Latihan
Praktikal telah selesaikan dijalankan.
Kini Acam bergelut pula dengan tugasan menyiapkan laporan yang perlu
diserahkan kepada ketua kursus masing-masing.
Kalau setakat satu dua helai muka surat tu, tak adalah merunsingkan
sangat. Namun apabila syarat yang
tertera bersama arahan laporan tersebut menghendaki setiap pelajar yang telah
tamat menjalani latihan praktikal menyiapkan satu laporan bertaip dalam jumlah
perkataan sebanyak dua ribu ke dua ribu lima ratus yang bersamaan dengan lima
belas ke enam belas muka surat, Acam dah naik pening.
Bukan tidak pernah menyiapkan
assignment tapi berat sungguh hendak memperincikan setiap latihan yang
diterima. Bukan juga tidak ada kerja
khusus yang dilakukan di syarikat itu, tetapi selalunya Qaidlah yang menjadi
penyelamat. Bila teringatkan Qaid, hati
Acam disapa rindu. Ewah, rindulah pula. Bukan rindu rindu serindu-rindunya macam lagu
Acik Spoon tu, tapi rindu mengenangkan sikap ambil berat Qaid terhadapnya. Kadang-kadang Acam merasa dirinya sangat
bodoh kerana menolak mentah-mentah hasrat hati Qaid. Apa salahnya jika dia memberi peluang hatinya
menimbang tara diri Qaid. Namun, dia
yakin dalam hatinya itu sudah terisi dengan nama seseorang yang dia sendiri
kurang pasti.
Lagi beberapa hari, Acam akan kembali
semula ke PUO. Menjalani kembali
kehidupan sebagai seorang pelajar.
Bertemu lagi dengan ungka-ungka yang mungkin dah naik taraf jadi orang
utan setelah satu semester dia tiada di sana.
Atau mungkin masing-masing dah dapat hidayah, bertukar menjadi manusia
semula. Entahlah, yang pasti Acam akan
merindui mereka yang rapat dengannya semasa latihan praktikal itu. Acam melepaskan satu keluhan yang berat.
Satu persatu butang huruf di mesin
taip lamanya ditekan. Eh, mana ada lagi
orang guna mesin taip sekarang ni.
Hendak tergelak pun ada dibuatnya mengenangkan kata-kata Juliana ketika
dia sibuk mencari karbon untuk mesin taip kesayangannya itu. Bukan sebarang mesin taip tau, itu mesin taip
pemberian ayahnya ketika dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR
dahulu. Kalau hendak menyediakan
laporan, bolehlah menggunakan laptop, tapi kalau hendak mengisi borang, kenalah
gunakan mesin taip. Lebih mudah dan
lebih kemas.
Sesekali Acam mengeluh. Ketukan jari di papan kekunci mesin taip juga
sudah beberapa kali terhenti. Kalau
berterus-terusan begini, harus tidak siaplah segala tugasannya yang perlu
dihantar pada hari pendaftaran semester akhir nanti. Namun apakan daya, hatinya
terasa sepi. Sunyi hidupnya kini. Adik-adik telah pun ke sekolah semuanya. Ibu pula sibuk di luar, mungkin sedang
bermesyuarat tingkap dengan para ibu-ibu.
Biasalah, mengisi masa lapang sementara menanti lori tauke ikan
sampai. Tentu banyak gossip hangat yang
dibawa pulang hari ini. Semenjak menjadi
penghuni tetap di rumah ini, itu sahajalah kerjanya. Melayan ibu dengan gossip-gossip terhangat di
pasaran.
Telefon berdering-dering menjerit
minta diangkat. Malas-malas, Acam
bangkit daripada kerusi dan berlari turun ke ruang tamu. Hendak harapkan ibu yang mengangkat telefon,
memang tak adalah. Kalau dah
bermesyuarat di luar, tak adanya hendak mendengar bungi deringan telefon
tu. Silap hari bulan, kalau dengar pun
buat dek sahaja.
“Hello..”
“Apa hello, hello.. Assalamualaikumlah
perempuan,” sergah suara di hujung talian.
Hampeh, ada pula nak sergah-sergah orang, gerutu Acam.
