Salam sayang2 Kak Yus... Maaf sbb dah lama tak hapdet n3 SC ni kan.. bukan apa, tinggal beberapa bab je lagi nak habis di blog, nanti kalau cepat2 hapdet sayang2 semua terpaksa tunggu lama pulak nak tahu pengakhirannya.. so k.yus pos slow2 la ye... kali ni kita tengok.. apa agaknya yang terjadi di rumah Azzalea ...
Selamat Membaca.. semoga terhibur.. care to drop a few words sbg semangat untuk kak yus.. TQ lalings.. luv u ols so much!!!!
*****************&&&&&************
Semerbak haruman ayam bakar mencucuk
hidung sehingga ke dapur. Umi Ain, Ibu
Zai dan Datin Norseha berseronok bereksperimentasi dengan resepi-resepi baru
yang dikumpulkan mereka ketika bersembang selepas acara sukaneka tadi. Bahagian dapur memang department ibu-ibu. Kepenatan pada waktu siang tadi sudah hilang
apabila dapat mencuba resepi-resepi baru ditambah pula dengan tips-tips oleh
yang pakar.
Ibu
Zai ni bukan sekadar pandai memasak, tapi blogger hebat juga tau. Walau pun bukan Ibu Zai sendiri yang
mengendalikan blognya, namun dengan bantuan anak gadisnya yang sedang
menyambung master di salah sebuah IPTA di tanah air tu, memang blog Ibu Zai
antara blog yang sering dilawati untuk peminat-peminat masakan terutama masakan
tradisional. Agaknya Ibu Zai ni kalau
diberi peluang untuk menerbitkan buku kompilasi masakan tradisional, sudah
tentu terlaris di pasaran. Bertuah
sungguh Datin Norseha dan Umi Ain dapat berguru dengan Ibu Zai secara live.
Di halaman rumah, seronok sahaja
kaum bapa dan anak-anak bujang bersembang sambil membakar ayam dan beberapa
hidangan lain untuk makan malam mereka.
Memang awal-awal lagi Emeer telah memberi cadangan untuk mengadakan BBQ
selepas acara sukaneka pada sebelah malamnya khas untuk mereka sekeluarga. Sekeluarga tu termasuklah pekerja-pekerja
taska dan guru-guru tadika. Kata Emeer,
dah penat seharian di padang, apa salahnya semua orang dihargai dengan majlis
makan-makan itu. Emeer dan Ayesha
jugalah yang telah berbesar hati menyediakan semua bahan makanan dan keperluan
untuk BBQ malam itu. Malah, Datuk Halim
dan Datin Norseha juga turut menyertai mereka.
Sudahnya, memang penuhlah rumah Azzalea dan Dirah menjadi port perhentian mereka seketika.
Halaman rumah Azzalea terang
benderang disinari cahaya lampu. Keriuhan
di luar rumah tidak langsung menarik minat Azzalea yang masih berkurung di
bilik. Penat berperang dengan perasaan
sendiri. Geram, marah, menyampah dan
serba serbi perasaanlah yang ada sehingga rasa sesak dada dan nafas. Bukan dia tidak suka suasana riuh rendah
sebegitu, bahkan memang dia bersyukur yang amat apabila semua berkumpul
lebih-lebih lagi di halaman rumahnya. Bersyukur
mereka sekeluarga diberi peluang untuk berkumpul sekali lagi. Adik-adiknya semua ada bersamanya malam itu.
Tetapi,
yang menyesakkan hati dan perasaannya ketika itu adalah kehadiran lelaki itu
dan keluarganya. Siapa lagi kalau bukan
Fayyad. Ringan sahaja mulut hendak
membantah apabila terdengar Emeer mempelawa Datuk Halim sekeluarga menyertai
acara BBQ mereka malam itu tapi mengenangkan sudah terlalu banyak jasa Datuk
Halim dalam menjayakan aktiviti Tadikanya, terpaksa ditelan sahaja. Azzalea tak kisah sangat dengan kehadiran
Datuk Halim dan Datin Norseha yang sememangnya mesra dan mudah bergaul dengan
mereka. Tidak mengira pangkat dan darjat
mereka yang jauh tinggi daripada dirinya.
Namun
yang membuatkan dia mual apabila terlihat senyuman kerang busuk si Fayyad yang
laju sahaja menyambut pelawaan Emeer tu.
