Wednesday, 31 October 2012

Sesaat Kau Hadir


Cerpen ini dipost semula sebagai sokongan Cabaran Oktober Geng Urban di FB.. (telah diedit semula ye)

*********************** 



“Aku terima nikahnya Hanina Maisarah binti Haris Umair dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai,”

“Sah?”

“Sah”

“Sah”

“Alhamdulillah,” 

Kedengaran suara tuan kadi membaca doa sejurus selesai akad nikad dijalankan dengan sempurna.  Dengan sekali lafaz, terpaterilah sebuah janji sehidup semati yang bersaksikan berpuluh pasang mata di dalam Masjid As-Syakirin yang penuh dengan tetamu.

            Saat akad dibacakan, ada genangan mutiara yang bertakung di tubir mata Hanina.  Hari ini dia akan sah bergelar seorang isteri kepada lelaki yang amat dicintainya.  Bertahun menyulam kasih dan bukan sedikit rintangan yang harus diharungi.  Saat doa dibacakan, tangannya ditadah.  Bukan sekadar mengaminkan doa yang dibacakan oleh tuan kadi malah dia juga memanjat doa agar mahligai yang baru dibina dirahmati olehNya.

            Sehebat mana pun dia cuba menahan mutiara rasa yang ditakung daripada gugur akhirnya berjuraian jua saat takliq dibacakan oleh lelaki yang baru beberapa minit sah menjadi suaminya.  Pantas tangan mak andam mengesat linangan jernih itu.  Bahunya ditepuk perlahan.  Hanina menawarkan senyuman kepada mereka.   Mutiara ini bukan sembarangan.  Ia tanda syukur dan kebahagiaan seorang insan yang telah sah bergelar isteri yang sah, yang telah diakad bersama khalimah-khalimah suci bersaksikan nama Yang Maha Agung.  Sebuah kedudukan yang tinggi dalam hidup seorang wanita.

            Hati Hanina berkocak kencang saat Ilham menghampiri dengan sedulang hantaran.  Kelihatan sebentuk cincin dan seutas rantai tangan bersemayam indah di atas kotak baldu merah berbentuk hati yang dihias dengan bunga-bunga lili segar.  Ah, cantiknya.  Memang Ilham sedia maklum dengan minat Hanina terhadap bunga-bunga lili.   Semua mata mula terpaku ke arah pasangan pengantin yang sangat cocok di mata mereka.  Bukan sehari dua menganyam kasih, bertahun lamanya dah hari ini terpateri sudah kasih sayang mereka oleh ikatan akad yang sungguh besar dan agung nilainya.  Saat apabila mata Hanina bertemu dengan sepasang mata kuyu Ilham yang sungguh mempersona, terasa seakan hanya mereka berdua yang berada di situ.  Seketika, hanya hati yang berbicara.

            Tiba-tiba Hanina menjadi seorang gadis yang sangat pemalu.  Hish, selalunya dialah yang berlagak selamba dan tak makan dek saman.  Wajahnya yang telah disolek nipis kini dicalar dengan rona merah yang bertamu.  Segan apabila semua mata tertumpu kepada mereka.  Sohseh sohseh suara berbisik jelas kedengaran di telinganya.  Upacara membatalkan air sembahyang dimulakan dengan Ilham yang sudah pun berlutut di hadapan Hanina lalu meraih lembut jejari Hanina dan menyarungkan sebentuk cincin berbentuk hati yang ditaburi dengan permata kecil.  Cincin itu memang menjadi pilihan Hanina.  Satu Kuala Lumpur mereka redah untuk mencari cincin berbentuk hati begitu.  Hanina memang cerewet, tapi sifat cerewet itulah yang menjadi kegilaan Ilham.  Jemari Hanina masih lagi erat digenggam jejaka yang baru sahaja sah bergelar seorang suami.

            “Hish, pengantin ni, tahulah dah sah. Sabar-sabarlah sikit.  Ni rantai tangan belum dikalungkan lagi,” usik Kak Halimah yang bertugas sebagai mak andam mereka sambil bertimpuh di sebelah Hanina.  Terlerai tawa hadirin di dewan masjid mendengar usikan Kak Halimah itu.  Hanina dan Ilham bagaikan baru tersedar lalu tersipu-sipu.  Alahai, kantoi la pula.  Baru nak feeling-feeling sikit dah ada gangguan.

            Sekali lagi, semua mata tertumpu pada ucapara mengalungkan rantai tangan di lengan halus Hanina.  Cantik.  Elok terletak sahaja.  Hanina sendiri terkejut dengan hadiah itu kerana rantai tangan itu tidak termasuk dalam perancangan mereka.  Pandai suaminya ini membuat kejutan. 
            Hanina menunduk menyalami Ilham.  Tangan kasar suaminya itu dikucup lembut.  Sebagai balasan,  Ilham meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun Hanina sambil berdoa perlahan, “Bismillahirrahmanirrahim.   Ya Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian bagiMu.  Aku bersyukur kepadaMu diberikan seorang isteri yang baik,”  lembut suara Ilham mengucapkan doa.

Seketika, Ilham bersuara lagi, “Ya Allah, Engkau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Rasulullah dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa.  Engkau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan kemesraan dan kebahagiaan rumahtangga kami.  Aku bersaksikan dengan namaMu Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang telah Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya.” 

Air mata yang ditahan-tahan kembali mengalir mendengar doa yang dibacakan oleh Ilham.  Sayu rasa hati Hanina.  Pertama kali merasakan dirinya benar-benar dikasihi.  Sedalam itu cinta Ilham untuknya.  Ilham menggeleng perlahan kepalanya pohon agar air mata Hanina tidak dibazirkan.  Pantas, jari kasarnya menyeka linangan halus yang mula mempamerkan diri di wajah polos isterinya itu. Wajah Hanina didongak lembut lalu satu kucupan dihadiahkan di dahi Hanina.  Lembut, hangat dan lama.  Suasana yang suram dan sunyi sebentar tadi tiba-tiba menjadi riuh dengan sorak dan usikan hadirin. 

            Adegan dua minit kini menjadi sepuluh minit apabila diminta mengulanginya lagi untuk diabadikan di dalam photo.  Hendak tak hendak, kena jugalah dituruti.  Maklumlah, bila menjadi pengantin ni terpaksalah menghormati permintaan saudara mara yang datang daripada jauh meraikan mereka.  Tentu sekali saat indah itu hendak dirakam bersama mereka menjadi kenangan dibawa pulang.

            Selesai adegan bergambar, Hanina menuruti langkah Ilham menuju ke ruang mengambil wudu’.  Kedua-dua mempelai mengerjakan solat sunat selepas nikah sebagai tanda syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan bergelar suami isteri.  Pertama kali dalam hidup seorang Hanina mengerjakan solat berimamkan Ilham, suami yang telah dianugerahkan Allah kepadanya.  Suami yang akan menjadi pembimbing dan pelindung hidupnya bermula saat itu.

