Monday 8 July 2013

SengkeTa CinTa ~ 27

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua kesayangan kak Yus...

Ermmm... macam mana dengan Ntry Biar Cinta Bertaburan II? Tak suka eh?? Tak ramai pun yg sudi komen untuk Kak Yus.. nak merajuk arrrr... hehehhee.  Ok, ingat lagi tak dlm Ntry yg lepas2, ada satu scene Lea mengamuk dalam kereta masa nak pergi rumah cousin dia Ayesha? Alah, yang dia bising2 tak hengat tu.. okey, kali ni kalian akan tahu siapa sebenarnya yg menjadi punca amarah Lea tu.. selamat membaca, semoga terhibur dan maaf atas ketidaksempurnaan ye..

**********************************





Pening. Pening. Pening.

Pagi-pagi buta dah diganggu dengan panggilan telefon.  Tak reti bahasa ke apa agaknya orang ni.  Kalau dah orang kata tak nak, tak nak lah lagi nak dirayu-rayu, dipujuk-pujuk.  Gila apa!

Melihatkan jam di dinding sudah pun melangkau angka tujuh setengah pagi, cepat-cepat Azzalea mencapai tuala yang tergantung di rak penyidai.  Sempat lagi dia menyebak langsir biliknya ke sisi pintu gelongsor.  Pintu gelongsor kaca itu dikuak pula ke tepi membenarkan udara segar dan nyaman pagi menerobos masuk ke ruang kamar tidurnya yang lapang.  Baru hendak menikmati kesegaran itu tapi deringan telefon mematikan moodnya.  Potong betullah, gerutu Azzalea.

Nombor yang tertera di skrin telefon direnung dan sekali lagi dia merengus geram. 

“Hello.”

“Awak, bolehlah saya nak jumpa awak sekejap.”

“Astaghfirullah Alazim,” mengucap panjang Azzalea.  “Awak nak saya cakap bahasa apa lagi ye. Tak faham, faham. Saya kata, saya tak nak jumpa awak, tak naklah.”  Tak faham bahasa betul, bebel Azzalea dalam hati.

“Tapi saya nak bincang dengan awak.”

“Tak ada apa yang perlu kita bincangkan, nak buat apa lagi?”  Sudah sedikit meninggi suara Azzalea.  Pagi-pagi kalau tak mendidihkan darah orang tak boleh agaknya lelaki ni.

Ada, kita perlu berbincang tentang kita.”  Suara itu semakin merayu, merayu dan terus merayu.

“Ya Allah, apa lagi tentang kita sedangkan kita tak pernah ada kita.  Sudah-sudahlah awak, saya penatlah nak layan awak ni.  P.E.N.A.T.” Siap diejanya perkataan penat tu. 

Talian telefon dimatikan, malah telefon bimbit Azzalea juga dimatikan terus.  Lantaklah, biar padan muka lelaki tu.  Huh, kalau Dirah nak telefon, tak boleh dapat talian telefon bimbit, talian telefon rumah kan ada.  Lagi pun hari ni dia memang tak masuk ke Tadika mahu pun taska.  Sekejap lagi Azzalea harus ke Plaza Alam Sentral yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Shah Alam.  Urusan pembaharuan Sijil SSM untuk Tadika dan Taska harus dilakukan secepatnya sebelum tempoh tamat. 

Azzalea juga bercadang hendak meronda-ronda seketika di kedai-kedai komputer yang ada di bangunan itu.  Dah lama tidak melihat gadget-gadget baru yang ada di pasaran.  Malah telefon Samsung Galaxy SII yang digunanya pun dah mencecah usia dua tahun tak pernah berganti.  Malas hendak mengikuti sangat perkembangan dunia teknologi yang semakin maju dan canggih.  Kalau nak bandingkan dirinya dengan Natasha dan Rizqiyah sudah tentu dia jauh ketinggalan.  Budak berdua tu, dalam tempoh dua tahun ni entah berapa kali dah tukar handphone.  Bukan sekadar handphone, siap dengan tab lah, Ipad lah.  Hish, budak-budak sekarang. 

