Monday, 21 May 2012

Mengintai Bahagia ~ Bab 19


Semenjak Dzil basking di hadapan pagar rumahnya, Acam sering menjadi usikan rakan-rakan sekuliahnya.  Mereka yang tidak tahu mengenai Acam dan Dzil pun sudah mula menghidunya.  Menambahkan berat di kepala Acam, semenjak dua menjak ni dia sering dihujani dengan surat-surat daripada seorang lelaki misteri.  Hadoi!! Bukan setakat pening kepala je, dah nak migraine pun ada.  Iyalah kan, sebelum menukar penampilan, tak adalah pula yang berani-berani nak berhello-hello dan berutus surat cinta dengannya.  Semenjak bertukar penampilan kepada sedikit kegadisan ala-ala gadis melayu terakhir ni, ramai pula yang nak dekat.  Ayu sangat ke aku ni, hish! Soal Acam sendiri.

            Kalau berjalan di kawasan kampus, telinga Acam akan terdengar je siulan lagu Simfoni Gadisku yang dinyanyikan oleh Dzil tempoh hari.  Bukan main cepat lagi lagu tu meniti dari mulut ke mulut.  Kalahkan carta Muzik-Muzik la pula hot nya lagu tu.  Baru Dzil basking depan rumah je, kalau basking kat tepi jalan ke, kat depan kedai mamak ke sambil pujuk Acam, harus satu satu Ipoh meletup lagu tu. 

            “Hah, mengelamun..”  Acam tersentak apabila bahunya ditepuk kuat.  Nasib baik tepuk bahu, kalau tepuk belakang tadi mahu tercabut segala usus dan urat kat dalam badannya.  Dia memalingkan wajah ke sebelah.  Kelihatan Ros yang selamba melabuhkan punggung di sebelah Acam di atas kerusi di bawah pokok berhadapan dewang kuliah.

            “Kus semangat ko Ros, nasib baik tak gugur jantung aku,”

            “Hok alah, mananya tally bahu dengan jantung.  Dah aku tengok ko ralit termenung, kalau aku sekeh lagi la ko tak sukakan?” Bersahaja jawab Ros yang sudah pun tersengih-sengih melihat muncung Acam.  Masih seperti dulu walau pun sudah berubah penampilan.  Hanya Ros dan Yanie sahaja yang berani nak berlebih-lebih dengan Acam ni pun.  Orang lain, jangan haraplah. 

            “Ko tak ada kelas ke?” soal Acam.  Selalunya waktu-waktu macam ni Ros tak ada berkeliaran merata-rata. 

            “Kelas cancel.  Lecturer ada emergency, jadi kitorang pun berjimbalah, apalagi,”  jawab Ros bersahaja sambil mengeluarkan sepeket kacang goreng lalu diunjukkan kepada Acam.  Orang mengantuk disorongkan bantal, laju sahajalah tangan Acam menjemputnya.

            “Wei, aku dengar ada orang buat basking depan rumah ko ye?” Soalan Ros yang tidak dijangka membuatkan Acam tersedak.  Cepat-cepat botol air mineral dicapai. 

            “Hish ko ni.  Baru aku tanya macam tu, belum lagi aku tanya ko bila nak betul-betul couple dengan Dzil ke, bila nak bertunang ke, dah tersedak bagai,” bebel Ros.  Minah ni makin lama makin selamba je bercakap.  Iyalah, dah tahun akhir pun kat sini, lagi pun dah kenal sangat hati budi Acam.

            “Cepat betul tersebar kalau cerita-cerita macam ni.  Kalahkan artis pula aku ni.  Mana ko tau?” soal Acam kembali.  Wajah Ros ditenungnya. 

            “Walah, dah satu Malaya tahu pasal ko.  Macam-macam cerita aku dengar.  Ada kata korang berdua ni dah lama couple tapi simpan lipat kemas-kemas.  Ada juga sampai kat telinga aku cerita yang korang berdua ni dah bertunanglah, macam-macam.  Tapi yang best, ada sorang hamba Allah tu mengamuk sakan kat rumah aku bila dengar pasal ni.”  Ternganga seketika Acam mendengar jawapan panjang lebar daripada Ros. 

            Mengamuk?  Siapa yang mengamuk tu?  Apa kena mengena dengan dia pula.  Tangan yang tidak reti duduk diam mula menggaru-garu kepala yang tidak gatal.  Wajah Ros yang tersenyum sumbing masih lagi ditenung, mencari jawapan bagi ayat yang baru sahaja diutarakan itu.

            “Err, cuba ko jelaskan balik statement ko tadi.  Yang dok basking sampai maghrib tu si mamat tu, yang dok tahan malu tak reti nak cakap tu aku.  Dah tu, siapa pula yang nak mengamuk?” soal Acam dengan wajah selenge.

            “Ko ingat budak sorang yang aku cakap kat rumah aku tu kan?  Budak tu lah, mengamuk tak tentu hala.  Cakap ko potong line si Tasya tu, tapi aku tengok si Tasya tu macam tu juga.  Gedik rupa tu jugalah, tapi tak adalah pula dia serang ko kan,” balas Ros.  Habis sepeket kacang, peket yang lain pula dikeluarkan.  Sedap juga mengudap kacang sambil mengumpat, desis Ros. 

            “Dah tu, ko dah ok dengan Dzil tu?  Kesian dia, ko janganlah jual mahal sangat,” sambung Ros lagi dengan mulut penuh mengunyah kacang. 

            “Habis tu, ko nak suruh aku buat sales ke?  Berapa percent nak buat potongan?” Soalan Acam disambut dengan semburan kacang-kacang yang memenuhi mulut Ros.  Memang tak boleh blah betul kawan dia seorang ni.  Orang cakap betul-betul, boleh pula dia main-main.  Hish, minah ni bilalah nak berubah.

            Perbualan mereka bersambung daripada kisah basking si Dzil tu, sehinggalah kisah yang menyebabkan selisih faham antara mereka.  Malah kisah Qaid dan Abang Shah juga turut diseret sama dalam perbualan mereka.  Bagi Acam, dia gemar bercerita dengan Ros kerana Ros bukan sahaja sahabat yang memahami malah boleh dipercayai.  Sukar untuk melepasi mulut gadis itu apabila sesuatu cerita telah disampaikan kepadanya.  Ros seorang yang amanah dan jujur.  Seorang sahabat yang setia mendengar segala luahan rasanya.  Malah, Yanie juga sebaik Ros.  Cuma bezanya, Yanie ni selalu akan menyebelahi Dzil dalam apa pun.  Maklumlah sekelas dengan Dzil, kuatlah kipasnya.

*****************

            Walau pun Acam sudah mula kembali seperti sedia kala namun Dzil perasan Acam masih lagi bermain tarik tali dengannya.  Tutur kata Dzil dengan Acam kini lebih berhati-hati.  Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali kerana bukan senang hendak mencuri hati gadis bernama Acam itu.  Bila dah diberi peluang dan kemaafan, tak mungkin dia akan mensia-siakannya.  Dzil masih bermain dengan persoalan yang sering berlegar di kotak fikirannya.  Persoalan yang ditimbulkan oleh Meor semalam ketika mereka lepak-lepak di halaman rumah sambil bermain gitar.  Memang rutin mereka, lepak-lepak sambil bermain gitar lewat malam untuk melepaskan lelah setelah mentelaah pelajaran.  Apa yang penting mereka tidak mengganggu orang lain.  Sembang mereka masih jelas kedengaran di telinganya.  Bagaikan tape recorder yang dimainkan semula, tidak ada sepatah pun yang tertinggal.

            “Aku tak fahamlah korang berdua ni, nak kata couple tak pernah declare pun.  Nak kata tak couple, fuh, merajuk bagai.  Sorang siap basking nak memujuk, yang sorang lagi sentap yang amat.  Boleh buat drama tiga episod la korang ni.”  Kata-kata Meor menjentik hati Dzil.

            “Ko takkan faham kalau aku cakap pun.  Kisah kitorang ni lain daripada biasa.  Walau pun kitorang tak diikat dengan janji, tapi hati kitorang ni dah terikat dengan nama masing-masing,” balasnya.

            “Kalau dah macam tu, declare ajelah yang korang berdua ni couple.  Lagi pun dah satu Malaya dok gossip pasal korang,”

            “Aku bukan tak nak declare, bukan tak nak pergi propose dia, tapi prinsip aku lain.  Aku nak biar aku stabil dulu baru aku ikat dia betul-betul.  Sebab tu sekarang ni aku maintain macam ni.  Hanya dia dan aku je yang tahu hati kami,”

            “Iyalah, ko yang kata macam tu.  Kalau esok-esok ada orang lain yang masuk line, putih biji mata ko baru ko tau,” tempelak Meor.  Tidak faham sebenarnya dengan prinsip sahabat baiknya itu.

            “InsyaAllah, aku berdoa siang malam agar hati dia ada untuk aku.  Lagi pun semester kita dah nak habis pun.  Tahun depan bila dah kerja dan dah okey, aku akan terus pergi melamar dia je,” terang Dzil tanpa berselindung.  Bahunya ditepuk lembut oleh Meor yang tersenyum.  Tumpang gembira dengan semangat Dzil yang tak pernah luntur.

            “Ko tak takut ke kat mamat yang ko cerita tu, sapa nama dia?”  tanya Meor.

            “Qaid..”

