Friday, 11 July 2014

Biar Cinta Bertaburan Edisi Raya 2014

Assalamualaikum dan salam sejahtera kesayangan kak yus...

Maaf kerana sudah terlalu lama sanggarhati kita ini dibiarkan sepi tanpa entry.. apa nak buat, tugas yg utama perlu didahulukan.  Untuk mengubat kerinduan kalian kepada pasangan Emeer & Ayesha.. kak yus titipkan di sini khas utk semua.. maaf utk kekurangan dan ketidaksempurnaan ...

**********************************




          “Macam mana ni, abang.” 
          “Lorh, sabarlah sayang.”
        “Macam mana nak sabar.  Dah nak maghrib ni bang.  Kesian anak-anak dalam kereta tu.  Itu lah, dah Sofi cakapkan tadi tak payahlah nak cuba-cuba lalu kat sini.  Dah tau tak pernah lalu, saja cari penyakit tau.”  Membebel lagi.  Kali ini sudah masuk sepuluh kali Ayesha membebel yang sama.
          “Sayang, rintangan nak datang bukan nak bagitahu kita dulu.” 

          Ayesha mendengus.  Itu ajelah yang dijawabnya.  Kalau ikut highway MTD tadi dah lama sampai ke rumah abah.  Dah tentu sekarang ni sibuk kat dapur menyiapkan hidangan berbuka.  Wajah anak-anak yang yang kelelahan ditenung satu persatu. 

          Ini semua kerana idea gila suaminya yang tercinta tu.  Dah bertahun-tahun kahwin dan berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pekan, tiba-tiba kali ini nak gunakan laluan Chenor-Pekan ini pula.  Sudahlah tak pernah dilalui, hanya mendengar khabar daripada rakan-rakan sahaja.  Kononnyalah hendak menikmati keindahan alam semula jadi.  Sudahlah jauh ke dalam, hutan pulak tu.  Memanglah ada beberapa buah kampung di sepanjang perjalanan, tetapi bukan semua kampung tu dekat-dekat.  Rumah pun tidaklah banyak mana.  Sekarang ni dah menjadi satu masalah pula.  Kereta pula buat hal.  Tak pernah-pernah buat hal, pandai pula memilih masa itu juga nak protes.  Sudah hampir dua jam mereka tersadai di tepi jalan yang di sekelilingnya hanya pokok-pokok hutan dan aliran Sungai Pahang di pinggir jalan.  Sebuah kenderaan pun tidak melintas langsung.  Kalau ikutkan hati, mahu sahaja diselam-selamnya suaminya itu ke dalam Sungai Pahang yang mengalir tenang.  Sakit betul hati.

          “Dah la Yang, janganlah masam macam tu.  Sayang tak kesian kat abang ke.  Tengok ni, dah hilang hensem dah,” pujuk Emeer mengendeng di sebelah Ayesha.  Dia tahu isterinya itu sedang membara.  Namun masih juga ingin memujuk isteri tersayang dan memancing simpati dengan kecomotannya.  Baju yang tadinya bukan main kemas telah dicalit dengan hitam minyak kereta. 
          “Padanlah dengan muka tu. Siapa yang suruh.”
          “Amboi, tak sayang abang tu.”
        “Sayang mak yang.  Dalam hutan ni sayang-sayang tak main.  Tu fikir macam mana nak balik ni.  Dah la line telefon pun tak ada.”  Wah, ini dah tak boleh nak dipujuk lagi ni.
          “Ala sayang…”
          “Malas nak bersayang-sayang dengan abang ni.  Baik Sofi tengok apa yang ada untuk anak-anak berbuka.  Nasib baik singgah beli kuih tadi.”

          Emeer tersenyum.  Semenjak menjadi ibu kepada dua orang anak ni, isteri kesayangannya tu sudah mempunyai hobi baru.  Hobi yang memang sinonim dengan wanita yang bergelar ibu.  Apa lagi kalau bukan membebel.  Sesetengah lelaki tidak suka mendengar bebelan si isteri, bosan dan ada kala boleh menaikkan amarah mereka.  Tetapi berlainan pula dengan Emeer.  Bebelan itulah yang sering dirinduinya sepanjang masa.  Hobi baru Ayesha itu memang mendapat approvalnya seratus peratus.  Semakin Ayesha kerap membebel semakin comel pula kelihatan isterinya itu.  Apa ke pelik, tapi memang itu hakikatnya.  Mulut kecil milik Ayesha yang tersenget, herot dan memuncung setiap kali membebel itu kelihatan comel je.  Kadang-kadang sedang isterinya itu mengomel, ciuman nakal akan hinggap di bibir itu.  Geram.