“Choi! Pagi-pagi buta dah spoilkan mood orang tau,” bebel Azzalea lalu segera menarik tuala yang dicampakkan di atas katil dan menuju ke kamar mandinya.  Wangian daripada pewangi berjenama Hot Perfume yang tergantung di dinding kamar mandinya menyegarkan.  Bauan buah-buah Tutti Fruty yang dipilihnya memang menepati citarasa. 

“Alamak, lapar la pulak!”  Keluh Azzalea.  Sempat agaknya kalau dia singgah sebentar ke Tadika mengejek sepiring makanan daripada Ibu Zai.  Kalau ikutkan hari ni menu pagi karipap sardin dan bihun goreng Singapura untuk rehat.  Membayangkan makanan di kepalanya membuatkan perut Azzalea bertambah lapar.

Pancuran air yang mencurah di badannya terasa nyaman sekali dan sekaligus melupakan terus kelaparannya sebentar tadi.  Ralit dan leka dengan keenakan yang dihidangkan oleh pancuran itu. 

Ketika Azzalea tiba di Tadika, suasana masih sunyi.  Anak-anak kecil sedang belajar di kelas masing-masing, hanya kelihatan Ibu Zai yang mundar mandir di dapur dan itu pun dapat dilihat daripada jendela yang terbuka.

“Sedapnya bau..”

“Astaghfirulllah, hish budak ni.  Nasib baik tak sakit jantung, kalau tidak harus glamour satu kampung ibu masuk spital sebab terkejut,” bebel Ibu Zai yang terkejut dengan kehadiran Azzalea.  Salam tidak, berbunyi pun tidak tiba-tiba perkataan sedap je yang keluar.  Rasa nak sekeh-sekeh je kepala budak seorang tu, nasib baiklah boss. 

“Ala Ibu, Lea dah tak tahan lapar ni.”  Perutnya digosok perlahan.

“Teruk benar lapar kamu ni Lea, malam tadi tak makan lagi ye?”

“Tak sempat makan la Ibu, malam tadi sibuk buat kertas kerja untuk renovation Taska tu, lepas tu buat laporan untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat lagi.  Sedar-sedar dah jam dua belas setengah malam, kan tak elok makan tengah-tengah malam lagi pun Lea malas nak ke dapur dah.  Terus tutup laptop, tutup lampu, tarik selimut belayar ajelah.”

“Hish, lain kali kalau dah macam tu bawa la snek ke, biskut ke simpan dalam bilik.  Memang kamu ni elok kena kahwin Lea oii, biar ada yang jaga.”

“Iskh Ibu ni, ke situ pula.  Tak habis-habis lagi ye topik very the hot hari tu.  Laparlah Ibu, nak sikit bihun.”  Tangan Azzalea sudah menyuakan piring menadah bihun untuk disenduk.

“Nah, duduk la makan dulu nanti Ibu buatkan Nescafe panas ye.”
“Tak payah susah-susah la Ibu, air yang dah siap tu pun okey.  Sedap juga Milo tu saya tengok.”

Dek kerana kelaparan, tak sampai sepuluh minit pun Azzalea mampu menghabiskan sepiring bihun dan satu mug Milo tarik di hadapannya.  Memang sungguh lapar la tu.  Setelah mencuci piring dan mug yang digunakan, Azzalea sempat menjengok Ibu Zai yang sibuk mengatur piring-piring yang berisi bihun di atas meja.  Dia kemudian melangkah ke pejabatnya untuk melihat andai ada surat menyurat penting yang tertinggal.

“Hah Lea, dah terlanjur kamu ada ni tu kat dalam pejabat ada orang hantar barang untuk kamu,” ujar Ibu Zai menghentikan langkah Azzalea.

“Barang apa ibu?  Saya tak ada order apa-apa barang pun.”  Pelik. 

“Kamu pergi ajelah tengok kat dalam tu, katanya untuk kamu.”

