Tuesday, 17 May 2016

Biar Cinta Terus Berkata ... (BCB II) Part 6

Happy reading lalings...
care to drop some comments yaaa...
****************************************





“Ibu, sate malam tadi ibu ada bungkus bawa balik tak?”  Soal Eizleen yang tiba-tiba muncul di belakang Ayesha. 

            Sebelum menjawab pertanyaan si anak, Ayesha sempat menjeling jam dinding yang tergantung kemas di tepi tingkap dapur.  Awalnya bangun, baru jam tujuh setengah pagi.  Rasanya selepas solat subuh pagi tadi, anaknya itu akan tidur semula dan bangun hanya setelah dikejutkan.

            “Adalah sayang.  Ayah ada bungkuskan, malam tadi masa ibu dan ayah sampai rumah kakak dan adik dah tidur.  Cuba tengok dalam fridge tu,” arah Ayesha masih lagi tidak meninggalkan kerja-kerja mencucinya di sinki dapur.

            “Aah la ibu, malam tadi sampai je rumah kami terus mandi dan tidur.  Kakak solat maghrib je, solat isyak tak sempat dah tertidur.  Boleh tak kakak ganti solat isyak tu ibu?”  Mulut Eizleen masih rancak bercerita sambil tangannya lincah mengeluarkan bungkusan sate.

            “Boleh, ganti solat tu dipanggil qada’.  Sebenarnya tak ada istilah ganti solat sebab kita tak boleh tinggalkan solat sewenang-wenangnya.  Walaupun sakit kita mesti solat, sama ada dengan berbaring atau pun duduk,” ujar Ayesha menerangkan hukum qada’ solat kepada anak gadisnya itu.

            Ayesha menyambut huluran bungkusan sate daripada tangan Eizleen lalu menyusun cucuk-cucuk sate ke dalam pinggan sebelum memanaskannya di dalam microwave oven.  Kelihatan Eizleen sudah menarik kerusi dan duduk di meja makan kecil di hadapan ibunya.

            “Oh, tak boleh tinggal ya ibu.  Habis tu kalau kita berjalan jauh macam mana pula?  Hari tu kakak ada dengar ustazah kata musafir.” 

Wajah berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kewajipan bersolat dipamerkan.  Usia seawal sembilan tahun memanglah usia menerokai dan mendalami ilmu bagi anak-anak.  Seharusnya setiap penerangan diberikan dengan fakta dan kupasan yang lebih mudah untuk difahami.
            “Bagi orang yang bermusafir atau yang berjalan jauh melebihi dua marhalah, Allah beri mereka kelonggaran yang cukup banyak.  Mereka dibenarkan mengerjakan solat secara qasar atau jamak atau kedua-duanya sekali.”

            “Okey, kejap ibu.  Jamak.  Qasar.  Serius kakak tak faham.”

            “Manalah kakak nak faham, kakak kan baru Sembilan tahun.  Ibu rasa kat KAFA pun belum diajar kan.  Tak apa, ibu terangkan kat kakak sambil kita susun makanan ni.”  Wajah polos anak gadisnya itu ditenung lembut.

            “Kakak ingat masa kita kat Manila? Jarak rumah kita dengan Manila tu sangatlah jauh, kan?”

            “Jadi kita dibolehkan untuk melakukan Qasar dan Jamak dalam solat kita supaya setiap aktiviti kita menjadi mudah.  Sebab tu ibu dan ayah banyak kali buat macam tu.”

            Jari halus Ayesha masih lagi lincah menyusun cucuk-cucuk sate ke dalam pinggan bujur di hadapannya.  Wajah ingin tahu Eizleen membuakkan semangat untuk mencurahkan ilmu.

            “Qasar tu bermaksud kita pendekkan solat.  Daripada empat rakaat kepada dua rakaat sahaja.  Ini Allah bagi khas untuk kita untuk menjimatkan waktu kita musafir.  Tapi kena ingat, qasar tu hanya boleh dilakukan untuk solat yang ada empat rakaat sahaja.  Solat maghrib dan subuh tak boleh diqasarkan.”

            “Jamak pula, kita himpunkan solat dalam satu waktu.  Hanya boleh himpunkan satu waktu sahaja pada satu-satu masa.  Contohnya, kita himpunkan Zohor ke dalam waktu Asar.  Yang ni kita panggil Jamak Takhir.  Atau kita boleh awalkan solat Asar ke dalam waktu Zohor.  Yang itu kita panggil Jamak Taqdim.”

            “Okey, serius yang ni kakak tak faham.”

            Wajah keliru Eizleen menjemput senyuman kecil Ayesha.  Apalah anak seusia itu nak faham dengan penjelasan yang sangat umum.  Memang kena jelaskan satu-satulah jawabnya.
            “Ibu terangkan satu-satu ya.  Kalau kakak bermusafir, contoh kita nak balik rumah Atok.  Dah lebih dua marhalah tu, jadi kita boleh jamak solat kita.  Katakanlah kita bertolak dari rumah jam 12 tengah hari, sampai di Temerloh dah masuk waktu Zohor.  Kakak boleh solat asar dalam waktu zohor.  Ini kita panggil Jamak Taqdim.  Caranya, kakak kena solat zohor dahulu kemudian baru solat asar.” Ayesha berhenti seketika.  Wajah khusyuk Eizleen ditenung.  Dia pasti anak itu sedang mencerna setiap ilmu yang diberi.

