Monday, 11 August 2014

Biar Cinta Bertaburan Edisi Raya 2014 -- Part II


Assalamualaikum sayang-sayang...
Maaf ye lewat sikit updates entry BCB Edisi raya ni... Maaf utk segala kekurangan.
***********************



“Sayang okey ke tak ni?”
Angguk.
“Betul?”
“Iya, okey je.  Tak payahlah nak susah hati pulak.  Cepatlah bersiap tu.” 
“Abang macam tak percaya je dengan sayang ni...”
Hish, encik suami ni, kalau dilayan ada-ada je yang nak dirisaukan.  Mentang-mentanglah awal sebelum subuh tadi dia dah terbangun dan termuntah-muntah sedikit terus pula tak nak percaya orang kata tak ada apa-apa.  Memang dah dua tiga hari macam tu keadaannya.  Mungkin sebab kepenatan.  Almaklumlah, nak balik kampung hari tu pun sibuk dia mengemas seorang.  Mak Jah dah seminggu awal diberi cuti balik berhari raya bersama sanak saudaranya di Kedah. 
Tubuh suaminya ditarik menghampiri lantas samping yang masih belum diikat sempurna dibetulkan. 
“Sayang, you look really tired.  Sayang sambung tidur ajelah.”  Risau.  Memang wajah Ayesha pagi itu sangat pucat.  Selepas muntah-muntah pagi tadi, sempat pula nak menolong mak dan Mak Su kat dapur.  Nasib baik mak bermurah hati mengusir Ayesha dari dapur melihatkan keadaannya itu.  Lagi nak kata tak ada apa-apa.
“Jangan risau lebih-lebih boleh?  Ni faktor-faktor penuaan je, tak ada yang pelik pun.”  Tawa Emeer lantang memenuhi ruang bilik.
“Syhhhh, control sikit ketawa tu boleh?  Karang ada yang kena sound dua tiga tepek dengan abah pulak.”
“Tak adalah.  Gelihati pula abang dengar sayang cakap macam tu.”
“Apa yang lucunya, betullah tu.”
“Yang, you are only thirty four sayang.  Belum nak masuk four siries lagi nak panggil tua.  Four siries pun orang tak cakap tua lagi tau.” 
“Apa-apa ajelah.  Malas nak layan gaduh dengan abang pagi-pagi buta ni,” balas Ayesha ringkas.  Tangan yang pantas membetulkan baju Melayu suaminya sudah mula mencapai songkok di atas meja. 
Bagus juga pagi ni Aqyiem tidak datang menempel memanggilnya untuk bersiap.  Biasalah, kalau balik ke rumah maktok dan aki mereka, ibu dah tak glamour.  Jarang sangat dicari ibu mereka ni.  Selalunya Tok Su dan Mak Tok lah yang popular.
Emeer yang telah siap berbaju Melayu sedondong dengan Ayesha yang turut mengenakan kebaya labuh berwarna hijau pucuk pisang melabuhkan punggung di atas birai katil.  Tahun ini mereka sekeluarga mengambil tema hijau.  Melihatkan Emeer yang telah duduk, Ayesha segera mengambil tempat di hadapan suaminya.  Berlutut di atas permaidani menghadap sang suami yang tersenyum.
Tangan yang dihulur disambut.  Ayesha mengucup jari jemari Emeer yang bersulam di jarinya.  Seketika, dahinya dikucup hangat.
“Selamat hari raya abang.  Sofi minta ampun dan maaf andai selama kita hidup bersama banyak salah dan silap yang telah Sofi lakukan.  Kadang-kadang Sofi ni terlupa yang Sofi ni isteri, tertinggi suara mungkin terhadap abang.  Sofi minta maaf kalau ada kekurangan dalam semua yang Sofi lakukan untuk abang.  Halalkan makan dan minum Sofi ye.”  Sayu.
“Selamat hari raya sayang.  Abang tak pernah ambil hati dengan sayang.  Kalau pun ada kekurangan dan kesilapan sayang, abang dah maafkan saat itu juga.  Abang tak mengharapkan kesempurnaan sebab abang tahu sayang sudah cukup sempurna buat abang.  Sayang melengkapkan kekurangan abang.  Abang pun nak minta maaf dengan sayang, andai abang ada berbuat silap, terkasar bahasa dan kadang-kadang terover gurau dengan sayang.”
Suasana pilu seketika.  Setiap kali sesi bermaafan antara suami isteri itu di pagi raya mesti akan disulami dengan rasa syahdu.  Air mata yang berlinang di pipi Ayesha segera diseka oleh jemari Emeer.  Dia tahu, hati isterinya memang mudah tersentuh.
Tidak mahu suasana pilu terus menemani mereka, Emeer segera menghulurkan sekeping sampul hijau kepada Ayesha, “Nah, untuk sayang,” ujarnya lembut.
“Wah, dapat duit raya.”  Seronok bukan main.  Sambul hijau disambut lalu isinya diintai.  Senyuman lebar menghiasi wajah Ayesha.
“Amboi, bukan main lagi lebar senyum tu,” usik Emeer gembira melihat telatah si isteri.  Senyuman Ayesha semakin meleret.
“Hmm, ni abang tambah lagi senyuman sayang.”  Kali ini sebuah beg kecil plastik hitam dihulurkan. 