Langkah Azzalea dipercepatkan.  Matanya tertancap pada sehelai sampul surat yang agak tebal dan tertera namanya.  Isi sampul surat itu dikeluarkan dan nota kecil yang terdapat bersama katalog itu dibaca perlahan.  Menyedari dia kesuntukan masa, cepat-cepat Azzalea memasukkan katalog itu ke dalam beg kerjanya dan bergegas keluar.

“Ibu, Lea pergi dulu ye.  Tolong tengok-tengokkan budak-budak tu ye Ibu.  Lagi satu, kalau ada lebih-lebih makanan tu ibu tolong hantar kat sebelah.  Kesian kat Mia tu, dia suka bihun Singapura ibu ni.”

“Iyalah, pergilah cepat.  Bawa kereta hati-hati ye Lea.  Jangan lupa, Subhanallazi sahhorolana haza wama kunna lahu mukrinin, wainna illa robbina lamun qolibun.”

“Tak pernah lupa ibu, muahhhh.”  Flying kiss dilayangkan untuk Ibu Zai membuatkan wanita itu tersenyum melihat kerenah Azzalea.  Macam-macam.

Mujurlah lalulintas berjalan lancar sahaja, memudahkan pemanduan Azzalea.  Volume radio dikuatkan tatkala terdengar lagu evergreen dendangan Jay Jay yang memang diminatinya.  Wah, sungguh tak sangka dapat mendengar lagu kegemarannya pagi itu.  Bestlah Suria FM ni, memang retro habis.  Mulut Azzalea juga turut mendendangkan lagu itu.

Di saat kupinta keputusanmu 
Kau masih menanyakan semalamku 
Bertanya tentang dia dan kehebatannya 
Sedangkan segalanya telah engkau tahu
Tiada rahsia hidupku

Di saat kulahirkan kekesalan
Sengaja kau mengambil kesempatan
Mengungkit perbuatan dan keterlanjuran
Kau ulang bercerita tentang hati luka
Membuat ku rasa berdosa

Demi masa depan yang kita mimpikan
Hapuskanlah kenangan yang mengusik perasaan
Tiap kali memandangmu tak terhingga kesalku
Maafkan aku sayang menodai kepercayaanmu

Andainya ku dapat menarik kembali
Detik-detik hitam yang berlalu
Kesilapan serupa tak akan ku ulangi
Cukuplah sekali menyakitimu
Cukuplah sekali kau membenciku


Menusuk kalbu sahaja alunan lagu Jay Jay ni.  Teringat kembali zaman persekolahan menengah bersama kawan-kawan gila menghafal dan menyalin lirik-lirik lagu yang hot ketika itu.  Memang terapi mindalah lagu-lagu ni sehinggakan kereta dibelok memasuki kawasan parkir pun Azzalea terasa sekejap sahaja.  Setelah mendapat parkir yang sesuai, semua borang dan dokumen penting dipastikan dibawa bersamanya. 

Azzalea bersyukur diberi ruang yang luas dan mudah dalam mengendalikan urusannya ketika itu.  Telefon bimbitnya berbunyi dan sms masuk dibaca.

Salam.  Maaf saya mengganggu cik Azzalea.  Boleh saya berjumpa dengan cik Azzalea?  ~ 013-2508864

Azzalea merenung nombor yang tertera namun dia tidak dapat mengecam nombor siapa.  Mesej dibalas.

Waalaikumussalam.  Maaf ye, boleh saya tahu siapa yang nak berjumpa saya ni? ~ Lea

Nama saya Juliana.  Cik Azzalea tak kenal saya tapi saya kenal Cik Azzalea.  Ada perkara penting yang saya nak sangat berjumpa dengan Cik Azzalea, kalau boleh secepatnya. ~ 013-2508864

Penting?  Hmm.. saya ada di Shah Alam sekarang, kalau Cik Juliana ada di sekitar sini insyaAllah, saya free selepas ni. ~ Lea.