            “Ya Allah, Engkaulah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian bagiMu.  Aku bersyukur kepadaMu telah sempurna pernikahanku ini, kami memohon kepadaMu Ya Allah, berkatilah pernikahan kami.  Jadikanlah aku dan isteriku orang-orang yang soleh.  Ya Allah, padaMulah kami memohon pertolongan.  Engkau anugerahkanlah  padaku isteri yang soleh, berikanlah kami petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaanMu.  Tunjukkanlah kami jalan yang lurus sepanjang hidup kami.  Kau berikanlah kekuatan untuk memimpin isteri dan anak-anak kami ke jalan yang Engkau redhai.  Engkau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Rasulullah dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa.  Engkau anugerahkan kami anak-anak yang ramai dah soleh, kesihatan dah kesejahteraan pada isteri, anak dan cucu-cucu kami di sepanjang hayat kami dan hayat mereka.”  Saat itu kesyahduan masih melingkari hati kedua-dua mempelai.

“Ya Allah, Peliharakanlah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan kemesraan dan kebahagiaan rumahtangga kami, berikan kami rezeki yang halal, jadikan kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertaqwa kepadaMu.  Ya Allah, bahagiakanlah kami, bahagiakanlah kami, bahagiakanlah kami.  Engkau berkatilah rumahtangga kami, berkatilah rumah tangga kami, berkatilah rumah tangga kami, Amin Ya Rabbal Alamin.”  Tangan yang menadah doa diraupkan ke wajah.  Penuh syahdu. 

Hadirin yang berdekatan dengan mereka juga tersentuh hati mendengar doa yang panjang dialunkan oleh Ilham.  Hanina sekali lagi menyalami dan mengucup jari jemari Ilham.  Wajah polos Hanina mempamerkan rasa bangga dan bahagia yang tidak terkira. 

            “Kita bina mahligai kita ini dengan sujud kepada Allah dan mohon keberkatanNya ye sayang,” bisik Ilham ketika mengucup dahi Hanina.

            “Terima kasih abang.  Nina harapkan abang dapat memimpin Nina, tegur Nina jika Nina tersasar jalan,” ucap Hanina lembut membalas bisikan suaminya.

***********************

            Suasana riuh rendah di halaman rumah.  Di bawah khemah penuh dengan tetamu yang rancak berbual sambil menikmati hidangan.  Yang jauh, yang dekat berkumpul di perkarangan rumah Hanina hari itu.  Menjalinkan ukhuwah sesama mereka.  Merapatkan silaturrahim yang renggang.  Mengeratkan lagi hubungan yang mesra.   Tersenyum mempelai bersanding sambil disaksikan para hadirin.  Pencak silat ditarikan mengalu-alukan pengantin.  Tidak ketinggalan, sekumpulan kanak-kanak cilik yang menarikan tarian zapin dengan lemah gemalai.  Semuanya dibawa khas untuk meraikan pengantin yang memang ditunggu-tunggu majlis mereka.  Kedua ibu dan bapa pengantin masing-masing tersenyum lebar melihat anak-anak mereka cantik dan molek duduk bersanding.  Hati mereka penuh dengan kegembiraan.  

            Selesai majlis menepung tawar, Hanina dan Ilham diarak ke meja santapan Raja Sehari.  Deretan makanan yang digubah begitu indah hasil kerja tangan Zalifah, sahabat baik Hanina yang memang terkenal dengan masakan pengantinnya.  Terhidang udang memanjat nenas, opor daging rusa di dalam labu, tembikai yang diukir cantik dan beraneka jenis masakan lagi.  Semuanya sungguh menyelerakan namun Hanina sedikit terkilan.  Sedih pun ada.  Mana tidaknya, kalaulah tidak makan beradab begini, sudah pasti habis dikerjakan segala hidangan yang ada.  Sekarang ni kenalah control ayu, makan pun setakat ambil nama sahaja.  Bahu Hanina ditepuk lembut daripada belakang.  Hanina berpaling dan segaris senyuman terukir dibibir merahnya.

            “Macam mana lauk pengantin, okey?” bisik Zalifah ke telinga Hanina.

            “Kau yang masak mestilah sedap.  Err.. boleh tak kau simpankan untuk aku.  Tak bestlah tak dapat makan kat sini,” balas Hanina masih dalam mode berbisik.  Tersungging senyuman Zalifah yang sangat memahami. 

            “Beres bos, aku simpan semua untuk kau.”  Zalifah segera beredar apabila menyedari jurugambar sibuk merakam gambar pengantin.  Nanti dikata sibuk nak enterprem pula.

            Hanina melepaskan lelah di anjung bilik.  Memerhatikan pekat malam yang damai.  Angin malam yang dingin mencuit lembut kulit gebu Hanina.  Rambut yang hampir kering dikirai-kirai dengan jari runcingnya.  Ilham masih lagi diluar bersama papa menonton perlawanan bola antara Chelsea dan Liverpool.  Hmm, dua orang tu tak kira gempa bumi ke, tsunami ke, gunung berapi ke, kalau ada pertandingan bola memang tak akan missed.  Dia tersenyum sendirian.  Dalam pekat malam bersama angin dingin yang menyapa lembut, ingatannya berputar kepada kisah silam.

            “Sakitlah kak,” rengek Hanina.  Wajahnya ditenung oleh dua orang jururawat yang sedang bertungkus lumus cuba mengambil sampel darahnya.  Campur kali itu, sudah empat kali lengannya dicucuk, namun masih tiada hasil.  Makin lebam adalah.

            “Yelah Kak Tina, kesian pula budak ni.  Dan lebam lengannya tak dapat-dapat juga urat.  Kita minta doktor jelah yang buat,” ujar jururawat yang memakai tag nama Linda kepada rakan setugasnya. 

            “Okeylah dik, nanti kakak minta doktor yang ambilkan darah ye.  Urat adik ni halus sangatlah, susah kami nak buat.  Kesian, dah lebam-lebam ni.”  Jururawat yang bernama Kartina itu cuba menenangkan Hanina.  Lengan gadis itu digosoknya perlahan. 

            “Iyalah kak, dah macam ayam kena lenyek steamroll lengan saya ni,” seloroh Hanina sambil tersenyum.  Kata-kata Hanina disambut dengan tawa besar dua gadis itu. 

            “Iskhhh.. dalam sakit-sakit pun boleh buat lawak lagi adik ni,” ucap Linda.  Best juga layan budak ni, satu kepala je, desis Linda.
           
            Hanina ditinggalkan sendirian menanti kehadiran doktor bertugas yang akan mengambil darahnya.  Jiran di katil sebelah sudah pun tidur.  Dia ditempatkan di dalam wad kelas dua yang menempatkan empat pesakit di dalam satu bilik.  Namun setakat malam itu, hanya ada dua pesakit sahaja di situ.  Esok-esok penuhlah tu.  Hanina cuba melelapkan mata, terasa ubat yang diberikan sebentar tadi mula memberikan kesan.  Agak mengantuk sedikit.  Baru hendak melelapkan mata, tiba-tiba dia terdengar suara menegurnya.

            “Assalamualaikum.  Hanina Maisarah binti Haris Umair, betul kan?  Okey, abang minta izin nak pegang tangan adik kejap ye,”  ujar doktor muda itu. 

