Thursday 22 March 2012

Seorang Perempuan Seperti Aku...




“Ibu, tudung kakak mana?”
“Ibu, stoking kat mana, abang tak jumpa cari”
“Sayang, kemeja biru abang  tu sayang letak kat mana?”

Pening?  Itulah jeritan dan laungan yang aku hadapi setiap pagi.  Selepas menunaikan solat subuh, rutin harian aku sebagai seorang perempuan yang bergelar isteri dan ibu akan meriah dengan laungan suara-suara mereka.  Seorang tak jumpa cari tudung, seorang tak jumpa cari baju, cari stoking dan macam-macam ragam lagi.  Kalau nak diikutkan kalut, memang kalut.  Tak sempat nak jamah itu, ini pula yang perlu diselesaikan.  Belum sempat selesaikan yang ini, yang itu pula perlu dibereskan.  Kalau tak kuat, mahu dah tempah tiket ke wad mental di Tampoi tu.  Tapi Alhamdulillah, perempuan bergelar isteri dan ibu seperti aku, punya kekuatan yang tiada tandingan.  Malah, suami aku sendiri pun angkat tabik dengan kekuatan yang aku ada.

Tudung dan kemeja biru yang siap digosok dan masih bergantung cantik di bilik utility kuambil.  Segera kuserahkan kepada tuan masing-masing.  Anak lelaki yang semakin membesar dan baru dua tahun menceburi dunia persekolahan aku sapa lembut.  Perlahan stoking di tangan kuserahkan.  Masih terkial-kial lagi hendak menyarungkannya.  Laju tangan seorang ibu ini membantu.  Aku yang ke hulu ke hilir sejak jam lima pagi tadi pun tidak sekalut mereka.  Itulah, dah penat mulut membebel menyuruh anak-anak ini bangun lebih awal, tetapi tetap juga sayangkan mata lebih daripada segalanya.

Setelah memastikan segalanya sempurna, aku bergegas menyediakan meja makan.  Hidangan untuk sarapan kuhidang satu persatu.  Sarapan adalah perkara wajib yang perlu diambil oleh anak-anak sebelum ke sekolah.  Walau pun hanya secawan Milo panas, sudah memadai.  Pagi ini, aku terlebih rajin.  Melihatkan tin sardin yang tersusun cantik di dalam almari dan bungkusan roti yang dibeli suamiku malam tadi, timbul idea untuk menyediakan sardine roll untuk sarapan.  Jam lima pagi lagi, aku sudah tercangok di dapur, menumis sambal sardin, menggulung roti, mengukus dan akhirnya menggoreng satu persatu sardine roll itu.  Pernah juga aku ditanya jiran-jiran, mengapa rajin sangat aku mengukus dahulu roti yang telah digulung dengan sardin itu.  Kan mudah, kalau terus digoreng.  Jawapanku mudah, supaya ia tidak terlalu berminyak ketika makan.  Seorang ibu seperti aku, kesihatan anak-anak adalah perkara pertama yang aku perlu fikirkan.

“Ibu, kakak pergi dulu.  Sayang ibu,” Bella, anak sulungku menyalami dan memelukku erat sebelum masuk ke perut kereta.
“Ibu, Iman pergi dulu,” tanganku sekali lagi disalami oleh anak perempuan keduaku.  Pipiku dicium lembut.  Anak perempuan aku yang seorang ini nampak ganas, boyish, tapi hatinya lembut.  Ada kebun bunga kat hati tu.
“Ibu, duit belanja abang ibu tak bagi lagi,” laung pula anak lelakiku.  Inilah sahaja hero yang aku ada dan hero ini memang tak akan lekang dengan perkataan duit di mulutnya.  Dua keping not satu ringgit aku hulurkan kepadanya dengan pesanan agar menyimpan wang sakunya elok-elok.  Tanganku disalami lalu Adib memelukku erat.

Rambut Aysha yang bertocang kubetulkan.  Anak perempuan akhirku ini juga sudah memulakan alam persekolahannya di pra-sekolah.  Awal pagi telah bangun dan bersiap ke sekolah seperti yang lainnya.  Badannya kupeluk kemas.  Badannya yang kecil itu mudah sahaja kuangkat. Kucium pipinya bertalu-talu lalu terkekek-kekek tawanya kedengaran.  Memang periang anak yang seorang ini.

