Thursday 10 January 2013

Sengketa Cinta ~ 15




            Badan kecilnya dihempaskan ke atas katil tanpa memperdulikan tudung yang masih berlilit di atas kepalanya.  Pening dan terasa berdenyut2 kepalanya akibat terlalu banyak memikirkan persoalan yang bermain di minda.  Nak tak nak kena juga berfikir.  Kalau mata telah melihat, hati telah terusik, jiwa telah tertampar, takkanlah pula hendak buat tak tahu sahaja.  Hatinya yang rapuh itu pula sudah dihimpit rasa sayu dan sakit yang bertalu-talu.  Parut luka yang dalam suatu ketika dulu kini mula terasa berdarah kembali.

            Ingat senang ke nak pulihkan hati yang parah.  Bertahun-tahun lamanya dia mencari ketenangan dan penawar untuk mengubati luka di hati.  Luka yang teramat dalam yang bisa membuatkan hidupnya lumpuh bahagia.  Parut yang ditinggalkan membuatkan dia hampir nanar untuk terus hidup.  Ketenangan yang hadir setelah hampir dia musnahkan hidupnya sendiri.

            Azzalea masih teringat ketika kad ucapan berbentuk hati itu tiba ke tangannya lima tahun nan lalu.  Betapa tega lelaki itu menghancurkan hatinya dengan bait-bait bicaranya.  Meninggalkan dia tanpa tahu apa silapnya.  Memutuskan hubungan yang baru terbina tanpa tahu puncanya sedangkan baru beberapa bulan sebelum itu lelaki yang sama telah mengucapkan kata-kata sayang kepadanya.  Lelaki itu juga yang telah menjemput dirinya untuk hadir sebagai suri di hati.  Sungguh rasa diri terlalu kecil pada saat itu.  Tega sungguh membiarkan dia dilambung ombak teka-teki, menilik di mana kesilapan diri sehingga terlontar jauh sebegitu.  Lantaran hati nan retak seribu itulah yang membawa Azzalea jauh daripada kesibukan kota.  Berkelana sendirian membawa diri ke daerah terpencil mencari sebuah keyakinan yang hilang.

            Masih segar di ingatan, sepasang tangan yang dihulur, menarik dirinya yang tenggelam dalam lembah kedukaan dan kekeliruan yang hampir memusnahkan dirinya sendiri.  Sepasang tangan milik seorang wanita yang sangat dipujanya, walau pun hubungan mereka jauh tapi wanita itulah yang merubah hati dan dirinya.  Kerana sepasang tangan itulah, dia mampu mencorak kehidupan barunya hari ini.  Menjadi seorang Amira Qaireen Azzalea yang baharu, yang tabah dan kuat menghadapi dugaan yang mendatang.  Ingatan silam berputar dan memanggil-manggil dia kembali mengingati setiap detik pedih itu.




**************

            Seminggu dia memendam rasa, mencari di mana silapnya sehingga Fayyad sanggup mengecewakannya sebegitu rupa.  Hampir dia tewas dengan kekecewaan diri.  Akhirnya, tidak sanggup lagi menghadapi wajah-wajah yang dikenalinya di pejabat itu, lantaran peristiwa pilu kehadiran kad ucapan itu telah diketahui ramai.  Hatinya sakit melihat ada senyum sinis yang bertenggek di bibir rakan sekerja.  Pernah juga dia terdengar soseh-soseh mereka bergossip mengenainya.  Kononnya tak setaraf dengan anak Datuk itulah yang menyebabkan hubungan dia dan Fayyad kecundang.  Bermacam-macam spekulasi timbul gara-gara mulut tempayan yang tak pernah lepas peluang untuk mengambil kesempatan di atas kesedihannya. 