“Iyolah, Assalamualaikum di sana. Saya di sini, nak bercakap dengan siapa?”
balas Acam menyindir.
“Nak cakap dengan ko la, rindu giler
ko tak de Acam oi.” Qaid. Itu suara Qaid. Acam memang kenal sangat suara mamat berhantu
tu.
“Wei, ko mengulor ye call aku time
macam ni,” balas Acam.
Terdengar
tawa Qaid yang sudah pasti memenuhi ruang bilik pejabatnya itu. Qaid kalau ketawa, minta ampun. Pecah gegendang telinga. Serta-merta perasaan sepi dan sunyi Acam tadi
hilang. Sebaliknya, hati Acam berbunga
riang. Rindu sungguh mendengar
suara-suara yang akan ditinggalkannya itu.
“Hahaha..
mana ada aku mengulor. Ini dipanggil
sela masa. Ko buat apa tu Acam, buat
taik mata eh?”
“Banyak
la ko punya taik mata. Aku tengah
bersilat nak siapkan laporan praktikal ni,”
“Alah,
dua minit je laporan tu. Jom lunch
dengan aku,” ajak Qaid selamba sahaja.
“Huih,
aku banyak kerja la. Kejap lagi nak
tolong ibu aku masak,”
“Waa,
macam tak percaya je aku ko nak masak,”
“Kan
aku dah cakap, tolong-ibu-aku-masak.
Telinga ko dah berapa lama tak masuk bengkel?”
“Jomlah,
keluar dengan aku jap. Aku half day hari
ni, teman aku cari barang.” Qaid masih
belum beralah memujuk Acam menemaninya.
Rindu
benar pada wajah gadis itu. Seminggu
tidak merenung wajah Acam, terasa tawar sahaja.
Setiap kali memandang ke arah meja yang pernah dihuni oleh Acam,
seakan-akan ternampak gadis itu.
Tersenyum, tertawa dan muncung empat belas incinya. Hadoii, dah angau ke Qaid oi.. Seketika
kepalanya digeleng-gelengkan.
“Jomlah..”
pujuk Qaid lagi.
“Oklah,
pukul berapa ko nak datang? Lunch kat
sini eh? Aku bagi tau kat ibu ko lunch
kat sini ye, lepas tu ko mintalah izin dengan ibu aku,” balas Acam.
Selamba
badak je budak Acam ni mengajak Qaid makan tengah hari di rumahnya. Nanar juga Qaid seketika. Apa taknya, dia bukannya biasa sangat datang
ke rumah Acam, tiba-tiba diajak makan tengah hari bersama pula. Setakat sekali dua menghantar Acam balik dan
bersalam dengan ibu Acam tu adalah. Tak
pasal-pasal nak kena bersoal jawab dengan ibu dan ayah Acam pula nanti. Hish, susah-susah aku risik aje budak Acam
nih, getus Qaid sambil tersengih sendirian.
“Wei,
ko dengar tak,” jerit Acam mematikan lamunan Qaid. Sempat lagi nak mengelamun.
“OKlah,
ko punya pasal. Tapi aku seganlah
Acam. Ayah ko ada ke?”
“Ayah
aku memang selalu balik makan kat rumah.
Alah, ko nak segan apanya. Bukan
ko tak ada hidung, ke mulut ko kat belakang?” seloroh Acam. Kasar je bunyinya tapi Qaid sudah biasa
sangat dengan lawak Acam. Dah tak
berbekas di hati dengan mulut laser Acam tu.
“Hmm..
yelah. Pukul satu setengah boleh aku
sampai?”
“Orait,
set. Aku nak pergi kat luar, tengok ibu
aku beli lauk jap. Jumpa ko nanti,”
balas Acam.
“Masak
sedap-sedap ye,” order Qaid.
“Hamboi..,”
kata-kata Acam disahut dengan tawa Qaid yang nyaring. Nak pecah gegendang telinga kalau dengar
mamat ni ketawa.
Setelah
salam bertukar sahut, talian dimatikan.
Cepat-cepat Acam melangkah mendapatkan ibu yang masih lagi sibuk
bermesyuarat. Hebat agaknya topik yang
digossipkan hari ini hinggakan kehadiran Acam pun tidak disedari oleh kaum-kaum
ibu itu. Malah, Pak Rahmat pemilik lori
yang menjual ikan itu pun sama naik melangut mendengar perbualan mereka.