Akhir sekali, bayi besarku yang paling manja.  Tentu sekalilah suamiku yang tersayang.  Kemeja birunya kurapikan.  Pipinya kuusap seketika.  Senyuman paling manis aku ukirkan di wajah agar senyuman itu mampu menjadi penawar lelahnya seharian di tempat kerja.  Wajah kudongakkan agar mudah suamiku yang melampai tinggi itu mengucup dahiku seperti kebiasaan.  Tangannya kusalam lalu kukucup lama.  Ada rasa pilu di hati setiap kali suamiku ini keluar bertugas.  Terasa seperti separuh daripada nyawaku dibawa bersama.  Perasaan kasih dan sayang untuk lelaki yang berdiri di hadapanku ini semakin menggunung setiap hari.  Dalam hati ini, penuh dengan rasa cinta yang tak pernah berkurangan.  Tubuh itu kudakap kemas.  Seperti selalu, ada tawa di bibirnya setiap kali aku berpesan agar tidak melupakan aku walau pun sesaat.

Apabila semuanya telah hilang daripada pandangan mata, aku meneruskan rutin harian dengan tugasan yang tak pernah habis.  Menguruskan semua kerja rumah yang memang terletak sepenuhnya di bahuku.  Sedang asyik memotong sayuran di dapur, telefon bimbit menjerit-jerit minta diangkat.

“Hello assalamualaikum,”
“Waalaikumussalam,” salam bersambut.
“Kak, saya nak order foot patch.. ada lagi tak stok?”
“Adik nak berapa?  InsyaAllah, ada lagi stok kat rumah ni,” balasku mengira-ngira di kepala jumlah baki stok yang masih ada.
“Saya nak tiga ribu keping kak.  Harga biasa ye kak?” ujar suara di hujung talian.
“Aah, harga biasa.  Nak bila ni?” soalku semula.  Mudah untuk aku menguruskan urusan pembungkusan jika tahu lebih awal bila barang dikehendaki.
“Saya bank in petang ni juga.  Akak boleh pos esok?” soal suara itu kembali.
“Boleh je.  Nanti dah bank in jangan lupa sms akak details pembayaran, nama dan alamat.  Kalau tak sms nanti kesian pula posmen tak tau nak hantar kat mana,” jawabku sambil berseloroh.  Terdengar tawa menyambut selorohku di hujung sana.  Setelah mengucapkan salam, talian dimatikan.  Terkilan juga aku kerana terlupa untuk bertanya siapa di talian sebentar tadi.

Hah, seorang suri rumah tangga seperti aku juga mampu berdiri di atas kaki sendiri.  Walau pun tinggal di rumah tetapi aku tidak pernah out dated dengan kecanggihan teknologi IT masa kini.  Internet di rumah tak pernah putus, dan Alhamdulillah, melalui itu juga aku berniaga sambil-sambilan.  Hasilnya, aku mampu membantu suami menguruskan ekonomi rumah tangga kami. 

Kerja-kerja di dapur segera aku bereskan.  Jam dua belas tengah hari, waktu aku bertukar tugas akan bermula.  Daripada menjadi bibik, ibu, isteri, businesswoman kini aku akan bertugas sebagai seorang supir pula.  Mengambil anak-anak dari sekolah.  Tugas ini aku galas dengan rela hati.  Tak sanggu aku melihat anak-anak kecilku itu berlarian menunggu bas sekolah tiba, berebut-rebut dan kadang-kala berjalan kaki pulang akibat ketinggalan bas sekolah.  Tak sanggup aku memikirkan sebarang risiko yang akan dihadapi mereka.  Membaca berita-berita tentang kes-kes kehilangan, penculikan dan macam-macam kes yang terjadi terhadap anak-anak kecil ini pun sudah mampu membuatkan aku teresak-esak, inikan pula jika terjadi pada diri aku.  Air mata darah pun tidak mampu menebus kekesalan.  Inilah hartaku, inilah amanahku.  Akan aku pikul dan jaga amanah ini sebaiknya.

Teringat aku pertanyaan Mak Ngah Ani semasa dia datang menziarahi aku satu waktu dulu.  Mungkin padanya pertanyaan itu adalah perkara biasa bagi orang-orang seperti mereka.  Tapi pada aku, pertanyaan itu menjadi pembakar semangat aku untuk terus membuka mata mereka.