            “Hah, si Qaid tu.  Ko tak takut ke dia masuk meminang Acam.  Kalau dah selalu dok pujuk-pujuk, aku takut Acam jatuh hati je,”

            “Kalau nak kata tak takut, aku tipu la bro.  Tapi aku tengok mamat tu memang dah jatuh hati betul kat Acam dan kalau Acam suka kat dia mesti Acam dah terima.  Apa lagi mamat tu kerja dah kukuh, life pun boleh tahan dan kalau Acam nak apa-apa mesti boleh support punya.  Tapi aku tengok Acam macam biasa je dengan dia malah boleh pula dia cerita sikit-sikit dengan aku.  Aku confident bro, hati dia ada untuk aku,”

            “Hmm..  jangan kau tunggu lama-lama pula, nanti dia bosan menunggu ko,”

            “Macam aku kata tadilah, kisah kitorang ni istimewa.  Cinta tak perlu kata apa-apa, dan tak perlu ada sebab untuk kitorang jatuh hati pada diri masing-masing,” jawapan yang tulus daripada hati Dzil yang mengundang tawa halus sahabatnya.  Pelik tapi memang benar.

            Lamunan Dzil terhenti apabila bahunya diterjah sebiji bola yang tersasar arah tendangan.  Segera dia mengutip bola lalu melemparkan ke arah rakan-rakannya yang sedang warming up sebelum melakukan sesi latihan.  Hish, nak berlatih pun sempat lagi berangan.  Asyik dok teringatkan Acam sahajalah kerjanya.  Maklumlah, semenjak berbaik semula ni, dia jarang-jarang lagi dapat bertenggek di hadapan pagar Acam.  Itu janji yang perlu ditepatinya.  Acam yang meletakkan syarat sebegitu.  Iyalah kan, ikutkan kata Encik Google, iyakan sahaja apa yang dicakapkan oleh sidia, jangan nak bertelagah dan menjawab.  Mengalah sekarang untuk menang hari esok.   Malah di kampus pun dia hanya mencuri-curi wajah manis gadis kesayangannya itu dari jauh.  Berlindung di sebalik tiang-tiang dewan mengekori langkah gadis itu.  Rindu kalau tidak dapat melihat dua lesung pipit yang menghiasi pipi putih gadis pujaannya itu.  Acam, Acam… dan Acam lagi.  Memang dah sah angau jurus tiga puluh empat budak Dzil ni.
            Kalau asyik duduk mengingatkan Acam, memang tak jadi kerjalah jawabnya.  Sepanjang minggu sukan PUO, Dzil lebih menumpukan perhatian kepada latihan bolasepak.  Mewakili pasukan Kejuruteraan Awam ke peringkat final bukan satu tugas yang mudah.  Lebih-lebih lagi apabila mereka akan menghadapi tentangan yang hebat daripada pihak lawan yang merupakan johan berturut-turut selama beberapa tahun.  Mungkin ini sahaja masalah bagi rakan-rakan pemain yang lain.  Namun bagi Dzil, masalah yang lebih berat adalah pihak lawan itu terdiri daripada pasukan Kejuruteraan Elektrik.  Tak faham?  Hmmm… Kejuruteraan Elektrik tu kan kursus Acam, gadis kesayangan dia tu.  Masak! 
           
************************************


            Dzil berbaring di atas katil bujang yang dilapik dengan cadar nipis biru laut yang baru minggu lepas dicuci.  Wangian softlan masih lagi menghiasi ruang bilik.  Rakan sebilik Dzil pulang ke kampung semenjak semalam.  Khabarnya ayah rakannya itu dimasukkan ke wad akibat serangan jantung.  Hmm.. nampaknya, sepanjang minggu ni dia seorang sahajalah yang menakluki bilik itu.  Bukan main seronok lagi, dapat ruang privasi yang seluas-luasnya.  Kalau nak berbual-bual dengan Acam di telefon pun tiada siapa yang hendak memasang telinga.  Kalau tidak, asyik nak kena bercakap ibarat berbisik di dalam kelambu sahaja.  Apatah lagi rakan sebiliknya itu memang kaki kepoh sedikit, semua hal hendak diambil tahu.

            Tangan Dzil pantas mencapai buku nota kecil yang terletak kemas di atas meja sisi katilnya.  Meja itu juga menjadi meja belajarnya di bilik itu.  Memang dah menjadi kebiasaan dan habit Dzil, semua barangannya mesti tersusun kemas.  Nak kata pembersih sangat pun tidaklah, tapi dia memang pantang kalau harta bendanya bertaburan dan bersepah merata-rata.  Pakaian yang sudah digunakan pun akan diletakkan ke dalam bakul yang diletakkan di tepi almari.  Tidak suka melihat pakaian yang berselayut bergantungan di dinding mahu pun di birai katil.  Nasib baiklah rakan sebilik juga bukan jenis yang serabut.  Kalau tidak, mahu serabut kepalanya.

            Buku nota di tangan dibelek-belek.  Matanya tertancap pada nota yang disalin daripada Encik Google tempoh hari.  Hmm.. Tips Memikat Hati Wanita.. ouchhh.. gedik je bunyi tu, tapi rasanya tak salah kalau dipraktikkan beberapa petua yang disalinnya tu kan.

            Perempuan inginkan perhatian dan kasih sayang.  Tunjukkan kasih sifat keperihatianan dah kasih sayang yang tiada nilai kepada mereka.  Apabila mereka rasa disayangi, mereka akan menjadi pasangan yang amat setia dan memberikan sepenuhnya cinta mereka.  Dzil membaca ayat-ayat itu berulang kali. 

“Acam, percaya pada hati kita, pada rasa yang menjalar di segenap ruang rasa yang ada dalam diri kita.  Aku tidak mahu mengikat kau dengan kata cinta buat masa ini, cukuplah sekadar kau tahu aku amat mencintaimu melalui gerak geri dan bahasa tubuhku.  Aku tidak mahu kita kalah sebelum waktunya,” bisik Dzil sendiri. 

            Tips kedua daripada Encik Google, menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi yang ada di zaman ini.  Seringlah menelefon atau menghantar email untuk bertanya khabar atau paling minima mengucapkan salam.  Ini melambangkan bahawa gadis itu sering melekat di hati anda.  Bagi seorang perempuan, walau satu ungkapan atau satu ayat pun, ia sudah memadai untuk mereka.  Ingatan kamu terhadap mereka yang paling berharga.  Wahai Encik Google,  yang ini bukan sahaja perempuan, aku sendiri pun kalau tak dengar suara dia sehari boleh meroyan rasanya, gelak Dzil kuat.  Aiyak, bercakap sorang-sorang pun boleh buat lawak!  Tak boleh blah betul mamat ni.

            Telefon bimbit dicapai lalu jari jemarinya laju menekan nombor telefon Acam namun tidak dapat membolosi talian.  Sibuk benar talian minah tu.  Terdetik di hati Dzil persoalan siapakah yang sedang bergayut dengan gadisnya itu.  Sesekali perasaan itu membawa rasa cemburu jauh di sudut hatinya.  Heh, lelaki pun pandai cemburu tau!

            Akhirnya, setelah lima minit tidak berputus asa mendail nombor Acam, suara gadis itu kedengaran sungguh merdu di corong telinganya.  Segumpal rasa rindu yang menyesak dadanya, terlerai hanya dengan sepatah salam yang terungkap dek gadis itu. 

            “Awak sibuk ye, line busy je tadi,”

            “Oh, awak called saya tadi?  Saya bercakap dengan ibu tadi, dah lama tak balik kan, rindu pula kat ibu,” jawap Acam lembut. 

            “Hmmm.. ibu awak sihat?  Dah lama saya  tak berbual dengan ibu awak,” 

            “Alhamdulillah, semua sihat.  Awak tak tidur lagi ke, siang-siang sibuk berlatih, tak penat ke?” soal Acam.  Tanpa Acam tahu, di ruang sana Dzil tersenyum mendengarnya.  Hati Dzil berbunga riang mengenangkan betapa gadis itu mengambil berat tentang dirinya.  Kan dia dah kata, hubungan mereka unik, terlalu istimewa.

            “Kejap lagi nak tidurlah, tapi saya nak dengar suara awak dulu.  Awak pun lewat tidur ni, study ke?”

            “Buat assignment sikit tadi, banyak lagi yang tak siap sedangkan minggu depan dah nak kena hantar,”

            “Oh iya ke, baru je nak minta tolong buatkan assignment saya,” gurau Dzil. 

            “Banyak cantik muka awak, nak suruh orang buatkan assignment awak.  Dah semester akhir cik abang oi, bawa-bawa la belajar buat sendiri,” bebel Acam.  Tak boleh blah betul perangai si Dzil ni, ada je nak cari peluang mengelat.

            “Awak, saya sukalah awak panggil saya macam tu..” celah Dzil.  Suaranya sengaja dimanja-manjakan.

            “Panggil apa pula awak ni?” soal Acam geram.  Orang cakap betul-betul, lain pula cornernya.

            “Tadi kan awak panggil saya abang, hmmm.. macam sweet je bunyi dia,”

            “Huh, tak ada maknanya nak panggil awak macam tu, tak kuasa saya,” balas Acam namun terdengar gelak besar Dzil di hujung talian.  Akhirnya Acam juga turut tertawa sendiri.  Lawaklah mamat ni.

            “Saya gurau ajelah awak ni.  Assignment saya dah siap pun.  Sekarang ni kan saya sibuk dengan latihan bola.  Minggu depan final, awak datang tak?”

            “Hmm.. tak tahulah.  Tapi awak kan tahu, saya ni bukan minat sangat pun bola-bola ni,”

            “Tak apalah, tapi awak doakan saya ye.  Okey awak, dah lewat sangat ni dan saya tak nak ganggu masa tidur awak.  Esok sarapan dengan saya ye kat kantin.  Saya tunggu awak kat sana jam lapan?” ujar Dzil.  Diam.  Tiada balasan di hujung talian namun Dzil tahu Acam masih di sana.  Sabarlah hati!

