Wednesday 26 June 2013

SENGKETA CINTA ~ Bab 26

    Salam sayang2 Kak Yus... Maaf sbb dah lama tak hapdet n3 SC ni kan.. bukan apa, tinggal beberapa bab je lagi nak habis di blog, nanti kalau cepat2 hapdet sayang2 semua terpaksa tunggu lama pulak nak tahu pengakhirannya.. so k.yus pos slow2 la ye... kali ni kita tengok.. apa agaknya yang terjadi di rumah Azzalea ...

Selamat Membaca..  semoga terhibur.. care to drop a few words sbg semangat untuk kak yus.. TQ lalings.. luv u ols so much!!!!

*****************&&&&&************
        


         Semerbak haruman ayam bakar mencucuk hidung sehingga ke dapur.  Umi Ain, Ibu Zai dan Datin Norseha berseronok bereksperimentasi dengan resepi-resepi baru yang dikumpulkan mereka ketika bersembang selepas acara sukaneka tadi.  Bahagian dapur memang department ibu-ibu.  Kepenatan pada waktu siang tadi sudah hilang apabila dapat mencuba resepi-resepi baru ditambah pula dengan tips-tips oleh yang pakar. 

Ibu Zai ni bukan sekadar pandai memasak, tapi blogger hebat juga tau.  Walau pun bukan Ibu Zai sendiri yang mengendalikan blognya, namun dengan bantuan anak gadisnya yang sedang menyambung master di salah sebuah IPTA di tanah air tu, memang blog Ibu Zai antara blog yang sering dilawati untuk peminat-peminat masakan terutama masakan tradisional.  Agaknya Ibu Zai ni kalau diberi peluang untuk menerbitkan buku kompilasi masakan tradisional, sudah tentu terlaris di pasaran.  Bertuah sungguh Datin Norseha dan Umi Ain dapat berguru dengan Ibu Zai secara live.

            Di halaman rumah, seronok sahaja kaum bapa dan anak-anak bujang bersembang sambil membakar ayam dan beberapa hidangan lain untuk makan malam mereka.  Memang awal-awal lagi Emeer telah memberi cadangan untuk mengadakan BBQ selepas acara sukaneka pada sebelah malamnya khas untuk mereka sekeluarga.  Sekeluarga tu termasuklah pekerja-pekerja taska dan guru-guru tadika.  Kata Emeer, dah penat seharian di padang, apa salahnya semua orang dihargai dengan majlis makan-makan itu.  Emeer dan Ayesha jugalah yang telah berbesar hati menyediakan semua bahan makanan dan keperluan untuk BBQ malam itu.  Malah, Datuk Halim dan Datin Norseha juga turut menyertai mereka.  Sudahnya, memang penuhlah rumah Azzalea dan Dirah menjadi port perhentian mereka seketika. 

            Halaman rumah Azzalea terang benderang disinari cahaya lampu.  Keriuhan di luar rumah tidak langsung menarik minat Azzalea yang masih berkurung di bilik.  Penat berperang dengan perasaan sendiri.  Geram, marah, menyampah dan serba serbi perasaanlah yang ada sehingga rasa sesak dada dan nafas.  Bukan dia tidak suka suasana riuh rendah sebegitu, bahkan memang dia bersyukur yang amat apabila semua berkumpul lebih-lebih lagi di halaman rumahnya.  Bersyukur mereka sekeluarga diberi peluang untuk berkumpul sekali lagi.  Adik-adiknya semua ada bersamanya malam itu.

Tetapi, yang menyesakkan hati dan perasaannya ketika itu adalah kehadiran lelaki itu dan keluarganya.  Siapa lagi kalau bukan Fayyad.  Ringan sahaja mulut hendak membantah apabila terdengar Emeer mempelawa Datuk Halim sekeluarga menyertai acara BBQ mereka malam itu tapi mengenangkan sudah terlalu banyak jasa Datuk Halim dalam menjayakan aktiviti Tadikanya, terpaksa ditelan sahaja.  Azzalea tak kisah sangat dengan kehadiran Datuk Halim dan Datin Norseha yang sememangnya mesra dan mudah bergaul dengan mereka.  Tidak mengira pangkat dan darjat mereka yang jauh tinggi daripada dirinya. 