Dah tu tak malu pula mengajak Ammar menemannya ke Pekan Meru membeli
pakaian ganti kerana tidak membawa pakaian tukar. Datuk Halim dan Datin Norseha awal-awal telah
mengarahkan pemandu mereka pulang mengambil pakaian salin di rumah. Bukan la jauh sangat pun Kuala Lumpur ke
Puncak Alam tu, empat puluh lima minit je pemanduan, itu kereta Azzalea
lah. Kalau Mercedes Datuk Halim dah
tentu lagi cepat.
Telekung yang membaluti tubuhnya
ditanggalkan dan disidai pada rak penyidai.
Sejadah ditarik dan dilipat kemas lalu diletakkan semula di rak yang
terletaknya nota-nota kuliah agama, kitab-kitab dan surah Yassin. Azzalea membuka pintu almari mencari pakaian
malam yang sesuai dipakai memandangkan ramai yang ada di rumahnya. Kalau adik beradik sendiri, tak adalah perlu
difikirkan sangat. Dia memilih sehelai
jubah ringkas kain denim berwarna kelabu dan dipadankan dengan tudung yang
sepadan. Wajahnya yang bersih dibiarkan
sahaja tanpa dioles sebarang alat solek.
Lagi pun dah malam, tak payah nak berlawa-lawa pun.
Akhirnya,
Azzalea mengheret juga kakinya melangkah turun ke bawah menyertai keriuhana itu
kerana tidak mahu dicop sombong dan tidak berterima kasih. Gelak ketawa adik-adik bujangnya di luar sana
turut terdengar sehingga ke ruang tamu.
Bayang Dirah tidak kelihatan, agaknya masih di rumah menyiapkan
Iman. Azzlea terdengar tawa dari arah
dapur lalu segera bergerak untuk menyertai mereka.
“Hmmm.. assalamualaikum. Seronoknya ketawa, apalah yang lucu sangat ni
umi,” sapa Azzalea lalu mengucup pipi Umi Ain lembut. Enam pasang mata yang ada di dapur beralih
tertumpa kepadanya. Dengan wajah innocent, Azzalea melabuh punggung di
sebelah Umi Ain.
“Waalaikumussalam. Panjang umur anak umi ni, baru je mengumpat
dah sampai,” usik Umi Ain mencubit pipi anak gadisnya.
“Dah hilang penat ke? Sekejap je Lea rehat.” Ibu Zai menepuk lembut
bahu Azzalea lalu mengunjukkan secawan kopi panas. Azzalea melabuhkan punggung di atas kerusi di
sebelah Umi Ain.
“Okey dah Ibu. Lepas solat asar tadi Lea terlelap sekejap,
tak sangka pula lama terlelap tu.”
“Itulah, tadi Mia ada ketuk pintu
Lea tapi tak berjawab dia kata. Kami dah
agak dah tentu Lea tidur, tu yang tak nak kacau Lea. Dah tahu Lea penat.”
“Eh, umi, ibu dan aunty rehat tak
tadi? Jangan cakap semua duk kat dapur
ni daripada petang tadi…”
“Taklah, kami semua dah sempat pun
tidur lepas asar tadi sekejap. Aunty
baru je join geng dapur ni sebelum maghrib tadi,” jelas Datin Norseha. Gembira dan sangat kagum dengan budi bahasa
anak gadis Umi Ain ni. Memang pandai ibu
mereka mendidik.
“Lea dengar bising-bising diorang
kat luar tu, ingat semua ada kat luar.
Tiba-tiba dengar kat dapur pun ada mesyuarat juga rupanya.” Kata-kata Lea disambut dengan tawa
ketiga-tiga ibu itu.
“Kami ni sibuk bertanya kat umi Lea
ni, bila nak terima menantu. Anak gadis
dah mekar semuanya di taman.” Datin
Norseha berjaya membuatkan anak mata Azzalea membulat penuh walaupun sebentar
tadi dah hampir nak layu pun.
“Itulah, Ibu pun bising juga dengan
umi Lea ni. Lea tu ha, dah bukan setakat
mekar, ranum seranum ranumnya, dah sesuai sangat la tu disunting kumbang.” Hamboi, bahasa kiasan bagai. Ingat aku ni bunga melati, bunga ros, nak
disunting-sunting.
Alamak! Ini dah masuk topik berat ni. Macam mana pula boleh sampai ke topik pecah
kepala nak fikir ni. Aduh, masaklah
macam ni. Tiga lawan satu, mana boleh
menang. Azzalea menggaru kepala yang
tidak gatal.
“Agaknya Lea tunggu putera turun
dari kayangan la tu Kak Zai. Saya ni dah
penat mulut bercakap, tu ha, minggu lepas pun ada orang masuk merisik
bertanyakan si Lea ni. Tak sempat lagi
saya nak berbincang dengan dia ni, sibuk semedang.” Umi Ain menambahkan lagi perisa.
