Thursday 20 September 2012

Biar Cinta Bertaburan ~ Versi Raya Part III (Akhir)


           
         Riuh rendah rumah awal-awal pagi dengan telatah adik-adik yang sibuk hendak bersiap.  Masing-masing sibuk mengecop bilik mandi.  Waktu hari raya pandai pula nak mandi cepat-cepat memasing, kalau tidak asyik kau dulu, aku kendian je.  Iyalah nak kejarkan pahala sunat mandi sunat hari raya.  Nasib baiklah aku dan Emeer tak perlu nak menunggu giliran seperti adik-adik kerana bilik kami sudah tersedia bilik air di dalamnya.  Begitu juga dengan abah dan mak.  Maksu awal-awal tadi dah mandi, itulah yang aku dan Emeer terkantoi kat dapur tadi tu.  Heh, cerita pasal kantoi, satu rumah dah tahu pasal insiden tu.  Jenuh digelakkan dek semua orang.  Si Eizleen yang tak tahu apa-apa tu pun sama naik je menggelakkan ibu dan ayah macamlah dia faham sangat.  Orang gelak, dia pun gelak sama.  Tumpang sekaki je.

            Bunyi pancuran air bercurahan masih lagi kedengaran di sebalik pintu bilik air.  Rambut yang basah masih lagi belum kering sepenuhnya untuk aku menyanggul dan mengenakan telekung sembahyang.  Memandangkan Emeer yang masih lagi belum selesai bersiram, aku menyediakan persalinan Baju Melayunya.  Satu persatu aku letakkan elok di atas katil yang telah pun bersusun kemas.  Anak gadis kecilku telah awal-awal lagi mendapatkan mak-mak saudaranya yang berada di luar.  Nasib baiklah anak gadis kecilku itu tidak takut mandi awal pagi dan mudah untuk untuk menyiapkannya.  Rambut yang ikal dan beralun-alun itu aku dandan kemas dengan ponytail cinonit yang sangat sesuai dengan Eizleen.  Suka sangat dia dapat mamakai baju kurung.  Mulut pun sibuk dok menyebut, mama ama (mama sama) sambil menunjuk ke arah aku.  Iyalah pun, dah semuanya sama sedondon satu family.  Tahun ni, aku, Emeer dan Eizleen mengenakan pakaian bertemakan hitam putih.

            Senyumanku mati tiba-tiba apabila terasa sepasang tangan merangkulku erat daripada belakang.  Sejuk. 

“Eii, abang ni.  Buat sayang terperanjat tau dah la basah lagi, peluk-peluk pula,” rungutku sengaja.  Suka sebenarnya, tapi berlakon je tak suka.  Hati akan kembang bermangkuk-mangkuk, gembira setiap kali Emeer memelukku erat.  Kasih sang suami seakan tercurah sepenuhnya.  

“Laaa.. kalau abang tak peluk isteri abang, abang nak peluk siapa lagi sayang,” balasnya mengusikku.

“Gatallah abang ni,” usikku tapi masih membiarkan pelukannya yang semakin kejap. 

“Puan Ayesha, apa salahnya menggatal dengan isteri abang sendiri, kan,”  bisiknya ke telinga.  Serentak dengan itu juga satu kucupan hangat hinggap ke leherku.  Memang port dialah kat leher tu, tahu sangat aku memang ala-ala sensitif sikit part-part leher ni.  Lagilah sukanya suami aku seorang ni menyakat aku.

“Gatal tu tak kisah encik abang sayang, yang kisahnya wuduk sayang dah batal.  Abang dah ambik wuduk ke?”

“Allah, terlupa ada wuduk tadi.  Ni sayang punya pasallah ni, tengok muka sayang yang comel ni terus nak peluk je.”

“Amboi, kita pula yang salah.  Dah, cepat ambil wuduk balik nanti kang jadi subuh gajah pula,”  bising mulut aku menceceh.  Baru anak seorang, aku dah macam mak nenek menceceh. 

