman manis yang
menghiasi wajah insan yang telah lama tidak diketemuinya menyapa lembut. Melihat wajah itu, airmatanya mengalir deras
tanpa diundang. Entah kenapa, mudah
benar perasaannya dipamerkan. Terus
Azzalea bangkit dan dirangkulnya erat tubuh itu bersama esak yang semakin
mendayu. Bahunya ditepuk-tepuk
lembut. Pelukan dirungkaikan apabila
hati sebaknya semakin reda. Jemari
lembut milik insan yang berdiri di hadapan Azzalea pantas menyeka linangan air
mata yang masih bersisa.
“Kenapa ni? Ya buat apa kat sini sorang-sorang ni?”
Bahu Azzalea dijongket perlahan
seolah-olah menjawab pertanyaan wanita itu.
Suaranya terasa seakan tersekat untuk menjawab, namun pandangan penuh
persoalan dilontarkan semula kepada wanita itu.
Bagaimana wanita itu tahu dia berada di situ? Tiada siapa pun yang tahu mengenai pelariannya
itu.
“Hmm, dah lima
minit Kak Sha perhatikan Ya tadi.
Ingatkan salah mata Kak Sha ni, tapi bukan nak berlagak la kan, sekali
imbas tengok pun Kak Sha dah kenal wajah Ya,” ujar wanita itu lembut. Masih seperti dulu, tutur bicaranya lembut
menyentuh hati.
Jari jemari wanita itu dicapai lalu
digenggam erat. Kalau tadi dia
mencari-cari di mana ketenangan itu, tapi ajaibnya, melihat sahaja wajah wanita
di hadapannya ini, hati Azzalea terus berasa sedikit tenang.
“Jom kita
lepak-lepak kat gerai Mak Anjang tu.
Makan calong sedap tau, dah lama Kak Sha tak balik sini makan calong
tersohor air tangan Mak Anjang tu. Ni
pun, abang Emeer Ya lah ni yang mengidam nak makan calong,” ajak wanita itu
lalu menuntun tangan Azzalea ke arah deretan gerai yang terletak di tepian
pantai Batu Hitam itu.
Perlahan langkah diatur menuruti langkah
wanita hebat itu. Memang Azzalea cukup
kagum dengan wanita yang sedang menuntunnya saat itu. Sedari kecil lagi, wanita itu menjadi
idolanya. Cemerlang dalam pelajaran,
seorang kakak yang baik, seorang sahabat dan kekasih yang cukup kental. Sedikit sebanyak kisah hidup wanita itu
diikutinya walau pun mereka jarang sekali bertemu. Wanita yang dipanggilnya Kak Sha, anak kepada
Mak Long Yati yang merupakan sepupu umi yang masih tinggal di negeri Pahang
itu. Siapa lagi kalau bukan Ayesha
Sorfina Muhamad Tajudin.
Hubungan
persaudaraan mereka amat rapat dan kalau dikira, keluarga Kak Sha lah
satu-satunya yang paling rapat dengan umi dan keluarganya. Sejak arwah datuk dan nenek di sebelah umi
meninggal, rumah Mak Longlah menjadi tempat mereka berteduh jika pulang ke
negeri ini. Bukan tidak mahu pulang ke
kampung halaman, tapi mengenangkan sikap dan penerimaan yang kurang baik
daripada keluarga yang lain menyebabkan mereka lebih selesa berada di sana.
Semenjak
umi ditinggalkan abah untuk wanita lain, seluruh keluarga di sebelah umi
seakan-akan menyalahkan umi. Tak pandai
jaga suamilah, tak pandai mengambil hati suamilah dan bermacam-macam tohmahan
dilemparkan sehinggakan umi tidak sanggup untuk berhadapan dengan mereka. Sedangkan, mereka tidak pernah tahu apa yang
terjadi sebenarnya. Mujurlah ketika
arwah tokma meninggal, ada Mak Long yang sudi menumpangkan mereka anak
beranak. Malah umi pun lebih rapat
dengan Mak Long daripada sepupu-sepupu yang lain. Nak rapat dengan adik beradik sendiri, umi
tak ada adik beradik. Menumpang kasih
dengan saudara mara yang terdekat sahajalah.
