Monday 20 May 2013

SengKeTa CinTa ~ 23


            
Assalamualaikum dan selamat pagi...

Jom pagi ni kita bersarapan dengan Azzalea dan Fayyad sekejap.. mungkinkah ini permulaan bagi Fayyad untuk mendapatkan semula tempat di hati Azzalea?? Apakah masih ada ruang di hati gadis itu untuk insan yang pernah merobek hatinya?  Jika kalian di tempat Azzalea, apa yang kalian akan lakukan?  Terima Fayyad?  Tendang Fayyad hidup-hidup? atau Usir Fayyad jauh-jauh daripada hidup kalian?  Ce cerita sikit kat ruangan komen kat bawah tu.. mana tau kot2 boleh bagi Kak Yus idea kan... >__*

Ok, selamat membaca... semoga terhibur dengan n3 ni dan mohon k.yus kemaafan atas ketidaksempurnaan ye...




            Langkah dipercepatkan menuju ke Taska.  Dah tiga empat kali si Dirah tu dok mesej ke handphonenya suruh datang cepat ke Taska.  Katanya funder nak datang jengok-jengok Taska dan Tadika hari ni.  Iskh, kalau nak datang pun datanglah petang-petang sikit, tak adalah orang nak kelam kabut bagai.  Dah tu suka suki je tak nak buat appointment.  Haish, nak merungut pun tak boleh juga sebab dah memang hendakkan sangat bantuan insan yang pemurah tu.  Kalau tidak mana lagi nak diredah mencari sponsors bagi semua aktiviti Tadika dan Taska.  Kalau setakat duit yuran yang dibayar oleh ibu bapa tu, tak besar dan banyak mana pun dapat dilakukan aktiviti untuk anak-anak kecil tu.  Kalau boleh, Azzalea mahu melihat anak-anak di bawah peliharaan dan didikannya gembira bersamanya.  Biarlah penat sedikit tapi hati puas dengan keriangan di wajah anak-anak kecil itu.

            Azzalea disambut oleh Mia, salah seorang pekerja taskanya.  Matanya menyorot pandang pada Mia yang sudah agak sarat.  Masih rajin Mia ni, dah masuk enam bulan usia kandungan pun masih sibuk nak buat kerja-kerja di luar.

            “Mia, kalau tak larat tu tak payah la nak buat.  Duduk kat dalam dengan budak-budak ajelah,” tegur Azzalea melihatkan Mia yang sibuk menyidai kain tuala anak-anak taska yang sudah digunakan.  Memang macam tulah selalunya, kebersihan dan kesihatan anak-anak asuhan mereka diutamakan di situ.

            “Alah, sikit je ni Kak Lea.  Kejap lagi siaplah ni.  Kak Lea tu dah makan ke belum?”

            “Hish, patutnya Kak Lea yang tanya mak buyung, ni dia pula yang tanya Kak Lea.” 

            “Iyalah, orang tahu sangat perangai Kak Lea tu.  Bukannya rajin sangat nak sarapan.  Kat dalam hari ni Kak Dirah masak lasagna, sedap kak.”

            “Hmmm.. apa mimpi makcik tu masak-masak bagai ni.  Tadi Kak Lea dah makan kat Tadika.  Ibu Zai pun siap masak nasi himpit pagi ni, kekenyangan dah Kak Lea sampai tak boleh nak buat kerja.  Gemuk la akak macam ni.”

            “Kak Lea dan perkataan gemuk tu macam tak tally  je kak.  Tak pernah nampak Kak Lea gemuk sikit pun,” sungut Mia.  

           Iyalah, dah berbulan-bulan dia di situ, walaupun makan sedap pun, tak penah nampak Azzalea naik badan.  Agaknya lemak-lemak tu susah nak bertandang kot.  Lainlah Mia, baru enam bulan mengandung dah naik hampir enam kilogram.  Kalau nak cecah sembilan bulan, tak taulah berapa kilo lagi nak naik tu.

            “Dah siap?  Jom kita masuk.” 

Rupa-rupanya Azzalea sengaja menunggu kerja-kerja Mia selesai barulah melangkah masuk ke dalam Taska.  Sememangnya, hati Azzalea amat tersentuh setiap kali melihat Mia Zahirah.  Gadis bertubuh kecil yang semakin mengembang seiring dengan usia kandungannya.  Gadis malang yang perlu dibantu olehnya.

“Wei, lambatlah ko datang,” sergah Dirah yang muncul tiba-tiba.

“Kot ya pun jawablah salam dulu Ah So!” 