Sebenarnya daripada sehari sebelum mereka bertolak dah Ayesha perasan akan kehadiran beg hitam tu, tetapi sudah terlupa untuk menyiasat mengenainya akibat kes kereta buat pasal di kampung Pelagi tempoh hari dan ditambah pula dengan kesibukan persediaan hari raya.  Beg plastik hitam itu terus dibuka.  Di dalamnya terdapat sebuah beg kertas pula.  Mata Ayesha membulat.  Hmmm.... macam idaman hati je.  Wallah, memang tepat sekali.  Beg tangan berwarna velvet krim dari jenama Micheal Kors dikeluarkan daripada beg yang menyarunginya.  Memang idaman hati la tu.  Sejak dia menjejakkan kaki ke butik Micheal Kors di The Garden Midvalley awal tahun dulu, koleksi jenama itu sering menjadi tatapannya di internet.  Suka melihat koleksi-koleksi terbaru.  Bukan tak mampu nak beli, tapi mencari yang benar-benar terpikat di hati.  Kalau ikutkan sebulan sekali hendak sahaja diborongnya.
“Hmmm.. dah sampai ke telinga senyum tu nampaknya.  Sampaikan abang pun dah tak nampak,” usik Emeer sekali lagi.  Senang hatinya melihat Ayesha gembira dengan pemberian kecil itu.
“Sayang sangat kat abang.”  Wajah Emeer dikerling manja.  Olorh, merajuk la tu kan sebab orang dah terlebih teruja pada beg tu daripada dirinya.  Ayesha meletakkan beg tangan di atas katil lalu segera menghampiri Emeer dan memeluk erat tubuh suaminya itu.
          Ayesha tahu, dia memang tidak boleh lari daripada suaminya.  Apa sahaja keinginannya memang mudah sangat dihidu oleh Emeer walaupun tanpa dikhabarkan. 
          Pelukan mereka terungkai tatkala pintu bilik diketuk dan terkuak lebar.  Dua tubuh kecil berjalan masuk mendapatkan mereka dengan senyuman manis.  Eizleen dan Aqyiem menghulurkan tangan mereka berjabat salam memohon kemaafan daripada kedua ibu dan ayah.  Senyuman si anak melebar tatkala sampul hijau dihulurkan kepada mereka.  Memang itulah saat paling menyeronokkan bagi kanak-kanak ketika menyambut hari lebaran, kumpul duit raya.  Kalau hari-hari biasa siapa yang nak beri duit raya kan.
          Seperti kebiasaan, bersarapan pagi bersama keluarga menjadi adat tradisi keluarga Ayesha.  Tahun ini keluarga mereka bertambah meriah dengan kehadiran seorang lagi menantu baru di dalam keluarga mereka, menantu lelaki kedua selepas Emeer.  Lukman yang baru beberapa bulan menikahi Alia bermurah hati menurut kemahuan Alia untuk menyambut lebaran pertama mereka bersama abah dan mak.  Sedikit pun tidak kekok beramah mesra apatah lagi  memang sekepala dengan biras sulungnya itu.  Dua hari sebelum raya sudah sampai ke rumah abah.  Sehari sebelum raya sudah buat kecoh satu kampung dengan aksi stunt terjun sungai bersama biras sulungnya itu.  Siapa lagi kalau bukan Emeer Zafran, ditambah pula dengan adik ipar tiga suku mereka, Adib Idham yang memang sudah mengambil cuti awal.
          Malah, kehadiran satu-satunya menantu perempuan buat Encik Tajudin dan Puan Hayati sejak tiga tahun lepas juga cukup memeriahkan keluarga itu.  Sharifah Haslinda yang menjadi pilihan Adib sebagai suri hatinya memang disenangi mak dan abah.  Malah Ayesha cukup menyenangi wanita itu kerana dialah yang telah memperkenalkan mereka berdua sehingga membawa perhubungan itu ke jinjang pelamin.
          Perkenalan antara Ayesha dengan Sharifah Haslinda di Rumah Perlindungan Darul Hasanah yang terletak di Rawang itu memanjangkan silaturrahim mereka sehingga menjadi keluarga.  Sharifah Haslinda yang kehilangan ibu dan ayah serta adik beradik di dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa kesemua ahli keluarganya, membesar di rumah itu.  Setelah menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, dia menjadi guru yang mengajar anak-anak yatim dan asnaf di rumah perlindungan itu dan juga bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam bagi mereka.  Sejak beberapa tahun lalu, Ayesha kerap melakukan kerja-kerja amal bersama mama dan Liyana.  Kadang-kadang mummy juga turut serta jika berpeluang. 
          Raya kali ini, Sharifah Haslinda sedang sarat mengandung anak kedua mereka.  Anak sulung mereka sudah berusia dua tahun dan sedang seronok berlasak dengan dua orang sepupunya.  Memang tak menang tangan hendak melayan.  
          Meja makan besar sudah dipenuhi.  Hidangan juadah pagi memenuhi meja.  Nasi dagang mak yang tersohor memang tidak pernah ditinggalkan.  Tunggulah selepas solat hari raya nanti, tentu ramailah yang bertandang ke rumah mencari nasi dagang mak.
          “Cepat-cepat sarapan, sekejap lagi nak solat raya,” panggil Encik Tajudin mengingatkan anak menantunya.
          Riuh rendah rumah besar itu dengan suara anak cucu yang masing-masing becok bercerita.
          Menjadi tradisi keluarga itu juga, sebelum ke masjid bersolat sunat Aidil Fitri, acara bersalaman menjadi kemestian.  Abah, mak dan Mak Su akan duduk di sofa manakala mereka adik beradik akan berbaris menyalami ketiga-tiganya.  Begitulah seterusnya sehingga habis semua mengambil giliran.  Kali ini Aqyiem sudah pandai memimpin si kecil Azriel Huzaifah untuk bersalaman.  Tradisi yang pasti tidak akan luput dek zaman.

