Saturday 1 December 2012

Sengketa Cinta ~ 12


            

          Azzalea menghitung hari.  Jari jemari halus nan runcingnya lincah membelek kalendar kecil di atas meja besarnya.  Hampir dua tiga berlalu, dia semakin terasa dipinggirkan.  Entah mana silapnya, entah apa yang telah dilakukannya sehinggakan Fayyad tega melakukan begitu kepadanya.  Hubungan mereka yang baru bermula sudah semakin renggang, jauh daripada jangkauannya.

            Andai benar apa salah dan silapnya, Azzalea tidak teragak-agak untuk menuntut kemaafan.  Dia bukanlah egoistik yang tidak mahu mengakui kesilapan diri.  Namun telah puas dia mencongak dan mencungkil kotak memorinya mencari di mana silap diri, sehingga kini masih tidak ketemu.  Fayyad pula semakin menjauh, setiap panggilannya tidak berjawab malah tidak pernah pun berbalas.

            Fail-fail yang bertimbun di atas meja dipandang sepi.  Mood bekerja semakin hari semakin berkurangan malah badan Azzalea juga semakin susut.  Sukar juga untuk dia menjamah makanan.  Puas Dirah menasihatinya agar jangan terlalu memikirkan permasalahannya dan Fayyad tapi hati tetap degil.  Tidak mahu mengalah daripada terus memikirkan setiap kerumitan yang menampar ruang fikir.  Satu per satu persoalan timbul.  Belum sempat menjawab soalan awal, soalan seterusnya bertubi-tubi menerkam.  Hingga tak mampu ditampung dek akalnya lagi.

            Lingkaran hitam pun sudah mula bertamu di matanya.  Lebam dan kusam wajah yang dahulunya sentiasa ceria dan tenang.  Ada linangan air mata kecil mengalir di pipi gersang gadis itu.  Air mata keliru dan kecewa yang tidak dapat digambarkan.  Sungguh, dia memang memerlukan sebuah jawapan yang pasti sekarang.  Andai itu memang silapnya, dia rela merendahkan diri memohon keampunan.  Cuma sekarang, dia perlukan hanya sebuah jawapan.  Kenapa dia diperlakukan begitu.  Cincin putih di jarinya ditenung.  Lama.  Kenapa wahai hati, sakitnya tak terperi.

“Hmm, Lea awak okey ke tak ni?” tegur En. Eshan yang tiba-tiba berdiri di tepi meja Azzalea. 

            Cepat-cepat Azzalea memalingkan wajah menghadap ke arah skrin komputer lalu mengesat lelehan air matanya.  Tidak mahu segala penderitaan hati diketahui oleh majikannya itu.  Dia sebenarnya tidak menyedari tingkahnya telah diperhatikan lama oleh En. Eshan.  Sengaja lelaki itu tidak mahu menegurnya lebih awal.  Sengaja dia ingin melihat resah dan gundah Azzalea.  Bukan ingin mempersendakan hati gadis itu, tapi sebenarnya dia sendiri tidak tahu apa yang hendak diperkatakan.  Sebagai salah seorang yang agak rapat dengan keluarga Fayyad, serba sedikit desas desus mengenai perkahwinan antara Fayyad dan gadis pilihan keluarganya telah mula dihidu oleh En. Eshan.  Tidak sampai hati untuk memanjangkan khabar angina itu kepada Azzalea.  Hatinya tidak pernah sampai untuk melihat kedukaan gadis itu.  Sedangkan air mata yang dilihatnya tadi pun sudah cukup merobek hati lelakinya.

“Awak okey tak ni?” soal En. Eshan sekali lagi setelah soalannya tadi masih belum berjawab.

“Saya okey,” balas Azzalea lesu.  Tidak mampu memandang terus wajah En. Eshan, bimbang syahdunya dapat dikesan.

“Saya tengok awak macam tak sihatlah Lea.  Apa kata awak ambil cuti beberapa hari.”

“Eh, tak apalah En. Eshan, kan sekarang ni musim closing.  Kalau saya cuti nanti siapa yang nak bantu En. Eshan.  Tak apalah, saya okey.”

“Betul ni?”

