Sunday 24 March 2013

Sengketa Cinta ~ 20


           Salam sayang2 Kak Yus...  rindu pada Azzalea?  Jom.. kita ikuti lagi..




          Volume radio dipasang kuat.  Biar pecah gegendang telinga pun tak apa, asalkan tak membingit dengan deringan telefon yang daripada tadi tak henti-henti berbunyi.   Menyakitkan hati betullah, dah la jalan sesak dengan kereta bersimpang siur kat depan tu.  Itulah, dulu puas si Dirah bising suruh beli kereta automatik, tapi gatal kononnya tak pandai.  Nak juga kereta manual, sekarang rasakanlah azabnya apabila memandu dalam Kotaraya Kuala Lumpur yang asyik sesak gila ni.  Tak kira hari waima hujung minggu pun sesuka hati je nak sesak.  Abang Emeer dan Kak Ayesha ni pun satu, binalah rumah jauh daripada bandar.  Ni tak, nak juga duduk kat Kuala Lumpur tu, macam tak ada tempat lain nak duduk.  Heh, yang ko emo tak tentu pasal ni kenapa lak Lea oi, gerutunya sendiri.  Tersungging juga sengihan di bibirnya. 

            “Hish, mamat ni tak reti-reti ke aku dah cakap tak nak,” amuk Azzalea sendiri sambil menekan punat kekunci telefon setelah tidak tahan dengan deringan yang tak henti.

            “Ye, ada apa lagi awak ni?”

            “Saya nak jumpa awak sekali je, please,” terdengar suara di hujung talian masih memujuk.

            “Awak ni tak tahu nak mengalah ke.  Tak faham bahasa Melayu ke?  Awak nak saya cakap apa lagi, bahasa apa lagi?  Kalau saya kata saya tak nak jumpa awak, tak nak lah.  Saya penatlah nak melayan awak ni.” 

Kan dah kena.  Nada suara Azzalea sudah mencapai oktaf yang bertaraf mahaguru, hampir-hampi tertinggi la tu.  Nasib baik semua tingkap dinaikkan sepenuhnya, kalau terbuka mahu orang sebelah menyebelah ternganga melihat api kemarahan Azzalea.  Sabar pun ada hadnya, ni dah dikira harassment, tak henti-henti mengganggu.

Please, sekali je saya nak jumpa.  Kenapa awak susah sangat nak terima pelawaan saya?”

“Berapa kali saya nak cakap, hati saya tak terbuka untuk jumpa siapa-siapa pun.  Saya senang dengan hidup saya macam ni, so awak jangan ganggu saya.”  Tegas!  Memang susah nak dicairkan hati waja wanita itu.

“Lea, please.  Give me one chance,” rayu lelaki itu penuh mengharap.

Please mak lis, awak dengar ye, ini kali akhir saya cakap.  Jangan ganggu saya lagi, kalau tak saya buat laporan polis awak mengganggu ketenteraman hidup saya.  Saya tak teragak-agak tau!”  Talian diputuskan. 

Panas!  Panas!  Suhu penghawa dingin diturunkan lagi, biar semakin dingin.  Panas badan bolehlah didinginkan dek penghawa dingin tu, panas hati siapa nak sejukkan. 

Nasib baiklah kesesakan lalulintas di Jalan Sungai Buluh - MRR2 sudah semakin baik, kalau tidak harus ada kereta yang ditinggalkan tersadai di tengah jalan raya tu.  Ini baru sesak sikit kat sini, belum lagi kat Manjalara tu nanti.  Nak menghala ke Bukit Segambut tu, mahu tak mahu kena tempuh juga dua lagi kesesakan.  Kenapalah nak sangat beli hartanah kat tempat-tempat macam tu ye, beli ajelah kat Puncak Alam ke.  Bukan tak besar pun kawasan tanah lot banglo tu.  Murah pun iya juga kalau nak dibandingkan dengan harga hartanah di tengah kotaraya tu.  Heh, ko ni Lea, dah tentu-tentu nak berulang-alik Puncak Alam- Kuala Lumpur tu ambil masa lebih kurang empat puluh lima minit.  Takkanlah Abang Emeer tu nak habiskan masa atas jalan raya je.  Bukit Segambut dengan pejabat Abang Emeer yang terletak di Mont Kiara tu dekat aje pun, tak sampai sepuluh minit pemanduan.