          Deringan telefon bimbit Emeer berselang seli dengan suara Imam Masjid Paloh Hinai membaca khutbah.  Segera dia menyambut panggilan itu apabila dilihatnya nombor rumah abah yang tertera di skrin telefon.
          “Abang Meer, balik cepat.”
          “Kenapa ni Auni?”  Cam sangat dia dengan suara adik iparnya tu.  Namun suara yang bernada cemas itu sungguh merisaukan.
          “Kak Sha ni, pengsan.”
          “Pengsan?” Tanpa disedarinya, perkataan itu diulang agak kuat sehingga dia menjadi tumpuan jemaah yang sedang kusyuk mendengar khutbah.
          “Siapa pengsan?”  Encik Tajudin yang duduk di sebelah Emeer bersuara.
          “Sofi...”
          Emeer, Encik Tajudin, Adib dan Lukman serentak bangun meminta diri meninggalkan ruang solat.  Kecoh juga di ruangan solat lelaki itu mendengar berita tersebut.
          “Meer dengan Adib balik dulu.  Biar abah dengan Lukman tunggu mak dan yang lain-lain kejap.”  Encik Tajudin mengarahkan anak dan menantunya pulang.
          “Adib drive.”  Risau melihat keadaan Emeer yang kerisauan.  Bukan jauh pun masjid dengan rumah, tapi kalau berjalan kaki agak penat jugalah.
          Di ruang tamu rumah semakin kecoh.  Ayesha yang terbujur kaku dikipas oleh Sharifah Haslinda.  Auni yang tidak menyertai solat turut membantu merenjis-renjis muka Ayesha dengan air sejuk namun tiada perubahan.  Hampir lima belas minit berlalu, Ayesha masih tidak sedarkan diri.
          Tubuh Ayesha segera dicempung dan dibawa masuk ke dalam kereta lalu kereta dipandu laju menuju ke Hospital Muadzam yang terletak kira-kira setengah jam pemanduan.  Emeer yang duduk memangku Ayesha berkali-kali cuba menyedarkan isterinya.
          “Kan abang dah kata tadi, sayang rehat je.  Degil sungguh isteri abang ni,” rungutnya perlahan.  Wajah Ayesha diusap perlahan.  Kerisauan yang melanda hatinya bukan tahap biasa lagi.  Wajah pucat Ayesha sudah cukup menyesakkan nafasnya. 
          Sesampai sahaja di perkarangan Jabatan Kecemasan, tubuh Ayesha dicempung masuk ke bilik rawatan yang diarahkan.  Kelihatan jururawat dan doktor yang bertugas bergegas menjalankan pemeriksaan terhadap Ayesha.  Seketika kelihatan doktor mula memasang salur drip di lengan Ayesha. 
          “Wife saya macam mana doktor?” soal Emeer cemas.
          “InsyaAllah, sekejap lagi sedarlah tu.  Kami sedang menjalankan ujian darah dan urin.  Bila dapat keputusan nanti saya akan beritahu encik ye.”