“Iyalah, waalaikumussalam.  Ko jelah Leng Loinya, aku semedang Ah So.”  Muncung Dirah sudah hampir sedepa.  Suka suki je nak panggil orang Ah So.  Ala, marah-marah manja je pun.  

Mia Zahirah, Natasha dan Rizqiyah hanya tersenyum melihat gelagat dua orang majikan mereka.  Memang kalau berjumpa tak kering gusi ketawa, ada aje yang digaduhkan.  Gaduh tapi lawak.  Setiap hari bertemu pun masih ada perkara yang hendak digaduhkan.  Ada sahaja topik baru bagi kedua-dua wanita ini.  Tapi bagi pekerja-pekerja Taska itu, kedua-dua wanita yang sedang berbual di hadapan mereka itu sangat dikagumi apatah lagi Azzalea yang sentiasa nampak tenang dan kuat dalam menghadapi karenah ibubapa dan anak-anak asuhan.  Itu belum lagi dengan perangai pekerja-pekerja.

“Yang ko beria-ia suruh aku cepat-cepat datang ke sini tu apahal?  Dah sampai ke funder ko tu?”  Bebel Azzalea tak puas hati. 

Iyalah, tadi kemain lagi beria-ia suruh cepat sehinggakan dia tidak sempat nak berbual-bual dengan pelajar-pelajar di tadikanya.  Selalunya sebelum pulang, pelajar-pelajar tadika akan berkumpul di ruang bawah yang dijadikan ruang untuk makan dan berehat.  Mereka akan mendengar cerita atau pun melakukan aktiviti ringan sebelum pulang.  Azzalea lebih gemar menggunakan waktu itu bertanya tentang pelajaran yang telah mereka pelajari setiap hari.  Daripada sesi itulah Azzalea dapat menilai sejauh mana ilmu yang dititip dalam diserap oleh anak-anak kecil itu.

“Tadi diorang kata dah on the way, lagi lima belas minit sampai la kot,” jawab Dirah bersahaja. 

Tangannya lincah memotong lasagna dan memindahkan kepingan-kepingan tersebut ke dalam pinggan.  Cukuplah untuk hidangan tetamu yang datang bersama kopi tenom yang dibawa pulang oleh suaminya.  Mesti sedap tu.  Rizqiyah pula tadi telah membancuh satu jag air oren untuk dihidangkan sekali, manalah tahu kalau-kalau tetamu tu nanti minta air sejuk.  Tak payah nak bancuh bagai, lagi pun anak-anak transit yang akan pulang nanti memang gemar pun minum air sejuk-sejuk ni.  Cuma kena dipantau sahajalah supaya jangan kerap sangat.

Bunyi hon kereta di hadapan pagar Taska mengundang rasa debar di hati Azzalea.  Wajah Dirah yang tersenyum girang dikerling sekilas.  Amboi, bukan main lagi seronoknya nak jumpa funder.  Entah banyak manalah funder tu nak pamkan duit ke dalam tabung mereka.  Minta-mintanya banyaklah yang dapat disumbangkan kepada mereka.

Natasha yang sedari tadi asyik terjengok-jengok ke luar jendela Taska sudahpun membuka pintu dan mempersilakan tetamu masuk.  Segera tetamu disambut oleh Azzalea dan Dirah.  Huh, bagaikan hendak terkeluar jantung daripada kantungnya apabila terpandang wajah Fayyad yang turut menyertai mereka.  Seorang wanita berambut paras bahu dan seorang lagi lelaki agak sebaya dengan Pak Long Tajudin mengekori langkah Fayyad. 

“Selamat datang Encik Fayyad, Cik…” sambut Dirah ramah.

“Cik Camillia, PR Syarikat Lestari Unggul.”  Wanita itu memperkenalkan diri lalu berjabat salam dengan Azzalea dan Dirah.  Ramah.

“Ini papa I, Datuk Halim.  Papa, ini owner Taska dan Tadika ni, Puan Nadhirah dan Cik Azzalea.”  Fayyad memperkenalkan Datuk Halim kepada Azzalea dan Dirah.  Kedua-dua wanita itu mengangguk tanda hormat. 

“Apa khabar Datuk?  Gembira dapat bertemu Datuk.  Panggil saya Lea je, sahabat baik saya ni Dirah je.”  Azzalea memperkenalkan diri.

Datuk Halim pegun seketika.  Kedua-dua wanita itu menarik minatnya, bukan kerana rupa paras tetapi sikap dan pegangan agama yang cukup baik.  Jarang sekali jika dilihat pada zaman serba canggih ini, wanita-wanita yang berkerjaya tidak bersalaman dengan lelaki bukan mahram apabila menjalankan urusniaga.  Kadang-kadang terpaksa pun ada, tapi kedua-dua wanita di hadapannya ini memang cukup tegas dengan pegangan diri.  Mata Datuk Halim mengerling kepada Azzalea yang sedari tadi hanya tertunduk diam.  Comel.