“Mak Ngah nak tanya ko sikit, tapi ko janganlah marah pula kat Mak Ngah,” ujar Mak Ngah Ani ketika kami duduk sambil menikmati kopi tenom yang enak di luar rumah.
“Hah, Mak Ngah nak tanya apa, tanyalah.  Belum tanya nak marah apanya,” balasku.  Hati merasa cuak juga mendengarnya namun segera aku biarkan rasa itu berlalu.
“Ko ni belajar tinggi-tinggi.  Dah elok-elok kerja gaji sikit punya tinggi, beribu-ribu, yang ko berhenti tu kenapa?  Tak sayang ke?” soalan cepumas rupanya yang keluar daripada mulut Mak Ngah.  Malah bukan Mak Ngah seorang sahaja yang pernah bertanya aku mengenai perkara itu.  Agak-agaknya, ada baik juga kalau aku ikutkan sahaja saranan Bella, anak sulung perempuanku itu supaya merekodkan jawapanku di dalam kaset.  Mudah sikit, tak perlu aku mengulangi jawapan yang sama.  On kan saja tape recorder tu.  Hish, boleh pula melalut ke situ.  Wajah Mak Ngah aku tenung.  Segaris senyuman mula melebar di bibirku.
“Mula-mula tu sayang juga Mak Ngah.  Yelah kan, gaji dah selesa.  Kerja pun dah ok tapi bila Angah fikir-fikirkan rasanya pengorbanan yang Angah buat hari ni berbaloi sangat.  Jika diberi peluang bekerja lagi, Angah tetap akan menolaknya.  Dengan pendidikan dan ilmu yang Angah ada hari ini, boleh juga Angah gunakan untuk membantu pelajaran anak-anak.  Malah anak-anak jiran juga dapat tempiasnya.  Alhamdulillah, pendapatan sebagai guru tusyen sambilan di rumah ni pun sudah lebih daripada pendapatan Angah dahulu.  Cuma orang tak nampak cara Angah bekerja,” terangku.  Mak Ngah masih kelihatan tidak puas.  Berkerut-kerut dahinya menelan jawapanku.
“Hmm.. kalau ko kahwin dengan budak lawyer tu dulu tak adalah ko hidup macam ni.  Budak tu tergila-gilakan sangat kat ko, sampai sanggup hantar orang masuk meminang dua tiga kali,” tukas Mak Ngah mengubah topik.  Topik yang tadi pun belum habis aku kupas, dah masuk pula cerita lama berkisarkan jodoh ni.  Hal ini sentiasa berulang-ulang di mulut Mak Ngah.  Entah bilalah Mak Ngah nak melupakan cerita penolakan aku terhadap tiga kali peminangan En. Malek, sahabat lawyer bos aku dulu tu.  Dahlah tua sepuluh tahun daripada aku, buaya darat pun boleh tahan tu.  Budak itu juga yang berkenan di hati Mak Ngah.  Malah ibu juga sama seperti Mak Ngah.  Makan tahun juga baru lenyap nama mamat tu di mulut ibu.
“Mak Ngah, semua ni kan jodoh.   Dah ditentukan Angah kahwin dengan Ku Din, kami pun hidup bahagia sangat,” balasku.  Aku tahu jawapan aku itu masih tidak dapat memuaskan hati Mak Ngah.
“Memanglah bahagia.  Tapi kalau ko kahwin dengan si Malek tu, hidup ko mewah.  Ada rumah besar, kereta besar, tak adalah duduk di flat macam ni,”  Tersentap juga hati aku mendengar tutur Mak Ngah.  Sungguh tidak bernas kenyataan yang diberi.  Namun cepat-cepat aku menenangkan hati agar tidak terlepas kata-kata yang akan menyakiti hati Mak Ngah.  Walau pun Mak Ngah bukan ibuku, namun taraf Mak Ngah padaku tetap searas dengan ibu.  Menyakiti hati Mak Ngah, samalah seperti menyakiti hati ibuku sendiri.
“Mak Ngah bahagiakan hidup dengan Pak Ngah?  Walau pun hidup di kampung, rumah papan tapi Mak Ngah sayang Pak Ngah kan?  Samalah juga dengan Angah, kebahagiaan tak diukur dengan harta benda, kemewahan.  Ia diukur dengan rasa kasih dan sayang yang melimpah ruah dalam rumah tangga.  Tak ada orang yang sayang Angah sebanyak Ku Din sayang Angah.  Tak ada orang yang sanggup melayan karenah Angah seperti Ku Din yang penyabar.  Angah kenal En. Malek tu bagaimana orangnya.  Kenapa Angah tolak dia?  Kerana Angah tidak mahu diri Angah dipersia-siakan nanti.  Angah tak sanggup mengambil risiko berkongsi kasih sayang dengan perempuan lain.  Sebelum Angah ambil keputusan dulu, Angah telah timbangkan segalanya semasak-masaknya,” ujarku lembut.  Tangan tua Mak Ngah aku usap. 
“Aku bukan apa, aku kesian tengok ko.  Terkejar ke sana, terkejar ke sini.  Uruskan rumah tangga, anak lagi.  Aku pernah rasa susah membesarkan anak-anak, aku tahu macam mana penatnya ko setiap hari.”  Oh, sungguh syahdu aku mendengar luahan hati Mak Ngah.  Rupa-rupanya selama ini, Mak Ngah risaukan keadaanku.  Mak Ngah fikirkan segala kebaikan untuk diri aku.  Tubuh tua Mak Ngah aku peluk erat.
“Mak Ngah, terima kasih kerana Mak Ngah ambil berat tentang Angah.  Setiap apa yang Angah buat, tak pernah ada rasa sesal.  Tak pernah ada rasa terbeban.  Angah bangga Mak Ngah, bangga jadi seorang ibu, seorang isteri dan seorang anak.  Angah bangga jadi Angah hari ini,” ucapku penuh semangat.  Biarlah semangat seorang ibu ini tak luntur dek panahan acuman.

