Friday 30 March 2012

Mengintai Bahagia ~ 11






            Latihan Praktikal telah selesaikan dijalankan.  Kini Acam bergelut pula dengan tugasan menyiapkan laporan yang perlu diserahkan kepada ketua kursus masing-masing.  Kalau setakat satu dua helai muka surat tu, tak adalah merunsingkan sangat.  Namun apabila syarat yang tertera bersama arahan laporan tersebut menghendaki setiap pelajar yang telah tamat menjalani latihan praktikal menyiapkan satu laporan bertaip dalam jumlah perkataan sebanyak dua ribu ke dua ribu lima ratus yang bersamaan dengan lima belas ke enam belas muka surat, Acam dah naik pening.

          Bukan tidak pernah menyiapkan assignment tapi berat sungguh hendak memperincikan setiap latihan yang diterima.  Bukan juga tidak ada kerja khusus yang dilakukan di syarikat itu, tetapi selalunya Qaidlah yang menjadi penyelamat.  Bila teringatkan Qaid, hati Acam disapa rindu.  Ewah, rindulah pula.  Bukan rindu rindu serindu-rindunya macam lagu Acik Spoon tu, tapi rindu mengenangkan sikap ambil berat Qaid terhadapnya.  Kadang-kadang Acam merasa dirinya sangat bodoh kerana menolak mentah-mentah hasrat hati Qaid.  Apa salahnya jika dia memberi peluang hatinya menimbang tara diri Qaid.  Namun, dia yakin dalam hatinya itu sudah terisi dengan nama seseorang yang dia sendiri kurang pasti.

          Lagi beberapa hari, Acam akan kembali semula ke PUO.  Menjalani kembali kehidupan sebagai seorang pelajar.  Bertemu lagi dengan ungka-ungka yang mungkin dah naik taraf jadi orang utan setelah satu semester dia tiada di sana.  Atau mungkin masing-masing dah dapat hidayah, bertukar menjadi manusia semula.  Entahlah, yang pasti Acam akan merindui mereka yang rapat dengannya semasa latihan praktikal itu.  Acam melepaskan satu keluhan yang berat.

          Satu persatu butang huruf di mesin taip lamanya ditekan.  Eh, mana ada lagi orang guna mesin taip sekarang ni.  Hendak tergelak pun ada dibuatnya mengenangkan kata-kata Juliana ketika dia sibuk mencari karbon untuk mesin taip kesayangannya itu.  Bukan sebarang mesin taip tau, itu mesin taip pemberian ayahnya ketika dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR dahulu.  Kalau hendak menyediakan laporan, bolehlah menggunakan laptop, tapi kalau hendak mengisi borang, kenalah gunakan mesin taip.  Lebih mudah dan lebih kemas.

          Sesekali Acam mengeluh.  Ketukan jari di papan kekunci mesin taip juga sudah beberapa kali terhenti.  Kalau berterus-terusan begini, harus tidak siaplah segala tugasannya yang perlu dihantar pada hari pendaftaran semester akhir nanti. Namun apakan daya, hatinya terasa sepi.  Sunyi hidupnya kini.  Adik-adik telah pun ke sekolah semuanya.  Ibu pula sibuk di luar, mungkin sedang bermesyuarat tingkap dengan para ibu-ibu.  Biasalah, mengisi masa lapang sementara menanti lori tauke ikan sampai.  Tentu banyak gossip hangat yang dibawa pulang hari ini.  Semenjak menjadi penghuni tetap di rumah ini, itu sahajalah kerjanya.  Melayan ibu dengan gossip-gossip terhangat di pasaran. 

          Telefon berdering-dering menjerit minta diangkat.  Malas-malas, Acam bangkit daripada kerusi dan berlari turun ke ruang tamu.  Hendak harapkan ibu yang mengangkat telefon, memang tak adalah.  Kalau dah bermesyuarat di luar, tak adanya hendak mendengar bungi deringan telefon tu.  Silap hari bulan, kalau dengar pun buat dek sahaja.

          “Hello..”

     “Apa hello, hello.. Assalamualaikumlah perempuan,” sergah suara di hujung talian.  Hampeh, ada pula nak sergah-sergah orang, gerutu Acam.

