Tuesday, 18 December 2012

Mengintai Bahagia ~ Bab 28


         

   Seronok bersama keluarga Kak Long yang riuh rendah dengan hanya suara mereka menyakat si kecil Qeira sehingga membuatkan Acam terlupa waktu yang menghambatnya.  Terkejut seketika apabila terpandangkan dada langit yang terang disinari bintang yang bertaburan malam itu.  Indah dan sungguh mempersona.  Lalu jam di tangan dikerling pantas.

“Alahai, dah pukul dua belas setengah ni.  Macam mana nak balik?” bisik Acam sendiri.

            Iyalah, tentu sekali Pak Guard tak bagi masuk ke dalam hostel lagi.  Walau pun hostel mereka tak berapa nak ketat sangat kawalannnya tapi masih lagi ada syarat-syarat tertentu yang harus dipatuhi oleh mereka.  Nampak gayanya kena bermalam juga di rumah Kak Long ni. 

“Huarghhhhh!” sergah Qaid.  Sergahan itu hampir membuatkan jantung Acam terputus.  Mana tidaknya, sedang elok je dia berseorangan di beranda luar tu, tiba-tiba diterjah sebegitu rupa.  Sudahnya, terkekeh-kekeh Acam ditertawakan dek Qaid yang gelihati melihat wajah terkejut Acam.  Pucat lesi.

“Hah, suka.. sukalah lagi biar sampai tercabut gigi-gigi tu ketawa.  Ko buat aku macam tu lagi siap ko.  Aku karate kasi patah empat puluh tahu,” bebel Acam mengurut dada yang masih tersentap tadi.

“Okey..okey.  Aku minta maaf key, aku ingat nak tegur ko tadi tapi bila tengok ko asyik sangat memandang ke langit tetiba je terasa nak usik ko,” balas Qaid dengan tawa yang masih bersisa.

“Yang ko termenung durja tu kenapa?”  tegurnya lagi.

“Boleh lak tanya aku.  Ko dah lupa ke ko kidnap aku siang tadi bawa datang sini.  Tengok sekarang dah pukul berapa, cam mana aku nak balik ni?”

“Errmmm, tidur kat sini ajelah Acam,” sampuk Kak Long yang sedang comel menatang empat mug berisi kopi yang masih berasap.  Dah tentu si kecil Qeira sudah terlena tu, barulah masing-masing dapat mengembangkan kepak dan sayap duduk berbual.

“Jom minum kopi dulu,” jemput Kak Long sambil meletakkan dulang di atas meja taman.  Mug kopi dicapai satu persatu.  Sedap sungguh menikmati aroma segar kopi malam-malam begitu.

“Acam tak bawa bajulah Kak Long.”

“Alah, baju Kak Long kan banyak, pakai ajelah.. mungkin besar sikit je.  Kalau nak yang sedang-sedang elok, t-shirt si Angah ni pun banyak.  Tak besar mana pun badan dia tu, boleh je pinjam.”

“Aah, baju aku banyak.  Ko pilih ajelah nak yang mana, aku kasi terus pun boleh,” sampuk Qaid lalu mata dikenyitkan.  Mengadalah tu.  Tapi hati memang suka sangat dengan saranan Kak Long tu.  Bukan kata t-shirt, kalau gadis di hadapannya itu nak share apa-apa pun dia sanggup bagi.  Nak share rumah, kereta, pinggan, sudu, cawan, malah kalau nak share hati lagilah dia sanggup.  Heh, tak menahan angau mamat seorang ni. 

“Tak apa ke aku pinjam baju ko?” soal Acam ragu-ragu.  Huish, malu gak nak pinjam-pinjam baru orang ni.  Tapi nak buat macam mana, terpaksa jugalah kan.  Itu baru baju tidur, belum lagi adik kakak yang perlu ditukar.  Sudah, haru juga dibuatnya. 

“Bukan takat baju, kalau ko nak pinjam aku pun boleh je,” balas Qaid masih lagi dalam mood mengusik Acam.

“Hampeh la ko ni.”  Serentak dengan itu terdengar jeritan kecil Qaid.  Apa tidaknya, dah kena pijak kaki dek Acam.  Tak malu sungguh nak kenakan dia di hadapan Kak Longnya.  Taulah kakak dia, tapi cover line lah sikit, getus Acam geram.

            Senyuman Kak Long melebar melihatkan kedua-duanya.  Sebiji macam kanak-kanak ribena.  Tak pernah melihat Qaid segembira ini, memang Acam mempunyai aura yang sangat kuat terhadap adik lelakinya yang satu itu.  Dalam hati dia mendoakan kebahagiaan mereka walau pun dia sendiri tahu yang hubungan antara adiknya dengan Acam masih lagi dalam kesamaran.  Tiada kata putus daripada mereka walau pun dia sangat arif tentang perasaan adiknya.  Memang tiada gadis lain lagi dalam hati Qaid, hanya Acam namun mungkin tidak bagi gadis itu.  Apa pun, hanya doa dan harapan sahaja yang mampu dia panjatkan.  Tak kiralah ada jodoh ke tidak, dia akan tetap menganggap Acam seperti adiknya sendiri.  Sudah terlanjur jatuh sayang pada gadis itu.

“Wah, seronok eh.  Sampai ke dalam dengar bising-bising tu.  Abang ketinggalan tren lrt ke?” Tegur Abang Long yang siap berkain pelikat sambil melabuhkan punggung di sebelah Kak Long.  Kopi yang tadinya panas sudah suam-suam kuku dicapai.

“Angah ni duk menyakat Acam, kesian budak ni,” balas Kak Long. 

Lincah tangan Kak Long mengelap sisa kopi yang terlekat di bibir suaminya.  Manja dan romantis sekali.  Acam hanya menjadi pemerhati.  Hatinya tersentuh melihat perlakuan pasangan itu.  Sudah bertahun mendirikan rumahtangga, sudah mempunyai seorang cahaya mata tapi masih tetap seperti pasangan bercinta. Ah, orang lain mungkin akan kata biasalah tu, takkanlah perkara sekecil itu pun nak touching-touching.  Tapi bagi Acam, benda-benda kecil itulah yang akan merencahkan lagi kebahagiaan rumah tangga.  Hek eleh, macam iya-iya je.  Pakwe pun tak de lagi, dah berangan la pula.  Cepat-cepat tumpuannya di fokuskan kepada perbualan mereka.  Nampak Abang Long sedang rancak berbual dengan Qaid.  Entah butir apa agaknya yang dibicarakan, iyalah, manakan tidak, jasad je kat situ, hati dan perasaan memikirkan hal lain.

Penat bergelak ketawa, sudahnya lewat juga mereka melelapkan mata.  Hampir jam dua pagi barulah keempat-empat mereka melangkah menuju ke kamar masing-masing. 

Wuit, sweet dreams eh.  Kalau ko nak mimpi tu, jangan lupa jemput aku sama dalam mimpi ko,” usik Qaid di hadapan pintu bilik tetamu yang menjadi kamar beradu Acam malam itu.

“Sengetlah ko ni.  Mimpi pun boleh jemput-jemput orang ke,” jawab Acam dengan jelingan maut tiga sukunya.  Terlerai tawa Qaid memenuhi ruang.