            Alhamdulillah, untuk kesekian kalinya lagi, aku dan Emeer dapat berjemaah menunaikan solat.  Memang itulah yang selalu dipesan oleh abah, selagi mampu berimamlah dengan suami ketika menunaikan ibadah solat.  Semoga kasih sayang melimpah ruah dalam rumahtangga.  Usai melipat telekung dan sejadah, aku segera merias wajahku dengan sedikit warna-warna segar agar wajah tidak kelihatan terlalu pucat. 

“Hish, meh sini sayang buat.  Dah besar panjang pun tak pandai-pandai lagi,” bebelku sambil mencapai butang baju Melayu yang berada di tangannya lalu mengenakan butang-butang itu.  Ketika itu juga pinggangku dirangkul dan tubuhku dirapatkan ke arahnya.  Bibirku menjadi sasaran bibir nipis Emeer.  Kucupan sayang yang hangat tapi seketika. 

“Abang…,” protesku.

“Hmmm.. membebel lagi.  Dari tadi tak berhenti membebel sayang abang ni, kan dah dapat,” kata-kata Emeer mengundang senyuman di wajahku.  Memang pun, dari tadi mulut aku tak berhenti menceceh.  Mula-mula dengan Eizleen, kemudian dengan suami aku yang manja sangat ni pula.  Nasiblah abang oi, dapat isteri kuat menceceh.  Err, tapi dulu aku tak pula macam ni kan.

            Aku melutut di hadapan Emeer yang sedang duduk di atas sofa di sisi katil.  Ipad yang berada di tangannya segera diletakkan lalu tangan itu aku gapai. 

“Abang, selamat hari raya.  Sayang minta maaf andai selama ni sayang gagal menjadi isteri yang terbaik untuk abang.  Ampunkan sayang kalau ada salah dan silap sayang, kasar tutur kata sayang terhadap abang.  Terima kasih kerana menjadi suami yang sempurna di mata sayang dan ayah yang terbaik untuk Eizleen.”  Tangan Emeer kukucup penuh kasih dan hormat.  Aku terasa kepalaku dikucup lembut.  Memang itu kebiasaan Emeer.  Seraya itu, tubuhku diraih dan aku didudukkan di atas ribaan Emeer.  Cantik lot parking ni, selesa sungguh!

“Sayang tak pernah buat silap dengan abang.  Abang bahagia dapat hidup dengan sayang, dapat mencintai sayang dan mencurahkan kasih kita bersama anak-anak kita,” tuturnya lembut.  Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan aku suami sebaik Emeer dan kasih sayang yang melimpah ruah dalam kehidupan kami.  Aku memanjat syukur kepadaNya.

            Lembut satu ciuman sayang melekat di bibirku.  Walau pun hanya sekilas, namun sudah cukup menggetarkan hati wanitaku.  Aku menolak bahu Emeer lembut, mengingatkannya agar tidak terlajak bermain perasaan. 

“Err, sayang, kita keluar lambat sikit nak?”

“Ishk abang ni, Eizleen dah lama kat luar tu tunggu kita, nak buat apa kat dalam ni lama-lama?”

“Nak tuntut hutang dengan sayanglah,” bisik Emeer dengan suara yang sengaja diromantiskan.  Alahai suami aku seorang ni, cair hati aku ni tau tak!

“Abang…”

“Kata nak bagi Eizleen kawan, elok sangatlah ni.”  Geramnya.

“Ouchhh, sakitlah sayang.  Daripada sayang ketam abang, baik sayang kiss abang, ada juga baiknya,” usiknya lagi.  Eii, geram sungguh.  Malas hendak melayan peel tak betul suami aku pagi-pagi ni, segera aku meloloskan diri daripada pelukannya.  Elok je tadi mood romantik bertandang, dah sekarang mood miangnya datang pula.   Siapa punya suamilah ni! Ado..