         “Iyolah, Assalamualaikum di sana.  Saya di sini, nak bercakap dengan siapa?” balas Acam menyindir.

          “Nak cakap dengan ko la, rindu giler ko tak de Acam oi.”  Qaid.  Itu suara Qaid.  Acam memang kenal sangat suara mamat berhantu tu.

          “Wei, ko mengulor ye call aku time macam ni,” balas Acam. 

Terdengar tawa Qaid yang sudah pasti memenuhi ruang bilik pejabatnya itu.  Qaid kalau ketawa, minta ampun.  Pecah gegendang telinga.  Serta-merta perasaan sepi dan sunyi Acam tadi hilang.  Sebaliknya, hati Acam berbunga riang.  Rindu sungguh mendengar suara-suara yang akan ditinggalkannya itu.

“Hahaha.. mana ada aku mengulor.  Ini dipanggil sela masa.  Ko buat apa tu Acam, buat taik mata eh?”

“Banyak la ko punya taik mata.  Aku tengah bersilat nak siapkan laporan praktikal ni,”

“Alah, dua minit je laporan tu.  Jom lunch dengan aku,” ajak Qaid selamba sahaja.

“Huih, aku banyak kerja la.  Kejap lagi nak tolong ibu aku masak,”

“Waa, macam tak percaya je aku ko nak masak,”

“Kan aku dah cakap, tolong-ibu-aku-masak.  Telinga ko dah berapa lama tak masuk bengkel?”

“Jomlah, keluar dengan aku jap.  Aku half day hari ni, teman aku cari barang.”  Qaid masih belum beralah memujuk Acam menemaninya. 

Rindu benar pada wajah gadis itu.  Seminggu tidak merenung wajah Acam, terasa tawar sahaja.  Setiap kali memandang ke arah meja yang pernah dihuni oleh Acam, seakan-akan ternampak gadis itu.  Tersenyum, tertawa dan muncung empat belas incinya.  Hadoii, dah angau ke Qaid oi.. Seketika kepalanya digeleng-gelengkan.

“Jomlah..” pujuk Qaid lagi.

“Oklah, pukul berapa ko nak datang?  Lunch kat sini eh?  Aku bagi tau kat ibu ko lunch kat sini ye, lepas tu ko mintalah izin dengan ibu aku,” balas Acam. 

Selamba badak je budak Acam ni mengajak Qaid makan tengah hari di rumahnya.  Nanar juga Qaid seketika.  Apa taknya, dia bukannya biasa sangat datang ke rumah Acam, tiba-tiba diajak makan tengah hari bersama pula.  Setakat sekali dua menghantar Acam balik dan bersalam dengan ibu Acam tu adalah.  Tak pasal-pasal nak kena bersoal jawab dengan ibu dan ayah Acam pula nanti.  Hish, susah-susah aku risik aje budak Acam nih, getus Qaid sambil tersengih sendirian.

“Wei, ko dengar tak,” jerit Acam mematikan lamunan Qaid.  Sempat lagi nak mengelamun.

“OKlah, ko punya pasal.  Tapi aku seganlah Acam.  Ayah ko ada ke?”

“Ayah aku memang selalu balik makan kat rumah.  Alah, ko nak segan apanya.  Bukan ko tak ada hidung, ke mulut ko kat belakang?” seloroh Acam.  Kasar je bunyinya tapi Qaid sudah biasa sangat dengan lawak Acam.  Dah tak berbekas di hati dengan mulut laser Acam tu.

“Hmm.. yelah.  Pukul satu setengah boleh aku sampai?”

“Orait, set.  Aku nak pergi kat luar, tengok ibu aku beli lauk jap.  Jumpa ko nanti,” balas Acam. 

“Masak sedap-sedap ye,” order Qaid.

“Hamboi..,” kata-kata Acam disahut dengan tawa Qaid yang nyaring.  Nak pecah gegendang telinga kalau dengar mamat ni ketawa.

Setelah salam bertukar sahut, talian dimatikan.  Cepat-cepat Acam melangkah mendapatkan ibu yang masih lagi sibuk bermesyuarat.  Hebat agaknya topik yang digossipkan hari ini hinggakan kehadiran Acam pun tidak disedari oleh kaum-kaum ibu itu.  Malah, Pak Rahmat pemilik lori yang menjual ikan itu pun sama naik melangut mendengar perbualan mereka.