Kalau tadi mata Azzalea membulat
dengan kata-kata Datin Norseha, kali ini bukan kata bulat dah nak terjojol pun
ada mendengar jawapan uminya. Alahai
umi, kenapalah topic ini yang hot
sangat dibincangkan. Dah rasa panas
punggung nak duduk kat dapur ni. Karang,
kalau angkat punggung dikatakan tak sopan pula.
Adui, mana nak cari ayat-ayat killer
nak jawab dengan ibu-ibu kat dapur ni.
“Oh, dah ada orang yang bertanya ke
Ain?”
“Ada Datin. Bukan sekali, dah banyak kali pun yang datang
bertanya. Saya ni bukan apa, lebih suka
bertanya pada empunya diri kalau bab-bab macam ni. Tu kat kampung, sepupu Lea ni pun dok tunggu
respon dia. Penat dah saya ni menunggu
calon yang dia nak bawa balik, dah lebih lima tahun saya menunggu.”
“Err.. Ibu Zai lapar tak, Lea pergi
ambil makanan kat luar ye,” sampuk Lea sengaja mencari helah untuk
beredar. Semakin bernanah telinga
mendengar perbualan mereka yang masih berkisar mengenai jodohnya.
“Huh, tengoklah tu. Bila kita cakap pasal kahwin laju je dia
tukar topik. Bijak je cari helah nak
lari,” bebel Umi Ain disambut dengan gelak ketawa Ibu Zai dan Datin
Norseha.
Tidak mahu menjawab kerana bimbang
akan menambahkan lagi nanah yang sedang menggelegak di telinganya dek topik
terhangat itu, Azzalea hanya membalasnya dengan sengihan ala-ala tak ada
perasaan. Segera kakinya diangkat melangkah
ke luar rumah mencari kelibat Dirah dan Ayesha.
Lagi lama kat dalam ni, lagi parah telinganya hendak menadah
persoalan-persoalan ibu-ibu vogue bertiga
ni.
“Takkan lah tak ada sesiapa Lea ni
Ain?” soal Datin Norseha lagi. Berminat
ingin mengetahui lebih lanjut lagi tentang Azzalea.
“Entahlah Datin, dulu khabarnya ada
dia berkawan dengan seorang lelaki ni tapi tak ada jodoh. Teruk juga kecewanya anak saya tu, sampai
bawa diri merana. Nasib baiklah terjumpa
dek kakak sepupunya Ayesha, dioranglah yang tolong Lea kembali kepada dunia
nyata ni. Lepas tu bila saya
tanya-tanya, dia buat tak reti aje.”
Luahan Umi Ain bernada sayu dalam mengingati rentetan perjalanan anak
gadisnya lima tahun lalu.
“Err, Ain kenal ke dengan budak
lelaki tu?” Soalan Datin Norseha dibalas
dengan gelengan sahaja.
Seketika,
mereka terdiam. Lebih memeranjatkan
apabila melihat linangan air mata yang mula membasahi pipi gebu dan licin Datin
Norseha. Umi Ain dan Ibu Zai mula disapa
rasa aneh. Apakah ada tersilap kata sehingga
membuatkan datin yang cantik jelita itu terkecil hati. Kerisauan mula melanda di hati kedua-dua
wanita itu.
“Datin…”
Wajahnya yang basah dikesat perlahan
dengan tisu yang dihulurkan Ibu Zai sebentar tadi. Hati ibu itu rasa luluh benar mendengar
jawapan Umi Ain, lebih luluh kerana dia amat tahu akan keadaan sebenar yang
telah terjadi. Setelah sendu di hatinya
dapat ditenangkan, Datin Norseha nekad untuk membuka satu persatu kisah di
sebalik kedukaan anak mereka. Hari ini,
dia mahu mereka berkongsi kisah. Hari
ini dia mahu mereka sama-sama mencari jalan untuk kembali menautkan kiambang
setelah biduk berlalu.
“Ain, Ibu Zai.. sebenarnya saya tahu
kisah Lea tu. Mungkin saya tak tahu
kisah selepas mereka berpisah, tapi saya tahu siapa lelaki tu dan kenapa mereka
tak berjodoh ketika itu.” Diam. Dua pasang mata tertumpa pada Datin Norseha.
“Iya. Semua salah saya. Kalaulah saya tahu Azzalea berkawan dengan
Fayyad masa tu, dan kalaulah saya tidak tetapkan tempoh kepada Fayyad untuk
membawa calon menantu untuk saya, semua ni tak akan terjadi. Lea tak akan merana, Fayyad juga tak akan
merana.”