*********************
            Memang suasana pagi raya tak sah kalau tak ada  riuh rendah dengan suara adik-adik aku.  Adib yang dah besar panjang tu pun perangai mengalahkan budak-budak ribena, suka sangat menyakat adik-adik yang lain.  Lagi seronok dapat menyakat Eizleen.  Gembira melihat mak dan abah yang cantik berpakaian sedondon biru muda tersenyum melihat adik-adik yang sudah pun bersiap sedia menanti kehadiran mereka.  Maksu pun kemain cantik lagi dengan Kebaya Betawi merah jambunya.  Nampak lebih muda.  Biasalah, sebelum menghadap rezeki pagi raya perkara pertama yang harus kami lakukan tentulah bersalaman memohon ampun dan maaf daripada abah, mak dan Mak Su.  Kemudian, giliran adik-adik beraya dengan Emeer dan aku dan seterusnya.   

          Alhamdulillah, aku bersyukur kerana tahun ini sekali lagi aku diberi peluang mencium kedua tangan orang tuaku pada hari raya pertama.  Sayang sangat kat encik suamiku yang sangat memahami, tapi iyalah, takkanlah aku nak ambil kesempatan pula atas kebaikannya.  Sudah tentu aku juga kena fikirkan hati dan perasaan keluarga mertua juga.  Memang kami tinggal berdekatan, tapi suasana hari biasa dan hari raya jauh berbeza.  Hidup kenalah adil, barulah rumahtangga aman dan bahagia.  Tak gitu..

“Kak, orang nak minta banyak ni,” ujar Adib sambil mencium tanganku.  Adik seorang ni memang tak lekang dengan tabiatnya begitu. 

“Hmmm.. minta je kan, bagi tu tak tau lagi ek,” sakatku.  Tersungging sengih kelat di bibirnya.

“Orang nak minta maaf, minta halalkan semua yang kakak dah bagi, beli dan belanja kat orang.  Lepas tu orang nak minta, bagilah orang member sorang, boringlah asyik kawan dengan minah bunga je.”  Errkkk.. memang nak kena seligi budak ni.  Ada ke salam raya minta aku bagi kat dia member sorang.. dia ingat aku ni kilang kicap ke, boleh main order-order.  Aku menoleh Emeer yang setia menanti giliran untuk disalami.  Bukan main lagi lebar sengihnya.  Sah-sah malam nanti ayat itulah yang akan menjadi modalnya.  Hampeh betul adik aku seorang ni.

            Wajah gembira adik-adik terpancar apabila masing-masing menerima habuan duit raya.  Eizleen pun jangan cakaplah, girang sungguh lebih-lebih lagi ini pengalaman pertama berhari raya.  Dah dapat kaki lagi laju je dia mengekori mak-mak saudaranya bersalaman.  Seronok bukan main apabila dipeluk cium oleh Ayahki, Maktok dan Toksunya.  Tambah seronok semasa si kecil itu pun tumpang sekaki dengan mak-mak saudaranya mengira duit raya.  Saat-saat indah itu aku rakam satu persatu agar dapat kuputar setiap kenangan apabila rerambut putih bertamu kelak.  

           Sesudah bersarapan, masing-masing bersiap ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidil Fitri dan seterusnya menziarahi pusara maktok dan Aki serta paksu.  Rindua akan kehadiran mereka.

*******************

            Pemandangan hijau di kedua-dua belah laluan perjalanan memukau pandangku.  Inilah julung kalinya aku menjejakkan kaki ke kampung halaman Emeer.  Setibanya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, aku, Emeer dan Eizleen dijemput oleh Pak Mad, pemandu peribadi daddy yang setia dan kebetulan memang berasal daripada kampung yang sama.  Sebenarnya, daddy memang lebih suka mengambil penduduk sekampung daddy untuk bekerja dengannya.  Sengaja memberi peluang pekerjaan kepada mereka kerana kata daddy inilah sahaja ‘social contribution’ yang dapat daddy berikan kepada masyarakat setempat yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.  Daddy memang sangat ‘low profile’ jika hendak dibandingkan dengan ahli-ahli perniagaan yang berjaya setaraf dengan daddy.  Itu membuatkan aku lebih menghormati daddy begitu juga dengan mummy yang nampak sophisticated tetapi di sebaliknya masih tebal dengan ciri-ciri kemelayuan. 