            “Okey, jumpa awak kat kantin esok pagi.  Selamat malam, sleep well,”  balas Acam lalu mematikan talian setelah mengucapkan salam.

            Control, control dan akhirnya melompat keriangan juga Dzil apabila pelawaannya untuk bersarapan bersama Acam diterima.  Gila tak seronok.  Ini first time Acam sudi bersarapan dengannya.  Dah tu kat kantin kampus pula.  Hish, hari ini dalam sejarah tu.  Ingat senang ke nak ajak Acam makan bersama kalau kat kawasan kampus, mesti ada je alasan dia untuk menolak.  Hati yang berbunga riang bukan sekadar berbunga je, dah mekar bertaman-taman.

            Terima kasih kerana sudi untuk temankan saya sarapan esok pagi.  Rasanya tak lena saya tidur malam ni menantikan mentari esok menjelma.  Selamat malam gadisku, mimpikan saya …. Always yours, Dzil.

            Duhai malam, cepatlah engkau berlalu membawa pergi kegelapan ini.  Pabila datang fajar, bawalah bersama wajah kesayanganku dalam pelukan cinta yang tak perlu diungkapkan dengan kata-kata ini kerana kisah hati kami, hanya kami yang bisa mengerti!
           

****************************

Salam sayang2 kak yus, pertamanya, kak yus minta maaf kerana lambat sikit masuk n3 ni.  Busy tahap mahaguru sekarang ni.. almaklumlah minggu exam utk anak2.. dan minggu ni sekali lagi mungkin akan bersiaran agak lewat.. harap n3 kali ni mampu mengubat rindu sayang2 kepada Acam dan Dzil.  Maaf kak yus pohon kalau n3 ni tak sehebat mana.. sudilah sayang2 kak yus drop sepatah dua komen utk kak yus.

Kak Yus juga ingin meminta semua sayang2 kak yus mensedekahkan Al-Fatihah kepada allahyarham adinda kepada Acam yang telah meninggalkan kita dua minggu lepas dalam satu kemalangan jalan raya.  Moga rohnya dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan yang disayangiNya.  Untuk Acam dan keluarga, salam takziah daripada Kak Yus dan warga Biar Jemari Berbicara.. Al-Fatihah..

Lots of Luv
~ Kak Yus ~
22 Mei 2012 / 9:48 am


Saturday, 12 May 2012

Mengintai Bahagia ~ Bab 18


        
         “Amboi, bukan main lagi si Shah ni makan. Dah dua pinggan bertambah ni,” tegur Mak Lang apabila melihat nasi tambah yang disenduk Acam ke dalam pinggan Abang Shah.

            “Sedap pula mak masak malam ni.  Selalunya mak tak masak ayam masak merah macam ni,” puji Abang Shah tersengih-sengih.  Iyalah, dah habis sepinggan penuh nasi dan dua ketul ayam dibedalnya.  Ini bertambah lagi.  Kuat juga makan Abang Shah ni, badan ke kurus keding.

            “Memanglah lain, bukan mak yang masak.  Si Acam ni ha yang masak malam ni.  Dah lama tak makan ayam masak merah Acam, sama je macam mak dia yang masak,” balas Mak Lang selamba sambil menyenduk seketul lagi ayam masak merah ke dalam pinggannya sendiri. 

            Acam hanya tersengih melihatkan Abang Shah yang sudah mengangkat kening seperti tidak percaya.  Dia menjeling ke arah mangkuk lauk di hadapannya.  Wah, seekor ayam tadi yang dimasaknya, sekarang dah tinggal beberapa ketul je.  Nasib baik Acam dah asingkan tiga ketul untuk Kak Sari.  Elok sahaja Acam menyuapkan nasi ke mulut, kedengaran enjin kereta di matikan di hadapan rumah.  Seketika, kedengaran suara Kak Sari diikuti dengan suara tunang doktornya memberi salam.  Salam berjawab.  Langkah kaki Kak Sari laju sahaja menuju ke ruang makan.

            “Wah, langkah kanan kita ek,” ujar Kak Sari tersenyum memandang ke arah tunang doktornya yang hensem tu.
           
            “Jom makan Kak Sari, Abang Hariss.  Acam ambil pinggan jap.” Pantas Acam bangkit ke dapur dan datang semula dengan dua biji pinggan kosong serta dua biji gelas.  Air di dalam jag dituang untuk mereka. 

            “Patutlah dari luar lagi dah bau sedap.  Acam masak ye,” usik Dr. Hariss membuatkan Acam tersipu-sipu. 

            “Dia memang terror kalau masak ayam masak merah ni.  Mak memang suka sangat, kadang-kadang sampai mengigau-igau,” sampuk Kak Sari.

            “Alorh Kak Sari ni, sajalah tu nak exegerate cerita.. lebih-lebih pula sampai Mak Lang ngigau bagai,” celah Acam.  Tercetus tawa mereka.  Hilang seketika badai di hati Acam.

            Selesai mengemas meja makan dan menolong Kak Sari di dapur mencuci pinggan mangkuk, Acam menyertai Mak Lang, Abang Shah dan Dr. Hariss di luar beranda rumah menikmati kopi O panas dan kek coklat kukus yang dibuat bersama Mak Lang petang tadi.  Pertama kali membuat kek, cantik juga jadinya.  Bangga Acam apabila dipuji melambung-lambung.  Agak-agaknya, nak kahwin nanti berguru dengan Mak Lang hal masak-memasak ni mesti boleh jadi superchef.  Heh, perasan la ko Acam, desis hatinya.  Acam tersenyum sendiri.  Kahwin? Aiyarkk... 

            “Nah, doktor tu bagi dua hari je MC.  Tak boleh lebih-lebih,” kata Kak Sari yang datang tiba-tiba sambil mengunjukkan slip MC yang diminta Acam.

            “Alah Abang Hariss ni, kede la,”  rajuk Acam.

            “Kede?”

            “Kedekut,” jelas Acam.  Terhambur ketawa dari mulut mereka.  Masing-masing mentertawakan Acam yang sudah memuncung tiga depa.

            “Cukuplah dua hari dik.  Kalau lebih-lebih nanti mesti PUO querie abang tanya sakit apa lama sangat tu.  Minggu depan MC lah lagi,” balas Dr. Hariss.  Terkulat-kulat Acam diperli begitu.  Eleh encik doktor ni, memanglah kedekut.  Sajalah tu nak bagi alasan, ambik hati aku, umpat Acam dalam hati. 

            “Kalau dah tak nak balik kolej, duk sini ajelah.  Kerja dengan abang nak?” Giliran Abang Shah pula mengusik Acam.

            “Erkk.. tak habis belajar boleh ek minta kerja kat tempat abang?” soal Acam lurus.

            “Iskhh, apa tak bolehnya.  Kata kerja dengan abang, jadi tukang masak abang, tukang cuci baju abang…,”

            “Alaa.. itu bukan kerja.  Itu namanya kena cari isteri.  Orang tanya betul-betul main-main pula.  Tak mo lah kawan dengan abang dua orang ni.  Nak kawan dengan Mak Lang ajelah,” potong Acam setelah menyedari dirinya menjadi bahan usikan. 

Mak Lang hanya tertawa sambil mengelus-elus lembut rambut Acam yang terurai cantik.  Gembira hati tuanya melihat kebahagiaan itu.  Sesekali matanya mengerling ke arah anak bujangnya yang kelihatan amat berseri dan bercahaya wajah itu setiap kali berbual dengan Acam.  Dia seakan dapat membaca hati anak bujangnya itu.  Kalaulah benar telahannya, dan kalaulah benar ia berlaku, dialah yang paling bahagia di dunia ini.  Acam yang duduk di atas lantai di sisi Mak Lang melentukkan kepalanya ke riba Mak Lang.  Suka sangat dimanja begitu. 

Setelah habis sepiring kek dan dua cawan kopi O, Dr. Hariss meminta diri pulang dahulu.  Memang seronok dan mudah bergaul dengan Dr. Hariss.  Walau pun menjadi salah seorang doktor muda yang berjaya dan ternama di bandar Ipoh, dia tetap tampil dengan personaliti yang low profile, tak pernah bermegah-megah dengan kejayaan dan kemewahan yang dimilikinya.  Kaya?  Iskh, memang kaya.  Kalau tidak takkanlah diberi sebuah Persona sebagai hantaran bertunang.  Itu baru bertunang, belum kahwin lagi.  Entah-entah sebuah banglo ke, tapi tak mungkinlah sebuah jet kan.  Hish, melalut ajelah ko ni Acam, getusnya.  Kalau nak bandingkan Dr. Hariss dengan Abang Shah, memang hensem lagilah Abang Shah.  Arwah Pak Lang dulukan berdarah Belanda.  Tapi kalau nak bandingkan dengan Dzil, walau pun kalah dari segi kehenseman, wajah lelaki itu tetap menjadi pilihan.  Eh, sejak bila pula nama Dzil timbul ni.  Hati Acam kembali sebal apabila terkenangkan pemandangan yang dilihatnya pagi itu.  Tidurlah lagi baik, getus Acam.  Selimut ditarik menutupi muka.  Namun, mata masih tidak mahu terlelap.  Tangannya ringan pula menarik telefon bimbit yang disorok di dalam beg sandangnya. 