Bunyi pintu kereta dibuka mematikan lamunan panjangku.  Sambil tersenyum, Aysha mengucapkan salam lalu memboloskan diri ke perut kereta.  Setengah jam kemudian, Adib pula menyusul dan seterusnya Bella dan Iman.  Beginilah rutin seorang supir seperti aku.

Setelah selesai makan tengah hari dan bersiap, sekali lagi aku bertugas menghantar anak-anak ke KAFA yang terletak berhampiran rumahku.  Di sinilah anak-anakku mengejar ilmu akhirat.  Di sinilah, aku letakkan impian agar ada di antara mereka yang mampu menjadi seorang hafiz dan hafizah yang berjaya.  Aku mahu melakar namaku dan nama suamiku di salah satu pintu syurga dengan lahirnya seorang lagi tahfiz di kalangan anak-anakku.  Setiap hari aku berdoa, agar jalan yang telah aku corakkan di hadapan mereka akan mudah dimudiki.  Biarlah segala rintangan itu dapat ditolak ke tepi.

Lewat petang, keriuhan anak-anak kembali memeriahkan suasana rumah.  Terdengar gelak tawa mereka, usik mengusik dan ada yang terjerit-jerit disakat.  Telinga ibu ini sudah lali dengan suara riuh rendah mereka.  Suamiku yang baru pulang menyandarkan diri di sofa kepenatan.  Kasihan melihat suamiku yang tercinta ini.  Bekerja seharian mencari nafkah untuk kami.  Aku masih lagi dengan pakaianku yang tidak tersalin daripada pagi.  Basah dan kering di badan inilah.  Kalau pagi tadi sibuk di dapur menyediakan juadah tengah hari, kali ini sibuk lagi di dapur menyediakan juadah makan malam. 

Berketang-keting bunyi pinggan berlaga di sinki.  Sudah tentulah Bella yang mencuci pinggan.  Setiap anak telah kuberikan tugas mereka dalam menguruskan kerja-kerja rumah.  Setiap kali selepas makan, Bella bertugas mencuci pinggan mangkuk manakala Iman pula mengemas dan membersihkan meja.  Adib pula kerja mengangkut pinggan mangkuk dari meja ke dapur untuk dicuci.  Aysha pula lebih suka membantu Iman.  Semangat saling bekerjasama begini aku serapkan seawal mungkin agar nanti bila dewasa, kasih sayang tidak akan luput dalam diri mereka.  Walau apa pun yang datang merintang, jalinan kasih adik beradik tak mungkin terputus.

Jam di dinding menunjukkan angka sebelas malam.  Suamiku sudah melelapkan mata dan anak-anak juga sudah lama lena beradu.  Hanyut dibuai mimpi-mimpi indah.  Sudah sejam setengah kelas malamku berakhir.  Stress dengan anak-anak murid yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi semakin berkurangan.  Di sini aku, di atas sejadah ini duduk berteleku sambil memanjat doa ke hadrat Ilahi.