          “Yang….” Panggil Emeer memancing simpati.  Ayesha melempar pandang ke wajah suaminya itu.  Adalah tu…
“You look gorgeous when you get angry.  Even prettier when you sulk.”
“Heh, tak jalan der dengan pujian abang tu,” balas Ayesha spontan.  Sengaja berlagak jual mahal sedangkan hati di dalam sudah kembang bertaman-taman.  Suka sebenarnya dipujuk dan dipuji.
“Olorh sayang…”
“Tak payah nak puji-puji Sofi.  Kalau dengan pujian abang tu kereta boleh jalan tak apalah juga.  Ni tengok anak-anak dah berpeluh kepanasan.”
“Hmmm, kalau macam tu sayang tinggal dengan anak-anak kat sini biar abang jalan kaki ke depan sana kot-kot ada kampung yang berhampiran.”
“Hah, tinggal sini?  Hmmmmm….”
“Kenapa.. takut?” usik Emeer.
“Bukanlah takut tapi tak berani je.  Tak ada option lain ke bang?”
Emeer tergelak besar.  Berlagak!  Dah pucat muka tu apabila dengar kata nak kena tinggal, lagi nak cover.  Tubuh isterinya yang agak sedikit berisi itu ditarik lalu dipeluk.  Tawanya masih bersisa.
“Abang… kotorlah baju Sofi.”  Rengek Ayesha langsung tidak berkesan malah semakin kejap pelukannya.
“Ayah, puasalah. Mana boleh peluk-peluk.” Teguran Eizleen menambahkan galak tawa Emeer.  Namun pelukan dirungkaikan perlahan. 
“Iyalah kan ayah ni.  Dalam hutan pun nak peluk-peluk ibu,” tokok Ayesha menyokong teguran anak gadisnya.
“Siapa cakap kat kakak puasa tak boleh peluk?” soal Emeer masih lagi dalam mood mengusik.  Kali ini mangsanya si Eizleen.
“Errr…boleh ke?”  Eizleen pula mempamerkan wajah blur dengan soalan ayahnya itu.  Iyalah, kan banyak benda yang tak boleh dilakukan ketika berpuasa. 

Melihatkan riak wajah Eizleen, Ayesha dan Emeer tertawa besar.  Pepandai aje anak gadis mereka menjatuhkan hukum.  Adoiii!! Anak siapalah tu.

Aqyeem dan Eizleen yang kepanasan kini sudah turut serta berdiri di pinggir jalan.  Pemandangan indah Sungai Pahang yang mengalir tenang menggamit minat mereka.  Budak berdua tu memang dah sebati sangat dengan keindahan Sungai Pahang apatah lagi jikalau pulang ke kampung Aki dan Maktok, memang akan sama-sama terjun ke sungailah.  Itu pun kalau air cetek, kalau paras air naik memang tak ada harapanlah.

Paling seronok ikut Aki menarik jala ikan patin di dalam sangkar.  Melihat liuk lentuk ikan patin menggelepar dalam jala memang seronok.  Kalau ada Pak Ngah Adib bertambah-tambah lagi keseronokan tu.  Selepas tengok Aki, terus ikut Pak Ngah pergi ke kebun.  Kat kebun di belakang rumah tu bukan setakat pohon buah-buahan je yang ditanam, ayam, itik dan arnab pun turut diternak.  Aki memang suka berbudi pada tanah.  Malah tangan Aki sejuk kata Maktok sebab kalau bertanam memang menjadi sahaja tanaman.  Menternak pun begitu juga.  Daripada dua tiga ekor arnab dah semakin banyak membiak.  Ada di antara arnab itu kadang-kadang terlepas berkeliaran di celah pohon bunga Tok Su.  Memang seronoklah Aqyiem bermain kejar-kejar.

