Saturday 10 March 2012

Semerah Perutusan Luka Darimu ..

Cerpen Semerah Perutusan Luka Darimu ini digarap khas untuk memeriahkan lagi Peraduan Menulis Cerpen anjuran Komuniti Enovel bersempena dengan penerbitan sebuah karya hebat nukilan Ridha Reewani, Merah Cinta Epal.

~ Rasa Cinta Kita Seperti Manisnya Epal Merah ~
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~






            Suis komputer segera aku matikan.  Lampu bilik En. Eshan telah lama dipadam.  Bayang En. Eshan pun sudah lama tenggelam.  Jam di dinding menunjukkan angka lapan malam dan aku masih lagi tercegat di hadapan meja kerjaku menanti deringan telefon.  Bilalah telefon ni hendak berdering agaknya, hatiku mula berkata-kata.

            Jambangan bunga yang berada di depan mata, kubelek sekali lagi.  Sekuntum ros merah kutarik daripada jambangan lalu kucium.  Harum.    Senyuman terlukis di bibir kecilku mengenangkan betapa dia cuba mengambil hatiku.  Setiap kali kami akan keluar bersama atau sesudah kami keluar bersama, pasti ada jambangan bunga yang akan sampai ke mejaku.  Dalam sebulan, setiap minggu pasti ada sehinggakan En. Eshan sendiri sering kali menggelengkan kepala.  Dia tahu, aku peminat bunga nombor satu.

            “Ni pejabat ke, kebun bunga Azzalea,” pernah En. Eshan menegurku ketika melihat beberapa jambangan bunga berada di bilik kecilku di pejabat itu.

            Waktu itu, tiga hari berturut-turut aku dan dia makan tengah hari bersama, dan penyudahnya, tiga petang juga aku dikunjungi budak penghantar bunga dengan jambangan bunga-bungaan itu.  Hendak di bawa pulang, aku carpool.  Segan juga pada pemilik kenderaan untuk berangkut jambangan bunga itu, lalu aku biarkan sahaja ia bertapa di bilik kecilku ini. 

            Deringan telefon di meja mematikan lamunanku.  Bunga di tangan kuletakkan kembali.  Laju tanganku mengangkat telefon dengan hati yang berbunga.

            “Assalamualaikum,” ujar suara itu di hujung talian.  Aku tersenyum.
            “Waalaikumussalam, awak dah kat mana?” balasku sambil menarik beg tangan daripada laci meja.
            “Dah dekat bawah ni, maaf lambat sikit.”  Suara itu terasa lembut di pendengaran.  Ah, tak kisahlah lambat sedikit, asalkan datang.
            “Ok, awak tunggu saya kejap ye.  Nak keluar dah,” balasku laju melangkah ke pintu utama. 

            Aku melemparkan senyuman ke arah jejaka yang sedang elok bersandar di pintu kereta itu.  Hmm, wajah yang putih bersih bersama senyuman manis menyambut kehadiranku.  Melihat senyuman itu sahaja sudah cukup membuatkan aku lupa segalanya.  Senyuman itu mampu menggoyah hati gadisku.  Jantung ini terasa bagaikan hendak terkeluar daripada badan. 

            “Sorry awak, saya lambat tadi.  Mesyuarat lambat habis pula hari ni.  Ada orang lagi ke kat ofis awak tadi?” Soal Fayyad lalu membukakan pintu kereta untukku.
            “Semua dah balik tadi, saya tinggal seorang je,” balasku.  Ada riak kesal bertandang di wajah Fayyad.
            “Alah, kesiannya Lea.  Iyad betul-betul minta maaf ye,” ujarnya bersungguh-sungguh.  Jari jemariku diraih lalu dibawa ke bibirnya. 

Alamak! Dadaku dah berdebar dengan perlakuannya.  Dikucupnya jejariku lembut.  Alahai Fayyad, janganlah romantis sangat, takut nanti tak boleh tidur aku dibuatnya.  Enjin kereta dihidupkan dan kereta dipandu laju membelah kesibukan kota yang masih tak lena dengan penghuninya.  Sesekali aku menjeling wajah Fayyah yang tenang memandu.  Tangan sasanya kejap memegang stereng.  Hanya lagu-lagu yang diputarkan di corong radio sahaja yang mengisi ruang sepi antara kami.  