Acam segera membelek ikan-ikan dan sayur-sayuran lain yang dibawa oleh Pak Rahmat.  Ligat otaknya berfikir akan menu yang hendak dimasak hari itu.  Menyedari kehadiran Acam yang tertilik-tilik barangan di dalam lori putih Pak Rahmat, ibunya mula membuat muka tidak percaya.  Maklumlah, anak dara seorang ni bukan suka pun bab-bab ke dapur, apatah lagi membeli barangan dapur.  Memang jauh panggang dari api.

“Mimpi apa anak dara ibu ni, tiba-tiba berminat dengan Pak Rahmat ni?” sergah Pn. Radziah, ibu Acam. 

“Mana ada orang mimpi-mimpinya.  Ni orang nak tengok lauk apa nak beli, tadi Qaid ajak orang keluar petang ni.  Temankan dia cari barang, orang lak ajak la dia makan kat rumah,” balas Acam panjang lebar.

Tersengih lebar Pn. Radziah mendengar jawapan dari mulut anak daranya itu.  Wah, sudah ada kemajuan.  Dah mula hendak memperkenalkan kawan lelaki dengan keluarga.  Hati sang ibu yang selama ini risau dengan sikap anak perempuannya bertukar senang.  Senang apabila memikirkan yang anaknya itu sudah mula lembut hati.  Sebelum ini, bukan tidak ada rakan lelaki yang ingin mendekati Acam, tapi semuanya tak menjadi.  Apa tidaknya, kena sergah dek Acam sahaja, kecut perut semuanya.  Waima, hendak melintas depan rumah pun tak berani.  Brutal sungguh anak daranya yang seorang ni.

“Yang ibu tersengih-sengih ni kenapa?  Orang ajak makan je pun,” bebel Acam.

“Iyalah.  Dah, biar ibu yang cari lauk kat luar ni, kamu pergi la siapkan apa-apa yang patut kat dapur tu.  Tanak nasi ke, potong-potong bawang ke,” arah Pn. Radziah.

Terkulat-kulat Acam melangkah ke dalam rumah.  Sebal juga hati tak pasal-pasal dah kena ke dapur.  Itulah mulut gatal sangat nak mengajak si Qaid tu makan di rumah, kalau dah sah-sah dah tiga empat muka surat laporannya siap.  Padanlah muka sendiri.

Seperti yang telah dijanji, jam satu tiga puluh lima Qaid sampai di rumah Acam.  Wajah lelaki itu agak pucat sedikit.  Mungkin tidak berapa sihat, atau mungkin juga berdebar-debar kerana inilah pertama kali akan bertemu dengan keluarga Acam keseluruhannya.  En. Daud, ayah Acam sudah menanti di hadapan pintu apabila terdengar bunyi enjin kereta dihentikan di hadapan rumah.

Acam yang baru sahaja melangkah menuruni anak tangga terdengar riuh suara lelaki berbual-bual di luar rumah.  Sempat dia mengintai sebentar di sebalik langsir tingkap.  Mulutnya menguntum senyuman apabila melihat Qaid yang ramah berbual dengan ayah. 

          Suara ayah Acam dan Qaid semakin hampir ke ruang makan.  Acam yang sudah pun selesai menghidangkan makanan tersenyum menyambut Qaid yang kelihatan agak mesra dengan ibu dan ayahnya.  Mudah benar lelaki itu menyesuaikan diri.  Waktu makan lebih meriah daripada biasa dengan suara ibu yang sibuk mengunjukkan lauk pauk kepada Qaid sehingga berkerut dahi Qaid untuk memilih.  Ayah pula sesekali bertanya itu ini kepada Qaid.  Adik-adik Acam pula lebih mengerling ke arah Acam yang sentiasa berlagak selamba dengan senyuman sumbing mereka.  Ceh, nak mengenakan aku la tu, bisik Acam.

          “Pak Cik, saya minta izin nak bawa Acam keluar sekejap.  Petang nanti saya hantar semula,” ucap Qaid meminta izin daripada En. Daud.
          “Hmmm.. nak ke mana ni?” sengaja hendak diduga keikhlasan lelaki itu.

