Tuesday 12 March 2013

Sengketa Cinta ~ 19






            “Lorrhh, sikit je kot makan.  Bukan tadi ko kata lapar ke?”  Soalan Dirah dibalas dengan wajah yang masam mencuka.

            “Eii, macam mana mamat tu boleh jumpa laki ko hah.  Dah tu siap boleh invite makan dengan kita sekali.  Benci tau!”  Nappy di ribanya diramas-ramas dan dipulas-pulas melepaskan geram.  Tak dapat pulas orang, pulas kain pun jadilah.

            “Entahlah, mana aku tahu.  Tak ada pula encik suami aku tu bagi tahu dia ada ajak sesiapa makan dengan kita.  Tadi ko pun dengarkan, diorang baru berkenalan.”  Sedaya upaya Dirah cuba menenangkan keadaan.  Dah pasti ini memang kerja suaminya.  Azzalea yang masih tidak berpuas hati mencebikkan bibir.  Alahai, comel sangat la tu.  Kalau diikat dengan riben, lepas tu buat hadiah hari lahir pun cantik juga.

            Nasib baiklah ketika itu hanya tinggal mereka berdua menikmati makanan di atas meja.  Nak kata makan pun tidak juga, sebabnya Azzalea hanya lebih menjadi pemerhati makanan yang terhidang daripada menikmatinya.  Udang bakar yang diletakkan oleh Fayyad tadi dikuis-kuis.  Hish, mamat tu memang lebih-lebih je.  Sengaja nak membakar hati Azzalea yang memang dah nak hangus.  Tak payah nak tunjuk gentleman la sangat, siap ambilkan makanan bagai.  Macam tak ada apa-apa je yang pernah terjadi antara mereka.  Menyampahnya!  Err .. tapi udang bakar ni tempting la pulak, memang kegemaran Azzalea pun.  Dalam dok menyampah tu, tercuit juga hati dengan ingatan Fayyad terhadapnya.

            Fayyad dan Wan Aidil serta si comel Iman Yasmine kembali semula ke meja dengan tangan yang dipenuhi makanan.  Kali ini lagi meriah.  Ketam bakar, udang bakar, ayam bakar, jagung dan beberapa makanan lain dilambakkan di atas meja untuk santapan.  Dengan selamba juga Fayyad meletakkan beberapa ketul sosej serta jagung bakar ke dalam pinggan Azzalea walaupun dia sedar mata gadis itu yang mencerlun ke arahnya.  Relax Fayyad, relax.  Buat macam tak ada apa-apa je, desis hati lelakinya. 

            Jelingan maut Azzalea itu ditangkap oleh mata Dirah yang turut memerhatikan adegan panas di sebelahnya.  Keras perut menahan tawa, tapi apa pun mesti kena jaga.  Biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Jangan terburai di situ sudahlah, harus perang dunia ketiga dilancarkan antara dia dan Azzalea.  Bukan tak kenal fiil sahabatnya itu, tak boleh tersentap sikit apatah lagi jika melibatkan hati dan perasaan yang berkaitan dengan lelaki bernama Fayyad tu. 

            “Makanlah Lea, kesian Fayyad tu dok beratur panjang tunggu ketam tu,” ujar Wan Aidil membelah kesunyian yang tiba-tiba bertandang.  Wajah isterinya dijeling sekilas.  Senyum.

            “Ermm, Lea tak suruh pun.”  Alamak!  Sudah ada baur-baur panas dalam nada suara Azzalea.  Cepat-cepat Wan Aidil menepuk bahu Fayyad mengisyaratkan agar lebih berhati-hati.  Bukan apa, kalau dah keluar fire makcik yang seorang tu, bukan kata bomba, malah si Storm anak buah Prof X dalam X-Men tu pun tak mampu nak padamkan. 

            “Tak apalah, tadi Wan ada bagi tau yang awak suka makan ketam.  Tu yang saya tolong ambilkan, rasalah sikit.  Tak baik tau membazirkan makanan, Rasulullah tak suka umatnya membazir.”

