Tuesday 9 October 2012

Sengketa Cinta ~ 7



            Genangan air di tubir mata tak mampu ditahan lagi lalu deras mengalir membasahi pipi.  Kalau tadi dia masih mampu menyembunyikan rasa apabila motivator yang didatangkan khas untuk program itu mula menyentuh mengenai ibu bapa dan kekeluargaan.  Perasaannya luruh di situ jua namun mengenangkan rasa malu yang menampar diri, rela dia melarikan diri ke sini.  Alah, bukan gelap mana pun kawasan ni.  Cantik pula dengan bangku-bangku kecil yang tersusun di bawah sinaran neon yang terang benderang. 

            Hatinya digigit pilu terkenangkan umi di kampung bersama adik-adik yang tentunya bersama umi ketika itu.  Jam di pergelangan tangan dikerling sekilas.  Masih awal dan masih sempat lagi untuk dia bertanya khabar.  Lincah jemari runcingnya menekan papan kekunci di dada telefon bimbit.  Senyuman kecil tersungging apabila terdengar suara halus di hujung talian.

“Assalamualaikum umi, belum tidur lagi?”  soal Azzalea lembut menyembunyikan nada sendu yang berlagu.

“Waalaikumussalam.  Kakak ye, umi belum tidur lagi.  Sedang temankan si Azriel ni menonton movie.”  Suara umi melenyapkan kerinduan di hati Azzalea.  Walau pun Kuala Lumpur dan Sabak Bernam tidaklah jauh mana, namun bukanlah kerap sangat Azzalea dapat pulang.  Sebulan sekali sahaja dia dapat bertemu dengan uminya.  Kerja yang berlambak-lambak sering membataskan masanya.  Apatah lagi waktu-waktu senggang diisi dengan kegiatan persatuan.

“Oh, Azriel ada balik ye umi.  Nanti kirim salam kat Azriel ye.  Hari tu janji nak datang rumah kakak, tunggu juga tapi tak sampai pun.”

“Sibuk agaknya adik kamu tu.  Ni pun dia ambil cuti empat hari balik sini, lepas ni nak ke Filipina katanya.  Ada kursus kat sana dua minggu.”

            Alahai, adik aku seorang ni.  Memang sibuk sungguh, bisik hati Azzalea.  Jarak usia hanya setahun yang membezakan mereka memang menjadikan dia sangat rapat dengan Azriel malah sebagai kakak sulong, dia juga rapat dan amat mengambil berat hal-hal kebajikan adik-adiknya yang lagi dua orang tu, si Amira Hannan Sufi dan Ammar Wijdad.

“Kakak okey ke kat Cherating tu?  Bila balik?”

“Kakak okey je umi.  Esok petang dah habis program dan terus baliklah.  Ingat minggu depan kakak nak balik rumah ye umi.  Rindu kat umi, semenjak dua menjak sibuk dengan program Belia ni kakak dah tak sempat nak jengok umi.  Kakak minta maaf ye umi,” ujarnya sayu.  Azzalea dipamit rasa bersalah kerana hampir dua bulan dia tidak pulang menjengok uminya.  Walau pun begitu selang sehari dia akan menghubungi umi melalui telefon tetapi masih tidak sama.  Wajah tua umi jugalah yang dirinduinya.  Masakan daripada air tangan umi juga yang dirinduinya.

Suasana sunyi seketika.  Kedengaran nafas lembut umi di hujung talian.  Azzalea semakin dihambat rasa rindu dan sayu.  Umi, kakak sayang umi!  Dia juga tahu umi pasti amat merinduinya saat itu.  Iyalah, sebagai anak sulung dan paling dekat di hati umi, dia banyak berkongsi suka dan duka bersama umi.  Biarlah umi, umi masih ada kakak dan adik-adik.

“Okeylah umi, hari dah lewat malam.  Umi tidur awal ye, jangan dilayan sangat si Azriel tu,” pesannya sebelum mengakhiri perbualan.  Ucap salam daripada umi disambut dengan rasa sebak.  Telefon bimbit yang digenggam dibawa dekat ke dadanya seolah-olah dia sedang memeluk umi.  Air mata tumpah lagi.  Entah mengapa malam ini terlalu murah harga linangan air matanya.  Kata-kata motivator sebentar tadi mengundang kembali kenangan silam yang sangat pedih untuk ditebarkan. 

Tanpa Azzalea sedar, Fayyad menjadi pemerhati di belakangnya.  Senyap-senyap lelaki itu menghampiri Azzalea, tidak mahu mengganggu perbualan gadis itu.  Bait-bait perbualan jelas tertangkap di telinga Fayyad.  Pasti Azzalea rindu benar kepada uminya.  Anak manja, desis Fayyad.

“Oh mak engkau!” jerit Azzalea terkejut dengan kehadiran Fayyad yang selamba menarik bangku di sebelahnya agar lebih dekat.  Hah, kan dah terkeluar segala latah dari bibir munggil gadis itu. 

