Salam sayang2 Kak Yus.. sudah lama Kak Yus tak menulis cerpen, rasanya dah berbulan-bulan juga. Cerpen ini ditulis khas sebagai sumbangan karya Kak Yus untuk Group Urban di fb, moga ada manfaat dan pengajaran yang boleh dikutip di sepanjang pembacaan bicara hati ini..
**********************************************
Sekujur tubuh tua yang terbaring lesu di
perbaringan beralaskan cadar putih bersih kurenung lama. Mataku terus liar meratah garis-garis tua
yang telah mula memenuhi wajah lelaki itu dan matanya yang terkatup rapat. Wajah yang suatu waktu dahulu menjadi penawar
tangisku, penawar rajukku dan wajah tua itu juga yang menggamit kerinduan aku
bertahun lamanya. Rindu yang kemudiannya
memaksa aku menjadi seorang pembenci dan pendendam yang amat hebat. Entah kenapa, wajah itu tidak mampu
mengundang rasa simpati dan kasihku saat itu.
Entah di mana telah lama hilang perasaan itu daripadaku. Salah akukah?
Jari jemari yang semakin berkedut dimamah usia
kelihatan pucat dan lesu. Kuraih jari
jemari itu perlahan, bimbang akan menyakitinya lalu kuusap lembut. Jari inilah yang sering membelai rambutku,
jari inilah yang sering menggeletekku sehingga tawaku tak bisa berhenti dan
jari ini juga yang akhirnya memisahkan aku dengan dunia bahagiaku. Sesekali apabila jari itu kuusap, aku
terlihat gerakan halus di dahi tua itu.
Malah, aku juga terasa seperti jari-jemari itu seakan menggengam jari
halusku. Saat itu, dingin udara daripada
penghawa dingin tidak mampu mendinginkan perasaanku yang berkecamuk dalam
peperangan hati yang tiada kesudahannya.
Iya papa, hari ini anak yang kau pisahkan dari
hidupmu datang menziarah untuk pertama kali dan mungkin juga inilah
pengakhirnya. Datang bertamu meninggalkan seketika kelukaan yang kau lakarkan
dalam separuh perjalanan hidup ini.
Mengheret kaki dan hati yang dalam keterpaksaan demi sebuah
tanggungjawab yang tergalas pada nama seorang anak. Mungkin matamu terpejam hari ini, namun bagi
aku papa, matamu telah terpejam lama pada saat kakimu melangkah pergi
meninggalkan kami tanpa menoleh sedikit pun.
Namamu terpadam di hati kami pada saat laungan dan tangisan kami tidak
kau hiraukan. Bukan berhari tangisan
kami, tetapi bertahun lamanya barulah tangisan itu berjaya kami hentikan dalam
hidup kami. Kami kebumikan rasa
dikhianati dan disakiti itu bersama namamu seperti pintamu. Kejamkah aku papa, jika hanya hadir hari ini
setelah sekian lama kau terbaring di situ?
Apabila melihat wajah tuamu papa, aku tidak
dapat menangkis ingatan ini kepada wajah tua seorang ibu yang menangis
tersedu-sedu pada saat kau lafazkan pemutus bagi sebuah ikatan hati dan kasih
sayang demi mengejar sebuah cinta baru yang kau temui di luar sana .
Aku tidak dapat melupakan wajah kecil seorang aku yang memaut kejap di
kakimu dalam tangisan dan wajah polos adik yang tidak mengerti apa yang sedang
berlaku saat itu. Berkali-kali aku
memohon padamu jangan tinggalkan kami, namun semua rayuan itu bagimu hanya
bisikan di angin lalu yang tak perlu kau hiraukan. Sungguh papa, harusnya kau menoleh seketika
melihat wajah seorang wanita yang kautinggalkan terkontang-kanting sendirian
bersama zuriatmu yang harus dibesarkan.
Apalah kudratnya yang ada sedangkan selama ini wanita itu hanya tahu
berkhidmat untuk dirimu dan anak-anakmu ini.
Sepanjang hidupnya bersamamu, setianya tak pernah berbelah bahagi walau
seinci pun.
Cepat benar kau melupakan pengorbanan yang
diberikan oleh mama kepadamu. Pengabdian seorang isteri yang mendambakan kasih
sayangmu seumur hidupnya. Mudah benar
kau beralih arah kepada cinta baru sedangkan bukankah bibirmu itu yang telah
melafazkan akad yang disaksikan berpuluh-puluh pasang mata untuk menjaga mama,
memberi kebahagian kepadanya dunia dan akhirat serta menjalankan amanah yang
diberi oleh-Nya menjaga dan mendidik kami.
