Tuesday 3 April 2012

Mengintai Bahagia ~ Bab 12





      Langkah Dzil terhenti.   Matanya terpaku melihat gelagat gadis yang bertudung hitam itu yang sedang ligat tangannya terawang ke sana ke mari.  Sebelah lagi tangan gadis itu memegang telefon bimbit yang dirapatkan ke telinganya.  Hatinya sedikit sebal.  Sejak bila minah bertudung hitam ni mula ada telefon bimbit.  Tidak pula dia mengetahuinya.  Hamboi, bukan reti pun nak bagi kat aku nombor dia ye, marah Dzil sendiri.  Langkah yang terhenti diatur kembali mendekati pagar rumah yang dahulunya sering menjadi tempat dia bertenggek.

          Lama diperhatikan gadis itu bercakap sendirian.  Wah, bukan main khusyuk lagi bercakap, sehinggakan dia yang berdiri di tepi pagar itu pun tidak disedari.  Membiarkan sahaja gadis itu, Dzil mengambil peluang memerhatikan Acam sepenuhnya.  Wajah polos gadis itu ditenung lama melepaskan rasa rindu di hati.

          Teringat kata-kata Mior, sahabatnya dulu.  Kenapalah gadis kasar yang tiada pun ciri-ciri gadis melayu terakhir itu yang menjadi pilihannya?  Hanya Dzil yang tahu jawapannya.

          Dzil yang dibesarkan dalam dunia semua lelaki ketika zaman persekolahannya telah terbiasa dengan kekasaran dan keganasan.  Hidup Dzil dikelilingi oleh lelaki setiap hari.  Dari kecil hinggalah ke sekolah menengah, dia hanya bergaul dengan pelajar-pelajar lelaki yang rata-ratanya mana ada bersikap lembut.  Sementalah pula jika belajar di sekolah berasrama yang kesemuanya pelajar lelaki.  Hidup dengan dunia gangsterism, pergaduhan malah persahabatan sejati sudah sebati dengan dirinya.

          Dia bukanlah pelajar nakal jauh sekali pelajar bermasalah.  Dia merupakan pelajar cemerlang dalam akademik mahu pun sukan di sekolahnya dahulu.  Menjadi kebanggaan guru-guru mahu pun keluarga.  Menggalas harapan yang tinggi untuk menjadi seorang pelajar cemerlang.  Namun, takdir yang meletakkan dia hanya mampu melakar cemerlang di PUO, walau pun destinasi sebenar Dzil adalah di puncak menara gading.  Demi menggalas harapan yang dibebankan di bahunya, dia sanggup berkorban mengenepikan segalanya.  Hidupnya belajar dan belajar.  Setiap hari Dzil dan rakan-rakan akan mengadakan belajar berkumpulan di tepi tasik yang berhampiran.  Sehinggalah hari peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pun, mereka masih tidak meninggalkan rutin itu.  Oleh kerana terlalu asyik hinggakan mereka agak lewat menyedari waktu peperiksaan hampir tiba. 

          Biasalah, dengan keadaan gopoh gapah dan hati yang sudah bercelaru serta perasaan yang berperang sendiri, motor yang ditunggang dipecut laju.  Akhirnya, insiden kemalangan di selekoh berhampiran sekolah itulah menjadi penyebab keputusan peperiksaan Dzil kurang memberangsangkan.  Dzil menduduki peperiksaan dengan luka-luka di tangan, kaki dan badan.  Walau apa pun yang terjadi, peperiksaan harus didahulukan.  Pengawas yang bertugas juga masing-masing risau melihat keadaan Dzil.  Betullah, kalau dah degil tu, tetap degil.  Mana mahu mendengar kata orang.

          Mungkin ada hikmah di sebalik semua yang terjadi.  Andai keputusan SPMnya cemerlang, mana mungkin dia akan berada di PUO ini.  Mana mungkin dia akan dapat peluang mengenali gadis yang bertudung hitam itu.  Mana mungkin dia akan merasakan debar merindu gadis itu saban hari dan mana mungkin dia sanggup tercegat di tepi pagar itu hanya untuk berbalas gaduh dengan gadis idamannya itu.

          “Acam, tu bukan Dzil ke yang bersidai kat pagar tu?” laung Yani.