“Alamak, latah juga awak ni ye,” ujar Fayyad diikuti dengan tawa yang berdekah-dekah.  Lucu pula melihat tingkah spontan Azzalea itu. 

“Eii, tak suka tau.  Tiba-tiba je tersembul kat sini.”

“Iyalah, dah awak tu bawa diri sangat, jauh-jauh duduk seorang kat sini.  Tak sampai hati saya nak biarkan awak seorang malam-malam buta kat sini, tak takut ke?” usik Fayyad.  Dia perasan riak muram yang terpamer di wajah gadis itu dan oleh sebab itulah dia seboleh-bolehnya tidak mahu menambahkan lagi kemuraman Azzalea. 

“Awak okey ke?”

“Hmmm, okey je.”

“Lea, you’re not good at lying dear.  Fail hundred percent.  Apsal ni?” pujuk Fayyad perlahan takut hati Azzalea tersinggung dengan pertanyaannya.

“Tak ada apa-apa.  Saya okey.”  Jawapan Azzalea kedengaran bercanggah dengan wajahnya.  Fayyad merenung wajah suram gadis itu.  Jelas terpapar kesedihan di merata sudut. 

            Kesunyian yang hadir membuatkan hati Azzalea tidak sedap.  Dia mengangkat wajah dan saat itu matanya bertembung dengan mata Fayyad yang asyik merenungnya.  Hatinya berkocak hebat.  Tidak tahu bagaimana hendak menyorokkan rasa sedih yang bertamu.  Dia sebolehnya tidak ingin berkongsi kesedihan itu, cukuplah dia seorang yang menelannya.

“Ceritalah awak, saya sudi mendengarnya.  Orang kata jangan pendam kesedihan sorang-sorang, luahkan agar hati tidak menjeruk rasa,” pujuk Fayyad tidak mengalah.

“Hmmm.. tak ada apa-apa.  Saya cuma rasa sedih sikit je apabila mendengar kata-kata motivator tu.  Teringat kat umi.”

“Takkanlah rindu kat umi sampai menangis macam ni, kedekut ye.”

“Kedekut?”

“Iyalah, kedekut nak kongsi cerita.  Saya janji, saya akan menjadi pendengar yang setia.”  Tersenyum Azzalea seketika melihatkan memek wajah Fayyad yang masih tidak jemu memujuknya.  Haish, dah ada orang nak dengar ni luahkan sahajalah, getus hatinya.

“Ermm.. masa En. Badri bercerita mengenai ibu bapa tadi saya jadi sedih sangatlah awak.  Saya terkenangkan kisah zaman kecil-kecil saya.”  Mata Fayyad yang redup merenungnya dikerling sekilas.  Azzalea menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskan lagi kisahnya.

“Umi saya berkahwin dalam usia yang sangat muda.  Arwah tokma dan tokki yang menjodohkan umi dengan abah pada usia umi baru menjangkau tujuh belas tahun.  Abah bawa umi tinggal bersama arwah nenek di Sabak Bernam.  Mungkin umi bukan cinta hati abah, maka sebab itulah abah tidak bahagia dengan umi agaknya.  Sehinggalah umi melahirkan saya, Azriel, Hannan dan Ammar, abah masih tidak berubah.  Kesian umi, saban masa berendam air mata dalam mengharapkan secebis kasih daripada seorang suami.  Jarak antara kami adik beradik pun tak banyak beza, saya dan Azriel hanya tua setahun, Azriel pula dua tahun tua daripada Hannan manakala Ammar hanya setahun muda daripada Hannan.  Paling sedih dalam hidup kami, ketika umi mengandungkan Ammar, abah pulang ke rumah setelah berbulan tidak pulang hanya semata-mata untuk meminta izin berkahwin lagi.”  Kata-kata Azzalea terhenti di situ.  Sebak di dada semakin hebat namun dia masih mencari kekuatan diri untuk mengingati setiap detik.  Fayyad yang mendengar juga tidak mampu berkata sepatah pun, turut terasa tempias kepiluan itu.

“Masa tu umur saya baru empat tahun, kecil sangat lagi tapi saya dah biasa tak dapat kasih seorang ayah.  Umi dalam keadaan sarat mengandung tenang sangat.  Sanggup mengizinkan abah kahwin lagi sedangkan ketika itu arwah nenek memang marah sangat kat abah sehingga nenek halau abah daripada rumah.  Nenek disown abah dan lucutkan nama abah daripada pewaris harta pusaka milik arwah atok dan nenek.  Selepas daripada itu sehinggalah Ammar dilahirkan kami tak pernah jumpa abah.  Tapi selepas arwah nenek meninggal tiga tahun lepas, abah datang semula menuntut haknya.  Kesian umi, hanya harta arwah nenek itu sahajalah yang menjadi sumber pendapatan umi selama ini.  Ladang dan sawah itulah yang membesarkan kami.  Nasib baik maklong, kakak kepada abah ada.  Maklonglah yang kuat menentang hasrat abah tu dan maklong jugalah yang membantu kami membawa perkara itu ke muka pengadilan.  Macam-macam kata-kata nista abah lemparkan kepada umi ditambah pula dengan cacian isteri baru abah tu.  Masa tu saya tak ada kat sana, Hannan yang nangis-nangis telefon saya suruh balik.”  Air mata yang mengalir diseka. 