“Abang, ada kereta,” ujar Ayesha menarik sedikit baju Emeer yang masih membongkok menghadap enjin kereta.
Segera Emeer menghampiri jalan raya lalu menahan kereta Iswara biru muda yang melintasi mereka.  Pemandunya seorang lelaki tua berkopiah putih menghentikan kenderaan lalu keluar dan menghampiri Emeer.
“Assalamualaikum.” Lelaki tua itu memberi salam mendahului Emeer lantas menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Waalaikumsalam pakcik.”  Salam bersambut.
“Kenapa kereta tu, rosak?”
“Aah pakcik.  Entah apa yang rosak pun saya tak tahu.  Nak telefon tak ada line pula.”
“Kat sini memang susah nak dapat line.  Kena ke depan sana lebih kurang lima puluh meter, baru boleh dapat.  Dah lama ke kat sini?”
“Lama juga dah pakcik...”
“Hmmm.. macam ni ajelah.  Kalau nak tunggu orang lalu masa macam ni memang tak ramailah.  Dah nak maghrib ni pun.  Apa kata kita ke rumah pakcik je.  Nanti lepas berbuka biar pakcik cari Abu Pomen kat seberang tu.  Itu pun rasanya esok pagi la tu baru boleh dia tengok, dah malam payah la sikit.”
Emeer berfikir sejenak.  Betul juga tu.
“Err, nama pakcik, Azlan.  Tapi orang panggil Pak Lan aje.  Anak ni siapa nama?”
“Astaghfirullahal azim.  Asyik berbual lupa saya nak perkenalkan diri.  Saya Emeer, Pak Lan panggil Meer aje.  Ini isteri saya Ayesha.  Yang berdua tu pula anak-anak saya, Eizleen dan Aqyiem.  Kami ni dalam perjalanan nak balik ke Pekan, rumah mertua saya.  Kawan-kawan saya cerita lalu kat sini seronok, itu yang saya nak cuba.  Tak sangka pula kereta ni boleh buat hal,” terang Emeer sambil menggamit anak-anaknya agar bersalaman dengan Pak Lan.
Kepala kedua-dua anak kecil itu diusap lembut oleh Pak Lan ketika mereka bersalaman.  Orang tua-tua selalu berpesan, usaplah kepala anak ketika bersalaman atau berpisah sambil berdoa untuk kesejahteraan mereka.
“Marilah, dah petang sangat ni.  Eloklah kita bergerak sekarang.  Meer bolehlah ambil barang-barang yang perlu dan kunci kereta elok-elok.  Kita berbuka di rumah pakcik ajelah.”

Akur dan sangat berbesar hati dengan pelawaan serta bantuan Pak Lan, Emeer dan Ayesha segera berkemas ala kadar dengan membawa beg pakaian serta kuih muih yang dibeli di perjalanan tadi.  Syukur kerana di waktu begitu Allah telah membantu mereka melalui Pak Lan.

Perjalanan ke rumah Pak Lan hanya sekitar sepuluh minit sahaja.  Kalau nak berjalan kaki, memang agak jauh juga.  Rumah kampung yang agak besar itu kelihatan sunyi.

“Uwannya...” laung Pak Lan setelah member salam.
Seketika pintu terkuak lebar.  Muncul seorang wanita yang berusia sekitar enam puluhan tersenyum menyambut kepulangan suaminya.  Agak terkejut melihatkan tetamu yang tidak dikenali turut serta namun senyuman manis tetap dilemparkan.

Berbuka puasa bersama Pak Lan dan Makcik Senah memang menyeronokkan.  Walaupun hanya lauk biasa-biasa, namun cukup menyelerakan.  Ikan lampan goreng menjadi rezeki mereka malam itu ditambah pula dengan gulai asam batang keladi yang tumbuh subur di belakang rumah.  Mujurlah sempat lagi untuk menyiapkan juadah berbuka.

Usai mengerjakan solat maghrib berjemaah, Ayesha membantu Makcik Senah mengemas dan membersihkan pinggan mangkuk yang digunakan.  Emeer sempat menghubungi ayah mertuanya mengkhabarkan tentang mereka yang terkandas di situ.  Mujurlah Adib dan abah memang biasa dengan laluan itu dan akan datang menjemput mereka selepas solat tarawikh. 