“Iskhhh.. Datin, janganlah salahkan
diri Datin pula. Soal jodoh pertemuan ni
semua urusan Tuhan, siapa kita nak tentukan,” pujuk Umi Ain lembut. Hatinya hiba juga mendengar bicara Datin
Norseha.
“Betul urusan Tuhan, tapi kalaulah
diberi sedikit petunjuk tentu sekali semua ni dapat dihindar. Dulu, sayalah yang telah membuatkan Fayyad
tenggelam punca hingga mengecewakan Lea.
Saya jugalah yang telah menetapkan pertunangan Fayyad dengan bekas
isterinya sehingga Fayyad terpaksa mengecewakan Lea semata-mata kerana tidak
mahu mengecewakan saya dan menjatuhkan maruah kami. Sebab terlalu ingin melihat
anak saya mendirikan rumahtangga, terlalu ingin menimang cucu saya tak nampak
apa yang berlaku sebenarnya.”
“Datin, semua ibu pun ingin anak
mereka bahagia. Kita rasa apa yang kita
buat tu betul, bukan salah Datin tu.”
Umi Ain cuba menyejukkan hati Datin Norseha yang semakin sebak.
“Memang
kita nak yang terbaik untuk mereka, saya pun rasa saya buat yang terbaik. Tapi saya salah Ain, Ibu Zai. Saya salah.
Sepanjang perkahwinan Fayyad dan Nurul Hanina, mereka tak pernah
bahagia. Macam mana nak bahagia kalau
Fayyad memang tak dapat langsung buka hati dia untuk orang lain. Tiga bulan selepas pernikahan, saya
menyaksikan kesuraman hidup Fayyad. Berjambang,
cengkung dan jarang lagi bertegur sapa. Wajah
gembira dan hensem anak saya tu dah bertukar menjadi wajah yang saya tak kenal
lagi. Selepas tiga bulan itulah baru
saya tahu apa sebenarnya yang berlaku, tapi saya pujuk Fayyad untuk teruskan
perkahwinan itu. Saya pujuk Fayyad untuk
berusaha terima Hanina dalam hidupnya.
Saya pujuk dia, minta dia terima perkahwinannya itu perlahan-lahan demi
saya dan papanya,” kata-kata Datin
Norseha terhenti di situ. Dia terdiam
seolah-olah mengingati kembali saat-saat itu.
“Saya saksikan dua tahun anak saya merana kerana saya dan bila dia buat
keputusan untuk berpisah, saya terima.
Saya redha kerana saya tahu, di hati Fayyad memang tak ada orang lain
kecuali Lea. Dia merajuk dengan saya Ibu
Zai. Tiga tahun dia hilangkan diri
Ain. Tiga tahun…. Dia pergi macam tu je,
tak ada khabar berita. Puas Datuk dan
saya cari tapi kami tak tahu kat mana dia pergi. Kami pun cuba cari Lea, mana tahu kalau-kalau
Fayyad cari dia tapi semuanya hampa. Lea
pun hilang macam tu aje. Tahun ni,
tiba-tiba Fayyad balik dan kami tahu, apa pun yang dia ingin lakukan, kami akan
sokong dia. Dia sahajalah anak yang kami
ada, kami tak nak hilang dia lagi.”
Keruh. Wajah manis Datin Norseha
kembali disinggahi palitan sendu yang mencalar.
Tubuhnya dirangkul kemas oleh Umi
Ain yang turut tersedu. Kedua-dua ibu
itu menangis sambil bersandar di bahu masing-masing.
“Saya tak nampak apa yang Lea lalui
sebab dia pergi jauh daripada mata saya.
Dia tak mahu saya lihat sengsara dia tapi nasiblah mak saudaranya tu
selalu khabarkan pada saya tentang dia.
Sekurang-kurangnya saya tahu dia berada dalam keadaan macam mana. Lea ingat saya tak tahu tapi hakikatnya saya
diamkan sahaja kerana tidak mahu dia bertambah susah hati apabila memikirkan
yang saya sudah mengetahuinya.
Alhamdulillah, dia berjumpa dengan insan yang betul dan tinggal di
tempat yang betul untuk merawat hati dia masa tu.” Umi Ain juga turut meluahkan rasa yang
berbuku. Benar, sehingga hari ini dia
tetap merahsiakan apa yang diketahuinya daripada Azzalea.