            Kereta di parkir di hadapan Restoran Taj yang terletak di Medan Tuanku, tempat selalu kami habiskan masa bersama sambil menikmati makan malam.  Fayyad memang suka menikmati roti sardin di restoran itu.  Aku pula sekadar melayan capati atau sesekali tose hidangan restoran itu sudah memadai.  Suasana restoran yang lengang menjadikan suasana lebih sunyi.  Entah kenapa, setiap kali kami bersama, mulut seakan terkunci untuk berbicara.  Aku curi-curi merenung wajah Fayyad.  Terimbau kembali kenangan pertemuan pertama kali kami.

            Waktu itu, kami sama-sama melibatkan diri dalam persatuan belia di kawasan kami tinggal.  Fayyad menjadi Naib  Pengerusi manakala aku seperti biasa menjadi Setiausaha persatuan.  Sebulan sekali kami akan bermesyuarat membincangkan aktiviti yang bakal dirancang untuk ahli-ahli persatuan.  Bermula daripada situlah, kami mula bermain mata.  Sehingga suatu hari Fayyad meluahkan rasa hatinya untuk mengenaliku dengan lebih rapat.  Aku pula, sememangnya telah mula menyukai Fayyad menerima hasratnya itu dengan hati yang terbuka.  Semenjak itulah, hubungan kami bermula.  Dari hari ke hari, semakin mekar rasa di hati ini.  Walau pun kami tidak pernah meluahkan rasa hati, tapi setiap tingkah, setiap tutur kata, setiap perlakuan seakan menunjukkan keintiman kami.

            “Dah sampai bulan ye,” suara Fayyad mematikan lamunanku.  Tersengih aku dengan tegurannya.
            “Nak naik dengan apa, roket ke kapal terbang?” balasku bernada seloroh.  Seronok juga melihat wajahnya yang terseringai sengihan tu.  Pandai pula nak perli aku.
            “Awak, weekend minggu depan nak ikut tak?”
            “Ikut pergi mana?” soalku kembali.
            “Saya dengan dua tiga orang lagi ahli kumpulan nak pergi buat survey kat Cherating untuk program Belia kita tu, awak nak ikut?” Adakah ini satu pelawaan?  Wah, dah lama tak cuti-cuti Malaysia, seronok juga kalau dapat turut serta.
            “Boleh juga, awak ambil saya boleh?” ujarku gembira.
            “Saya yang ajak awak, mestilah saya yang jemput awak.  Awakkan amanah saya,” balasnya sambil merenungku.  Pandangan matanya yang redup itu membuatkan jiwaku bergetar.  Aku segera menundukkan wajah, bimbang dia akan menebak gelora di hati.
           
            Fayyad menghantarku pulang sedikit lewat.  Kami sempat menyusuri keindahanan Bandaraya Kuala Lumpur yang sentiasa tidak pernah sepi dengan penghuninya.  Setiap jalan pasti akan penuh dengan kenderaan walau pun waktu sudah menginjak ke tengah malam. 

            Deru ombak laut menyambut kedatangan kami.  Sebaik sahaja kereta di parkir di hadapan chalet, aku terus berlari ke arah pantai.  Telah terlalu lama aku tidak bertamu di daerah ini.  Seingat aku, kali terakhir aku ke Cherating sewaktu aku dah rakan-rakan sekolah kami mengadakan lawatan sambil belajar ke Terengganu.  Sempatlah singgah sebentar di pantai itu.  Ombak laut membadai memecah lembut di gigian pantai.  Kelihatan pengunjung-pengunjung sedang menikmati keindahan laut.  Ada yang sedang bermain air dan ada pula yang sedang berjalan-jalan menyusuri pantai. Bertuah menjadi ombak, walau sehebat mana pun geloranya, pantai tetap setia terhampar menanti.  Mampukah aku menjadi seperti pantai, setia selamanya bersama hati ini...