Namun yang membuatkan dia mual apabila terlihat senyuman kerang busuk si Fayyad yang laju sahaja menyambut pelawaan Emeer tu.  Dah tu tak malu pula mengajak Ammar menemannya ke Pekan Meru membeli pakaian ganti kerana tidak membawa pakaian tukar.  Datuk Halim dan Datin Norseha awal-awal telah mengarahkan pemandu mereka pulang mengambil pakaian salin di rumah.  Bukan la jauh sangat pun Kuala Lumpur ke Puncak Alam tu, empat puluh lima minit je pemanduan, itu kereta Azzalea lah.  Kalau Mercedes Datuk Halim dah tentu lagi cepat.

            Telekung yang membaluti tubuhnya ditanggalkan dan disidai pada rak penyidai.  Sejadah ditarik dan dilipat kemas lalu diletakkan semula di rak yang terletaknya nota-nota kuliah agama, kitab-kitab dan surah Yassin.  Azzalea membuka pintu almari mencari pakaian malam yang sesuai dipakai memandangkan ramai yang ada di rumahnya.  Kalau adik beradik sendiri, tak adalah perlu difikirkan sangat.  Dia memilih sehelai jubah ringkas kain denim berwarna kelabu dan dipadankan dengan tudung yang sepadan.  Wajahnya yang bersih dibiarkan sahaja tanpa dioles sebarang alat solek.  Lagi pun dah malam, tak payah nak berlawa-lawa pun. 

Akhirnya, Azzalea mengheret juga kakinya melangkah turun ke bawah menyertai keriuhana itu kerana tidak mahu dicop sombong dan tidak berterima kasih.  Gelak ketawa adik-adik bujangnya di luar sana turut terdengar sehingga ke ruang tamu.  Bayang Dirah tidak kelihatan, agaknya masih di rumah menyiapkan Iman.  Azzlea terdengar tawa dari arah dapur lalu segera bergerak untuk menyertai mereka.

            “Hmmm.. assalamualaikum.  Seronoknya ketawa, apalah yang lucu sangat ni umi,” sapa Azzalea lalu mengucup pipi Umi Ain lembut.  Enam pasang mata yang ada di dapur beralih tertumpa kepadanya.   Dengan wajah innocent, Azzalea melabuh punggung di sebelah Umi Ain.

            “Waalaikumussalam.  Panjang umur anak umi ni, baru je mengumpat dah sampai,” usik Umi Ain mencubit pipi anak gadisnya.

            “Dah hilang penat ke?  Sekejap je Lea rehat.” Ibu Zai menepuk lembut bahu Azzalea lalu mengunjukkan secawan kopi panas.  Azzalea melabuhkan punggung di atas kerusi di sebelah Umi Ain.

            “Okey dah Ibu.  Lepas solat asar tadi Lea terlelap sekejap, tak sangka pula lama terlelap tu.”

            “Itulah, tadi Mia ada ketuk pintu Lea tapi tak berjawab dia kata.  Kami dah agak dah tentu Lea tidur, tu yang tak nak kacau Lea.  Dah tahu Lea penat.”

            “Eh, umi, ibu dan aunty rehat tak tadi?  Jangan cakap semua duk kat dapur ni daripada petang tadi…”

            “Taklah, kami semua dah sempat pun tidur lepas asar tadi sekejap.  Aunty baru je join geng dapur ni sebelum maghrib tadi,” jelas Datin Norseha.  Gembira dan sangat kagum dengan budi bahasa anak gadis Umi Ain ni.  Memang pandai ibu mereka mendidik. 