Telefon bimbit Azzalea berdering lagi, lebih nyaring tanpa henti.  Hendak sahaja Azzalea mencapai telefon itu dan membalingnya ke bawah.  Eh, eh… apa pasal pula nak lepaskan marah pada telefon yang tak berdosa tu.  Nanti rosak siapa yang susah?  Siapa yang nak kena keluarkan duit beli baru?  Haku juga…

“Eii, awak nak apa lagi hah?” jerkah Azzalea kuat.

“Oii.. pekak telinga aku.  Ko ni apehal makcik?  Ko mengamuk sakan dengan siapa ni?”  Terdengar suara perempuan seakan-akan menjerit di hujung talian.  Terkekeh-kekeh Azzalea tertawa, gelihati pula.  Kesian kat Dirah yang menjadi mangsanya, ingatkan lelaki tu lagi.  Alahai…

“Opss.. sorry la laling.  Aku ingat mamat sengal tu lagi yang telefon aku, rupanya Ah so yang telefon aku.”

“Chop, chop.  Mamat sengal mana ni?  Wah, ada hot story ni, cepatlah cerita kat aku.”

“Banyaklah ko punya cerita, aku tengah drive ni.  Ko kat mana?”

“Aku lagi setengah jam sampailah.  Mr. Hubby aku jumpa kawan dia kejap.  Weh, nanti ko cerita kat aku kat rumah Kak Sha eh.”

“Err, tengoklah.”

“Banyaklah ko punya tengok.  Aku tengok ko sambil cerita oklah.”

“Blah la ko Ah so..”

“Heh, Ah So pun kiut tau, montok dan gebus je ok.  Ko tu jangan emo sangat, cepat tua nanti Amoi.”  Cepat-cepat talian dimatikan apabila terperasan kehadiran seorang lelaki berpakaian seragam polis trafik sedang berdiri di tepi jalan sambil tangannya melambai-lambai ke arah kenderaan yang lalu lalang.  Nasib baik sempat letakkan telefon, kalau tidak melayanglah tiga ratus ringgit.  Alahai, hensem juga abang polis ni.  Gatal!




Suzuki Swift berwarna kuning berjalur putih perlahan memasuki perkarangan banglo tiga tingkat yang tersergam indah di atas bukit yang dipenuhi dengan rimbunan pepohon yang menyegarkan.  Jarak antara rumah di kawasan itu agak jauh juga, lebih privacy kata orang.  Swift diparkir bersebelahan Mini Cooper Ayesha yang juga berwarna kuning berjalur putih seperti kereta Azzalea.  Sebenarnya, sengaja Suzuki Swift dicat sama warna dengan Mini Cooper Azzalea, ambil feel la katakan.  Nak beli dan bawa Mini Cooper tu berangan ajelah.  Tak mampu hoi.  Bukan murah-murah, Suzuki Swift ni pun dah dikira mahal.  Kalau ikutkan Azzalea, Kelisa atau Kancil pun dah cukup untuk dirinya seorang.  Bukan ada sesiapa pun yang nak dibawa bersama.  Sekadar untuk dipandu dalam bandaraya Shah Alam atau Kuala Lumpur atas urusan tadika dan taska serta pulang ke kampung, apalah sangat.  Namun, biasalah Abang Emeer tu, mana nak dengar cakap orang.  Kalau kata dia, kata dialah.  Sama geng je dengan Kak Ayesha tu! 

Seminggu setelah Azzalea menyuarakan hasrat untuk membeli kereta, Abang Emeer dah pun selesaikan semuanya.  Malah, bayaran muka dan pinjaman bank pun semua Abang Emeer yang uruskan.  Azzalea hanya perlu tandatangan surat perjanjian, borang loan dan bayaran ansuran setiap bulan.  Itu pun tak sampai lima ratus sebulan.  Siapa yang tak nak?  Pejam celik dah hampir lima tahun usia Swift kesayangannya tu.

