Saturday 21 April 2012

Mengintai Bahagia ~ Bab 15





            Malam yang semakin lewat membataskan masa bagi keluarga Qaid mengenali Acam lebih rapat.  Mudah benar keluarga itu bermesra dengan Acam walau pun hanya baru sekali bersua.  Lebih-lebih lagi adik Qaid yang hanya setahun lebih muda daripada Acam.  Iyalah, umur pun sudah hampir sebaya, kepala pun sama gila-gila.  Memang boleh masuk sesangat.  Kalau duduk berbual berdua, asyik riuh ketawa sahaja.  Eishh, tak ada dah nak control ayu pun.  Kadang-kadang sampai tersenyum Puan Sahara melihatnya.  Hati wanita itu amat menyenangi Acam.  Walau baru pertama kali berjumpa tapi jauh di sudut hati tuanya, sudah dapat merasakan kemesraan itu.  Andai itulah jodoh Qaid, memang tak akan ada satu alasan pun untuk dibantah.  Berkenan benar di matanya.  Bahkan, sempat juga Puan Sahara berbisik di telinga suaminya tadi dan reaksi yang sama juga diberikan oleh si papa. 

            “Aunty,  saya minta diri dulu ye.  Dah malam ni,” ucap Acam sambil menghulurkan tangan menyalami Puan Sahara.

            “Alah, sekejap je dapat berborak-borak dengan Acam. Tidurlah sini, esok tak ada kuliah kan.”  Puan Sahara melepaskan rasa tidak puasnya dengan hasrat Acam yang ingin pulang.

            “Esok memang tak ada kelas Aunty, tapi esok saya ada projek sikit nak kena buat dengan kumpulan saya.  Pagi pula tu, nanti bising pula mereka kalau saya tak ada,” ujar Acam memberi alasan. 

            “Laa, iya ke.  Kalau macam tu nanti balik Batu Pahat, datang rumah Aunty ye.  Nanti bagi tahu Qaid bila balik, Aunty suruh Qaid pergi ambil.  Boleh Aunty masak sedap-sedap untuk Acam.  Aunty suka dapat borak-borak dengan Acam tau,”  pesan Puan Sahara.  Ada nada sedikit sedih dalam suara itu.  Tubuh Acam diraih lalu dipeluknya erat.  Hendak menangis pun ada Acam rasa saat itu.

            “Alaa.. ko dah nak balik ke Acam.  Tak ada kawan la aku nak borak.  Angah ni bukan boleh buat kawan pun,” sampuk Qalisha, adik bongsu Qaid yang baru menjengahkan diri dari dapur.  Acam mengganggukkan kepala.

            “Hish, anak dara ni.  Kan Acam tu tua setahun dari adeq, mana boleh ko aku ko aku je, panggil kakaklah,” tukas Encik Quzair yang sedang duduk di sofa sambil memerhatikan isterinya yang agak sebak.

            “Betul tu papa.. apalah anak mama ni,”

            “Eleh, tak mainlah kakak mak kak ni, kitorang brutal la mama, papa.. kan Acam kan,”  balas Qalisha lalu merapati Acam.

            “Alah, tidurlah kat sini.  Esok pagi-pagi suruh Angah hantar.  Boleh la.. aku tak ada memberlah.  Nak harapkan Angah tu, huh, hampeh..” pujuk Qalisha.  Beria-ia memek mukanya merayu Acam.  Terseringai senyuman di bibir Acam.  Aloh.. comellah pula wajah anak dara ni bila dibuat begitu.

            “Bukan tak nak, tapi esok memang serius ada project discussion.  Nanti diorang tu kata aku mengelat pula.”  Bukan tidak kasihan pada Qalisha tapi hati Acam masih menidakkan usul untuk bermalam di situ. 

            Wajah cemberut Qalisha diusap lembut oleh Acam.  Rasa sayang terhadap gadis di hadapannya sudah menular ke hati.  Mudah sungguh mesra dengan gadis itu.  Walau pun hanya berbeza setahun, tapi sifat manja dan gila-gilanya memang serasi bersama.  Maaflah, terpaksa menipu tapi tak betah rasanya untuk bermalam di situ.  Kasih sayang yang dihulurkan membuatkan Acam rasa serba salah.  Dia tidak mahu hatinya tersalah membuat pilihan.  Dia tidak mahu kerana rasa terharu dengan kasih yang dihulur dia akan membuat pilihan yang salah dan terpaksa menerimanya sepanjang hidup.  Dia mahu setiap satu yang dipilih berdasarkan rasa yang terbit di hatinya, bukan rasa terharu atau serba salah. 