Tapi kasih sayang Mak Long dan Mak Su memang luhur. Begitu juga penerimaan anak-anak Mak Long
terhadap Azzalea dan adik-adiknya yang lain.
Langkah mereka terhenti di hadapan
meja yang sedang diduduki oleh seorang lelaki bersama kanak-kanak perempuan
yang berumur sekitar empat tahun. Lelaki
itu menoleh ke arah mereka bersama sebuah senyuman yang tampak ikhlas
dilemparkan.
“Oh, patutlah
sayang nak pergi kat situ, rupanya nampak Ya ke. Hai Ya, ingat abang lagi tak? Lama tak jumpa Ya.”
Mengagumkan. Sangat-sangat mengagumkan sebenarnya. Emeer Zafran, masih mengingati wajah dan
namanya sedangkan kali terakhir mereka bertemu rasanya sudah hampir tiga tahun
lalu. Itu pun ketika Abang Emeer dan Kak
Sha menitip kunjung berhari raya ke rumah umi.
Memang benarlah, mereka yang menerima sebuah ikatan dengan ikhlas tidak
akan mudah melupakan.
Emeer
Zafran yang sibuk meladeni keletah si kecil Eizleen Safiyyah yang semakin comel
membesar bangkit daripada duduknya lalu menarik sebuah kerusi untuk isteri
tersayang. Senyuman berbalas senyum
antara pasangan bahagia itu. Sekilas kelihatan jemari Ayesha dikucup lembut
oleh Emeer tanpa silu dan membuatkan Eizleen terkekeh-kekeh tertawa. Anak itu memang pantang melihat aksi-aksi
romantis kedua ibu dan ayahnya, pasti akan gelekek tertawa. Yang si ayah pula memang macam tu, lagi
seronok dia mengusik anak gadis kecilnya itu.
Kadang-kadang Ayesha pun naik segan juga dengan fiil Emeer yang tak
pernah berasa segan untuk bermesra dengannya waima pun di hadapan orang
lain. Kata Emeer, sah-sah isteri dia,
suka hati dialah nak buat apa-apa pun.
Heh memang tak boleh blah sikap suaminya itu. Saat itu juga, entah kenapa, hati Azzalea
yang gundah hilang rasa dengan sentuhan kemesraan suami isteri di hadapannya. Memang telah lama dia mengagumi
kedua-duanya. Sentiasa mesra dan manja
tak kira di mana pun mereka berada.
Saling lengkap melengkapi.
“Jom duduk Ya,
kita layan calong Mak Anjang ni. Abang
dah dua mangkuk ni, Eizlen pun dah nak abis semangkuk ni,” pelawa Emeer mesra
mencantas lamunan seketika Azzalea.
Pelawaan Emeer hanya dibalas senyuman lalu Azzalea melabuhkan duduk
bersama mereka. Emeer dan Ayesha
berbalas pandang dan sempat Ayesha menghadiahkan kenyitan matanya kepada sang
suami. Comel je.
“Ya buat apa kat
sini?” soalan cepumas daripada Emeer menyapa pendengaran Azzalea.
“Ya bawa hati….”
Pendek dan ringkas jawapannya. Entah,
dia sendiri tiada jawapan yang tepat untuk soalan itu. Wajahnya ditenung lama oleh Emeer dengan mata
yang membulat besar. Tahu sangat kalau
dah lemparkan pandangan sebegitu, mesti minta penjelasan lanjut. Tapi nak cakap apa, Azzalea sendiri pun tak
tahu di mana hendak bermula.
“Dah lama ke Ya
kat sini?” Giliran Ayesha pula melemparkan soalan.
