Friday, 14 February 2014

SENGKETA CINTA - 32 & 33

Assalamualaikum kesayangan kak yus... lama sungguh tak titip sesuatu di blog ni.  Busy tu satu hal, tapi masalah tak boleh nak masuk ke blog pun satu hal.. alhamdulillah, masalah sudah dapat diatasi.  Malam ni kak yus nak up 2 bab sekali gus ye.. bab2 ni kak yus dah upload di grup BJB @ fb sebelum ni.. mungkin sayang2 kat sini belum dapat peluang membacanya.

Maaf atas kekurangan dan ketidaksempurnaan.




Bab 32

Fayyad hanya mampu merenung telefon yang telah lama hanya mengeluarkan bunyi bingit tanpa suara itu.  Seminit, dua minit dan akhirnya gagang telefon diletakkan kembali.  Keras betul hati perempuan ni.  Orang kata hati perempuan ni macam kerak nasi, keras-keras kerak nasi, kena air lembut juga.  Hmmm.. betul ke pepatah tu?  Masih releven lagi ke nak digunakan zaman sekarang ni.  Melihat kepada cara Azzalea sahaja sudah tahu, dia ni bukan stok kerak nasi biasa.  Harus kerak nasi lemak tak pun nasi tomato, jenis yang makan hari nak rendam.

Tidak sempat hendak mengeluh, deringan mesin fax berbunyi dan serentak dengan itu kedengaran bunyi kertas dicetak.  Fayyad segera bangkit daripada duduknya lalu menghampiri mesin fax yang terletak di sudut pejabat.  Wah, cepat betul minah ni buat kerja.  Tak sampai lima minit, dah sampai faxnya.

Butir-butir lanjut yang tertera di atas kertas fax diteliti dengan penuh minat.  Memang tepat seperti tekaannya.  Azzalea tetap Azzalea yang lama, tidak pernah berubah.  Tidak pernah sesekali mengambil kesempatan walaupun telah ditawarkan dengan tawaran yang lebih lumayan.  Hanya enam permainan sahaja yang dipilih sedangkan quotation yang dikirimkan kepada gadis itu memang banyak pilihan.

“Assalamualaikum Encik Fayyad.”  Suara memberi salam di muka pintu pejabat yang terbuka membawa Fayyad kembali ke dunia nyata.  Senyuman dilemparkan kepada Kak Jarah, tea lady di pejabat itu.

“Waalaikumsalam Kak Jarah, masuk kak.”  Perlahan Fayyad berlalu ke meja kerjanya.

Kak Jarah membalas senyuman Fayyad ikhlas sambil meletakkan secawan teh panas dan sepiring karipap di atas meja Fayyad.  Waktu-waktu begini memang itu kegemaran Fayyad.  Teh panas dan kalau ditemani dengan karipap pusing tu, lagilah berselera jejaka idaman Malaya tu. 

“Lorh Kak Jarah, susah-susah je belikan saya karipap ni.”  Tersentuh hati apabila melihatkan karipap pusing di atas mejanya.  Dia tahu, bukan dekat nak dapatkan karipap pusing tu, tiga blok daripada pejabat mereka.  Tentu penat Kak Jarah berjalan kaki.

“Iskh, mana ada jauhnya Encik Fayyad.  Tadi Kak Jarah kebetulan pergi cari air kelapa untuk Datuk, teruslah Kak Jarah singgah sekali.  Lagi pun bukan jalan kaki hari ni, Kak Jarah rempit dengan Mat Lobo.” 

“Siapa Mat Lobo kak?  Saya kenal ke?”  Soal Fayyad agak cuak.  Iyalah, dengan mamat rempit mana pula Kak Jarah ni berkawan.  Setahu dia, mana ada Mat Lobo kat situ.  Soalan Fayyad disambut dengan ketawa Kak Jarah.  Cepat-cepat Kak Jarah menutup mulut dengan tangannya.  Iskh, lepas laku betullah, dah la depan bos pulak tu, desis Kak Jarah.

“Ya Allah, akak tak tahu Encik Fayyad tak kenal Mat Lobo tu.  Ingatkan glamour sangat dia kat sini.  Si Kahar, mamat peon kita itulah Mat Lobo.  Kan dia suka sangat pakai ala-ala cowboy, konon-konon nak jadi si Blue dalam cerita High Caparal tu,” terang Kak Jarah masih bersisa tawanya.

“Hai, macam-macamlah Kak Jarah ni.  Terima kasih ye kak,” ucap Fayyad.  Mulutnya sudah mula menjamah sebiji karipap pusing yang masih hangat. 

Melihatkan Fayyad yang seolah-olah sedang menikmati kelazatan kuih yang terhidang, Kak Jarah perlahan-lahan meninggalkannya.  Pintu ditutup rapat.  Biarlah bos kecilnya itu berehat sebentar.  Bukan dia tidak sedar, dari pagi lagi Fayyad sudah berkejaran dengan mesyuarat di pejabat itu.  Sejak Fayyad pulang kepangkuan keluarganya dan mengambil semula tugas sebagai Pengurus Besar di syarikat itu, memang kelihatan banyak perubahan.  Fayyad ni berbeza sedikit dengan Datuk Ilham.  Datuk Ilham seorang yang tegas dan jarang bertolak ansur dengan pekerja, kalau putih katanya putihlah, tak ada maknanya nak jadi hitam.  Fayyad pula lebih suka mendengar banyak pendapat dalam membuat keputusan, mengambil kira daripada berbagai sudut dan mencari solusi terbaik mengikut fikirannya.  Namun, jika melibatkan hal-hal yang lebih besar, sudah tentulah pendapat Datul Ilham tetap dirujuk.

Habis sahaja tiga ketul karipap pusingnya, Fayyad terus menghubungi pihak pembekal dan menguruskan pesanan yang telah difakskan oleh Azzalea sebentar tadi.  Sempat juga dia meminta beberapa barangan lain yang dilihatnya dalam katalog yang dirasakan perlu walaupun tidak diminta. 

“Bos, boleh jumpa sekejap?” Wajah Camillia tersembul di celah pintu yang terkuak sedikit setelah diketuk beberapa kali.

“Sure, masuklah,” jemput Fayyad.  Terkejut sebenarnya melihat kehadiran Camillia di pejabat.  Sepatutnya gadis itu berehat di rumah, katanya cuti sakit.

“You buat apa kat sini?  Bukan you tak sihat ke?”

“I baru balik klinik tadi ni, pergi kali kedualah bos.  Pagi tadi I pergi dah, lepas tu boleh tertinggal mykad I kat klinik.  Tu yang I pergi balik, singgah la sekejap ambil fail urgent yang bos besar nak esok tu.”