Ketiga-tiga tetamu dibawa ke bilik tamu yang telah terletak di hujung pejabat.  Memang di Taska itu telah dibina khas sebuah bilik tamu untuk tetamu datang berkunjung.  Kadang-kadang pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Bomba juga turut datang membuat pemeriksaan dan di situlah mereka ditempatkan. 

Benci, benci, benci!  Jerit Azzalea namun hanya sekadar di dalam hati sahajalah.  Menyampah dan benci saling berkait apabila melihat senyuman di bibir Fayyad ketika memandang kepadanya.  Malah Datuk Halim pun sesekali bagaikan sengaja meminta dia menerangkan semula apa yang telah dibentangkan oleh Dirah.  Haish, anak beranak sama je.  Menyampah betul!  Lagi mendatangkan rasa sebal di hati apabila digiat oleh Dirah tentang pakaian mereka.  Kebetulan, Azzalea dan Fayyad sama-sama mengenakan tema warna ungu hari itu.  Memang kebetulan yang tak disangkakan.  Lagilah menyampah Azzalea dibuatnya.

Sepanjang perbincangan, Azzalea seboleh-bolehnya memberikan fokus hanya kepada perkara yang dibincangkan.  Semua perasaannya dipinggirkan seketika.

“So Datuk, kita akan sponsor semua perbelanjaan aktiviti sukan ni dan hadiahnya sekalikan?” Soal Cik Camillia meminta pengesahan majikannya.

“Ya, semua kita tanggung.  Even kita boleh setkan satu dana untuk aktiviti-aktiviti lain yang akan diadakan oleh Tadika dan Taska Cik Lea dan Puan Dirah ni,” ujar Datuk Halim sambil membelek-belek kertas cadangan yang disertakan semasa perbincangan.

“Err, Datuk, maaf ye saya bertanya sedikit.  Semua sponsorship ni terlalu banyak sebenarnya.  Apa yang pihak kami dapat lakukan in return?”  Azzalea mengemukakan persoalan yang bermain di benaknya.  Iyalah, takkanlah beri sahaja tanpa ada pulangan. 

“Hmm.. pihak Lestari Unggul tak terfikir pula apa-apa pulangan daripada pihak Cik Lea.”  Fayyad bersuara. 

“Tapi tak seronok pula bagi pihak kami.  Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang dapat kami lakukan sebagai balasan budi baik pihak Lestari Unggul.”

“Macam nilah Datuk, Cik Azzalea.  Saya rasa pada hari aktiviti tu nanti mungkin pihak Cik Azzalea boleh bagi kami satu ruang untuk kami buka satu kaunter penerangan tentang produk-produk kami.  Sebenarnya tak ramai ibu bapa yang tahu kepentingan mengambil insurans untuk keluarga dan pendidikan anak-anak.  Saya percaya, mungkin dalam masa aktiviti tu berjalan staff syarikat boleh mendekati ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan sedikit ilmu,” terang Cik Camillia.  Azzalea merenung wanita yang anggun di hadapannya itu dengan rasa kagum.  Bijak sungguh wanita ini.  Kelihatan Datuk Halim juga mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan saranan PRnya.

“Kalau macam tu, kecik tapak tangan, stadium Bukit Jalil tu kami tadahkan,” gurau Dirah diikuti tawa mereka.

Perbincangan berakhir dengan jayanya.  Masing-masing sangat berpuas hati malah hidangan lasagna hasil air tangan Dirah turut dipuji oleh Datuk Halim. 

“Hmm, Lea boleh bawa papa saya melawat Tadika sekejap.  Tadi papa kata nak tengok Tadika.”  Suara Fayyad perlahan di sebelah Azzalea membuatkan jantung gadis itu berdegup kencang.  Mengapa masih ada degup sebegini setiap kali berada di sisi lelaki itu.  Mengapa hati dan jiwanya tak seirama setiap kali bersama lelaki yang dia ingin sangat membencinya.