            Seorang demi seolah ahli keluarga Qaid disalaminya.  Sebelum dia beredar, Puan Sahara sempat menarik tangannya lalu diletakkan sesuatu di atas tapak tangan Acam.  Terbuntang mata Acam melihat pemberian itu.

            “Aunty, apa ni.  Saya tak boleh terima ni,”  ujar Acam menolak pemberian Puan Sahara.  Seutas gelang tangan emas yang ada di tapak tangannya dihulurkan kembali kepada Puan Sahara.

            “Aunty nak bagi ni pada Acam.  Tanda kenangan Aunty, janganlah tolak,” balas Puan Sahara.  Diambil gelang tangan emas itu lalu dipakaikan ke pergelangan tangan Acam.  Memang cantik tapi hati Acam sudah mula berdesah. 

            “Aunty,..”

            “Dah, jangan nak tolak.  Ni niat Aunty nak bagi, ambil je,”  ujar Puan Sahara memintas penolakan Acam.  Tubuh Acam yang kecil itu sekali lagi dipeluknya.  Terasa seperti memeluk anak sendiri.

            Ya Allah, jika ini jodoh untuk anak aku, aku terima sepenuh hati, bisik hati Puan Sahara.  Ada genangan di tubir mata wanita itu.  Hatinya senang melihat Acam, senang jika benar Acam menjadi pilihan Qaid.

            Acam yang tidak betah lagi berlelama di situ, segera mengucapkan salam dan beredar menuruti Qaid yang telah dulu melangkah ke keretanya.  Hati Qaid juga dipalu resah melihatkan harapan mamanya yang terlalu tinggi.  Mama, andai mama tahu betapa sukarnya Angah hendak mendapatkan sedikit ruang di hati gadis ini, tentu mama akan sedih.  Angah berjanji mama, selagi Angah mampu, Angah akan cuba menawan hati gadis ini.  Pertama kali dalam hidup Angah, hati ini dijentik rasa kasih melihat dia.  Qaid melayan rasa hatinya sendiri.  Suasana menjadi sayu dan hening menghantar pemergian Acam. 

            “Qaid, boleh tak ko tolong aku.”  Qaid hanya merenung wajah Acam.  Tak usah kata nak tolong sekali, sepuluh kali pun sanggup Acam oi.

            “Ni, ko tolong pulang balik kat Aunty ye,” kata Acam sambil membuka gelang emas yang tersarung cantik di tangannya.  Dia perasan wajah Qaid yang telah mula berkerut.

            “Janganlah nak kerut dahi bagai.  Bukan aku tak suka, bukan aku tak sudi tapi tolong cakap kat Aunty, aku rasa aku tak layak terima ni daripada Aunty.  Kasih sayang yang dihulurkan pada aku pun dah cukup memadai,”

            “Tapi nanti mama mesti kecil hati bila aku pulangkan ni semula,” balas Qaid.  Ada rasa nada sendu dalam suara lelaki itu.  Dia amat tahu hati mamanya.

            “Ko cakap pada Aunty, bukan aku tak nak tapi nanti kalau aku pergi rumah ko bila cuti semester, baru aku terima.  Ini baru kali pertama, tak layak aku terima hadiah yang mahal macam ni.  Tadi pun anak Aunty Sahara ni dah belikan aku macam-macam.  Aku ni dah jadi macam Maya Karin dalam cerita Pisau Cukur tu pula,” kata Acam memujuk Qaid.

            “Heh, tak ada maknanya ko macam Maya Karin tu,”

            “Tak sama ke?”

         “Mana nak sama, Maya Karin tu cun lebih sikit daripada ko,” usik Qaid.  Cebekan Acam melahirkan tawa Qaid.  Acam juga turut tertawa.  Apalah mamat ni, macam ni ke nak mengorat makwe.

            “Hish, patutlah ko tak ada awek tau.  Nak mengorat pun tak pandai.  Nasib baik aku ni brutal, kalau perempuan lain sorry la, hai hai bye bye,” bebel Acam.  Tawa Qaid masih lagi tidak berkurangan.