“Haish, you ni.  Sakit buatlah cara sakit.  Mykad tu pesan je kat I boleh tolong ambilkan.  Pasal fail yang nak kena siapkan esok tu, you tak payah risau, I dah serah kat Hasnul suruh dia kawtimkan,” bebel Fayyad. 

Boleh tahan juga mamat ni membebel ye.  Camillia hanya tersenyum melihat wajah Fayyad.  Namun senyumannya itu termati di situ saat Fayyad mengangkat muka dan merenungnya.

“Okey, apa yang you nak bincang dengan I.  Sekejap je, lepas tu boleh balik tidur.”

Tanpa melengahkan masa, Camillia terus membincangkan urusan kerja yang harus diselesaikannya segera.  Betul juga kata Fayyad, dalam keadaan tidak sihat begitu tidur adalah nikmat yang tidak terhingga dan ubat yang paling mujarab.  Banyak juga informasi dan jalan penyelesaian yang dapat dikumpulkan hasil sepuluh minit perbincangan mereka.  Memang Fayyad tak beri peluang langsung untuk menukar topik, straight to the point.  Dah tu siap boleh halau suruh balik lagi.  Ganas punya bos.

“Err, one more thing bos, tadi katanya Cik Azzalea ada telefon,” ujar Camillia saat terpandang katalog di atas meja Fayyad.

“Aah, I dah settlekan pasal permainan tu,” balas Fayyad, “tuannya je I belum settle lagi,” sambung Fayyad perlahan lebih kepada berbisik tetapi ayat yang terakhir itu masih dapat ditangkap telinga Camillia walaupun diucapkan perlahan.

Camillia merenung wajah Fayyad seketika.  Dia perasan, setiap kali nama Azzalea dibangkitkan mesti wajah Fayyad bertukar.  Ada riak gembira menghiasi wajah itu dan sesekali ada riak teruja juga terpamer.  Camillia perasan saat mereka di Tadika Permata tempoh hari, corak dan cara Fayyad merenung Azzalea. 

“Bos, I dengar ayat last you tadi tu.  Apa yang tak settle lagi dengan tuan punya tadika tu.  Kalau I boleh tolong settle, apa salahnya I tolong.”  Sengaja mengumpan untuk mendengar cerita.

“Hmmm, panjang ceritanya.  Susah I nak cerita kat you, lagi pulak you tak sihat ni.  Nanti pitam pula you dengar cerita I, cukuplah I cakap, I pening kepala dah nak pujuk buah hati pengarang jantung I tu.”

Oooooo… patutlah!  Buah hati mamat ni rupanya.  “Bos, orang perempuan ni kalau merajuk suka dipujuk.  Sekali dua tak makan pujuk, jangan mudah putus asa.” 

“Ini bukan sebarang merajuk Cik Cam oi, ni dah merajuk campur marah campur macam-macam dah.  Susah betul I nak tackle hati dia semula.”

“Ermm.. in that case, I just can advise you, sit down with her and do some explanation.  Maybe the truth isn’t always beauty, but the hunger for it is.”

Fayyad terkesima seketika tatkala mendengar kata-kata Camillia.  Tak sangka gadis di hadapannya itu memang berbakat.  Berbakat menjadi cik penasihat dua puluh lima percentnya.

“Okey cik penasihat, kalau berjaya dua puluh lima percent,” seloroh Fayyad mengakhiri perbualan mereka.  Segera gadis itu digesanya pulang ke rumah.  Lagi berlelama di situ, bertambah tidak sihat gadis itu.  Bukan senang hendak mendapat pekerja yang berkaliber seperti Camillia.

Di sebalik pintu bilik yang telah tertutup rapat, Camillia bersandar lesu.  Tangannya masih lagi berada di tombol pintu.  Dia melepaskan keluh berat.

“Nampaknya kena bungkuslah perasaan kau kemas-kemas Camillia oi.  Burung pujaan sudah ada pemiliknya.  Tak payahlah nak susah payah buat operasi memikat,” bisiknya perlahan.  Dia sedar selama ini pemerhatiannya tidak pernah tersasar.  Walaupun telah berkali-kali dia cuba memikat hati bos kecilnya itu melalui tingkah serta sikap ambil beratnya, dia nampak penolakan di mata lelaki itu. 

Tanpa berpaling, Camillia berlalu meninggalkan pejabat Fayyad laju.  Entah bagaimana, tanpa sengaja tubuh Camillia dilanggar daripada belakang.  Bertaburan surat-surat di atas lantai.

“Oh, jatuh..” latah Camillia.  Alamak, pecah rahsia.  Cepat-cepat Camillia berpusing melihat orang yang telah melanggarnya itu.  Matanya mengecil merenung Kahar yang tersengih-sengih.

“Jatuh cinta lagi, lagi lagi jatuh cinta…” Sambil mengutip surat-surat yang bertaburan itu, sempat lagi Kahar menyanyi menyambut perkataan jatuh yang terpacul daripada bibir Camillia.  Sengaja la tu.

“Hamboi, sempat lagi nyanyi tu.  Ada jugak makan pelempang Mat Lobo ni karang,” bebel Camillia berlalu.  Malas betul nak layan mamat tak cukup skru ni.  Ada je akal dia.  Orang dah la frust menonggeng-nonggeng cinta hati tak kesampaian. Jawabnya makin melaratlah demam.
Kata-kata Camillia sebentar tadi masih lagi terngiang-ngiang di telinga Fayyad.  Betul tu, mungkin sudah masanya dia mempercepatkan langkahnya.  Atau mungkin sudah masanya dia minta pertolongan mama dan papa.

“I love you Lea, and because I love you, I would prefer you hate me for telling you the truth than adore me for telling you lies. For that, I’m willing to do anything just to win you back.  Anything…”





Bab 33

Azzalea ketap bibir.  Sesekali tangannya memicit-micit dahi.  Pakaian untuk esok sudah siap disangkut di grill pintu apabila tiba-tiba bunyi mesej masuk ke telefon kedengaran.  Lama dia membaca setiap patah perkataan yang tertulis di dada skrin leper itu.  Nak kata kecil benar tulisan tu tak juga, dah besar amat skrin tu pun.  Kalau telefon cap mentibang laut bak kata Dirah tu boleh la kata kurang nampak, ni dah pakai telefon canggih manggih pun.  Skrin pun dah lebih besar dari buku tiga lima Cik Limah Kedai Runcit di kampungnya tu.  Duduknya jadi serba tak kena.  Mesej itu diulang baca sekali lagi.

            Kak, ada orang nak masuk meminang ko kak. ~ Azriel.