Belum sempat Azzalea keluar daripada perut kereta, kelihatan dua kanak-kanak berlari riang berkejaran ke arahnya.  Pantas sahaja kedua-duanya memeluk kaki Azzalea yang panjang apabila pintu kereta dibuka.  Kalau dulu sepasang kaki berkulit cerah itu sering dibiarkan terbuka dan sering juga sepasang kaki itu menjadi bahan usikan jejaka yang pernah dipujanya.  Long legs, itulah yg digiatkan oleh jejaka itu setiap kali dia mengenakan skirt paras lutut yang menjadi pakaian formalnya.  Ah, itu semua lima tahun dahulu!  Semuanya telah berlalu.  Kini Azzalea bukan lagi Azzalea yang dulu, Azzalea kita telah dilingkari hidayah Allah.  Menutupi batas aurat yang wajib dijaga dan hanya diserahkan pada pandangan yang berhak.  Ya Allah, Kau ampunilah hambamu ini yang telah banyak tersasar.

Rangkulan kedua-dua anak kecil itu dieratkan lagi.  Ciuman dilayangkan di pipi kedua-duanya. 

“Ibu dan ayah mana?” 

“Ibu kat dalam rumah la Chik Lea, ayah ada kat belakang rumah, sedang bakar ayam,” jawab Eizleen yang semakin cerdik.  Iyalah, dah masuk tahun tiga pun, semakin pintar dan cerdas aje.  Dengar katanya pelajar cemerlang setiap tahun.  Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.

“Ok, mari tolong Chik Lea keluarkan barang-barang daripada boot kereta.”  Kedua-duanya mengangguk, teruja hendak mengetahui apa yang dibawa. 

“Adik! Adik! Tengok ni, Chik Lea bawa apa ni,” jerit Eizleen kepada Aqyem yang leka dengan lollipop yang diberi oleh Azzalea sebentar tadi.

“Apa, nak tengok…” rengek anak kecil itu lebih teruja.

Kotak bertingkap plastik dibawa keluar daripada boot kereta lalu diserahkan kepada Aqyem.  Apa lagi, bersorak rianglah tatkala mendapat barang kegemarannya lalu tubuh Azzalea dipeluk.  Azzalea merendahkan badannya, melutut di atas tanah memberi ruang kepada anak kecil itu memeluknya lebih erat.

“Aqyem suka?” soalnya lembut.  Kepala anak kecil itu diusap sayang.  Satu ciuman dilayangkan di pipi Azzalea menandakan anak kecil itu sangat menyukai hadiahnya.  Azzalea tersenyum senang. 

“Kakak punya?” Wah, pandai pula si Aqyem tu bertanyakan untuk kakaknya.

“Ini kakak punya kan Chik Lea?” kata Eizleen membantu Azzalea menjawab soalan Aqyem.  Kotak yang mengandungi set  enam orang anak patung Mattle Barbie Fashionista Ultimate dikeluarkan.  Segaris warna kegembiraan melakari wajah anak gadis itu.

Azzalea memang tahu sangat kegemaran Eizleen.  Mengumpul koleksi anak patung Barbie dengan rekaan fesyen yang pelbagai.  Kak Ayesha pun sama naik je dengan anak gadisnya ni, siap dibina satu sudut khas untuk diletakkan kesemua koleksi tu. 

“Okey, dah ambil semua barang-barang kat dalam boot Chik Lea tu? Jangan ambil hadiah je, ambil sekali barang-barang yang lain ye,” usik Azzalea.  Seronok menyakat anak-anak yang manja ni.

“Chik Lea tidur kat sini tak?  Mana beg Chik Lea?”

“Hmm.. ada kat seat belakang tu.  Tak pe, nanti karang Chik Lea bawa naik, kita bawa yang ni je dulu ye.” 