            Sudahnya, Azzalea mengambil keputusan untuk pergi meninggalkan bandar kosmopolitan itu.  Notis sebulan yang dihantar kepada Encik Eshan awalnya ditolak mentah-mentah.  Puas En. Eshan menasihatinya agar berfikir panjang dan bersikap rasional.  Jangan kerana hati yang patah, kerjayanya juga turut terkorban.  Namun, bila hati sudah dijentik rasa pilu yang parah, mana mungkin untuk dia berlelama di situ lagi.  Ditambah pula dengan soseh-soseh nakal yang sering mengundang air matanya, dia nekad.  Biarlah En. Eshan memujuk dia berkali-kali pun, biarlah lelaki itu menawarkan gaji yang banyak pun, dia tetap akan meninggalkan kerjayanya dan kota itu sekali gus. 

            Kekecewaan itu turut dirasai oleh Dirah kerana saban hari melihat linangan air mata Azzalea.  Mungkin kerana itu jugalah, Dirah tidak pernah sesekali menghalang Azzalea untuk mencari ketenangan di mana-mana pun Azzalea mahu.  Pergilah, asalkan Azzalea mampu pulang dengan dirinya yang baharu. 

            Tamat sebulan notis perletakan jawatan Azzalea dan setelah menyerahkan semua tugas-tugas yang akan ditinggalkannya kepada pengganti barunya, Azzalea tidak menoleh walau sekali pun.  Kaki diatur laju meninggalkan pejabat itu.  Hanya beberapa orang rakan setugas yang sememangnya rapat dengannya sahaja yang tahu mengenai pemergiannya hari itu.  Memang berita tentang pemergiannya telah tersebar luas namun tidak ramai yang tahu akan tarikh sebenar.  Sengaja dia tidak mahu mewar-warkannya.  Cukuplah hatinya terobek di situ, tidak mahu lagi ada spekulasi lain yang akan lebih memedihkan jiwanya yang sudah terlalu parah.

            Dirah hanya menyorot sayu bayang Azzalea yang telah pun masuk ke dalam ruang menanti di LCCT itu.  Tangannya masih melambai walau pun dia sedar, Azzalea pasti tidak akan berpaling lagi.  Hati gadis itu sudah cukup terluka dengan perlakuan Fayyad.  Entahlah, dia sendiri pun tidak tahu punca perpisahan mereka tapi jikalau dia berada di tempat Azzalea, mungkin dia juga akan nanar begini.  Mana tidaknya, hari lahir yang sepatutnya disambut dengan meriah tercalar dengan kehadiran kad ucapan yang terkandung dengan kata-kata pedih menghiris hati.  Setelah pasti kelibat Azzalea tidak kelihatan lagi, Dirah kembali semula mendapatkan kereta yang diparkir.  Biarlah sahabatnya itu mencari ketenangan.  Doanya agar ada cahaya baru yang akan bersinar buat Azzalea.

“Carilah ketenangan yang telah dirampas darimu Lea, aku sentiasa akan doakan kau,” bisiknya sayu.

            Sepanjang penerbangan ke Lapangan Terbang Sultan Ahmah Shah ditemani dengan rasa sebak yang membuak di dada.  Azzalea hanya memejam rapat matanya tanpa menghiraukan orang di sekeliling.  Genangan air mata dibiarkan sahaja.  Peduli jika ada mata yang memerhati. Penerbangan yang hanya mengambil masa empat puluh lima minit itu akhirnya menjejakkan kaki Azzalea kembali ke negeri asal ibunya, negeri yang sering dirinduinya. 

            Selesai urusan di ruang bagasi, cepat-cepat dia mengambil teksi yang bersusun di luar lapangan terbang.  Setelah menyusun bagasi-bagasinya ke dalam boot kereta, terus sahaja Azzalea melangkah lesu ke dalam perut teksi.  Seketika, teksi yang lebih dikenali dengan kereta sewa itu meluncur laju membelah kesibukan Bandaraya Kuatan bersama kemelut hati yang ditinggalkan Azzalea.  Pemandangan yang sebelum ini selalunya indah menjadi pudar pada penglihatannya kini.  Apa yang tinggal hanyalah genangan air mata tatkala teringatkan tempat-tempat yang pernah mereka singgah bersama.  Kuantan ini bukanlah bandar yang asing bagi Azzalea dan Fayyad.  Dua kali mereka ke Cherating dan dua kali juga mereka pernah singgah di situ.  Mata Azzalea dipejam rapat, tidak mahu mengingati lagi detik-detik yang terlakar itu.  Jauh, jauh…  Biarlah semua kenangan itu bertebaran jauh.  Tidak mahu satu pun dikutip, kerana dia yakin ia hanya akan menambahkan lagi kedalaman duri yang sedang menyusuk di tangkai hatinya itu. 