            Pendek je ayat-ayat tu tapi cukup menyesahkan jiwa raga Azzalea.  Apa cerita ni, tadi semasa dia dihubungi umi tak ada pula umi utarakan pasal pinang meminang ni.  Apa kes pulak ni!  Hati dah jadi tak keruan.  Jarinya yang runcing terus menekan keypad membalas sms Azriel.  Takkan Azriel nak bergurau kot.  Heh, kalau bergurau ni memang nak tempah rumah batu dua budak ni.  Tapi rasanya tak mungkin kot, sebab dia tahu Azriel lah adik paling rapat dengannya.  Apa-apa pun yang terjadi dalam keluarga mereka, Azriel la yang menjadi tukang reportnya.

            Ko biar betul dik, kang akak tuba ko dengan minyak tanah Pak Cik Husin hujung Jalan Kenanga tu.  Yang nak bertuanng minggu ni si Hanan tu. ~ Kak Ya.

            Mana ada orang main-main.  Orang tahulah Hanan yang nak bertunang tapi tadi orang dengar sendiri umi yang cakap macam tu.. dah tu umi pun ada cakap dah bagi tahu kat Pak Long Din tadi. ~ Azriel.

            Masak akak dik macam ni ~ Kak Ya

            Bukan masak dah kak, rentung dah orang tengok ko kak..hahaha ~ Azriel.

            Boleh ko gelak kat akak ye, kurang asam keping punya adik ~ Kak Ya

Okeh kak, orang nak gi Maghrib kat surau sat. Hari Jumaatlah orang jumpa akak kat rumah, orang bertolak pagi Jumaat tu dari sini ~ Azriel.

            Hah, ko jalan elok-elok dik, jangan pulak ko nak kornar rumah tok siak yang ramai anak dara tu. ~ Kak Ya

            Hek eleh.. tak ada maknanya kak oi. Orang nak jadi tokoh imam muda ni. ~ Azriel

            Apo-apolah dik oii.. ok, take gud care. Love you ~ Kak Ya

            Love you too sis ~ Azriel.

            Keluhan kecil dilepaskan.  Nak meraung ke nak menjerit?  Azzalea dah mula rasa macam nak demam kura-kura pun ada menyerangnya.  Kenapa umi tak bangkitkan hal itu semasa mereka bercakap di telefon pagi tadi.  Atau umi memang sengaja nak merahsiakan tentang tu.  Mana boleh biar macam ni.  Entah betul ke tak Azriel ni.  Tapi kan, Azriel mana pernah menipu.  Dia tu kan best bro yang Azzalea ada.  Ammar pun best juga tapi adik lelaki bongsu dia tu jenis pendiam sikit.  Tak suka sangat ambil tahu hal orang lain tapi kalau dah sekali ngam dengan kepala dia, harus empat hari lima malam tak tidur pun tak apa.

            Jam tangan Tissot dikerling sekilas.  Huh, dah nak masuk Maghrib, baik cepat-cepat ke rumah Dirah.  Kesian pula minah tu tunggu lama.  Lagi pun nanti dah azan, tak elok pulak masih merayap atas jalan.  Walau pun rumah Dirah selang beberapa pagar sahaja tapi risau juga nak berjalan ketika senja-senja ni.  Orang tua-tua kata ketika Azan Maghrib berkumandang, eloklah tidak berada di luar rumah kerana waktu itulah syaitan bertebaran di atas muka bumi Allah.  Malah ada hadis yang berbunyi, dari Jabir r.a katanya: “Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sehingga sampai hilangnya cahaya senja.”

            Pintu pagar ditutup kemas.  Dari jalan besar yang di hadapan rumahnya kelihatan jelas cahaya lampu terang di dalam rumah.  Memang sengaja Azzalea membiarkan rumahnya ditinggalkan dalam keadaan terang begitu.  Ketika sampai di hadapan pintu rumah Dirah, sudah kelihatan Iman Yasmine melambai-lambai ke arahnya.  Beg plastik yang dijinjingnya sebentar tadi dihulurkan kepada Iman Ysmine.  Bukan main tersenyum lebar anak gadis genit si Dirah itu apabila mendapati beberapa bungkus jajan (makanana ringan) yang terdapat di dalam beg itu.  Mana tidaknya, hendak ke kedai pun mamanya tak larat nak berjalan.  Nasiblah umi Lea baik hati, sentiasa ingat padanya. 

            “Umi, terima kasih,” ucap gadis kecil itu lalu menarik tubuh Azzalea agar mendekatinya.  Azzalea menundukkan wajah lalu pipi kecil mongel itu dikucup perlahan.

            “Sama-sama kasih sayang.  Nanti makan sambil tengok tv ye,” balasnya. “Jom kita masuk, tutup pintu dah maghrib ni.  Nanti syaitan ikut umi masuk rumah kalau tak tutup pintu cepat-cepat,” sambungnya lagi seraya menutup pintu rumah. 

            “Tadi umi dah baca doa kan.”  Anak kecil itu memandang Azzalea dengan wajah penuh tanda tanya.  Takut agaknya mendengar kata-kata Azzalea sebentar tadi.

            “Dah, jom ikut umi baca.  Inkullu nafsillammaa alaihaa haa fizun.”  Terkumat kamit mulut Iman Yasmine mengikut bacaan doa yang diajar Azzalea.  Bersungguh-sungguh sekali.

            “Maksud doa tu, tiada suatu jiwa pun melainkan diawasi penjaganya.  Doa tu dalam Al-Quran, surah At-Tariq, ayat 4.  Nanti bila Iman dah besar dan dah pandai baca Al-Quran, Iman akan jumpalah ayat ni.  Sekarang Iman baca Iqra’ berapa sayang?”  Soal Azzalea setelah menerangkan tentang doa yang diajarnya sebentar tadi.

            “Iman dah masuk Iqra’ dual ah umi.”

            “Wah, Iman dah pandai ye.  Nanti selalu-selalu mengaji dengan Ustazah Sofea ye.”

            “Hish, dua beranak ni kalau dah berborak tak ingat dunia.  Sudah-sudah la tu ko melayan Iman, nanti terlepas Maghrib baru tau,” celah Dirah sambil melabuhkan punggung di atas sofa.  Telekung sembahyang ditanggalkan, tanda dia baru sahaja menyudahkan ibadah solatnya.  Termengah-mengah seketika.

            “Hmmm, betullah Iman.  Umi belum solat maghrib lagi, Iman dah solat?”  Pertanyaan Azzalea dijawab dengan gelengan kepala.

            “Iman nak solat? Jom solat dengan umi..”  Sepantas kilat anak kecil itu menghulurkan tangan minta dipimpin mengikuti Azzalea.  Memang mudah hendak mengajar anak kecil ini.  Hatinya suci dan bersih.