            Perghhhh, sejak bila mamat ni pandai masukkan sunnah-sunnah nabi pula dalam percakapannya.  Tapi iyalah, kalau dah dikaitkan dengan hukum hakam, akur jugalah.  Dua kerat ketam dicapai lalu diletakkan ke dalam pinggan bersama makanan lain yang telah terlebih dahulu diisi oleh Fayyad.  Terkial-kial juga Azzalea dibuatnya dengan ketam tu.  Kalau kat rumah bolehlah nak dikepak-kepak atau digigit-gigit, kat hotel ni kenalah control ayu sikit.

            “Meh saya tolong awak kopekkan ketam tu.”  Tanpa disuruh, Fayyad telah sedia mengambil satu persatu ketam yang berada di pinggan Azzalea lalu mengupas kulit dan meletakkan isi ketam ke dalam pinggan gadis itu. 

            Saat itu Azzalea rasa hendak menjerit.  Awak, janganlah buat baik sangat kat saya.  Saya tak suka!



            Peristiwa makan malam masih lekat di ingatan Azzalea walaupun sudah dua hari mereka pulang ke Puncak Alam.  Malas hendak melayan perasaan yang masih berperang, dia menyibukkan diri mengemas pakaian yang dibawa pulang.  Apa lagi mendobilah kerjanya.  Beberapa hari di sana, mana sempat nak mendobi kain baju walaupun perkhidmatan dobi disediakan.  Leceh.  Lagi pun tinggal seorang bukan banyak kerja sangat pun.  Dua tiga kali picit orang gaji dari Jepun tu, dah siap.  Tinggal sidai, angkat, lipat dan simpan je. 

            Namun hati masih tetap berdegil.  Masih juga teringatkan setiap saat dan kejadian yang mempertemukan kembali dia dan Fayyad.  Ingat senang ke nak lupakan semua kesedihan dan kepiluan yang ditinggalkan lelaki itu.  Penderitaan yang ditanggungnya hingga ke hari ini.  Tidak pernah sedikit pun berkurangan.  Malah kehadiran lelaki itu kembali ke dalam hidupnya menambahkan lagi derita yang tidak terperi.  Untuk apa lagi dia dipertemukan semula dengan lelaki yang telah meninggalkannya dengan kejamnya.  Kejam kerana membuang dirinya tanpa tahu hujung pangkal.  Kejam kerana melukakan hatinya pada saat dia menyambut ulang tahun kelahirannya. 

            “Arghhhhh! Penat la macam ni.  Wahai otak, wahai hati, wahai jiwa, wahai semua yang ada di badan ni, sudah-sudahlah ingat kat lelaki tu.  Tak ada maknanya pun nak ingat-ingat lagi.”  Ujar Azzalea sendirian.  Ini kalau orang ternampak dia bercakap sendirian sambil menyidai pakaian, harus dikatakan ada masalah mental.  Tak pun tekanan perasaan.  Haru gitu.  Nanti tak pasal-pasal tak ada orang pula nak hantar anak-anak mereka ke Taska dan Tadika mereka. 

Matanya liar memerhatikan jiran sekeliling.  Fuh, selamat! Sunyi dan sepi, tak ada orang pun.  Almaklumlah, hari bekerja memang kawasan mereka tu sunyi sepi.  Malah, taska yang berhadapan dengan rumahnya itu pun sunyi sahaja.  Pagi-pagi macam ni anak-anak jagaan taskanya masih lena diulit mimpi selepas ditinggalkan oleh ibubapa mereka.  Azzalea pun harus bersiap selepas itu untuk ke Tadika Permata Hati yang dibelinya secara kongsi dengan Dirah daripada sahabat Ayesha yang berpindah ke luar negara mengikut suaminya. Hampir empat tahun dia mengendalikan tadika dan taska itu bersama-sama Dirah.