Acam
segera membelek ikan-ikan dan sayur-sayuran lain yang dibawa oleh Pak
Rahmat. Ligat otaknya berfikir akan menu
yang hendak dimasak hari itu. Menyedari
kehadiran Acam yang tertilik-tilik barangan di dalam lori putih Pak Rahmat,
ibunya mula membuat muka tidak percaya.
Maklumlah, anak dara seorang ni bukan suka pun bab-bab ke dapur, apatah
lagi membeli barangan dapur. Memang jauh
panggang dari api.
“Mimpi
apa anak dara ibu ni, tiba-tiba berminat dengan Pak Rahmat ni?” sergah Pn.
Radziah, ibu Acam.
“Mana
ada orang mimpi-mimpinya. Ni orang nak
tengok lauk apa nak beli, tadi Qaid ajak orang keluar petang ni. Temankan dia cari barang, orang lak ajak la
dia makan kat rumah,” balas Acam panjang lebar.
Tersengih
lebar Pn. Radziah mendengar jawapan dari mulut anak daranya itu. Wah, sudah ada kemajuan. Dah mula hendak memperkenalkan kawan lelaki
dengan keluarga. Hati sang ibu yang
selama ini risau dengan sikap anak perempuannya bertukar senang. Senang apabila memikirkan yang anaknya itu
sudah mula lembut hati. Sebelum ini,
bukan tidak ada rakan lelaki yang ingin mendekati Acam, tapi semuanya tak menjadi. Apa tidaknya, kena sergah dek Acam sahaja,
kecut perut semuanya. Waima, hendak
melintas depan rumah pun tak berani.
Brutal sungguh anak daranya yang seorang ni.
“Yang
ibu tersengih-sengih ni kenapa? Orang
ajak makan je pun,” bebel Acam.
“Iyalah. Dah, biar ibu yang cari lauk kat luar ni,
kamu pergi la siapkan apa-apa yang patut kat dapur tu. Tanak nasi ke, potong-potong bawang ke,” arah
Pn. Radziah.
Terkulat-kulat
Acam melangkah ke dalam rumah. Sebal
juga hati tak pasal-pasal dah kena ke dapur.
Itulah mulut gatal sangat nak mengajak si Qaid tu makan di rumah, kalau
dah sah-sah dah tiga empat muka surat laporannya siap. Padanlah muka sendiri.
Seperti
yang telah dijanji, jam satu tiga puluh lima Qaid sampai di rumah Acam. Wajah lelaki itu agak pucat sedikit. Mungkin tidak berapa sihat, atau mungkin juga
berdebar-debar kerana inilah pertama kali akan bertemu dengan keluarga Acam
keseluruhannya. En. Daud, ayah Acam
sudah menanti di hadapan pintu apabila terdengar bunyi enjin kereta dihentikan
di hadapan rumah.
Acam
yang baru sahaja melangkah menuruni anak tangga terdengar riuh suara lelaki
berbual-bual di luar rumah. Sempat dia
mengintai sebentar di sebalik langsir tingkap.
Mulutnya menguntum senyuman apabila melihat Qaid yang ramah berbual
dengan ayah.
Suara ayah Acam dan Qaid semakin
hampir ke ruang makan. Acam yang sudah
pun selesai menghidangkan makanan tersenyum menyambut Qaid yang kelihatan agak
mesra dengan ibu dan ayahnya. Mudah
benar lelaki itu menyesuaikan diri.
Waktu makan lebih meriah daripada biasa dengan suara ibu yang sibuk
mengunjukkan lauk pauk kepada Qaid sehingga berkerut dahi Qaid untuk
memilih. Ayah pula sesekali bertanya itu
ini kepada Qaid. Adik-adik Acam pula
lebih mengerling ke arah Acam yang sentiasa berlagak selamba dengan senyuman
sumbing mereka. Ceh, nak mengenakan aku
la tu, bisik Acam.
“Pak Cik, saya minta izin nak bawa
Acam keluar sekejap. Petang nanti saya
hantar semula,” ucap Qaid meminta izin daripada En. Daud.