            “Lea dengar bising-bising diorang kat luar tu, ingat semua ada kat luar.  Tiba-tiba dengar kat dapur pun ada mesyuarat juga rupanya.”  Kata-kata Lea disambut dengan tawa ketiga-tiga ibu itu. 
            “Kami ni sibuk bertanya kat umi Lea ni, bila nak terima menantu.  Anak gadis dah mekar semuanya di taman.”  Datin Norseha berjaya membuatkan anak mata Azzalea membulat penuh walaupun sebentar tadi dah hampir nak layu pun.

            “Itulah, Ibu pun bising juga dengan umi Lea ni.  Lea tu ha, dah bukan setakat mekar, ranum seranum ranumnya, dah sesuai sangat la tu disunting kumbang.”  Hamboi, bahasa kiasan bagai.  Ingat aku ni bunga melati, bunga ros, nak disunting-sunting. 
            Alamak!  Ini dah masuk topik berat ni.  Macam mana pula boleh sampai ke topik pecah kepala nak fikir ni.  Aduh, masaklah macam ni.  Tiga lawan satu, mana boleh menang.  Azzalea menggaru kepala yang tidak gatal.

            “Agaknya Lea tunggu putera turun dari kayangan la tu Kak Zai.  Saya ni dah penat mulut bercakap, tu ha, minggu lepas pun ada orang masuk merisik bertanyakan si Lea ni.  Tak sempat lagi saya nak berbincang dengan dia ni, sibuk semedang.”  Umi Ain menambahkan lagi perisa.

            Kalau tadi mata Azzalea membulat dengan kata-kata Datin Norseha, kali ini bukan kata bulat dah nak terjojol pun ada mendengar jawapan uminya.  Alahai umi, kenapalah topic ini yang hot sangat dibincangkan.  Dah rasa panas punggung nak duduk kat dapur ni.  Karang, kalau angkat punggung dikatakan tak sopan pula.  Adui, mana nak cari ayat-ayat killer nak jawab dengan ibu-ibu kat dapur ni.

            “Oh, dah ada orang yang bertanya ke Ain?”

            “Ada Datin.  Bukan sekali, dah banyak kali pun yang datang bertanya.  Saya ni bukan apa, lebih suka bertanya pada empunya diri kalau bab-bab macam ni.  Tu kat kampung, sepupu Lea ni pun dok tunggu respon dia.  Penat dah saya ni menunggu calon yang dia nak bawa balik, dah lebih lima tahun saya menunggu.”

            “Err.. Ibu Zai lapar tak, Lea pergi ambil makanan kat luar ye,” sampuk Lea sengaja mencari helah untuk beredar.  Semakin bernanah telinga mendengar perbualan mereka yang masih berkisar mengenai jodohnya.

            “Huh, tengoklah tu.  Bila kita cakap pasal kahwin laju je dia tukar topik.  Bijak je cari helah nak lari,” bebel Umi Ain disambut dengan gelak ketawa Ibu Zai dan Datin Norseha. 

            Tidak mahu menjawab kerana bimbang akan menambahkan lagi nanah yang sedang menggelegak di telinganya dek topik terhangat itu, Azzalea hanya membalasnya dengan sengihan ala-ala tak ada perasaan.  Segera kakinya diangkat melangkah ke luar rumah mencari kelibat Dirah dan Ayesha.  Lagi lama kat dalam ni, lagi parah telinganya hendak menadah persoalan-persoalan ibu-ibu vogue bertiga ni.

            “Takkan lah tak ada sesiapa Lea ni Ain?” soal Datin Norseha lagi.  Berminat ingin mengetahui lebih lanjut lagi tentang Azzalea.

            “Entahlah Datin, dulu khabarnya ada dia berkawan dengan seorang lelaki ni tapi tak ada jodoh.  Teruk juga kecewanya anak saya tu, sampai bawa diri merana.  Nasib baiklah terjumpa dek kakak sepupunya Ayesha, dioranglah yang tolong Lea kembali kepada dunia nyata ni.  Lepas tu bila saya tanya-tanya, dia buat tak reti aje.”  Luahan Umi Ain bernada sayu dalam mengingati rentetan perjalanan anak gadisnya lima tahun lalu. 