Hush, slow la bro.  Ko ni, kang entah apa lak kata Abang Long dan Kak Long.  Bangun si Qiera tu lagi hampeh, semua orang tak boleh tidur nanti.”

Oppss. Sorry. Tapi memang tak boleh tahanlah nak ketawa.”  Segera mulutnya ditekup. 

“Dah, aku nak tidurlah.  Kalau ko nak jadi guard pun boleh, tidurlah kat pintu ni,” ucap Acam selamba.

“Eii, kejamlah ko ni ek.”

            Kata-kata Qaid itu hanya disambut dengan tawa Acam yang dikawal dan diikuti dengan daun pintu yang mula merapat.  Tak boleh blah kalau layan mamat tu lama-lama, boleh biul kepala otak dibuatnya.  Selamat malam Qaid, mimpi indah-indah, bisik Acam sendirian.

            Malam semakin pekat, yang terdengar hanya deru angin daripada penghawa dingin yang terpasang.  Acam melayan perasaannya tatkala mata mulai lelap.  Dalam keriangan dan kegembiraan bersama mereka di situ, hatinya tetap terasa kosong dan sepi.  Kosong, seperti ada kehilangan sesuatu.

********************

            Azan subuh yang berkumandang di luar jendela mengejutkan Acam.  Seketika dia  tergamam memerhatikan sekeliling.  Mengumpul kembali ingatannya yang mulai terjaga sama lebih-lebih lagi apabila terlihat t-shirt putih yang dipakainya.  Baju Qaid.  Telefon bimbitnya dicapai lalu diperhatikan sekilas.  Sudah jam enam pagi, dan hari itu dia ada satu lagi kelas yang perlu dihadiri.  Nampaknya memonteng lagilah hari ni.  Nasib baik kelas pensyarah yang tak berapa kisah sangat, kalau kena kelas Prof. Hamdan, mahu kena pergi spa.  Apakan tidak, denda tak masuk kelas je, dua tiga assignment yang diberi untuk disiapkan dalam tempoh seminggu.  Tak nahas tu.  Sengaja cari bala cubalah ponteng kelas Prof. Hamdan tu.

            Subuh yang semakin meninggi mengingatkan Acam akan ibadah yang satu itu.  Segera dia bergerak meninggalkan perbaringan menuju ke bilik air.  Juraian air yang menyentuh tubuhnya sungguh menyegarkan.  Keindahan susun atur di dalam bilik air itu juga mendamaikan.  Bijak benar Kak Long menghias bilik tetamunya sehinggakan hiasan bilik air pun dititikberatkan.  Sekali lagi, perasaan kagum kepada pasangan itu menyelubungi hati Acam.

Subhanallah, sungguh indah ciptaan Allah, fajar yang mulai menyinsing memberi sinar yang cukup indah si sebalik awan yang masih gelap.  Keindahan itu dapat dilihat Acam melalui jendela kamar usai dia mengerjakan solat.  Suasana aman dan damai di kawasan itu sungguh memikat hati.  Jauh daripada kesibukan kota, hiruk pikuk deruman kenderaan yang saban hari menemani hidupnya sepanjang berada di Kampus Twintech itu.  Ketenangan itu menggamit rasa rindunya pada ibu dan ayah di kampung. 

Menyedari hari semakin meninggi, Acam cepat-cepat bersiap.  Selendang panjang yang diberikan Kak Long semalam diselit rapi.  Sekali lagi dia menyarungkan t-shirt Qaid ke badannya.  Agak sedikit longgar tetapi cukup selesa.  Nasib baiklah inner yang diberikan Kak Long semalam muat-muat dengannya kalau tidak melenggenglah lengannya yang putih itu.  Dah dapat satu dosa, mendedahkan aurat walau pun hanya di bahagian yang kecil.  Walau pun nampak remeh, tetapi Acam tetap menjaga peradaban pakaiannya.  Masih kental di ingatannya nasihat Dzil, kalau nak menutup aurat, biarlah tutup keseluruhannya.  Walau pun nasihat itu bukan ditujukan kepada dirinya dan dia pun hanya terdengar komen itu daripada mulut Dzil, namun komen itu dijadikan sebagai nasihat untuk dirinya. 

“Arrghhh.. kenapa pagi-pagi aku dah teringat kat mamat tu?” soal Acam sendiri.  Rasa rindu semakin menular pada nama itu.  Di mana kah dia?  Sudah lama menyepi tanpa khabar berita, membiarkan hatinya terkapai-kapai sendiri.

            Tanpa mahu melayan rasa hati yang entah apa-apa, Acam bergerak ke bawah menuju ke dapur yang sudah terdengar suara-suara di situ.  Melihatkan pakaiannya hari itu, terasa nak gelak pun ada.  Cap ‘malborrow’ ye, kecuali adik kakak dan pants aje.  Senyuman Kak Long menyambut Acam dan lebih-lebih lagi melebarnya melihatkan pakaian Acam.  Bangga juga hati wanita itu Acam sudi mengenakan selendang pemberiannya. 

“Selamat pagi Kak Long, Abang Long,” sapa Acam perlahan.

“Selamat pagi sayang, awal dah turun ni,” balas Kak Long lembut.  Tangan wanita itu masih lincah mengacau kopi di dalam teko. 

            Abang Long yang sudah pun duduk menghadap hidangan pagi hanya tersenyum.  Pantas kerusi ditarik untuk Kak Long.  Sekali lagi hati Acam disapa dengan perlakuan mereka.  Sungguh mengkagumkan pasangan ini.

“Jom Acam, kita sarapan.  Kak Long memang selalu awal siapkan sarapan sebab Abang Long kamu ni tak suka sarapan kat luar.  Mesti nak makan kat rumah dulu,” terang Kak Long sambil menceduk bihun goreng ke dalam pinggan suaminya. 

“Sebab makanan kat luar tu kan kita tak tahu lagi tahap kebersihannya.  Lagi pun Abang Long sengaja nak bagi Kak Long pahala lebih sikit.”

            Jawapan Abang Long mendapat hadiah cubitan kecil daripada Kak Long.  Suka sangat nak menyakat, kan dah dapat.  Tersengih je Acam melihatnya.  Tanpa disedarinya, Qaid juga tersenyum memerhatikan gelagat mereka.  Lelaki itu sudah hampir lima minit menjadi pemerhati.  Sengaja dia berdiri di ambang pintu dapur itu memerhatikan mereka, lebih-lebih lagi hati tersentuh melihat Acam yang mengenakan t-shirtnya.  Eh, T-shirt ‘Hard Rock CafĂ©’ original from Dubai tu.  Baru sekali dipakainya tetapi dia akan rasa sangat gembira kalau Acam ingin menyimpannya terus. 

“Yang Angah dok berdiri macam tugu negara kat situ tu apasal?” Teguran Abang Long yang mula menyedari kehadiran Qaid mematikan lamunan singkatnya.

“Saja, suka tengok orang tu.  Comel je,” balas Qaid sengaja nak menyakat Acam.  Dah jadi hobi pula sekarang ni.

“Eleh, cakaplah nak bagi tau baju dia yang cantik,” ujar Acam dengan cebikkan ala-ala Mak Siti Tanjung Perak.  Berderai tawa besar mereka di situ. 

“Eh, Acam tak ada kelas ke hari ni?”