Shah Alam? Kebetulan sungguh, saya pun ada di Shah Alam.  Cik Azzalea di mana ye ~ 013-2508864

Kalau Cik Juliana tak keberatan, saya di Plaza Alam Sentral.  Mungkin boleh bertemu di foodcourt dalam sejam lagi. ~ Lea

Okey.  Nanti saya call Cik Azzalea.  Terima kasih. ~ 013-2508864

          Hati Azzalea tertanya-tanya apakah agaknya yang sangat penting sehingga hendak berjumpa dengan dirinya.  Terfikir juga mungkin orang lain yang menghantar mesej itu.  Kalau lelaki itu bagaimana?  Bukan sukar pun hendak menyamar menggunakan nombor telefon lain dan nama orang lain.  Tapi rasanya tindakannya untuk bertemu di foodcourt itu sudah cukup bijak.  Iyalah, tempat umum dan terbuka lebih selamat.

Selesai urusannya di kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Azzalea segera beredar menuju ke foodcourt di aras tiga bangunan itu.  Bukanlah jauh pun, berhadapan sahaja dengan pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia itu pun.  Azzalea memesan secawan Jus Tembikai dan setelah membayar harga minumannya, dia berlalu mendapatkan meja yang tidak terlalu terpencil namun tidak juga terlalu terbuka yang dia rasakan sesuai untuk diadakan perbincangan.  Entah apalah yang hendak dibincangkan, semakin gusar apabila difikirkan.

Sementara menanti, Azzalea mengeluarkan katalog yang dikirimkan kepadanya itu.  Matanya memerhatikan nota kecil yang dikepilkan bersama katalog di tangannya.

Cik Azzalea,
As per our discussion earlier, you may go through this catalogue and make your selections at your choice for the kids playground.  All expenses will be borne by the Company.  Hope Wednesday afternoon would be perfect for our meeting to finalise this matter. 
Regards.
CEO,
Lestari Unggul Sdn Bhd

Nota kecil itu ditandatangani oleh Fayyad.  Memang dia kenal benar tandatangan tu.  Wednesday? Huh, bukan hari Rabu tu esok ke.  Asalehe betullah mamat ni, sesaja je nak buat orang huru hara.  Satu per satu alat permainan yang terpamer di dalam katalog itu diteliti.  Pemilihan harus dibuat dengan teliti.  Main bukan sebarang main, tetapi bermain haruslah dapat menjana minda dalam satu masa yang sama.  Azzalea tidak suka anak-anak di bawah jagaan dan didikannya tidak mendapat kebaikan penuh dalam melakukan sesuatu.  Dia mahu setiap yang dibuat mesti mendapat impak maksimum. 

“Assalamualaikum.  Cik Azzalea.”

Terkejut dengan salaman yang diberi, Azzalea mendongak ke arah pemilik suara yang menegurnya.  Di hadapannya, berdiri seorang wanita yang berusia di sekitar pertengahan tiga puluhan, berbaju kurung biru laut, bertudung bawal lengkap dengan warna sedondon dan sedang tersenyum manis memandangnya.

“Waalaikumussalam.  Cik Juliana ke ni?”  soalnya lalu bangkit seraya menghulurkan tangan untuk berjabat salam.  Salam disambut dan kedua-duanya kembali duduk berhadapan.

“Maaf Cik Azzalea, kalau saya mengganggu.”

“Tak apa Cik Juliana.  Err, panggil saya Lea je.”

“Kalau macam tu, panggil saya Kak Julia.”

Jeda.  Masing-masing hanya mampu merenung sama sendiri.  Mungkin sukar untuk memulakan bicara.  Azzalea yang merasa agak janggal terus melambaikan tangan memanggil pelayan lelaki yang kebetulan melewati mereka.

“Dik, boleh ambil order kakak berdua tak?”  Soalnya sopan.

“Boleh kak, akan nak makan apa?” 

“Kak Julia, orderlah dulu.  Saya dah order pun tadi.”  Azzalea menyerahkan menu kepada wanita di hadapannya.