“Betul.  I’m perfectly dan hundred percent fit…”

“Kalau dah macam tu, okeylah.  Saya bukan apa, risau tengok awak monyok je kat sini.  Risau kalau-kalau awak tak sihat, kang buatlah awak pengsan kat sini jenuh pulak saya nak mengangkat.  Tak larat saya, nampak je kecik awak tu tapi berat ya hamat,” ujar En. Eshan cuba menceriakan keadaan.  Tersungging senyuman di sebalik wajah suram Azzalea.  Heh, orang tua ni, ingat dia tu ringan sangat ke.

            Melihatkan senyuman Azzalea, hati En. Eshan kembali tenang.  Okeylah untuk masa ni, harap-harap tak adalah mendung berarak lagi buat sementara waktu ni.  Azzalea ditinggalkan sendiri setelah berkali-kali ajakan En. Eshan untuk keluar makan dengannya ditolak. 

            Menyedari zohor telah pun lima belas minit berlalu, segera Azzalea menuju ke surau kecil yang terletak di hujung tingkat bersebelahan dengan pantry Kak Enon.  Sekilas dijelingnya Kak Enon yang sedang enak menyuap potongan kecil buah jambu yang telah dicampurkan dengan sedikit serbuk asam.  Wah, sedapnya.  Kecur juga liur Azzalea.  Perut yang tadinya mogok tidak berperasaan kini sudah mula pandai menunjukkan perasaan.  Bunyi-bunyian kecil mula kedengaran jelas.  Hish, tak boleh jadi ni.  Langkah Azzalea ditukar tiga ratus enam puluh darjah menuju ke arah Kak Enon.

“Assalamualaikum Kak Enon.  Amboi sedapnya makan sorang-sorang,” tegur Azzalea lembut.

“Waalaikumussalam warahmatullah hi wabarakatuh.  Hah, tu dia.  Penuh akak jawab dik oi.  Sedap, nak join ke meh la.  Banyak lagi ni.”

“Malu la Kak Enon.  Lea ni kan pemalu.”

“Hek eleh, sejak bila ko bertukar jadi gadis Melayu terakhir ni Lea oi. Jangan nak mengada-ngadalah dengan akak.  Meh, meh, akak beli tiga bungkus tadi.  Kalau akak nak perabiskan sorang-sorang mahu kembung perut ni.”

“Dah tau tak boleh habiskan, wat apalah yang akak beli banyak-banyak?” soal Azzalea agak pelik. 

Iyalah kan, tiga bungkus nak makan seorang.  Biar betul.  Takkan Kak Enon mengidam kot.  Hish, dah nak masuk lima puluh tahun tu umur Kak Enon, kalau masih mengandung lagi kira terror la tu.  Haish, apa pula yang dia dok merapu ni.  Orang dah jamu depan mata apa lagi, ngaplah.  Lincah je tangan Azzalea mencapai lidi kecil yang terletak cantik di dalam plastic potongan jambu itu.  Satu suap, dua suap, tiga suap…  Sudahnya, hampir separuh plastic selamat dihadamnya.

“Terima kasihlah Kak Enon.  Nanti Lea ambil duit bayar ye.”

“Eh, jangan ngengada la Lea.  Kira akak belanja je.  Ni akak nak tanya juga, ko tadi dah makan ke sebelum makan jambu ni?”  Soalan Kak Enon hanya dibalas dengan sengihan bersalah.

“Laillahailllallah budak seorang ni.  Ko punya bedal jambu tu setengah plastik, perut tak ada alas apa-apa pun.  Bertuah punya budak.  Karang kalau ko sakit perut, ko jangan cakap akak yang racun ko macam jambu ni eh,” bising Kak Enon.  Mahu tak bising, dahlah tak makan apa-apa pun berani pula makan jambu dengan asam yang melimpah ruah tu.  Kalau takat jambu je bolehlah dimaafkan. 

“Err.. tak ada apalah kak.  Okey Kak Enon sayang, terima kasih belanja Lea.  Lea nak solat zohor jap.  Tadi dah retour ke sini sebab tak tahan tengok mulut akak mengunyah jambu dengan penuh perasaan,” balas Azzalea lalu cepat-cepat berlari anak meninggalkan Kak Enon.  Kalau tak lari sah-sah ketam mak tiri akan naik ke pahanya.  Siapa tak kenal Kak Enon, sepit ketam kuat.

