Monday 26 March 2012

Perutusan Kasih ~ Prolog



Fayyad merenung lama kad merah berbentuk hati itu.  Sekejap dia meletakkannya di atas meja, sekejap lagi diangkat kembali.  Sesekali tulisan di dalamnya dibaca.  Masuk kali ini sudah enam kali dia mengulangi perbuatan yang sama.  Setiap kali membaca tulisannya sendiri, setiap kali itu jugalah ada lirih di hatinya.  Terpukul dengan kata-katanya sendiri.  Pena dicapai lalu tangannya mengatur kata-kata lagi.  Mencari ayat-ayat yang paling lembut agar tidak lebih melukakan hati pembacanya. 

            Sudah banyak kelukaan yang dibawa dalam hidup gadis bernama Amira Qaireen Azzalea itu.  Dia menghulurkan harapan dan dia jugalah yang akan menoktahkan harapan itu tanpa dapat menjelaskan apa-apa pun.  Bukan sedikit kesakitan yang diberikan hingga menjadi penyebab gadis itu dimasukkan ke hospital.  Tiada sekelumit pun di hati lelakinya itu niat untuk menyakiti gadis yang disayanginya.  Azzalealah jantungnya, jiwanya. 

            Coretan yang telah siap ditulis dibaca lagi.  Kali ini, bersama hati yang hancur luluh.  Dia menyumpah dirinya sendiri kerana tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menghancurkan hati gadis itu.  Tak sanggup untuk menulis lebih panjang.  Hatinya turut mati bersama kata-kata yang termati di kad ucapan kecil itu.
Azzalea sayang,
Selamat menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-24.  Maaf atas segala yang terjadi.  Saya tidak pernah berniat untuk menyakiti awak.  Melukakan hati awak sama seperti merobek hati saya sendiri.  Tapi saya terpaksa melepaskan awak pergi.  Mungkin takdir tidak mahu kita bersama dalam permainan hidup yang kejam ini.  Tabahlah sayang untuk hadapi hari depan.
Mencintai awak adalah perkara terindah pernah berlaku dalam diri saya. 
Fayyad Iskandar

            Dia tahu pasti Azzalea akan kecewa dengan kehadiran kad kecil itu.  Siapalah yang mampu menahan pilu apabila menerima kad seperti ini di hari bahagia mereka.  Lebih-lebih lagi daripada orang yang disayangi.  Orang yang telah mendapat tempat istimewa di hati.  Tentu hati gadis itu terluka dengan apa yang tertulis di dalamnya.  Hati kecil gadis itu akan tersayat dengan keputusannya tapi yang lebih pasti dia sendiri akan lebih merana dengan perpisahan itu.

Sebelum kad itu pergi mendapatkan penerimanya, biarlah dia melayan perasaannya sendiri.  Mengingati setiap detik indah bersama insan yang bernama Azzalea.  Gadis yang akan sentiasa di hatinya.  Gadis yang pertama mencuri setiap inci ruang di hati lelakinya.  Gadis yang tak pernah pudar daripada ingatannya.



************************
Sayang2 Kak Yus.. first n3 untuk Perutusan Kasih.. maaf utk sgl kekurangan, bab 1 akan menyusul.. 

2 comments:

  1. mesti ade sbb dia nk bg kad perpisahan 2 kan tapi sedikit kejam sbb bagi time beday Azzalea..sedih..

    ReplyDelete
  2. kejam nyer bg time birthday...

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com