“Ada Abang Long, satu kelas je pagi ni.  Tapi rasanya kena ponteng kot, kelas start jam lapan kejap lagi.”

“Lorh, kesiannya adik Kak Long ni.  Dah kena ponteng.” 

“Tak apalah Kak Long, kelas tak heavy sangat.  Lagi pun satu kelas je hari ni, esok pun tak ada kelas.”  Segera Acam menenangkan perasaan Kak Long yang mula rasa bersalah.  Iyalah, disebabkan bermalam di rumahnya, dah Acam terpaksa ponteng kelas pula. 

“Wah! Kalau macam tu jom kita balik kampung nak,” ajak Qaid.  Cantik juga kalau dapat balik kampung.

“Abang Long dan Kak Long tak dapat baliklah dik, tapi kalau Angah dan Acam nak balik okey juga.  Lagi pun mama dah lama rindu nak jumpa Acam.  Acam pun boleh balik lepaskan rindu kat ibu dan ayah kan.”  Kata-kata Kak Long menusuk hati Acam.  Memang pun dia rindu sangat pada ibu dan ayah.

“Tapi kena balik kolej dululah, sehelai sepinggan je ni.”

On the way nanti kita shopping je, aku belanja.”

“Hah, orang dah offer nak belanja tu Acam.  Apa lagi, ketuklah habis-habisan,” kata Kak Long lalu berderai sekali lagi tawa mereka.

Akhirnya, sesudah bersarapan dan menitip ciuman kepada si kecil Qiera yang masih lena, kedua-duanya memulakan perjalan pulang ke Batu Pahat.  Sengaja bergerak awal kerana destinasi pertama yang hendak dituju tentu sekalilah shopping mall.  Besar hati Qaid sekali lagi Acam bersetuju dengan pelawaannya.  Bukan mudah gadis itu nak menerima pemberian orang tetapi dengan dirinya gadis itu lebih terbuka.  Semakin mengenali gadis itu semakin membuahkan sayang dalam dirinya.  Saban hari dia berdoa agar terbuka hati gadis itu untuk menerima cintanya.  Tak salahkan, menyulam cinta dalam bersahabat.  Mungkin itu lebih indah.


*******************************************************

Dah lama tak hapdet kisah Acam ni kan.. kepada yg rindukan Dzil, diharap sabar menanti ye.. tak lama lagi Dzil akan memunculkan diri.. sekarang ni Dzil bertapa sekejap, memberi peluang kpd Qaid utk masuk jarum... hehehehee... maaf ye klu tak best.. ada nak komen???

Lots of luv ~ Kak Yus.

Saturday, 15 December 2012

Sengketa Cinta ~ 13


            

Hampir tiga bulan Azzalea keluar daripada hospital, namun masalah antara dia dan Fayyad masih lagi belum terungkai.  Hampir setiap hari juga dia mengharapkan keajaiban berlaku dengan kehadiran Fayyad.  Namun semuanya hampa.  Janji hanya tinggal janji.  Tiada sepatah kata mahu pun secarik berita daripada Fayyad.  Dia semakin hilang dalam tekanan perasaan dan luka yang semakin dalam. 

            Mungkin, inilah yang telah tertulis pada perjalanan sebuah kehidupan bagi seorang gadis yang bernama Amiera Qaireen Azzalea.  Bertemu, berkenalan, berkasih sayang dan akhirnya termanggu dibelit kedukaan.  Mungkin jodohnya tidak tertulis bersama insan yang bernama Iskandar Fayyad.  Mungkin jua hanya waktu yang sesingkat itu ditakdirkan untuknya mengenali dan membina sebuah tugu rasa bersama Fayyad.  Dia tidak pernah menyesal dipertemukan, berkenalan apatah lagi menyerahkan rasa hati pada jejaka itu, tapi apa yang amat dikesalkan dibiarkan terkapai-kapai tanpa sebuah jawapan yang pasti.


Pejam celik pejam celik, hari yang ditunggu-tunggunya datang lagi.  Seawal subuh, dia telah dikejutkan dengan ketukan bertalu-talu pada pintu biliknya.  Huh, tak sempat nak sarungkan baju pun, dah terkuak lebar pintunya.  Memang tak ada orang lain, kalau bukan Dirah.  Pepagi dah buat hal.  Mengetuk pintu bilik orang bagai nak rak.  Nasib baik tak roboh pintu rumah tu.

“Oi makcik, seksi ko,” jerit Dirah yang tersembul di balik pintu yang telah terbuka.

“Heh, tahu pun.  Yang ko pi terjah bilik aku pagi-pagi buta ni kenapa.  Aku baru je siap mandi, bukan ko tak tahu time macam ni memang masa aku bersiram,” balas Azzalea mempertahankan diri.  Iyalah pun, baru je keluar daripada bilik mandi dah diterjah. 

“Sorrylah, aku nak jadi orang pertama yang wish ko.  Happy birthday my best friend forever, semoga semuanya dipermudahkan untuk ko, diberi kebahagiaan dan rezeki yang melimpah ruah dan dipanjangkan umur.”  Seraya itu juga tubuh Azzalea yang hanya dibaluti tuala labuh diraih dan dipeluk Dirah.  Alah, perempuan dengan perempuan pun bukan boleh mendatangkan kemudaratan.  Kitorang ni straight, okey.

“Laaa.. aku ingatkan apa la tadi.  Nak jadi orang first je ke, sampai nak roboh pintu tu.  Terima kasihlah wahai best friend forever, aku pun doakan yang sama untuk ko.  Hadiah tak ada ke?  Kurang-kurang belanja aku makan kat Insaf ke, kat KFC ke,” ujar Azzalea berseloroh.  Terperanjat sebenarnya dengan kehadiran Dirah awal-awal subuh tu.

“Oh, untuk pengetahuan, ko orang ketiga ye yang wish aku.  Malam tadi ibu dah standby kat tepi jam tunggu pukul dua belas tepat nak wish aku.  Lepas tu si Hannan pula yang wish kat aku.  Dia duk temankan ibu malam tadi,” sambungnya lagi.

“Alah, penat je aku bangun pagi-pagi.  Ingat akulah orang pertama.  Tak apa, kalah dengan makcik dan Hannan kira okeylah.”

“Dah tu, jadi tak nak belanja aku?”

“Iyalah makcik.  Ko tunggu aku balik kerja nanti.  Aku jemput.”

“Wah, bertambah-tambah sayang aku kat ko.”

            Perbualan mereka tamat di situ sahaja.  Kalau nak diikutkan memang tak akan pernah habis tapi mengenangkan fajar yang semakin meninggi, maka seharusnyalah perbualan dihentikan dan solat dikerjakan secepatnya.  Kalau di kampung ni, dah tentu riuh mulut ibu bercerabih.  Memang ibu Azzalea pantang betul kalau anak-anaknya melewat-lewatkan solat.  Kata ibu, mereka yang lalai dalam solat iaitu sengaja melengah-lengahkan solat maka Neraka Wail lah tempat mereka.  Kalau dengar kata ibu tentang Neraka Wail, memang amat menakutkan.  Menurut ibu, Neraka Wail itu adalah lembah yang terdapat di neraka jahanam.  Kalau diletakkan bukit-bukit sekali pun ke dalamnya, bukit-bukit tu pun akan hancur luluh kerana terlalu panas.  Tak meremang ke reroma apabila mendengarnya. 