Hanina membulatkan mata apabila terdengar perkataan ‘abang’ yang digunakan.  Heh, miang betul doktor ni.  Tag nama di dadanya dikerling.  Ilham Naufal.  Nama sikit punya best, muka hensem, kulit putih tapi sayang, miang!  Tangan Hanina dipegang lembut oleh doktor muda itu lalu getah pengikat diikat di bahagian lengan.  Digosok-gosok perlahan di bahagian pelipat siku.  Apabila Ilham merasakan apa yang dicari telah dijumpai, cepat-cepat dia melakukan tugasnya.

“Genggam jari kuat-kuat ye,” ujarnya sambil mencucuk jarum ke kulit Hanina.  Kening Hanina sedikit berkerut menahan sakit.

“Okey, boleh lepas genggaman.  Sakit ye?  Nanti abang sapu ubat sikit lagi kat tempat kena cucuk ni tak bagi sakit.  Dah okey ke perut yang sakit tadi?” soal Ilham sengaja hendak berbual dengan gadis yang terbaring itu.  Comel.  Hanina hanya mengganguk.  Eii.. miang, miang, miang.  Menyampah!

“Kalau macam tu Nina tidurlah ye.  Esok pagi abang datang lagi, kita bincang prosedur untuk operation kita tu ye.  Ok, sleep well sweetie,” sambung Ilham.  Suka melihat cebik di bibir Hanina.  Sah-sah dia mengata aku dalam hati tu, desisnya. 

Hilang sahaja kelibat Ilham, mata Hanina terus terlelap.  Memang mengantuk sangat.

Seminggu Hanina ditahan di wad.  Pembedahan kecil yang lebih kepada prosedur dilation (memasukkan camera dan belon ke dalam salur esofagus) sudah selamat dilakukan.  Sudah sebulan selepas menjalani pemeriksaan rapi, Hanina dikenalpasti mengidap penyakit Achalasia Cardial iaitu saluran esofagusnya mengecil dengan sendiri yang mengakibatkan makanan yang dimakan tidak dapat mengalir ke usus.  Ilham antara pakar yang terlibat dalam proses dilation itu.  Semenjak itu juga, hubungan mereka mula agak mesra.

“Nina dah boleh balik hari ni ye?” Tegur Ilham yang berdiri di sebelah Hanina.  Tangannya memeriksa tekanan nadi dan mengambil bacaannya.  Mata Ilham masih lagi terpaku di wajah manis Hanina yang sudah kelihatan lebih segar.  Hanina hanya menggangguk.

“Ni nombor telefon abang ye, nanti jangan lupa telefon abang,” pesannya lalu mengunjukkan sekeping tisu putih yang tercatit sebaris nombor di situ.  Ahaksss… kertas tisu je mamat ni, gelak Hanina.  Dalam hati je.

Hubungan yang bermula dengan perasaan kurang senang itu akhirnya semakin intim.  Semakin kerap Hanina dan Ilham berhubungan.  Malah, bukan sekali dua Ilham sudi bertandang ke rumah Hanina dan sering juga dia sudi menjawat jawatan pemandu menghantar Hanina ke kampus.  Empat tahun mereka menjalin kasih sayang, akhirnya tamat sahaja pengajian Ilham terus menghantar rombongan meminang.  Tak sanggup hendak menunggu lebih lama.  Lebih tragis, pertunangan hanya untuk tempoh tiga bulan.  Dah tak sabar sangat Ilham untuk hidup bersama insan yang dicintainya. 

Lamunan Hanina mati tatkala saat itu terasa dua tangan melingkar di pinggangnya.  Dia tersenyum.  Haruman yang sangat mesra di deria baunya itu memang sudah sebati benar.  Tangannya turut memeluk tangan Ilham yang semakin kejap.  Hembusan nafas Ilham di cuping telinganya menggetarkan hati gadisnya.  Perawan yang tak pernah terusik sudah pasti akan dilanda resah gelisah diperlakukan begitu.  Degupan jantung sudah berubah rentak.

“Sayang termenung ye.  Ingatkan siapa?” soal Ilham.  Bibirnya bermain-main dengan juraian rambut Hanina yang terjuntai di leher.  Sesekali Ilham menghembus lembut leher Hanina.  Sengaja mengusik isterinya itu.  Hanina sesekali merengek-rengek kecil kegelian diperlakukan begitu. 

“Ingatkan orang tulah, yang tak ingatkan kita bila dapat mengadap football match,” balas Hanina pura-pura merajuk.  Tawa Ilham memecah kesunyian malam.  Terasa seram sejuk tubuh Hanina apabila bibir nipis Ilham mula merayap di lehernya.  Terbuai-buai dengan perasaan indah di saat itu.

Pelukan kejap Ilham dirungkaikan.  Sekilas, tubuh Hanina sudah pun berada di awangan.  Senyuman paling manis Hanina pamerkan untuk Ilham.  Tangan Hanina memaut erat leher Ilham yang melangkah masuk ke kamar peraduan mereka.  Sempat sebelah tangannya menarik langsir menutupi ruang kamar yang terdedah.  Tatkala mata mereka bertaut, tiada kata-kata yang terucap.  Hanya perasaan yang bergelora menjadi perantara.

“I want you so much darling, please complete me,” bisik Ilham lembut. 

Nafas Ilham semakin memberat.  Tangan Hanina yang melingkar di dada suaminya dapat merasai degup hebat jantung itu.  Bagai bersatu irama jantung mereka.  Dalam suram malam, gelora rasa kedua-duanya bersatu.  Dengan lafaz Bismillah, bersama doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi, ibadah yang satu itu menjadi kenangan paling indah bagi Ilham dan Hanina.  Tenggelam dalam badai asmara, berselimut dengan luahan cinta yang tak terucap.  Biarlah malam semakin kelam.  Semoga semua anak syaitan mati bertebaran malam itu, dengan ibadah yang dituntut Ilahi demi melahirkan lebih ramai zuriat anak Adam dan umat Muhammad s.a.w.

*****************

Penat!  Itulah perkataan yang paling tepat untuk Hanina.  Seharian hari itu dia melayan tetamu.  Ramai juga tetamu yang hadir di majlis sambut menantu mereka di rumah mertuanya.  Seminggu selepas majlis di rumah ibubapanya, kedua mertuanya mengadakan majlis sambut menantu di kediaman mereka pula.  Walau pun penat tapi dia seronok.  Gembira melihat kesepakatan di kalangan masyarakat kampung yang saling bantu membantu dalam menjayakan majlis mereka. 

Hanina leka memerhatikan sekumpulan lelaki yang sedang menurunkan khemah di perkarangan rumah.  Majlis mereka telah tamat lebih sejam lalu.  Hampir semua tetamu sudah pulang, yang tinggal pun hanyalah saudara mara jauh yang akan pulang petang itu.  Dia yang telah pun menyalin pakaian pengantinnya kepada baju kurung berwarna krim senada dengan Ilham.  Rimas dengan duduk berbual-bual dengan saudara-mara dengan pakaian yang sarat dengan labuci dan manik-manik itu.

“Sayang abang ni suka termenung eh?” sapa Ilham yang tiba-tiba terjengol di sebelah Hanina.  Asyik bertenggek di atas tembok simen anjung rumah sehingga tidak sedar kehadiran Ilham.  Tangan Ilham melingkar di bahu Hanina.

“Eii abang ni.  Nak manja-manja pula kat sini.  Nanti makcik-makcik tu nampak, seganlah,” ujar Hanina manja.