            Usai mengerjakan solat maghrib, Azzalea, Dirah dan Iman Yasmin berkumpul di ruang tamu.  Tilam dan toto telah dibentangkan di hadapan tv bersama bantal dan selimut.  Memang sengaja tidur di situ kerana memikirkan keselamatan dan kemudahan bagi mereka.  Bukan apa, risau juga Azzalea kalau-kalau Dirah sakit di tengah malam.  Sekurang-kurangnya tak perlulah mereka turun naik tangga.  Lagi pun mudah untuk Dirah bergerak ke dapur.

            Masih terlalu awal untuk bermalas-malas, lalu Azzalea bergerak ke dapur menyediakan makan malam mereka.  Petang tadi, Ibu Zai telah singgah ke situ menghantar sedikit lauk untuk mereka.  Rajin Ibu Zai ni.  Katanya kasihan kat Dirah yang tak sihat, lagi kasihan pada Azzalea yang sangat sibuk hari itu.  Ayam masak kerutuk dan sambal udang dipanaskan dalam microwave oven.  Nasi telah ditanak lebih awal.  Si kecil Iman Yasmin pun sibuk ke dapur hendak membantu.  Tugasan ringan diberikan kepada anak kecil itu untuk menggembirakan hatinya.  Menyusun pinggan dan gelas di atas meja makan serta mengatur mangkuk lauk yang telah diletakkan Azzalea. 

            Ketika Azzalea ke ruang tamu memanggil Dirah untuk makan malam bersama, Dirah baru sahaja selesai bercakap di telefon.  Kelihatan wajah sahabatnya itu girang semacam je.  Harus berbual dengan suami tercinta tu.

            “Apa cerita, happy semacam je ni Ah So.”

            “Haha, mak telefon tadi.  Katanya minggu mak dengan abah nak datang sini.  Marah diorang tak bagi tahu Abang Wan outstation, kalau tidak awal-awal lagi mak dah datang temankan aku.”

            “Hamboi, sayang betul kat menantu perempuan seorang ni.” 

Gembira melihat wajah ceria Dirah.  Peristiwa yang berlaku di kampung ketika Dirah pulang dahulu telah pun diketahuinya.  Tak sangka mak Wan Aidil sanggup berfikir sebegitu sekali hanya semata-mata inginkan cucu lelaki sebagai pewaris mereka.  Kasihan sahabatnya itu.  Kalaulah Wan Aidil bersetuju, Azzalea tak teragak-agak menjadi orang pertama yang istiharkan perang terhadap lelaki itu.  Jangan nak senang-senang buli sahabat baiknya dunia akhirat itu.

            Semenjak kedua ibu bapa Dirah meninggal dunia, memang seluruh kasih sayang Dirah tumpah sepenuhnya kepada ibu dan bapa Wan Aidil.  Walaupun Dirah mempunyai seorang abang, namun hubungan mereka tidak berapa rapat kerana abangnya dahulu dibesarkan oleh ibu saudara mereka.  Mungkin sebab itulah, dia mudah jatuh kasih kepada keluarga Wan Aidil.

            “Dah, simpan sikit senyum tu.  Jom makan ayam masak kerutuk ni.”  Nasi disenduk ke dalam pinggan lalu seketul ayam juga turut disudu ke dalam pinggan Dirah.  Tersenyum lebar Dirah kala melabuhkan punggung apabila dilayan sebegitu rupa. 

            “Tak payah nak sengih sangat, balik Abang Wan nanti aku resign la dari jadi oldbaby sitter ko,”  perli Azzalea meledakkan tawa Dirah.  Iman juga turut tertawa seakan mengerti perbualan dua wanita dewasa itu.

            Selesai sesi mengemas ditemani dengan riuh mulut Iman bertanya itu dan ini, Azzalea menyusuri Dirah ke ruang tamu yang telah menempatkan toto dan tilam mereka.  Seronok juga sesekali begini, rasa seperti zaman mereka berdua di rumah sewa dahulu.

            “Dirah, aku ingat hari Khamis petang aku nak balik rumah umi lah.”

            “Hmm.. kenapa?  Umi tak sihat ke?”

            “Umi sihat walafiat.  Hanan nak bertunang minggu ni, nanti ko datang ye dengan Abang Wan.  Aku kena balik dulu la tolong umi lagipun memang umi suruh aku balik awal, nak cari barang katanya.”

            “Err, tapi kenapa aku tengok ko lain je.  Hanan yang nak bertunang kan?” Sebenarnya dari tadi lagi Dirah perhatikan wajah Azzalea agak keruh.  Malas hendak bertanya lebih awal jika tuan punya badan tidak buka cerita sendiri. 

            “Aah, umi cakap Fatih nak meminang Hanan tapi yang peliknya, tadi sebelum aku datang sini Azriel sms aku bagi tau ada orang nak masuk meminang aku,”  balas Azzalea berwajah sedikit kendur.  Anak rambut Iman yang berjuntai di dahi diselak lembut.  Sekejapan sahaja sudah lena diulit mimpi.

            “Ko biar betul.  Ke Riel salah dengar kot.”  Terkejut.  Pantas Dirah berubah posisi daripada berbaring kini bersila menghadap Azzalea.

            “Itulah, aku tanya balik takut dia tersilap tapi dia kata memang itu yang umi cakap.  Hanan nak bertunang tu pun betul, pasal orang nak meminang aku pun betul juga.”

            “Haish, sudah jadi kerja ni.  Ko tak telefon umi ke?”

            “Aku ingat nak telefon umi bila dah sampai sini, sudahnya terlupa pula.  Dah malam ni kot nak telefon.”

            “Iyalah, dah pukul sebelas ni mesti umi dah tidur.  Esok pagi-pagilah ko call umi tanya betul-betul.”

            “Aku risau tak hengat ni.”  Dirah tersenyum.  Tahu takut!  Itulah orang dah suruh terima sahaja Fayyad tu tak nak, jual mahal.  Sekarang kalau betul ada orang masuk meminang, dah lagi parah kalau umi dah setuju.  Takkan nak bangkang pula, nanti jadi anak derhaka.

            “Err, ko agak-agak la kan, kalau betul la ada orang masuk meminang ko, siapa orang tu ye?”  Sengaja hendak mengusik.  Seronok juga dapat buli sahabat baiknya itu sekali sekala.

            “Err..”

            “Hah, Sufian kot?” Sengaja dikuatkan suaranya.  Dirah tahu sangat Azzalea cukup alergik mendengar nama lelaki itu.

            “Choy, mulut ko Ah So.  Simpang malaikat empat puluh empat.”  Dicubitnya lengan Dirah melepaskan geram.

            “Eii, tak baik tau buli ibu mengandung.  Tapi mana tau kalau betul-betul Sufian tu, ko nak buat macam mana?”

            “Dia mana tau alamat kampung aku lah.  Dia cuma ada alamat sini aje,” balas Azzalea yakin.  “Ko tau kan aku jumpa isteri Sufian tu hari tu,” sambungnya.