“Wei makcik, aku tahulah birthday ko tapi takkan dressing tak siap-siap lagi.  Tu si Rinsya dah dekat lima minit tunggu kat depan tu,” laung Dirah daripada ruang bawah.

“Ko cakap kat Rinsya tunggu kejap je.  Aku dah siaplah.”

“Bukan tiap-tiap hari ke si Rinsya tu kena tunggu ko, sabar betul makcik tu,” bebel Dirah sambil berlalu ke dapur.

“Alah, Rinsya tu baik hatilah, bukan macam ko, potpetpotpet je kerjanya.”

“Heh, dia belum tunjun dia punya hangin lagi tu.  Naik hangin dia, kena tinggal ko jalan kaki aaaa,” balas Dirah selamba.

“Ko memang arr.  Kata BFF,” rungut Azzalea sambil membetulkan tali pinggang yang dipadankan dengan skirt paras lututnya.  Sempat lagi dia merembat sekeping roti di dalam pinggan Dirah.  Sudahnya jelingan maut dihadiahkan untuknya. 


*******************


            Melimpah-limpah ucapan selamat hari lahir yang diterimanya pagi itu.  Rata-rata rakan sekerja  semuanya mengetahu tarikh lahir Azzalea.  Lagi pun En. Eshan tu memang sayang sangat dengan Azzalea.  Setiap tahun mesti akan diraikan ulang tahun kelahiran Azzalea di bilik mesyuarat kecil di sebelah ruang pejabat Azzalea.  Lima enam orang staf dan pengurus yang rapat dengan En. Eshan juga sering dijemput menyertai mereka.

            Kekusutan dan segala masalah yang membelenggu dirinya dilupakan seketika.  Sehingga tengah hari itu, jauh di sudut hatinya masih menantikan ucapan itu daripada mulut Fayyad.  Adakah dia mengingati hari ini?  Adakah dia mengingati diri ini? Persoalan itu kembali timbul di benak Azzalea.  Dia berharap Fayyadlah menjadi orang pertama yang mengucapkan ucapan itu kepadanya tetapi semuanya hanya tinggal mimpi. 

            Suara-suara yang riuh di ruang legar berhadapan dengan kaunter penyambat tetamu menerkam deria dengar Azzalea.  Bingkas dia bangun untuk menjenguk.  Hmm, hendak juga dia tahu apa halnya yang riuh rendah segala.

“Happy birthday to you, happy birthday to you, happy birthday to Azzalea, happy birthday to you.”  

Serentak dengan itu nyanyian lagu selamat hari lahir kedengaran lantang daripada beberapa orang rakan sekerja.  Turut sama En. Eshan yang berdiri di belakang barisan mereka sambil tersenyum memandang Azzalea yang tergamam.  Satu kejutan yang telah dirancang dengan penuh teliti oleh mereka.  Kek yang masih bernyala lilinnya dihalakan kepada Azzalea untuk dihembus.  Azzalea menarik nafas dalam lalu menutup mata sambil meniup satu persatu nyalaan itu.  Di dalam hati telah berniat agar tahun-tahun akan datangnya dipermudahkan.  Eh, kan orang putih selalu buat begitu.  Close your eyes, make a wish.  Ceh, konon-konon perasan la diri tu macam orang putih sekejap.

Kek yang telah siap dipotong diagih-agihkan kepada mereka yang memenuhi ruang bilik mesyuarat di tingkat enam itu.  Sambil mengunyah makanan sambil berborak, sehingga riuh rendah bilik mesyuarat yang hanya sekangkang kera itu.  Senang hati En. Eshan melihat wajah ceria Azzalea walau pun dia tahu di hati gadis itu hanya ada belati yang membelit.  Dia amat sedar dan memahami perasaan Azzalea yang telah dianggap seperti anaknya sendiri.  Kadang-kadang dia dapat melihat tingkah anak gadisnya yang sedang melanjutkan pelajaran di Muktah University, Jordon dalam jurusan Ekonomi itu ada dalam diri Azzalea.  Seorang gadis yang manja, periang, tegas namun cukup bijak menyembunyikan perasaan. 

“Lea, makan kek tu kasi habis.  En. Eshan order khas ni untuk Lea, Akak yang order semalam.  En. Eshan siap pesan kalau tak ada Red Velvet ni cari sampai dapat, nasib baiklah nombor telefon  si Alycia tokeh The Daily Grind kat Bangsar Village ada pada Akak.  Teringat dulu masa Lea bawa Akak kat sana,” tegur Kak Baiti mengusik Azzalea. 

“Lea makan la ni kak.”

“Makan apanya.  Dari tadi Akak tengok Lea duk merenung je kek tu.  Heh, kalau dengan merenung je boleh kenyang ok gak, save duit belanja Akak sebulan dik oi,” gurau Kak Baiti menggamit senyum di bibir Azzalea.  Ada-ada je Kak Baiti seorang ni.

Sedari tadi diperhatikan sahaja tingkah Azzalea yang nampak kurang ceria di matanya.  Walau pun sekemas mana gadis itu menyembunyikan kesayuan dan kemelut jiwa, namun pada mata tuanya itu tetap tidak dapat disembunyikan.  Apatah lagi setiap hari dia bersama Azzalea.

            Jarang benar orang bercerita tentang hubungan baik antara receptionist dan eksekutif tapi itulah yang terjadi antara mereka.  Walau pun Azzalea berada di executive level dengan tangga gaji yang agak tinggi, namun dia tidak pernah memandang rendah pada rakan staff yang lain.  Hubungan Kak Baiti dan Azzalea memang agak rapat.  Kadang-kadang apabila Kak Baiti bertugas berseorangan ketika giliran makan tengah, Azzalea tidak pernah kedekut untuk membantu cover tugas Kak Baiti jika Kak Baiti perlu ke restroom.

            Hampir jam dua setengah petang barulah masing-masing kembali ke ruang kerja semula setelah sekali lagi mengucapkan selamat kepada Azzalea dan terima kasih kepada En. Eshan yang bermurah hati belanja mereka hari itu.  Setelah membantu Kak Enon mengemas meja mesyuarat, menyusun semula kerusi dan meja bulat itu, Azzalea kembali ke ruang kecilnya bersama beberapa kotak hadiah dan jambangan bunga hadiah daripada rakan-rakan setugas.

“Hah, Lea!”  Tersentak Azzalea dengan sergahan En. Eshan yang tiba-tiba terpacul di muka pintu pejabatnya.

“MasyaAllah En. Eshan, nasib baik tak tercabut nyawa saya.”

“Kalau you nak balik awal hari ni, I okey aje.”

“Ermm.. tak apalah boss lagi pun petang ni housemate I nak belanja I makan,” balas Azzalea terharu dengan keperihatinan En. Eshan.

“Okeylah macam tu, tapi tak payahlah you sibuk sangat nak siapkan kerja-kerja tu.  Banyak hadiah yang you nak kena buka tu, take your time.”

            Wah, ini dah lebih daripada baik.  Tadi belanja Red Velvet Cake dan McDonald untuk semua, sekarang dah bagi time off pula untuk Azzalea.  Memang bijak sungguh En. Eshan ni memujuk hati lara pekerja kesayangannya. 