“Alah, makcik-makcik tu lagi suka apa.  Dapat tengok free show.  Tak percaya?  Cuba kalau abang kiss Nina kat sini, mesti bersorak diorang tu suka,” balas Ilham bersahaja.  Ouchhh! Jerit Ilham halus.  Kan dah kena sepit ketam Hanina. 

“Eii.. sayang ni dah pandai jadi ketamlah.  Nanti habislah lebam badan abang ni kena sepit je selalu,” adu Ilham disambut dengan tawa halus Hanina.

“Siapa yang suruh abang miang keladi kat sini, dapatlah habuan dia.”

“Sayang, abang nak ke rumah Pak Ngah Hairi sekejap ye, tadi anak Pak Ngah telefon minta abang tolong tengokkan ayahnya.  Pak Ngah pitam tadi balik daripada sini,” ujar Ilham. 

“Err.. lama ke abang nak ke sana?  Tak jauhkan rumah Pak Ngah tu, nak Nina temankan ke?”

“Dekat kampung sebelah tu je.  Tak apalah, Nina kan penat lagi so Nina berehat sahajalah kat rumah.  Biar abang pergi dengan Zakir je,” balas Ilham.

“Abang nak pergi sekarang ke?” soal Hanina menyedari kehadiran Zakir yang bermain-main dengan kunci kereta.  Ilham mengangguk.

“Elok-elok ye abang, Nina tunggu abang kat sini.” Ada sebak dalam nada suara itu.  Hanina menatap wajah suaminya sayu. 

“Abang pergi sekejap je.  Sayang tunggu abang ye.  You know sayang, I love you more than you know, hanya maut yang boleh pisahkan kita,” bisik Ilham lembut.  Entah kenapa bisikan itu mengundang sayu di hati Hanina.  Air mata bergenang di tubir mata.  Ilham mengucup lembut dahi Hanina dan kucupan itu jatuh ke mata, hidung dan bibir Hanina.  Hangat, lama dan syahdu. 

*********************

            “Nina, masuk dalam nak.  Dah nak maghrib ni, tak baik duduk di luar tu,” tegur Puan Hasmah di ambang pintu.  Ralit dia memerhatikan menantunya yang masih bertenggek di tembok batu itu.

            “Sekejap lagi mak, Nina nak tunggu abang.  Lambat pula abang sampai, kata sekejap je,” balas Nina masih melemparkan pandang ke arah jalan.  Hati Puan Hasmah remuk mendengar ucapan yang entah berapa kali keluar daripada bibir menantunya itu. 

            “Masuklah sayang, nanti abang baliklah tu.  Tak baik orang perempuan mengandung duduk kat luar rumah maghrib-maghrib begini.  Jom kita masuk dulu, solat sama-sama,”  pujuk Puan Hasmah.  Langkah diatur menuju ke arah Hanina yang masih tidak beralah.

            “Pagi tadi abang kata nak balik cepat.  Tak kesian kat Nina agaknya abang ni.  Tengoklah, baby dah rindu dekat papa dia.  Nanti abang balik mak marahkan dia ye.  Kalau Nina marah nanti abang merajuk,” rengek Hanina manja.  Tubuh mertuanya itu dipeluk erat.  Jari jemari Puan Hasmah mengusap lembut rerambut Hanina.  Hatinya dibelit rasa pedih.  Kasihan melihat menantunya yang tak henti-henti begini.

            “Iyalah, nanti mak cakap dengan abang.  Biar mak tarik telinga dia kalau dia degil.  Okey, kita masuk sekarang ye sayang,” pujuk Puan Hasmah lagi.  Lega hati tuanya apabila Hanina sudah mula beralah.  Kadang-kadang makan pun tak ingat apabila leka menanti Ilham di situ.  Risau melihat tubuh Hanina yang kian susut.  Kandungan Hanina yang sudah mencecah lima bulan itu sudah mula kelihatan di sebalik tubuh yang semakin kurus.

            Abang, kenapa abang pergi lama.  Abang janji abang tak akan tinggalkan Nina.  Abang tak sayang Nina lagi ke?  Nina rindu abang.  Nina rindu suara abang, Nina rindu pelukan abang.  Nina nak abang dodoikan Nina, tak apalah suara abang tak berapa nak merdu pun.  Nina suka.  Abang… abang pergi mana.  Abang janji nak balik cepat.  Nina rindu sangat kat abang.  Nina nak abang, Nina tak marah kalau abang nak peluk ke nak cium Nina kat mana-mana pun.  Nina tak marah kalau abang nak sakat Nina.  Nina nak abang.  Nina rindu abang.  Abang tak rindu Nina?  Abang tak rindu baby kita.. Abang, baliklah, Nina tak boleh hidup tanpa abang.  Abang baliklah, bawa Nina sekali dengan abang….

            Hanina mengongoi lagi di birai katil.  Malam-malamnya diisi dengan suara sayu dan rengekan kecil meluahkan rindu yang terpendam semenjak lima bulan lalu.  Baju melayu Ilham dipeluknya erat.  Dicium-ciumnya hampir renyuk.  Tidak pernah puas dia berbuat begitu, terasa seperti ada bauan Ilham terletak di baju itu.  Di sebalik jendela pintu, Puan Hasmah dan Encik Arman hampir terduduk.  Airmata sudah tiada harganya.  Deritanya anak itu, sengsaranya jiwa wanita itu.  Seminggu menyulam bahagia dan direnggut pergi begitu sahaja…. Siapalah kita untuk menentang takdir yang telah tersurat.

Daripada Allah kita datang, kepada Dia juga kita pulang, hidup perlu diteruskan namun sisa kehidupan itu tidak semuanya akan indah tanpa mereka yang tersayang.


*******************************
**Al-fatihah untuk arwah-arwah yang telah pergi meninggalkan kita.  Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan dimasukkan dalam golongan mereka yang disayangiNya.

 ~ Kak Yus ~ 

Tuesday, 30 October 2012

Sengketa Cinta ~ 10


           
 Fayyad mengetuk-ngetuk meja tanpa rentak.  Serabut!  Rasa seperti hendak menjerit sahaja meluahkan apa yang terbuku di hati.  Gilalah kau Fayyad, nak menjerit kat office ni.  Nak biar semua orang tahu yang engkau sekarang dalam dilemma. 

            Hendak diluah mati emak, hendak ditelan mati bapa.  Kalau luah tak boleh, telan pun tak boleh, takkan lah nak dikemam sahaja.  Lama-lama kematu juga kalau terus-terusan berkeadaan macam ni. 

“Mama rasa dah sampai masa Ayyad terima cadangan mama tu.  Lagi pun mama memang berkenan sangat dengan anak Datin Seri Maimun tu, baik orangnya, lemah lembut, berbudi bahasa, malah cukup serba segalalah bak kata orang.  Jodoh macam mana lagi yang Fayyad nak cari?”  Kata-kata mama malam tadi masih terngiang-ngiang di telinga. Ligat berputar-putar seakan roda berpusing yang melekat terus di ingatan. Lebih memedihkan papa juga keras menyokong hasrat mama.  Memang semuanya salah dia sendiri. 

We’ve given you two years to find a wife yourself but until now, you didn’t find even a girl at all.  It’s time for us to fix for you. You’re not getting younger anymore Ayyad, so do us.”