            Seketika, tanganku diraih daripada belakang.  Haruman perfume Fayyad menyapa deria bauku.  Suka aku dengan haruman yang sering dipakainya.  Maskulin dan menyegarkan.  Aku membiarkan jari jemariku dibelai lembut.  Ada rasa yang bergetar di dada.  Mungkin, perasaan kasih dan cinta ini telah mekar untuknya. 

            “Awak …..”  Wajahnya kutoleh mendengar dia menegurku.  Kurenung wajah redup itu.  Damai.  Sedamai bayu laut yang menghembus petang itu.  Namun kata-katanya mati di situ, wajahku kembali ditatapnya lama.
            “Awak nak cakap apa dengan saya?” Aku memberanikan diri bertanya.
            “Hmm.. tak ada apa-apalah.  Jom kita balik resort dulu, saya dah check-in untuk awak tadi.  Tapi awak duduk seoranglah ye,” balasnya lembut. 

            Aku dapat merasakan ada sesuatu yang ingin disampaikan kepadaku.  Aku turuti langkahnya yang teratur kemas menuju ke chalet kami.  Petang itu kami berjalan-jalan di sekitar Perkampungan Cherating, melakukan tugas kami bermula dengan mencari penginapan bagi program anjuran persatuan kami.  Selesai tugas di situ, kami berempat mengambil peluang membeli belah di pekan kecil Chukai, Kemaman.  Pekan kecil yang terkenal dengan keropoknya. 

            “Jom pergi sana,” ajak Fayyad selepas kami menunaikan solat maghrib di Masjid Jamek yang terletak di situ.  Mataku terarah ke destinasi yang dituju.
            “Kedai kek, awak nak beli kek ke?” soalku namun langkah disusun juga menuruti langkahnya.  Fayyad tersenyum.

            Fayyad meminta aku memilih kek yang cantik tersusun.  Semuanya cantik-cantik dan sedap di mataku.  Akhirnya aku memilih Red Velvet Cake, yang nampak sungguh menggoda.  Setelah harga kek dibayar, kami kembali meredah malam di Chukai.  Rakan-rakan yang lain telah pulang ke resort, hanya tinggal kami berdua di situ.  Sememangnya Fayyad ingin menikmati makan malam kami di Bandar Chukai ini.

            “Awak, saya nak celebrate birthday awak kat sini,” kata Fayyad ketika kami sedang menanti pelayan kedai makan menghantar hidangan yang ditempah.
            “Awak biar betul, birthday saya lambat lagilah.” Terkejut dengan kata-kata Fayyad.  Biar betul dia ni, kalau nak sambut birthday awal sehari dua oklah, ini berbulan-bulan lagi birthday aku.  Nak tergelak pun ada, tapi aku tahankan sahaja.  Tak pasal-pasal nanti merajuk pula mamat ni.
            “Tak apa, saya nak juga sambut malam ni,” bersungguh-sungguh suara itu.
        “Suka hati awaklah, nak sambut hari-hari pun tak apa awak.  Saya lagi suka,” balasku lalu satu senyuman terlukis di bibir nipis jejaka idaman Malaya di hadapanku itu. 

            Semasa kami melabuhkan duduk di sudut itu sebentar tadi, aku tertangkap dua tiga pasang mata gadis-gadis yang berada di situ yang mengerling ke arah Fayyad.  Malah semasa menyusuri Bandar Chukai petang tadi pun aku perasan dia diperhatikan.  Susah sungguh berkawan dengan jejaka hensem ni.  Kadang-kadang hati aku dicuit rasa cemburu.  Iskhh.. belum apa-apa dah cemburu bagai.

            “Happy birthday, Amira Qaireen Azzalea.  Sudi tak awak menjadi insan teristimewa dalam hati saya?”