            Kereta sewa merah kuning yang dipandu oleh lelaki separuh usia itu dibelok kemas ke perkarangan Black Stone Resort yang terletak di Pantai Batu Hitam.  Angin laut yang bertiup lembut menyambut kedatangan Azzalea.  Rimbun resah yang berpohon di hatinya dibiarkan berlalu bersama angin lalu.  Segera dia mengambil huluran bagasi yang telah dikeluarkan oleh pemilik kereta sewa dan setelah membayar lelaki itu, Azzalea melangkah laju ke arah lobi Resort.  Cepat, mudah dan tidak perlu berlelama di kaunter penyambut tetamu.  Lima minit sahaja yang diperlukan untuk urusan pendaftaran dan akhirnya Azzalea telah selamat berbaring di biliknya yang betul-betul menghadap lautan lepas. 

            Usai mengerjakan solat Asar, Azzalea mendapatkan telefon bimbitnya yang telah lama dimatikan sebelum menaiki kapal terbang tadi.  Hah, tu dia.. hampir sepuluh missed call daripada Dirah.  Namun dibiarkan sahaja tanpa mahu membalas panggilan itu.  Seterusnya, peti mesej dibuka apabila terlihat ada beberapa mesej masuk.  Dirah, Dirah, Dirah dan Dirah lagi, umi dan satu mesej daripada nombor yang dia tidak kenali.  Satu persatu mesej dibaca dan bibirnya tidak berhenti tersenyum apabila membaca mesej Dirah.

Aku dah selamat sampailah makcik, ko tak payah la risau sangat. ~ Lea.

Selang lima minit, bip notifikasi mesej masuk berbunyi.

Alhamdulillah.  Ko nanti jangan hilang macam tu aje.  Cepat balik sini tau, takutlah aku duk sorang-sorang ni. ~ Dirah.

Alah, ko kan dah nak kahwin tak lama lagi.  Mana ada duk sorang lama-lama. ~ Lea.


Apa pun, keep in touch darling.  Tenangkan jiwa ko dulu..ambillah masa selama mana yang ko nak, ubati luka di hati tu.  Aku selalu ada untuk ko. Ingat Once kata.. selalu ada..lalalalalala selalu ada.. (ko nyanyilah ikut lagu Dealova tu).. *__<  ~ Dirah..

            Tersengih lebar Azzalea membaca mesej terakhir Dirah.  Sempat lagi nak bergurau, siap suruh nyanyi bagai.  Dia tahu sudah banyak yang Dirah lakukan untuk memujuk hati lukanya. Bertuah rasa dirinya mempunyai sahabat yang cukup mengambil berat.  Dalam dunia hari ini, bukan mudah untuk mendapat sahabat yang sudi berkongsi kesedihan bersama, kalau seronok dan senang ramailah yang menghimpit. 

            Mesej Dirah dibiarkan tidak berbalas.  Dia tahu, telefon bimbitnya itu tak akan sunyi dengan mesej-mesej Dirah nanti. 

******************************

            Sudah seminggu Azzalea bertamu di Batu Hitam, membawa diri mencari ketenangan yang diharapkan.  Namun, masih terlalu jauh kedamaian itu untuk dicapai.  Entah kenapa, pantai, pasir, ombak, angin laut menderu tidak mampu mendamaikan hatinya.  Semakin resah, semakin gelisah.  Tiap kali pandangan mata tertumpah ke dada laut, hatinya akan gundah.  Hatinya akan disapa setiap saat kenangan lalu bersama Fayyad.  Ombak laut yang menghempas di kakinya seakan menyeretnya kembali kepada lelaki itu. 