Di mana hilang semua janji yang pernah kau lafazkan itu papa? Rapuhnya hatimu serapuh kasih sayangmu!
Papa, pemergiaanmu dari hidup kami menjemput
kesengsaraan dan penderitaan yang tak bertepi.
Namun syukur papa, anakmu ini masih kuat menanggung segala penderitaan
yang kau lemparkan kepada kami. Tetapi
hati ini tersayat dan robek satu persatu melihat wajah mama yang kepenatan
setiap hari mencari sesuap rezeki untuk kami.
Air mata ini tak mampu tertahan melihat telapak tangan mama yang dulunya
lembut dan licin bertukar menjadi kasar dan kematu dalam membesarkan kami. Hati ini terhiris apabila terpisah dengan
satu-satunya darah daging yang menjadi peneman saat suka dan duka apabila mama
terpaksa menghantar adik ke kampung untuk dijaga oleh nenda demi mencari
rezeki. Jika hati anakmu ini patah,
apatah lagi hati seorang ibu yang terpaksa berpisah dengan anaknya. Di manakah kau saat itu papa?
Pandanganku singgah pada bibir tua yang seakan
bergerak-gerak itu. Bibir itulah yang sering
melaungkan namaku di muka pintu setiap petang, suara yang sering kutunggu
apabila angka enam tertera di muka jam.
Aku akan berlari mendapatkan papa yang berdiri menantiku dengan senyuman
manis serta tangan yang terdepa untuk kuterjah.
Aku masih ingat, tubuhku yang terawangan kala papa melambung aku ke
udara dan tawaku akan menghiasi ruang rumah kecil kita. Tika itu juga akan terlihat segaris senyum
bahagia di wajah mama bersama bayi kecil di dukungan. Aku akan tertawa setiap kali melihat papa
mengucup mesra pipi mama. Bahagia! Terasa seperti ada sejalur senyuman bermain
di bibirku saat ini. Indahkan papa
saat-saat itu. Ingatkah papa semuanya
itu? Kenapa keindahan itu tidak dapat
bertahan lama walau pun dalam kotak ingatan ini. Setiap kali aku cuba mengingatkan saat-saat indah
itu, semuanya akan hancur dilitupi penderitaan dan rasa benci.
Derita yang kau tinggalkan papa mengumpan
nyilu di hati. Mungkin ketika itu
bibirmu sedang mengukir senyum dan tawa bersama isteri baru yang kaucintai,
bersama anak-anak barumu. Pada saat kau menyulam bahagia, aku dan mama hidup
dalam air mata. Pernahkah papa, kau
terfikir apa hidangan kami seharian?
Setiap dinihari, seawal jam lima
setengah pagi, mama dan aku berjalan menyusuri lorong gelap mengejar waktu
untuk mendapatkan bas terawal supaya aku tidak lewat ke sekolah. Hidangan pagi dan malam kami hanyalah kulit
roti yang mama beli daripada kilang roti yang terletak berhampiran lorong itu
setiap petang. Mujurlah, pemilik kilang roti itu ada sifat belas terhadap mama
lalu sering memberi lebihan roti jualan mereka untuk kami mengalas perut. Jerihnya mama dalam mencari rezeki dengan
hanya menjadi seorang tukang cuci di pejabat sedangkan itu sepatutnya tergalas
di bahumu yang bergelar seorang papa. Malam-malam
kami hanya bertemankan api pelita di rumah kayu di kawasan setinggan di dalam
bandar ini. Cahaya malap itulah yang
menemani aku mengulangkaji pelajaran dan mama yang mengambil upah menyembat
baju kurung untuk menampung perbelanjaan kami.
Kesengsaaran mama bukan sekadar sebuah
perpisahan dan pengkhianatan, tapi juga sebuah dugaan besar yang terpaksa mama
harungi seorang diri apabila anak kecilmu yang baru berusia dua tahun itu
dimasukkan ke hospital kerana mengidap epilepsi setelah berhari-hari terbaring
dek demam panas yang berlarutan. Semua itu berlaku setahun selepas kau
tinggalkan kami papa. Berhari-hari mama
di hospital menjaga anak kecilmu itu.
Pada mata aku yang baru berusia tujuh tahun itu, adik bukan sakit
apa-apa tetapi sakit merinduimu kerna saban hari namamu yang diserunya. Soalan di mana papa menjadi sebutannya setiap
hari. Bagaimana bisa aku menenangkan
adik kecilku sedangkan hati aku sendiri bernanah luka dengan pemergianmu. Seketika pun kau tidak pernah menoleh. Aku meletakkan semua kesalahan ke atas bahumu
papa, atas apa yang terjadi kepada adik.
Untuk itu, sedikit demi sedikit aku mula menyemai rasa benci terhadap
dirimu.