Selalunya pagi-pagi Azzalea akan ke tadika, menjalani rutinnya di sana, mengemaskini segala urusan perjalanan tadika, menyelia persediaan dan laporan mengajar oleh guru-guru yang ditugaskan mengajar anak-anak kecil yang berusia empat hingga enam tahun di situ.  Alhamdulillah, selama empat tahun beroperasi, kini Tadika Permata Hati menjadi antara tadika yang dikenali dan dipercayai oleh masyarakat di situ.  Silibus pendidikan yang digubal mengikuti piawaian Sistem Pendidikan Negara serta beberapa aspek pendidikan agama dan moral telah dipraktikkan di situ.  Azzalea sangat teliti dalam pengendalian tadikanya.  Setiap pelajar di tadika itu dikenalinya secara individu malah ada ketikanya dia sendiri akan berbual-bual dan berjumpa dengan setiap seorang daripada mereka. 

Guru-guru juga sentiasa dipantau perkembangan mereka.  Azzalea akan sentiasa memastikan kebajikan guru-gurunya dijaga dan setiap seorang akan diberi pendedahan dan peluang untuk mendalami ilmu melalui kursus-kursus dan bengkel-bengkel yang dianjurkan.  Tidak hairanlah jika Azzalea tidak pernah mengalami masalah kekurangan guru kerana kesemua empat orang gurunya adalah mereka yang mula-mula bersamanya ketika dia bermula.

Dirah pula lebih senang menguruskan taska kerana katanya malas hendak fikir banyak-banyak.  Macamlah kat taska tu tak payah nak fikir.  Banyak perkara harus diuruskan di taska tu tapi tak adalah sibuk sangat kerana staf mereka yang tujuh orang tu sudah cukup terlatih dalam hal-hal penjagaan kanak-kanak seramai hampir enam puluh orang itu.  Itu belum termasuk lagi anak-anak yang transit, iaitu anak-anak yang singgah sebentar setelah pulang daripada sekolah untuk mandi, makan dan bersiap ke sekolah KAFA semula. 

Kalau di Kuala Lumpur dan Selangor, KAFA dan Sekolah Rendah Agama (SRA) anjuran kerajaan negeri adalah satu pilihan yang selalunya akan diutamakan oleh ibubapa.  Banyak faedah yang diperolehi oleh anak-anak yang mengikuti pembelajaran agama di situ.  Malah anak sulung Kak Nida yang menjadi kebanggaan Kak Nida dan suaminya Abang Din telah berjaya melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz – Maiwp kerana mendapat 5A dalam UPSR dan 9A dalam UPSRA.  Syarat utama untuk memasuki sekolah-sekolah agama hebat di bawah kawalan ini haruslah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan wajib mendapat mumtaz dalam UPSRA juga.  Azzalea turut menumpang bangga dengan kejayaan Salsabilla yang telah dianggap seperti anaknya sendiri.  Kadang-kadang anak gadis itulah yang menjadi penemannya di rumah kala kesunyian.  Kerana itu jugalah, segala perbelanjaan Salsabilla ditanggung sepenuhnya oleh Azzalea walau pun ditolak oleh Kak Nida.  Azzalea turut bangga kerana seorang lagi bakal Hafizah akan lahir di muka bumi ini.  Semoga perjalanan menuntut ilmu anak gadis itu dipermudahkan sentiasa. 