“Hmmm.. dah la tu Datin, Ain. Dah begitu suratan takdir yang tertulis untuk
mereka. Sekarang ni baik kita fikirkan
apa yang terbaik untuk mereka daripada kita kenang balik cerita lama tu,” pujuk
Ibu Zai. Kematangan Ibu Zai dalam
mengharungi hidup memang tidak dapat dinafikan.
Anak matanya tidak menipu setiap yang dipandangnya.
Pelukan kedua-dua ibu yang kesedihan
itu terungkai. Masing-masing tertawa
akhirnya mengenangkan bagaimana hanya dengan kisah pilu itu seakan mendekatkan
hati kedua-duanya.
“Nasib kita ye Datin..”
“Itulah, bila jadi ibu ni semua pun
kita simpan di sini,” ujarnya sambil memegang dada. Hati ibu mana yang sanggup melihat kesedihan
dan kesuraman dalam hidup anak mereka.
Tiada seorang ibu pun di atas dunia ini yang sanggup membiarkan derita
menghampiri anak mereka malah sehari-harian mereka berdoa andai bisa segala kedukaan
dan segala kepahitan anak-anak biarlah diberikan kepada mereka sebaliknya.
“Saya tak tahulah di pihak Datin
dengan Ain, tapi pada mata tua saya ni saya tahu mereka berdua tu masih punya
perasaan. Saya nampak setiap kali mata
mereka bertembung semacam ada rasa kasih sayang tu terpancar.” Ibu Zai mula membuka cerita.
“Oh, kalau Fayyad tu memanglah. Rupa-rupanya, dia dan papa dia dah berpakat
nak tackle semula Azzalea tanpa saya
tahu. Baru-baru ni je saya dapat hidu
apatah lagi hint yang Datuk beri pun
macam membenarkan aje telahan saya tu.”
“Hmmm.. kalau macam tu kita kena la
tolong budak berdua ni, tapi….”
Kata-kata Ibu Zai terputus di situ.
Masing-masing beralih memerhatikan Ibu Zai yang mula berdiri dan berjalan
mundar-mandir. Alahai, dah macam
Penyiasat Persendirian Kogoro Mouri dalam Detective Conan aje lagaknya. Tangannya disilangkan ke belakang, sambil
mundar mandir mulutnya diherot-herotkan.
Apalah yang difikirkan agaknya.
“Tapi… Lea ni susah sikit kan,”
tebak Umi Ain. Ibu Zai mengangguk-angguk
mengiyakan tebakan Umi Ain tu. Betul dan
tepat sekali. Memang susah sikit dengan
budak Azzalea seorang tu.
“Lea tu saya tengok, dia cuba tanam rasa
benci pada Fayyad tu. Susah jugak nak
lembutkan hati budak seorang ni. Lainlah
kalau Ain tahu cara nak pujuk dia, yelah ibu dia kan, mesti kenal anak dia
macam mana.”
“Hmmm.. Datin, Kak Zai.. saya rasa
kita kena buat rancangan ni. Kalau nak
suruh saya pujuk, memang tak makan samanlah anak yang seorang tu. Dah berbuih mulut saya ni. Nanti saya minta tolong dengan adik-adik dia
yang lain. Ayesha dan Emeer tu pun boleh
juga dibawa berpakat.” Splendid! Macam mana boleh terfikir idea yang cemerlang
tu pada masa itu pun tak tahulah, tapi Umi Ain tahu dia harus lakukan
sesuatu. Mereka!
“Kalau macam tu, kita diam-diam buat
perancangan. Saya on aje.” Datin Norseha juga
bersetuju.
“Tak sabar nak dapat menantu lagi ye
Datin,” usik Ibu Zai. Senyuman manis
gula batu dihadiahkan oleh Datin Norseha.
Berkobar-kobar semangat Datin Norseha dalam rancangan hendak menyatukan
anak-anak mereka. Iyalah, kesilapan lalu
banyak mengajarnya. Hari ini dia ingin
melihat bahagia itu menjadi milik Fayyad dan Azzalea. Harus begitu dengan izin Yang Maha Esa.
*****************
Kasihnya Ibu ~ Sharifah Aini
Kasihnya ibu
Membawa ke syurga
Kasihnya saudara
Masa berada
Berkorban raga
Rela binasa
Berkorban nyawa
Tanda kasihnya
Kasihnya ayah
Sanggupkah berpisah
Dan kasih anaknya
Berkorban nyawa
Biar pun jiwa
Akan tersiksa
Ikhlas dan rela
Asal kau bahagia
Salam penuh kasih sayang...
Kak Yus
27.6.13 @ 8.33am