Wajah tua itu kurenung lagi. Bibir papa yang pucat, pecah dan merekah itu
juga, mengingatkan aku akan kata-kata terakhir yang keluar daripada bibirnya.
“Kalau anak-anak tanya papa, katakan pada
mereka papa sudah mati!” Kata-kata
keramat dan pemutus semua hubungan papa dan kami masih segar di ingatan
ini. Kata-kata itulah yang membuatkan
aku menerpa berpaut pada kakimu ketika itu.
Tega hati papa menkafankan kami dalam hatimu sedangkan kami masih
bernyawa dan membawa namamu di setiap penghujung nama kami. Pada saat papa pergi tanpa sedikit pun
berpaling, saat itulah aku membuangmu jauh daripada hidupku. Aku hanya punya mama dan adik. Itulah duniaku, itulah hidupku.
Papa, pada usia sekecil aku yang kau tinggalkan,
tidak pernahkah kau ada rasa belas?
Tidak pernahkah kau terfikir saat kau bahagia bersama keluarga barumu,
menyambut hari raya bersama, aku dan adik serta mama, sedaya upaya
menggembirakan hati kami yang sedia gundah.
Setiap kali melihat mereka menyalami kedua ibu dan ayah mengundang rasa
sebak di hati kecilku. Melihat gembira
terlakar di wajah mereka tika mendapat wang raya yang dihulurkan oleh sang ayah
sedangkan aku hanya punya memori singkat bersamamu.
Setiap kali tiba hari raya, wajah mama tidak
pernah ceria. Seawal usia enam tahun,
aku mula memahami hati seorang ibu.
Seawal itu, aku mula menggalas tanggungjawab sebagai seorang kakak dan
anak, dalam menjaga mama dan adik.
Setiap kali tiba hari raya, aku tidak pernah meminta mama membelikan
pakaian baru yang cantik, tapi mama tetap mama.
Seorang ibu yang tidak pernah menghampakan kami. Walau diri sendiri tidak punya apa-apa,
semahu-mahunya dia ingin melihat kami tertawa gembira. Gembirakah hati ini papa, apabila semua milik
kami kau ragut begitu sahaja. Air mata
bukan lagi penawar duka kami, malah air mata ini sudah kering dan tak mampu
tertumpah lagi.
Kesengsaraan hati kami tidak berakhir di situ
papa, malah ia berterusan sehingga hari ini.
Tak pernah pudar sedikit pun luka pada kesan calar yang kau tinggalkan
itu. Cuma parut yang berbekas itu kami
dinginkan dengan cara hidup kami jauh daripadamu. Pernahkah setika kau terfikir papa, saat kau
pergi bertemu guru-guru di sekolah anak-anakmu, aku juga mungkin menanti
kehadiranmu? Pernahkah kau tahu, setiap
kali buku rekod pencapaianku diberi oleh guru, akulah yang menjadi dirimu. Jari kecil aku inilah yang menandatangani
setiap ruang yang seharusnya kau tandatangani.
Pernahkah papa, kau rasa bangga dengan diriku, dengan pencapaianku yang
cemerlang setiap kali peperiksaan? Soalan
yang aku sendiri sudah tahu jawapannya.
Sudah tentu tidak pernah sekelumitkan ada rasa bangga itu kan , papa, kerana aku
bukan sesiapa padamu. Namun papa, harus
aku ucapkan terima kasih kepadamu kerana apa yang kau lakukan kepada kamilah
yang menjadi sumber kekuatanku untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam
pelajaran. Semangat aku berkobar-kobar
setiap kali mengingatkan langkah pergimu, kerana aku mahu suatu hari nanti kau
tertunduk malu apabila sampai masa aku pula menafikan hakmu pada diriku.
Tahukah kau papa, aku korbankan waktu remajaku
dengan rela demi untuk membantu mama meringankan bebannya mencari sesuap nasi
untuk kami. Habis waktu persekolahan,
aku bekerja di kedai-kedai makan hanya untuk mencari sedikit wang. Hasil upah itulah aku gunakan untuk
pendidikan aku dan adik. Di manakah kau
papa, saat kami memerlukan seorang papa ketika surat tawaran memasuki IPT kami terima? Di manakah tanggungjawabmu kau tinggalkan
untuk kami?
Selama dua puluh tahun aku menyimpan dendam
dan benci yang menggunung terhadapmu.
Sekilas namamu disebut sudah memadai untuk menyemarakkan bara benci di
hatiku ini. Aku tak mampu memadamkannya
papa, setelah apa yang kau lakukan kepada kami.