Tepat jam sembilan setengah pagi Azzalea tiba di perkarangan tadika.  Dia disambut dengan girang oleh anak-anak kecil yang riang berlarian bermain di halaman tadika.  Beginilah selalunya anak-anak ini, diberi ruang untuk berehat dan bermain setelah penat memerah otak di dalam kelas.  Itu pun selepas menghabiskan makanan yang disediakan.  Tak silapnya pagi itu menunya nasi himpit dan kuah kacang kerana bau kuah kacang semerbak harum sehingga ke luar tadika.  Kalau Ibu Zai yang masak, mana boleh tak sedap.  Kalah Masterchef tau!  Ibu Zai ni kalau masak makanan tradisional memang tak boleh lawan.  Sebab itu jugalah ibu bapa anak-anak yang dihantar ke tadika itu sering menempah kuih muih dengan Ibu Zai.  Air tangan Ibu Zai tak ubah macam masakan Mak Long Yati di kampung.  Memang sedap.  Eh, bukan kata masakan ibu sendiri tak sedap, mestilah sedap masakan ibu sendiri.  Tapi kadang-kadang ada lagi orang yang hebat memasak yang harus diperakui kehebatannya.

“Cikgu, cikgu, tengok Alif ni.  Dia tolak saya,” adu si kecil molek bertocang dua yang diikat riben merah jambu.  Kain baju kurung Azzalea ditarik lembut.

“Eh, kenapa Alif tolak Mimi.  Tak baik tolak kawan kan, mari sini kat cikgu.”  Tangannya menggapai anak kecil yang dikenali dengan nama Alif.  Perlahan kaki anak kecil itu melangkah ke arah Azzalea yang sudah pun melabuhkan punggung di atas bangku yang disediakan di laman tadika. 

Wajah anak kecil itu direnung lembut, tidak mahu menambahkan lagi rasa resah dan takut di hati kecil itu.   Tangan Alif dipaut lalu kedua-dua anak kecil itu didudukkan bersebelahan dengannya.  Kepala Alif dan Mimi diusap lembut.

“Kalau berkawan, kita tak boleh gaduh tau sayang.  Kita tak boleh sakitkan kawan kita, tak boleh cederakan kawan kita sebab kawan kita adalah orang yang kita kena sayang selalu.  Alif sayang cikgu tak ?”

Anak kecil itu memandang tepat ke wajah Azzalea lalu mengangguk.  Mulutnya masih membisu seribu bahasa.  Si kecil bertocang dua itu pula menghadiahkan jelingan tajam kepada musuhnya.  Menguntum senyum di bibir Azzalea melihatkan keletah mereka.  Adoi laa, lawak betul!

“Kalau sayang cikgu, Alif nak ke tolak cikgu? Nak ke bagi cikgu menangis?” sambung Azzlaea lagi.  Kali ini Alif menggeleng laju malah Mimi juga turut sama menggeleng walaupun soalan bukan ditujukan kepadanya. 

“Hmmm, kalau macam tu tak mo gaduh-gaduh ye.  Kena kawan baik-baik, main sama-sama, barulah kata sayang kawan kita kan.  Hari ni Alif dan Mimi makan apa?”

Mulalah omeh mulut si kecil bercerita tentang apa yang dimakan sehinggalah kepada kisah dalam kelas dan kerja-kerja yang telah dilakukan.  Persengketaan yang berlaku tadi dengan mudah dilupakan.  Itulah adat dunia kanak-kanak, bergaduh, bersengketa dan dengan mudah pula berbaik dan bersatu semula.  Alangkah baiknya jika hidupnya juga begitu.  Alangkah baiknya jika semuanya semudah itu.

Perbualan mereka yang mulanya hanya bertiga menjadi lebih meriah dengan kehadiran anak-anak kecil lain yang turut menjadi pemerhati pada awalnya.  Tak menang mulut Azzalea melayan anak-anak kecil itu berceloteh sehinggalah loceng menandakan waktu rehat tamat berbunyi.  Masing-masing berlarian membuat barisan kecil mengikut kelas masing-masing sebelum masuk semula ke dalam kelas menyambung pelajaran.  Kelihatan guru-guru yang berdedikasi masing-masing mengambil tugas mereka. 