            “Aah ko ada bagi tau aku tapi ko tak cerita panjang pun.”  Nak sentap pun tak boleh sebab memang dia sendiri yang menjadi punca tak dapat mendengar cerita panas lagi sensasi tu.  Asyik tak sihat dan berkurung di rumah je.

            “Aku macam tak percaya tau.  Kak Julia tu sikit punya baik, lembut sangat bila bercakap.  Muka pun cantik, muda lagi tapi tak faham kenapalah si Sufian tu sanggup buat macam ni kat isteri dia.”  Azzalea sudah mula menceceh.  Sakit benar hatinya mengenangkan sikap lelaki itu.  Sudah beristeri dan beranak tiga tapi masih lagi ingin bermain kayu tiga dan tergila-gilakan perempuan lain.  Lagi menyakitkan hati, perempuan itu adalah dirinya sedangkan dia sedikit pun tidak pernah melayan dan memberi perhatian kepada lelaki itu.  Antara dia dan Sufian hanya urusan kerja semata-mata.

            “Orang lelaki ni Lea, bukan kira isteri kat rumah tu cantik ke, muda ke, bergetah ke, kalau dah gatal tak boleh nak buat apa.  Macam-macam alasan diorang bagi.  Ada yang sanggup bawa anak dara orang kahwin kat Siam semata-mata tak dapat kebenaran isteri nak berpoligami.  Lagi aku geram, tengok kat MHI hari tu, sorang mamat tu boleh cakap, orang lelaki ni suka yang cantik-cantik.  Kalau isteri tak cantik simpan je kat rumah, carilah perempuan yang cantik kat luar.  Hangin satu badan aku, kalaulah mamat tu depan mata aku dah lama meninggal kena cepuk dengan aku.”  Perghhh!  Penuh emosi Dirah bercerita.

            “Gila mengong mamat tu.  Kalau dah tahu nak yang cantik-cantik, buat apa cari isteri yang tak cantik?  Saja la nak buat kuli batak diorang kat rumah?”  Membara sungguh kedua-dua wanita itu.

            “Hmm, susah betul.  Ada tu bila isteri minta duit sikit nak belanja untuk diri sendiri punyalah berkira.  Tapi bila nak belanja kawan-kawan tak pun nak mengayat perempuan lain boleh pula.  Sanggup pula nak berhabis ribu-ribu nak kahwin lain, sedangkan nak bagi isteri dua tiga ratus untuk maintain cantik punyalah kedekut.  Pelik kan, inilah lelaki sebelum dapat sepuluh batu pun sanggup kejar, bila dah jadi hak dia, dua jengkal pun buat tak peduli je,”  gerutu Dirah.  Berasap!

            “Si Sufian tu pun satu, geram betul aku.  Dah aku maki pun dia kadang-kadang tapi tak reti-reti nak mengalah.  Nak jugak kacau aku sedangkan Kak Julia tu aku rasa dah sebaik-baik isteri.  Mungkin aku tak kenal dia betul-betul, tapi cara dia bercakap dan gaya dia tu aku tak rasa dia berpura-pura.  Kadang-kadang orang berpura-pura ni kita boleh kenal.”  Kesal Azzalea apabila mengingatkan nasib malang Juliana. 

            “Dalam bab ni, aku rasa jalan terbaik dan terakhir untuk ko lari daripada lelaki miang dan tak reti bahasa tu perkahwinan aje Lea,” saran Dirah.  Bulat mata Azzalea seperti pentol bakso Embak Ati di hujung simpang tu apabila mendengar saranan Dirah.  Tak boleh blah betul sahabat seorang ni.  Orang dah la pening dengan macam-macam hal, ditambah pula dengan saranan yang lagi memberatkan kepala.

            “Heh, banyaklah ko.  Lagi banyak ko bagi idea, lagi sakit kepala aku.  Dah, jom tidur.  Esok aku banyak urusan nak selesaikan.”  Gelak besar Dirah mengiringi kata-kata Azzalea.  Kelakar juga melihat cemberut Azzalea apabila diusik begitu.  Hakikatnya, dia yakin hanya itulah jalan yang terbaik buat sahabatnya itu.


****************************
Salam penuh kasih sayang...
Yusnida Tajudin

Thursday, 21 November 2013

SENGKETA CINTA ~ 31

Assalamualaikum dan selamat tengah hari.. 
Sengketa Cinta untuk tersayang... mohon kemaafan utk ketidaksempurnaan... Selamat Membaca dan sudilah utk tinggalkan jejak anda di ruang komen buat k.yus.

********************



            Katalog di tangan dibelek-belek untuk kesekian kali.  Pilihan telah dibuat berdasarkan perbincangan antara dia dan Dirah.  Dah terlanjur ada yang sudi nak menaja semua keperluan, ambil ajelah peluang itu.  Tapi berpada-pada juga jangan sampai orang ingat hendak mengambil kesempatan dan mengikis pula.  Setelah memastikan semua buku laporan guru-guru tadika dan urusan harian di Tadikanya itu selesai, Azzalea segera meninggalkan pejabat kecilnya. 

            “Ibu, Lea nak ke taska dulu ye.  Dirah MC hari ni, teruk sangat alahan dia kali ni sampai tak lalu nak makan bagai.  Ibu tolong tengok-tengokkan budak-budak ni ye,” pesan Azzalea singgah sebentar ke dapur mendapatkan Ibu Zai yang sibuk menyusun piring yang telah digunakan. 

            “Oh, teruk ke Dirah tu?  Agaknya anak lelaki kali ni kot. Karang habis kerja Ibu jengok sat.”  Tangan yang basah dikesat lalu menyambut huluran salam Azzalea.

            “Pucat je tengok dia malam tadi.  Lea lepak kat rumah dia malam sebab Abang Wan tak ada.  Abang Wan kena outstation sampai esok.  Ni malam karang, satu malam lagi la Lea temankan dia.”

            “Hurmm, eloklah tu Lea tolong temankan.  Kalau tak berharap pada Lea, pada siapa lagi nak diharapkan.  Pasal alahan tu, awal-awal ni memang biasalah.  Nanti Ibu cari buah oren, selalunya kalau mabuk-mabuk makan buah oren boleh kurangkan sikit rasa loya tu.”