          “Saya nak ke bandar je, cari barang sikit,”

          “Iyalah, Pak Cik serahkan Acam ni kepada kamu, jagalah anak Pak Cik ni baik-baik.  Jangan balik lambat sangat,” pesan En. Daud bersungguh-sungguh.  Pn. Radziah sudah pun terkekeh-kekeh tertawa.

          “Yang awak ketawa tu kenapa?” soal En. Daud kepada isterinya.  Serta merta tawa Pn. Radziah terhenti.

          “Yang abang dok pesan bagai kat Qaid tu buat apa.  Abang tengok je lah anak perempuan abang yang tak berapa nak perempuan ni, tak adanya orang berani nak dekat,” balas Pn. Radziah.  Acam hanya menjeling sekilas ibunya.  Amboi, sedap mengata aku ye!

          Sedang elok Acam membuka pintu kereta, Normi terjerit-jerit memanggilnya.

          “Kak, ada telefon.  Cepatlah,” jerit Normi.

          Terpinga-pinga Acam sekejap.  Namun dia sempat mengangkat tangan menyuruh Qaid menunggunya sebentar.  Laju sahaja dia menapak menuju ke dalam rumah.  Hati Acam tertanya-tanya, siapa pulalah yang tak ada kerja menelefonnya. 

          “Hello..”

          “Hello, hello.. assalamualaikumlah awak,” sergah suara di hujung talian.  Acam tersentak.  Alamak, Dzil la pula.  Apalah mamat ni hendak, menelefon aku siang-siang buta ni.  Selalunya dia ni burung pungguk.  Siang tidur malam berjaga.  Ke ada teropong boleh nampak aku nak keluar.  Acam berperang dengan persoalan demi persoalan dalam hatinya.  Hish, seorang menunggu di luar, yang seorang lagi menunggu di hujung talian.  Hadoiii!!!!

          “Yelah, waalaikumussalam..” balas Acam sebal.  Mamat ni kalau tak mengenakan orang tak sah.

          “Tengah buat apa tu?” Alahai, nak tanya itu je ke telefon aku, bentak Acam.

          “Awak, saya tak dapat nak cakap dengan awaklah.  Saya nak keluar, awak telefon saya malam nanti boleh?”

          “Oh, nak keluar?  Pergi mana?  Dengan siapa?” Alahai, macam polis pencen pula.  Terseringai senyuman di wajah Dzil apabila menyedarinya.  Pelik juga, Acam ni bukanlah jenis yang suka suki nak keluar ke mana-mana. 

          “Saya nak keluar dengan kawan jap.  Nak temankan dia cari barang,” balas Acam.

          “Kawan lelaki ke perempuan?” Wah!! Dzil sendiri terkejut dengan soalan cepumas yang keluar daripada mulutnya.  Tapi, yelah, hati dah mula rasa tak sedap apabila Acam kata nak keluar tadi.

          “Dengan Qaid la, awak.  Dia ada kat luar tu, tunggu saya.  Dia minta tolong saya temankan dia cari barang sikit,” laju sahaja Acam bercerita.  Alamak! Acam menekup mulut.  Macam manalah dia boleh lancar sahaja menyebut nama Qaid.  Dah sah-sah mamat kat sana tu akan berangin. 

          Walau pun mereka berdua tiada hubungan apa-apa, tapi semenjak dua menjak ni, Dzil seperti menunjukkan perasaannya secara terang-terangan.  Kadang-kadang jika bercakap dengan Dzil di telefon seperti orang tengah bercinta pula.  Terdengar keluhan keluar dari mulut Dzil.

          “Hmm.. tak apalah.  Awak nak keluarkan, saya tak nak kacaulah.”  Suara Dzil mendatar.  Hati Dzil terpukul dengan pengakuan Acam sebentar tadi.  Cemburu?  Iya, dia memang cemburu.  Cemburu kerana Qaid dengan mudahnya mendapat tempat di hati Acam.  Mungkin bukan sebagai kekasih, tetapi layanan Acam tetap istimewa.  Dzil tidak mahu itu.  Dia hanya mahu ada nama ‘DZIL’ di hati perempuan yang bernama Acam itu.  Dia mahu hanya namanya yang terukir indah di situ.  Dia mahu itu, dia mahu ini.  Arghhhhhh… pedih sungguh hati bila memikirkannya.