“Hmmm.. nak ke mana ni?” sengaja
hendak diduga keikhlasan lelaki itu.
“Saya nak ke bandar je, cari barang
sikit,”
“Iyalah, Pak Cik serahkan Acam ni
kepada kamu, jagalah anak Pak Cik ni baik-baik.
Jangan balik lambat sangat,” pesan En. Daud bersungguh-sungguh. Pn. Radziah sudah pun terkekeh-kekeh tertawa.
“Yang awak ketawa tu kenapa?” soal En.
Daud kepada isterinya. Serta merta tawa
Pn. Radziah terhenti.
“Yang abang dok pesan bagai kat Qaid
tu buat apa. Abang tengok je lah anak
perempuan abang yang tak berapa nak perempuan ni, tak adanya orang berani nak
dekat,” balas Pn. Radziah. Acam hanya
menjeling sekilas ibunya. Amboi, sedap
mengata aku ye!
Sedang elok Acam membuka pintu kereta,
Normi terjerit-jerit memanggilnya.
“Kak, ada telefon. Cepatlah,” jerit Normi.
Terpinga-pinga Acam sekejap. Namun dia sempat mengangkat tangan menyuruh
Qaid menunggunya sebentar. Laju sahaja
dia menapak menuju ke dalam rumah. Hati
Acam tertanya-tanya, siapa pulalah yang tak ada kerja menelefonnya.
“Hello..”
“Hello, hello.. assalamualaikumlah
awak,” sergah suara di hujung talian.
Acam tersentak. Alamak, Dzil la
pula. Apalah mamat ni hendak, menelefon
aku siang-siang buta ni. Selalunya dia
ni burung pungguk. Siang tidur malam
berjaga. Ke ada teropong boleh nampak
aku nak keluar. Acam berperang dengan
persoalan demi persoalan dalam hatinya.
Hish, seorang menunggu di luar, yang seorang lagi menunggu di hujung
talian. Hadoiii!!!!
“Yelah, waalaikumussalam..” balas Acam
sebal. Mamat ni kalau tak mengenakan
orang tak sah.
“Tengah buat apa tu?” Alahai, nak
tanya itu je ke telefon aku, bentak Acam.
“Awak, saya tak dapat nak cakap dengan
awaklah. Saya nak keluar, awak telefon
saya malam nanti boleh?”
“Oh, nak keluar? Pergi mana?
Dengan siapa?” Alahai, macam polis pencen pula. Terseringai senyuman di wajah Dzil apabila
menyedarinya. Pelik juga, Acam ni
bukanlah jenis yang suka suki nak keluar ke mana-mana.
“Saya nak keluar dengan kawan
jap. Nak temankan dia cari barang,”
balas Acam.
“Kawan lelaki ke perempuan?” Wah!!
Dzil sendiri terkejut dengan soalan cepumas yang keluar daripada mulutnya. Tapi, yelah, hati dah mula rasa tak sedap
apabila Acam kata nak keluar tadi.
“Dengan Qaid la, awak. Dia ada kat luar tu, tunggu saya. Dia minta tolong saya temankan dia cari
barang sikit,” laju sahaja Acam bercerita.
Alamak! Acam menekup mulut. Macam
manalah dia boleh lancar sahaja menyebut nama Qaid. Dah sah-sah mamat kat sana tu akan
berangin.
Walau pun mereka berdua tiada hubungan
apa-apa, tapi semenjak dua menjak ni, Dzil seperti menunjukkan perasaannya
secara terang-terangan. Kadang-kadang
jika bercakap dengan Dzil di telefon seperti orang tengah bercinta pula. Terdengar keluhan keluar dari mulut Dzil.
“Hmm.. tak apalah. Awak nak keluarkan, saya tak nak
kacaulah.” Suara Dzil mendatar. Hati Dzil terpukul dengan pengakuan Acam
sebentar tadi. Cemburu? Iya, dia memang cemburu. Cemburu kerana Qaid dengan mudahnya mendapat
tempat di hati Acam. Mungkin bukan
sebagai kekasih, tetapi layanan Acam tetap istimewa. Dzil tidak mahu itu. Dia hanya mahu ada nama ‘DZIL’ di hati
perempuan yang bernama Acam itu. Dia
mahu hanya namanya yang terukir indah di situ.