            Dia semakin keliru.  Apakah pelarian ini satu tindakan tepat yang telah diambilnya.  Atau adakah ia sebuah lagi kesilapan yang dilakukan tanpa sedar?  Azzalea benar-benar buntu saat itu.  Tangannya mengutip batu-batu kecil yang meliar di kaki lalu dicampakkan ke laut. 

            Tiba-tiba bahunya terasa ditepuk lembut.  Azzalea berpaling, terkejut.  Sebuah senyuman manis yang menghiasi wajah insan yang telah lama tidak diketemuinya menyapa lembut.  Melihat wajah itu, airmatanya mengalir deras tanpa diundang.  Entah kenapa, mudah benar perasaannya dipamerkan.  Terus Azzalea bangkit dan dirangkulnya erat tubuh itu bersama esak yang semakin mendayu.  Bahunya ditepuk-tepuk lembut.  Pelukan dirungkaikan apabila hati sebaknya semakin reda.  Jemari lembut milik insan yang berdiri di hadapan Azzalea pantas menyeka linangan air mata yang masih bersisa.

“Kenapa ni?  Ya buat apa kat sini sorang-sorang ni?”

            Bahu Azzalea dijongket perlahan seolah-olah menjawab pertanyaan wanita itu.  Suaranya terasa seakan tersekat untuk menjawab, namun pandangan penuh persoalan dilontarkan semula kepada wanita itu.  Bagaimana wanita itu tahu dia berada di situ?  Tiada siapa pun yang tahu mengenai pelariannya itu.

“Hmm, dah lima minit Kak Sha perhatikan Ya tadi.  Ingatkan salah mata Kak Sha ni, tapi bukan nak berlagak la kan, sekali imbas tengok pun Kak Sha dah kenal wajah Ya,” ujar wanita itu lembut.  Masih seperti dulu, tutur bicaranya lembut menyentuh hati. 

            Jari jemari wanita itu dicapai lalu digenggam erat.  Kalau tadi dia mencari-cari di mana ketenangan itu, tapi ajaibnya, melihat sahaja wajah wanita di hadapannya ini, hati Azzalea terus berasa sedikit tenang. 

“Jom kita lepak-lepak kat gerai Mak Anjang tu.  Makan calong sedap tau, dah lama Kak Sha tak balik sini makan calong tersohor air tangan Mak Anjang tu.  Ni pun, abang Emeer Ya lah ni yang mengidam nak makan calong,” ajak wanita itu lalu menuntun tangan Azzalea ke arah deretan gerai yang terletak di tepian pantai Batu Hitam itu.

            Perlahan langkah diatur menuruti langkah wanita hebat itu.  Memang Azzalea cukup kagum dengan wanita yang sedang menuntunnya saat itu.  Sedari kecil lagi, wanita itu menjadi idolanya.  Cemerlang dalam pelajaran, seorang kakak yang baik, seorang sahabat dan kekasih yang cukup kental.  Sedikit sebanyak kisah hidup wanita itu diikutinya walau pun mereka jarang sekali bertemu.  Wanita yang dipanggilnya Kak Sha, anak kepada Mak Long Yati yang merupakan sepupu umi yang masih tinggal di negeri Pahang itu.  Siapa lagi kalau bukan Ayesha Sorfina Muhamad Tajudin. 

Hubungan persaudaraan mereka amat rapat dan kalau dikira, keluarga Kak Sha lah satu-satunya yang paling rapat dengan umi dan keluarganya.  Sejak arwah datuk dan nenek di sebelah umi meninggal, rumah Mak Longlah menjadi tempat mereka berteduh jika pulang ke negeri ini.  Bukan tidak mahu pulang ke kampung halaman, tapi mengenangkan sikap dan penerimaan yang kurang baik daripada keluarga yang lain menyebabkan mereka lebih selesa berada di sana. 