            “Untuk solat zohor dan asar ni, kakak boleh qasarkan, iaitu kakak boleh pendekkan daripada empat rakaat kepada dua rakaat bagi setiap waktu. Jadi kalau kita sampai lewat petang kat rumah Atuk, tak jadi masalah sebab kakak dah solat asar. Faham?”

            “Okey, yang ni kakak dah faham.  Yang satu lagi tu ibu…”

            “Jamak Takhir pula, katakanlah kita nak berjalan rumah Pak Ngah Adib lepas kita sampai rumah Atok. Dah petang kan jadi dalam perjalanan tu, apabila masuk waktu maghrib kakak niat dalam hati nak solat Jamak Takhir.  Apabila sampai rumah Pak Ngah Adib waktu Isyak dah masuk, kakak solat Isyak dulu baru kakak solat maghrib.  Solat maghrib tak boleh qasar ya.”

            “Hmmmm.. okey ibu.  Kakak dah faham.  Tak adalah susah mana pun kan.”

            “Iya sayang, Tuhan tak pernah memberatkan hamba-Nya tapi kita yang memberatkan diri kita apabila kita tak mahu belajar apa yang Tuhan beri kat kita.”  Suara Emeer mencelah lalu pinggang Ayesha dirangkul.  Sebuah kucupan kasih dilayangkan di pipi Ayesha.

            “Good morning sayang.”

            “Good morning abang.  Awal pagi ni?  Kata malam tadi penat, nak tidur lama sikit.”

            “Tak jadilah sayang, mata dah biasa celik awalkan.  Dah dhuha pun abang tadi.”

            “Oh, okey.  Good morning sayang, good morning abang.  Tak ada good morning untuk kakak pun.”  Rungutan Eizleen yang menjadi penonton aksi lovey dovey ibu dan ayahnya mencetuskan tawa.
            “Olololoooo .. ayah terlupalah anak ayah yang comel seorang ni ada kat sini.  Good morning my precious, my lovely, my princess and the prettiest girl in earth.  Gimme a hug darling.” 

            “Olorh, tak payahlah over sangat ayah,” ucap Eizleen namun kakinya laju sahaja mendapatkan Emeer.  Suka sebenarnya dapat bermanja dengan si ayah. 

            Tubuh Eizleen diangkat lalu dipeluk penuh manja.  Kucupan bertalu-talu singgah di wajah polos anak kecil itu sehingga Eizleen tertawa sakan.  Kata orang tua-tua, waktu-waktu inilah nak bermanja lebih-lebih dengan anak gadis.  Nanti apabila mereka dah meningkat usia remaja, sudah semakin pandai menjarakkan diri daripada si ayah.

            “Dah, cukuplah gelak tu.  Mari tolong ibu susun cawan-cawan ni.  Lepas tu kakak tolong panggilkan Cik Hanim ajak sarapan sama-sama ya.”

            “Pasal solat jamak dan qasar tadi dah habis ke ibu?”

            “Ada lagi sayang.  Nanti kita belajar lagi tentang niat solat dan tata tertib solat.  Sekarang ni kita sarapan dulu.”

            Wajah puas hati Eizleen amat menyenangkan.  Emak kata anak gadisnya itu terang hati.  Mudah belajar dan mengingati ilmu yang diberi.  Semoga benarlah kata-kata emak.  Rindu pula kepada keluarga di kampung.  Agak lama juga tidak pulang ke kampung menjenguk abah dan emak.  Bulan lepas mereka sekeluarga pulang ke Kedah menziarahi papa dan mama.  Kebetulan Lyana dan Mikael pun ada pulang bercuti.

            “Abang pun dah-dah la peluk Sofi.  Cuba tengokkan Mak Jah kat bilik tu.  Eizleen kata tadi Nek Jah tak berapa sihat.  Agaknya penat tu.”

            “Okey boss. Bagi abang kiss-kiss baby dulu.”  Terus muncungnya melekat ke perut Ayesha. “Good morning baby, jangan nakal-nakal ye,” bisik Emeer lembut.

            Langkah Emeer ke meninggalkan ruang dapur hanya diekor daripada ekor matanya. Hmmm… apa-apalah aje Encik Emeer oii.


Cukup tak????
Nak lagi??
Cer komen sikit... ;)

sayang sokmo..
Kak Yus. 

Monday, 16 May 2016

BIAR CINTA TERUS BERKATA ... bab 5 (BCB II)


Assalamualaikum sayang-sayang Kak Yus.
Dah lama tak updates kisah Emeer & Ayesha ni kan.  Lama terhenti.
InsyaAllah, proses menyiapkan kisah ni sedang berjalan dgn gigihnya.
InsyaAllah juga, doakan semoga kita dapat 'dating' dengan Abang Emeer di penghujung Julai nanti.
Buat masa ni.. nah bab 5 untuk kalian yang tersayang.

*************************************************





Beberapa hari berada di Manila memang tak pernah menjemukan.  Ada sahaja aktiviti yang dilakukan walaupun sebenarnya pemergian mereka itu lebih kepada lawatan kerja.  Emeer telah melunaskan janjinya kepada Ayesha dan anak-anak untuk membawa mereka berjalan-jalan di sekitar bandar Manila ditambah pula dengan layanan dan sambutan mesra pekerja mereka yang sudi sahaja menjadi tourguide ketika mereka di sana.

            Meninggalkan Azman, Alina dan anak-anak memang agak sukar kerana mereka telah terlalu baik melayan Emeer anak beranak selama di sana.  Air mata memang mudah sahaja bertandang tanpa dijemput saat Ayesha berpelukan dengan Alina dan anak-anak mereka.  Sempat juga Alina menitipkan bekalan puding karemel kepada Eizleen yang memang menggemarinya.  Sebiji pavlova telah awal-awal dijamu dek Ayesha.