“Oh.. habis selama tu umi awak digantung tak bertali ke?  Macam mana kes harta tu akhirnya?” spontan soalan itu terkeluar daripada mulut Fayyad.  Persoalan yang berlegar-legar di mindanya sedari tadi.  Simpatinya mula tumpah kepada umi Azzalea.  Tidak sangka ada juga manusia yang sanggup melakukan begitu kepada anak dan isteri sendiri.

“Dua tahun selepas berkahwin baru, umi dapat surat daripada pihak Jabatan Agama Islam Selangor.  Abah failkan kes cerai dan umi terima dengan redha.  Pasal harta tu sebenarnya umi nak serahkan aje kepada abah tapi maklong dan paklong yang tak bagi, kata mereka pihak mahkamah pun dah sabitkan yang abah memang tak ada kena mengena dengan harta pusaka arwah nenek sebab sebelum meninggal memang arwah telah hibbahkan semua hartanya kepada umi dan maklong.  Jadi nak faraid pun tak boleh juga sebab semua harta telah dibahagi dan ditukar nama sebelum arwah nenek meninggal lagi.  Arwah nenek bukan calang-calang orang, bekas guru besar dulu tu.  Sebab itu kami adik beradik tak pernah ketinggalan dalam pelajaran,” balas Azzalea lega.  Sememangnya dada Azzalea berasa ringan setelah dia meluahkan segala yang terbuku di hati.  Selama ini tiada seorang pun yang tahu mengenai kisah keluarganya walau pun Dirah, rakan karibnya. 

            Fayyad mengangguk-angguk perlahan cuba mencerna setiap perkataan yang didengarnya.  Jerih juga kisah gadis kesayangannya itu.  Jika dilihat daripada wajah yang tenang dan manis itu, tidak sangka begitu sekali kisah silam yang diharunginya.  Jauh berbeza dengan kisah hidupnya yang sungguh bertuah.  Walau pun kehilangan kedua ibu bapa namun kehadirannya dalam keluarga Datuk Halim disambut bagaikan menatang minyak yang penuh.  Tidak pernah ada sedikit pun kekurangan kasih sayang dan kemewahan sehingga kadang-kadang dia sendiri rasa lemas di dalamnya.

“Hmm.. agak-agak bila awak nak kenalkan saya kepada umi awak ye?”  Bulat mata Azzalea mendengar soalan cepumas yang diajukan Fayyad.  Hish, selamba pula mamat ni menutur kata, macam tak ada apa-apa je.  Azzalea berperang dengan hati sendiri.  Sudahnya, persoalan Fayyad dibiarkan berlalu bersama hembusan bayu laut malam yang semakin kencang.  Suasana semakin kelam dan kesejukan sudah mula melekat pada kulit yang terdedah.

“Awak, jom balik bilik.”

“Err, bilik awak ke bilik saya?” usik Fayyad sengaja.  Tak semena-mena kakinya terasa sakit akibat dipijak Azzalea. 

“Ouch!”

“Padan muka, gatal sangat!”

            Sengihan terseringai di bibir nipis Fayyad.  Hish, tak sangka ganas juga minah ni.  Muka kemain lagi lembut dan ayu je, tapi sesekali bila mengganas nasib baik pakai sneakers kalau tidak harus bengkak kakinya. 

            Fayyad dan Azzalea beriringan pulang ke bilik masing-masing.  Tiada sepatah perkataan pun terucap antara mereka.  Setelah memastikan Azzalea benar-benar telah masuk ke bilik penginapannya, barulah Fayyad beredar.  Alhamdulillah, dia bersyukur kerana Azzalea sudah kembali ceria.  Dalam hati lelaki itu berdoa agar kedukaan gadis itu dapat dikongsinya.


*************************************************

Salam sayang2 kak yus.. maaf ye, bagi mereka yang mengikuti kisah Fayyad & Azzalea.  Dah lama sangat tak update kisah mereka, okey.. ni bab 7 k.yus bagi dulu, sekarang ni sedang bergelut utk menyiapkan beberapa bab tapi sedihnya, bukan bab 8 dah seterusnya tetapi idea dtg mencurah2 untuk bab2 tengah dan akhir.. doakan k.yus semoga dapatlah menyiapkan manuskrip ni.. err perjalanan mereka ni masih panjang dan insyaAllah, k.yus akan hapdet lagi nanti, sekerap mampu ye.. sudi2lah drop komen utk k.yus .. Luv u ols..

~ Kak Yus ~

1 comment:

  1. Baru nak warminng up. Tabahnya hati ibu Azalea tu kan. Syukurlah keluarga mentua dia tak sia2kan mereka.

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com