Monday 13 May 2013

SengKeTa CinTa ~ 22


            Assalamualaikum dan selamat pagi kesayangan kak yus... seperti yang kak yus janjikan.. hari ni k.yus update new n3 Fayyad n Azzalea kita.. jom kita selami sikit apa yg terjadi pada Fayyad dulu n mcm mana hari2 yang Fayyad lalui tanpa Azzalea.. sikit2 aje flashback cukuplah kan.. ke nak panjang2?? ke nak k.yus cerita lebih lagi pasal rumahtangga Fayyad dulu? Atau kita terus je berkisar pada Fayyad n Lea?? Acaner???

Okeh.. selamat membaca, semoga terhibur.. sudi2lah drop sepatah dua patah kata utk kak yus sbgai pembakar semangat.. terima kasih daun keladi...

**********************



Semuanya salah aku!  Kalau aku ambil langkah lebih cepat memperkenalkan Azzalea kepada mama dulu, tak mungkin mama akan pinang Nurul Hanina untuk aku.  Kalau aku ceritakan masalah yang sebenarnya kepada Azzalea dahulu, mungkin dia akan faham dan mungkin ada jalan penyelesaiannya.  Semuanya salah aku.  Aku! Aku!

            Serabut.  Itulah yang dirasakan Fayyad.  Pulang sahaja dari rumah Emeer tadi, dia terus berbaring di sofa.  Nasiblah solat asar dan maghrib telah ditunaikan di rumah Emeer sebelum pulang tadi.  Sesekali solat berjemaah beramai-ramai seronok juga, lagi pun memang dia sudah lama tidak ke masjid semenjak pulang ke Malaysia.  Syahdu juga mendengar suara Emeer mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran serta doa yang diaminkannya.  Hatinya sayu melihat Emeer mengucup dahi isterinya usai doa diaminkan.  Saat itu, dia sedar dia harus melakukan sesuatu untuk menebus kembali segala kesilapannya.

            Fayyad mengimbau kembali saat-saat indah dia bersama Azzalea sehinggalah wajah Nurul Hanina menerpa ruang ingatannya.  Kasihan wanita itu, begitu sabar dengannya namun akhirnya pasrah dengan takdir yang tertulis untuk mereka.  Fayyad masih ingat malam terakhir mereka bersama sebelum semuanya berakhir.

            “Abang, Nina nak bincang sikit dengan abang.”

            “Hurmmm..”  Akhbar yang dipegang diturunkan ke bawah sedikit untuk memberi perhatian kepada Nurul Hanina yang melabuhkan punggung di atas sofa di hadapannya.

            Memang kebiasaan setiap hari, antara mereka kurang komunikasi.  Pulang daripada kerja, Fayyad lebih gemar menghabiskan masa dengan membaca atau menonton televisyen sehingga larut malam.  Itu pun kalau tidak ada tugasan yang dibawa pulang.  Nurul Hanina pula sering kelihatan sibuk dengan aktiviti di sekolah dan tugasan yang dibawa pulang.  Biasalah kalau dah nama guru, memang banyak kerja pun.  Nasib baik di rumah mereka ada Bik Ramnah yang menguruskan hal-hal rumah, tak adalah terkejar sangat Nurul Hanina.  Tapi Fayyad memang tak pernah pun membebankan Nurul Hanina dengan urusan peribadinya.  Pakaian Fayyad pun semuanya dihantar ke kedai dobi untuk dicuci dan sekaligus digosok.  Malah makan minum pun jarang sangat Nurul Hanina sediakan, almaklumlah, Nurul Hanina pun bukanlah pandai sangat ke dapur.  Lagi pulalah dia anak manja dalam keluarganya. 

            “Abang..”  Suara Nurul Hanina sedikit tegas.  Kali ini akhbar di tangan dilipat dan diletakkan di atas meja kopi.  Fayyad mula memberi tumpuan kepada Nurul Hanina apabila menyedari nada tegas dalam suara isterinya itu.  Entah apa yang hendak dikatakan.  Sudah dua minggu hubungan mereka agak panas, walaupun memang ternyata sejak awal perkahwinan yang baru berusia setahun lebih itu hubungan mereka agak dingin.