            Aku terpaku saat kata-kata manis itu terluncur laju dari mulutnya.  Tangan kirinya memegang jari jemariku yang sudah terasa sejuk.  Dia menghulurkan sesuatu ke arahku.  Perlahan aku menyambutnya.  Sebentuk cincin emas putih berbentuk hati bertahta cantik di dalam bekas merah itu.  Aku merenungnya, pandangan kami bersabung seketika.  Saat itu, aku tidak dapat meneka perasaanku sendiri.  Dia melamar akukah?  Dia inginkan aku menjadi surinyakah?  Oh, jantung rasa bagaikan hendak tercabut.

            Cincin putih itu dikeluarkan dari tempat bersemayamnya lalu jari-jemariku ditarik lembut.  Cantik!  Terletak kemas di jariku.  Jariku dikucup untuk kesekian kali tanpa memperdulikan mata yang memandang.  Merah padam mukaku menahan malu.
            “Awak, saya tak tahu nak cakap apa..” ayatku mati di situ apabila pelayan kedai tiba dengan hidangan kami.  Suasana sepi seketika.  Aku dapat melihat senyuman di bibirnya.
            “Kalau cinta, tak perlu kata apa-apa.  Kalau sayang, sediakan saja ruang di sudut hati awak untuk saya,” balasnya.  Mendengar ucapan yang telus daripadanya menjadikan wajahku merona merah.  Eii.. dia tahu sangat ke aku sayang kat dia, bisik hatiku.

            Peristiwa manis di Kemaman menjadi nadi hidupku seharian.  Setiap panggilan daripadanya aku tunggu dan setiap pengucapan sayang daripadanya aku rindu.  Jambangan bunga kirimannya tak pernah putus.  Pernah aku bising kerana kerap sangat dia membazir dengan pemberian itu namun mudah dia mematikan bebelanku. 

“Saya sayang awak, tak salah saya berikan apa yang awak suka, tak salah saya gembirakan hati awak dan saya akan lakukannya selagi saya mampu.”  Kata-kata itu tak dapat aku sangkal.  Tak dapat aku lawan.  Fayyad Iskandar, jika putih katanya, maka putihlah.  Jika hitam katanya, maka hitamlah.

            Hampir dua bulan berlalu, aku diselubungi rasa pilu yang tak datang bertapa di hati.  Tiada lagi kiriman jambangan bunga untukku.  Malah panggilan-panggilan daripada Fayyad juga semakin berkurangan.  Sesekali aku cuba menghubunginya namun perbualan kami terlalu singkat.  Berbagai alasan yang diberikan untuk tidak memanjangkan perbualan kami.  Dalam sekelip masa, aku telah menjadi terlalu asing baginya.  Dalam sekelip mata, dia bagai menjadi suatu nama yang pernah hadir di dalam hidupku.  Aku memendam rasa yang meluap-luap.  Mencari di mana silapnya perhubungan kami.  Mencari jawapan bagi setiap persoalan yang tak terucap.

            Akukah yang silap?  Atau sudah pudarkah rasa kasihnya pada aku?  Soalan-soalan itu sering menerpa kotak fikiranku menjadikan aku seorang yang lemah.  Jiwaku sakit.  Hatiku bagai dirobek-robek dibiarkan tergantung tiada bertali.  Dibiarkan sendirian dalam mencari jawapan yang tak pasti.

            Akibat tertekan dengan perasaan sendiri, menjadikan aku insan yang pendiam.  Makan minum juga sudah mula kulupakan tambahan pula kesibukan tugas menambahkan lagi tekananku.  En. Eshan sering menegurku apabila melihat wajah keruhku.  Aku hanya membiarkan setiap persoalan berlalu begitu sahaja.  Bagaimana hendak aku menjawab, sedangkan aku sendiri tidak punya jawapannya. 

            Kepalaku terasa pening.  Pandanganku berbalam-balam.  Kabur.  Gelap!  Apabila aku membuka mata, aku sudah terbaring di atas katil di dalam bilik serba putih.  Di sebelahku kelihatan Fayyad sedang duduk mengadapku. 