Malam itu, pertama kali dalam hidup Emeer dan Ayesha juga anak-anaknya, mengerjakan solat tarawikh di tempat yang agak asing bagi mereka.  Mengikuti Pak Lan dan Makcik Senah ke masjid yang berhampiran memang mengujakan.  Kawasan masjid yang dipenuhi dengan jemaah amat meriah apatah lagi kelihatan kanak-kanak kecil berlarian di laman masjid.  Iyalah kan, tentu sekali seronok kanak-kanak itu bermain sementara menanti solat isyak.  Nak takutkan apa, kan syaitan semua diikat dalam bulan Ramadhan.

Alunan bacaan Surah Al-Takathur yang dibaca oleh imam solat tarawikh itu sungguh merdu menusuk jiwa.  Ayesha terpegun seketika.  Khabarnya tadi imam mereka malam itu adalah pemuda yang berusia belasan tahun, seorang pelajar tahfiz yang telah menyudahkan hafazan 30 juzuk Al-Quran.  Beliau anak kepada salah seorang penduduk di situ.  Memang selalu diberi peluang menjadi imam jika beliau pulang bercuti ke kampung.  Subhanallah, sungguh bertuah ibu dah ayahnya.

“Sayang, seronokkan,” ujar Emeer memecah kesunyian malam ketika mereka berdua duduk di pangkin luar. 
“Hmmm..”
“Hmmm.. aje?”
“Seronok tu memanglah, tapi rumah orang bukan rumah kita.”
“Baik betul Pak Lan suami isteri ni.  Nak menolong kita orang yang tak dikenali.  Kalau setengah orang tu, dibiarkan aje tepi jalan tu.”
“Itulah bezanya orang kampung dengan orang bandar abang.  Orang kampung ni walau macam mana tak kenal pun, paling tidak mesti akan berhenti dan bertanya khabar jika nampak dalam kesusahan.”
Emeer menggangguk setuju.  Matanya memerhati gelagat anak-anak yang mengekor Pak Lan memasang pelita buluh di sekitar halaman rumah.  Cahaya daripada pelita buluh itu menyinari halaman.  Cantik.
“Abang, imam tarawikh kita tadi tu, hensem tak?”
“Erkkk...”  Pandangan Emeer segera kembali terarah ke wajah Ayesha.  Ada ke tanya handsome ke tidak.  Alahai isteri siapalah ni.  Menyedari tingkah Emeer itu, Ayesha tertawa lepas.  Pipinya dicubit.
“Nakal isteri abang ni ye.  Ada ke tanya handsome ke tidak.  Mana ada orang lagi handsome daripada abang kan.”
“Eiii.. perasan.”  Lidah dijelir mengejek.
“Jelir la lidah tu.  Nanti abang gigit lidah tu baru tau!”
“Takutlah sangat.” Ayesha membuat muka, “alah, Sofi tanya comel ke tak budak tu.  Sedap betul suara dia, lancar je bacaan dia.  Boleh buat menantu tu,” sambung Ayesha.
“Hai, sayang dah nak bermenantu sangat ke?”
“Lorh, chop la dulu.”
Emeer menggeleng kepala dengan keletah isterinya.  Sempat pula nak chop anak orang buat menantu.  Tapi memang dia pun berkenan dengan pemuda tadi tu.  Baik budi bahasa, selari dengan gelaran hafiz yang disandangnya.  Sejuk sungguh mata memandang.  Seketika, Emeer merenung diri sendiri.  Terlalu jauh beza dia dan pemuda itu.

Emeer, Ayesha dan anak-anak mereka meninggalkan rumah Pak Lan dan Mak Senah hampir jam sebelas malam setelah Adib dan abah tiba.  Dengan ucapan ribuan terima kasih atas jasa baik keduanya, Emeer dan Ayesha berjanji akan ke rumah mereka keesokan harinya.  Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dikenang selamanya.

Takbir raya bergema di pelusuk kampung menandakan kehadiran Aidil Fitri sejurus mentari menjelma esoknya.  Syahdu di pendengaran.  Ramadhan yang pergi entah bila dapat bertemu kembali.  Persiapan raya semuanya telah selamat diselesaikan.  Adik-adik Ayesha yang semakin meningkat remaja sudah pandai menolong mak dan maksu mengemas serta menghias rumah.  Pakaian Eizleen dan Aqyiem sudah cantik tergantung di dalam almari bilik mereka.  Baju Melayu dan kurung hijau yang dijahit sendiri oleh Toksu mereka.  Berkeras maksu nak menjahit baju untuk cucu-cucunya walaupun kesihatannya tidak berapa baik.  Katanya itulah sahaja tanda kenangan untuk mereka.  Maksu ni pun macam mak juga, kalau kata dia, kata dialah.  Jangan dibantah, nanti mudah merajuk.  Kalau dah merajuk, susah nak dipujuk. 