            “Err, Ain kenal ke dengan budak lelaki tu?”  Soalan Datin Norseha dibalas dengan gelengan sahaja. 

Seketika, mereka terdiam.  Lebih memeranjatkan apabila melihat linangan air mata yang mula membasahi pipi gebu dan licin Datin Norseha.  Umi Ain dan Ibu Zai mula disapa rasa aneh.  Apakah ada tersilap kata sehingga membuatkan datin yang cantik jelita itu terkecil hati.  Kerisauan mula melanda di hati kedua-dua wanita itu.

            “Datin…”

            Wajahnya yang basah dikesat perlahan dengan tisu yang dihulurkan Ibu Zai sebentar tadi.  Hati ibu itu rasa luluh benar mendengar jawapan Umi Ain, lebih luluh kerana dia amat tahu akan keadaan sebenar yang telah terjadi.  Setelah sendu di hatinya dapat ditenangkan, Datin Norseha nekad untuk membuka satu persatu kisah di sebalik kedukaan anak mereka.  Hari ini, dia mahu mereka berkongsi kisah.  Hari ini dia mahu mereka sama-sama mencari jalan untuk kembali menautkan kiambang setelah biduk berlalu.

            “Ain, Ibu Zai.. sebenarnya saya tahu kisah Lea tu.  Mungkin saya tak tahu kisah selepas mereka berpisah, tapi saya tahu siapa lelaki tu dan kenapa mereka tak berjodoh ketika itu.”  Diam.  Dua pasang mata tertumpa pada Datin Norseha.

            “Iya.  Semua salah saya.  Kalaulah saya tahu Azzalea berkawan dengan Fayyad masa tu, dan kalaulah saya tidak tetapkan tempoh kepada Fayyad untuk membawa calon menantu untuk saya, semua ni tak akan terjadi.  Lea tak akan merana, Fayyad juga tak akan merana.”

            “Iskhhh.. Datin, janganlah salahkan diri Datin pula.  Soal jodoh pertemuan ni semua urusan Tuhan, siapa kita nak tentukan,” pujuk Umi Ain lembut.  Hatinya hiba juga mendengar bicara Datin Norseha.

            “Betul urusan Tuhan, tapi kalaulah diberi sedikit petunjuk tentu sekali semua ni dapat dihindar.  Dulu, sayalah yang telah membuatkan Fayyad tenggelam punca hingga mengecewakan Lea.  Saya jugalah yang telah menetapkan pertunangan Fayyad dengan bekas isterinya sehingga Fayyad terpaksa mengecewakan Lea semata-mata kerana tidak mahu mengecewakan saya dan menjatuhkan maruah kami. Sebab terlalu ingin melihat anak saya mendirikan rumahtangga, terlalu ingin menimang cucu saya tak nampak apa yang berlaku sebenarnya.”

            “Datin, semua ibu pun ingin anak mereka bahagia.  Kita rasa apa yang kita buat tu betul, bukan salah Datin tu.”  Umi Ain cuba menyejukkan hati Datin Norseha yang semakin sebak.