Ya Allah, kepadaMu aku serahkan segalanya.  Sesungguhnya, aku tidak pernah menyesal menjadi aku hari ini.  Aku bangga menjadi seorang ibu yang mampu mendidik anak-anakku dunia dan akhirat.  Mampu berkongsi ilmu yang kau berikan ini demi membantu anak-anak kecil yang dahagakan ilmu yang datang mengetuk pintu kecil rumahku.  Aku bangga menjadi pembantu dan peneman kala susah dan senang suamiku.  Aku gembira menjadi pendengar bicaranya.  Aku bahagia dengan kasih sayang yang tak pernah kurang sedikit pun dalam keluarga kami.  Andai ada kebaikan yang pernah aku lakukan, Kau berikanlah hasilnya itu kepada kedua ibu bapaku kerana didikan merekalah aku di sini mengadapMu.  Aku bangga Ya Allah, menjadi seorang perempuan seperti aku.  Tak perlu wang berjuta, emas permata melilit di badan, rumah tersergam indah, cukuplah sekadar yang ada bersama mereka yang benar-benar menyanyangiku.  Ya Allah, Kau tetapkanlah hatiku agar tidak berbolak-balik.

Akulah perempuan itu, tak pernah kecewa menyandang gelaran seorang anak, kekasih, teman, guru, ibu, isteri dan pembantu.  Akulah itu!!

Seorang perempuan seperti aku
Tak minta segunung intan permata
Tak minta wang berjuta
Cukuplah hanya dihargai
Dikasihi dan dicintai
Diterima seadanya

Seorang perempuan seperti aku
Punya hati yang tak bisa dimengertikan
Punya rasa yang tak mampu diluahkan
Punya jiwa yang penuh kasih sayang

Seorang perempuan seperti aku
Usah sesekali kau sakiti
Kerna pabila sekali terluka
Parutnya sangat berbisa


***************************

Sayang2 Kak Yus.. Dzil & Acam berehat sebentar sehari dua ni, moga cerpen yang akak garap ini dapat sedikit perhatian daripada sayang2 kak yus semua..selami hati seorang perempuan yang bergelar ibu n isteri.. maaf utk typo error dan segala kekurangan.. sudi-sudilah drop sepatah dua kata utk kak yus.. (suka membaca pesanan2 sayang2 kak yus di sini..)

Salam kasih sayang drp. Kak Yus..

~Kak Yus ~
22 March 2012 .. 6.29pm





16 comments:

  1. begitu lh kita perempuan..
    nasib dpt yg pandai menghargai...

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.. moga ada bahagian kita di sana nanti...

    ReplyDelete
  3. wah... kisah sendiri ek? hehe..
    AWESOME ! ^__^

    ReplyDelete
  4. syahdu membacanya..bangga nye mnjadi seorang wanita .

    ReplyDelete
  5. Ayumi laling ~ sesekali berkongsi rasa.. hehehe


    Anonymous ~ mmg patut bangga jd kita.. wanita, makhluk Tuhan yg lemah fizikal, tp kekuatan jiwa tiada tandingan..

    ReplyDelete
  6. cite akak ker ni. salute kak. hampir sama jer perjalanan hidup kita, cuma sy xsanggup nak behenti keje jer. hihihi.

    ReplyDelete
  7. tni ~ lebih kurang cam tulah.. moga blh inspired sayang2 kakyus yg lain..hidup tak berhenti di situ shj wlaupun duk kat rumah kan..byk yg kita boleh buat n bantu suami.. n k.yus pun solute pd tni n ibu2 berkerjaya, boleh balance masa.. susah tu..

    ReplyDelete
  8. kak Yus,sungguh terharu...& terbaeek...:)

    ReplyDelete
  9. nice.. all de best

    ReplyDelete
  10. MissxYana ~ bangga jd ppuan kan.. n tq sbb suka..

    ReplyDelete
  11. inilah kisah k.yus kan? leh terbayang2kan rutin k.yus seharian.... samala cam dinda..tp dinda byk abeskan masa kat dapur.. a lil bit bz melayan kerenah abg eyman & bby mia yg macam2 nie.... apapun bravo to all of us...

    ReplyDelete
  12. hehe Dinda.. bila anak2 dah besar, lain lak ceritanya.. tp pe pun banggakan kita jadi supermom..

    ReplyDelete
  13. kren critanya..
    rasanya hanya segelintir org yg mampu tgglkan krja

    ReplyDelete
  14. best la baca cerpen kak yus, ada sambungan lagi tak..

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com