Monday, 23 July 2012

Segment Ilmu : Kata Sendi Nama -- Dari & Daripada




Assalamualaikum dan salam pagi Selasa untuk semua sayang-sayang Kak Yus.  Pertamanya, terima kasih kerana telah sudi mengikuti perjalanan blog Kak Yus ini dari masa ke semasa.  Terima kasih juga untuk kesabaran menanti setiap ‘entry’ yang sememangnya seperti siput yang sedang bergerak, menyusur denai dan semak untuk sampai ke destinasi.  Begitulah Kak Yus, masa membataskan perjalanan aktiviti seharian.

Panjang pula mukadimah pagi ni.  Baiklah, hari ini dalam perkongsian ilmu kita kali ini, Kak Yus akan membicarakan mengenai satu lagi Kata Sendi Nama yang sering menjadi masalah dalam penulisan kita iaitu penggunaan perkataan;

DARI    dan    DARIPADA

Kalau dilihat daripada mata kasar, tidak adalah jauh perbezaan kedua-dua perkataan tersebut.  Tetapi, jika dilihat daripada sudut dan aspek bahasa, memang ketara perbezaan penggunaan kedua-duanya.


DARI

Kata Sendi Nama dari digunakan untuk menyatakan Arah yang dituju, Tempat yang dituju dan Masa serta waktu.   Formula mudah :  ATM – Arah, Tempat, Masa.


Contoh:

1.    Azzalea berasal dari Pahang tetapi telah lama bermastautin di Sabak Bernam. (Tempat)

2.    Nurul Nadiah mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk sampai ke sini dari situ.  (Arah)

3.    Rupa-rupanya, budak itu telah lama menanti kehadiran kami dari pagi lagi. (Masa)


DARIPADA

Kata Sendi Nama daripada digunakan untuk menunjukkan asal atau punca kejadian, membuat perbandingan dan orang/kata nama.

Contoh:

1.    Fayyad boleh dikategorikan sebagai anak yang lebih baik daripada abang-abangnya. (perbandingan)

2.    Hasil pameran itu telah dibuat daripada bahan buangan. (asal kejadian)

3.    Kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu bas tersebut yang telah mengantuk sewaktu memandu.  (punca kejadian)

4.    Nora menerima sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya itu daripada kakaknya. (orang)


Hmmm,  agak-agaknya boleh tak faham huraian ringkas Kak Yus kali ini?  Moga sedikit penerangan ini dapat membantu kita dalam penulisan dan penghasilan karya yang baik daripada aspek tatabahasa. 

Andainya terdapat kesilapan dalam huraian ini, sila-silalah tegur Kak Yus ye. 
Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu datangnya daripada Kak Yus sendiri.  Selamat berpuasa dan Ramadhan Al-Mubarak untuk semua...

Salam penuh kasih sayang..
~ Kak Yus ~

No comments:

Post a Comment

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com