Semenjak umi ditinggalkan abah untuk wanita lain, seluruh keluarga di sebelah umi seakan-akan menyalahkan umi.  Tak pandai jaga suamilah, tak pandai mengambil hati suamilah dan bermacam-macam tohmahan dilemparkan sehinggakan umi tidak sanggup untuk berhadapan dengan mereka.  Sedangkan, mereka tidak pernah tahu apa yang terjadi sebenarnya.  Mujurlah ketika arwah tokma meninggal, ada Mak Long yang sudi menumpangkan mereka anak beranak.  Malah umi pun lebih rapat dengan Mak Long daripada sepupu-sepupu yang lain.  Nak rapat dengan adik beradik sendiri, umi tak ada adik beradik.  Menumpang kasih dengan saudara mara yang terdekat sahajalah.  Tapi kasih sayang Mak Long dan Mak Su memang luhur.  Begitu juga penerimaan anak-anak Mak Long terhadap Azzalea dan adik-adiknya yang lain.

            Langkah mereka terhenti di hadapan meja yang sedang diduduki oleh seorang lelaki bersama kanak-kanak perempuan yang berumur sekitar empat tahun.  Lelaki itu menoleh ke arah mereka bersama sebuah senyuman yang tampak ikhlas dilemparkan. 

“Oh, patutlah sayang nak pergi kat situ, rupanya nampak Ya ke.  Hai Ya, ingat abang lagi tak?  Lama tak jumpa Ya.” 

Mengagumkan.  Sangat-sangat mengagumkan sebenarnya.  Emeer Zafran, masih mengingati wajah dan namanya sedangkan kali terakhir mereka bertemu rasanya sudah hampir tiga tahun lalu.  Itu pun ketika Abang Emeer dan Kak Sha menitip kunjung berhari raya ke rumah umi.  Memang benarlah, mereka yang menerima sebuah ikatan dengan ikhlas tidak akan mudah melupakan. 

Emeer Zafran yang sibuk meladeni keletah si kecil Eizleen Safiyyah yang semakin comel membesar bangkit daripada duduknya lalu menarik sebuah kerusi untuk isteri tersayang.  Senyuman berbalas senyum antara pasangan bahagia itu. Sekilas kelihatan jemari Ayesha dikucup lembut oleh Emeer tanpa silu dan membuatkan Eizleen terkekeh-kekeh tertawa.  Anak itu memang pantang melihat aksi-aksi romantis kedua ibu dan ayahnya, pasti akan gelekek tertawa.  Yang si ayah pula memang macam tu, lagi seronok dia mengusik anak gadis kecilnya itu.  Kadang-kadang Ayesha pun naik segan juga dengan fiil Emeer yang tak pernah berasa segan untuk bermesra dengannya waima pun di hadapan orang lain.  Kata Emeer, sah-sah isteri dia, suka hati dialah nak buat apa-apa pun.  Heh memang tak boleh blah sikap suaminya itu.  Saat itu juga, entah kenapa, hati Azzalea yang gundah hilang rasa dengan sentuhan kemesraan suami isteri di hadapannya.  Memang telah lama dia mengagumi kedua-duanya.  Sentiasa mesra dan manja tak kira di mana pun mereka berada.  Saling lengkap melengkapi.

“Jom duduk Ya, kita layan calong Mak Anjang ni.  Abang dah dua mangkuk ni, Eizlen pun dah nak abis semangkuk ni,” pelawa Emeer mesra mencantas lamunan seketika Azzalea.  Pelawaan Emeer hanya dibalas senyuman lalu Azzalea melabuhkan duduk bersama mereka.  Emeer dan Ayesha berbalas pandang dan sempat Ayesha menghadiahkan kenyitan matanya kepada sang suami.  Comel je.

“Ya buat apa kat sini?” soalan cepumas daripada Emeer menyapa pendengaran Azzalea.

“Ya bawa hati….” Pendek dan ringkas jawapannya.  Entah, dia sendiri tiada jawapan yang tepat untuk soalan itu.  Wajahnya ditenung lama oleh Emeer dengan mata yang membulat besar.  Tahu sangat kalau dah lemparkan pandangan sebegitu, mesti minta penjelasan lanjut.  Tapi nak cakap apa, Azzalea sendiri pun tak tahu di mana hendak bermula.

“Dah lama ke Ya kat sini?” Giliran Ayesha pula melemparkan soalan.