          Lamunan Dzil terhenti dek laungan Yani yang bagai guruh di langit tu.  Minah bertubuh kecil tu nampak sahaja ala-ala ayu, tapi sekali menjerit, kalahkan mak tiri.  Acam yang baru sahaja selesai berbual-bual di telefon bimbit terus berpusing tiga ratus enam puluh darjah melihat ke arah Dzil yang tersengih bersidai di pagar seperti dahulu.  Rindu juga dia sebenarnya dengan situasi itu.  Senyuman dilemparkan kepada Dzil. Wallah, hati Dzil yang rindu dendam terus-terusan dijentik rasa bahagia melihat senyuman yang terukir di wajah Acam.  Ingat senang ke nak dapat senyuman tu.  Kena tunggu hampir tiga semester tau baru dapat, kalau tidak muka ketat dan kelat je dipamerkan oleh gadis bertudung hitam ni.

          “Ei, awak buat apa tercegat kat tepi pagar ni.  Sambung hobi lama ye,” soal Acam dengan muka selambanya.  Mulut memang tak ada alas minah seorang ni.

          “Assalamualaikum warrahmatullah hi wabarakatuh, awak,” balas Dzil.  

        Kali ini Acam bukan sahaja tersenyum malah sudah menyeringai sengih di mulutnya.  Dzil yang pertama kali melihatnya seakan terpaku.  Apakah benar Acam di depan matanya?  Sudah semakin mesrakah mereka sehinggakan Acam sudah tidak kedekut lagi menyerahkan senyuman dan sengihan kepadanya.  Hish, hilanglah nama ‘cik kede’ tu dah.

          “Waalaikumussalam.. ermmm.. tak boleh nak jawap panjang-panjang sebab awak dah bagi sepanjang-panjangnya kan,” lancar sahaja mulut Acam berbicara.  Entah kenapa, saat itu dia rasakan seperti sudah mula boleh menerima Dzil.  Namun, masih ada ruang kosong yang menidakkan kehadiran Dzil sepenuhnya.  Biarlah masa yang menentukan, bisik Acam.

          “Hah, ada apa awak datang ni?  Nak jumpa Yani ke?” sambung Acam kembali.  Sengaja ingin bertanya walau pun sebenarnya dia tahu selama ini pun kedatangan Dzil ke situ adalah semata-mata untuk berjumpa dengannya. 

          “Hmm.. tak adalah.  Saja singgah nak tengok awak.  Rindu pula kat awak.”  Tu dia, statement lentok Dzil yang menjemput rona-rona merah menyimbah ke wajah Acam.  Selamba giler je mamat ni bercakap, tak ada cover langsung.

          “Kalau tak ada apa-apa saya nak masuklah,” ujar Acam.  Kekok sebenarnya bertemu muka dengan Dzil walau pun ini bukan pertama kali mereka bertemu. 

          Setiap kali wajah jejaka itu ditatapnya, setiap kali itu jugalah jantungnya bagaikan hendak terkeluar daripada badan.  Hish, jenuh nak kutip kalau melompat sungguh-sungguh.

          “Dah siap berkemas ke?  Nak saya tolong?” 

Sengaja Dzil offer diri sedangkan dia sedar, tiga ribu tahun pun tak tentu lagi si Acam yang berada di depan mata tu nak izinkan dia menolongnya mengemas di rumah itu.  Maklumlah, rumah pelajar perempuan pula tu, mana boleh senang-senang nak masuk.  Juling seratus lapan puluh darjah mata-mata jiran keliling nanti.  Sedangkan kedatangan Dzil yang gemar bersidai di pagar itu pun dah menjemput muncung dua tiga ela jiran tetangga.  Ada juga makcik-makcik yang sibuk duk bergossip bercerita tentang pelajar-pelajar yang menyewa di kawasan kejiranan mereka termasuklah penghuni rumah Acam.  Biasalah, mesyuarat tingkap makcik-makcik mestilah kena masukkan topik-topik hangat tu.  Kalau tak, mana nak datang meriahnya.

“Ermm.. tak banyak pun yang nak dikemas.  Kain baju je pun, bukan susah sangat,”  balas Acam.  Hati sedikit tersentuh dengan keprihatinan Dzil.  Saat itu, dia disapa rasa rindu pada wajah tampan lelaki itu.  Teringat hampir setiap malam suara lelaki itu menemaninya sebelum tidur.

“Jom, makan malam dengan saya nak.  Saya belanja,” pelawa Dzil. 

“Err.. err.. tak apalah awak, saya tak laparlah,” balas Acam teragak-agak.  Hendak terima ke tidak, perasaannya berbelah bagi.