Azzalea mengangguk dalam terpaksa dan cepat-cepat mendapatkan Datuk Halim dan Cik Camillia.  Tadika dan taska bukannya jauh sangat, hanya dipisahkan oleh sederet pagar kecil.  Iyalah, dah rezeki mereka dapat dua buah rumah berkembar semi-D untuk dijadikan Taska dan Tadika.  Azzalea mempersilakan Datuk Halim dan Cik Camillia memasuki kawasan tadika setelah pintu pagar kecil dibuka.  Ketika itu terdengar kelentung kelentang di bahagian dapur tadika.  Mesti Ibu Zai belum pulang.  Memang selalulah Ibu Zai pulang lewat daripada Tadika, kadang-kadang hampir petang baru pulang.  Katanya seronok buat kerja sorang-sorang. 



Bau harum masakan menusuk-nusuk hidung membuatkan Cik Camillia mengangkat kening.

“Sedapnya bau Cik Lea, daripada mana datang bau ni?”

“Oh, tu mesti Ibu Zai, tukang masak superb kami sedang memasak kat dapur tu.  Yang bunyi kelantang kelentung tadi tu dialah,” terang Azzalea.  Bangga sebenarnya apabila ada yang memuji pekerjanya.  Iyalah, tak secara formal tu dalam samar-samar dikira juga.

Datuk Halim dan Fayyad berjalan-jalan melihat beberapa alatan permainan yang terdapat di halaman Tadika.  Dibelek-beleknya buaian dan set gelonsor yang terdapat di situ.  Kemudian Datuk Halim tersenyum kepada Azzalea yang ralit memerhatikannya.

“Pandai Lea jaga Tadika ni.  Tak rasa nak tambah permainan ni untuk anak-anak murid?”  Pujian dan soalan yang membawa senyuman ke wajah Azzalea.  Alahai, malu seketika apabila terpandang renungan Fayyad yang mati di wajahnya.

“Err, niat tu ada juga Datuk, tapi buat masa ni budget belum mengizinkan.  Lea setkan dulu budget untuk aktiviti-aktiviti tahunan pelajar dan insyaAllah kalau ada rezeki, Lea akan tambah mana-mana yang perlu.”  Rendah diri dan sopan santun.  Itulah penilaian pertama Datuk Halim terhadap Azzalea.

“Jemput masuk Datuk, Cik Camillia, Encik Fayyad..”

Setiap ruang dan bilik diziarahi mereka diikuti dengan penerangan lengkap Azzalea.  Malah, tetamu kehormat itu juga diberi penerangan tentang silibus dan skop pendidikan yang diajar di Tadika itu.  Setiap hasil kerja pelajar yang disimpan dan dipamerkan menjadi santapan mata mereka.  Terpukau dengan hasil kreativi anak-anak sekecil usia empat tahun di situ yang begitu berbakat dan kreatif.  Ibu Zai yang sibuk mengukus kuih talam ubi di dapur turut diperkenalkan kepada tetamu Azzalea. 

“Lea, jemput tetamu Lea rasa kuih talam Ibu yang dah siap ni, tapi panas la sikit,” bisik Ibu Zai menggamit Azzalea.  Sepiring kuih yang telah cantik disusun diunjukkan lalu disambut Azzalea.  Kuih talam diletakkan pula di atas meja kopi di ruang tamu dan seterusnya sedulang minuman menyusul.

“Datuk, Cik Camillia, Encik Fayyad, jemput minum.  Rasa air tangan Ibu Zai, bukan Lea nak masuk bakul angkat sendiri, tapi memang masakan Ibu Zai ni sedap,” jemput Azzalea.

“Oh, baru tadi dijamu lasagna, ni kuih talam pula ye.  Sedapnya.”

“Memang Ibu Zai selalu masak-masak macam ni ke kat sini, Lea?” Soal Datuk Halim lalu memasukkan sepotong kuih talam ke dalam mulutnya.  Sedap.  Memang sedap.  Sepotong lagi dicapai.  Bukan senang nak dapat makanan sesedap ni apatah lagi freshly baked, panas-panas daripada periuk kukus.

“Ibu Zai ni waktu kerjanya sampai jam satu je Datuk, tapi selalu balik lambat kalau nak masak kuih-muih.  Selalunya bila dah masak nanti simpan je dalam peti sejuk.  Esok senang nak siapkan untuk minum pagi pelajar.  Waktu rehat selalunya kami sediakan makanan yang agak berat lagi pun budak-budak memang suka makan kat sini Datuk.  Sampai ada ibu bapa yang datang bagi tahu kami anak-anak mereka nak makan kat Tadika je pagi-pagi, kat rumah tak nak makan.”  Seronok Azzalea bercerita, terpamer di wajahnya kegirangan apabila melihat tetamu menikmati kuih hasil tangan Ibu Zai dengan penuh selera.

“Memang sedap Cik Lea, ini pertama kali saya makan kuih talam ubi ni,” puji Cik Camillia pula.