            Acam mencapai beg-beg kertas yang mengandungi barangan yang dibelikan Qaid di Ipoh Parade ketika mereka mencari hadiah pagi tadi.  Mengenangkan gelang emas yang dipulangkan semula itu hatinya dipaut rasa gelisah, risau mama Qaid akan terasa hati.  Tapi rasanya, Puan Sahaja pasti dapat menerima alasannya.

            “Nah, ni untuk awak juga,” tegur Qaid sambil menghulurkan satu lagi beg kertas yang agak besar kepada Acam bersama dua beg plastik yang mengandungi bekalan.  Ketika itu mereka sudah pun berada di luar kereta.  Lampu ruang tamu rumah sewa Acam terang benderang dan nampak sangat bayang-bayang rakan-rakannya yang sedang menyibuk memerhatikan mereka di sebalik langsir sliding door.  Hmm, kejap lagi jenuhlah nak menjawab.

            “Apa lagi ni.  Aku penatlah kalau keluar dengan ko ni.  Macam-macam nak dibelinya untuk aku.  Takutlah, nanti terhutang budi tergadai body tau,” usik Acam namun tangannya tetap menyambut pemberian Qaid.  Kalau ditolak, memang seratus peratus mamat tu akan merajuk.  Dah faham sangat peel Qaid tu.

            “Wei, ko ingat aku jahat sangat ke.  Kalau aku jahat, dah lama dah aku angkut ko bawa pergi Selatan Thailand.  Bukan susah sangat pun, dah tentu sah jadi bini aku.  Hish, mulut ko nih, nasib baik anak dara orang, kalau bini aku dah lama ….”

            “Hah, jangan nak mention yang bukan-bukan tu ye,” sampuk Acam mematikan kata-kata Qaid.  Wajahnya yang mencuka mengundang tawa Qaid.  Hish Acam, janganlah ko buat muka macam tu, comel je aku tengok.  Nanti jenuh aku rindu-rinduan Acam oi.  Penat juga ye bermain dengan perasaan sendiri ni, iyalah, nak diluahkan takut pula rosakkan hubungan persahabatan mereka tu. 

            “Ok lah, aku masuk dulu.  Nanti sampaikan salam sayang aku pada semua kat sana ye.  Ingat pesan aku pasal gelang tu, ko jangan belit-belit cerita pula tau.  And thank you for all these..,” ucap Acam sebelum mengucapkan salam perpisahan. 

            Qaid hanya mengganguk dan menghantar langkah Acam yang laju menapak masuk ke dalam pagar rumah dengan pandangan sayu.  Namun hatinya gembira, dapat juga melepas rindu walau pun sekejap melihat gadis itu. 


***************


            “Amboi, seronok keluar yek.  Tak ingat kawan-kawan langsung,” tegur Yanie yang turut sama bersekongkol dengan rakan-rakannya yang lain yang sama-sama dok skodeng di balik langsir tadi.

            “Hmm.. dah puas ke dok skodeng aku?” perli Acam namun senyuman tetap dilemparkan kepada rakan-rakannya itu.  Dia tahu, mereka faham yang dia hanya bergurau.

            “Err..err.. obvious ke kitorang skodeng?” tanya Rita terpinga-pinga.  Alamak, kantoi sungguh.

            “Iyalah.  Kalau pun nak skodeng, tutuplah lampu.  Ini lampu terang benderang, lepas tu dok skodeng balik langsir, nampak makcik oi dari luar tu.  Member aku tu pun dok sengih je tengok peel korang,” balas Acam.  Tergolek-golek dia mentertawakan rakan-rakan serumahnya tu.

            Masing-masing tak tahan menahan gelak, malu juga sebenarnya apabila nampak sangat kepocinya mereka.  Betul jugalah kan.  Nak mengintai tapi terang benderang. 

            “Hmm.. nah ni ada bekal sikit.  Aunty Sahara bekalkan tadi.”  Acam menghulurkan dua beg plastik besar kepada Yanie.  Dia sendiri pun tidak perasan waktu bila Puan Sahara memasukkan bekalan untuknya.

            “Wah, banyaknya makanan.  Ko sebenarnya daripada mana ni?” tanya Rita yang turut mengendeng di sebelah Yanie.  Diorang ni kalau bab makan, memang tak pernah tolak.