Memandangkan hari sudah agak lewat petang, kami terus sahaja pulang ke rumah daddy walau pun hajat awalnya ingin bersiar-siar di sekitar Bandar Alor Setar.  Tak apalah, sebelum pulang pun masih sempat hendak melawat bandar itu.  Perjalanan yang mengambil masa tiga puluh minit itu terhenti di halaman sebuah rumah agam besar yang tersergam di atas bukit yang bersaksikan pemandangan hijau sawah padi serta burung-burung camar yang sudah pun mula berterbangan pulang menyambut remang senja.  Terpukau dengan keindahan alam dan keunikan rumah agam daddy.  Tersergam cantik bersama seni binaan yang sungguh teliti.  Bahkan pepohonan rendang yang memagari rumah agam itu tidak sedikit pun mencacatkan pemandangannya.  Kelihatan deretan khemah sudah mula dipasang bersama riuh rendah masyarakat sekeliling membantu menyediakan hidangan untuk tetamu yang akan bertandang selepas solat maghrib nanti.  Memang meriah melihatkan kerja-kerja gotong royong penduduk setempat yang sangat akrab seperti saudara-mara sendiri.  Ini mengenangkan aku kepada kampung halamanku.  Indah bila semuanya bersatu dan sehati.

Kehadiran kami disambut girang oleh daddy dan mummy yang sedang asyik berbual dengan beberapa orang penduduk kampung dan saudara mara di salah sebuah khemah yang terpasang.  Laju sahaja langkah Eizleen mendapatkan Tokdaddynya.  Memang manja sesangat budak kecil tu.  Hmm, kalau di rumah abah dia tak lekang didukung dan disakat oleh mak-mak saudaranya, di sini apatah lagi.  Bukan main ramai lagi tu saudara-mara yang turun mendapatkannya.  Terkekek-kekek ketawa disakat dek Nuha. 

Alhamdulillah, selesai sudah majlis pertunangan Lyana Arissa dan Mikail Abdullah dengan tersarung indahnya cincin pertunangan ke jari manis Lyana.  Doa diaminkan tanda memohon kepada Yang Maha Esa agar pasangan itu dipermudahkan dalam menempuhi perjalanan mereka sehingga ke jinjang pelamin.  Kebahagiaan yang terukir di wajah Lyana ketika aku mendakapnya jelas menyatakan betapa dia bersyukur segala keperitan yang dilaluinya sebelum ini hampir sampai ke noktah penamat.  Setiap saat aku mendoakan kebahagiaan adik ipar kesayanganku ini.  Tanpa Lyana Arissa, entah di manalah Ayesha Sorfina.

Satu per satu wajah mereka yang hadir kurenung jauh, namun aku masih menanti wajah yang satu itu.  Di manakah dia?  Tidak hadirkah dia meraikan hari bahagia Lyana ini?

******************
            Erat dakapan Emeer menghangatkan tubuhku seakan tidak memberikan ruang kepada dingin subuh menjentik kulit isterinya ini.  Kejap dan sasa.  Perasaan ingin menggeliat kutahankan bimbang mengganggu tidurnya yang lena.  Jam yang tergantung di dinding kukerling, masih terlalu awal.  Azan subuh pun masih belum berkumandang.  Entah kenapa, lenaku seakan terganggu.  Ruang fikirku masih memikirkan dia.  Bagaimanakah dia saat ini? 

            Hampir setengah jam berbaring dalam pelukan kemas Emeer, menikmati harum bauan suamiku yang memang tak akan lekang dek deria bauku. 

“Sayang, jomlah kita bagi Adib member.  Kesian kat dia, the only boy in the family.”  Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Emeer malam tadi.  Huh, main kias-kias pula.  Kalau dah mengada-ngada tu cakap je lah terus terang kan

“Abang kan ada.  Cukuplah tu dua orang big boys yang sayang kena handle.  Tak larat nak handle ramai-ramai.” 