            Setelah En. Eshan berlalu membawa dirinya ke dalam ruang pejabat, Azzalea merenung satu persatu pemberian rakan-rakan yang memenuhi meja besarnya.  Matanya tertancap kepada jambangan bunga lily putih serta sekeping kad ucapan merah berbentuk hati yang terselit dicelahnya.  Rasanya sebentar tadi dia tidak perasaan akan kehadiran jambangan bunga itu.  Entah bila agaknya ia berada di situ bersama jambangan yang lain.  Segera tangannya meraih jambangan lily lalu kad merah kecil itu dibuka dan dibaca perlahan.  Serentak dengan itu, jambangan lily jatuh ke lantai dan juraian air mata Azzalea tidak dapat dibendung lagi.  Kejamnya dunia.


Azzalea sayang,

Selamat menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-24.  Maaf atas segala yang terjadi.  Saya tidak pernah berniat untuk menyakiti awak.  Melukakan hati awak sama seperit merobek hati saya sendiri.  Tapi saya terpaksa melepaskan awak pergi dengan berat hati.  Bukan kerana saya tidak sayang, tetapi kerana sebuah hubungan yang menuntut pengorbanan hati kita.  Mungkin takdir tidak mahu kita bersama dalam permainan hidup yang kejam ini.  Tabahlah sayang untuk hadapi hari depan.

Mencintai awak adalah perkara terindah pernah berlaku dalam diri saya.  Simpan dalam hati awak selalu yang awaklah kekasih pertama dan terakhir saya.  Maafkan saya sayang menghancurkan hati awak, tapi percayalah hati saya lebih remuk.

Fayyad Iskandar

            Azzalea terpanar di situ.  Tegarnya hatimu, Fayyad. Di saat dia menyambut hari lahir, perutusan merah daripada jejaka itu menjadi belati menikam hatinya.  Tidak tinggal sedikit pun ruang untuk bernafas.  Tidak meninggalkan sikit pun harapan untuk digapai. 

“Ya Allah, mengapa di dalam ini terasa sakit.  Mengapa setelah aku berikan sekeping hati ini kepada dia, tegar dia melukakanku begini.  Tegar dia mencampakkan cintaku tanpa tahu sebabnya.  Kenapa perlu ada kalimah dia mencintai aku tapi cintanya mati di sini. Luka yang kian bernanah tak tertahan rasanya.  Andai ini kehendakMu, siapalah aku untuk menyangkalnya.  Aku pasrah dalam lelah.  Pergilah cinta, kau bawalah ia bersama,” sayu rintih Azzalea sendiri.  Pantas airmata diseka lalu jambangan lily dikutip dan didakap kemas di dada. 

“Fayyad, kau mengajar aku untuk bercinta dan kau juga memperkenalkan aku kepada derita kecewa ini.  Terima kasih kerana telah memberikan aku jawapan untuk menamatkan kemelut rasa,” bisiknya lagi. 

            Hati yang pedih semakin merintih apabila sayup-sayup kedengaran alunan lagu Terlalu Mencintaimu, dendangan Suki yang dipasang di kaunter penyambut tetamu menerjah ke pendengarannya.  Alunan lagu yang semakin membuai rasa sendu.  Benar seperti lirik lagu itu, sakit, perih yang menusuk hatinya saat ucapan itu terungkap, hanya air mata yang mampu dititiskan.  Bagaikan terhimpit selautan langit memberati dada tanpa tahu apa salahnya.

            Dia ingin terus dibuai rasa pilu pada saat itu, biarlah kepiluan itu bersamanya seketika.  Dia ingin terus begitu sehingga hatinya kembali pulih.  Namun entah sampai bila…

Sakit, perih, menusuk hatiku

Saat kamu ucap kata itu
Ku hanya bisa meneteskan air mata
Jatuh rasanya langit ini

Apa salahku

Sampai kau tega tinggalkan ku
Padahal aku telah berikan segalanya
Belum cukupkah dirimu
Rasakan cinta tulus ku
Selama ini hidupku hanya untuk kamu

Benarkah salahku

Ku terlalu mencintaimu
Hingga kau buat aku terlarut kedalam
Mungkin ku tak bisa hidup
Tanpa kamu di sisiku
Ku yakin bisa melewati
Tapi berat sayang

Sakit, perih, menusuk hatiku

Saat kamu ucap kata itu
Ku hanya bisa meneteskan air mata
Jatuh rasanya langit ini

Apa salahku

Sampai kau tega tinggalkan ku
Padahal aku telah berikan segalanya
Belum cukupkah dirimu
Rasakan cinta tulus ku
Selama ini hidupku hanya untuk kamu

Benarkah salahku

Ku terlalu mencintaimu
Hingga kau buat aku terlarut kedalam
Mungkin ku tak bisa hidup
Tanpa kamu di sisiku
Ku yakin bisa melewati
Tapi berat sayang


********************************************************

Maaf ye sayang2.. lama tak hapdet blog, nak naik bersawang dah pun.  Sebenarnya, n3 ni paling susah kak yus rasa nak siapkan sbb ia sbnarnya dekat sgt dengan jiwa kak yus.. bila kak yus taip bab ni.. hati jadi sebak, sukar nak fokus.. so kalau ada kesilapan dan kekurangan mohon kak yus kemaafan ye..  Sengketa Cinta mungkin akan sampai ke penghujungnya di sini dalam beberapa bab sahaja lagi.. doakan kak yus agar segera dapat menyiapkan manuskrip ini.. 

Lots of luv..
Kak Yus.

Monday, 3 December 2012

TABUNG DOA IBRAHIM..




Salam dan selamat pagi kesayangan2 Kak Yus...

Ohh.. kat atas tu bukan tajuk Novel baru ye... uppsss... tapi cerita baru.. ^__^


Pagi ni Kak Yus nak berceloteh sedikit mengenai satu projek yang sedang Kak Yus dan rakan-rakan usahakan.  Kak Yus harap melalui n3 ini, ramailah kesayangan2 Kak Yus yang sudi menghulurkan bantuan serta doa untuk Baby Ibrahim dan saudara-saudara kita di GAZA.

All right, Kak Yus nak bercerita dulu, apa ke bendanya Tabung Doa Ibrahim ni.. asal tujuan ia ditubuhkan.  Tabung Doa Ibrahim ni adalah satu group di fb yang ditubuhkan oleh rakan-rakan kepada ibunda baby Ibrahim iaitu Puan Siti Al’Izah @ lebih dikenali sebagai Salwa bagi yang rapat dengan beliau.  Rakan-rakan ini turut sama merasa kesedihan dan kepayahan yang ditanggung oleh Puan Salwa serta keluarga.

Baby Ibrahim telah dilahirkan pada 5 Oktober 2012, iaitu kira2 2 bulan usianya.. disahkan mempunya 3 lubang di jantungnya dan sekarang masih mendapat rawatan di Hospital Serdang, Cardio Unit.  Beliau mengalami jantung bengkak di sebelah kiri dan tachycardic (jantung mengepam terlalu laju) yang menyebabkan kadar oksigen di dalam darahnya tidak mencukupi.  Beliau dijadualkan untuk menjalani operation pada sekitar Februari 2013 tetapi semuanya bergantung kepada kondisi jantung baby Ibrahim serta faktor kewangan juga.  Buat masa ini kedua2 ibunda dan ayahanda baby Ibrahim telah mengambil unpaid leave untuk menguruskan baby Ibrahim dan anak-anak yang lain.  Sesuatu yang sudah pasti terlalu sukar untuk mereka harungi dugaan yang hebat ini sendirian tanpa support keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan KITA.