“Mama pun dah bincang hal ni dengan Datin Seri Maimun, insyaAllah, hujung minggu ni kita akan ke sana merisik Nurul Hanina untuk Ayyad. Mama dan Aunt Maimun kamu dah siapkan semua urusan merisik, papa pun dah setuju.  Lagi pun Nina tu baik budaknya. Ayyad pun kenal dia kan, kawan daripada kecil.  Mama dah tak boleh tunggu lagi Ayyad, mama dah semakin tua.  Rumah kita ni sunyi sepi.”  Bagaikan gendang dipalu kata-kata mama bergema di telinganya. 

“Aduh!  Semua ni salah aku, kalau aku cepat-cepat bawa Azzalea jumpa mama dan papa tentu semua ni tak akan jadi macam ni,”  keluh Fayyad. 

Keluhan tinggal sekadar keluhan.  Bukan Fayyad tidak ingat janji yang diberikan kepada mama dan papa sebelum ini cuma dia agak terleka dengan dunia percintaan yang sungguh mengasyikkan.  Dia sepatutnya membawa Azzalea bertemu mama dan papa terlebih dahulu.  Sudah hampir tujuh bulan dia mengenali Azzalea malah telah meluahkan rasa hatinya kepada gadis itu.  Bukan tidak pernah ingin mempertemukan mereka, tapi dia ingin mencari waktu yang sesuai sehingga dia terlupa tempoh yang diberikan oleh mama dan papa sudah jauh meninggalkannya.  Sekarang, semuanya sudah tunggang langgang.

Hatinya ingin sekali membangkang kata-kata mama dan papa malah ingin sahaja dia membawa Azzalae bertemu mereka segera.  Namun, memikirkan akan nama baik dan maruah mereka, dia jadi terkedu. Mama telah memanjangkan niatnya kepada Aunt Maimun, itu yang menjadi masalahnya.  Jika hanya baru berada di dalam perbincangan antara mereka bertiga sahaja masih boleh dipinda.  Mana mungkin dia bisa menghancurkan hati insan yang telah mengutip dirinya yang yatim piatu itu, membesarkannya dengan penuh kasih sayang sehingga mampu berdiri sama tinggi dan setaraf dengan mereka.  Tidak pernah sekali pun keluarga Datuk Halim meletakkan batas pergaulan atau mengungkit kisah-kisah silam antara mereka.  Hadirnya dalam hidup Datuk Halim dan Datin Ezalinda bagaikan sinar yang membawa kebahagiaan untuk mereka.  Hadirnya sebagai pengganti zuriat mereka yang lebih disayangi oleh Ilahi bagaikan menatang minyak yang penuh. 

Apa lagi yang hendak dia lakukan?  Dia sendiri pun sudah kebingungan!


******************************

            Semenjak dua menjak ini, Azzalea terperasan perubahan dalam perhubungan mereka.  Jika selalu, Fayyad akan menghubunginya berkali-kali dalam sehari namun setelah beberapa minggu pulang dari Cherating, panggilan-panggilan daripada lelaki itu semakin berkurangan.  Sesekali hatinya dijentik rasa pilu yang datang menyapa tanpa sedar.  Apakah sekadar mainan perasaan atau adakah sesuatu yang tersirat tanpa disedarinya.

“Ah, aku yang perasan sorang kot.  Mesti mamat tu sibuk,” bisiknya perlahan memujuk hati sendiri.

            Kadang-kadang penat menanti panggilan daripada Fayyad, dia sendiri menghubungi Fayyad namun ketara sekali, perbualan mereka hambar malah hanya untuk seketika cuma.  Tiada lagi rentetan gelak ketawa dan kata-kata manis bergula yang boleh menyebabkan tidur malam tak lena daripada bibir jejaka itu.

            Tidak mahu diri dihantui dengan perasaan-perasaan aneh yang boleh menyebabkan jiwa kacau, Azzalea menyibukkan diri dengan kerja-kerjanya.  Iskh, time hati dilanda jiwa kacau macam ni lah pulak Encik Eshan nak bercuti lama-lama.  Dua minggu bercuti di Amsterdam bersama anak dan isterinya.  Dengan ketiadaan Encik Eshan maka tidak banyaklah tugas-tugas Azzalea, hanya memantau dan menguruskan rutin hariannya sahaja.

            Baru dua hari Encik Eshan bercuti, sudah tiga buah novel habis dikhatamnya di pejabat.  Sudahnya Azzalea mencari pula majalah-majalah yang bergantungan di kedai Uncle Muthu, pengedar akhbar di sebelah bangunan pejabatnya.  Haru, naik juling mata menghadap aturan huruf-huruf di dada majalah tu.  Jam dinding dikerling sekilas.  Awal lagi kalau nak keluar lunch pun, dah lah seorang pula tu.  Tiba-tiba Azzalea tersenyum.  Ligat jari-jemarinya menekan punat nombor-nombor yang tertera di atas telefon.

“Selamat Pagi,  LHDN, boleh saya bantu,” sambut suara merdu di hujung talian penuh tertib.

“Selamat Pagi, boleh sambungkan saya sambungan 224.”

“Sebentar, saya sambungkan.”

“Terima kasih,” ucap Azzalea lalu menanti dengan sabar panggilannya disambungkan seperti yang diminta.  Mujurlah kali ini penantian Azzalea tidak lama.  Iyalah, kalau berurusan dengan jabatan kerajaan ni kadang-kadang naik hangin juga menanti untuk panggilan dijawab.

“Selamat pagi, Cawangan Pungutan,”

“Selamat pagi, boleh saya bercakap dengan Cik Nur Nadhirah?”

“Iya, saya bercakap.  Boleh saya bantu.”  Alahai, sopan santun sungguh.  Anak siapalah ni. 

Err, macam ni Cik Nur Nadhirah, saya ni buat panggilan wakil anak bujang saya nak minta maaf pasal kejadian hari tu …,”

“Hoi, ko jangan mengada-ngada nak mengayat aku ye.  Ko ingat aku tak tau ke suara ko.  Hampeh punya kawan,” sergah Dirah memotong kata-kata Azzalea.  Terletus tawa antara mereka.

“Apa mimpi ko telefon aku ni?”

Jom lunch dengan aku hari ni, bosanlah.”

“Hai, encik abang kesayangan ko tak ajak lunch ke?”

“Hmmm.. dia sibuk kot.  Dah banyak hari tak call aku, bila aku call pun cakap sekejap je.  Tak mo lah kacau dia.  Jom arr, kau lunch dengan aku hari ni.  Aku belanja nasi beriani Bilal, lepas tu kita usyar handbag kat SOGO jap.  Ada Membercard Day la hari ni.”

“Wei, makcik.. ko ingat ini office bapa angkat aku ke sesenang je nak keluar lunch berjam-jam,” tukas Dirah pantas.  Iyalah, sesuka hati je nak shopping pula kat SOGO.  Entahnya kalau dah menyinggah kat SOGO tu mahu sejam dua bertapa kat situ sedangkan waktu makan hanya satu jam sahaja.

“Alah, ko adjust la ngan member ko kejap.  Katalah ada hal minta time off dua jam ke, macam tak biasa.”

“Okeylah, habis tu nak suruh aku drive ambik ko ke?”