Padan muka, senang je aku tangkis.   Namun melihatkan wajah Emeer yang mula cemberut, aku iyakan sahajalah.  Mulalah tu, mengada-ngada nak merajuk.  Lagi pun kesian kan kat dia, sepanjang musim raya ni memang tak dapat nak bermanja-manja sangat pun dengan aku.  Isterinya ni, sibuk ke hulu ke hilir.  Bila malam menjelang, badan pun dah keletihan dan syukur, Emeer sangat-sangat memahami. 

“Okey, malam ni sayang bayar upah abang.  Tapi boy ke girl, itu terserah pada abanglah.” 

Hamboi, bukan main lebar lagi sengih tu.  Bukan sampai ke telinga dah, sampai ke mata dah pun.  Mentang-mentanglah Eizleen tak tidur bersama kami malam tu.  Awal-awal lagi kakak Nuhanya dah booking ajak tidur sekali dengannya.  Si Eizleen pun apa lagi, pantang nampak kakak Nuhanya, asyik mengekor aje.  Apa yang Nuha pegang semua dia nak, apa yang kak Nuha buat, dia pun nak buat juga. 

Masih terasa hangat bibir Emeer di serata tubuhku.  Masih terasa lembut belaian jari-jemarinya di setiap helai anak rambut.  Hangat nafas dan kencang denyut jantung di dadanya masih bersatu denganku.  Walau pun usia perkahwinan kami hampir mencecah dua tahun, tapi perasaan berkasihan itu masih tetap sama seperti hari pertama kami bersama.  Masih hangat dan membara setiap hembus nafas dia dan nafasku.  Aku berdoa agar rasa ini tidak akan pernah sesekali pun pudar. 

Lamunanku terhenti apabila terasa hangat deru nafas Emeer di leherku.  Hish, mesti dah bangun encik suami aku ni. 

“Sayang ni kuat termenunglah.  Orang kata kalau perempuan kuat termenung tu tandanya ‘ada isi’,” usiknya berbisik.  Heh, mengada-ngada.  Eh, tapikan baru aku sedar yang selama sebulan Ramadhan, aku tidak didatangi ‘haid’ pun.  Seronok menjalani ibadah puasa sehingga aku lupa akan perkara itu.  Mungkinkah? 

“Hish, kenapa pula abang cakap macam tu.  Ada-ada je abang ni.”

“Manalah tahukan, tahun ni sayang puasa penuh.  Ni pun dah masuk empat hari raya, sayang still okey lagi.  Nanti balik kita pergi klinik ye, mana tahu kalau Eizleen betul-betul nak dapat adik.”  Bisikan Emeer mengundang sejalur rasa indah bertandang di hatiku.    Emeer memang sangat teliti tentang aku.  Kadang-kadang dia yang lebih mengingati tarikh-tarikh penting yang sepatutnya aku ingati.  Setiap yang berkaitan denganku adalah sangat penting bagi dirinya.  

         Sebuah kucupan lembut menyapa pipiku, hangat dan aku biarkan ia berlelama di situ.  Suka dimanjai begini.  Tak kisahlah kan, suami aku bukan suami orang lain pun.

“Hmmm, muka belum cuci suka-suka nak cium orang, jom mandi.  Kejap lagi masuk waktu subuh,” omelku lalu pelukan Emeer semakin erat.  Sukalah tu kalau aku ajak mandi.  Memang manja dan ‘over’. 

            Sesudah sarapan, aku mengajak Emeer ke rumah Uncle Nasir, adik daddy yang tinggal hanya dua kilometer daripada rumah agam daddy.  Niatku satu, hendak menziarahi dia yang kucari-cari hadirnya semalaman.  Mama dan Papa pula akan mengikut Lyana ke Padang Besar bersama Mikail.  Aku pun teringin nak pergi, tapi akan menyusul kemudian selepas menziarahi dia.