            “Sha jaga diri baik-baik,” pesan Alina sambil mengusap lembut perut yang telah mula memunculkan diri di sebalik helaian baju tebal Ayesha.

            “InsyaAllah.  Terima kasih ye Alin sudi terima kami.  Layanan firstclass lagi untuk kami.”

            “Entah bila dapat bertemu lagi…” Air mata yang deras menyusur pipi diseka perlahan.  Mereka berdakapan lagi.  Kali ini Mak Jah pula mengambil giliran.  Sempat Mak Jah menitip pesan kepada Alina agar menjadi diri dan suami baik-baik di tempat orang.


            Perjalanan pulang di awangan ke Malaysia mengambil masa kira-kira tiga jam empat puluh minit.  Namun perjalanan yang panjang itu tidak akan terasa sangat dengan keselesaan yang mereka nikmati di ruang kelas pertama atau business class yang disediakan.  Eizleen dan Aqyiem telah lama lena dibuai mimpi indah bersama Mak Jah di barisan sebelah.

            “Kenapa sayang?”  Emeer merenung wajah berkerut Ayesha yang nampak tidak selesa.

             “Sejuk.  Perut ni rasa senak sikit,” balas Ayesha manja.
            Pantas Emeer mencapai selimut yang telah dibekalkan oleh petugas kabin sebentar tadi lalu dikibas-kibas.  Selimut itu kemudiannya diselubungkan ke tubuh Ayesha kemas-kemas.  Cekap juga tangan sasa lelaki itu menarik alas kaki supaya Ayesha dapat berlunjur dengan selesa.  Dua biji kusyen kecil yang juga diberikan oleh pekerja kabin tadi diambil.  Satu letakkan di bawah kaki Ayesha manakala satu lagi diletakkan sebagai bantal.  Kasut yang dipakai Ayesha dilucutkan.  Emeer mengeluarkan sepasang sarung kaki yang memang sentiasa dibawa ke mana-mana daripada beg tangan Ayesha lalu disarungkan ke kaki isteri tersayang.  Kedua tapak kaki isterinya itu digosok-gosok perlahan.  Kemudian, selimut kembali dibetulkan.

            “Sayang rasa selesa tak?”  Soal Emeer agak cemas.  Risau jika isterinya tidak selesa sepanjang penerbangan mereka.

            “Okey dah ni.  Tapi perut Sofi ni je, agaknya tadi makan pavlova pagi-pagi kot.”

            “Sayang ni, tak sayang kat abang ye.  Kan doktor dah pesan sayang tak boleh makan makanan manis banyak sangat.  Tadi pun sayang tak sarapan kan, terus je makan pavlova tu.  Sayang nak makan tak?  Abang tanya stewardes ye..”

            “Hmm, tak payahlah dulu bang.  Sofi rasa nak tidur je sekejap.”  Emeer hanya mengangguk-angguk. 

Lengan kanannya merangkul kemas bahu Ayesha dan jari jemarinya mengusap lembut kepala Ayesha yang dibaluti tudung.  Manakala tangan kirinya lembut mengusap perut Ayesha yang semakin ketara.  Sekejapan terdengar nafas kecil Ayesha yang terlena.  Memang mudah sangat isterinya itu terlena setiap kali dalam dakapannya.  Emeer tersenyum sendirian dan akhirnya dia juga turut sama terlena dibuat mimpi indah di awangan.

Suasana hingar bingar di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menyambut kepulangan Emeer sekeluarga.  Setelah menanti lima belas minit untuk mendapatkan bagasi, mereka akhirnya menyorong troli bagasi meredah deretan manusia yang masih memenuhi ruang pengambilan bagasi.  Ayesha sudah awal-awal mengasingkan diri.  Bukan tidak suka suasana riuh rendah, atau terlalu cerewet, tetapi keadaan perutnya yang semakin tidak enak menyebabkan dia mengambil keputusan untuk beredar ke ruang menunggu.  Tak mampu hendak berdiri lelama bersama Emeer dan anak-anak.  Mak Jah juga dikerah Emeer agar membuntuti Ayesha.  Risau juga kalau-kalau isterinya itu tiba-tiba jatuh sakit.  Wajah pucat Ayesha sejak menaiki pesawat tadi pun sudah cukup merisaukan.

Berlainan pula dengan Eizleen dan Aqyiem yang seronok sakan membelek setiap bagasi yang beredar di atas rel berputar itu.  Setiap kali ada sahaja bagasi yang melintasi mereka pasti kedua-duanya bersorak.  Bagaikan sebuah permainan pula bagi mereka.  Emeer hanya menggeleng kepala melihat buah hati pengarang jantungnya itu.  Iyalah, budak-budak, kat mana-mana pun tetap ingat main sahaja.

Setelah mendapatkan bagasi, Emeer, Ayesha, Mak Jah dan anak-anak bergegas menuju ke arah surau yang disediakan.  Zohor masih berbaki setengah jam.  Kalau hendak tunggu sampai ke rumah baru ditunaikan, jawabnya memang akan tertinggal waktulah nanti. 

Kepulangan mereka telah dinanti oleh Razmi, pemandu peribadi yang baru sahaja berusia dua puluh tujuh tahun.  Masih bujang tetapi mempunyai keperibadian yang cukup baik dan menyenangkan.  Razmi ditugaskan untuk menghantar dan mengambil Eizleen dan Aqyiem, menggantikan Pak Mat yang telahpun bersara. 