          Ayesha yang sudah mula sedar kelihatan terpinga-pinga.  Pelik melihat keadaan sekeliling.  Tadi di rumah, ini tiba-tiba entah di mana.  Emeer yang mundar mandir berjalan di hadapannya diseru.

          “Kat mana ni?”  Soalan pertama yang keluar dari bibirnya.
          “Sayang kat hospital Muadzam ni.  Tadi sayang pengsan.”
          “Pengsan?”
          “Iyalah, sayang pengsan.  Sayang buat apa tadi sampai pengsan ni.  Kan abang dah cakap sayang tu tak sihat, jangan buat kerja.  Nak apa-apa minta je dengan adik.  Abang dah pesan kat adik tadi jangan bagi sayang masuk dapur pun.  Sayang tu bukan boleh kira, semua benda nak buat,” ujar Emeer menjurus ke arah bebelan.
          Ayesha mengukir senyum walaupun hambar.  Tak sangka suaminya itu pun sudah pandai berleter.
          “Sayang tak buat apa-apa pun tadi.  Seingat sayang, tadi sayang cuma layan Azriel je, lepas tu rasa pening sangat kepala.  Itu je.”
          “Hmmm.. sayang ni buat abang betul-betul risaulah.  Tu dah kecoh satu masjid dengar sayang pengsan.”
          “Olorh, itu mesti abang yang terlebih kecoh tu sampai satu masjid tahu.  Alah, malulah sayang.”
          Cebikan bibir Ayesha menyejukkan hati Emeer.  Kalau dah boleh mencebik tu, tanda dah okey la tu.
          Jemari Emeer lincah menaip sesuatu di skrin telefon bimbitnya.  Segera dia memberikan updates tentang Ayesha kepada Adib yang menanti di lobi Jabatan Kecemasan.  Tidak mahu adik iparnya itu risau.  Hanya Emeer seorang sahaja yang dibenarkan menemani Ayesha. 
          Setengah jam kemudian, Emeer diminta menemui doktor yang bertugas.  Kondisi sebenar Ayesha dilaporkan.
          “Sebenarnya isteri Encik Emeer hamil enam minggu.  Masih di tahap awal dan ujian darah yang kami jalankan, Puan Ayesha didapati mengalami tekanan darah rendah.  Mungkin itu yang menyebabkan beliau pengsan tadi.  Tidak ada apa-apa yang membahayakan setakat ini.  Cuma banyakkan berehat dan makan ubat yang akan kami bekalkan nanti.  Buat masa ni kami akan pindahkan Puan Ayesha ke wad Day Care kami di sebelah hujung sana untuk pemantauan sehingga tekanan darah isteri Encik Emeer kembali normal.”
          “Tahniah untuk encik berdua,” ucap doktor muda itu.
          “Terima kasih doktor.”

          Kehadiran Emeer sambil tersenyum simpul membuatkan Ayesha tertanya-tanya.  Tadi beria-ia benar serious muka, tegang semacam ni.  Ini dah tiba-tiba tersengih bagai.
          “Apa yang happy sangat tu?” 
          “Hmmm, kan betul tekaan abang.”
          “Dah main teka teka pulak.  Bilanya yang abang meneka?”
          “Adalah...”
          “Hish, boleh main adalah pulak.  Cakaplah, apa...”
          Jemari Ayesha dicapai lalu dibawa ke bibirnya.  Kucupan kasih hinggap di jari itu, kemudian singgah pula ke pipi. 
          “Abang, control yourself.  Kat hospital ni kot.  Orang tengoklah.”
          “Biarlah diorang nak tengok.  Abang cium isteri abang, bukan isteri orang lain.”
          Geram sahaja Ayesha dengan jawapan Emeer.  Mesti ada sahaja idea untuk mematahkan kata-katanya.
          “Iyalah, ikut suka hati abanglah.  Tok kuasa nok bertaki dengan abang ni, tok menang sokmo.”  Hambik, kan dah keluar dialek Pekan tu.  Tawa Emeer kedengaran.  Senang.
          “Tadi doktor bagi tahu abang yang sayang abang ni akan bagi abang hadiah istimewa..”  Mata Ayesha tertumpu kepada wajah suaminya.  Hadiah istimewa?
          “Sayang nak bagi abang baby lagi.  Six weeks dah.”
          Ayesha menadah tangan memanjat syukur lantas meraup wajahnya.  Memang sudah lama dia menantikan perkhabaran itu.  Tidak sangka kali ini Aidil Fitri memberi khabar terindah buatnya. 
         