Menyedari betapa hebatnya dugaan yang keluarga ini tempuhi, maka rakan-rakan Pn. Salwa telah pun menubuhkan Tabung Doa Ibrahim dalam membantu mencari dana untuk menampung kos-kos perubatan dan perbelanjaan yang harus ditanggung oleh keluarga hebat ini.  Subhanallah, ketika Kak Yus diperkenalkan dengan berita ini.. satu perasaan yang tak tahu bagaimana nak digambarkan menghuni fikiran Kak Yus.  Sehingga hari ini, perasaan ini tak pernah hilang.. semakin hari semakin membuak-buak.. minta agar sesuatu dilakukan demi anak kecil ini.  Setiap kali Kak Yus memandang wajah anak-anak, menyuap makan mereka.. hati Kak Yus tersentuh.. teringat kepada gambar si kecil yang terbaring lesu bersama wayar2 bersirat di tubuhnya.. Jika kita yang melihat sudah terasa ‘hancur dan luluh’ bagaimana agaknya keadaan ibunda dan ayahanda baby Ibrahim sendiri yang setiap hari bersamanya. 

*** oh.. Kak Yus sudah mula hanyut dengan emosi yg kurang stabil setiap kali menulis bab ini…****

(gambar baby Ibrahim yang sedang dlm rawatan)


Projek personal Kak Yus untuk baby Ibrahim ialah JUALAN AMAL T-SHIRT ‘STOP WARS’ yang pada awalnya utk dana GAZA, kita Kak Yus masukkan sekali untuk dana baby Ibrahim.  Sesiapa yang berminat untuk membantu, bolehlah membeli T-shirt ini (seperti dlm pic) sambil menyumbang kepada baby Ibrahim dan saudara kita di GAZA.



Harga T-shirt :  RM25 sehelai
(RM10 daripada harga t-shirt akan disumbangkan kepada GAZA & baby Ibrahim)
Warna T-shirt :  HITAM / PUTIH / BIRU / KUNING / HIJAU / MERAH
Size :  S , M , L , XL , XXL  (SIZE 3XL HARGA LAIN)
KOS POS AKAN DITANGGUNG OLEH KAK YUS SENDIRI (POS DAFTAR) sebagai sumbangan Kak Yus untuk baby Ibrahim.

**Jika ada yang berminat, boleh email Kak Yus – ayeshatajudin@gmail.com   atau PM Kak Yus di facebook --- Yusnida Tajudin  @ sms/wassap Kak Yus di 014-2606904

Kak Yus mensasarkan jualan ini sehingga 10/12/12 – kerana pihak pencetak memerlukan 10 hari utk proses cetakan.


Selain itu.. rakan-rakan di Tabung Doa Ibrahim juga akan mengadakan CARNIVAL 4 IBRAHIM pada 23 Disember 2012, insyaAllah bertempat di dewan MPSJ Puchong Indah (venue akan diconfirmkan sekali lagi).  Kak Yus berbesar hati jika ada mana-mana pihak yang sudi menaja apa-apa sahaja untuk menjayakan Karnival ini malah Kak Yus juga dengan rendah diri dan berbesar hati menjemput semua yang membaca entry Kak Yus ini agar sudi turut serta pada hari tersebut.  Support dan ihsan kalian.. sangat bermakna buat anak kecil ini.  Bermacam acara dan jualan akan diadakan di sana dan sangat sesuai untuk sekeluarga.  Ada aktiviti untuk anak-anak, ibu-ibu serta ayah-ayah pun ada.  Nanti Kak Yus akan hapdet kat sini lagi aktiviti2 yang akan diadakan.. Kak Yus percaya, kalian tentu tidak akan kecewa hadir di sana nanti...

Untuk itu, Kak Yus memohon kepada semua kesayangan2 Kak Yus agar sudilah membantu kami dalam mengumpul dana kepada anak kecil ini.  Sedikit yang kita hulurkan, besar maknanya kepada beliau.  Bantulah baby Ibrahim untuk terus bernafas, agar ada peluang untuk beliau melihat mentari pagi yang bersinar esok, lusa dan hari-hari seterusnya.  Jangan kita padamkan peluang untuk beliau berlari berkejaran bersama saudara-saudaranya .. 

**kisah adik Ibrahim boleh dibaca di  http://superibu.com/2012/10/my-first-homebirth-journey/

Semoga Allah murahkan rezeki kita, permudahkan urusan kita, melimpah ruahkan rasa kasih sayang dalam hati kita dan memberi kebahagiaan dalam hidup kita.  Setiap apa yang kita lakukan, insyaAllah akan mendapat berkat dan balasan daripada Allah.  Jika tidak hari ini, mungkin balasan baik itu Allah berikan untuk anak-anak kita suatu hari nanti.. Wallahu.

Salam penuh kasih sayang drp Kak Yus.
(Kak Yus sgt berbesar hati jika ada kesayangan2 Kak Yus yg sudi mewar2kan n3 ini dgn share/tweet..TQ laling.. )

Saturday, 1 December 2012

Sengketa Cinta ~ 12


            

          Azzalea menghitung hari.  Jari jemari halus nan runcingnya lincah membelek kalendar kecil di atas meja besarnya.  Hampir dua tiga berlalu, dia semakin terasa dipinggirkan.  Entah mana silapnya, entah apa yang telah dilakukannya sehinggakan Fayyad tega melakukan begitu kepadanya.  Hubungan mereka yang baru bermula sudah semakin renggang, jauh daripada jangkauannya.

            Andai benar apa salah dan silapnya, Azzalea tidak teragak-agak untuk menuntut kemaafan.  Dia bukanlah egoistik yang tidak mahu mengakui kesilapan diri.  Namun telah puas dia mencongak dan mencungkil kotak memorinya mencari di mana silap diri, sehingga kini masih tidak ketemu.  Fayyad pula semakin menjauh, setiap panggilannya tidak berjawab malah tidak pernah pun berbalas.

            Fail-fail yang bertimbun di atas meja dipandang sepi.  Mood bekerja semakin hari semakin berkurangan malah badan Azzalea juga semakin susut.  Sukar juga untuk dia menjamah makanan.  Puas Dirah menasihatinya agar jangan terlalu memikirkan permasalahannya dan Fayyad tapi hati tetap degil.  Tidak mahu mengalah daripada terus memikirkan setiap kerumitan yang menampar ruang fikir.  Satu per satu persoalan timbul.  Belum sempat menjawab soalan awal, soalan seterusnya bertubi-tubi menerkam.  Hingga tak mampu ditampung dek akalnya lagi.

            Lingkaran hitam pun sudah mula bertamu di matanya.  Lebam dan kusam wajah yang dahulunya sentiasa ceria dan tenang.  Ada linangan air mata kecil mengalir di pipi gersang gadis itu.  Air mata keliru dan kecewa yang tidak dapat digambarkan.  Sungguh, dia memang memerlukan sebuah jawapan yang pasti sekarang.  Andai itu memang silapnya, dia rela merendahkan diri memohon keampunan.  Cuma sekarang, dia perlukan hanya sebuah jawapan.  Kenapa dia diperlakukan begitu.  Cincin putih di jarinya ditenung.  Lama.  Kenapa wahai hati, sakitnya tak terperi.