            Ibu Zai ni bukan sahaja handal memasak makanan tradisional, segala petua nenek moyang pun banyak diketahuinya.  Haruslah kalau tengok buku petua dan resepi Ibu Zai yang tebal tu.  Setelah bersalaman, Azzalea meninggalkan Ibu Zai menyelesaikan tugas-tugasnya.  Alah, sebelah aje pun taska tu.  Namun begitu, walaupun bersebelahan, Azzalea tidak pernah mencampur-adukkan urusan tadika dan taska.  Dia telah mendidik dirinya untuk bekerja secara teratur.  Urusan setiap tempat diselesaikan satu per satu, barulah otaknya tidak serabut.  Naknya sekarang ni, dalam keadaan Dirah yang sering mabuk-mabuk pembawaan budak.  Lagilah semua bebanan kerja terletak di bahunya.  Takkanlah hendak diserahkan kepada Dirah seperti selalu.  Azzalea pun sedia maklum akan keadaan ibu mengandung itu.

            Kelihatan Rizqiyah sedang menyiram pokok-pokok bunga yang di tanam dalam pasu berderet tersusun sepanjang pagar.  Pekerja-pekerja taska mereka ni memang rajin, lagilah pula mereka memang tinggal di situ.  Di sebabkan itulah, Azzalea bersetuju dengan cadangan Dirah untuk melakukan renovation, membesarkan sedikit taska mereka demi untuk keselesaan.  Selesa untuk pekerja mereka dan untuk anak-anak asuhan juga.  Apatah lagi sekarang ini rumah yang dijadikan taska itu telah menjadi hak mereka.  Syukur kerana pemilik rumah bersetuju menjualnya.  Sekurang-kurangnya adalah aset tetap dia dan Dirah.  Tinggal hendak memujuk pemilik rumah yang dijadikan tadika mereka itu sahaja lagi.  Kalau pemilik rumah itu bersetuju, mereka juga akan membelinya.  Semua itu idea Emeer Zafran.  Memang bijak dalam merancang pelaburan hari depan. 
           
            “Assalamualaikum.” Huluran salam Azzalea bersambut.  Rizqiyah segera meletakkan tong penyiram lalu menyalami majikannya itu.

            “Dah sarapan ke Riz?” Soal Azzalea. 

Pagi tadi selepas solat subuh, dia telah berpesan kepada Ibu Zai agar menghantar sedikit makanan kepada mereka di taska.  Azzalea memang jarang meminta pekerja-pekerjanya itu masak sendiri.  Tidak mahu mereka terbeban dengan tugasan dapur, dahlah sibuk dengan urusan mengasuh anak-anak kecil lagi.  Dia amat faham kepayahan dan kepenatan yang mereka rasai.  Hanya hari Ahad sahaja mereka dibiarkan memasak sendiri kerana masing-masing bercuti.  Itu pun kadang-kadang awal pagi Azzalea sudah tercongok di hadapan pintu taska membawa staf-stafnya itu keluar bersarapan dan berjalan ambil angin sama ada di Pekan Meru ataupun ke Bandaraya Kuala Lumpur.  Tahu sangat perasaan mereka yang terperap di rumah setiap hari, tentu bosan giler.  Lagi-lagilah jiwa anak remaja, perlukan sedikit hiburan dalam waktu senggang.

            “Dah pagi tadi kak.  Ibu hantar nasi lemak dan kuih karipap, banyak pula tu,” jawab Rizqiyah masih lagi menyambung kerja-kerjanya.
            Tangan Azzalea lincah mengutip kacang-kacang botol yang nampak sudah cukup masa utk dipetik.  Sedap tu dibuat ulam.  Teringat pada Mia Zahirah yang suka sangat makan kacang botol tu.  Itu seorang lagi mak buyung yang tak lama sahaja lagi akan sampai masa untuk bersalin. 

            “Hmmm.. Kak Lea masuk dululah.  Nak jengok dapur kejap, dah lama tak buat operasi masak-memasak ni,” ujar Azzalea mempamit diri meninggalkan Rizqiyah yang masih lagi di luar.  Kerja-kerja menyiram pokok sudah selesai disambung dengan kerja-kerja menyidai selimut dan tuala yang telah digunakan oleh anak-anak kecil di situ.

            Keadaan taska yang kemas dan teratur menyenangkan hati Azzalea.  Memang staf-stafnya rajin dan bijak mengendalikan taska.  Sebenarnya, Rizqiyah yang merangkap sebagai ketua staf taska sudah awal-awal menyatakan bahawa mereka boleh sahaja menguruskan makan dan minum di taska hari itu.  Tetapi, Azzalea tidak sedap hati pula membiarkan mereka melakukan semua kerja.  Alah, masak sahaja pun bukan susah sangat.

            “Aunty, assalamualaikum…”  Azzalea ditegur oleh anak-anak kecil yang sedang leka bermain. 

            “Waalaikumussalam sayang.. buat apa tu?” Balas Azzalea kembali.

            “Kak Mia bagi ni suruh pasang,” jawab salah seorang anak kecil yang turut sama berada dalam kumpulan kecil itu.  Lincah sahaja tangan masing-masing membina sesuatu dengan permainan LEGO yang bertaburan.  

Mia Zahirah yang memerhatikan aktiviti anak-anak kecil itu bangun mendekati Azzalea lalu tangan Azzalea diraih dan disalami.  Tubuh kecil Azzalea dipeluk erat. 

Waktu awal pagi begitu selalunya anak-anak kecil itu akan bermain sambil belajar.  Di Taska Permata Hati, jadual aktiviti dan pemakanan anak-anak asuhan telah disusun selengkapnya.  Mereka mempunyai waktu belajar, waktu menonton, waktu riadah, waktu makan dan waktu tidur.  Bermakna rutin harian mereka akan penuh dengan aktiviti yang berfaedah dan tidak dibiarkan begitu sahaja.  Malah, kolam renang kecil juga telah disediakan di halaman Taska yang luas.  Seminggu sekali, anak-anak asuhan taskanya itu akan bermandi manda sambil belajar sebenarnya di kolam kecil itu.  Tak hairanlah jika ramai penghuni setempat yang gemar menggunakan khidmat Azzalea.  Malah yang tinggal di Fasa 1 pun sanggup menghantar anak mereka di Taska itu.  Bagi Azzalea, berikan khidmat yang terbaik dan insyaAllah pulangannya pasti lebih berganda.  Bahkan, kasih sayangnya kepada anak-anak itu tak ubah seperti anak sendiri walaupun dia masih belum berumahtangga.

Membiarkan anak-anak itu leka dengan permainan LEGO dan puzzle mereka, Azzalea terus ke ruang dapur.  Tersentuh hati melihat bahan-bahan mentah yang hendak dimasak telahpun siap disediakan.  Tidak hairanlah kalau Azzalea jatuh sayang kepada staf-stafnya dan dianggap seperti adik-adiknya sendiri.  Tidak pernah dia berlagak seperti majikan walaupun sebenarnya memang begitu hakikatnya.  Layanan Azzalea kepada mereka sama seperti dia melayan adik-adiknya, boleh bergurau, boleh menegur dan yang penting tidak pernah lokek dengan mereka. 