“Hmm, pasal barang mainan kat luar tu, nanti Lea senaraikan permainan apa yang Lea rasa nak beli kemudian serahkan kepada Fayyad.  Nanti pihak Syarikat akan tengok-tengokkan apa yang dapat kami bantu,” kata Datuk Halim bersandar kekenyangan.  Tiga potong kuih talam dan secawan teh pekat sudah cukup membuatkan perutnya penuh.  Huh, kalau macam ni kena datang sini selalulah dapat makan sedap macam ni.

“Err, tak apalah Datuk.  Lea dah cukup malu dah ni Datuk dah setuju nak sponsor semua aktiviti kami, ni nak tambah lagi dengan macam-macam benda.  Tak payahlah.”  Memang Azzalea berasa agak segan dengan pelawaan Datuk Halim itu.  Tidak mahu nanti dikata orang, sudah diberi betis nak paha pula.

“Tak apa, Lea senaraikan aje.”

Sepanjang perbualan, Fayyad hanya banyak mendiamkan diri.  Sekali sekala sahaja dia menyampuk apabila ditanya oleh Datuk Halim.  Matanya lebih terarah dan terpaku pada wajah Azzalea.  Sehinggalah waktu hendak pulang, matanya masih lagi terlekat pada wajah tenang Azzalea.  Ya Allah, sungguh aku semakin merindui wajah ini!

“Datuk, ini Ibu ada masakkan puding karemel untuk Lea tadi.  Tapi rasanya tak seronok pula Datuk balik tangan kosong, jadi Ibu bekalkan puding ni kepada Datuk.”  Ibu Zai berdiri di hadapan pintu sambil menghulurkan sebekas titipan untuk Datuk Halim.  Segera bekalan disambut Fayyad.

“Laa, tak apalah Ibu, dapat makan kuih tadi pun dah cukup.  Lagi pun Ibu masak untuk Lea  kan.”  Lembut Fayyad membalas kata-kata Ibu Zai.

“Tak apa Encik Fayyad, Lea tu duk kat sini je.  Kejap lagi Ibu kukuskan semula, bukan susah pun.  Yang ni pula untuk Cik Camillia, kuih talam tadi Ibu bekalkan.  Nanti kalau nak datang sini bagi taulah Ibu, boleh Ibu masakkan apa-apa,” celah Ibu Zai turut menghulurkan titipan kepada Cik Camillia.

Azzalea tersenyum melihat tetamu-tetamunya yang saling berpandangan dengan wajah kagum.  Memang inilah Ibu Zai, seorang yang sentiasa menghormati tetamu.  Tidak kira di Tadika atau di rumah sendiri, sentiasa beramah mesra dan menghormati orang lain.  Sifat dan keperibadian Ibu Zai juga banyak membantu Azzalea membina keyakinan dalam dirinya.

Setelah menghantar tetamu-tetamunya sehingga ke pintu pagar ditemani Dirah, Azzalea terus mendapatkan Ibu Zai yang masih sibuk di dapur mengukus semula kuih talam dan puding karemel untuknya.  Pipi wanita tua itu dikucupnya lembut seperti mengucup pipi ibu sendiri.  Segera tubuh kecilnya diraih dan dipeluk erat.

“Semoga rezeki sentiasa berpihak pada Lea,” bisik wanita itu tatkala pelukan dirungkai.

“Ala, kat Dirah tak ada ke?”  Dirah bersuara dengan nada rajuk yang disengajakan.

“Olololo.. dia pun nak juga.  Mari Ibu peluk.  Semoga rezeki Dirah pun melimpah-limpah.  Kalau dah melimpah nanti masukkan sikit dalam periuk Ibu tau,” ucap Ibu Zai diikuti tawa mereka bertiga.




**********************************

Salam Kasih Sayang...
Kak Yus..


5 comments:

  1. Ka Yus nie ada magic kan. Entry simple macam nie pun air mata saya meleleh...woooo.

    ReplyDelete
  2. Aziela sayang.. tak ada magic pun dik, tp mungkin dlm hati Aziela penuh dgn kasih sayang, sbb tu mampu menerobos rasa kasih tu dgn n3 ni.. k.yus sisipkan nilai kasih bersama titipan ni.. utk semua yg membaca. Sayang Aziela selalu..

    ReplyDelete
  3. i like. :)
    ♥ ayang quza lyza

    ReplyDelete
  4. (Y) suke kisah nie...kisah cinta yang tidak meleret dan sarat dgn kasih sayang sesama insani....

    ReplyDelete
  5. Alahai macam hero hindustani plak si Fayyad ni...

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com