            Kesunyian menyambut kedatangan kami.  Suram.  Pintu rumah terkuak kecil dan terpacul wajah Aunt Nisa di sebaliknya.  Melihatkan Emeer, aku dan Eizleen, terus pintu rumah dikuak lebar.  Aunt Nisa menerpa ke arah kami lalu tubuh Emeer dipeluk erat.  Seketika pelukan itu bertukar kepadaku.  Ada genangan air mata mengalir laju di pipi Aunt Nisa.  Wajah tua dan suram Aunt Nisa kurenung penuh simpati.

            “Siapa datang tu mama?”  Suara parau di sebalik pintu jelas kedengaran sebelum empunya suara itu muncul mempamerkan diri.  Terkejut dengan kehadiran kami, Uncle Nasir seakan terpaku di muka pintu.

            Segera kami menghulurkan tangan menyalami Uncle Nasir yang seakan tidak percaya dengan kunjungan kami.  Wajah Uncle Nasir juga disapa kesuraman yang jelas.  Jauh berbeza dengan wajah yang aku temui ketika majlis resepsi kami di Dewan Felda dulu.  Seorang lelaki yang kacak walau pun sudah berusia kini bertukar kepada seorang bapa yang hanya jelas kesuraman bertapa di wajahnya.  Kesian Uncle Nasir dan Aunt Nisa.

            Kami dijemput masuk dan ketika langkah kami menghampiri ruang tengah, mataku tertangkap sesusuk tubuh yang sedang lesu duduk di atas kerusi malas menghadap ke luar tingkap.  Segera langkah kuhayun deras menuju ke arah tubuh itu.  Ya Allah, sungguh aku terharu melihat wajah itu.  Hatiku seakan hancur berderai melihatnya.  Tanpa sedar, aku memeluk tubuh lesu itu kejap.  Ya Allah, janganlah Kau biarkan gadis ini begini selamanya.  Perlahan aku rungkaikan pelukan apabila telingaku tertangkap esak halus gadis itu.

“Aku minta maaf,” sayu dan perlahan bisiknya.

“Noreen, Sha tak pernah berdendam dengan Noreen.  Sha dah maafkan Noreen, dah lama.  Jangan siksa diri Sha macam ni,” pujukku.  Memujuk dirinya dan memujuk rasaku juga.  Rasa simpati dan sedih melihatnya.

“Ini semua pembalasan Tuhan kepada aku, Sha.  Aku kejam.  Aku jahat.” 

“Sudahlah Noreen.  Kita terima apa yang telah terjadi, hidup perlu diteruskan.  Noreen jangan macam ni, bangkit semula.  Masih ramai yang sayangkan Noreen.  Sha sayangkan Noreen, Emeer pun sayangkan Noreen.  Kita kan saudara Noreen.”

            Esakan Noreen semakin jelas.  Aku tahu, air mata itu air mata penyesalan.  Besar sungguh pembalasan Tuhan kepadanya.  Jari-jemari Noreen kuusap perlahan, memujuk dan menenangkannya.  Masih jelas parut-parut kecil di tangannya.  Itulah parut yang ditinggalkan dan akan mengundang ingatan Noreen terhadap peristiwa hitam itu.  Peristiwa yang berlaku setahun yang lalu.

            Setelah Emeer kembali kepadaku, Noreen menjadi semakin liar.  Hidupnya tidak dapat dikawal lagi.  Malam-malamnya dihabiskan di pub dan kelab malam.  Oleh kerana terlalu mabuk, dia dibawa oleh beberapa orang lelaki yang turut berada di pub itu pulang.  Malangnya, perjalanan itu tidak terus ke rumah tetapi Noreen ditinggalkan di ladang kelapa sawit berhampiran Pekan Banting setelah diperkosa beramai-ramai.  Mujurlah ada pekerja ladang yang terjumpa Noreen yang ketika itu hanya tinggal sehelai sepinggang dan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.  Jantungnya masih kuat, nadinya masih ingin terus berdenyut. 