Bukan dia tidak tahu, ada juga terdengar cerita daripada Natasha tentang tawaran kerja di taska lain dengan tawaran gaji yang lebih tinggi.  Malah pemilik taska itu sendiri dengan beraninya datang berjumpa staf-stafnya sewaktu dia dan Dirah tidak berada di taska.  Apa yang membuatkan Azzalea tersenyum apabila mendengar jawapan Natasha dan Rizqiyah.  Kata mereka, kalau pemilik taska itu boleh melayan mereka seperti adik beradik, tempat mengadu susah dan senang, tempat menangis bersama seperti yang Dirah dan Azzalea lakukan, barulah mereka akan fikirkan tawaran itu.  Tentu sekali terus terdiam pemilik taska itu mendengarnya. 

Setelah meletakkan tas tangan dan fail-fail yang dibawanya sebentar tadi di dalam pejabat kecil milik mereka, Azzalea menyinsing lengan bajunya sambil berlalu ke dapur.  Selalu kalau memasak di rumah, pakaian rasminya tentulah t-shirt lengan pendek dan seluar paras lutut atau legging.  Berlainan pula kat taska ni, dengan berbaju kurung lengkap memang agak sukar sedikit pergerakannya.  Tudung bawal hitam yang dipakainya diselempangkan ke belakang agar tidak basah.  Sayur-sayuran yang telah dibasuh dimasukkan ke dalam periuk yang sedang mendidih airnya.  Hari ni masak bening sayur bayam dicampur dengan bebola ikan dan bebola ketam tentu sekali enak dimakan oleh anak-anak kecil di situ.  Di atas dapur yang satu lagi, ikan bersalut tepung dan rempah sedang digoreng.  Bukan susah sangat pun.  Rempah-rempah untuk masakan tu memang telah disiapkan awal-awal oleh Dirah dan disimpan di dalam peti sejuk untuk kegunaan mereka.  Azzalea mempraktikkan apa yang dibacanya tentang pemakanan.  Mengikut sunnah Rasulullah, sebaik-baiknya makanan laut tidak dicampur dengan daging atau ayam dalam satu menu yang sama.  Jadi apabila memasak makanan berasaskan laut, eloklah semuanya senada.

“Kak Lea, handphone akak berdering,” ujar Mia lalu menggantikan Azzalea di dapur seketika. 

“Hati-hati ye Mia, jangan dekat sangat dengan kuali tu, nanti terpercik minyak,” pesannya. 

Cepat-cepat Azzalea kembali ke pejabat kecilnya.  Setelah mendapati nombor Umi Ain yang tertera di skrim telefon, panggilan itu segera diangkat.

“Hello, assalamualaikum umi.”

“Waalaikumusalam.”  Kedengaran salam bersambut.

“Umi sihat ke?” 

“Alhamdulillah sihat.  Kakak sihat?  Sorry la umi kacau kakak pagi-pagi ni.”

“Alhamdulillah kakak sihat aje Umi tapi Dirah je yang tak sihat.  Umi tahu ajelah orang membawa budak.  Ni kakak dok kat taska tolong-tolong kat dapur,” balas Azzalea panjang lebar.  Terdengar tawa halus di hujung talian.  Adeh, saja la umi tu.  Ketawa ada makna la tu, taulah orang tak pandai sangat masak memasak ni sebab kalau balik rumah umi memang umi aje yang turun ke dapur.  Bukan dia tak turun langsung ke dapur, tapi takat jerang air, tanak nasi dan duduk borak-borak tu adalah.  Suka sebenarnya makan air masakan umi.  Alasan!
“Baguslah tu, belajar-belajarlah turun ke dapur kenal periuk belanga.  Hmm, umi tak  boleh lama-lama ni, nak bagi tau Kakak, minggu ni balik rumah ye.  Hari isnin kan cuti umum, tapi kakak balik hari Jumaat boleh?”

“Lorh, kenapa pulak nak kena balik hari Jumaat umi? Kakak balik hari Sabtulah.  Jumaat taska buka lagi umi.”

“Hmm, umi nak ajak Kakak pergi pasar hari Sabtu tu.  Kalau Kakak balik hari Jumaat tak adalah tergesa-gesa sangat, lagi pun Ahad pagi-pagi dah orang nak memasak.”

“Erkkk.. Umi, ni bunyi macam nak makan besar je.”

“Haah, si Fatih tu nak hantar rombongan merisik Hannan hari Ahad ni.  Umi kata, tak payah merisik-risiklah, terus je bertunang.”  Melopong mulut Azzalea mendengarnya.  Seketika, dia kembali tersedar ke alam nyata.  Iyalah, dah masanya adik perempuannya itu diikat, lagipun sudah hampir tiga tahun mereka berkawan.

“Oh, kalau macam tu kakak balik hari Jumaatlah.  Lepas uruskan tadika, kakak balik ye Umi.”

“Okey, bawa kereta hati-hati.”  Pesan Umi Ain sebelum mengucapkan salam dan mematikan talian.  Azzalea tersenyum sendiri.  Hai la, dah nak kahwin adik aku yang seorang tu. 

Tidak mahu terlalu lama meninggalkan Mia Zahirah menguruskan dapur keseorangan, Azzalea segera kembali ke dapur.  Risau jika terjadi sesuatu kepada Mia Zahirah yang sudah agak sarat mengandung itu.  Kesihatan Mia Zahirah pun kelihatan agak merosot akhir-akhir ini.  Kerap sangat dia sakit kepala dan muntah-muntah.  Entalah, tak tahu sama ada memang itu alahan ibu mengandung atau ada sesuatu yang lain yang Azzalea tidak tahu.  Namun Azzalea tetap kagum dengan semangat Mia Zahirah.

“Okey Mia, biar Kak Lea yang masak.  Mia duduk je tengok budak-budak kat dalam tu.”

“Tak apalah Kak Lea, Mia boleh aje tolong akak.”

“Ermm, tak apa.  Bukan selalu akak nak tunjuk skill memasak yang terpendam ni.  Mana tau nanti boleh masuk chef celebriti ke.  Hehehe.. selebriti la sangat kan,” seloroh Azzalea mencetuskan tawa meraka.  Malah Natasha yang berdiri di ambang pintu juga turut tertawa.

“Oh, korang tertawakan akak ye, nanti kalau makan karang sedap sehingga menjilat jari, esok-esok mesti korang cari akak suruh masak lagi.”  Heh, perasan la sangat.  Tapi memang seronok pun usik mengusik dengan budak-budak ni semua.  Kepala pun tiga suku aje semuanya.