“Tak payah drive la, lambat nak cari parking dah la susah kat situ.  Ko ambil teksi je, terus ambil aku.  Aku bayar la.”

“Yang tu aku suka dengar.  Okey ko tunggu aku kat lobby.”

*************************


            Perjalanan ke Jalan Tunku Abdul Rahman tidaklah seteruk yang disangka.  Selalunya kalau masa makan tengah hari macam ni mesti padat dan sesak lalu lintas lebih-lebih lagi di jalan yang memang terkenal sangat tu.  Walau pun agak tersangkut sedikit dalam kesesakan di hadapan Chow Kit, namun lalu lintas kembali tenang setelah memasuki area Maju Junction. 

“Wei, terjenguk-jenguk makanan tu wat apa?  Pilihlah cepat, kang tak sempat nak menapak ke SOGO,” sergah Azzalea perlahan.  Suara kena control babe, takut nanti kantoi terdengar dek pelanggan-pelanggan lain.  Jatuh nilai saham!

“Aku tengah pilihlah ni, dah terlanjur ko nak belanja bolehlah aku ketuk ko lebih-lebih sikit kan,” selamba jawab Dirah lalu menceduk gulai kari kambing serta mengambil beberapa ketul telur ikan goreng yang sudah semestinya menjadi kegemarannya sejak azali.  Tak banyak pun beza gadis berdua tu, sama spesis je kalau bab makan.  Mesti tak lari daripada gulai kari kambing, telur ikan goreng, ayam tandori dan sambal udang galah.

            Lauk pauk yang dipilih memang tidak mengecewakan.  Restoran Bilal memang terkenal dengan nasi beriani mereka bagi penduduk sekitar Kuala Lumpur.  Boleh dikatakan setiap hari restoran itu mesti penuh dengan pelanggan yang menjadi penggemar hidangan mereka. 

            Setelah menyelesaikan pembayaran bil makanan, Azzalea dan Dirah bergegas menapak ke arah Pasaraya SOGO yang terletak kira-kira seratus meter sahaja daripada Restoran Bilal.  Sempat lagi mereka menjamu mata seketika di Euromoda yang sudah semestinya terkenal dengan kualiti kain ela yang berjenama dan import.  Kalau leka, mahu juga tersangkut di situ berjam-jam. 

            Suasana di dalam SOGO agak sesak walau pun itu merupakan hari Membercard Day, iaitu hari premier untuk ahli SOGO sahaja.  Memang banyak sungguh duit rakyat Malaysia ni, asal ada sales sahaja, berderu-deru diserangnya.  Ruangan lobi yang selalunya menempatkan barang-barang promosi dipenuhi dengan handbag perlbagai jenama.  Kalau nak kata diskaun, jangan dikira.  Ada yang sehingga lapan puluh peratus potongan yang sudah semestinya memancing mata dan hati para pembeli.  Jangan kata nak datang usyar sahaja, sah-sah satu atau dua barang mesti diangkut pulang.

            Leka dan ralit kedua-dua gadis itu membelek satu persatu barangan yang dipamerkan.  Selesai satu tingkat, mereka beralih ke tingkat yang lain pula.  Inilah masa nak perhabiskan duit.  Alah, sekali dua kala sahaja pun, bukan hari-hari. 

*************************************************************************
Dah agak lama tak updates blog ni, harap n3 SC kali ini dpt menghiburkan.  Maaf untuk segala kekurangan, sudi-sudilah drop komen untuk kak yus ye..

Salam teramat sayang
~ Kak Yus ~

Friday, 19 October 2012

Kahwin Lari ~ 1

Salam kesayangan kak yus semua....

Hmmmm... Terkejut tak dengar tajuk baru ni.. Kahwin Lari... hehehe.. budget ada yang kahwin sambil berlari ke atau ada mamat yang bawak lari anak dara orang pi kahwin kat Siam?? Huh.. kak yus try la nak wat enovel ni sesantai yang boleh, ada komedi2 sikit.. tapi buat masa sekarang ni.. baru chap 1 ni jer lah yang termampu nak taip ye.. Isu / masalah persepsi yang kak yus bawa di dlm enovel ni agak berat, mungkin ada hati yang akan terasa, mgkin akan mengusik sensitiviti tapi semua ini perlu kak yus bongkarkan demi untuk memperbetulkan kembali persepsi yang salah ni.. Harap, tak ada yang marah pd kak yus ye.. Selamat Membaca.. layanzzzz...

****************************************************************






“Gila!”

“Memang I dah gila.  Dah lima tahun kita macam ni, you expect I nak buat macam mana lagi?”  suara Imran sudah mencapai oktaf ke-empat.

I tahu, bukan you sorang je yang pening, I pun pening juga.  Lagilah I ni kan perempuan, mestilah I lagi risau daripada you.  Dahlah umur pun dah makin banyak, kawan-kawan I semua pun dah beranak pinak tinggal I je sorang terkontang-kanting dengan you macam ni.  Itu belum lagi mak-mak saudara I yang tak henti-henti dok menyindir I.  Macam I ni tak laku sangat, mentang-mentang anak-anak diorang cepat kahwin. Tapi, kalau kahwin lari memang I tak setuju, seratus peratus tak setuju,”  bentak Eelan. 

“Habis tu, kita nak buat macam mana lagi Cik Nur Eelan Qaseh?  You bukan tak tahu keluarga kita macam mana.”

“Hmm, I peliklah dengan diorang ni.  Nak kata lahir zaman empat puluhan, semuanya lahir zaman lepas Merdeka, tapi pemikiran masih di takok lama lagi.  Tak tahulah kat mana parents kita ni dapat pemikiran benda-benda tu semua.  Yang susah dan merananya kita nilah,” keluh Eelan melepaskan rasa. 

Hati Eelan telah lama merana dengan sikap ibu dan ayah yang sangat cerewet dalam memilih menantu.  Bukan tidak ada ciri-ciri menantu idaman pada diri Imran Addam, lengkap pakej mamat yang ada di hadapannya itu.  Nak kata tak bergaya, hish, terlebih bergaya ada.  Nak kata tak kacak, dah cukup kacak pada matanya, nak kata tak kaya, hmm.. dah cukup kalau nak menanggung makan pakainya kalau ditakdirkan dia menjadi suri rumahtangga sepenuh masa nanti.  Kalau dilihat pada listing parents lain dalam memilih calon menantu, mungkin mereka tak akan tunggu lama punya.  Sah-sah dah suruh masuk meminang.  Tapi tidak bagi parents Eelan.  Cuma satu perkara kecil yang akan nampak tersangat besar di mata mereka yang memang pasti akan menjadi halangan paling kuat.  Memang tak masuk di akal pun kalau nak diceritakan. 

“Habis tu you nak kita buat macam mana?” soal Imran. 

Pening dan serabut.  Risau juga gadis idaman dirembat orang kalau dibiarkan lama-lama.  Hish, Nur Eelan Qaseh ni dah cukup sempurna bagi Imran.  Biarlah kulit tidak seputih mulus penyanyi Adira AF tu, wajah tidak secantik pelakon Nealofa mahu pun Erra Fazira, tapi pada mata Imran Addam sudah cukup sempurna.  Sempurna dengan sifat lemah lembut dan baik budi serta santun yang dijaga sejajar dengan identiti gadis melayu yang dibawa.  Malah daripada segi pencapaian akademik dan kerjaya pun sudah cukup membanggakannya. 