“Dah seminggu Kak Sha, tapi itulah, semuanya rasa macam tak betul.  Susah nak ubati hati yang luka ni.”  Kenapa mudah sahaja dia meluahkannya tanpa ada sedikit pun rasa silu terhadap mereka berdua. 

“Hmmm, lepas makan ni kita balik rumah Mak Long ye.  Tak payah la Ya duduk sini sorang-sorang, mencari ketenangan dalam merawat hati bukan macam ni caranya dik.  Lagi pun Kak Sha cuti seminggu kat sini, boleh aje Kak Sha temankan Ya.”

“Oh, see.  Pakar Cinta dah buka sesi terapi,” usik Emeer yang akhirnya dibalas dengan sebuah cubitan. 

“Ouch!! Sakitlah sayang,” adunya manja.

“Hmmm, mengada-ngadalah lagi.  Saja tau nak kata-katakan orang.”

“Tak apalah Kak Sha, Ya tak nak susahkan siapa-siapa," balasnya lembut.

“Tak ada siapa pun yang susah, Kak Sha lagi susah hati tinggalkan Ya kat sini. Dah, kita makan dulu calong superb ni, lepas tu kita balik resort Ya kemas-kemas dan check out.  Mak Long pun mesti suka tu kalau Ya tinggal kat sana,” pujuk Ayesha.  Dia sangat pasti dengan keputusannya itu.  Dia pernah berada di situasi itu, mungkin lebih buruk suatu ketika dulu.  Berseorangan dan meratapi kesedihan bukanlah caranya untuk merawat hati yang lara.

            Kehadiran Azzalea di gerai itu juga disambut mesra oleh Mak Anjang, pemilik gerai makan yang juga mempunyai talian persaudaraan dengan mereka.  Bau-bau durian bak kata Emeer Zafran.  Seketika, kelukaan di hati Azzalea bertebaran jauh hilang ditelan kemesraan layanan Ayesha dan Zafran bersama keletah manja si kecil Eizleen yang bakal mendapat teman sedikit waktu lagi.

            Biarlah esok dan hari-hari mendatang merawat lukanya, dia ingin bersama mereka ini yang sungguh mendamaikan.




********************************
Salam dan selamat pagi sayang-sayang kak yus... maaf ye, ambil masa yg agak lama utk updates entry ni.. being a fulltime mom + teacher + accountant + blablabla .. mmg susah nak dok hadap pc ni lelama.. ada je tukang cantas tu.. *__<.  Harap entry ni dpt menghiburkan dan sedikit mengubati rindu pd Emeer & Ayesha.. maaf atas ketidaksempurnaan.  

Luv u ols so much.. doakan k.yus berjaya menyiapkan manuskrip SC ni ye.


8 comments:

  1. sian azzalea smga luka dihati dpt terubati..
    wah x sangka sedara dgn ayesha rupa2nya azzalea ni:)..terubat jg rindu dgn ayesha&ameer he3..

    ReplyDelete
  2. begitulah adat hidup kan Alina.. ada masa kita gembira, ada masa kita terluka.. cuma klu sering dilukai, takut hati kita mati rasa je..

    ReplyDelete
  3. Kak Yuuuuuuusssssss! I love u sooooooooo much!!!! Seronok gila ada Emeer dan Ayesha. Saya dah terkinja2 dah sambil membaca tau... Thank u Kak Yus... hihihihii

    ReplyDelete
  4. hehehe... Azielaaaaa lalingggggggggg... nanti kita kasi lagi lebih perisa dgn Emeer & Ayesha tu kan.. mana tau kot2 Fayyad pun spesis cam Emeer gak nanti.. hahaha ... i luv u toooooooooooo dear.

    ReplyDelete
  5. best sanagt-2 kak nak lg boleh.

    ReplyDelete
  6. boleh kak Baby Mio.. yus cuba siapkan secepat n sebaik2nya ye kak.. luv u.

    ReplyDelete
  7. Wuhuuu...ayesha n abg emeer dh muncul haha >_< thumbs up kak yus,busy2 pun smpt lg haha

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com