            Dari surau kecil itu terdengar tawa Kak Enon yang meleret.  Sekurang-kurangnya lima belas minit yang diluangkan bersama Kak Enon sebentar tadi mampu mengubati hatinya.  Mujurlah tidak ramai di surau ketika itu.  Solat Azzalea penuh khusyuk dah tawwaduq.  Sujud terakhirnya diiringi dengan doa yang dimunajatkan di dalam hati.  Mohon agar Allah membuka ruang yang luas untuk menyelesaikan simpulan persoalan yang semakin banyak dan merungsingkan.

Usai menunaikan solat zohor, Azzalea masih lagi berteleku di hadapan komputer peribadinya.  Mood untuk menyambung kembali tugasannya semakin merudum.  Huruf-huruf yang dilihatnya juga semakin samar.  Kemudian nampak seperti berterbangan satu persatu huruf-huruf yang tadinya kemas teratur.  Bintang-bintang kecil sudah mula kelihatan.  Saat itu juga tekak Azzalea terasa loya manakala badannya pula sudah terasa ringan.  Terapung-apung di awangan.  Gelap!

**************************



“Semua ni salah saya.  Kalau bukan kerana saya, awak tentu tak jadi macam ni.”

“Lea, bangunlah.  Maafkan saya.”

            Suara itu kembali lagi menampar cuping telinganya.  Berkali-kali dia cuba menangkap satu persatu perkataan yang dituturkan namun masih gagal.  Otaknya masih gagal berfungsi sepenuhnya.  Hanya desahan suara itu yang berjaya menembusi deria telinganya saat itu.  Mata yang masih memberat digagahkan juga agar terbuka.  Sekali cubaan gagal.  Kali kedua juga masih gagal.  Namun kali ketiga, sepenuh kudrat diberikan barulah kelopak matanya terbuka perlahan.  Masih samar-samar pandangan matanya.  Putih. 

            Otak Azzalea mula berfungsi sedikit demi sedikit.  Di mana dia sekarang?  Di sekelilingnya kelihatan serba putih.  Matanya memerhati ke atas, ke ruang siling yang luas.  Seketika, dia mula terasa panas yang menjalar di tangannya.  Kemas dan kejap.  Perlahan dia meleraikan genggaman tangan kasar yang berada di atas tangannya.  Kalau dulu mungkin genggaman itu mampu menyejukkan hatinya yang panas, meredakan resah gelisahnya.  Tetapi hari ini genggaman itu hanya mengundang lebih banyak derita di hatinya.

            Fayyad tersedar apabila terasa tangan kecil Azzalea direntap lembut.  Segera kepalanya diangkat lantas terus dia merenung wajah suram gadis yang terbaring lesu di perbaringan itu.  Sedih dan tersayat hatinya melihat Azzalea pertama kali kakinya dijejakkan di bilik itu.  Sampai beginikah deritanya gadis itu.  Dia tidak sanggup lagi menambah kekecewaan di hati Azzalea.  Dia harus melakukan sesuatu. 

“Apa awak buat kat sini?” soal Azzalea lemah.  Terkejut sebenarnya dengan kehadiran Fayyad yang tak diundang.

“Kenapa awak dera diri awak sampai macam ni?”  Sudahnya, persoalan dibalas dengan persoalan.

“Saya rasa soalan tu awak yang lebih tahu jawapannya.”

            Diam.  Masing-masing kelu melayan perasaan.  Azzalea masih menyimpan sekam di dada.  Fayyad pula tercari-cari kata-kata yang hendak diluahkan.  Serba tidak kena.  Dia tidak tahu di mana hujung pangkal untuk menerangkan kemelut yang melanda jiwa mereka.  Dia sudah melihat sengsara yang ditanggung hingga membawa gadis kesayangannya ke perbaringan itu.  Dia tidak mahu setiap kata-kata yang bakal diungkapkan akan lebih mengguris hati Azzalea.  Tidak mahu lebih mengusutkan keadaan.

“Saya minta maaf awak.  Saya yang menyebabkan semua ini terjadi.  Semuanya salah saya.  Saya penyebab awak jadi macam ni,” ujar Fayyad.  Perlahan namun cukup jelas.  Ada nada sebak dalam suara lelaki itu.