“Apa kata kita minta pendapat orang yang lebih pakar.  I cuba rujuk kat Ustaz Aiman yang selalu datang kat sekolah tiap-tiap pagi Sabtu tu.  I rasa I boleh minta pendapat Ustaz Aiman kot, tak pun set appointment untuk kita jumpa beliau,” saran Eelan.  Tiba-tiba je idea yang bernas lagi hebat itu muncul di benaknya.

“Betul juga la kata you tu.  Heh, kenapa idea ni tak datang empat tahun lepas?  Kalau tak, mesti anak kita dah berderet setahun sorang,” balas Imran.

“Eii, you ni kan ke situ pula.  Tetiba je siap anak bagai.  You ingat I ni apa, setahun sorang konon, kilang buku teks sekolah ke apa?  Tiap-tiap tahun kena keluarkan buku baru untuk murid-murid baru. Cuba tak lagi, dah banyak berangan lak,” tempelak Eelan marah. 

            Imran hanya tersenyum mendengar tempelak buah hati pengarang jantungnya itu.  Nak ketawa pun ada mendengarkan padanan umpama yang digunakan.  Almaklumlah cikgu sekolah, perumpamaan pun mesti kena ada buku, ada murid, hish macam-macam si jantung hati dia seorang ni.  Muncung dua puluh inci gadis kesayangannya itu pun dah boleh diukur sangat.  Biasalah, lima tahun berkasih sayang sudah arif benar dengan fiil ‘tak boleh salah cakap sikit’ buah hatinya tu, cepat aje rajuknya bertamu.  Alah, bukan lama pun, paling-paling kuat tiga hari.  Bukan apa, kan dalam Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari ada memetik mengenai memutuskan hubungan silaturrahim yang bermaksud ‘tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.’   Takut juga bila kenangkan maksud hadis tu, semua amalan tak diterima.

Memang Eelan tak pernah pun merajuk lama-lama.  Cukup tiga hari eloklah dia.  Kadang-kadang tak sempat nak pujuk pun.  Itulah yang membuatkan Imran bertambah sayang pada Eelan.  Tak adalah seperti sesetengah teman wanita rakan-rakan Imran yang selalu memeningkan kepala dengan rajuk mereka yang tak bertempat.  Dah tu, kalau tak dipujuk jawabnya perang dinginlah.  Masuk angin keluar asap!


**************************



            Kelas usrah pagi itu agak lengang.  Mungkin kerana hari Isnin merupakan cuti umum makan ramai guru-guru yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.  Ustaz Aiman juga hanya memberikan topik ringan memandangkan hanya ada enam orang sahaja ahli usrah yang hadir tidak seperti kebiasaan yang sememangnya ramai.  Sekolah Kebangsaan Seri Andalas ini sahajalah satu-satunya sekolah yang mengadakan kelas usrah untuk guru-guru dan dibiayai sendiri oleh guru-guru yang terlibat.  Sesuatu yang sangat membanggakan.

Pagi itu mereka membincangkan tentang solat serta rukun-rukun solat yang kadang-kadang sering dipandang remeh oleh umat Islam.  Sebenarnya, bagi kelompok guru seperti Eelan ada banyak kebaikan mengikuti kelas-kelas usrah seperti ini.  Ilmu yang didapati melalui kelas-kelas usrah ini bukan sahaja boleh dipraktikkan untuk diri sendiri dan keluarga malah boleh juga disampaikan kepada anak-anak didik mereka.  Memang Pendidikan Islam bukan bidang Eelan yang mempunyai kepakaran dalam subjek Matematiks dan Bahasa Inggeris, namun tidak salah baginya untuk menerapkan ajaran Islam kepada anak didik di bawah naungannya.  Sebagai umat Islam, ia suatu kewajipan dan sebagai seorang warganegara, ia satu sumbangan sosial dalam membina individu yang tinggi jati dan sahsiah diri.

            Dalam ralit mendengar hujah-hujah Ustaz Aiman yang cukup menarik mengupas tentang cara-cara duduk bertahiyat akhir dengan betul, tiba-tiba terasa gerakan halus daripada poket jubahnya.  Perlahan telefon bimbit dikeluarkan lalu nama si pengirim sms dibaca.

Ann, I dah ada kat luar ni ~ Im

Lorh, apasal nak datang tak roger I dulu ~ Ann

You tak call I pun, tak boleh tunggu lama-lamalah, I tak sabar dah ni ~ Im

Eh, gatallah you ni.. kot ya pun baru je nak tanya pendapat ustaz bukan nak menikah pun ~ Ann

Kalau ustaz boleh nikahkan hari ni pun I sanggup ~ Im

Dah, malas nak layan you.  Ustaz tengah bagi cerita best ni, masuk ajelah kat dalam ni ~ Ann

            Seketika, terdengar bunyi pintu diketuk bersama kuakan lebar dedaun pintu.  Terpacul wajah Imran yang tersenyum ke arah ahli-ahli usrah bersama ucapan salam yang telah bersambut.  Warga guru di Sekolah Kebangsaan Seri Andalas telah amat kenal dengan Imran, malah ada antara guru lelaki di sekolah itu yang agak baik dengan jejaka itu.  Lagi pun, mamat ni memang jenis yang supporting habis.  Apa-apa event je yang dianjurkan oleh pihak sekolah, sudah pasti dia akan turut serta.  Kadang-kadang siap sponsor dan turut turun sekaki membantu apa sahaja yang diperlukan.  Sikap humble dan ramah Imran memang disenangi oleh rakan-rakan guru Eelan.  Malah Encik Halim, Guru Besar SK Seri Andalas itu pun memang selesa berbual dengannya.  Namun begitu, tiada seorang pun di antara mereka yang tahu tentang masalah terbesar Eelan dan Imran yang sebenar. 

            Walau pun kehadirannya sudah di penghujung kelas, namun sedikit ilmu yang didapati sudah melebihi daripada cukup.  Amat berguna dalam membetulkan lubang-lubang kecil yang tertinggal dalam mendirikan solatnya. 

            Setelah kelas usrah bersurai, seorang demi seorang meninggalkan bilik mesyuarat yang digunakan.  Akhirnya hanya tinggal Ustaz Aiman, Imran dan Eelan yang masih belum berganjak. 

“Cikgu Eelan tadi kata nak jumpa saya, ada apa yang saya boleh bantu cikgu?” soal Ustaz Aiman yang telah sedia maklum mengenai hajat Eelan untuk menemuinya secara peribadi.

“Ini teman lelaki saya, Imran.  Kami ni dah berkawan lama ustaz,” ujar Eelan namun terhenti di situ.  Tekaknya terasa seakan-akan kering dan kesat tidak tahu bagaimana untuk menerangkan duduk perkara sebenarnya.  Malu dan gelisah juga mula mempamerkan diri.

“Kami ni ada masalah sikit ustaz,” sambung Imran seakan memahami kesukaran Eelan dalam meluahkan masalah mereka.

“Masalah apa tu kalau saya boleh tolong.”