Setelah anak-anak itu beredar ke kelas masing-masing, Azzalea mengatur langkah untuk turut sama menyertai mereka di dalam tadika.  Namun langkahnya terhenti apabila kedengaran bunyi deruman enjin van berhenti di hadapan pagar.  Dia berpaling lalu berpusing menapak menuju ke pagar.  Van siapa pula pagi-pagi ni, dah tu ada lambang Florist pulak, siapalah yang order bunga pagi-pagi buta ni.  Rungutnya.

“Cik, ada penghantaran untuk Cik Amira Qaireen Azzalea.”

Weh, siapa pula yang rajin hantar bunga kat aku ni.  Lebih empat tahun aku kat sini, tak pernah ada orang hantar bunga pun, dah tu siap tahu nama penuh lagi tu.  Hati Azzalea berkira-kira sendiri.  Namun unjukan jambangan mawar yang dihias cantik itu disambutnya lalu pantas sahaja dia menandatangani kertas yang diunjukkan oleh lelaki penghantar itu. 

Mawar merah di tangan ditenung lama.  Akalnya mula berfungsi.  Bukan ramai sangat pun yang tahu nama penuhnya dan hatinya berat menyatakan yang satu.  Terketar-ketar jemarinya mencapai kad kecil yang terselit di celah-celah kuntuman mawar itu.

Mungkin sukar untuk awak memaafkan saya, tapi saya tak akan pernah penat untuk menuntut kemaafan itu.  ~ Fayyad

Terduduk Azzalea seketika di bangku yang didudukinya tadi.  Marah? Suka? Geram? Benci? Tersentuh? Entah, yang nyata akal dan hatinya kosong saat itu.  Beberapa minit terpaku dengan kehadiran mawar semerbak harum itu, Azzalea kembali berpijak di bumi yang nyata.  Tidak mahu terus hanyut dengan perasaan dan emosi sendiri, dia bergegas menuju ke ruang pejabatnya bersama jambangan mawar di tangan. 

“Wah, cantik bunga Lea.  Ada peminat bagi ke?” soal Ibu Zai yang sedang mengelap meja.  Rutin seharian setelah anak-anak selesai makan bagi memastikan keadaan tadika sentiasa kemas dan bersih.

“Hmmm, kawan yang bagi Ibu.  Nanti ibu letak atas meja Lea ye, nak jengok budak-budak kat kelas kejap,” balasnya lalu mengunjukkan jambangan itu kepada Ibu Zai yang tersenyum.  Alah, jangalah senyum sangat Ibu Zai oii, orang tengah tension ni.

Senyuman terukir di bibir kala pintu kelas dikuak sedikit, tidak mahu mengganggu konsentrasi anak-anak kecil yang berada di dalamnya.  Terhibur dengan keletah anak-anak itu mengikut guru mereka bernyanyi dan menari riang.  Lagu Anak Itik Tok Wi yang mudah tu kalau dinyanyikan dengan betul bersama gaya tari dan lakon yang tersusun, memang menyeronokkan.  Berbagai gaya anak-anak itu melakonkannya, yang terkedek-kedek macam itik pulang petang pun ada.  Kemudian, Azzalea menjengok ke kelas yang terletak di sebelahnya pula.  Hati rasa tenang dan senang melihat tekunnya anak-anak yang berumur enam tahun seramai dua puluh orang itu tekun menulis latihan Jawi yang sedang diajar oleh Ustazah Sofea.

Bangga menyelinap ke hatinya melihat dedikasi Ustazah Sofea yang lebih senang dipanggil Sofea itu.  Semenjak Ustazah Sofea menyertai mereka, anak-anak kelahiran Tadika Permata Hati memang dipuji ramai.  Apa tidaknya, seawal usia enam tahun sudah pandai dan lancar membaca tulisan Jawi, malah tidak kekok untuk mendirikan solat berserta bacaannya sekali.  Ada antara mereka yang sudah pun mampu menghafal bacaan Doa Qunut dengan lancar.  Semua itu hasil didik dan kerja keras Ustazah Sofea.  Gadis bertudung labuh dan berpurdah itu tidak pernah lokek waktu dan tenaga. 