“Kenapa dengan kita?”  Azzalea tidak mampu menahan rasa lagi.  Air mata yang dibendung lama semakin hilang kawalan.  Bercucuran juga akhirnya.

“Saya akan betulkan segalanya,” balasnya tanpa menjawab persoalan Azzalea. 

Jari Azzalea kembali diraih walau pun Azzalea cuba mengelaknya.  Lantas jejari sejuk Azzalea dikucup lembut dan tanpa disangka Fayyad kembali merebahkan kepalanya di birai katil.  Ada sendu yang berlagu di situ.  Azzalea kaku.  Tidak menjangkakan yang lelaki itu turut sama menanggung siksa dengan apa yang terjadi.  Apa sebenarnya yang telah menjadi batu penghalang bagi hubungan mereka.  Apa sebenarnya yang membelit hubungan mereka sehingga mereka lemas tidak mampu bernafas.  Kenapa persoalan demi persoalan tak mampu terlerai, malah makin tersimpul mati.  Mati tanpa sebarang jawapan!

Akhirnya, Azzalea ditinggalkan Fayyad dengan renungan mata yang redup.  Namun di sebalik panahan redup anak mata itu, tersembunyi sesuatu yang mengusik jiwa Azzalea.  Entah apa yang disembunyikannya.  Entah apa permainan yang cuba dimainkan oleh lelaki itu.  Azzalea sungguh tidak mengerti. 

Azzalea hanya merenung tajam dedaun pintu yang tertutup rapat.  Seolah dia menghantar pemergiaan Fayyad yang penuh tanda tanya dengan pandangan matanya.  Dia sendiri pun masih tertanya-tanya siapakah yang telah menyampaikan berita dia dimasukkan ke hospital kepada Fayyad.  Agaknya, jika tidak kerana insiden kecil ini, sudah tentu dia tidak akan dapat bertemu lagi dengan Fayyad.  Dia dapat merasakan Fayyad semakin jauh daripadanya.  Jauh dan terus menjauh.

Ya Allah, apa yang telah terjadi dengan kami?  Apakah yang telah Engkau tuliskan untuk kami?  Perit dan berat bahu ini memikul rasa yang semakin lemas.  Luka dan parah hati ini menanggung siksa yang semakin menggunung.  Hendak menangis, air mata sudah hampir kering.  Sesungguhnya Tuhanku, aku meletakkan segalanya kepadaMu.  Azzalea berbisik sendirian, berlawan kata dengan hatinya.

Tidak mahu terus menerus diamuk perasaan, Azzalea kembali kea lam nyata.  Alam yang sedang dihuninya kini.  Di perbaringan itu yang menyedarkan Azzalea tentang banyak perkara yang telah terlepas olehnya. Azzalea  mengerling jam kecil yang tergantung di dinding berhampiran katilnya.  Sudah hampir jam tujuh empat puluh malam.  Maghrib sudah menghambat waktu untuk pulang.  Melihatkan wayar yang bersirat di tangannya serta botol air yang tergantung, ditambah pula dengan badannya yang sangat lemah, dia tahu dia tak mungkin dapat menampung badannya untuk ke bilik air.  Pantas tangannya mencapai tuala kecil yang terlipat di atas meja sisi lalu melilitkan kain itu menutupi kepalanya yang terdedah. 

Kata-kata ibu agar menjaga solat menjadi azimatnya.  Dalam keadaan terdesak begitu, Azzalea tetap mendirikan solat di perbaringan.  Demi menjaga waktu solat dan menunaikan tanggungjawabnya.  Semoga Allah menerima ibadahnya yang satu itu.  Semoga ada sinar untuk dirinya esok, lusa dan hari-hari seterusnya.



****************************************************

Selamat menyelami n3 kali ini..  kadang2 tak semua yang kita sangka indah itu akan berkekalan.. ada masa mendung tiba jua..  segalanya kita serahkan kpd takdir.  Semoga sayang2 terhibur dgn n3 ini... sudi2lah drop komen sbgai pembakar semangat k.yus ye..


Salam kasih sayang... 
~ Kak Yus~


1 comment:

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com