“Oh, kalau saya ajak awak tak nak, kalau kawan lelaki awak yang kat sana tu ajak, bukan main lagi.  Laju je awak kan.. iyalah, nak banding saya dengan dia, siapalah saya ni.  Dia tu ada kerjaya, handsome, ada kereta, saya ni apalah yang ada, harapkan handsome je lah,” ujar Dzil sengaja bernada rajuk.  Biar rasa minah kat depan ni bila dia sekali-sekali merajuk.

Wajah Acam bertukar putih seketika.  Alahai, merajuk ke mamat ni.  Bunyi macam jealous pun ada juga.  Tapi yang tak menahan tu, tang mengaku diri tu handsome.  Hadoii.. dalam nak merajuk sempat lagi nak promote diri sendiri.  Acam menekup mulut menahan tawa.  Bimbang juga jika terhambur tawa di situ, kecil pula hati Dzil. 

“Oklah, tapi tak naklah lewat sangat.  Kita makan kat gerai hujung simpang tu ajelah ye.  Awak tunggu saya kat sini lepas maghrib.  Jalan aje tau, tak nak saya jadi minah rempit,” 

“Eleh, kata brutal.  Rempitlah sekali-sekala,” usik Dzil.  Suka melihat muncung Acam yang kini jarang kelihatan.

“Eii.. kang saya tak nak keluar dengan awak nanti,” ugut Acam.  Mencerlung matanya memandang wajah Dzil yang masih tersengih bagai kerang busuk tu.  Kerang busuk pun tak ada dok tersengih-sengih macam mamat ni.

“Ok, saya tunggu kat sini.  Chow dulu, dah lama kat sini nanti juling mata makcik-makcik jiran awak tu yang dok terhendap-hendap dari tadi.”  Sengaja suaranya dikuatkan. 

Acam masih lagi tersenyum walau pun deruman motor Dzil sudah jauh meninggalkannya.  Memerhatikan keadaan sekeliling yang semakin menggelap, cepat-cepat Acam kembali melangkah ke dalam rumah.  Dah pandai membuat janji, kenalah kotakan.  Tak terima ajakan Dzil, bimbang kecil hati pula.  Iyalah, dah berkait-kait pula dengan kisah dia dan Qaid, tak seronok juga.  Lagi pun, hati kecil Acam rasa pilu bila melihat wajah suram mamat itu ketika ajakannya ditolak tadi.


***********************



Tepat jam lapan malam, Dzil sudah terpacak di hadapan pintu pagar rumah sewa Acam.  Senyuman tersimpul di bibir Dzil apabila melihat Acam yang baru sahaja keluar daripada pintu rumah.  Matanya terpaku pada penampilan Acam yang nampak comel pula malam itu.  Selalunya Acam yang sering mengenakan T-shirt dan jeans, berlainan pula malam itu.  Gadis itu nampak comel dengan blaus bunga-bunga halus, dipadankan pula dengan ‘long pants’ hitam yang beralun lembut apabila dia melangkah.  Nampak lebih keperempuanan ditambah pula dengan selendang bawal yang dipin kemas di kepalanya.  Berlainan sungguh. 

Teringat ketika dia mula-mula terserempak dengan Acam bersama teman sepejabatnya di Wiracourt tempoh hari.  Beginilah juga penampilan Acam.  Manalah hati lelakinya tak tercuit melihat mata teman sepejabat Acam yang tidak lepas-lepas terpaku pada gadis idamannya itu.  Kalau Acam itu milik dia, mahu sahaja dikorek-korek mata mamat tu.  Suka-suki je nak merenung Acam.  Hish, melalut ke laut dah ko ni Dzil oi, orang dah ada depan mata, ko asyik teringat-ingat, desis hati kecil Dzil.

Pintu pagar yang tidak berkunci dikuak lebar.  Tersungging senyuman di bibir Acam apabila melihat Dzil yang sungguh menepati masa.

“Sorry ye awak, lambat sikit.  Tu makcik-makcik dalam rumah tu kirim salam.  Diorang tanya, tak nak belanja diorang sekali ke,” ucap Acam menyampaikan amanat teman-teman serumahnya.  Cemburu sungguh teman-teman serumahnya itu apabila mendengar Dzil mengajak Acam keluar makan.  Lebar sengihan Dzil mendengarnya.

“Girls, kalau kat dalam tu ada lagi yang nama Acam jomlah, aku belanja,” laung Dzil kuat. 

Hish, mamat ni.  Ada ke main laung-laung dah malam-malam ni.  Nasib baik tak ada jiran tetangga yang menyahut.  Buatnya dijerkah dek mereka, kan haru.  Mahu sahaja ditamparnya bahu mamat tu, tapi iskhh, sabar, bukan muhrimlah nak main tampar-tampar.  Laungan Dzil disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan serumah Acam.  Sah-sah satu rumah bergema dengan tawa mereka, sampaikan kat luar pun boleh kedengaran.