“Hmm, Lea awak okey ke tak ni?” tegur En. Eshan yang tiba-tiba berdiri di tepi meja Azzalea. 

            Cepat-cepat Azzalea memalingkan wajah menghadap ke arah skrin komputer lalu mengesat lelehan air matanya.  Tidak mahu segala penderitaan hati diketahui oleh majikannya itu.  Dia sebenarnya tidak menyedari tingkahnya telah diperhatikan lama oleh En. Eshan.  Sengaja lelaki itu tidak mahu menegurnya lebih awal.  Sengaja dia ingin melihat resah dan gundah Azzalea.  Bukan ingin mempersendakan hati gadis itu, tapi sebenarnya dia sendiri tidak tahu apa yang hendak diperkatakan.  Sebagai salah seorang yang agak rapat dengan keluarga Fayyad, serba sedikit desas desus mengenai perkahwinan antara Fayyad dan gadis pilihan keluarganya telah mula dihidu oleh En. Eshan.  Tidak sampai hati untuk memanjangkan khabar angina itu kepada Azzalea.  Hatinya tidak pernah sampai untuk melihat kedukaan gadis itu.  Sedangkan air mata yang dilihatnya tadi pun sudah cukup merobek hati lelakinya.

“Awak okey tak ni?” soal En. Eshan sekali lagi setelah soalannya tadi masih belum berjawab.

“Saya okey,” balas Azzalea lesu.  Tidak mampu memandang terus wajah En. Eshan, bimbang syahdunya dapat dikesan.

“Saya tengok awak macam tak sihatlah Lea.  Apa kata awak ambil cuti beberapa hari.”

“Eh, tak apalah En. Eshan, kan sekarang ni musim closing.  Kalau saya cuti nanti siapa yang nak bantu En. Eshan.  Tak apalah, saya okey.”

“Betul ni?”

“Betul.  I’m perfectly dan hundred percent fit…”

“Kalau dah macam tu, okeylah.  Saya bukan apa, risau tengok awak monyok je kat sini.  Risau kalau-kalau awak tak sihat, kang buatlah awak pengsan kat sini jenuh pulak saya nak mengangkat.  Tak larat saya, nampak je kecik awak tu tapi berat ya hamat,” ujar En. Eshan cuba menceriakan keadaan.  Tersungging senyuman di sebalik wajah suram Azzalea.  Heh, orang tua ni, ingat dia tu ringan sangat ke.

            Melihatkan senyuman Azzalea, hati En. Eshan kembali tenang.  Okeylah untuk masa ni, harap-harap tak adalah mendung berarak lagi buat sementara waktu ni.  Azzalea ditinggalkan sendiri setelah berkali-kali ajakan En. Eshan untuk keluar makan dengannya ditolak. 

            Menyedari zohor telah pun lima belas minit berlalu, segera Azzalea menuju ke surau kecil yang terletak di hujung tingkat bersebelahan dengan pantry Kak Enon.  Sekilas dijelingnya Kak Enon yang sedang enak menyuap potongan kecil buah jambu yang telah dicampurkan dengan sedikit serbuk asam.  Wah, sedapnya.  Kecur juga liur Azzalea.  Perut yang tadinya mogok tidak berperasaan kini sudah mula pandai menunjukkan perasaan.  Bunyi-bunyian kecil mula kedengaran jelas.  Hish, tak boleh jadi ni.  Langkah Azzalea ditukar tiga ratus enam puluh darjah menuju ke arah Kak Enon.

“Assalamualaikum Kak Enon.  Amboi sedapnya makan sorang-sorang,” tegur Azzalea lembut.

“Waalaikumussalam warahmatullah hi wabarakatuh.  Hah, tu dia.  Penuh akak jawab dik oi.  Sedap, nak join ke meh la.  Banyak lagi ni.”

“Malu la Kak Enon.  Lea ni kan pemalu.”

“Hek eleh, sejak bila ko bertukar jadi gadis Melayu terakhir ni Lea oi. Jangan nak mengada-ngadalah dengan akak.  Meh, meh, akak beli tiga bungkus tadi.  Kalau akak nak perabiskan sorang-sorang mahu kembung perut ni.”

“Dah tau tak boleh habiskan, wat apalah yang akak beli banyak-banyak?” soal Azzalea agak pelik. 

Iyalah kan, tiga bungkus nak makan seorang.  Biar betul.  Takkan Kak Enon mengidam kot.  Hish, dah nak masuk lima puluh tahun tu umur Kak Enon, kalau masih mengandung lagi kira terror la tu.  Haish, apa pula yang dia dok merapu ni.  Orang dah jamu depan mata apa lagi, ngaplah.  Lincah je tangan Azzalea mencapai lidi kecil yang terletak cantik di dalam plastic potongan jambu itu.  Satu suap, dua suap, tiga suap…  Sudahnya, hampir separuh plastic selamat dihadamnya.

“Terima kasihlah Kak Enon.  Nanti Lea ambil duit bayar ye.”

“Eh, jangan ngengada la Lea.  Kira akak belanja je.  Ni akak nak tanya juga, ko tadi dah makan ke sebelum makan jambu ni?”  Soalan Kak Enon hanya dibalas dengan sengihan bersalah.

“Laillahailllallah budak seorang ni.  Ko punya bedal jambu tu setengah plastik, perut tak ada alas apa-apa pun.  Bertuah punya budak.  Karang kalau ko sakit perut, ko jangan cakap akak yang racun ko macam jambu ni eh,” bising Kak Enon.  Mahu tak bising, dahlah tak makan apa-apa pun berani pula makan jambu dengan asam yang melimpah ruah tu.  Kalau takat jambu je bolehlah dimaafkan. 

“Err.. tak ada apalah kak.  Okey Kak Enon sayang, terima kasih belanja Lea.  Lea nak solat zohor jap.  Tadi dah retour ke sini sebab tak tahan tengok mulut akak mengunyah jambu dengan penuh perasaan,” balas Azzalea lalu cepat-cepat berlari anak meninggalkan Kak Enon.  Kalau tak lari sah-sah ketam mak tiri akan naik ke pahanya.  Siapa tak kenal Kak Enon, sepit ketam kuat.

            Dari surau kecil itu terdengar tawa Kak Enon yang meleret.  Sekurang-kurangnya lima belas minit yang diluangkan bersama Kak Enon sebentar tadi mampu mengubati hatinya.  Mujurlah tidak ramai di surau ketika itu.  Solat Azzalea penuh khusyuk dah tawwaduq.  Sujud terakhirnya diiringi dengan doa yang dimunajatkan di dalam hati.  Mohon agar Allah membuka ruang yang luas untuk menyelesaikan simpulan persoalan yang semakin banyak dan merungsingkan.

Usai menunaikan solat zohor, Azzalea masih lagi berteleku di hadapan komputer peribadinya.  Mood untuk menyambung kembali tugasannya semakin merudum.  Huruf-huruf yang dilihatnya juga semakin samar.  Kemudian nampak seperti berterbangan satu persatu huruf-huruf yang tadinya kemas teratur.  Bintang-bintang kecil sudah mula kelihatan.  Saat itu juga tekak Azzalea terasa loya manakala badannya pula sudah terasa ringan.  Terapung-apung di awangan.  Gelap!