“Walawei… banyaknya miscalled.  Mamat ni dah tak ada kerja ke.  Tak penat ke jari tu dok menekan butang telefon.”  Acam membebel sendiri.  Satu persatu mesej dibuka dan dibaca.  Kekadang dia tersenyum sendiri.  Namun tiada satu pun mesej dibalasnya.  Biar padan muka!  Kejam eh, tapi dia buat kat aku tak kejam ke nama tu, Acam menyedapkan diri sendiri.

*******************************

            Suasana pagi di kampung memang mendamaikan.  Riuh rendah bunyi ayam-ayam bertebaran mencari makan dan sesekali terlihat kumpulan burung ciak rumah bertamu di laman dapur menjamu beras yang ditabur oleh Mak Lang.  Acam yang masih berdiri di tepi dapur sambil menyudip mee ke dalam bekas hanya tersenyum melihat gelagat Mak Lang yang sesekali kelihatan berborak-borak dengan haiwan-haiwan itu.  Kata Mak Lang, berbual dengan haiwan merupakan satu terapi yang baik. 

            Siap menggoreng keropok kering dan karipap yang dibuat bersama Mak Lang selepas subuh tadi, Acam terus membancuh kopi.  Rumah Mak Lang ni memang kopi O lah menjadi kegemaran mereka.  Tekak Acam pun dah sebati dengan kopi O, nak-nak pula kopi Tenom yang memang dibawa khas dari Sabah.  Kak Sari memang selalu memesan kopi Tenom daripada sahabatnya yang sering berulak-alik dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur atas urusan perniagaan.  Untung orang ramai sahabatnya.  Melihatkan banyak juga stok kopi Tenom di rumah Mak Lang, Acam dan awal-awal mengecek sebungkus untuk dibawa pulang ke rumah sewanya.  Kat rumah Mak Lang ni, minta sahajalah apa apa pun, mesti tak akan kecewa. 

            “Hmmm.. kalau hari-hari Acam ada kat rumah ni, tak lama lagi abang kena cari baju barulah,” usik Abang Shah yang tiba-tiba sahaja muncul di belakang Acam.  Nasib baik tak berterabur piring-piring yang tersusun di tangan Acam. 

            “Subhanallah, abang ni kan lain kali bagilah salam.  Ini main sergah je, nasib baik tak melayang piring-piring ni,” marah Acam.

            “Hamboi, garangnya Acam pagi-pagi ni.  Kalau melayang, kita main lontar piringlah, boleh exercise sikit,” balas Abang Shah  masih lagi dalam mood berseloroh.  Acam mencebik mendengar gurauan itu.  Kalau dilayan Abang Shah ni memang tak jadi kerja.

            “Abang nak makan tak?  Acam sendukkan.  Kalau layan gaduh dengan abang, nanti tak pergi kerja Acam tak tau,”

            “Bukan susah pun, ambillah MC.  Kan bakal adik ipar abang tu doktor.  Ingat Acam je sorang yang pandai ambil kesempatan,”

            “Eiii.. tak naklah layan abang.  Senduklah sendiri, Acam nak join Mak Lang kat luar tu.   Berborak dengan burung-burung tu lagi baik daripada gaduh dengan abang ni,” balas Acam lalu mengatur langkah ke pintu dapur.

            Langkah Acam terhenti apabila tangannya ditarik menyebabkan Acam berpusing kembali.  Abang Shah memandang Acam lembut.  Panahan mata Abang Shah ketika mata mereka bersabung mengundang getar di hati Acam.  Segera pandangan matanya dialih ke arah lain.  Berdegup kencang jantung gadis itu. 

            “Acam tolonglah sendukkan abang mee goreng ye,” pinta Abang Shah lembut.  

       Segera Acam mencapai pinggan yang tersusun rapi di atas meja lalu menyenduk mee goreng ke dalam pinggan itu.  Pinggan diletakkan di hadapan Abang Shah yang telah pun duduk di meja makan.  Air kopi dituang ke dalam cawan.  Aroma kopi yang masih berasap menusuk-nusuk hidung.  Namun semuanya masih tidak dapat meredakan rasa gelisah di hati Acam.  Entah kenapa hari ini berlainan benar rasanya melihatkan layanan Abang Shah terhadapnya.  Dia tidak mahu tersepit terlalu banyak.  Sudahlah kini dia berperang dengan perasaan antara Dzil dan Qaid, kalau Abang Shah pun memulakannya, harus dia hilang kewarasan diri.  Lagi teruk kalau Mak Lang pula yang masuk campur.

            “Jom temankan abang makan, tak ada kerja je nak pi berborak dengan burung-burung tu.  Mak tu je yang tak habis-habis dengan aktiviti tu, entah apalah seronok sangat berborak dengan burung-burung tu,” ujar Abang Shah memecah kesunyian yang tiba-tiba hadir bertamu.

            “Err..kejap Acam panggil Mak Lang,” ujar Acam lalu menghilang di sebalik pintu dapur yang terbuka luas.  Sengaja mencari alasan untuk tidak berdua-duaan lebih lama bersama lelaki itu.  Riuh kedengaran tawa Mak Lang.  Entah apalah yang diusik oleh Acam tu.  Abang Shah hanya menggeleng kepala. 

            “Shah balik pukul berapa hari ni?  Tolong hantarkan si Acam ni balik rumah sewa dia ye,” pinta Mak Lang sambil menikmati sarapan paginya.  Sedap sungguh air tangan anak buahnya ini.  Memang betullah kata Shah, memang boleh gemuk kalau si Acam ni tinggal lama di rumah mereka. 

            “Macam biasalah mak.  Pukul lima.  Lepas maghriblah Shah hantar Acam ye, boleh lama sikit kat sini.  Kita makan malam dulu ke,”  balas Abang Shah.

            “Tak apa ke Acam balik lambat.  Takut nak siapkan apa-apa ke esok nak pergi kelas.”  Mak Lang mengutarakan kerisauannya.  Iyalah, nanti dah lewat tak sempat pula hendak menggosok baju. 

            “Okey je Mak Lang.  Acam tak ada apa-apa yang disiapkan,”  ujar Acam memadamkan kerisauan di dada Mak Lang.  Memang tak perlu dirisaukan apa-apa pun.  Malah semangat hendak balik pun memang tak ada. 

            Sepanjang hari Acam berusaha mengusir segala ingatannya tentang peristiwa yang meruntun jiwanya saban waktu.  Malas hendak diingatkan walau pun berkali-kali ia cuba mengganggu emosi Acam.  Hati yang sakit akan bertambah sakit apabila ia seakan diulang tayang di hadapan mata.  Deringan telefon dan mesej masuk yang berderet-deret dibiarkan sahaja.

*******************

            Pagi-pagi Dzil sudah pun tercegat di hujung simpang di hadapan rumah Acam.  Semalam pun dia di situ hampir satu jam menanti Acam.  Hari ini pun dia tidak letih untuk terus menanti.  Sudah dua puluh minit berlalu, namun kelibat Acam tidak juga timbul.  Hati lelakinya dihimpit rasa gelisah.  Sudahlah setiap panggilan tidak berjawab, setiap mesej tidak berbalas, bayang Acam pun tiada.  Tak kanlah merajuk sungguh-sungguh buah hatinya itu.  Hampir satu jam menanti, akhirnya kelihatan Acam terpacul daripada pintu rumah.  Hati Dzil berbunga riang.  Cepat-cepat dia membuka langkah meninggalkan kawasan itu.  Risau juga kalau-kalau kelibatnya dilihat Acam.  Makin teruk pula nanti.

            Bermacam-macam yang telah dirancang oleh Dzil untuk memancing semula hati Acam.  Bukan mudah hendak memujuk gadis itu, dia sedia maklum namun dia tidak akan mudah berputus asa.  Berpantang ajal sebelum maut, semangat jitu itu yang dipegangnya.  Sepanjang pagi, asal ada waktu terluang, pasti dia akan sengaja melintasi kelas Acam.  Kadang-kadang dah macam orang meroyan pun ada.  Selang setengah jam melintasi blok itu dengan alasan ke tandas.  Lantaklah, asalkan dia senang hati dapat melihat wajah Acam di depan mata.  Sesekali Dzil terperasan juga Acam menjeling ke arahnya.  Bukan main panjang lagi muncung minah tu, kalau sangkut hanger, mau dua tiga hanger pun boleh sangkut tu.  Iskh, ada pulak mengutuk makwe sendiri.  Eh, makwe ke?  Bila masa pula aku declare ni?  A’ah ye, kenapa aku tak pernah declare couple dengan Acam sedangkan hati dan perasaan ni dah macam nak meroyan bila dia buat tak tahu je, Dzil berperang dengan persoalan.  Mungkin belum masa untuk dia mengikat Acam secara formal namun tidak sesekali dia akan membiarkan Acam terlepas begitu sahaja.  Bukan mudah untuk mendapatkan sedikit ruang di hati gadis itu.  Tak kanlah apabila sudah mendapat tempat, begitu mudah sahaja dia biarkan berlalu. 

            Rancangan pertama diatur.  Habis sahaja kelas tengah hari itu, Dzil memecut motosikalnya ke bandar Ipoh.  Destinasinya sudah pastilah kedai bunga.  Menurut Encik Google yang dilawatinya semalam, salah satu cara untuk memujuk hati orang perempuan yang merajuk adalah dengan menghadiahkan jambangan bunga kepada mereka.  Tak kisahlah kena berhabis duit pun asalkan berbaloi. 

            “Encik, bunga apa lu mau?” soal amoi penjual bunga. 

            “Err, bunga apa ye amoi untuk pujuk perempuan,” soalan berbalas soalan.