          Hampir jam tiga petang Ayesha dibenarkan pulang.  Adib yang menanti dengan sabar turut gembira mendengar berita itu.  Nampaknya selepas isterinya yang hanya menanti masa melahirkan, akan menyusul pula kakaknya sendiri.  Mungkin tak lama lagi Alia juga turut menyusul.  Semakin ramai semakin meriah.  Mesti abah dan mak gembira dengan perkhabaran itu.

          Kepulangan Ayesha disambut dengan riuh rendah.  Bukan sahaja oleh keluarganya sendiri malah jiran tetangga juga sudah ada yang menanti di rumah. 
          “Pohpalih kak Sha, glamour hari ni.  Habis puok ghabok seme mari nok tengok kak Sha.  Doh la satu sejid kecoh tadi,” ujar Auni masih mengekalkan dialek hariannya. 
          “Dah, dah.  Jangan nak riuh kat depan pintu ni pulak.  Bawa Sha tu masuk dalam.  Karang ada pulak yang beraya kat hospital sekali lagi,” tegur Puan Hayati. 
          “Ingatkan tadi Kak Linda yang nak bersalin, rupanya Kak Sha yang tumbang.  Doktor kata apa abang Meer?”  Lukman pula bersuara.
          “Hmmm.. mak dan abah nak capat cucu lagi tahun depan.”
          “Wallahhhhhhhhh, tak boleh jadi ni Yang.  Kita kena kerja keras ni nak saing Abang Meer,” ujar Lukman memandang wajah Alia yang sudah kemerah-merahan menahan malu. 
          Kata-kata Lukman itu disambut dengan tawa gembira mereka.  Tak menahan betul menantu lelaki seorang ni.  Encik Tajudin menggeleng kepala.  Hai menantu, dua-dua pun memang tak cukup skru.

          “Terima kasih sayang.”
          “Terima kasih untuk apa lagi abang?”
          “Untuk semua kegembiraan ni.  Untuk semua yang sayang berikan kepada abang.”
          “Abang sanggup ke nak jaga sayang, kalau kali ni keadaan sayang teruk sikit?”
          “Apa pun keadaannya, abang tak akan sesekali merungut.”
          “Janji?”
          “Iya.”
          “Ingat, janji harus ditepati.”
          “Olorh, politik sangat la sayang ni.”
          Hidung Emeer dicubit manja. 
          “Dahlah, jom tidur.  Sayang kena berehat banyak sikit.”  Lampu tidur dimalapkan.  Tubuh Ayesha dirangkul kemas.  Perut yang masih tidak berubah bentuk  diusap-usap perlahan.
          Anak ayah, jangan nakal-nakal ye.  Kesian ibu.  Seketika Emeer tersenyum.  Baru segumpal darah yang terbentuk di dalam rahim isterinya itu, dia pula sudah mula teruja.  Namun biar apa pun, dia tetap berdoa agar Allah memelihara isteri kesayangannya itu dalam apa jua keadaan.  Ayesha pelengkap kehidupannya.  Ayesha cahaya hidupnya.  Tak mungkin ada yang dapat mengganti Ayesha dalam hidupnya.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.. minal aidil wal faizin.

Nantikan kemunculan Emeer dan Ayesha dalam Sengketa Cinta (interprem je) dan seterusnya sulaman kasih mereka dalam BCB II.


Sayang sokmo:
Kak Yus
9.06 am @ 12/8/14

2 comments:

  1. Rindu kt depa 2 ni....makin berkembang nmpknya...moga bahagia sampai ke akhir hayat...love Emeer dan Sofi..

    ReplyDelete
  2. TQ dear.. insyaAllah nantikan mereka ye.

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com