            “Memang kita nak yang terbaik untuk mereka, saya pun rasa saya buat yang terbaik.  Tapi saya salah Ain, Ibu Zai.  Saya salah.  Sepanjang perkahwinan Fayyad dan Nurul Hanina, mereka tak pernah bahagia.  Macam mana nak bahagia kalau Fayyad memang tak dapat langsung buka hati dia untuk orang lain.  Tiga bulan selepas pernikahan, saya menyaksikan kesuraman hidup Fayyad.  Berjambang, cengkung dan jarang lagi bertegur sapa.  Wajah gembira dan hensem anak saya tu dah bertukar menjadi wajah yang saya tak kenal lagi.  Selepas tiga bulan itulah baru saya tahu apa sebenarnya yang berlaku, tapi saya pujuk Fayyad untuk teruskan perkahwinan itu.  Saya pujuk Fayyad untuk berusaha terima Hanina dalam hidupnya.  Saya pujuk dia, minta dia terima perkahwinannya itu perlahan-lahan demi saya dan papanya,”  kata-kata Datin Norseha terhenti di situ.  Dia terdiam seolah-olah mengingati kembali saat-saat itu.  “Saya saksikan dua tahun anak saya merana kerana saya dan bila dia buat keputusan untuk berpisah, saya terima.  Saya redha kerana saya tahu, di hati Fayyad memang tak ada orang lain kecuali Lea.  Dia merajuk dengan saya Ibu Zai.  Tiga tahun dia hilangkan diri Ain.  Tiga tahun…. Dia pergi macam tu je, tak ada khabar berita.  Puas Datuk dan saya cari tapi kami tak tahu kat mana dia pergi.  Kami pun cuba cari Lea, mana tahu kalau-kalau Fayyad cari dia tapi semuanya hampa.  Lea pun hilang macam tu aje.  Tahun ni, tiba-tiba Fayyad balik dan kami tahu, apa pun yang dia ingin lakukan, kami akan sokong dia.  Dia sahajalah anak yang kami ada, kami tak nak hilang dia lagi.”  Keruh.  Wajah manis Datin Norseha kembali disinggahi palitan sendu yang mencalar.

            Tubuhnya dirangkul kemas oleh Umi Ain yang turut tersedu.  Kedua-dua ibu itu menangis sambil bersandar di bahu masing-masing. 

            “Saya tak nampak apa yang Lea lalui sebab dia pergi jauh daripada mata saya.  Dia tak mahu saya lihat sengsara dia tapi nasiblah mak saudaranya tu selalu khabarkan pada saya tentang dia.  Sekurang-kurangnya saya tahu dia berada dalam keadaan macam mana.  Lea ingat saya tak tahu tapi hakikatnya saya diamkan sahaja kerana tidak mahu dia bertambah susah hati apabila memikirkan yang saya sudah mengetahuinya.  Alhamdulillah, dia berjumpa dengan insan yang betul dan tinggal di tempat yang betul untuk merawat hati dia masa tu.”  Umi Ain juga turut meluahkan rasa yang berbuku.  Benar, sehingga hari ini dia tetap merahsiakan apa yang diketahuinya daripada Azzalea.

            “Hmmm.. dah la tu Datin, Ain.  Dah begitu suratan takdir yang tertulis untuk mereka.  Sekarang ni baik kita fikirkan apa yang terbaik untuk mereka daripada kita kenang balik cerita lama tu,” pujuk Ibu Zai.  Kematangan Ibu Zai dalam mengharungi hidup memang tidak dapat dinafikan.  Anak matanya tidak menipu setiap yang dipandangnya. 

            Pelukan kedua-dua ibu yang kesedihan itu terungkai.  Masing-masing tertawa akhirnya mengenangkan bagaimana hanya dengan kisah pilu itu seakan mendekatkan hati kedua-duanya.

            “Nasib kita ye Datin..”

            “Itulah, bila jadi ibu ni semua pun kita simpan di sini,” ujarnya sambil memegang dada.  Hati ibu mana yang sanggup melihat kesedihan dan kesuraman dalam hidup anak mereka.  Tiada seorang ibu pun di atas dunia ini yang sanggup membiarkan derita menghampiri anak mereka malah sehari-harian mereka berdoa andai bisa segala kedukaan dan segala kepahitan anak-anak biarlah diberikan kepada mereka sebaliknya.

            “Saya tak tahulah di pihak Datin dengan Ain, tapi pada mata tua saya ni saya tahu mereka berdua tu masih punya perasaan.  Saya nampak setiap kali mata mereka bertembung semacam ada rasa kasih sayang tu terpancar.”  Ibu Zai mula membuka cerita.