Beg-beg plastik yang mengandungi buah-buahan dan beberapa jenis makanan sejuk beku yang dibelinya sebentar tadi dicebet lalu ketiga-tiganya berlalu menuju ke belakang rumah.  Kelihatan kepulan asap kecil mencari ruang di udara dan aroma kayu arang dibakar sungguh menyenangkan.  Suasana petang yang damai ditemani cuaca redup memang sesuai untuk acara makan-makan mereka.  Susun atur meja taman dan bangku-bangku yang diikat riben purple sungguh menawan.  Rajin pula Kak Ayesha mendekorasi meja dan semua kerusi tu, puji Azzalea. Emeer yang menyedari kehadiran kedua-dua pengarang jantung hatinya tersenyum lebar.  Malah dia juga menyedari kehadiran Azzalea bersama mereka.



“Wah, rajin Abang Meer.”

See the leg la.”

“Eii, tak nak, tak sanggup.”  Pecah berderai tawa kedua-duanya.  Malah Mak Jah yang membantu Emeer juga turut tertawa dengan lawak mereka.  Hish, kalau dah berjumpa habislah tak kering gusi.  Itu belum masuk Ayesha lagi.  Nanti sampai pula Dirah.  Kalau Pipah pun ada sama, lagi haru.  Memang minta nyawa la aku nampak gayanya, gerutu Mak Jah. 

Semenjak Aqyem dilahirkan, Mak Jah telah meminta izin dengan Datin Salina untuk terus menetap bersama Emeer dan Ayesha.  Kasihnya telah tertumpah kepada pasangan suami isteri dan anak-anak ini.  Lagi pun semasa Ayesha melahirkan Aqyem terdapat sedikit komplikasi kecil yang memaksa Aqyem dilahirkan melalui ceaserian.  Placenta Previa yang dialami Ayesha ketika mengandungkan Aqyem akhirnya sampai ke tahap sepenuhnya.  Kalau orang tua-tua kata uri berada di bahagian bawah dan selalunya bayi akan menyongsang.

Di rumah besar milik Emeer ini, tugas Mak Jah pun bukanlah banyak sangat, cuma tolong menjaga dua budak kecil yang semakin membesar.  Kerja-kerja rumah pula ada Hanim, pembantu rumah yang datang setiap hari ke rumah besar itu.  Hanim tinggal di kawasan Segambut Tengah sahaja, lebih kurang sepuluh minit perjalanan ke Bukit Segambut.  Selain mengemas, membersih dan mencuci pakaian, Hanim hanya perlu memasak makan tengah hari untuk Mak Jah, Ezleen, Aqyem, Pak Mat yang bertugas sebagai tukang kebun dan diri Hanim sendiri.  Makan malam akan disediakan sendiri oleh Ayesha apabila pulang ke rumah. 

“Abang Meer, Kak Sha mana?” 

“Kat dapur agaknya.  Bising dah kakak kamu tu Lea, tunggu sosej dan sos mashed potatoes dia tak sampai-sampai.”

“Adehh.. tadah telingalah Lea nampaknya Abang Meer oi.  Siapa nak tolong Chik Lea ni?”  Sempat lagi nak minta tolong dengan Eizleen dan Aqyem yang sudah pun mengangkat ibu jari kepadanya.  Hamboi, dah dapat hadiah satu sorang nak kenakan kita pula ye!  Cepat-cepat Azzalea ke dapur mencari Ayesha membawa sekali semua barangan yang dibelinya tadi. 

Memang seperti yang sudah dijangkakan.  Kedatangannya pasti akan disambut dengan bebelan Ayesha, sabar ajelah telinga. 

Pohpaleh, ingat awok mari esok.”  Tu dia, loghat Pekan sudah keluar.

Kawan lambat sikit je, poh awok ni pedooh lalu nok beleber.  Kawan nyinggoh pasor la doh awok pesan menda-menda ni.”  Heh, ingat dia seorang je yang terror, aku pun boleh juga la.  Beberapa bulan tinggal di Pekan bersama Mak Long Yati dan Mak Su memang dah cukup untuk dia belajar.

“Dah, dah.. hancur bahasa ibundaku itu sayang oi.  Bak sini barang-barang tu.  Ambik lidi ni, sebagai denda datang lambat cucuk semua sosej ni campur-campur dengan apa yang ada kat atas meja tu,” kata Ayesha sambil mengunjukkan seberkas lidi penyucuk sate kepada Azzalea.