            “Abang, Nina rasa Nina tak boleh bertahan lagi.  Nina dah tak sanggup.”  Kata-kata Nurul Hanina terhenti di situ.  Matanya merenung wajah Fayyad yang masih tidak beriak. 

            “Habis, Nina nak abang buat macam mana?” 

            “Nina dah tak boleh hidup macam ni bang.  Nina inginkan sebuah keluarga, yang benar-benar keluarga.  Bukan macam kita ni.”

            “Tapi dulu Nina juga yang kata, kita cuba…”

            “Betul, tapi kita tak mencuba sepenuh hati.  Sebenarnya lebih tepat abang yang tak cuba sepenuh hati.  Abang yang tak cuba membuka hati abang menerima Nina, mencintai Nina dan menganggap Nina sebahagian daripada hidup abang.  Nina tak boleh hidup bang, apabila setiap malam nama orang lain yang meniti di bibir abang.  Nina tak sanggup setiap masa memikirkan ada insan lain yang mendahului Nina dan masih bertahta di hati abang.  Nina ni manusia biasa, ada perasaan, ada hati.”

            “Jadi Nina sanggup lukakan hati keluarga kita?”  Soalan Fayyad mengundang sepi antara mereka.  Masing-masing terdiam dalam pemikiran sendiri.

            “Nina sanggup?”  ulang Fayyad lagi.

            “Abang, Nina tahu kita akan lukakan hati keluarga kita, tapi Nina percaya itu yang terbaik untuk kita.  Luka mereka akan terubat sekejap sahaja bang, lagi pun Nina percaya mereka pun tak nak tengok kita macam ni selamanya.  Hati kita ni, sampai bila nak terluka terus.  Hati Nina ni, sampai bila nak tanggung rasa siksa cuba menyayangi orang yang telah pun menyerahkan hatinya kepada orang lain, bukan kepada Nina sedangkan kita tidur sekatil bang.  Nina tak mahu hanya dapat jasad abang, tapi hati abang jauh untuk Nina gapai.”  Ada lirih mula bertandang pada ayat-ayat akhir Nurul Hanina.

            Memang benar perkahwinan mereka diatur oleh keluarganya, tapi sedari awal lagi dia telah mula menyukai Fayyad.  Dia terima jodoh yang ditentukan oleh keluarga mereka dengan tangan terbuka namun semuanya hampa apabila dia mula menyedari selama ini hanya ada seorang wanita sahaja yang bertahta di hati suaminya itu.  Hanya seorang wanita yang dia sendiri tidak pernah bertemu.  Kerap dia mendengar suaminya menuturkan nama Azzalea dalam igaunya.  Setiap kali itu jugalah hatinya dipanah rasa pilu.

            “Abang tak nak keluarga kita berbalah kerana kita.”  Jujur, memang itulah sejujur jawapan yang bermain di fikirannya.  Hati kedua-dua keluarga harus dijaga.

            “Kalau kita berterus-terang, Nina rasa tak ada masalah bang.  Lagi pun keluarga kita tentu dah faham sekarang.  Nina tak nak tunggu lagi bang, umur Nina dah semakin menginjak.  Nina tak nak sia-siakan masa depan Nina.”

            Fayyad hanya membuang pandangan kepada Nurul Hanina.  Guru ini memang pandai berkata-kata dan setiap kata-katanya tidak pernah pun tidak bernas.  Betul, memang wanita di hadapannya itu hanya mensia-siakan masa depannya jika terus bergelar isteri kepada insan bernama Fayyad.  Kenapalah sukar benar untuk menerima kehadiran orang lain di hatinya.  Walaupun tanggungjawab sebagai suami zahir dan batin telah dilunaskannya tapi tetap masih ada ruang kosong yang semakin melebar di antara mereka.

            Benar seperti kata Nurul Hanina, mereka harus memikirkan masa depan mereka.  Nurul Hanina harus diberi peluang untuk hidup bahagia bersama orang yang benar-benar mencintainya.  Keputusan harus dibuat.  Fayyad sendiri tidak tahu sama ada dia gembira atau tidak dengan usul Nurul Hanina kali ini.