            “Aku temankan kawan aku tu pergi kenduri kahwin sepupu dia kat Persiaran Cempaka tu.  Tu nasi dan lauk kenduri pengantin la tu.  Rugi tak makan, sedap gila,”

            “Uii.. aku dengar ada lauk orang kahwin ye..mana?” sampuk Halina yang baru turun daripada tingkat atas. 

            “Ko kan minah, asal dengar makan je laju ko kan,” bebel Rosma yang sudah menatang dulang dan pinggan-pinggan kosong ke ruang tamu.  Dua kali lima je diorang ni.  Pantang jumpa makanan, yang tengah diet pun sanggup cancel diet.  Postpone esok pun tak apa.

            Bukan main seronok lagi mereka malam itu dijamu dengan nasi beriani dan lauk-pauk pengantin yang mewah.  Bukan selalu dapat peluang begini.  Mulut masing-masing penuh dengan makanan namun masih becok mencungkil cerita daripada Acam.  Yanie menyiku lengan Acam sambil memberikan isyarat mata agar lebih rapat kepadanya.

            “Cam, tadi Dzil dua kali berulang ke sini cari ko.  Aku cakaplah yang ko keluar.  Dia kata dah banyak kali dia telefon ko, tapi tak dapat,” bisik Yanie.  Tidak mahu rakan-rakan yang lain mendengar bicara mereka. 

            Laju tangan Acam menyelongkar handbagnya.  Telefon bimbit diteliti.

            “Patutlah hari ni aku rasa telefon ni tak berbunyi.  Bateri kong,” bebel Acam perlahan.

            “Okeylah, korang makan eh.  Aku naik dulu, nak mandi,”

            Biasalah, rakan-rakan Acam kalau dah dapat mengadap makanan, mana nak dihiraukan lagi hal lain.  Kalau gempa bumi ke, tsunami ke tak tentu lagi mereka tu sedar.  Perlahan Acam meninggalkan rakan-rakannya dengan hati yang sedikit gelisah.  Mesti satu hari Dzil tertanya-tanya ke mana dia.  Entah kenapa, hatinya rasa bersalah.  Eh, kenapa pula nak bersalah ye.  Bukan mereka ada hubungan apa-apa pun.  Tapi alasan itu masih tidak mampu menenangkan hatinya.

            Cepat-cepat telefon bimbit dicas semula.  Jam di dinding sudah menunjukkan angka dua belas.  Rasanya tadi dia sampai baru pukul sebelas malam.  Lama juga duduk di ruang tamu melayan karenah rakan-rakan serumahnya.  Tuala yang bersidai di belakang pintu ditarik perlahan.  Kaki melangkah laju ke bilik air namun terhenti apabila suara merdu Pasha kedengaran daripada telefon bimbitnya. 

            “Hello, assalamualaikum,”

            “Waalaikumussalam.  Amboi, seronok berjalan ye,” kedengaran tone agak berlainan suara di hujung talian itu.

            “Err.. awak tak seronok ke berjalan, ke lagi suka merangkak,” balas Acam cuba untuk tidak menegangkan suasana.

            “Erkkss.. loyar buruk pula.  Awak keluar dengan siapa lama betul.  Dua kali saya datang awak tak ada,”

            “Awak ingat tak kawan tempat praktikal saya yang awak jumpa tu?  Dia datang sini tadi, ajak saya temankan dia ke kenduri kahwin sepupu dia.  So saya temankanlah, lagi pun dah jauh-jauh dia datangkan, takkanlah saya nak tolak,”

            “Oh, patutlah.  Sampai telefon pun tak dapat,” rungut Dzil, ada nada perli di suara itu.

            “Yang itu awak jangan salah faham ye.  Serius saya tak sedar bateri habis.  Sampai rumah tadi baru saya perasan bila Yanie bagi tahu saya awak call saya tak dapat,”

            “Iyalah, nak bandingkan saya dengan mamat tu, siapalah saya ni kan,”

            “Awak, saya dapat bayangkan buruknya rupa awak sekarang ni tau.  Kalau letak cuka kat sebelah, masam lagi muka awak.”  Dzil tersenyum mendengar kata-kata Acam.  Ceh, pandai juga minah ni memujuk.  Hajat hati nak merajuk lama sikit pun kantoi.  Alahai, memang tak pernah dapat nak tunjuk perasaan pun kalau bercakap dengan minah ni.  Cair terus.