**************************



“Semua ni salah saya.  Kalau bukan kerana saya, awak tentu tak jadi macam ni.”

“Lea, bangunlah.  Maafkan saya.”

            Suara itu kembali lagi menampar cuping telinganya.  Berkali-kali dia cuba menangkap satu persatu perkataan yang dituturkan namun masih gagal.  Otaknya masih gagal berfungsi sepenuhnya.  Hanya desahan suara itu yang berjaya menembusi deria telinganya saat itu.  Mata yang masih memberat digagahkan juga agar terbuka.  Sekali cubaan gagal.  Kali kedua juga masih gagal.  Namun kali ketiga, sepenuh kudrat diberikan barulah kelopak matanya terbuka perlahan.  Masih samar-samar pandangan matanya.  Putih. 

            Otak Azzalea mula berfungsi sedikit demi sedikit.  Di mana dia sekarang?  Di sekelilingnya kelihatan serba putih.  Matanya memerhati ke atas, ke ruang siling yang luas.  Seketika, dia mula terasa panas yang menjalar di tangannya.  Kemas dan kejap.  Perlahan dia meleraikan genggaman tangan kasar yang berada di atas tangannya.  Kalau dulu mungkin genggaman itu mampu menyejukkan hatinya yang panas, meredakan resah gelisahnya.  Tetapi hari ini genggaman itu hanya mengundang lebih banyak derita di hatinya.

            Fayyad tersedar apabila terasa tangan kecil Azzalea direntap lembut.  Segera kepalanya diangkat lantas terus dia merenung wajah suram gadis yang terbaring lesu di perbaringan itu.  Sedih dan tersayat hatinya melihat Azzalea pertama kali kakinya dijejakkan di bilik itu.  Sampai beginikah deritanya gadis itu.  Dia tidak sanggup lagi menambah kekecewaan di hati Azzalea.  Dia harus melakukan sesuatu. 

“Apa awak buat kat sini?” soal Azzalea lemah.  Terkejut sebenarnya dengan kehadiran Fayyad yang tak diundang.

“Kenapa awak dera diri awak sampai macam ni?”  Sudahnya, persoalan dibalas dengan persoalan.

“Saya rasa soalan tu awak yang lebih tahu jawapannya.”

            Diam.  Masing-masing kelu melayan perasaan.  Azzalea masih menyimpan sekam di dada.  Fayyad pula tercari-cari kata-kata yang hendak diluahkan.  Serba tidak kena.  Dia tidak tahu di mana hujung pangkal untuk menerangkan kemelut yang melanda jiwa mereka.  Dia sudah melihat sengsara yang ditanggung hingga membawa gadis kesayangannya ke perbaringan itu.  Dia tidak mahu setiap kata-kata yang bakal diungkapkan akan lebih mengguris hati Azzalea.  Tidak mahu lebih mengusutkan keadaan.

“Saya minta maaf awak.  Saya yang menyebabkan semua ini terjadi.  Semuanya salah saya.  Saya penyebab awak jadi macam ni,” ujar Fayyad.  Perlahan namun cukup jelas.  Ada nada sebak dalam suara lelaki itu.

“Kenapa dengan kita?”  Azzalea tidak mampu menahan rasa lagi.  Air mata yang dibendung lama semakin hilang kawalan.  Bercucuran juga akhirnya.

“Saya akan betulkan segalanya,” balasnya tanpa menjawab persoalan Azzalea. 

Jari Azzalea kembali diraih walau pun Azzalea cuba mengelaknya.  Lantas jejari sejuk Azzalea dikucup lembut dan tanpa disangka Fayyad kembali merebahkan kepalanya di birai katil.  Ada sendu yang berlagu di situ.  Azzalea kaku.  Tidak menjangkakan yang lelaki itu turut sama menanggung siksa dengan apa yang terjadi.  Apa sebenarnya yang telah menjadi batu penghalang bagi hubungan mereka.  Apa sebenarnya yang membelit hubungan mereka sehingga mereka lemas tidak mampu bernafas.  Kenapa persoalan demi persoalan tak mampu terlerai, malah makin tersimpul mati.  Mati tanpa sebarang jawapan!

Akhirnya, Azzalea ditinggalkan Fayyad dengan renungan mata yang redup.  Namun di sebalik panahan redup anak mata itu, tersembunyi sesuatu yang mengusik jiwa Azzalea.  Entah apa yang disembunyikannya.  Entah apa permainan yang cuba dimainkan oleh lelaki itu.  Azzalea sungguh tidak mengerti. 

Azzalea hanya merenung tajam dedaun pintu yang tertutup rapat.  Seolah dia menghantar pemergiaan Fayyad yang penuh tanda tanya dengan pandangan matanya.  Dia sendiri pun masih tertanya-tanya siapakah yang telah menyampaikan berita dia dimasukkan ke hospital kepada Fayyad.  Agaknya, jika tidak kerana insiden kecil ini, sudah tentu dia tidak akan dapat bertemu lagi dengan Fayyad.  Dia dapat merasakan Fayyad semakin jauh daripadanya.  Jauh dan terus menjauh.

Ya Allah, apa yang telah terjadi dengan kami?  Apakah yang telah Engkau tuliskan untuk kami?  Perit dan berat bahu ini memikul rasa yang semakin lemas.  Luka dan parah hati ini menanggung siksa yang semakin menggunung.  Hendak menangis, air mata sudah hampir kering.  Sesungguhnya Tuhanku, aku meletakkan segalanya kepadaMu.  Azzalea berbisik sendirian, berlawan kata dengan hatinya.

Tidak mahu terus menerus diamuk perasaan, Azzalea kembali kea lam nyata.  Alam yang sedang dihuninya kini.  Di perbaringan itu yang menyedarkan Azzalea tentang banyak perkara yang telah terlepas olehnya. Azzalea  mengerling jam kecil yang tergantung di dinding berhampiran katilnya.  Sudah hampir jam tujuh empat puluh malam.  Maghrib sudah menghambat waktu untuk pulang.  Melihatkan wayar yang bersirat di tangannya serta botol air yang tergantung, ditambah pula dengan badannya yang sangat lemah, dia tahu dia tak mungkin dapat menampung badannya untuk ke bilik air.  Pantas tangannya mencapai tuala kecil yang terlipat di atas meja sisi lalu melilitkan kain itu menutupi kepalanya yang terdedah. 

Kata-kata ibu agar menjaga solat menjadi azimatnya.  Dalam keadaan terdesak begitu, Azzalea tetap mendirikan solat di perbaringan.  Demi menjaga waktu solat dan menunaikan tanggungjawabnya.  Semoga Allah menerima ibadahnya yang satu itu.  Semoga ada sinar untuk dirinya esok, lusa dan hari-hari seterusnya.



****************************************************

Selamat menyelami n3 kali ini..  kadang2 tak semua yang kita sangka indah itu akan berkekalan.. ada masa mendung tiba jua..  segalanya kita serahkan kpd takdir.  Semoga sayang2 terhibur dgn n3 ini... sudi2lah drop komen sbgai pembakar semangat k.yus ye..


Salam kasih sayang... 
~ Kak Yus~


 

Blog Template by YummyLolly.com