“Tak aci tau Kak Sha ni, asyik Lea je yang kena.  Tu Dirah datang lambat tak apa pula.  Dah tu, dia tak kena buat apa-apa pun, asyik Lea je kena dera.”

“Iskh, merungut ye.  Tak dapat pahala tau kalau buat kerja merungut-rungut.”

“Taklah, orang bukan merungut tapi komplen.”  Masih hendak mempertahankan diri.

“Kalau tak nak disuruh buat itu dan ini, cepat-cepatlah kahwin dan ada handbag.”

“Iskh, tak payah kahwin pun dah ada handbag.  Err, apa kena mengena kahwin dengan handbag tu ye?”  Blur pula tiba-tiba.  Iyalah pun, apa kaitan handbag dengan kahwin.  Kalau hantaran kahwin bagi handbag tu dia tahulah.

“Itulah, blur tahap kelapan kamu ni Lea weh.  Orang panggil anak kecil atau baby tu lah handbag. Itulah, orang suruh pergi kursus kahwin cepat-cepat tak nak.”

Kecil anak mata Azzalea merenung Ayesha yang tersengih dengan reaksi balasnya.  Sikit-sikit kahwin, itu kahwin, ini kahwin.  Ingat kahwin tu macam main pondok-pondok ke, pagi ni kahwin petang nanti dah bercerai.  Malas hendak menyambung topik yang menyesakkan dadanya tapi menyeronokkan bagi Ayesha, Azzalea menukar arah perbualan.  Lebih senang bertanya khabar tentang keluarga di kampung dan berbual tentang aktiviti harian mereka.  Kak Ayesha ni bukan boleh kira, suka sangat lari topik.

Lincah tangan Azzalea mencucuk sosej-sosej yang telah dimasukkan ke dalam mangkuk ke batang lidi sate bersama lada benggala serta bebola seafood berselang-seli.  Azzalea pula sibuk menyediakan mashed potatoesnya sebaik sahaja bungkusan serbuk sos diserahkan kepadanya.  Bukan susah sangat pun, tomato yang telah direbus dilenyek-lenyek sehingga hancur.  Serbuk sos lada hitam pula dimasukkan ke dalam periuk, dicampur sedikit air dan dijerang di atas dapur.  Kacau sehingga sebati, siaplah.

Sedang asyik kedua-duanya menyiapkan makanan sambil rancak berborak, kedengaran deruman enjin kereta memasuki ruang halaman.  Azzalea cam sangat bunyi enjin kereta tu, tak lain tak bukan Dirah dan Abang Wan.  Riuh suara si Iman Yasmine mula kedengaran berselang seli dengan suara si Aqyem.  Biasalah, bila jumpa geng, memang meriahlah.  Itu belum lagi si Dirah join kumpulan ibu-ibu di dapur. Eh, Kak Ayesha seorang je yang ibu ye, aku single mingle lagi!

“Hah, dah sampai pun si Dirah tu.  Pandai je budget masa, waktu makan sampailah dia,” rungut Azzalea. 

“Dah jangan nak merungut sangat, nanti semua kerja tu tak ikhlas, tak dapat pahala.  Ambil ni, pergi hantar ke depan bagi kat Abang Meer, dah masak agaknya ayam dengan udang tu.  Biar Kak Sha bawa yang lain.”  Huluran dulang berisi sosej dan bahan-bahan mentah yang telah dicucuk disambut Azzalea.  Betul juga kata Kak Sha, tak ikhlas rugi je tak dapat pahala.  Bukan senang nak cari pahala, dah la amalan kurang. 

“Kak Nim, tolong Sha keluarkan salad daripada peti sejuk tu dan bawa ke depan ye kak.  Puding dan red velvet tu biar dulu, nanti lepas makan baru kita bawa keluar.  Fruit punch tu Kak Nim jangan lupa, bawa keluar juga ye.  Sha nak keluar dulu bawa barang-barang ni.” 

“Oh ya, Kak Nim dah ajak Abang Halim dan anak-anak tak?  Jangan lupa telefon diorang sekali lagi, takut terlupa,” sambung Ayesha lagi mengingatkan semula Hanim.  Awal-awal dia sudah berpesan kepada Hanim agar mengajak suami dan anak-anaknya turut serta bersama mereka.  