Tanpa menghiraukan usikan rakan-rakan Acam tu, mereka melangkah menyusuri malam yang disinari lampu neon sepanjang jalan di taman itu ke arah gerai makan di hujung simpang.  Gerai makan Mak Tam Tom Yam itu memang menjadi port pelajar-pelajar duduk melepak sehingga ke awal pagi.  Tambahan pula ada skrin besar dan siaran astro.  Kalau musim perlawanan bolasepak, riuh rendah lah kawasan tu dengan sorak sorai mereka.

Langkah diatur menuju ke arah meja yang sedikit menjauh daripada meja yang lain.  Dua tiga pasang mata sempat juga mengerling ke arah mereka.  Dzil hanya membalas dengan senyuman dan lambaian tangan.  Mungkin rakan-rakan Dzil agaknya, desis hati Acam.

“Nak makan apa?” Menu di tangan dihulurkan ke arah Acam yang masih lagi sedang menyelesakan diri dengan mata-mata yang masih terarah kepadanya.  Mata Acam menyorot satu persatu menu yang tersenarai.

Dzil tersenyum melihat keletah gadis itu.  Iyalah, dia pun perasan renungan sahabat-sahabatnya yang ada di gerai itu melihat Acam.  Macam tak pernah tengok perempuan.  Tapi ini bukan kes tak pernah tengok perempuan, tapi kes tak pernah tengok Acam seayu malam itu.  Bukanlah kata Acam tak pernah berbaju kurung, selalu sangat kalau ke kuliah, tapi malam itu Acam memang ketara berbeza.  Puas juga Dzil memikirkan apakah kelainan yang ada pada Acam malam itu, namun tidak dapat ditelahnya.

“Dah tau nak makan apa?  Kesian abang ni tunggu lama nak ambil order,” usik Dzil.

“Hmm.. bagi saya nasi goreng pattaya dan milo ais ajelah bang,” ujar Acam lalu menyerahkan menu kepada Dzil yang sengaja duduk di hadapannya.  Bukan apa, mudah sikit nak wat operasi tenung menenung ni.  Bukan selalu dapat peluang macam ni pun kan.

“Saya pun samalah bang,” balas Dzil pula.  Terjongket kening Acam mendengarnya.  Mengada-ngada betul.  Sajalah tu malas nak pilih, nak ikut selera orang pula, rungutnya di dalam hati. 

Sementara menantikan makanan yang dipesan tiba, masing-masing terdiam melayan fikiran sendiri.  Sesekali mata bersabung namun cepat-cepat pula Acam melarikan pandangan matanya.  Tak sanggup direnung oleh jejaka di hadapannya itu.

“Amboi, dah ada handphone, tak nak bagi nombor kat saya ye,” tegur Dzil.  Sebenarnya sengaja dia mengutarakan topik itu ketika mereka keluar makan malam itu.  Bukan dia tidak boleh bertanya ketika bersidai di pagar petang tadi, tapi sengaja tak mahu menjadikan ia bahan pergaduhan.

“Awak tak minta, saya tak kasilah,” selamba pula bunyi jawapan Acam.  Hish, minah ni ada je korner dia nak menjawab, gerutu Dzil.

“Ok, bagi nombor sekarang,”

“O12-3435567,”

Segera papan kekunci di telefon bimbit Dzil ditekan satu persatu dan ketika itu juga telefon bimbit Acam berbunyi.  Acam merenung nombor yang tertera di skrin.

“Save nombor tu,” pesan Dzil sambil mengenyitkan mata.

Hish! Mamat ni, boleh buat gugur jantung aku tau, rungut Acam sendiri.  Dahlah muka tu handsome, dok main kenyit-kenyit mata pula.  Nasib baiklah makanan yang dipesan cepat je sampai.  Boleh jugalah habiskan masa dengan melayan makanan yang sudah pun terhidang di depan mata.  Sedang enak melayan nasi goreng pattaya, bahu Dzil ditepuk daripada belakang.

“Woi, bro! Ko dating tak ajak aku pun,” sergah Mior yang entah daripada mana datangnya. 

“Hui, sikit lagi aku nak tersedak bro.  Kalau tak, sure aku kena tempah satu wad malam ni.  Ado la ko,” marah Dzil.  Marah main-main je pun.

“Walawei.. dating dengan awek tak cakap.  Ni awek mana?”