“Abang…” Emeer berpaling.  Wajah Ayesha yang masih pucat ditenung.  Manja sungguh kedengaran suara isterinya itu.

“Abang, kalau kita singgah Kajang sekejap boleh tak?” Soal Ayesha saat terpandang kening Emeer yang terjongket apabila diserunya tadi.

“Kajang?”  Pelik.  Nak buat apa pula kat Kajang tu.  Tadi kata sakit perut.  Emeer memang telah merancang untuk terus ke klinik sebaik sahaja pulang ke rumah.

“Sayang teringin la nak makan sate King.”  Emeer menghentikan langkah lalu berdiri menghadap Ayesha.  Wajah polos isterinya itu ditenung lama.  Senyuman terukir di bibirnya seketika kemudian.  Tubuh Ayesha dipaut lalu dipeluk erat.  Tidak kisah di tengah-tengah ruang manapun, hati menjadi amat belas mendengar permintaan si isteri.  Dikucupnya kepala Ayesha penuh belas dan kasih.  Biarpun dia menyedari banyak mata yang memandang, dibiarkan sahaja.  Ada aku kesah, bini aku, suka hati aku la wei, desisnya nakal.
“Kesiannya sayang abang ni, agaknya perut tak sedap tu sebab nak makan sate kot,” bisiknya lembut.  “Anak ayah nak makan sate ya, kenapa buat ibu macam tu.  Kesian ibu tau, ibu kan penat.  Okey, nanti ayah bawa anak ayah dan ibu pergi makan sate,” sambungnya lagi setelah meleraikan pelukan.  Tangannya diletakkan di perut Ayesha lalu diusap-usapnya lembut.

“Kenapa pula ni Meer?” Tegur Mak Jah yang terperasan Emeer dan Ayesha tidak berada bersama mereka.  Langkah wanita tua itu perlahan merapati mereka.

“Sofi ni Mak Jah, teringin nak makan sate King.”  Mak Jah menggeleng kepala.  Hah sudah, buat perangai lagi Ayesha ni.  Kat Manila pun semacam aje mengidamnya, balik Malaysia lagi banyak la kot.  Pembawakan budak kali ni memang macam-macam.  Haish, nasib baiklah si Emeer ni rajin melayan.

“Hmm.. jauh ke Kajang tu.  Mak Jah dah tak larat ni, rasa nak balik rumah je.  Rindu pada katil Mak Jah.”  Sejurus mendengar kata-kata Mak Jah, Emeer dan Ayesha tertawa lepas.  Alahai Mak Jah, baru beberapa hari tinggalkan rumah, katil dan bantal itu jugalah dirinduinya.

Emeer faham kepenatan yang Mak Jah rasakan.  Usia sudah lanjut, haruslah mudah rasa lelah apabila berjalan jauh, apatah lagi duduk dalam pesawat hampir empat jam.  Emeer melempar pandang kepada Eizleen dan Aqyiem yang turut sama kelihatan sangat mengantuk.

“Eizleen dan Aqyiem nak ikut tak ayah nak bawa ibu makan sate King?” Kedua-dua anak kecil itu menggeleng kepala.

“Kakak dan adik nak balik ikut Mak Jah dan abang Mi ajelah ayah.  Penatlah,” rengek Eizleen menolak.  Memang ketara wajah keletihan mereka.

“Okeylah, kalau macam tu Mi bawa balik Mak Jah dan anak-anak.  Saya ambil teksi aje ke Kajang.” 

“Encik Emeer nak balik nanti macam mana?” Soal Razmi agak bimbang.  Iyalah, kalau naik KLIA Limo atau teksi pun hanya sehala je.  Nanti nak balik ke rumah jenuh pula mencari teksi lain.

“Awak boleh ke ambil kami kat sana?  Tak penat ke nak pusing-pusing semula?”

“Eh, boleh aje bos.  Berehhhh…”balas Razmi pantas.  Dah tugas dia pun.  Lagi pun sejak Emeer sekeluarga bercuti, dia memang tak ada kerja langsung. 

Masuk pejabat pun sekadar tunjuk muka.  Nak buat kerja apa, semua kerja dah ada yang punya.  Sudahnya, dia hanya menjadi penjaga pejabat kecil Ayesha. Tapi seronok juga, dapat usyar awek comel yang membantu Ayesha di pejabatnya. 

“Hmm, kalau macam tu nanti saya belanja awak sate jugaklah,” tawar Emeer sambil mengunjukkan beg kecilnya kepada Razmi.

“Wah, kalau itu lagi berehhh bos.”

“Kamu ni Mi, kalau bab makan hish, tak boleh lawan,” seloroh Mak Jah. 

Walaupun tidaklah lama sangat Razmi bersama keluarga Emeer ini, tetapi sikap ramah dan hormat kepada orang tua membuatkan semua ahli keluarga Emeer mesra dengannya.  Paling memeranjatkan, Razmi ni anak kelahiran Kuala Lumpur.  Dibesarkan juga di tengah bandaraya yang terkenal dengan sikap nafsi-nafsi dan kurang tatasusila di kalangan anak muda.  Siapa kata tak ada orang yang beradab sopan dan baik budi pekerti lahir di bandaraya sesak ni.  Tak semua yang jahat itu lahir di kota, dan tak semua yang baik itu berasal dari luar kota.  Yang penting didikan ibu bapa dan pembawaan dalam diri sendiri.