Namun, kemelut lain pula yang timbul hasil daripada peristiwa hitam itu.  Mereka menjadi umpatan masyarakat yang masih ketat dengan sikap pesimis, tidak mahu menerima setiap kejadian itu adalah suratan.  Hanya segelintir masyarakat yang mampu menerima nasib yang melanda Noreen.  Nasib Noreen bukan hanya kepada dirinya sahaja, malah Uncle Nasir dan Aunt Nisa juga terkena tempiasnya.  Mereka tersisih daripada masyarakat.  Daddy yang pada awalnya turut marah dengan sikap Noreen turut menanggung kesidahan apabila melihatkan keadaan Noreen setelah peristiwa hitam itu.  Noreen mengidap trauma yang hebat, sehingga hampir tidak mengenali sesiapa pun.   Oleh kerana itulah, aku mengambil masa sehingga setahun untuk bertemu dengannya.  Aku mahu bertemu dengannya dalam keadaan dia mengenali aku, dalam keadaan dia sedar dan semakin baik.

Tapi apa yang aku kesalkan ialah sikap masyarakat ini, yang hanya menerima keindahan dan menyisihkan keburukan di mata mereka.  Aku percaya setiap insan harus diberi peluang kedua tidak kira apa pun yang mereka lakukan jika mereka ingin berubah.  Siapalah kita untuk menilai dosa dan pahala mereka.  Sebagai manusia, kita juga tidak pernah lari daripada melakukan dosa walau sebesar hama pun.  Siapa kita untuk merendahkan maruah diri mereka?  Aku terdidik dengan sikap sentiasa berprasangka baik terhadap orang lain, sentiasa memberi peluang kepada insan lain untuk berubah dan sentiasa percaya pada suratan yang telah Allah tuliskan.  Terima kasih abah, mak, maksu untuk didikan yang sempurna itu walau pun aku tidak pernah sempurna.

Pesanan agar aku dan Emeer datang lagi menjenguknya mengiringi kepulangan kami.  Dalam kesedihan melihatkan keadaan Noreen, rasa gembira terpancar juga apabila melihat senyuman sudah mula terukir di bibir gadis itu.  Sabarlah Noreen.  Allah telah berikan balasanNya kepadamu di atas dunia ini.  InsyaAllah, kau akan selamat di ‘sana’ kelak.  Sempat aku mengucup dahi gadis itu, kucupan selamat tinggal dan persahabatan daripadaku.

*************************

            Home sweet home.   Akhirnya, aku kembali lagi ke syurga kami.  Walau pun tidak tersergam mewah tapi cukuplah untuk kami bertiga, erkkk.. mungkin berempat esok lusa.  Rumah ini menyaksikan cinta kami bersatu, cinta yang penuh onak dan liku.  Perjalanan hidup ini tidak pernah mudah, namun di situlah bermulanya sebuah pengembaraan indah untuk kita lalui.  Andai kita tamukan ia dengan rasa cinta dan kasih, maka segalanya akan berkilauan.  Andai kita tebarkan rasa rindu dan sayang, maka perjalanan ini akan berdindingkan kemesraan. 

            Di sebalik setiap celahan dinding dan di segenap helaan udara yang bertamu di rumah ini, ada rasa cinta yang bertaburan merata.  Biarlah kami sesak dan lemas dalam rasa cinta ini, kerana rasa cinta inilah hidup kami bermula.  Kerana rasa cinta dan kasih sayang inilah kebahagiaan melingkari hari-hari kami.

            Terima kasih kerana sudi berkongsi kebahagiaan kami.  Doakan semoga aku dan Emeer berbahagia hingga akhir nafas.  Errr.. doakan juga semoga hasrat Emeer hendak membentuk satu pasukan bola termakbul.. Aiyarkk…!!!!  

            BIAR CINTA BERTABURAN..  AGAR TIADA SATU SAAT PUN HIDUP KITA TANPA CINTA.....