            “Oh, kalau Fayyad tu memanglah.  Rupa-rupanya, dia dan papa dia dah berpakat nak tackle semula Azzalea tanpa saya tahu.  Baru-baru ni je saya dapat hidu apatah lagi hint yang Datuk beri pun macam membenarkan aje telahan saya tu.”

            “Hmmm.. kalau macam tu kita kena la tolong budak berdua ni, tapi….”  Kata-kata Ibu Zai terputus di situ.  Masing-masing beralih memerhatikan Ibu Zai yang mula berdiri dan berjalan mundar-mandir.  Alahai, dah macam Penyiasat Persendirian Kogoro Mouri dalam Detective Conan aje lagaknya.  Tangannya disilangkan ke belakang, sambil mundar mandir mulutnya diherot-herotkan.  Apalah yang difikirkan agaknya.

            “Tapi… Lea ni susah sikit kan,” tebak Umi Ain.  Ibu Zai mengangguk-angguk mengiyakan tebakan Umi Ain tu.  Betul dan tepat sekali.  Memang susah sikit dengan budak Azzalea seorang tu.

            “Lea tu saya tengok, dia cuba tanam rasa benci pada Fayyad tu.  Susah jugak nak lembutkan hati budak seorang ni.  Lainlah kalau Ain tahu cara nak pujuk dia, yelah ibu dia kan, mesti kenal anak dia macam mana.”

            “Hmmm.. Datin, Kak Zai.. saya rasa kita kena buat rancangan ni.  Kalau nak suruh saya pujuk, memang tak makan samanlah anak yang seorang tu.  Dah berbuih mulut saya ni.  Nanti saya minta tolong dengan adik-adik dia yang lain.  Ayesha dan Emeer tu pun boleh juga dibawa berpakat.”  Splendid!  Macam mana boleh terfikir idea yang cemerlang tu pada masa itu pun tak tahulah, tapi Umi Ain tahu dia harus lakukan sesuatu.  Mereka!

            “Kalau macam tu, kita diam-diam buat perancangan.  Saya on aje.”  Datin Norseha juga bersetuju.


            “Tak sabar nak dapat menantu lagi ye Datin,” usik Ibu Zai.  Senyuman manis gula batu dihadiahkan oleh Datin Norseha.  Berkobar-kobar semangat Datin Norseha dalam rancangan hendak menyatukan anak-anak mereka.  Iyalah, kesilapan lalu banyak mengajarnya.  Hari ini dia ingin melihat bahagia itu menjadi milik Fayyad dan Azzalea.  Harus begitu dengan izin Yang Maha Esa.


*****************

Kasihnya Ibu ~ Sharifah Aini

Kasihnya ibu 
Membawa ke syurga 
Kasihnya saudara 
Masa berada

Berkorban raga 
Rela binasa 
Berkorban nyawa 
Tanda kasihnya

Kasihnya ayah 
Sanggupkah berpisah 
Dan kasih anaknya 
Berkorban nyawa

Biar pun jiwa 
Akan tersiksa 
Ikhlas dan rela 
Asal kau bahagia


Salam penuh kasih sayang...
Kak Yus
27.6.13 @ 8.33am

3 comments:

  1. kak yus cepatlah bgi kawin dorang tu hehehe klu lea x mo sya amik fayyad hihi...

    ReplyDelete
  2. eleh mak datin nih... dah brcerai berai fayyad tu baru ler nak sedar... kalu tidak asyik nak guna kuasa veto n nak kena dengar cakap dia jah... mmg patut pun lea tu jual mahal sket... ajar sket dua2 si fayyad ngan datin tuh... kalo kaka yg jadi lea tak de nak ku layan lagi si fayyad nih... boleh blahhh... eheheee... jgn marah kat kaka ekkk... kaka cuma sakit ati n gerammmmmm sgt kat datin n fayyad juga,,,

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com