Kedua-dua tangan Emeer dan Ayesha disalami Eizleen dan Aqyiem.  Sempat Ayesha menitip ciuman sayang ke wajah kesayangannya itu.  Setelah kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan luar Balai Ketibaan, Emeer dan Ayesha melangkah semula ke ruang dalam balai ketibaan menuju ke kaunter perkhidmatan teksi. 

“Abang, boleh tak kita singgah kat kedai coklat depan tu sekejap.  Sayang teringin nak beli coklat Daim la,” pinta Ayesha memaut lengan Emeer yang sedang melihat-lihat papan kenyataan di situ.

“Lorh, sayang nak coklat ke?  Sayang nak tunggu kat sini, biar abang pergi beli ke atau sayang nak ikut sekali?”  Soalnya kembali.  Prihatin.

“Nak ikut abanglah.”

“Sayang okey ke, tak penat ke nak jalan lagi.  Jauh juga ke depan kedai tu.”  Risau.  Anggukan Ayesha menyenangkan hati Emeer.  Tahu sangat suaminya itu bukan boleh dibiarkan, ada yang berdukung kat situ nanti.  Gempar satu KLIA karang.  Silap hari bulan masuk surat khabar, entry muka depan lagi.  Harus glamour satu Malaya

Beriringan sambil berpegangan tangan, mereka menyusuri laluan yang semakin sibuk dengan tetamu-tetamu asing ke tanah Malaysia.  Seharusnyalah sekarang ini pula kerajaan sedang sibuk mempromosikan Cuti-Cuti Malaysia dan semakin banyak tempat-tempat menarik dikomersialkan untuk menarik perhatian pelancong asing. 

Emeer menggelengkan kepala saat beberapa bungkus coklat dilambakkan ke atas meja kaunter bayaran.  Ingatkan tadi nak beli coklat Daim je, tetiba dah jadi berjenis-jenis coklat pula.  Ayesha pula hanya memandang Emeer dengan mata yang berkerdip-kerdip.  Alah, comel la sangat buat muka macam tu.

“Abang ingat tadi nak satu coklat aje,” bisik Emeer.  Dompet dikeluarkan lalu harga barang dibayar.

“Satu tu untuk sayang, yang lain-lain tu untuk anak-anak.” 

Alasan.  Dah biasa dengar tu.  Emeer hanya tersenyum melayan kerenah isteri tercinta.

Gadis manis bertudung biru yang berada di belakang meja cashier hanya tersenyum manis melihat tingkah pasangan di hadapannya.  Alahai, sweetnya.  Manakan tidak, si isteri manja-manja sahaja mengkerdipkan mata dan si suami pula dengan selamba memaut bahu isteri sambil berbisik.  Kena cari juga stok macam ni juga buat suami. Tapi nak cari kat mana ya, sekarang ni stok-stok buaya dan naga lebih ramai.

Teksi Airport atau lebih tepat dikenali sebagai Airport Limo berhenti betul-betul di hadapan gerai makan sate King yang terletak di Jalan Sungai Kantan.  Agak sukar juga hendak mencari gerai Sate King ni kalau tidak tahu.  Memandangkan sudah beberapa kali Emeer anak beranak ke sini, maka senang sahaja memberi tunjuk arah kepada pemandu limo.  Sempat juga Emeer mempelawa pakcik pemandu limo makan bersamanya.  Pada awalnya lelaki tua itu menolak pelawaan Emeer, namun setelah berkali-kali diajak dan diracuni fikirannya dengan keenakan sate itu, akhirnya lelaki tua itu mengalah.  Segan juga, kenal pun hanya di dalam teksinya sahaja sebagai penumpang tetapi dah terima pelawaan orang.  Namun, sikap kedua-dua suami isteri yang peramah dan mesra itu membuatkan lelaki tua itu rasa seperti sudah lama mengenali mereka.

Seperti yang sudah dijangka, memang sukar mendapatkan tempat kerana setiap hari gerai sate King itu akan sentiasa dipenuhi pelanggan.  Mujurlah Emeer telah awal-awal menelefon pemilik gerai untuk menempah meja mereka.  Itulah kelebihan apabila telah menjadi pelanggan tetap. 

“Terima kasih abang, sayang abang ketat-ketat,” bisik Ayesha perlahan.  Sudah habis sepuluh cucuk sate dijamunya.

“Dapat makan sate sayang abang ketat-ketatlah ya.  Kalau tak dapat, macam mana pula?” Sengaja, suka mengusik isteri kesayangannya itu.

“Sayang juga, tapi kurang sikitlah ketatnya tu.”

“Hamboi, ada pula kurang ketat.  Abang ingat yang ketat-ketat tu….”

“Hah, jangan nak lari topik menyimpang ke lain pula ye.  Ada yang makan lidi sate ni nanti,” bidas Ayesha masih memperlahankan suara.  Takut didengari oleh pakcik pemandu limo dan Razmi yang telah sampai dan menyertai mereka.  Nasib baik lelaki berdua tu sedang rancak bercerita.  Entah apa topik pun tak tahu.

“Mana ada, sayang je yang anggap macam tu,” nafi Emeer masih lagi tersengih lebar.

“Encik Emeer Zafran, untuk pengetahuan you, bahu you tu berkalih je I dah tahu apa yang terlintas di fikiran you tau.  So predictable la encik suami sayang oii.”  Serentak itu, tawa Emeer bergema sehingga perbualan rancak pakcik limo dan Razmi turut tergendala.