Namun akhirnya aku gagal papa, gagal untuk
membencimu terus kerana aku telah disedarkan bahawa menjadi seorang aku yang
bernama anak, adalah berdosa untuk aku membenci dirimu. Walau siapa pun kau, walau apa pun yang telah
kau lakukan, aku tidak berhak untuk membencimu.
Kesedaran ini bukan hadir sendiri dalam hatiku tetapi kehadiran insan
yang bergelar suami di sisiku hari ini membuka mataku terhadap qada’ dan qadar
yang telah Allah tentukan kepada hambaNya.
Mungkin kerana kegagalan papa dan mama menjadi pengajaran buatku dalam memilih
teman hidup sehinggalah aku ditemukan dengan suamiku. Sujud dan syukur aku kepada-Nya.
Terima kasih papa, untuk pengajaran yang kau
tinggalkan tanpa kau sedar. Kau mengajar
aku untuk menghargai pasangan hidup dan amanah yang Allah kurniakan kepada
kami. Kau mengajarku erti setia dan
jujur. Kau mengajarku bahawa sebuah
perkahwinan itu adalah perkongsian suka dan duka, dan perkahwinan juga mampu
menjadi syurga jika jiwa dipenuhi dengan ilmu dunia dan akhirat. Perkahwinan bagiku adalah akad yang terlafaz
sekali dalam seumur hidup. Tiada dua,
tiada tiga dan tiada juga ke-empatnya.
Bukan aku anti-poligami, anti-penceraian dan menolak apa yang
dihalalkan, tapi bagi aku, setiap perbuatan ada timbal balasnya. Setiap yang indah ada yang comotnya dan setiap
yang cantik ada yang buruknya.
Aku bahagia hari ini papa, walau pun tanpa
dirimu. Bahagia yang dahulunya hanya
bagai mimpi untuk kugapai. Mama dan adik
juga telah mengecapi kebahagiaan kami dalam dunia kami sendiri, jua tanpa
dirimu. Wajah mama walau pun telah disinggahi
kedut-kedut dan garis tua, hari ini lebih ceria dan bahagia daripada tika mama
hidup bersamamu. Adik yang dulunya
sering sakit merinduimu, hari ini tak mampu sekali pun menyebut namamu papa. Kesakitan yang kau berikan kepadanya
mengundang pengakhir bagi sebuah ikatan antara papa dan dia. Dia juga telah bahagia, bersama isteri dan
anak-anaknya. Aku didik dia papa, agar
tidak menuruti jejak langkahmu. Aku
didik dia papa agar menjadi seorang suami yang penuh dengan rasa cinta, penuh
kasih sayang dan sentiasa mendahulukan insan-insan yang disayanginya dalam
segala apa pun. Aku didik dia papa, agar
tidak menjadi manusia yang tega memusnahkan masa depan dan hidup darah daging
sendiri. Aku didik dia papa, agar nama
yang berada di penghujung namanya menjadi sekadar sebuah nama. Tiada siapa-siapa!
Maafkan aku papa, andai hari ini aku cuma
mampu memaafkanmu kerana kau papa dan tanpamu siapalah aku. Maafkan aku papa, aku cuma bisa memaafkan
tapi tak mungkin aku dapat melupakan semua yang kau tinggalkan untuk kami. Parut luka ini masih terasa baru dan sukar
untuk sembuh selamanya. Maafkan aku
papa, tidak dapat lagi menerimamu dalam hidupku.
Perlahan-lahan aku letakkan kembali tangan
papa ke tempat asalnya lalu bangun berdiri di sisi sekujur tubuh tua yang
terbaring tanpa sedar itu. Ada pilu yang menampar
hatiku saat itu. Pilu yang telah aku
buang jauh-jauh daripada hidupku dua puluh empat tahun yang lalu. Kenapa ia bertandang kembali?
“Selamat Hari Bapa, papa, walau pun hak itu
telah lama kau gugurkan daripada dirimu.
Aku tak pernah melupakan ucapan itu walau hatiku membenci.” Kubisikkan ucapan yang telah lama aku simpan
untuk terakhir kalinya ke telinga papa.
Moga papa mendengarnya. Tanpa
lengah, kaki kususun mengatur langkah meninggalkan papa sebelum anak-anak dan
isterinya tiba. Tidak betah aku untuk
bertemu dengan mereka yang menyulam bahagia atas kesengsaraanku.
Setika, aku kembali berpaling ke arah sekujur
tubuh papa yang masih terbaring, namun tiada satu pun sisa sayang yang
bercambah.
. Maafkan
aku papa, aku tak bisa!
**************************************
Maaf untuk segala kekurangan dan terima kasih untuk komen2 sayang2 yang sangat Kak Yus hargai... lebiu ols as owez..
~Lots of Luv.. Kak Yus ~