            “Baru sampai rumah ke?” soal Dzil.

            “Dah lama dah sampai tapi sangkut kat bawah kena inspection dengan sarjan-sarjan pencen kat bawah tu.  Ni baru naik atas nak mandi,” balas Acam.  Hatinya sedikit senang mendengar suara Dzil yang sudah kembali normal. 

            “Oh, iya ke?  Kalau macam tu awak pergi mandi dulu.  Kejap lagi saya call balik,”

            “Ok, nanti call ye.”  Acam menepuk dahinya sendiri setelah talian dimatikan.  Tidak percaya dia yang berkata-kata begitu.  Nanti call ye, iskhhh.. betul ke aku yang cakap macam tu, desis Acam.  Dengan senyuman meleret dia mengheret kakinya ke bilik air.  Sejuk pun sejuklah, mesti kena mandi sebelum tidur.

            Setelah mengenakan pijama tidurnya, Acam berbaring malas di atas katil.  Matanya masih tidak terasa mengantuk apatah dia sememangnya sedang menantikan panggilan Dzil.  Dikerlingnya jam di dinding.  Wah, hampir jam dua belas setengah.  Mungkin Dzil sudah pun tidur agaknya.  Esokkan ada kuliah, pasti tak bangun awal kalau stay up malam-malam.  Fikirannya melayang mengenangkang keluarga Qaid yang sangat mesra dengannya.  Masih terasa pelukan hangat Puan Sahara yang menerimanya sepenuh hati.  Tak mungkin juga dia lupa pada Qalisha yang semakin rapat dengannya walau hanya seketika sahaja.  Ada sahaja bahan yang hendak dibualkan lebih-lebih lagi bila bercerita tentang novel.  Mereka berkongsi minat yang sama rupanya.  Tak sangka pula yang gadis semuda itu sudah mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan enovel.  Link lama web yang diberikan oleh Qalisha tadi dibeleknya. 

            Tiba-tiba Acam teringat barang-barang yang dibawa bersamanya sebentar tadi.  Diambil beg kertas yang mengandungi tudung dan jubah yang dibelikan oleh Qaid.  Dikeluarkan satu persatu lalu digantung cantik di dalam almari.  Kemudian, tangannya laju mencapai sebuah lagi beg kertas yang lebih besar.  Kotak yang tersembunyi di dalam beg itu dikeluarkan lalu dikoyakkan pembalutnya perlahan-lahan. 

            “MasyaAllah, cantiknya,” puji Acam.

            Lampu tidur berbunga ala Inggeris itu memukau matanya.  Sungguh cantik.  Bukan ini ke yang dibeleknya tadi.  Kalau tak silap harga pun dalam seratus lebih juga ni.  Acam teringat ketika di Lovely Lace tadi, Qaid menyuruhnya memilih hadiah untuk pengantin dan lampu itulah yang mula-mula dipegangnya tadi.  Memang dua tiga kali jugak dia menilik lampu itu tetapi dia tidak mengusulkannya kepada Qaid.  Padanya, lampu itu terlalu romantik, segan pula jika Qaid perasan jiwanya.  Huh, malu dowh!  Tapi tak sangka pula yang mamat tu boleh hadiahkan lampu yang sama untuknya.  Mesti si Qaid tu dok perhatikan dia sahaja tadi.  Ceh, macam mana boleh tak perasan. 

            Esok, Acam berkira akan menitipkan mesej kepada Qaid untuk berterima kasih atas segala yang telah diberikan.  Memang susah bersahabat dengan orang yang pemurah ni.  Kalau silap orang, memang dah lama kering poket si Qaid tu.  Acam bukan jenis orang begitu, dia tidak akan sesekali menggunakan hubungan persahabatan mereka untuk kepentingan diri sendiri. 

            Suara Pasha kumpulan Ungu sekali lagi memenuhi ruang bilik.  Tidak sampai tiga saat, telefon bimbit dicapai.  Memang Acam ternanti-nantikan panggilan itu.

            “Tak tidur lagi?” sapa Dzil setelah memberikan salam.

            “Belum,”

            “Tunggu call saya eh?”