            “Awak buat apa kat sini?” soalku lemah.
            “Saya minta maaf awak, semua ni salah saya.  Saya penyebab awak jadi macam ni,” balasnya.  Ada nada sendu dalam suara lelaki itu.
            “Kenapa dengan kita?” Aku tidak mampu menahan rasa lagi.  Airmata tak mampu ditahan lalu terhambur keluar dari tubir mata. 
            “Saya akan betulkan segalanya,” balasnya tanpa menjawab persoalanku.  Jariku dikucup lembut dan tanpa disangka, dia merebahkan kepalanya di birai katil.  Ada sendu berlagu di situ.  Aku kaku.  Tidak menjangkakan dia turut tersiksa dengan apa yang terjadi.  Apa sebenarnya yang menimpa kami.  Kenapa belati ini masih berlegar dalam hubungan kami.  Tanpa sebarang jawapan! 

            Aku ditinggalkan Fayyad dengan renungan matanya yang redup.  Namun di sebalik panahan anak mata itu, tersembunyi sesuatu yang mengusik jiwaku.  Mengapa dengan kami?  Apakah yang terentang antara kami hingga kami jadi begini?  Begitulah seterusnya hari-hariku selepas aku keluar daripada hospital.  Masih lagi sepi hubungan kami yang baru terbina.  Masih lagi tiada jawapan walau pun sudah puas aku mengcungkilnya.  Jiwa aku kian parah.

            Ucapan selamat hari lahir daripada rakan-rakan sekerja aku balas dengan ucapan terima kasih.  Jauh di sudut hati, aku menantikan ucapan dari mulut Fayyad. Aku ingin mendengarnya sendiri.  Aku ingin dia menjadi orang pertama mengucapkan ucapan itu kepadaku tapi semuanya hanya mimpi.  Satu persatu kad ucapan di atas meja kubelek.  Tertarik dengan kad ucapan merah yang bertulis indah namaku.  Kad ucapan berbentuk hati, memang menjadi kegemaranku.  Perlahan aku buka lalu isinya kubaca.

Azzalea sayang,
Selamat menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-24.  Maaf atas segala yang terjadi.  Saya tidak pernah berniat untuk menyakiti awak.  Melukakan hati awak sama seperit merobek hati saya sendiri.  Tapi saya terpaksa melepaskan awak pergi.  Mungkin takdir tidak mahu kita bersama dalam permainan hidup yang kejam ini.  Tabahlah sayang untuk hadapi hari depan.
Mencintai awak, Amira Qaireen Azzalea,  adalah perkara terindah pernah berlaku dalam diri saya. 
Fayyad Iskandar

            Aku terpanar di situ.  Tegarnya hatimu. Di saat aku menyambut hari lahir, perutusan merahmu menjadi belati menikam hatiku.  Tidak tinggal sedikitpun ruang untuk bernafas.  Tidak meninggalkan sikit pun harapan untuk kugapai.  Ya Allah, mengapa di dalam ini terasa sakit.  Mengapa setelah aku berikan sekeping hati ini kepada dia, tegar dia melukakanku begini.  Tegar dia mencampakkan cintaku tanpa tahu sebabnya.  Kenapa perlu ada kalimah dia mencintai aku tapi cintanya mati di sini. Luka yang kian bernanah tak tertahan rasanya.  Andai ini kehendakMu, siapalah aku untuk menyangkalnya.  Aku pasrah dalam lelah.  Pergilah cinta, kau bawalah ia bersama.

~ TAMAT ~

Lirik lagu tema untuk cerpen ini :-

Kad ucapan kirimanmu
tiba di hari lahirku
saat aku gembira
kau utus khabar duka

Ku baca tiap baris
tiada madah yang puitis
berlainan sekali
kad ucapanmu ini

Ringkasnya kata-kata, tercatat di dalamnya
doamu aku tabah, hadapi hari muka
katamu engkau terpaksa memutuskan cinta kita
tiada engkau berikan
penjelasan ... dan alasan

Menyambut hari jadi
dengan belati di hati
itulah hadiahmu
atas kasih sayangku

Ringkasnya kata-kata, tercatat di dalamnya
doamu aku tabah, hadapi hari muka
katamu engkau terpaksa memutuskan cinta kita
tiada engkau berikan 
penjelasan ... dan alasan

Menyambut hari jadi
dengan belati di hati
itulah hadiahmu
atas kasih sayangku....