Bahu Hanim ditepuk perlahan.  Walaupun berstatus majikan dan berhak mengarah, tapi Ayesha bukan jenis yang begitu.  Diplomasi dan sopan santun tak kira apa pangkat sekalipun tetap dijaga.  Berbeza benar dengan sikap Emeer, tapi kalau dengan orang-orang yang rapat dengannya memang lembut selembutnya.

Azzalea yang telah mendahului keluar ke halaman belakang menyusun langkah berhati-hati dengan dulang besar di tangannya.  Silap langkah mahu melingkup segala yang ditatang.  Matanya mengarah kepada Dirah yang selamba duduk di atas bangku sambil memerhatikan Emeer yang masih mengipas bara api.  Wan Aidil juga turut membantu Emeer membakar dan kelihatan anak-anak kecil riang bermain di atas tikar yang telah dibentangkan oleh Mak Jah di bawah pohon mempelam Ayesha.  Seronoknya masing-masing. 

Kehadiran Azzalea disambut dengan senyuman meleret Dirah.  Tahu sangat sekejap lagi tadah telingalah dengar Azzalea membebel atas kelewatan mereka.  Dah biasa pun, bukan tak kenal dengan fiil Azzalea tu.  Dalam kesibukan membakar dan menyusun hidangan di atas meja di laman itu, kelihatan sebuah kereta memasuki perkarangan rumah.  Mungkin rakan-rakan Emeer ataupun Ayesha.  Malas hendak mengambil peduli, Azzalea meneruskan kerja-kerja menyusun.  Piring dan cawan polystyrene disusun rapi.  Bakul yang berisi Garlic Bread dan kentang goreng diletakkan di atas meja yang lebih rendah agar mudah diambil oleh anak-anak.  Alahai, Kak Ayesha ni memang tak pernah lupa dengan fillet ikan yang digoreng bersalut tepung.  Memang sesuai sangat untuk anak-anak kecil.  Azzalea pun memang gemar fillet ikan tu, terutamanya jika Mak Su yang masak. 

Tiba-tiba pendengaran Azzalea tertangkap bunyi tawa yang pernah didengarinya.  Dia cam sangat suara itu.  Tak mungkinlah!  Ah, takkanlah!  Lantas, cepat Azzalea berpaling mencari pemilik suara yang didengarinya itu.  Ya Allah, kenapa hambamu ini diuji begini?

Apa kes mamat ni ada kat sini?  Janganlah kata mamat ni kawan Abang Emeer, harus ada yang makan hati nanti.  Nak lari ke mana ni.  Kalau rumah sendiri mahu sahaja dia masuk ke dalam rumah dan berkurung di dalam biliknya sampai esok pun tak apa.  Saat Azzalea hendak melangkah kembali semula ke dapur, tangannya dicapai.  Hatinya mula resah.  Tidak!!!!


**********************************************************

Hmmmmmmmmmmmmmmm... ok tak sampai kat sini je dulu?  Kita sambung lagi kisah seterusnya.. agak2nya siapa yang Azzalea marah sangat masa tengah drive tu?  Siapa pula yang di jumpa kat rumah Emeer?  Jom main teka teki.. hehheheee... Maaf ye atas ketidaksempurnaan.. 

Sayang Selalu..
Kak Yus
~sekadar sebuah rasa, sebuah kisah melakari perjalanan hidup~

3 comments:

  1. Hahahah...Kak Yus mesti tengah sibuk nie kan. Azzalea dengan Ayesha dok tertwist2 nama masing2. Hihihihihi. Potato pun jadi tomato. Ker, memang kena lenyek tomato nak buat mashed potato? Sorry yer Kak Yus. gurau2 manja nie...

    ReplyDelete
  2. hahahaa... Aziela.. ye ke?? adehhh.. mmg tak sempat nak edit betul2 pun..dok go tru gitu2 jek.. nak menyiapkan juga si Acam & Dzil tu.. hahaha..


    Baby Mio ~ sabar menanti ye laling...

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com