            “Wa, lu punya amoi melajuk ka?” serkap amoi Ipoh mali itu.  Iskh, banyak pula tanya amoi ni, getus Dzil.  Dia hanya menganggukkan kepala.

            “Okey, kasi itu rose melah la,” jawap amoi itu lalu tangkas sahaja jarinya mengambil beberapa kuntum bunga dan digubah cantik. 

            Setelah membayar harga jambangan bunga itu, Dzil segera beredar.  Penuh berhati-hati dia memecut motosikalnya bimbang akan merosakkan jambangan tersebut.  Dia mahu jambangan yang sampai ke tangan Acam mestilah sempurna.  Sebelum keluar dari kedai bunga sebentar tadi, sempat dia menghantar mesej kepada Yanie meminta bantuannya.  Kelibat Yanie yang sedang menantinya di hadapan kantin jelas kelihatan.  Tangannya melambai-lambai ke arah Yanie yang juga perasaan kehadirannya.

            “What’s up bro,” sapa Yanie.  Ini mesti ada apa-apa yang hendak disuruhnya.

            “Ko tolong bagi kat Acam eh,”

            “Kalau setakat bagi aku no hal, tapi kalau dia tak nak ke, dia buang ke, aku tak bertanggung jawab ye,” balas Yanie sengaja hendak mengusik Dzil.

            “Kalau dia tak sudi terima tak apa, esok aku bagi lagi,”

            “Wah, bukan main semangat ko ye.  Ini memang betul-betul ni, bukan main-main lagi dah aku rasa ko ni,” tebak Yanie.

            “Ko tengok muka aku, ko rasa aku main-main ke?” soal Dzil sedikit serius.  Yanie terkesima seketika lalu menggeleng-gelengkan kepala.

            “Ok la bro, aku doakan ko berjaya dalam misi ko ni,”  jawabnya ikhlas.

            Dzil mengekori Yanie daripada jauh.  Sengaja dia berbuat begitu untuk melihat reaksi Acam.  Memang Yanie ni amanah orangnya, terus sahaja dia mencari Acam di kelas.  Mudah sahaja hari itu untuk berjumpa dengan Acam.  Alamak, comelnya dia.  Berbaju kurung cotton berbunga-bunga kecil warna pink dipadankan pula dengan tudung ekspress berwarna pink lembut.  Ayu dan jelita sahaja kelihatannya.  Tak puas Dzil menatap wajah itu walau pun daripada kejauhan.  Kelihatan Yanie berkata-kata sesuatu kepada Acam lalu menyerahkan jambangan bunga itu.  Hati Dzil mula rasa berbunga apabila melihat Acam merenung jambangan di tangan.  Namun, rasa yang berbunga mati di situ apabila dengan cantiknya, jambangan itu jatuh tergolek ke dalam tong sampah yang berada berhampiran Acam.

            Wah, marah betul minah ni.  Bunga yang cantik-cantik tu jadi mangsa.  Dzil menggaru kepala yang tidak gatal.  Alahai Encik Google, plan kita yang ketiga tidak berjayalah, desisnya.  Dzil terpaku memerhatikan Acam yang berlalu ke dalam dewan kuliah tanpa sedikit pun memalingkan wajah.  Dengan langkah perlahan, Dzil kembali ke dewan kuliah dengan kepala yang sarat dengan perancangan.  Untuk berputus asa, tidak sama sekali. 

            “Dzil, jom temankan I lunch kat kafe,” rengek Tasya yang sudah pun melabuhkan duduk di sisinya.

            “Hmm.. sorrylah Tasya.  I busy hari ni, ada hal I nak kena buat.  You ajaklah kawan baik you tu,” acuh tak acuh Dzil menjawabnya.

            “Alah, diorang tu tak bestlah.  Jomlah temankan I, selalunya you okey je.  Apa yang you sibuk sangat ni,” gesa Tasya menjemput rasa kurang senang di hati Dzil.

            “I kata I sibuk, I sibuklah.  Takkan semua I nak kena cerita kat you.  Kalahkan makwe I lah you ni, semua you nak ambil tahu,” sergah Dzil yang sudah mula panas.  Tersentap Tasya mendengarnya.  Inilah pertama kali Dzil berkasar dengannya.  Selama ini lelaki itu sabar melayan karenahnya yang kadang-kadang melampau juga.  Dengan muka mencuka, Tasya bingkas bangun meninggalkan Dzil.  Bengkak hatinya dimarahi begitu.

            Dzil rasa bersalah pula meninggikan suara kepada Tasya namun itu sahajalah caranya untuk menjauhkan gadis itu daripadanya.  Penat juga melayan gedik si Tasya tu.  Ini pun kalau tak kerana si Tasya tu, tak adalah dia kena membuat perancangan bagai untuk memujuk Acam.  Acam oh Acam.  Segera buku nota kecil di dalam beg sandang dikeluarkan.

            “Okey Encik Google, kita tengok apa kita nak buat lepas ni,” kata Dzil sendirian.

~ Hantar mesej mohon maaf. – done.
~ Buat panggilan sekurang-kurangnya sepuluh kali sehari – done
~ Bagi hadiah seperti bunga atau coklat – done bunga, coklat belum
~ Pujuk sampai dia menyampah, kalau boleh gunakan style yang berbagai
~ Nyanyikan lagu untuknya
~ Sila tahan telinga jika dia marah, jangan menjawab atau counter attack
~ Mengaku semua silap diri
~ Tuliskan nota cinta
~ Berikan kejutan
~ Berikan perhatian kepadanya

******************


Hamparan Kasihku
Terbentang luas menunggumu
Sinar kasihmu membelai jiwa
Harapanku untuk hidup
Hanya denganmu
Janganlah kau persendakanku
Ratapan dan tangisanku
Berlagu sendu sendirian
Oh sayang
Pintaku agar
Temanilah sepi ini kerana
Kau gadisku
Kau gadisku

            Nyaring dan kuat Dzil mengalunkan bait-bait lagu Simfoni Gadisku yang pernah didendangkan oleh Rahmat dari kumpulan Ekamatra.  Lebih indah lagi bila dia mengalunkannya dengan petikan gitar tong di hadapan pagar rumah Acam.  Berulang-ulang kali dia menyanyikan bait –bait lagu itu.  Lagu itu adalah lagu hatinya.  Lirik lagu itu adalah ciptaannya bersama sahabatnya Nazrul, iaitu adik kepada Rahmat Ekamatra semasa dia masih bersekolah.  Lirik yang ringkas namun tetap syahdu bila mendengarnya. 

            Jiran tetangga sudah mula menjengah ke luar rumah melihat adegan yang dicipta oleh Dzil namun tetap tidak dipedulikannya.  Dzil tetap mengalunkan lagu itu selagi Acam tidak memunculkan dirinya.  Rakan-rakan serumah Acam sudah pun bersorak memanggil nama Acam. 

            Jauh di balik langsir jendela, Acam terpaku melihat Dzil yang masih tidak henti mengalunkan lagu itu.  Satu persatu lirik lagu dihayatinya.  Tekad sungguh lelaki itu.  Walau pun berpuluh-puluh pasang mata mula menjadi penonton tak berbayar, namun dia masih tidak berganjak.  Serba salah hati Acam dibuatnya.  Tersentuh?  Huh, dapat bunga tadi pun dah tersentuh, nak menangis pun ada.  Namun egonya masih dipertahankan.  Sayang juga bunga itu dibuangnya.  Kesian bunga yang tak berdosa, jadi mangsa.  Pintu bilik Acam diketuk perlahan.

            “Acam, ko tak nak turun?” soal Yanie apabila pintu dibuka.  Acam menggelengkan kepada.

            “Ko tak kesiankan dia?”

            “Siapa yang suruh dia buat kerja gila tu?”

            “Kejap lagi dah nak maghrib, takkan ko nak biarkan dia,” kata-kata Yanie masuk juga ke hatinya. 

            “Hish, dia ni kan,” bentak Acam lalu mencapai tudung serta cardigannya.

            “Dia buat macam tu sebab dia sayang kat ko,” balas Yanie perlahan namun masih dapat ditangkap oleh Acam. 

Gadis itu terpaku dan hanya merenung dalam ke wajah Yanie dengan wajah tidak pasti.  Apa yang didengarinya diusir pergi.  Cepat-cepat dia melangkah menuruni anak tangga mendapatkan lelaki yang tak henti-henti lagi menjadi penghibur tak bergaji.  Alahai, janganlah hujan!

Dzil tersenyum apabila melihat rancangannya berhasil.  Acam melangkah laju menuju ke arahnya.  Walau pun wajah itu kelat mencuka, namun sudah cukup untuk memberi harapan kepadanya.  Thank you Encik Google, berhasil juga plan kita!

“Eiii, boleh tak awak berhenti buat kerja gila ni,” bentak Acam namun dengan suara tertahan bimbang didengari jiran-jiran yang sedang memasang telinga dan mata memerhatikan drama tak berskrip yang diarahkan Dzil itu.
“Saya minta maaf ye,” ucap Dzil lembut.  Memujuk.  Ingat Encik Google kata, mengaku kesalahan diri, tahan je telinga kalau dia marah!

“Awak ada buat salah ke yang nak kena minta maaf dengan saya,”

“Sebab adalah saya minta maaf.  Kalau tak ada, tak mungkin awak marahkan saya,”

“Tak ada masa nak marahkan awaklah,” masih lagi dalam mood sentap.

“Awak maafkan saya,” aju Dzil lagi.  Tidak senang hatinya jika tidak mendengar kemaafan daripada bibir mulus itu.