Menyedari kehadiran Azzalea, Ustazah Sofea yang sedang menyelia anak-anak kecil itu segera menghampiri majikannya lalu tangan dihulur menyalami Azzlaea.  Jemari Azzalea dikucup lembut.  Itu juga salah satu sifat dan sikap yang menyentuh hati Azzalea sehingga menerbitkan rasa sayangnya kepada Ustazah Sofea.  Walaupun dilahir dan dibesarkan di United Kingdom dan merupakan anak kepada seorang Professor, tetapi tidak pernah ada sikap meninggi diri dalam pembawakan gadis itu. 

Azzalea meninggalkan Ustazah Sofea setelah berbicara seketika.  Tidak mahu mengganggu waktu mengajar.  Mendengar riuh di kelas anak-anak yang berusia empat tahun, segera pintu dikuak lebar.  Wah, rupa-rupanya sedang berlakon drama.  Terlihat adegan kejar mengejar dan ada yang menyorok di balik pokok.  Pokok la sangat.  Pokok tu hasil lukisan mural guru-guru dalam projek memperindahkan lagi kelas dan tadika mereka.  Kelihatan Teacher Rozita yang lebih selesa digelar Ita sedang mengarahkan anak-anak kecil itu. 

“Amboi, main apa ni?”  tegur Azzalea.  Riuh rendah yang kedengaran tadinya terhenti seketika.

“Bukan mainlah cikgu.  Kitorang tengah berlakon ni,” terang seorang anak kecil yang berlagak sebagai peragut.  Hampir tergelak Azzalea melihat mimik wajahnya.

“Oh, berlakon ke.  Wah, bolehlah cikgu jadi penonton ye,” balasnya kembali.  Lakonan anak-anak kecil itu disambung kembali.  Rupa-rupanya berlakon cerita peragut dan perompak. 

Sebenarnya, dalam mendidik anak-anak seusia begini, praktikal lebih berkesan daripada teori.  Disebabkan itu jugalah Azzalea lebih gemar guru-gurunya lebih kreatif di dalam kelas.  Bagi Teacher Rozita, pengalaman bersama anak-anak kecil itu sangat berguna kepadanya apatah lagi kini dia juga sedang menyambung pengajian di dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Malaya.  Puas melayan karenah anak-anak kecil itu, Azzalea kembali semula menyambung kerja-kerja di pejabat kecilnya.  Mata sesekali melirik ke arah jambangan bunga mawar yang terletak indah di atas meja sudut.  Pandai Ibu Zai menyusun atur jambangan itu, lebih pandai orang yang memilih dan menghantar jambangan itu.  Err.. bukan sepatutnya rasa marah tu masih ada ke?  Takkan sejambak bunga je dah boleh sejuk hati kot, haishh Azzalea. Tak mungkin!!! 



****************************************************************

Salam sayang2... semoga terhibur dengan n3 kali ini, kita tenang2kan perasaan dulu ye..next chap kita layan perang dingin antara fayyad n azzalea pula.. TQ sbb sabar menanti, sudi2lah drop komen sbgai pembakar semangat Kak Yus utk terus menulis dan menulis dan menulis..  Maaf utk ketidaksempurnaan.


Salam kasih sayang...
Kak Yus

4 comments:

  1. best sangat kak Yus. terima kasih. go Fayyad! ini baru permulaan untuk ambil hati Azzalea. Jangan putus asa! hehee... :D

    ReplyDelete
  2. hehehe... TQ Afifah, kita tengok setakat mana kerasnya azzalea tu ye..

    ReplyDelete
  3. Peluang kedua....bukan mudah nak dapat ye fayyad, usaha lebih gigih...kak yus..buat azalea garang2 sikit dgn fayyad tu boleh? Hehe

    ReplyDelete
  4. Ok...relax..relax. Marah Azzalea masih terkawal lagi.

    Kak Yus, sihat?

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com