            Tepat sekali jangkaan Fayyad.  Bukan mudah untuk menamatkan hubungan dia dan Nurul Hanina begitu sahaja.  Penerimaan keluarga mertuanya ternyata tidak seperti yang dijangkakan oleh Fayyad dan Nurul Hanina.  Datin Seri Maimon agak terbakar dengan berita itu manakala Dato’ Seri Hamsani pula agak penyabar orangnya.  Fayyad hanya terdiam mendengar ceramah percuma ibu mertuanya.  Hendak bersuara rasa tidak berupaya namun Nurul Hanina bertegas ingin meneruskan niat mereka.

            Datuk Halim dan Datin Nurseha saling berpandangan melihatkan reaksi besan mereka yang ternyata mengundang perasaan sebal di hati.  Manakan tidak, kata-kata sinis dan berbaur sindiran sahaja yang keluar daripada bibir merah menyala Datin Seri Maimon itu.  Memanglah mereka yang mengatur perkahwinan itu, tetapi dahulu Datin Seri Maimon juga yang beria-ia hendak menjodohkan Nurul Hanina dengan Fayyad.  Kononnya hendak merapatkan hubungan persaudaraan mereka.  Dato’ Seri Hamsani tu bukan orang lain pun dengan Datuk Halim, dua pupu sahaja. 

            “Mummy tak setuju.  Tak ada lagi dalam keluarga kita yang bercerai berai,” bentak Datin Seri Maimon tetap bertegas dengan keputusannya.

            “Mummy selfish tau!”  Nurul Hanina sudah mati akal untuk berlawan hujah dengan Datin Seri Maimon.

            “Mon, kalau dah mereka berdua tidak bersefahaman tak kanlah kita nak paksa mereka teruskan lagi perkahwinan mereka ni,” ujar Dato’ Seri Hamsani memujuk isterinya. 

Dia amat memahami keadaan itu apatah lagi sebelum ini Fayyad sendiri pernah meluahkan perasaan kepadanya.  Walau pun dia hanya bapa mertua tetapi hubungan Dato’ Seri Hamsani dengan Fayyad lebih rapat daripada hubungan Fayyad dan Datuk Halim sendiri.  Sewajarnyalah Dato’ Seri Hamsani tidak mempunyai anak lelaki, jadi menantu sulungnya itulah yang selalu menjadi rakan bualnya tak kira ketika mereka berkunjung ke rumah besarnya itu mahu pun ketika bermain golf bersama.  Hati anak muda itu sudah jauh dijengahnya.  Dia amat maklum dengan perasaan Fayyad dan simpatinya jatuh kepada menantunya itu.  Malah, Dato’ Seri Hamsani juga turut rasa bersalah kepada anak perempuannya.  Nurul Hanina berhak mendapatkan kebahagiaan dalam hidupnya.  Sampai bila anaknya itu harus menyimpan harap.

“Mon bukan nak paksa bang, tapi baru setahun lebih je.  Cubalah lagi terima diri masing-masing, nanti lama-lama okeylah rumahtangga tu.  Kita dulu pun bukannya kahwin cinta sama cinta, tapi elok aje rumahtangga kita.”  Datin Seri Maimon membuka alasan.

“Kita dulu lain Mon, zaman kita dulu nak bercinta pun susah.  Sekarang ni celik mata, di hujung jari je dah senang nak jumpa cinta tu.”  Fayyad dan Nurul Hanina sembunyi senyum.  Dalam hati pedih dan sebal dengan penerimaan keluarga mereka, hati digeletek lucu pula dengan kata-kata Dato’ Seri Hamsani. 

“Kamu macam mana Lim?”  soal Dato’ Seri Hamsani kepada besannya.

“Kami terima ajelah bang.  Kalau dah mereka kata putih, putihlah kami.  Kalau mereka kata hitam, hitamlah kami.  Nak dipujuk-pujuk, dah tak larat.”  Mudah.  Itulah pegangan Datuk Halim kini. 