“Eiii.. degillah awak ni.  Iyalah saya maafkan awak!”  Acam sudah hilang punca.  Hendak tak hendak terpaksalah memberi kemaafan walau pun tidak sepenuh hati.  Ingat senang ke nak ubat luka di hati ni.

Senyuman paling manis terukir di bibir Dzil.  Dia tahu, Acam tidak menuturkan kemaafan sepenuhnya namun itu sudah cukup untuk menguatkan lagi tekadnya untuk mendapatkan ruang hati gadis itu seluruhnya.

“Dahlah, pergi balik.  Dah nak maghrib ni, nanti bisinglah jiran-jiran saya,” halau Acam tanpa hati. 

“Halau saya ye.  Tak apa, asal awak dah maafkan saya pun dah lebih daripada cukup,” balas Dzil lalu memohon diri selepas menitipkan salam. 

Acam menggeleng kepala melihat perlakuan Dzil yang tidak pernah terlintas di fikirannya.  Macam-macamlah mamat ni.  Tapi seronok juga kan bila ada orang yang sudi memujuk.  Rasa macam nak selalu je merajuk.  Hish, tak boleh blah hasrat tu!  Apa pun, biarlah esok yang menentukan segalanya.  




****************************

Salam sayang2 Kak Yus.. harap enjoy ye dengan n3 kali ni.. (sorry for typo error) sudi2lah drop komen untuk kak yus.. kot2 ada idea lagi camner nak tolong Dzil pujuk Acam.. leh tahan gak si Acam tu kalau merajuk.. hehehee


***  Kalau kak yus dapat 50 likes utk n3 ni sebelum Isnin ni, isnyaAllah, new n3 akan in da house by Thursday.. jom like.. hehehehee

Lots of luv
~Kak Yus~

Wednesday, 9 May 2012

Cerpen: Sesaat Kau Hadir..






“Aku terima nikahnya Hanina Maisarah binti Haris Umair dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai,”

“Sah?”

“Sah”

“Sah”

“Alhamdulillah,” 

Kedengaran suara tuan kadi membaca doa sejurus selesai akad nikad dijalankan dengan sempurna.  Dengan sekali lafaz, terpaterilah sebuah janji sehidup semati yang bersaksikan berpuluh pasang mata di dalam Masjid As-Syakirin yang penuh dengan tetamu.

            Saat akad dibacakan, ada genangan mutiara yang bertakung di tubir mata Hanina.  Hari ini dia akan sah bergelar seorang isteri kepada lelaki yang amat dicintainya.  Bertahun menyulam kasih dan bukan sedikit rintangan yang harus diharungi.  Saat doa dibacakan, tangannya ditadah.  Bukan sekadar mengaminkan doa yang dibacakan oleh tuan kadi malah dia juga memanjat doa agar mahligai yang baru dibina dirahmati olehNya.

            Mutiara yang ditakung akhirnya berjuraian jua saat takliq dibacakan oleh lelaki yang baru beberapa minit sah menjadi suaminya.  Pantas tangan mak andam mengesat linangan mutiara jernih itu.  Bahunya ditepuk perlahan.  Hanina  menahan diri dari terus tersentuh rasa lalu menawarkan senyuman kepada mereka.   Mutiara ini bukan sembarangan.  Ia tanda syukur dan kebahagiaan seorang insan yang telah sah bergelar isteri.

            Hati Hanina berkocak kencang saat Ilham menghampiri dengan sedulang hantaran.  Kelihatan sebentuk cincin dan seutas rantai tangan bersemayam indah di atas kotak baldu merah berbentuk hati yang dihias dengan bunga-bunga lili segar.  Ah, cantiknya!  Memang Ilham sedia maklum dengan minat Hanina terhadap bunga-bunga lili yang putih suci.    Semua mata mula terpaku ke arah pasangan pengantin yang sangat cocok di mata mereka.  Bagai pinang dibelah dua, eh, kalau dibelah sepuluh pun padan juga.  Bukan sehari dua pasangan kekasih itu menganyam cinta, bertahun lamanya dan hari ini terpateri sudah kasih sayang mereka oleh ikatan akad yang sungguh besar dan agung nilainya di sisi Ilahi.

            Tiba-tiba Hanina menjadi sangat pemalu.  Hish, selalunya dialah yang berlagak selamba.  Wajahnya yang telah disolek nipis kini dicalar dengan rona merah yang bertamu.  Segan apabila semua mata tertumpu kepada mereka.  Sohseh sohseh suara berbisik jelas kedengaran di telinganya.  Ilham yang sudah pun berlutut di hadapannya tersenyum lembut menyedari rona-rona merah di wajah Hanina.  Dalam perangai gila-gila isterinya itu, memang terselit sifat pemalu yang dalam.  Dia meraih lembut jejari Hanina lalu menyarungkan sebentuk cincin berbentuk hati yang dililiti dengan permata kecil.  Cincin itu memang menjadi pilihan Hanina.  Satu Kuala Lumpur mereka redah untuk mencari cincin berbentuk hati begitu.  Dan kerana sebentuk cincin itu jugalah jenuh mereka berbalah.  Hanina memang cerewet, tapi sifat cerewet itulah yang menjadi kegilaan Ilham.  Jemari Hanina masih lagi digenggam erat.

            “Hish, pengantin ni, tahulah dah sah.  Sabar-sabarlah sikit.  Ni rantai tangan belum dikalungkan lagi,” usik mak andam yang bertimpuh di sebelah Hanina.  Terlerai tawa hadirin di dewan masjid mendengar usikan mak andam.  Hanina dan Ilham bagaikan baru tersedar lalu tersipu-sipu.  Alahai, kantoi la pula.

            Sekali lagi, semua mata tertumpu pada ucapara mengalungkan rantai tangan di lengan halus Hanina.  Cantik.  Terletak sahaja.  Hanina sendiri terkejut dengan hadiah itu kerana rantai tangan itu tidak termasuk dalam perancangan mereka.  Pandai suaminya ini membuat kejutan. 

            Hanina menunduk menyalami Ilham.  Tangan kasar suaminya itu dikucup lembut.  Sebagai balasan,  Ilham meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun Hanina sambil berdoa perlahan, “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang telah Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya.”  Air mata yang ditahan-tahan kembali mengalir mendengar doa yang dibacakan oleh Ilham.  Sayu rasa hati Hanina.  Pertama kali merasakan dirinya benar-benar dikasihi.  Sedalam itu cinta Ilham untuknya.  Ilham menggeleng perlahan kepalanya pohon agar air mata Hanina tidak dibazirkan.  Pantas, jari kasarnya menyeka linangan halus itu.  Wajah Hanina didongak lembut lalu satu kucupan dihadiahkan di dahi Hanina.  Lembut, hangat dan lama.  Suasana yang suram dan sunyi sebentar tadi tiba-tiba menjadi riuh dengan sorak dan usikan hadirin. 

            Adegan dua minit kini menjadi sepuluh minit apabila diminta mengulanginya lagi untuk diabadikan di dalam photo.  Hendak tak hendak, kena jugalah dituruti.  Maklumlah, bila menjadi pengantin ni terpaksalah menghormati permintaan saudara mara yang datang daripada jauh meraikan mereka.  Tentu sekali saat indah itu hendak dirakam bersama mereka menjadi kenangan dibawa pulang.

            Selesai adegan bergambar, Hanina menuruti langkah Ilham menuju ke bilik wuduq.  Kedua-dua mempelai mengerjakan solat sunat selepas nikah sebagai tanda syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan bergelar suami isteri.  Pertama kali buat Hanina mengerjakan solat berimamkan Ilham, suaminya.

            “Ya Allah, Engkahlah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian bagiMu.  Aku bersyukur kepadaMu telah selesai pernikahanku ini, kami memohon kepadaMu Ya Allah, berkatilah pernikahan kami.  Jadikanlah aku dan isteriku orang-orang yang soleh.  Ya Allah, padaMulah kami memohon pertolongan.  Engkau anugerahkanlah  padaku isteri yang soleh, berikanlah kami petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaanMu.  Tunjukkanlah kami jalan yang lurus sepanjang hidup kami.  Kau berikanlah kekuatan untuk memimpin isteri dan anak-anak kami ke jalan yang Engkau redhai.  Engkau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Rasulullah dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa.  Engkau anugerahkan kami anak-anak yang ramai dah soleh, kesihatan dah kesejahteraan pada isteri, anak dan cucu-cucu kami di sepanjang hayat kami dan hayat mereka. 

         Ya Allah, Peliharakanlah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan kemesraan dan kebahagiaan rumahtangga kami, berikan kami rezeki yang halal, jadikan kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertaqwa kepadaMu.  Ya Allah, bahagiakanlah kami, bahagiakanlah kami, bahagiakanlah kami.  Engkau berkatilah rumahtangga kami, berkatilah rumah tangga kami, berkatilah rumah tangga kami, Amin Ya Rabbal Alamin.”  Tangan yang menadah doa diraupkan ke wajah.  Penuh syahdu.  Hadirin yang berdekatan dengan mereka juga tersentuh hati mendengar doa yang panjang dialunkan oleh Ilham.  Hanina sekali lagi menyalami dan mengucup jari jemari Ilham.  Wajah polos Hanina mempamerkan rasa bangga dan bahagia yang tidak terkira. 

            “Kita bina mahligai kita ini dengan sujud kepada Allah dan mohon keberkatanNya ye sayang,” bisik Ilham ketika mengucup dahi Hanina.

            “Terima kasih abang.  Nina harapkan agar untuk memimpin Nina, tegur Nina jika Nina tersasar jalan,” ucap Hanina lembut membalas bisikan suaminya.