Dia mahu itu, dia mahu ini.
Arghhhhhh… pedih sungguh hati bila memikirkannya.
“Eh, awak ok ke? Malam nanti kita borak lagi ye,” ucap Acam
seperti tiada perasaan. Sebenarnya Acam
sudah dapat menangkap nada tidak puas hati Dzil namun sengaja dia tidak mahu
memikirkannya. Kasihan pada Qaid yang
telah lama menanti.
“Ok.. enjoy yourself,” ucap Dzil lalu
talian dimatikan. Begitu sahaja. Hati Acam terpukul dengan perlakuan itu. Marahkah dia?
Cemburukah dia? Ah, lantaklah!
Tergesa-gesa Acam menyambar beg tangan
di atas sofa lalu kembali menuju ke arah Qaid yang masih setia menanti sambil
berbual-bual dengan ayah. Setelah
mengucap salam, kereta meluncur laju membelah kesibukan jalan menuju ke
destinasinya.
***********************
Malam semakin larut. Acam masih tidak dapat melelapkan
matanya. Dia masih berbaring di atas
sofa. Masih lagi menanti telefon yang
terletak si sudut itu berdering. Hampir
satu jam matanya dipaksa berjaga semata-mata menanti panggilan itu. Nampaknya, malam itu dia tidak akan mendapat
panggilan. Marahkah Dzil padanya? Adakah begini rasanya bila dilamun
perasaan? Menanti dan terus
menanti. Jika benar Dzil marah, apa yang
harus dia lakukan. Untuk memujuk lelaki
itu, tentu sekali tidak. Egonya terlalu
tinggi untuk tunduk merayu-rayu kepada lelaki itu.
Beg kertas kecil yang diberikan oleh
Qaid petang tadi diambil lalu dikeluarkan isinya. Terbeliak mata Acam apabila melihat isi kotak
yang terkandung di dalam beg kertas itu.
Sebuah telefon bimbit bersama sim kadnya sekali. Hish, dah la telefon mahal, siap simkad
sekali. Melampaulah mamat ni, getus
Acam.
Terimbau perbualan antara Qaid dengan
dirinya di hadapan pagar tadi.
“Nah, ni untuk ko,” ujar Qaid sambil
mengunjukkan sesuatu kepada Acam.
“Hish, apa ni. Bukan birthday aku lah yang ko nak bagi
hadiah bagai,” tolak Acam.
“Ni bukan untuk birthday, ni untuk
khidmat cemerlang ko dengan aku. Kan
orang lain ada bagi ko hadiah, aku je yang tak bagi. Ni aku bagilah, tapi ko buka nanti,” balas
Qaid. Hendak tak nak terpaksalah Acam
menerimanya.
Dalam sibuk membelek telefon bimbit
itu, dia terpandang secebis kertas kecil terselit di celah kotak. Perlahan cebisan kertas diambil lalu satu
persatu baris ayat dibacanya.
Cik
Puteri Darlina,
Jangan
mengada-ngada nak tinggal telefon ni kat rumah bila balik PUO nanti. Bawa telefon ni sekali. Jangan risau duit top up kalau tak ada,
roger-roger aje aku. Ko kan dah janji
kita tak akan pernah putus hubungan, so telefon ni aje yang boleh hubungkan
kita. Kalau ko tu rajin sangat nak ber
‘facebook’ tak apalah juga, tak pun YM ke.. boleh juga aku lepas rindu tengok
muka ko kat lappy. Ok, aku akan rindu
kat ko. Belajar rajin-rajin!
Qaid Firdaus
Senyuman terukir mekar di bibir Acam. Haih, dia ni buat hati aku cairlah. Kalau tak kuat iman, dah lama aku terima
mamat ni jadi suami, getus Acam.
Kemudian dia tertawa sendirian mengenangkan apa yang difikirkannya
tadi.
Telefon yang tadinya sunyi sepi kini
berdering-dering minta diangkat. Acam
mengerling sekilas ke dinding. Jam
menunjukkan angka satu pagi. Wah, boleh
tahan mata aku ni berjaga, bisik Acam.
“Assalamualaikum..” ucap Acam. Tidak mahu lagi diperli oleh mamat tu.