“Err, bagi akak teh o ais limau satu, roti bakar satu.  Itu je dik.” 

“Sebenarnya, boleh Lea tahu macam mana Kak Julia kenal Lea?” Soal Azzalea setelah pelayan lelaki itu beredar.  Kekuatan dikumpul sekuatnya untuk merungkaikan persoalan yang berlegar di benaknya semenjak mendapat sms wanita itu.
Juliana menekan-nekan handphonenya seketika lalu dihulurkan kepada Azzalea.  Terbeliak anak mata Azzalea apabila melihat gambar yang tertera di dada skrin telefon bimbit milik Juliana.  Bukan satu, dua, tiga.  Confuse.  Bagaimana gambarnya boleh berada di dalam telefon bimbit Juliana.  Lagi bertambah pelik, macam mana boleh ada gambar-gambar itu sedangkan dia tidak pernah ingat pun dia ada mengambil gambar-gambar tersebut.

“Err.. Lea tak faham…”

“Memang Lea tak faham.  Akak pun tak faham tapi lama-lama akak semakin memahaminya.  Lea kenal Sufian Hamzah?”

Tersedak!  Bagai hendak terkeluar segala isi perut Azzalea apabila nama itu disebut.  Kenapa dengan lelaki itu?  Apa hubungannya dengan Kak Juliana?  Azzalea mengangguk perlahan.

“Kenal kak.  Dulu pernah berjumpa dengan lelaki tu beberapa kali di Kuala Selangor.  Lea berurusan dengan Encik Sufian tu untuk mendapatkan lesen Tadika dan Taska Lea.”

“Hmmm… gambar Lea semua ni akak ambil daripada handphone Sufianlah.  Sebenarnya, akak ni isteri Sufian.” 

Segera tangan Azzalea mencapai tangan Juliana yang diletakkan di atas meja.  Kemas dia menggenggam jari jemari wanita itu.

“Kak Julia jangan salah faham.  Saya tak tahu pun mengenai gambar-gambar ni, dan saya tak pernah ada hubungan apa-apa dengan suami Kak Julia.  Tak pernah!”  Kerisauan mula melanda hati Azzalea.  Dia tidak mahu dianggap perampas suami orang sedangkan dia sedia maklum, wanita yang sudah menginjak usia akhir dua puluhan sepertinya memang akan mudah disalah anggap oleh masyarakat.

“Lea jangan takut.  Akak bukan tuduh Lea ada hubungan dengan suami akak sebab sms suami akak semua akak baca.  Akak tahu dia yang terkejar-kejarkan Lea selama ni.  Akak juga kadang-kadang mencuri dengar panggilan yang dia buat kepada Lea.  Macam pagi tadi, akak dengar dia merayu-rayu pada Lea.”

“Kak Julia, saya tak mahu dianggap perampas kak.  Saya tak pernah terbuka pintu hati untuk suami akak atau mana-mana lelaki pun selama lima tahun ni.  Saya tak tahu macam mana lagi nak buat untuk lari daripada suami Kak Julia ni.”

“Sufian dah gila Lea.  Gilakan Lea.  Sampaikan kadang-kadang dia tersasul panggil akak dengan nama Lea.  Akak dah semakin takut.  Anak-anak pun dah nampak perubahan Baba mereka.  Akak tak nak anak-anak tahu masalah kami.  Akak tak tahu nak buat apa lagi Lea.”

“Ya Allah, apa Lea nak buat kak?”

“Akak pun tak tahu Lea, tapi kalau betul Lea nak tolong akak hanya ada satu jalan sahaja yang dapat akak fikirkan.”

“Lea nak tolong Kak Julia sebab Lea pun dah tak sanggup nak terima panggilan daripada suami Kak Julia tu lagi.  Lea tak suka orang merayu-rayu dengan Lea sampaikan kadang-kadang Lea terpaksa berkasar bahasa dengan dia.”