            “Iyalah, tadi kan awak yang janji yang call.  Saya tunggulah, nanti ada pula orang tu merajuk.”  Sengaja Acam menegaskan perkataan akhir tu.  Terdengar ketawa kecil di hujung talian. 

            “Seronok ke pergi kenduri tadi?  Ramai orang?”

            “Makan free seronoklah.  Iskh, dah nama kenduri kahwin kan mestilah ramai orang,” balas Acam.  Dia tergelak sendiri mendengar soalan Dzil itu. 

            “Hai, orang tu seronok dapat jalan-jalan.  Saya je yang dok tertunggu-tunggu.  Maklumlah, saya tak ada kereta, yang ada kaki ni ajelah,”

            “Awak, saya tak pernah pandang pangkat ke darjat ke bila berkawan.  Kalau saya gilakan kereta besar orang lain, tak adanya saya sanggup berjalan kaki keluar pergi makan dengan awaklah,”

            “Hmmmm..”

            “Kalau itu aje yang awak nak cakap, okeylah, saya nak tidur.  Good nite.”  Acam mematikan talian telefon.  Hatinya sedikit terguris namun hanya seketika.  Segaris senyuman mula menghiasi wajahnya.  Apakah Dzil cemburu dengannya?  Orang kata kalau cemburu itu tanda sayang.  Iya ke sayang?  Hish, perasaan aku je kot, bisik Acam.

            Bunyi bip mesej masuk mengganggu lamunan Acam.  Pantas dia mencapai telefon bimbit yang baru sahaja dicampakkannya ke tepi bantal.

            Sorry my girl, didn’t mean tu hurt you.  It just so bad thinking of you with someone else and that someone is better than me and worst, impossible for me to compete.  But whoever it is, I only want the best for you even if it needs me to step down from yourlife.. 
           
            Good night my girl, dream of me .. Always yours, Dzil.

            Setiap kata yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu ditenung berkali-kali.  Hatinya dirundung rasa pilu.  

          Dzil, saya tak tahu apa status kita.  Di mana saya di hati awak.  Di mana awak di hati saya.  Tapi yang nyata, ada sesuatu di hati saya setiap kali mendengar suara awak, setiap kali memandang wajah awak dan setiap kali memikirkan awak.  Tapi rasa itu belum kukuh untuk saya bukakan pintu hati ini sepenuhnya.  Kadang-kadang sikap awak yang mengambil berat itu memberi harapan kepada saya. Tapi kadang-kadang sikap ignorance awak ketika bersama gadis berbaju biru itu membuatkan saya rasa bukan sesiapa pun pada awak.  Berilah saya sedikit waktu lagi untuk mencari jawapan yang sebenarnya.  Saya sendiri keliru dengan hati saya!  

     Kata-kata itu hanya mati di situ.  Hanya bantal dan katil yang menjadi pendengarnya.  Dibiarkan bicara hatinya itu dibawa angin lalu bersama linangan jernih yang gugur satu persatu di wajahnya.  Malam itu, biarlah kesepian menemaninya lagi.



Berlindung disebalik wajah selamba
Bagai tiada apa perasaan diantara kita berdua
Lucunya dalam saling berpura-pura
Semua orang tahu kau dan aku
Masing-masing punya rasa yang serupa


Main tarik tali, malu mahu memulakan
Luahan hati kita
Main tarik tali, masih menanti siapa
Mulakan dulu


Dilema didalam permainan ini
Masa terasa panjang
Hingga membuat ku tak tahan tertekan
Lakonan ini semakin membebankan
Terasa ingin saja aku terus terang
Tentang perasaanku kepadamu


Main tarik tali, malu mahu memulakan
Luahan hati kita
Main tarik tali, masih menanti siapa
Mula dulu


Kau atau aku
Memulanya dulu


Ruangan 4 muka dinding keliling
Makin menghimpit kala menanti panggilan darimu berdering
Mengharap engkau jua sedang begini
Dalam kelu resah
Menantikan perucapan yang ku cinta kepadamu


Main tarik tali, malu mahu memulakan
Luahan hati kita
Main tarik tali, masih menanti siapa
Mulakan dulu kita
main tarik tali, malu mahu memulakan
Luahan hati kita
Main tarik tali, masih menanti siapa
Mula dulu


Kau atau aku
Memulanya dulu


Kau atau aku
Memulanya dulu



*****************************************

Salam sayang2 Kak Yus.. maaf ye lewat entry bab 15 ni.  Harap kerinduan kalian pada Dzil terubat dengan n3 ini.. walau pun seketika tapi penuh bermakna..  Maaf jika banyak kekurangan dan kesilapan dlm bab ni, harap sayang2 kak yus sudi drop a few komen utk kak yus..  Enjoy your reading..