          “Eh, awak ok ke?  Malam nanti kita borak lagi ye,” ucap Acam seperti tiada perasaan.  Sebenarnya Acam sudah dapat menangkap nada tidak puas hati Dzil namun sengaja dia tidak mahu memikirkannya.  Kasihan pada Qaid yang telah lama menanti. 

          “Ok.. enjoy yourself,” ucap Dzil lalu talian dimatikan.  Begitu sahaja.  Hati Acam terpukul dengan perlakuan itu.  Marahkah dia?  Cemburukah dia?  Ah, lantaklah!

          Tergesa-gesa Acam menyambar beg tangan di atas sofa lalu kembali menuju ke arah Qaid yang masih setia menanti sambil berbual-bual dengan ayah.  Setelah mengucap salam, kereta meluncur laju membelah kesibukan jalan menuju ke destinasinya.



***********************

          Malam semakin larut.  Acam masih tidak dapat melelapkan matanya.  Dia masih berbaring di atas sofa.  Masih lagi menanti telefon yang terletak si sudut itu berdering.  Hampir satu jam matanya dipaksa berjaga semata-mata menanti panggilan itu.  Nampaknya, malam itu dia tidak akan mendapat panggilan.  Marahkah Dzil padanya?  Adakah begini rasanya bila dilamun perasaan?  Menanti dan terus menanti.  Jika benar Dzil marah, apa yang harus dia lakukan.  Untuk memujuk lelaki itu, tentu sekali tidak.  Egonya terlalu tinggi untuk tunduk merayu-rayu kepada lelaki itu. 

          Beg kertas kecil yang diberikan oleh Qaid petang tadi diambil lalu dikeluarkan isinya.  Terbeliak mata Acam apabila melihat isi kotak yang terkandung di dalam beg kertas itu.  Sebuah telefon bimbit bersama sim kadnya sekali.  Hish, dah la telefon mahal, siap simkad sekali.  Melampaulah mamat ni, getus Acam.

          Terimbau perbualan antara Qaid dengan dirinya di hadapan pagar tadi.

          “Nah, ni untuk ko,” ujar Qaid sambil mengunjukkan sesuatu kepada Acam.

          “Hish, apa ni.  Bukan birthday aku lah yang ko nak bagi hadiah bagai,” tolak Acam.

          “Ni bukan untuk birthday, ni untuk khidmat cemerlang ko dengan aku.  Kan orang lain ada bagi ko hadiah, aku je yang tak bagi.  Ni aku bagilah, tapi ko buka nanti,” balas Qaid.  Hendak tak nak terpaksalah Acam menerimanya.

          Dalam sibuk membelek telefon bimbit itu, dia terpandang secebis kertas kecil terselit di celah kotak.  Perlahan cebisan kertas diambil lalu satu persatu baris ayat dibacanya.

          Cik Puteri Darlina,
          Jangan mengada-ngada nak tinggal telefon ni kat rumah bila balik PUO nanti.  Bawa telefon ni sekali.  Jangan risau duit top up kalau tak ada, roger-roger aje aku.  Ko kan dah janji kita tak akan pernah putus hubungan, so telefon ni aje yang boleh hubungkan kita.  Kalau ko tu rajin sangat nak ber ‘facebook’ tak apalah juga, tak pun YM ke.. boleh juga aku lepas rindu tengok muka ko kat lappy.  Ok, aku akan rindu kat ko.  Belajar rajin-rajin!

Qaid Firdaus

          Senyuman terukir mekar di bibir Acam.  Haih, dia ni buat hati aku cairlah.  Kalau tak kuat iman, dah lama aku terima mamat ni jadi suami, getus Acam.  Kemudian dia tertawa sendirian mengenangkan apa yang difikirkannya tadi. 

          Telefon yang tadinya sunyi sepi kini berdering-dering minta diangkat.  Acam mengerling sekilas ke dinding.  Jam menunjukkan angka satu pagi.  Wah, boleh tahan mata aku ni berjaga, bisik Acam.

          “Assalamualaikum..” ucap Acam.  Tidak mahu lagi diperli oleh mamat tu.