Haish, apa-apa ajelah dua pasangan sejoli ni.  Lantaklah, asalkan bahagia!


**********************************************************

So macam mana Abang Emeer kita?
Agak-agak masih maintain macam dulu juga ke?
Jom komen sikit...

Sayang kamu-kamu sokmo;
Kak Yus
9.45a.m. 17/5/16

Wednesday, 21 October 2015

Bingkisan Hati : Sengketa Cinta

Assalamualaikum sayang2 Kak Yus.
Entry lewat malam.. sesungguhnya rindu yang amat untuk menitip perkhabaran di sanggar hati ini.

Alhamdulillah...
bagi sayang-sayang yang mengikuti kisah Fayyad & Azzalea (Sengketa Cinta), kisah mereka telah pun berjaya dibukukan dalam versi cetak.




Kerja-kerja pengeposan telah pun dan sedang dilakukan seagresif boleh.  Kak Yus mahu semua kesayangan k.yus yang telah order SC terima secepat mungkin dgn selamat.




Bagi sayang2 yang ingin membaca sinopsis, boleh baca kat kaver belakang buku dlm gambar kat bawah ni ye....



Atau sayang2 boleh lawat 5 bab awal melalui link2 yang k.yus letakkan di bawah ni:


Bab seterusnya boleh baca di link yang telah di sediakan ye.

Bagi sayang2 yang nak membeli Sengketa Cinta.. boleh PM Kak Yus di facebook (Yusnida Tajudin), atau wassap Kak Yus di 019-2868574.

HARGA :  RM27 + RM6 POSTAGE (SM)
HARGA :  RM30 + RM10 POSTAGE (SS)

Stok limited.  Semakin susut.

Bagi yang telah memiliki Sengketa Cinta, pohon maaf atas segala kekurangan dan ketidaksempurnaan Bingkisan Hati kak yus ini ye.

Selamat membaca, semoga terhibur.

Salam kasih sayang;

Yusnida Tajudin
1.53 am
22/10/2015

Saturday, 12 September 2015

Berita Hangat....

Assalamualaikum sayang2 Kak Yus.

Kepada followers Sengketa Cinta.. kalian akan dapat memeluk erat2 Abang Fayyad tak lama lagi. InsyaAllah..pd penghujung bulan Sept @ awal bulan Okt ni nanti.. abang Fayyad akan bersama kalian.


Novel Sengketa Cinta ini akan K.Yus print sendiri dan kuantitinya taklah begitu banyak.  Jadi bagi sayang2 kak yus yang berminat nak Preorder ..bolehlah PM kak yus di facebook @ wassap terus kak yus 019-2868574.

Harga : RM27 (SM) / RM30 (SS)
Kos pos : RM6 (SM) / RM10 (SS)

Tarikh akhir pembayaran: 28/9/15

Salam sayang.
Yusnida Tajudin



Monday, 11 August 2014

Biar Cinta Bertaburan Edisi Raya 2014 -- Part II


Assalamualaikum sayang-sayang...
Maaf ye lewat sikit updates entry BCB Edisi raya ni... Maaf utk segala kekurangan.
***********************