“Dah seminggu
Kak Sha, tapi itulah, semuanya rasa macam tak betul. Susah nak ubati hati yang luka ni.” Kenapa mudah sahaja dia meluahkannya tanpa
ada sedikit pun rasa silu terhadap mereka berdua.
“Hmmm, lepas
makan ni kita balik rumah Mak Long ye.
Tak payah la Ya duduk sini sorang-sorang, mencari ketenangan dalam
merawat hati bukan macam ni caranya dik.
Lagi pun Kak Sha cuti seminggu kat sini, boleh aje Kak Sha temankan Ya.”
“Oh, see. Pakar Cinta dah buka sesi terapi,” usik Emeer
yang akhirnya dibalas dengan sebuah cubitan.
“Ouch!! Sakitlah
sayang,” adunya manja.
“Hmmm,
mengada-ngadalah lagi. Saja tau nak
kata-katakan orang.”
“Tak apalah Kak
Sha, Ya tak nak susahkan siapa-siapa," balasnya lembut.
“Tak ada siapa pun
yang susah, Kak Sha lagi susah hati tinggalkan Ya kat sini. Dah, kita makan
dulu calong superb ni, lepas tu kita
balik resort Ya kemas-kemas dan check out. Mak Long pun mesti suka tu kalau Ya tinggal
kat sana,” pujuk Ayesha. Dia sangat
pasti dengan keputusannya itu. Dia
pernah berada di situasi itu, mungkin lebih buruk suatu ketika dulu. Berseorangan dan meratapi kesedihan bukanlah
caranya untuk merawat hati yang lara.
Kehadiran Azzalea di gerai itu juga
disambut mesra oleh Mak Anjang, pemilik gerai makan yang juga mempunyai talian
persaudaraan dengan mereka. Bau-bau
durian bak kata Emeer Zafran. Seketika,
kelukaan di hati Azzalea bertebaran jauh hilang ditelan kemesraan layanan
Ayesha dan Zafran bersama keletah manja si kecil Eizleen yang bakal mendapat
teman sedikit waktu lagi.
Biarlah esok dan hari-hari mendatang
merawat lukanya, dia ingin bersama mereka ini yang sungguh mendamaikan.
********************************
Salam dan selamat pagi sayang-sayang kak yus... maaf ye, ambil masa yg agak lama utk updates entry ni.. being a fulltime mom + teacher + accountant + blablabla .. mmg susah nak dok hadap pc ni lelama.. ada je tukang cantas tu.. *__<. Harap entry ni dpt menghiburkan dan sedikit mengubati rindu pd Emeer & Ayesha.. maaf atas ketidaksempurnaan.
Luv u ols so much.. doakan k.yus berjaya menyiapkan manuskrip SC ni ye.
sian azzalea smga luka dihati dpt terubati..
ReplyDeletewah x sangka sedara dgn ayesha rupa2nya azzalea ni:)..terubat jg rindu dgn ayesha&ameer he3..
begitulah adat hidup kan Alina.. ada masa kita gembira, ada masa kita terluka.. cuma klu sering dilukai, takut hati kita mati rasa je..
ReplyDeleteKak Yuuuuuuusssssss! I love u sooooooooo much!!!! Seronok gila ada Emeer dan Ayesha. Saya dah terkinja2 dah sambil membaca tau... Thank u Kak Yus... hihihihii
ReplyDeletehehehe... Azielaaaaa lalingggggggggg... nanti kita kasi lagi lebih perisa dgn Emeer & Ayesha tu kan.. mana tau kot2 Fayyad pun spesis cam Emeer gak nanti.. hahaha ... i luv u toooooooooooo dear.
ReplyDeletebest sanagt-2 kak nak lg boleh.
ReplyDeleteboleh kak Baby Mio.. yus cuba siapkan secepat n sebaik2nya ye kak.. luv u.
ReplyDeleteWuhuuu...ayesha n abg emeer dh muncul haha >_< thumbs up kak yus,busy2 pun smpt lg haha
ReplyDeletesuker nye.....nak lagi
ReplyDelete