(Kad Ucapan -- Nursheila Amin)

Sayang2 Kak Yus.. maaf ye jika cerpen ni tak seberapa..sudi2lah drop komen untuk kak yus..

~ Kak Yus ~
11/3/12 -- 11.23 am

19 comments:

  1. alamak, sad ending rupanya. hmm..kesian azzalea.

    ReplyDelete
  2. Pexx ~ sesekali layan sad ending tak pe kan dear..hehe.. tq sudi layan..

    ReplyDelete
  3. jap2 nak lap air mata.. sedihnye kak yus...
    terasa sampai ke jantung.. adehaiiii...
    best giler! gud luck ye akak syg! hehehe :)

    ReplyDelete
  4. Ayumi syg ~ huhuhuu.. pendek sgt (max 12 m/s je..) tak sempat nak tulis sepenuh jiwa..hehehe

    ReplyDelete
  5. huhuhu... tau2 dah tamat.

    ReplyDelete
  6. Anonym ~ kak yus nak wat panjang lagi..tp dlm syarat peraduan tu kata max 12 m/s je.. huhuhu..kak yus pun tak sempat nak layan feeling menaip..tak per..nanti kita wat versi yg panjang sikit ye.. klu ada demand utk part2..mana tau..hehe

    ReplyDelete
  7. akak....knape diorg berpisah...huhuhu...

    ReplyDelete
  8. apa rasanya ye ditinggalkan kekasih pada hari gembira seperti hari lahir? kesian azzalea..

    ReplyDelete
  9. beli kek mesti kat branch kedai oyi tu..hahaha

    *eh tetibe*

    best r kak..alih2 je kena tgl xde explaination..T___T

    ReplyDelete
  10. Azza Ismail ~ kak yus pun tak de jawapan dia dear..kita tunggu kot2 nanti Fayyad nak bagi tau...hehe

    ReplyDelete
  11. Ai.. bunyi macam ada part 2 je, tuan tanah :D

    ReplyDelete
  12. S. Kausari ~ hahahaa... kita tengok klu ada demand.. klu dak, kat situ je lah.. ;)

    ReplyDelete
  13. S. Kausari ~ sangat2 sedih bila hati dah dihulur tiba2 kena 'dump' mcam tu aje..dah tu tak tau pasal apa, silap di mana n nak2 pd hari yg sepatutnya kita gembira.... huhuhuu.. (kata Azzalea ye..)


    KKK @ Yati syg ~ rasanya kat kedai Oyi je yg ada RVC tu kan.. hehehe.. branch baru kat kemaman.. hmm hidup penuh dgn unexpected thing.. tak semua ada jawapan..

    ReplyDelete
  14. kenapa ending dia mcm tu? jahatnyer !

    ReplyDelete
  15. farhah ~ kdg2 hidup mmg jahat kan Fa..

    ReplyDelete
  16. kak yus cerpen ni sampai d sudut hati saya.sangat2 best!!!! nak menangis rasanye.......kesian azzalea mgkin ade sbb ayyad berbuat sedemikian tak mungkin cinta yg mula bersemi ditinggalkan begitu saja msti ade sbb.

    ReplyDelete
  17. Anonymous ~ terima kasih dear.. nanti jangan lupa layan enovel baru Perutusan Kasih, kisah tu kesinambungan utk cerpen ni .. memang tersayat hati bila kecewa tanpa tahu puncanya kan..

    ReplyDelete
  18. sedih lah kak yus!!! susah btul kalu b'cinte nie... ish3
    btw.. best lah kak yus!!!

    ReplyDelete
  19. Kecik_Keymah.. terima kasih..Mmg Bercinta menuntut rasa yg tak tau nak kata camner kan..

    kita nantikan kesinambungan citer ni dlm bentuk enovel.. bab awal dah ada kat blog.. Sengketa Cinta..

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com