            Suasana riuh rendah di halaman rumah.  Kanak-kanak berlari riang di kawasan lapang yang berhampiran bersama lollipop di tangan.  Kelihatan pekerja katering sibuk melayan tetamu.  Di bawah khemah penuh dengan tetamu yang rancak berbual sambil menikmati hidangan.  Deretan bunga mangga menyerikan kawasan yang sesak dibanjiri kenderaan yang dipakir.  Yang jauh, yang dekat berkumpul di perkarangan rumah Hanina hari itu.  Menjalinkan ukhuwah sesama mereka.  Merapatkan silaturrahim yang renggang.  Mengeratkan lagi hubungan yang mesra.   Tersenyum mempelai bersanding sambil disaksikan para hadirin.  Pencak silat ditarikan mengalu-alukan pengantin.  Tidak ketinggalan, kumpulan kanak-kanak cilik yang menarikan tarian zapin dengan lemah gemalai.  Alunan suara penyanyi band yang dijemput menyerikan lagi majlis diselang seli dengan suara pengacara majlis yang sesekali mengusik pengantin.  Semuanya dibawa khas untuk meraikan pengantin yang memang ditunggu-tunggu majlis mereka.  Kedua ibu dan bapa pengantin masing-masing tersenyum lebar melihat anak-anak mereka cantik dan molek duduk bersanding.  Hati tua mereka penuh dengan kegembiraan. 

            Selesai majlis menepung tawar, Hanina dan Ilham diarak ke meja santapan Raja Sehari.  Deretan makanan yang digubah begitu indah hasil kerja tangan Zalifah, sahabat baik Hanina yang memang terkenal dengan masakan pengantinnya.  Terhidang udang memanjat nenas, opor daging rusa di dalam labu, tembikai yang diukir cantik dan beraneka jenis masakan lagi.  Semuanya sungguh menyelerakan namun Hanina sedikit terkilan.  Sedih pun ada.  Mana tidaknya, kalaulah tidak makan beradab begini, sudah pasti habis dikerjakan segala hidangan yang ada.  Sekarang ni kenalah control ayu, makan pun setakat ambil nama sahaja.  Bahu Hanina ditepuk lembut daripada belakang.  Hanina berpaling dan segaris senyuman terukir dibibir merahnya.

            “Macam mana lauk pengantin, okey?” bisik Zalifah ke telinga Hanina.

            “Kau yang masak mestilah sedap.  Err.. boleh tak kau simpankan untuk aku.  Tak bestlah tak dapat makan kat sini,” balas Hanina masih dalam mode berbisik.  Tersungging senyuman Zalifah yang sangat memahami. 

            “Beres bos, aku simpan semua untuk kau.”  Zalifah segera beredar apabila menyedari jurugambar sibuk merakam gambar pengantin.  Nanti dikata sibuk nak enterprem pula.

            Hanina melepaskan lelah di anjung bilik.  Memerhatikan pekat malam yang damai.  Rambut yang hampir kering dikirai-kirai dengan jari runcingnya.  Ilham masih lagi di luar bersama papa menonton perlawanan bola antara Chelsea dan Liverpool.  Hmm, dua orang tu tak kira gempa bumi ke, tsunami ke, gunung berapi ke, kalau ada pertandingan bola memang tak akan missed.  Obses sangat dengan bola diorang tu.  Sanggup tak makan pun tak apa.  Dia tersenyum sendirian.  Dalam pekat malam bersama angin dingin yang menyapa lembut, ingatannya berputar kepada kisah silam.

            “Sakitlah kak,” rengek Hanina.  Wajahnya ditenung oleh dua orang jururawat yang sedang bertungkus lumus cuba mengambil sampel darahnya.  Campur kali itu, sudah empat kali lengannya dicucuk, namun masih tiada hasil.  Makin lebam adalah.

            “Yelah Kak Tina, kesian pula budak ni.  Dan lebam lengannya tak dapat-dapat juga urat.  Kita minta doktor jelah yang buat,” ujar jururawat yang memakai tag nama Linda kepada rakan setugasnya. 

            “Okeylah dik, nanti kakak minta doktor yang ambilkan darah ye.  Urat adik ni halus sangatlah, susah kami nak buat.  Kesian, dah lebam-lebam ni.”  Jururawat yang bernama Kartina itu cuba menenangkan Hanina.  Lengan gadis itu digosoknya perlahan. 

            “Iyalah kak, dah macam ayam kena lenyek steamroll lengan saya ni,” seloroh Hanina sambil tersenyum.  Kata-kata Hanina disambut dengan tawa besar dua gadis itu. 
            “Iskhhh.. dalam sakit-sakit pun boleh buat lawak lagi adik ni,” ucap Linda.  Best juga layan budak ni, satu kepala je, desis Linda.
           
            Hanina ditinggalkan sendirian menanti kehadiran doktor bertugas yang akan mengambil darahnya.  Jiran di katil sebelah sudah pun tidur.  Dia ditempatkan di dalam wad kelas dua yang menempatkan empat pesakit di dalam satu bilik.  Namun setakat malam itu, hanya ada dua pesakit sahaja di situ.  Esok-esok penuhlah tu.  Hanina cuba melelapkan mata, terasa ubat yang diberikan sebentar tadi mula memberikan kesan.  Agak mengantuk sedikit.  Baru hendak melelapkan mata, tiba-tiba dia terdengar suara menegurnya.

            “Assalamualaikum.  Hanina Maisarah binti Haris Umair, betul kan?  Okey, abang minta izin nak pegang tangan adik kejap ye,”  ujar doktor muda itu. 

Hanina membulatkan mata apabila terdengar perkataan ‘abang’ yang digunakan.  Heh, miang betul doktor ni.  Tag nama di dadanya dikerling.  Ilham Naufal.  Nama sikit punya best, muka hensem, kulit putih tapi sayang, miang!  Tangan Hanina dipegang lembut oleh doktor muda itu lalu getah pengikat diikat di bahagian lengan.  Digosok-gosok perlahan di bahagian pelipat siku.  Apabila Ilham merasakan apa yang dicari telah dijumpai, cepat-cepat dia melakukan tugasnya.

“Genggam jari kuat-kuat ye,” ujarnya sambil mencucuk jarum ke kulit Hanina.  Kening Hanina sedikit berkerut menahan sakit.

“Okey, boleh lepas genggaman.  Sakit ye?  Nanti abang sapu ubat sikit lagi kat tempat kena cucuk ni tak bagi sakit.  Dah okey ke perut yang sakit tadi?” soal Ilham sengaja hendak berbual dengan gadis yang terbaring itu.  Comel.  Hanina hanya mengganguk.  Eii.. miang, miang, miang.  Menyampah!

“Kalau macam tu Nina tidurlah ye.  Esok pagi abang datang lagi, kita bincang prosedur untuk operation kita tu ye.  Ok, sleep well sweetie,” sambung Ilham.  Suka melihat cebik di bibir Hanina.  Sah-sah dia mengata aku dalam hati tu, desisnya. 

Hilang sahaja kelibat Ilham, mata Hanina terus terlelap.  Memang mengantuk sangat.

Seminggu Hanina ditahan di wad.  Pembedahan kecil yang lebih kepada prosedur dilation (memasukkan camera dan belon ke dalam salur esofagus) sudah selamat dilakukan.  Tujuannya untuk membesarkan saluran esofagus yang mengecut.  Sudah sebulan selepas menjalani pemeriksaan rapi, Hanina dikenalpasti mengidap penyakit Achalasia Cardial iaitu saluran esofagusnya mengecil dengan sendiri yang mengakibatkan makanan yang dimakan tidak dapat mengalir ke usus.  Akibatnya, dalam tempoh enam bulan sahaja berat badan Hanina menyusut hampir dua puluh kilogram.  Ilham antara pakar yang terlibat dalam proses dilation itu.  Semenjak itu juga, hubungan antara mereka mula agak mesra.  

“Nina dah boleh balik hari ni ye?” Tegur Ilham yang berdiri di sebelah Hanina.  Tangannya memeriksa tekanan nadi dan mengambil bacaannya.  Mata Ilham masih lagi terpaku di wajah manis Hanina yang sudah kelihatan lebih segar.  Hanina hanya menggangguk.

“Ni nombor telefon abang ye, nanti jangan lupa telefon abang,” pesannya lalu mengunjukkan sekeping tisu putih yang tercatit sebaris nombor di situ.  Ahaksss… kertas tisu je mamat ni, gelak Hanina.  Dalam hati je.

Hubungan yang bermula dengan perasaan kurang senang itu akhirnya semakin intim.  Semakin kerap Hanina dan Ilham berhubungan.  Malah, bukan sekali dua Ilham sudi bertandang ke rumah Hanina dan sering juga dia sudi menjawat jawatan pemandu menghantar Hanina ke kampus.  Empat tahun mereka menjalin kasih sayang, akhirnya tamat sahaja pengajian Ilham terus menghantar rombongan meminang.  Tak sanggup hendak menunggu lebih lama.  Lebih tragis, pertunangan hanya untuk tempoh tiga bulan.  Dah tak sabar sangat Ilham untuk hidup bersama insan yang dicintainya. 

Lamunan Hanina mati tatkala saat itu terasa dua tangan melingkar di pinggangnya.  Dia tersenyum.  Haruman yang sangat mesra di deria baunya itu memang sudah sebati benar.  Tangannya turut memeluk tangan Ilham yang semakin kejap.  Hembusan nafas Ilham di cuping telinganya menggetarkan hati gadisnya.  Perawan yang tak pernah terusik sudah pasti akan dilanda resah gelisah diperlakukan begitu.  Degupan jantung sudah berubah rentak.