Lots of luv
~ Kak Yus ~

16 comments:

  1. phewww... tersiat sikit bila dzil kata dia x de kete tpi ada kaki je.. huhuhu ... best kak! next3.... Nak baca MB 16...

    ReplyDelete
  2. Rinsya darling.. alorhhh.. baru je nak lepaskan nafas lega .. hehehe

    ReplyDelete
  3. Aduhaiii.. Syahdunyer Dzil ni.. Wlpon agak tertawan ngan Qaid.. Tp still menyokong Dzil! Go go Dzil.. ;)

    ReplyDelete
  4. reminder to dzil..

    hadoi dzil, jgn ler ko main tarik tali lelama..harus si qaid yg dpt kang si acam tu..
    nk ke putih mata???

    walaupun suka dgn qaid, tp dzil ttp jd pilihan..uhuk..uhuk..

    ReplyDelete
  5. huhuhu... kak. :) buat masa ni sy tetap suka Acam dgn Qaid. ada sesuatu rasa diantara mereka... chewahhh!!! tp, memang sy suka.

    ReplyDelete
  6. walah2 akak. sian sesangat dgn si qaid tu. mesti hampa mak dia. x de 2nd heroin ke. buat cukup satu sorang. hehe. si dzil ni la macho. rileks jer x sentap. tetapkanlah hati si acam tu. biar x terus ternanti2 si jejaka2 hot tu.

    ReplyDelete
  7. wa..sedih je baca yg last2 tu..

    ReplyDelete
  8. wawawa.... bagi saya Dzil sentiasa romantik dan sweet... like3x... Acam! luahkanlah pada Dzil apa yang terbuku dalam hati tu... keluarga Qaid pula sangat baik... mesti buat Acam serba salah...

    thanks kak Yus... ^^

    ReplyDelete
  9. alahai... x sukernya bila x tau mana 1 pilihanku..huhu.. cian acam.. tersepit...
    kak yussss.... mb 16 plz!!! :))

    ReplyDelete
  10. huwaaaa... suka..suka.. ramai yg tinggal jejak.. semangat nak taip next n3..

    mizz Acu .. wah kuat semangat dzil ye..

    kkk @ yati ~ dzil tu dah ada bunga2 bahasa nyer cuma Acam je lg yg keliru..susah betullah budak tu..

    miza muhd ~ wah..semangat Qaid ye.. rasa cam feeling tu suci je kan.. hehehe

    tni ~ erksss.. nak handle heroin yg sorang tu pun dah cukup penat akak, nak tambah sorang lagi.. huhhhhuuuu

    Alina ~ akak pun sedih jugak taipnya..

    Afifah darling ~ welcome dear.. mmg susahkan.. nak buat pilihan bila kedua2 nya mempunyai kekuatan yg tersendiri.. kat sini merindu, kat sana merayu .. mana satu.. akak pun sama buntu nih..

    Dinda ~ muah3 gak.. sabor ye..semangat..semangat ni..

    ReplyDelete
  11. semangat kak yus... go! go! bayangkan ciskek depan mata... hehehehe :))

    ReplyDelete
  12. Cana ek nak hilangkan icon ne eh yang sebelah kiri ne? hehehe

    Btw saya nak Qaid

    ReplyDelete
  13. Qaaiidd! Qaaiidd! Heheheheh... nak Qaid juga... :)

    ReplyDelete
  14. Anonymous ~ nak Qaid eh??? ok dear.. icon kartun tu dah diremoved.. tq dear.

    Aziela ~ pun fanatik Qaid ye..

    Ayumi ~ tak per, Dzil will be back with more action ..

    ReplyDelete
  15. Cinta sejati perlukan kesetiaan dan kesungguhan..ianya lebih indah dari dilimpahi harta benda...bila tiba saat pengorbanan ...kesetiaan dan kesungguhan itu yang memainkan peranan..hargailah cinta sejati..anda

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com