“Macam ni ustaz, saya dengan Cikgu Eelan ni dah berkawan selama lima tahun.  Dah lama ustaz, kami dah merancang nak berkahwin tapi masalah kami parents kami pula lain macam sikit ustaz,” luah Imran tanpa ragu.

“La, lain macam apa pula.  Takkan spesis lain-lain kot?” seloroh Ustaz Aiman cuba meredakan ketegangan yang mula terasa.  Memang Ustaz Aiman ni bijak menangani situasi begini sementalah pula dengan tugasnya sebagai motivator dan kaunsellor di Jabatan Agama Islam Negeri.

“Eh, tak adalah macam tu ustaz,” jawab Imran dalam gelak.  Lucu pula Ustaz Aiman ni.

Parents kami ni ada persepsi yang pelik sikit ustaz.  Ma dan abah saya tu kenegerian sikit, mereka tak suka bermenantukan orang Negeri Sembilan.  Ma sayalah lebih-lebih lagi.  Katanya orang perempuan Negeri Sembilan ni kalau dibuat isteri esok lusa jawabnya anak mereka tak jejak tangga rumah mak sendirilah.  Dikaut habis dek keluarga perempuan.  Harta benda pun dikaut sama, kalau jadi apa-apa si suami tu ditendang sehelai sepinggang.  Itu kepercayaan ma saya lah ustaz,” jelas Imran berterus terang.  Terdengar tawa halus daripada mulut Ustaz Aiman.  Sah, kan dah kata, mesti Ustaz Aiman pun akan tergelak mendengarnya, getus Imran dalam diam.

Hish, macam tu pula.  Ibu bapa cikgu okey ke?” tanya Ustaz Aiman beralih kepada Eelan yang hanya terdiam sedari tadi.

“Tak okey ustaz.  Sama juga macam tu, ibu dan ayah saya tak suka orang Kelantan.  Dulu adalah kakak sepupu ibu yang berkahwin dengan orang Kelantan, lepas tu mereka jarang balik ke kampung lagi, dengar pula cerita suami sepupu ibu tu kahwin lain sebab ikutkan kemahuan mak dia.  So keluarga ibu marahlah, termasuklah ibu.  Ibu kata tak akan ada anak-anak dan keturunan ibu yang akan kahwin dengan orang Kelantan.  Ibu saya takut perkara yang sama akan terjadi sebab ibu percaya anak lelaki orang Kelantan ni takutkan mak mereka, ikut je apa semua yang disuruh.”

Astagfirrullahalazim, sampai macam tu sekali tanggapan parents kamu berdua ni.  Imran orang Kelantan, Cikgu Eelan pula Negeri Sembilan. Hmm..memang susahlah kalau dah macam ni.  Kenapalah ada lagi golongan yang masih berfikiran macam ni ye, saya pun tak faham.  Tak ada kena mengena dengan negeri mana asal seseorang tu maka orang tu akan jadi macam tu.  Iskh, semuanya terletak pada didikan dan pokok pangkal pada hati.  Subhanallah…,” keluh Ustaz Aiman menggeleng-gelengkan kepala.  Lucu pun ada, sedih pun ada malah tergamam pun ada juga.  Iyalah, zaman dan moden dengan arus pembangunan dan kecanggihan teknologi, tapi masih ada lagi golongan yang masih mengamalkan kepercayaan ortodoks.  Langsung tidak termasuk dalam etika adat budaya apatah lagi ajaran agama.  Tersimpang jauh, malah seolah-olah tidak mempercayai bahawa setiap kejadian itu adalah takdir dan ketentuan, bukan disebabkan oleh kenegerian. 

“Itulah ustaz, kalau kami usulkan tentang hal kami dah tentu awal-awal kena reject.  Kami tak berani ustaz.  Susah-susah saya bawa lari je Cikgu Eelan ni ustaz, kahwin kat Siam,” kata Imran nekad.

“Iskh kamu ni, ada pula pasang niat macam tu.  Belum usaha lagi, dah cepat sangat mengalah.”

“Habis tu ustaz, apa yang patut kami buat?”   Wajah Eelan penuh mengharap. 

“Macam nilah, saya bagi cadangan kamu cuba gunakan orang tengah.  Mungkin kamu boleh cari seseorang yang rapat dengan kamu dan parents kamu yang kamu rasa boleh bantu kamu.  Bincang dengan mereka cara untuk satukan kamu berdua dan dalam waktu yang sama cuba ambil hati keluarga pasangan masing-masing tanpa mereka tahu asal kamu dahulu.  Iyalah, mungkin bila dah kenal hati budi kamu barulah persepsi mereka akan berubah.  Di samping tu berdoa pada Allah mohon diberi petunjuk, banyakkan amalan solat hajat, tahajjud dan istikarah,” nasihat Ustaz Aiman disemat baik-baik di dalam hati.

Cuba amalkan zikir Ya Qahhar sebanyak seratus kali setiap kali selepas solat fardhu, kemudian tadah tangan dan angkat kepala kamu menghadap Allah.  Doa dan mintalah bersungguh-sungguh apa yang kamu mahu, insyaAllah, Allah itu Maha Pemurah, akan dimakbulkan kelak,” pesan Ustaz Aiman lagi.

“Terima kasih ustaz atas nasihat ustaz.  Saya dan Cikgu Eelan akan segara berbincang dan buat seperti yang ustaz pesan.  Kami memang betul-betul serius ni ustaz,” ujar Imran lalu bersalaman dengan Ustaz Aiman sambil mengucapkan terima kasih.

“InsyaAllah, saya doakan kamu berdua.”


            Tenang setenang tenangnya hati Eelan setelah meluahkan apa yang terbuku dan bersarang di lubuk hatinya selama ini.  Sekurang-kurangnya kini dia nampak sedikit cahaya dalam perhubungan mereka.  Harapan untuk bersama kekasih hati menyulam bahagia seakan bersinar kembali.  Mungkin laluan mereka tidak mudah namun dia sanggup mengharunginya demi lima tahun percintaan mereka. 

            Senyuman penuh harapan dilemparkan kepada Imran yang melangkah perlahan ke arahnya sambil membawa dua tin minuman yang baru sahaja dimenanginya dalam peperangan senget dengan mesin minuman yang terletak di lobi sekolah.  Huh, memang berperanglah kerana setiap kali duit syiling dimasukkan ke dalam mesin itu, pasti duit itu akan keluar semula.  Memerlukan kepakaran yang tinggi untuk mendapatkan air tin-air tin tersebut, termasuklah kepakaran menghempuk dan mengetuk mesin tersebut.  Hanya orang yang arif sahaja memahaminya.

“Don’t worry so much love, we’ll find a way.” 

“I’m not, I trust you and us.”

“Kita cuba sedaya mampu kalau tak dapat, kita kahwin lari lah, habis cerita.”

Hish you ni, tak sudah-sudah.  Benci tau, you kahwinlah sorang-sorang, I tak nak.”



 *******************************

So acaner??? Okey tak n3 ni?  Apa2 pun terima kasih kerana sudi membaca.. mohon kak yus kemaafan utk ketidaksempurnaan yg ada.. sudi2lah drop komen sbg penyuntik semangat kak yus.. Terima kasih.. lebiu ols so much.

~ Kak Yus ~
            
 

Blog Template by YummyLolly.com