“Sayang termenung ye.  Ingatkan siapa?” soal Ilham.  Bibirnya bermain-main dengan juraian rambut Hanina yang terjuntai di leher.  Sesekali Ilham menghembus lembut leher Hanina.  Sengaja mengusik isterinya itu.  Hanina sesekali merengek-rengek kecil kegelian diperlakukan begitu. 

“Ingatkan orang tulah, yang tak ingatkan kita bila dapat mengadap football match,” balas Hanina pura-pura merajuk.  Tawa Ilham memecah kesunyian malam.  Terasa seram sejuk tubuh Hanina apabila bibir nipis Ilham mula merayap di lehernya.  Terbuai-buai dengan perasaan indah di saat itu.

Pelukan kejap Ilham dirungkaikan.  Sekilas, tubuh Hanina sudah pun berada di awangan.  Senyuman paling manis Hanina pamerkan untuk Ilham.  Tangan Hanina memaut erat leher Ilham yang melangkah masuk ke kamar peraduan mereka.  Sempat sebelah tangannya menarik langsir menutupi ruang kamar yang terdedah.  Tatkala mata mereka bertaut, tiada kata-kata yang terucap.  Hanya perasaan yang bergelora menjadi perantara.

“I want you so much darling, please complete me tonight,” bisik Ilham lembut. 

Nafas Ilham semakin memberat.  Tangan Hanina yang melingkar di dada suaminya dapat merasai degup hebat jantung itu.  Bagai bersatu irama jantung mereka.  Saat bibir Ilham mula bertaut di bibir mungil Hanina, dua rasa semakin bertaut. Dalam suram malam, gelora rasa kedua-duanya bersatu.  Dengan lafaz Bismillah, bersama doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi, ibadah yang satu itu menjadi kenangan paling indah bagi Ilham dan Hanina.  Tenggelam dalam badai asmara, berselimut dengan luahan cinta yang tak terucap.  Biarlah malam semakin kelam.

Penat!  Itulah perkataan yang paling tepat untuk Hanina.  Seharian hari itu dia melayan tetamu.  Ramai juga tetamu yang hadir di majlis sambut menantu mereka di rumah mertuanya.  Seminggu selepas majlis di rumah ibubapanya, kedua mertuanya mengadakan majlis sambut menantu di kediaman mereka pula.  Walau pun penat tapi dia seronok.  Gembira melihat kesepakatan di kalangan masyarakat kampung yang saling bantu membantu dalam menjayakan majlis mereka. 

Hanina leka memerhatikan sekumpulan lelaki yang sedang menurunkan khemah di perkarangan rumah.  Majlis mereka telah tamat lebih sejam lalu.  Hampir semua tetamu sudah pulang, yang tinggal pun hanyalah saudara mara jauh yang akan pulang petang itu.  Dia yang telah pun menyalin pakaian pengantinnya kepada baju kurung berwarna krim senada dengan Ilham.  Rimas dengan duduk berbual-bual dengan saudara-mara dengan pakaian yang sarat dengan labuci dan manik-manik itu.

“Sayang abang ni suka termenung eh?” sapa Ilham yang tiba-tiba tercengol di sebelah Hanina.  Asyik bertenggek di atas tembok simen anjung rumah sehingga tidak sedar kehadiran Ilham.  Tangan Ilham melingkar di bahu Hanina.

“Eii abang ni.  Nak manja-manja pula kat sini.  Nanti makcik-makcik tu nampak, seganlah,” ujar Hanina manja.

“Alah, makcik-makcik tu lagi suka apa.  Dapat tengok free show.  Tak percaya?  Cuba kalau abang kiss Nina kat sini, mesti bersorak diorang tu suka,” balas Ilham bersahaja.  Ouchhh! Jerit Ilham halus.  Kan dah kena sepit ketam Hanina. 

“Eii.. sayang ni dah pandai jadi ketamlah.  Nanti habislah lebam badan abang ni kena sepit je selalu,” adu Ilham disambut dengan tawa halus Hanina.

“Siapa yang suruh abang miang keladi kat sini, dapatlah habuan dia,”

“Sayang, abang nak ke rumah Pak Ngah Hairi sekejap ye, tadi anak Pak Ngah telefon minta abang tolong tengokkan ayahnya.  Pak Ngah pitam tadi balik daripada sini,” ujar Ilham. 

“Err.. lama ke abang nak ke sana?  Tak jauhkan rumah Pak Ngah tu, nak Nina temankan ke?”

“Dekat kampung sebelah tu je.  Tak apalah, Nina kan penat lagi so Nina berehat sahajalah kat rumah.  Biar abang pergi dengan Zakir je,” balas Ilham.

“Abang nak pergi sekarang ke?” soal Hanina menyedari kehadiran Zakir yang bermain-main dengan kunci kereta.  Ilham mengangguk.

“Elok-elok ye abang, Nina tunggu abang kat sini.” Ada sebak dalam nada suara itu.  Hanina menatap wajah suaminya sayu. 

“Abang pergi sekejap je.  Sayang tunggu abang ye.  Always remember that I love you more than you know, hanya maut yang boleh pisahkan kita,” bisik Ilham lembut.  Entah kenapa bisikan itu mengundang sayu di hati Hanina.  Air mata bergenang di tubir mata.  Ilham mengucup lembut dahi Hanina dan kucupan itu jatuh ke mata, hidung dan bibir Hanina.  Hangat, lama dan syahdu. 

*********************

            “Nina, masuk dalam nak.  Dah nak maghrib ni, tak baik duduk di luar tu,” tegur Puan Hasmah di ambang pintu.  Ralit dia memerhatikan menantunya yang masih bertenggek di tembok batu itu.

            “Sekejap lagi mak, Nina nak tunggu abang.  Lambat pula abang sampai, kata sekejap je,” balas Nina masih melemparkan pandang ke arah jalan.  Hati Puan Hasmah remuk mendengar ucapan yang entah berapa kali keluar daripada bibir menantunya itu. 

            “Masuklah sayang, nanti abang baliklah tu.  Tak baik orang perempuan mengandung duduk kat luar rumah maghrib-maghrib begini.  Jom kita masuk dulu, solat sama-sama,”  pujuk Puan Hasmah.  Langkah diatur menuju ke arah Hanina yang masih tidak beralah.

            “Pagi tadi abang kata nak balik cepat.  Tak kesian kat Nina agaknya abang ni.  Tengoklah, baby dah rindu dekat papa dia.  Nanti abang balik mak marahkan dia ye.  Kalau Nina marah nanti abang merajuk,” rengek Hanina manja.  Tubuh mertuanya itu dipeluk erat.  Jari jemari Puan Hasmah mengusap lembut rerambut Hanina.  Hatinya dibelit rasa pedih.  Kasihan melihat menantunya yang tak henti-henti begini.

            “Iyalah, nanti mak cakap dengan abang.  Biar mak tarik telinga dia kalau dia degil.  Okey, kita masuk sekarang ye sayang,” pujuk Puan Hasmah lagi.  Lega hati tuanya apabila Hanina sudah mula beralah.  Kadang-kadang makan pun tak ingat apabila leka menanti Ilham di situ.  Risau melihat tubuh Hanina yang kian susut.  Kandungan Hanina yang sudah mencecah lima bulan itu sudah mula kelihatan di sebalik tubuh yang semakin kurus.

            Abang, kenapa abang pergi lama.  Abang janji abang tak akan tinggalkan Nina.  Abang tak sayang Nina lagi ke?  Nina rindu abang.  Nina rindu suara abang, Nina rindu pelukan abang.  Nina nak abang dodoikan Nina, tak apalah suara abang tak berapa nak merdu pun.  Nina suka.  Abang… abang pergi mana.  Abang janji nak balik cepat.  Nina rindu sangat kat abang.  Nina nak abang, Nina tak marah kalau abang nak peluk ke nak cium Nina kat mana-mana pun.  Nina tak marah kalau abang nak sakat Nina.  Nina nak abang.  Nina rindu abang.  Abang tak rindu Nina?  Abang tak rindu baby kita.. Abang, baliklah, Nina tak boleh hidup tanpa abang.  Abang baliklah, bawa Nina sekali dengan abang….

            Hanina mengongoi lagi di birai katil.  Seperti setiap malam semenjak lima bulan lalu.  Baju melayu krim Ilham dipeluknya erat.  Dicium-ciumnya.  Air mata sudah kering di pipi.  Setiap malam dia akan termenung di birai jendela yang terbuka luas.  Lewat malam barulah dedaun jendela dikatup, itu pun oleh mertuanya setelah dia terlelap di tepi jendela.  Wajah Hanina sudah tidak ceria seperti dahulu.  Dalam hatinya cuma ada sebuah penantian yang tak bertepi buat Ilham Naufal.  Penantian yang tiada pengakhirnya.  Penantian yang meragut semua kebahagiaan dan keindahan milik mereka.


      Di sebalik jendela pintu, Puan Hasmah dan Encik Arman hampir terduduk.  Airmata sudah tiada harganya.  Deritanya anak itu, sengsaranya jiwa wanita itu.. seminggu menyulam bahagia dan direnggut pergi begitu sahaja…. Siapalah kita untuk menentang takdir yang telah tersurat..


******************************

Salam sayang2 Kak Yus.. mlm ni  Kak Yus post sebuah cerpen ye.. mood nak menulis cerpen plak tetiba enterprem.. harap sudi2lah layan cerpen Kak Yus ni.. maaf typo error.. dah malas nak proofread tadi..  sudi-sudi drop komen ye.. TQ darlings..

Lots of luv ~ Kak Yus ~

 

Blog Template by YummyLolly.com