“Sayang okey ke tak ni?”
Angguk.
“Betul?”
“Iya, okey je.  Tak payahlah nak susah hati pulak.  Cepatlah bersiap tu.” 
“Abang macam tak percaya je dengan sayang ni...”
Hish, encik suami ni, kalau dilayan ada-ada je yang nak dirisaukan.  Mentang-mentanglah awal sebelum subuh tadi dia dah terbangun dan termuntah-muntah sedikit terus pula tak nak percaya orang kata tak ada apa-apa.  Memang dah dua tiga hari macam tu keadaannya.  Mungkin sebab kepenatan.  Almaklumlah, nak balik kampung hari tu pun sibuk dia mengemas seorang.  Mak Jah dah seminggu awal diberi cuti balik berhari raya bersama sanak saudaranya di Kedah. 
Tubuh suaminya ditarik menghampiri lantas samping yang masih belum diikat sempurna dibetulkan. 
“Sayang, you look really tired.  Sayang sambung tidur ajelah.”  Risau.  Memang wajah Ayesha pagi itu sangat pucat.  Selepas muntah-muntah pagi tadi, sempat pula nak menolong mak dan Mak Su kat dapur.  Nasib baik mak bermurah hati mengusir Ayesha dari dapur melihatkan keadaannya itu.  Lagi nak kata tak ada apa-apa.
“Jangan risau lebih-lebih boleh?  Ni faktor-faktor penuaan je, tak ada yang pelik pun.”  Tawa Emeer lantang memenuhi ruang bilik.
“Syhhhh, control sikit ketawa tu boleh?  Karang ada yang kena sound dua tiga tepek dengan abah pulak.”
“Tak adalah.  Gelihati pula abang dengar sayang cakap macam tu.”
“Apa yang lucunya, betullah tu.”
“Yang, you are only thirty four sayang.  Belum nak masuk four siries lagi nak panggil tua.  Four siries pun orang tak cakap tua lagi tau.” 
“Apa-apa ajelah.  Malas nak layan gaduh dengan abang pagi-pagi buta ni,” balas Ayesha ringkas.  Tangan yang pantas membetulkan baju Melayu suaminya sudah mula mencapai songkok di atas meja. 
Bagus juga pagi ni Aqyiem tidak datang menempel memanggilnya untuk bersiap.  Biasalah, kalau balik ke rumah maktok dan aki mereka, ibu dah tak glamour.  Jarang sangat dicari ibu mereka ni.  Selalunya Tok Su dan Mak Tok lah yang popular.
Emeer yang telah siap berbaju Melayu sedondong dengan Ayesha yang turut mengenakan kebaya labuh berwarna hijau pucuk pisang melabuhkan punggung di atas birai katil.  Tahun ini mereka sekeluarga mengambil tema hijau.  Melihatkan Emeer yang telah duduk, Ayesha segera mengambil tempat di hadapan suaminya.  Berlutut di atas permaidani menghadap sang suami yang tersenyum.
Tangan yang dihulur disambut.  Ayesha mengucup jari jemari Emeer yang bersulam di jarinya.  Seketika, dahinya dikucup hangat.
“Selamat hari raya abang.  Sofi minta ampun dan maaf andai selama kita hidup bersama banyak salah dan silap yang telah Sofi lakukan.  Kadang-kadang Sofi ni terlupa yang Sofi ni isteri, tertinggi suara mungkin terhadap abang.  Sofi minta maaf kalau ada kekurangan dalam semua yang Sofi lakukan untuk abang.  Halalkan makan dan minum Sofi ye.”  Sayu.
“Selamat hari raya sayang.  Abang tak pernah ambil hati dengan sayang.  Kalau pun ada kekurangan dan kesilapan sayang, abang dah maafkan saat itu juga.  Abang tak mengharapkan kesempurnaan sebab abang tahu sayang sudah cukup sempurna buat abang.  Sayang melengkapkan kekurangan abang.  Abang pun nak minta maaf dengan sayang, andai abang ada berbuat silap, terkasar bahasa dan kadang-kadang terover gurau dengan sayang.”
Suasana pilu seketika.  Setiap kali sesi bermaafan antara suami isteri itu di pagi raya mesti akan disulami dengan rasa syahdu.  Air mata yang berlinang di pipi Ayesha segera diseka oleh jemari Emeer.  Dia tahu, hati isterinya memang mudah tersentuh.
Tidak mahu suasana pilu terus menemani mereka, Emeer segera menghulurkan sekeping sampul hijau kepada Ayesha, “Nah, untuk sayang,” ujarnya lembut.
“Wah, dapat duit raya.”  Seronok bukan main.  Sambul hijau disambut lalu isinya diintai.  Senyuman lebar menghiasi wajah Ayesha.
“Amboi, bukan main lagi lebar senyum tu,” usik Emeer gembira melihat telatah si isteri.  Senyuman Ayesha semakin meleret.
“Hmm, ni abang tambah lagi senyuman sayang.”  Kali ini sebuah beg kecil plastik hitam dihulurkan. 
Sebenarnya daripada sehari sebelum mereka bertolak dah Ayesha perasan akan kehadiran beg hitam tu, tetapi sudah terlupa untuk menyiasat mengenainya akibat kes kereta buat pasal di kampung Pelagi tempoh hari dan ditambah pula dengan kesibukan persediaan hari raya.  Beg plastik hitam itu terus dibuka.  Di dalamnya terdapat sebuah beg kertas pula.  Mata Ayesha membulat.  Hmmm.... macam idaman hati je.  Wallah, memang tepat sekali.  Beg tangan berwarna velvet krim dari jenama Micheal Kors dikeluarkan daripada beg yang menyarunginya.  Memang idaman hati la tu.  Sejak dia menjejakkan kaki ke butik Micheal Kors di The Garden Midvalley awal tahun dulu, koleksi jenama itu sering menjadi tatapannya di internet.  Suka melihat koleksi-koleksi terbaru.  Bukan tak mampu nak beli, tapi mencari yang benar-benar terpikat di hati.  Kalau ikutkan sebulan sekali hendak sahaja diborongnya.
“Hmmm.. dah sampai ke telinga senyum tu nampaknya.  Sampaikan abang pun dah tak nampak,” usik Emeer sekali lagi.  Senang hatinya melihat Ayesha gembira dengan pemberian kecil itu.
“Sayang sangat kat abang.”  Wajah Emeer dikerling manja.  Olorh, merajuk la tu kan sebab orang dah terlebih teruja pada beg tu daripada dirinya.  Ayesha meletakkan beg tangan di atas katil lalu segera menghampiri Emeer dan memeluk erat tubuh suaminya itu.
          Ayesha tahu, dia memang tidak boleh lari daripada suaminya.  Apa sahaja keinginannya memang mudah sangat dihidu oleh Emeer walaupun tanpa dikhabarkan. 
          Pelukan mereka terungkai tatkala pintu bilik diketuk dan terkuak lebar.  Dua tubuh kecil berjalan masuk mendapatkan mereka dengan senyuman manis.  Eizleen dan Aqyiem menghulurkan tangan mereka berjabat salam memohon kemaafan daripada kedua ibu dan ayah.  Senyuman si anak melebar tatkala sampul hijau dihulurkan kepada mereka.  Memang itulah saat paling menyeronokkan bagi kanak-kanak ketika menyambut hari lebaran, kumpul duit raya.  Kalau hari-hari biasa siapa yang nak beri duit raya kan.
          Seperti kebiasaan, bersarapan pagi bersama keluarga menjadi adat tradisi keluarga Ayesha.  Tahun ini keluarga mereka bertambah meriah dengan kehadiran seorang lagi menantu baru di dalam keluarga mereka, menantu lelaki kedua selepas Emeer.  Lukman yang baru beberapa bulan menikahi Alia bermurah hati menurut kemahuan Alia untuk menyambut lebaran pertama mereka bersama abah dan mak.  Sedikit pun tidak kekok beramah mesra apatah lagi  memang sekepala dengan biras sulungnya itu.  Dua hari sebelum raya sudah sampai ke rumah abah.  Sehari sebelum raya sudah buat kecoh satu kampung dengan aksi stunt terjun sungai bersama biras sulungnya itu.  Siapa lagi kalau bukan Emeer Zafran, ditambah pula dengan adik ipar tiga suku mereka, Adib Idham yang memang sudah mengambil cuti awal.
          Malah, kehadiran satu-satunya menantu perempuan buat Encik Tajudin dan Puan Hayati sejak tiga tahun lepas juga cukup memeriahkan keluarga itu.  Sharifah Haslinda yang menjadi pilihan Adib sebagai suri hatinya memang disenangi mak dan abah.  Malah Ayesha cukup menyenangi wanita itu kerana dialah yang telah memperkenalkan mereka berdua sehingga membawa perhubungan itu ke jinjang pelamin.
          Perkenalan antara Ayesha dengan Sharifah Haslinda di Rumah Perlindungan Darul Hasanah yang terletak di Rawang itu memanjangkan silaturrahim mereka sehingga menjadi keluarga.  Sharifah Haslinda yang kehilangan ibu dan ayah serta adik beradik di dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa kesemua ahli keluarganya, membesar di rumah itu.  Setelah menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, dia menjadi guru yang mengajar anak-anak yatim dan asnaf di rumah perlindungan itu dan juga bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam bagi mereka.  Sejak beberapa tahun lalu, Ayesha kerap melakukan kerja-kerja amal bersama mama dan Liyana.  Kadang-kadang mummy juga turut serta jika berpeluang. 
          Raya kali ini, Sharifah Haslinda sedang sarat mengandung anak kedua mereka.  Anak sulung mereka sudah berusia dua tahun dan sedang seronok berlasak dengan dua orang sepupunya.  Memang tak menang tangan hendak melayan.  
          Meja makan besar sudah dipenuhi.  Hidangan juadah pagi memenuhi meja.  Nasi dagang mak yang tersohor memang tidak pernah ditinggalkan.  Tunggulah selepas solat hari raya nanti, tentu ramailah yang bertandang ke rumah mencari nasi dagang mak.
          “Cepat-cepat sarapan, sekejap lagi nak solat raya,” panggil Encik Tajudin mengingatkan anak menantunya.
          Riuh rendah rumah besar itu dengan suara anak cucu yang masing-masing becok bercerita.
          Menjadi tradisi keluarga itu juga, sebelum ke masjid bersolat sunat Aidil Fitri, acara bersalaman menjadi kemestian.  Abah, mak dan Mak Su akan duduk di sofa manakala mereka adik beradik akan berbaris menyalami ketiga-tiganya.  Begitulah seterusnya sehingga habis semua mengambil giliran.  Kali ini Aqyiem sudah pandai memimpin si kecil Azriel Huzaifah untuk bersalaman.  Tradisi yang pasti tidak akan luput dek zaman.