Setelah siap memasak, Azzalea meminta Natasha membantunya menghidang makanan kepada anak-anak itu memandangkan jam sudah menginjak ke angka dua belas tengah hari.  Makan awal, rehat awal dan anak-anak ini akan mendapat nap yang cukup sebelum aktiviti riadah mereka petang nanti.  Di taska itu mereka lebih suka menggunakan perkataan siesta menggantikan perkataan nap yang mempunyai maksud yang sama namun jarang sangat digunakan orang.  Rizqiyah mengambil tugas menjaga dua orang bayi kecil yang diletakkan di bilik berasingan.  Makanan bayi juga telah disiapkan oleh Azzalea dan dihantar kepada Rizqiyah.  Bayi-bayi yang telah mencecah usia tujuh dan sembilan bulan itu diberi makan bubur nasi yang telah dikisar halus.  Azzalea memang akan selalu meminta nasihat pakar pemakanan tentang gizi makanan kanak-kanak di bawah asuhannya.  Tidak hairanlah ramai yang ingin menghantar anak mereka ke taska Azzalea namun tidak semuanya diterima.  Bukan faktor wang sahaja yang dipandang oleh Azzalea, dia mengutamakan kualiti perkhidmatan agar setiap pelanggan tadika dan taskanya berpuas hati dengan mereka.

Hampir jam tiga petang, barulah Azzalea dapat melunjurkan kaki di dalam pejabat kecilnya di taska itu.  Berlunjur di atas sofa sambil tangan membelek sms di telefon bimbitnya.  Lima mesej yang masih belum dibaca.   Dirah, Dirah, Dirah, Dirah dan Dirah lagi.  Haish makcik ni tak ada kerja ke asyik sms je.
Waalaikumussalam Ah So.  Waaa… sudah tak ada kerja ke dok bersms ni? ~ Azzalea.

Sepantas kilat, telefon Azzalea berbunyi nyaring.

Hehehe, tunggu maid balik baru boleh buat kerja meh ~ Dirah

Banyaklah ko punya maid! Kang aku tak nak temankan ko baru padan muka ~ Azzalea.

Alololo, marah ke Amoi?  Wei, aku bosan tahap babun dah kat rumah ni.  Iman balik tadika tadi terus tido, dah aku tak ada geng ~ Dirah.

Eloklah tu, ko pun apa lagi, ternak badanlah jugak.  Kata MC, rehatlah cukup-cukup. Dah jangan nak kacau aku buat kerja! ~ Azzalea.

Kalau melayan si Dirah tu memang tak akan selesai semua tugas pun.  Setelah merehatkan diri sebentar, Azzalea beralih ke meja tugasnya.  Beberapa keping surat yang berada di atas meja dicapai lalu dibuka.  Azzalea tersenyum.  Hatinya berasa senang tatkala menatap surat daripada pihak Bomba yang memberi pengesahan keselamatan tentang tahap Tadika dan Taskanya.  Pengesahan itu amat penting bagi beliau kerana ia adalah syarat utama pensijilan diberikan kepada pengusaha tadika mahupun taska.  Selesai memfailkan semua dokumen dan surat-surat penting, Azzalea meneliti katalog yang dibawanya tadi.  Lincah jemarinya menekan punat telefon di atas meja. 

Tatkala panggilannya disambut, Azzalea mencari ayat-ayat yang sesuai untuk diungkapkan.  Gementar pula hendak berurusan dengan mereka.  Segan pun ada.

“Boleh saya bercakap dengan Cik Camillia?”

“Maaf cik, Cik Camillia cuti sakit hari ni.  Boleh saya tahu siapa di talian?”

“Saya Qaireen Amira Azzalea daripada Tadika Permata Hati.”
“Oh, Cik Azzalea.  Sebentar ye, saya sambungkan Cik Azzalea kepada Encik Fayyad.  He’s expecting your call.”  Tak sempat berkata apa-apa, terus Azzalea dimasukkan ke dalam mode menanti. 

Hati Azzalea semakin berdebar tatkala terdengar suara Fayyad memberi salam di hujung talian.  Suaranya seakan tidak terkeluar, tersekat di kerongkong.  Alahai, janganlah buat malu.  Business only, not more.  Peringatan Azzalea kepada dirinya sendiri.  Digagahinya juga untuk menjawab salam.

“Waalaikumusalam.  Selamat petang Encik Fayyad.”

“Saya tunggu Lea call.  Lea sihat?”  Senyuman melingkari bibir Fayyad apabila salamnya berjawab.  Ya Allah, betapa rindunya dia pada gadis itu.  Rindu yang membuak-buak sehingga menyesakkan dadanya. 

“Alhamdulillah,” jawab Azzalea pendek.  Iskh mamat ni, apahal pula tanya sihat ke tak.  “Err, sebenarnya saya nak confirmkan mengenai katalog permainan kanak-kanak yang dihantar hari tu.  Saya dah pilih permainan yang sesuai, sekejap lagi saya faxkan ye,” sambung Azzalea terus kepada urusan sebenar.  Tak mahu berlengah-lengah dan memanjangkan perbualan.

“Hmm, okey.  Nanti awak boleh faxkan terus kepada saya, ada nombor saya kan kat katalog tu.  Semua okey ke kat sana, maksud saya awak okey ke?”

“Oh, everything is excellent Encik Fayyad.  Thank you for your concern.”  Pelik soalan mamat ni, tapi tetap dijawab dengan baik.

“Awak…”


“Maaf ye, saya agak sibuk hari ni.  Terima kasih kerana sudi sponsor kami, Assalamualaikum.”  Talian dimatikan segera.  Jantung Azzalea sudah berdegup kencang, mana mungkin untuk dia berlelama berlawan kata dengan lelaki itu.  Sudah, cukup, cukup sudah.. cukup sampai di sini saja.  Daripada batin terseksa, lebih baik kupergi sahaja!





Salam sayang...
Kak Yus

ORDER ACAM DIBUKA...

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua...


Alhamdulillah, akhirnya penantian menjadi nyata..ORDER untuk Novel ACAM -- Andai Cintamu Aku Miliki ( formerly known as Mengintai Bahagia & Aku Mahu Dia) telah dibuka secara rasminya hari ini.




Harga :  RM24
Halaman: 511 m/s
Penerbit:  Love Novel Enterprise


Sayang2 yang nak order, boleh buat di website Love Novel  http://www.lovenovel.com.my/  atau kalau nak order direct dengan Kak Yus boleh :


email kak yus ----  ayeshatajudin@gmail.com
PM kak yus --- facebook/Yusnida Tajudin
wassap kak yus --- 014-2606904




Bookmarks & Stickers utk 200 pembeli terawal


InsyaAllah, novel2 yang diorder akan mula dipos selepas 30 Nov 2013.

Kak Yus sangat berharap, ACAM akan mendapat tempat di hati kalian.

Sayang selalu...
Kak Yus
 

Blog Template by YummyLolly.com