“La, ni Acam la bro.  Takkan ko tak kenal,” ujar Dzil.  Acam mendongak memandang ke arah Mior yang masih berdiri di tepi Dzil.  Sebuah senyuman dilemparkan. 

Bulat mata Mior memandang Acam.  Matanya tidak berkelip-kelip.  Seakan tidak percaya gadis bertudung peach itu Acam.  Acam, gadis brutal dan tomboy yang selalu menjadi bahan usikan mereka dahulu.  Acam yang digila-gilakan sangat oleh Dzil dan kegilaan itulah juga yang selalu menjadi bahan ketawa mereka.  Kerusi di sebelah Dzil ditarik, lalu Mior melabuhkan diri di atasnya.

“Biar betul ko Acam,” Mior masih tidak mempercayai matanya.

“Wei bro, aku tau lah aku tak de kat sini satu semester, takkanlah satu semester aku dah jadi Angelina Jolie,” lancar sahaja mulut Acam menyindir.

“Hah, yang ni confirm ko Acam.  Mulut tak boleh blah,” kata Mior sambil ketawa.

“Bro, dah-dahlah tu dok usha awek aku.  Cepat-cepatlah blah,” bisik Dzil.  Tidak puas hati melihat Acam menjadi tatapan mata si Mior.  Wah, kacau daun pulak mamat ni.

“Wei, serius ni aku cakap.  Kalau ko tak cakap mati-mati aku ingat awek mana.  Hish, melepas aku bro.  Kalau tau, awal-awal aku dah tackle.”  Serentak dengan itu, terdengar jeritan kecil Mior. 

Padan muka, ada hati nak mengorat gadis idaman aku, getus Dzil.  Puas hati dapat memijak kaki Mior tadi. 

“Ok lah bro, aku chow dulu.  Jumpa kat rumah nanti,”

“Acam, lain kali jumpa aku tegur-tegurlah.  Comel la ko malam ni, nasib baik Dzil dah chop dulu,” sambung Mior.  Meletus tawa kecil dari mulutnya.

Terkedu Acam mendengar kata-kata yang terkeluar daripada mulut Mior.  Dalam hati tertanya-tanya apalah yang dibisikkan oleh mereka berdua sebelum Mior mengaduh sakit sebentar tadi.  Hish, lantaklah.  Malas nak melayan karenah dua orang lelaki yang tak cukup haul ni.

Waktu berlalu cukup pantas.  Jam sudah menunjukkan angka sepuluh malam.  Selepas menghantar Acam ke rumah, Dzil memohon diri pulang.  Dia menunggu seketika sehingga Acam masuk ke dalam rumah.  Bukan apa, ingin memastikan keselamatan Acam.  Woi, siapa yang tak sayang awek.  Nak-nak pula awek yang susah bukan main nak tackle.  Eh..eh.. bila masa Acam setuju jadi awek dia ye, Dzil tergelak sendirian.  Boleh pula layan fikiran sendiri sambil berlalu.

Mata Acam yang semakin kuyu terganggu dengan bunyi beep telefon bimbitnya.  Segera telefon bimbit dicapai lalu mesej masuk dibaca.

Assalamualaikum awak,

Terima kasih ye sudi keluar makan dengan saya.  Harap ini bukan yang pertama dan terakhir tau.  Selamat malam, tidur lena-lena, jemput saya sekali dalam mimpi awak.. sweet dream my girl ~

Always yours, Dzil.


Senyum.  Perasaan indah menjalar di segenap ruang rasa.  Tidurlah dengan senyuman itu, moga hari yang indah bakal menyusul.




********************************

Ok sayang2 kak yus..maaf ye n3 kali ni lambat sedikit..  tak berapa nak sihat dua tiga hari ni..demam tak kebah-kebah.  Harap n3 ni dapat mengubat rindu pada Acam n Dzil.. Qaid not in the picture at the moment..selamat ditinggalkan seketika.. maaf untuk segala kekurangan..esp typo error.  Sudi2lah drop komen ye.. TQ muah2..


Kak Yus
Lots of luv from Emeer & Ayesha.. coming soon for u ols..

5 comments:

  1. Alohaii...sweetnyaaa...... Tak sabar nak tunggu sambungan...

    ReplyDelete
  2. Aziela ~ tq.. sweet ye.. nanti kita tambah gula lagi ehh..

    ReplyDelete
  3. Always Yours.. haha.. sukeee2 ^__^

    ReplyDelete
  4. Huhu suka acam n dzil sweet

    Tni

    ReplyDelete
  5. auuww.. tu nombor betul Dzil ke ???

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com