          “Waalaikumussalam..” balas Dzil.  Kemudian masing-masing terdiam.. talian hanya dibiarkan sepi.

          “Hmmm.. awak marah saya ye,” soal Acam memecah kesunyian di antara mereka.  Kalau nak dibiarkan talian tanpa penghuni, baiklah dia tidur sahaja.

          “Awak nak saya cakap yang betul ke, tipu?” soal Dzil semula.

          “Eh, tentulah yang betul, nak tipu-tipu buat apa,”

          “Memang tadi saya marah.  Lebih kepada jeles.  Saya jeles tau bila awak kata awak nak keluar dengan mamat tu.  Tapi sekarang jeles saya dah kalah, rindu saya lagi banyak la kat awak,” ucap Dzil tanpa selindung.  Penat nak main selindung-selindung ni.  Asyik dok berselimut, dah berpeluh-peluh kepanasan dek panahan rasa hati.  Biarlah diungkapkan sedikit demi sedikit agar hati perempuan di hujung sana tu terkesan.

          Acam yang mendengarnya terkesima seketika.  Terpukul dengan kata-kata Dzil.

          “Sorry la awak.  Tak maksud nak sakitkan hati awak.  Lagi pun saya bukan ada apa-apa pun dengan Qaid tu.  We were just friends,”

          “Hmm, tak apalah.  Yang penting saya dah dapat Acam saya semula malam ni.  Awak tunggu saya ye, sekejap je telefon berdering dah diangkat,” usik Dzil.  Wajah pun dia tidak nampak wajah Acam, namun dia tahu pasti wajah itu sudah disimbah kemerahan bagai udang dibakar.  Acam memanglah macam tu.

          “Tak adalah.  Kebetulan je,” nafi Acam.  Masih nak cover line.  Malu kalau Dzil tahu dia sedang menantikan panggilan mamat tu.

          “Oklah, dah dapat dengar suara awak pun dah cukup.  Boleh tidur lenalah saya malam ni.  Gud nite my girl, sweet dream.  Bawa saya dalam mimpi awak ye,” ujar Dzil.  Lembut suara lelaki itu memukul hati Acam.  Terpana dengan rasa indah yang tiba-tiba menjalar ke tangkai hatinya.

          “Awak pun, sweet dream.  Assalamualaikum,” balas Acam.  Kedengaran salam berjawab dan talian telefon dimatikan.  Hati Acam berdegup kencang.  Acam berperang dengan perasaan sendiri.

          Kenapa hati ini bagai dipalu-palu, bagai berada di awangan ketika mendengar suaranya.  Sudah jatuh hatikah aku?  Tak mungkin!  Acam lemas dalam mengatur satu persatu persoalan yang mula membukit di dadanya..


Aku cuba untuk mendekati
tapi engkau tiada peduli
tulusnya niat di hati
mungkin kau tersalah erti

Bukanlah ingin merantai dirimu
ataupun mengikat janji
masih ada banyak lagi
harus kau pelajari

Aku ingin kemesraan
serta senyuman keramahan
biar kekal berterusan
tak hilang di tengah jalan..

(Spin -- Malam Makin Dingin)


*********************

Sayang2 Kak Yus..maaf ye, lama memeramkan diri dari MB ni.. harap2 n3 kali ni dptlah meleraikan rindu sayang2 kak yus pd Acam, Dzil n Qaid.. maaf ye utk segala kekuranga, typo error ke.. hehehe.. tak larat nak buka mata dah ni.. sudi2lah drop komen untuk tatapan kak yus..


Ok.. lots of luv frm kak yus, Emeer & Ayesha

~  Kak Yus  ~
31.3.12 --- 1.25 a.m

6 comments:

  1. adoiii... senyum dinda dh sampai telinga nie... hehe... cpt2 la smbg ye k.yus... hihihi

    ReplyDelete
  2. hehehe... sabor dinda .. k.yus dah nak pecah kepala ni..

    ReplyDelete
  3. acam dah falling in live.. taniah dzil... kih3..

    ReplyDelete
  4. dua-dua best mana satu nk pilih hero nih akak yus...adoi lebar jek sengih ni...

    ReplyDelete
  5. <~~~ cair... *awat baca dua kali part ni ? hahaha...

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com