Datin Nurseha diam tidak berkutik.  Di hati wanita itu sudah lama tersimpan rasa sesal yang amat mendalam.  Kalaulah dia lebih sabar dan lebih memahami hati anak lelakinya yang seorang itu, sudah tentu perkara sebegini tidak terjadi.  Dia yang beria-ia ingin mendapat menantu sehingga memberikan tempoh kepada Fayyad.  Kini, sesalannya tidak sudah apabila melihatkan keadaan Fayyad yang seperti tidak gembira semenjak mereka berkahwin.  Perubahan Fayyad amat ketara dan anak lelakinya itu semakin menjauh daripada dirinya.  Walaupun Fayyad bukan darah dagingnya sendiri tapi bagi Datin Nurseha, hanya itulah satu-satunya buah hati pengarang jantungnya.  Setelah pemergian anak tunggalnya, Fayyadlah yang memberi sinar dalam hidupnya.  Kesal dan sesal bersulam di dadanya.  Sekarang, dia hanya akan menurut sahaja apa kata Fayyad asalkan wajah gembira Fayyad yang dirinduinya kembali semula.

“Mon, macam mana?  Fikir baik-baik untuk anak-anak kita.  Ni kebahagiaan mereka.  Kalau kita paksa-paksa, takut nanti sampai sudah tak kemana,” pujuk Dato’ Seri Hamsani lagi.  Kali ini wajah Datin Seri Maimon sudah semakin mengendur.  Mungkin termakan dengan kata-kata suaminya.

“Hmm.. Mon ikut ajelah bang.  Kalau dah diorang rasa sampai kat sini aje hubungan diorang, Mon nak cakap apa lagi.”   Akhirnya, persetujuan Datin Seri Maimon disambut dengan perasaan lega.

Urusan perceraian di pejabat agama juga tidak memakan masa yang lama.  Mungkin, inilah hikmah yang diberi oleh Yang Esa, mempermudahkan urusan yang dipersetujui oleh kedua-duanya tanpa ada sebarang sengketa.  Dalam percintaan, dalam perkahwinan dan setiap hubungan tidak dapat lari daripada persengketaan namun jika setiap sengketa ditangani dengan akal dan adab sopan sudah tentu tidak memudaratkan.

“Abang, Nina pohon ampun dan maaf selama Nina menjadi isteri abang.  Nina akui, Nina bukan isteri yang sempurna dan baik untuk abang.  Nina doakan abang bertemu dengan dia yang selama ini berada di hati abang.  Andai satu hari nanti, abang bertemu dengannya, kirimkan salam Nina dan katakana padanya, abang tak pernah menjadi milik Nina, tapi memang ditakdirkan milik dia sejak azali.  Andai satu hari nanti kita bertemu lagi dan memang bukan jodoh abang dengan dia, saat itu Nina akan terima abang andai Nina belum dimilikki.”  Tangan Fayyad disalami lalu dikucup lembut.  Kucupan terakhir Nurul Hanina sebagai seorang isteri sebelum lafaz talak dilepaskan.

“Abang pun minta maaf dengan Nina sebab tak mampu menjadi seorang suami yang baik buat Nina.  Maafkan abang.  Abang doakan Nina bertemu dengan orang yang mencintai Nina setulusnya.”  Ada sebak yang bermain di dada saat itu.  Kepala Nurul Hanina dikucup lama.  Ya Allah, kau berikanlah dia seribu kebahagiaan yang tak dapat aku berikan.


Deringan telefon bertalu-talu mematikan lamunan Fayyad.  Pantas telefon disambar apabila terlihat nama pemanggil yang tertera di skrin telefon.  Setelah berbicara sebentar, senyuman tergaris di wajah lelaki itu.  InsyaAllah, mungkin ada sinar baru untuk dirinya.  Walau bagaimanapun penolakan Azzalea, dia tidak akan berhenti daripada mengejar gadis itu.  Biar ke hujung dunia sekali pun, dia pasti tidak akan mengalah.  





*******************

Salam teramat sayang...
Kak Yus.


4 comments:

  1. Waaaa...touchingnya.... Sedih..sedih...

    Kak Yus...bila nak publish Acam? Saya dah mula bawak tidur dah BCB tu tau...

    ReplyDelete
  2. Lupa pula... BCB II kalau ada, saya pasti sokong sepenuhnya. WAJIIIB!! Hehehehe

    ReplyDelete
  3. andai kata perpisahan itu berlaku ..itu takdir namanya..setelah mereka mencuba tetapi yg pasti kalau hati nya Fayyad sudah ada pada wanita lain mana mungkin Nina akan dapat meraih hatinya walaupun dia telah mencuba sedaya upaya..kan..

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com