TAMAT


*****************

Salam sayang-sayang Kak Yus.. hmmm..camner Part III ni?? Puas hati tak??  Harap mencapailah spesifikasi sayang2 semua.  Terungkai tak kemelut persoalan tentang Noreen?  Apa yg terjadi sebenarnya kpd Noreen memang sengaja Kak Yus tidak paparkan dlm BCB edisi cetak.. kerana cadang di hati nak wat PENGAKHIRAN di blog ini juga khas utk semua sebagai tanda penghargaan atas sokongan kepada Emeer & Ayesha.  So..Versi Raya ni kira pengakhirlah ye.  Selepas ini, jika rindu baca Emeer & Ayesha lagi.. kita belek2lah BCB semula.   Special Thanks untuk Fara aka Far Away (kertas kosong) yang telah membantu kak yus menyambung BCB Versi Raya Part II.. cantikkan garapan beliau..sangat2 berbakat n selepas ini teruskan menulis ye.. 

Kepada sayang2 semua.. semoga terhibur.  Sudi2lah drop se dua tiga empat patah kata untuk kak yus simpan sebagai kenangan di arena BCB ini...  SAYANG SEMUA. ~ KAK YUS.  10.22am, 21/9/12

12 comments:

  1. Pengakhiran yg sangat sweet...
    Kasih sayang sangat universal...
    Hanya mereka yg melaluinya akan tahu apa itu kasih, sayang & cinta..
    Gud luck kak yus...

    ReplyDelete
  2. So Sweet ...... Terbaikkk....
    sekurang-kurangnya pembalasan dunia terima dahulu....
    dapat memohon maaf .... kalau x sempat.... hanya Allah s.w.t yang tahu....

    ReplyDelete
  3. sweet...hope akan terus berkarya... thumb up for u...

    ReplyDelete
  4. huhuhu. sedih sebab dah habis. Tapi, kisah Emeer dan Ayesha tetap selamanya. Best sangat. Terima kasih Kak Yus untuk entry Raya ni. ^__^

    ReplyDelete
  5. Puas hati sangat2 dengan kisah Noreen. Satu pengakhiran yang tak di duga. Emeer Ayesha pun sweet sangat, tapi mcm tak cukup laa. Macam nak lagi. Hehehhe..sorry Kak Yus, saya tamak..

    ReplyDelete
  6. berpuas ati sangat ngan novel ne .the very2 sweet n amat menghibur kan dalam pelbagai rencah kehidupan!pape pun congrats n muga sukses dlm berkarya dek....

    ReplyDelete
  7. So sweet....will miss the romantic & sweet couple.....but don't worry...BCB already in my collection....Well done Yus....Next novel please.....

    ReplyDelete
  8. Yus, BCB bagi akak sebuah cerita kasih sayang yang tulus walau ada sedikit noda di luar batas kebiasaan yang agak sensitif. Namun ditimbal dengan baik oleh kebertanggungjawaban semua pihak.Syukur!

    Biar Cinta Bertaburan ....... 'Biarlah bertaburan berawak sekeliling kita agar mudah tercapai dek genggaman bila diperlukan. Usah takut menyebarkannya kerana yakinilah cinta itu keperluan naluri setiap insan'

    Maaf, sudah menjadi habit akak setiap kali habis membaca novel siapapun akan ada ringkasan di helaian pertama novel itu menurut perspektif hati akak. Untuk BCB ini yang terzahir. Maaf, memandai!! Teruskan menulis Yus!!

    ReplyDelete
  9. Kak Anonymous.. terima kasih utk komen ini, terharu dan terubat bekas parut di hati.. CINTA yg sejati tak pernah akan mati, cuma kdg2 akan tercela sedikit sbg dugaan.. noda & dosa tak pernah lari drp hidup seorang insan, namun Allah itu Maha Pengampun, sentiasa memberi ruang utk kita terus bernafas & berbahagia di atas buminya.. Terima kasih kak, utk sumber kekuatan ini.. doakan yus ye!

    ReplyDelete
  10. terima kasih utk semua komen2 .. menjadi sumber kekuatan yg semakin pudar..

    ReplyDelete
  11. BEST!

    karya akak diperkenalkan oleh Selvarani Selva. beria² dia memujuk sha untuk membaca karya akak. sha akui, karya akak memang best!

    teruskan berkarya.

    ReplyDelete
  12. terima kasih Sha.. n terima kasih juga utk review yg indah itu..

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com