“Waalaikumussalam..” balas Dzil. Kemudian masing-masing terdiam.. talian hanya
dibiarkan sepi.
“Hmmm.. awak marah saya ye,” soal Acam
memecah kesunyian di antara mereka.
Kalau nak dibiarkan talian tanpa penghuni, baiklah dia tidur sahaja.
“Awak nak saya cakap yang betul ke,
tipu?” soal Dzil semula.
“Eh, tentulah yang betul, nak
tipu-tipu buat apa,”
“Memang tadi saya marah. Lebih kepada jeles. Saya jeles tau bila awak kata awak nak keluar
dengan mamat tu. Tapi sekarang jeles
saya dah kalah, rindu saya lagi banyak la kat awak,” ucap Dzil tanpa selindung. Penat nak main selindung-selindung ni. Asyik dok berselimut, dah berpeluh-peluh
kepanasan dek panahan rasa hati. Biarlah
diungkapkan sedikit demi sedikit agar hati perempuan di hujung sana tu terkesan.
Acam yang mendengarnya terkesima
seketika. Terpukul dengan kata-kata
Dzil.
“Sorry la awak. Tak maksud nak sakitkan hati awak. Lagi pun saya bukan ada apa-apa pun dengan
Qaid tu. We were just friends,”
“Hmm, tak apalah. Yang penting saya dah dapat Acam saya semula
malam ni. Awak tunggu saya ye, sekejap
je telefon berdering dah diangkat,” usik Dzil.
Wajah pun dia tidak nampak wajah Acam, namun dia tahu pasti wajah itu
sudah disimbah kemerahan bagai udang dibakar.
Acam memanglah macam tu.
“Tak adalah. Kebetulan je,” nafi Acam. Masih nak cover
line. Malu kalau Dzil tahu dia
sedang menantikan panggilan mamat tu.
“Oklah, dah dapat dengar suara awak
pun dah cukup. Boleh tidur lenalah saya
malam ni. Gud nite my girl, sweet
dream. Bawa saya dalam mimpi awak ye,”
ujar Dzil. Lembut suara lelaki itu
memukul hati Acam. Terpana dengan rasa
indah yang tiba-tiba menjalar ke tangkai hatinya.
“Awak pun, sweet dream. Assalamualaikum,” balas Acam. Kedengaran salam berjawab dan talian telefon
dimatikan. Hati Acam berdegup kencang. Acam berperang dengan perasaan sendiri.
Kenapa hati ini bagai dipalu-palu,
bagai berada di awangan ketika mendengar suaranya. Sudah jatuh hatikah aku? Tak mungkin!
Acam lemas dalam mengatur satu persatu persoalan yang mula membukit di
dadanya..
Aku cuba untuk mendekati
tapi engkau tiada peduli
tulusnya niat di hati
mungkin kau tersalah erti
Bukanlah ingin merantai dirimu
ataupun mengikat janji
masih ada banyak lagi
harus kau pelajari
Aku ingin kemesraan
serta senyuman keramahan
biar kekal berterusan
tak hilang di tengah jalan..
(Spin -- Malam Makin Dingin)
*********************
Sayang2 Kak Yus..maaf ye, lama memeramkan diri dari MB ni.. harap2 n3 kali ni dptlah meleraikan rindu sayang2 kak yus pd Acam, Dzil n Qaid.. maaf ye utk segala kekuranga, typo error ke.. hehehe.. tak larat nak buka mata dah ni.. sudi2lah drop komen untuk tatapan kak yus..
Ok.. lots of luv frm kak yus, Emeer & Ayesha
~ Kak Yus ~
31.3.12 --- 1.25 a.m
adoiii... senyum dinda dh sampai telinga nie... hehe... cpt2 la smbg ye k.yus... hihihi
ReplyDeletehehehe... sabor dinda .. k.yus dah nak pecah kepala ni..
ReplyDeleteacam dah falling in live.. taniah dzil... kih3..
ReplyDeletedua-dua best mana satu nk pilih hero nih akak yus...adoi lebar jek sengih ni...
ReplyDeletex nk Qaid. nk Dzil jgk.. hehehe
ReplyDelete<~~~ cair... *awat baca dua kali part ni ? hahaha...
ReplyDelete