“Lea kahwin…”

Terkedu dengan idea yang tercetus dari bibir kecil Juliana.  Kahwin.  Gila.  Nak kahwin dengan siapa?  Nak kahwin semata-mata kerana nak lari daripada lelaki psiko ni?  Nak kahwin semata-mata nak selamatkan rumahtangga wanita di hadapannya ni?  Betul ke cadangan tu? Bernas ke?  Grrrr… sakit otak dibuatnya.

“Ye Lea, akak hanya nampak satu jalan sahaja.  Lea kahwin atau Lea cakap pada Sufian yang Lea nak kahwin.  Mungkin dengan cara tu dia akan berhenti ganggu Lea lagi.”

“Kak Julia, tak ada idea lain ke kak?  Kahwin bukan boleh main-main.  Lea nak kahwin dengan siapa kak?”

“Please Lea.  Akak merayu untuk rumahtangga akak.  Kalau bukan untuk akak, please do it for the kids.  They are so young and naïve.  They need their Baba’s attention, his love.  Please Lea, akak rayu.”  Air mata mula berlinangan di pipi Juliana.  Maruah dan harga dirinya digadaikan demi untuk sebuah kebahagiaan buat anak-anaknya.  Kalau pun bukan untuk dirinya yang sudah mati rasa, dia ingin melihat anak-anaknya tidak terkecewa dengan kekhilafan baba mereka.

“Kak Julia, jangan macam ni.  Lea akan buat apa sahaja untuk tolong akak.  Lea faham perasaan akak tu.  Lea faham perasaan anak-anak akak.  Lea pernah ada di tempat mereka dan Lea tahu sakitnya ditinggalkan seorang ayah.”

Perbualan mereka terhenti, memberikan ruang udara yang cukup buat mereka menarik nafas dan mencerna perasaan masing-masing.  Peliknya.  Dua orang wanita yang tidak pernah saling mengenali tetapi mampu duduk bersama memikirkan solusi terbaik dalam menyelesaikan permasalah yang ditimbulkan oleh insan yang bernama lelaki.  Lelaki yang hanyut dalam gelora hati yang berimankan nafsu tanpa meletakkan akal nan sembilan itu di pangkalnya. 

Saki baki minuman dihabiskan.  Sudah terasa agak lama di situ, Azzalea dan Juliana saling berpelukan dan bersalaman sebelum masing-masing mempamitkan diri.

“Terima kasih Lea atas ehsan yang Lea buat untuk akak dan anak-anak.”  Juliana tahu ucapan terima kasih itu sahaja tidak cukup, namun apalah yang dia ada untuk ditawarkan kepada Azzalea.

“Lea buat untuk kita kak.  Untuk kita yang bernama wanita.  Kak Julia jangan lupa calling-calling Lea ye.  Kita jangan putus di sini…” pesan Azzalea sebelum mereka beredar.  Juliana hanya menggangguk lesu dan meninggalkan Azzelea dengan langkah yang penuh pengharapan.

InsyaAllah Kak Julia, aku akan lakukan demi untuk kita. 





Salam kasih sayang...
Kak Yus
8.7.13

4 comments:

  1. Best! Teruskan usaha Kak Yus! Menantikannya lagiii! :)

    ReplyDelete
  2. Entah kenapa saya senyum aje ni. Kak Yus! Jalan cerita ni memang best dan tak pernah menghampakan. Kahwin? Oh My! Fayyad!!! Cepatlah pujuk rayu Lea ni. Oh, berdebor jantungku dengan perangai Sufian ni. Bahaya orang macam ni. grr... terima kasih kak Yus. love love :D

    ReplyDelete
  3. Best2...nak lagi..hehehe...
    Love u very tight Yus...From Nty Shah Alam wif ♡♡♥♡♡...
    Thumbs up Yus...

    ReplyDelete
  4. Kak Yusssssss.... Janganlah merajuk. Saya bacaaa...tapi x dapat komen sebab ada di hospital. Saya suka...saya suka. BCB 2 memang amat dinantikan. Buatlah kak...buatlah....

    Sayaaaaaaang akak.

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com