“Kenapa sayang?”  Sejak seminggu dua ini, Emeer perasan akan perubahan Ayesha.  Selalunya, setiap malam lena sahaja tidur isterinya itu.  Namun akhir-akhir ini, Ayesha kerap resah. 
“Susah nak tidur,” adu Ayesha lemah.  Memang kerap begitu akhir-akhir ini.  Jam sudah menunjukkan hampir dinihari.  Matanya masih belum boleh terlelap. 
“Hmmm.. nak abang peluk tu.” 
Segera lengan sasanya dilingkarkan ke tubuh Ayesha.  Tubuh isterinya itu dipeluk kejap.  Ciuman kasih jatuh ke dahi Ayesha.
“Sayang penat agaknya.”
Ayesha hanya diam.
“Dah rasa okey?”
“Dah..”
Ayesha sendiri tidak pasti mengapa dia kerap rasa aneh begitu akhir-akhir ini.  Apa yang pasti, lenanya hanya akan bertamu setelah didakap Emeer.  Bauan tubuh suaminya itu seakan-akan mendamaikan.  Lengan halusnya juga turut memaut tubuh Emeer, semakin erat. 

 Tidak berapa lama kemudian, dengkur kecil mula kedengaran.  Emeer tersenyum.  Setiap kali Ayesha resah, setiap kali itu jugalah Emeer akan memeluknya.  Dia pasti, isterinya lebih selesa dalam dakapannya.  Manja.

Wajah Ayesha ditenungnya.  Perubahan sikap dan penampilan Ayesha juga sangat ketara.  Dia mula mencongak sendiri.  Akhirnya senyuman terukir di wajah.  Mungkinkah ada anugerah terindah yang bakal menjadi milik mereka Aidil Fitri ini... andai benar telahannya, dialah insan yang paling gembira.  Sudah empat tahun menanti, biarlah kali ini ia menjadi kenyataan.  

“Sayang nak bagi hadiah kat abang lagi ye..” bisiknya perlahan.  Biarpun dia tahu isterinya itu sudah jauh belayar dalam mimpinya, namun dia tetap juga ingin menyuarakan rasa gembira itu.  Dia memang cukup pasti dengan rasa hatinya kerana sedikit pun perubahan pada Ayesha memang tak akan dapat terlepas daripada perhatiannya.  Kasihnya tumpah hanya untuk Ayesha, satu-satunya kekasih hati dan bidadari syurganya.


**************************************************

Cukup???  Nak lagi???  Haaa.. meh komen ramai2 kat sini.. nak tengok ramai tak yg nak lagi.. 

Hmmm.. doakan Fayyad & Azzalea (Sengketa Cinta) akan bertemu kita tak lama lagi.. Ramadhan Mubarak, semoga Ramadhan ini memberi lebih erti buat kita semua.

Salam sayang teramat sayang...
Kak Yus.



19 comments:

  1. nak lagiiii..hihi best 2x :)

    ReplyDelete
  2. Lama dah x muncul....citer Emeer dan Aisya sentiasa dirindui....nak lagi blh

    ReplyDelete
  3. x cukup ni kak yus

    ReplyDelete
  4. anugerah di aidil fitri.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih sayang2 kak yus.. insyaAllah .. kak yus akan titipkan BCB Raya 2014 Part 2 .. sabar menanti ye..

    ReplyDelete
  6. Ala... xpuaaaaaas... nak la lagiiiiiiiiiii

    ReplyDelete
  7. sambung yer dik...best...tk puas...ciput jer...

    ReplyDelete
  8. Nk lg... best.

    ReplyDelete
  9. nak sikit lagiii....mcm tak cukup pulak...hehehe

    ReplyDelete
  10. x cukup nak lagi... sambung k..

    ReplyDelete
  11. X lagi kak.. . X berapa nk cukup lg la... haha

    ReplyDelete
  12. Nak lagiiiiiiiiiiii....xcukup laaaaa

    ReplyDelete
  13. Sayang nak bagi hadiah kat abang lagi ye..” sweet jer ayat ni.. =)
    senyum saya hihihi

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com