          Deringan telefon bimbit Emeer berselang seli dengan suara Imam Masjid Paloh Hinai membaca khutbah.  Segera dia menyambut panggilan itu apabila dilihatnya nombor rumah abah yang tertera di skrin telefon.
          “Abang Meer, balik cepat.”
          “Kenapa ni Auni?”  Cam sangat dia dengan suara adik iparnya tu.  Namun suara yang bernada cemas itu sungguh merisaukan.
          “Kak Sha ni, pengsan.”
          “Pengsan?” Tanpa disedarinya, perkataan itu diulang agak kuat sehingga dia menjadi tumpuan jemaah yang sedang kusyuk mendengar khutbah.
          “Siapa pengsan?”  Encik Tajudin yang duduk di sebelah Emeer bersuara.
          “Sofi...”
          Emeer, Encik Tajudin, Adib dan Lukman serentak bangun meminta diri meninggalkan ruang solat.  Kecoh juga di ruangan solat lelaki itu mendengar berita tersebut.
          “Meer dengan Adib balik dulu.  Biar abah dengan Lukman tunggu mak dan yang lain-lain kejap.”  Encik Tajudin mengarahkan anak dan menantunya pulang.
          “Adib drive.”  Risau melihat keadaan Emeer yang kerisauan.  Bukan jauh pun masjid dengan rumah, tapi kalau berjalan kaki agak penat jugalah.
          Di ruang tamu rumah semakin kecoh.  Ayesha yang terbujur kaku dikipas oleh Sharifah Haslinda.  Auni yang tidak menyertai solat turut membantu merenjis-renjis muka Ayesha dengan air sejuk namun tiada perubahan.  Hampir lima belas minit berlalu, Ayesha masih tidak sedarkan diri.
          Tubuh Ayesha segera dicempung dan dibawa masuk ke dalam kereta lalu kereta dipandu laju menuju ke Hospital Muadzam yang terletak kira-kira setengah jam pemanduan.  Emeer yang duduk memangku Ayesha berkali-kali cuba menyedarkan isterinya.
          “Kan abang dah kata tadi, sayang rehat je.  Degil sungguh isteri abang ni,” rungutnya perlahan.  Wajah Ayesha diusap perlahan.  Kerisauan yang melanda hatinya bukan tahap biasa lagi.  Wajah pucat Ayesha sudah cukup menyesakkan nafasnya. 
          Sesampai sahaja di perkarangan Jabatan Kecemasan, tubuh Ayesha dicempung masuk ke bilik rawatan yang diarahkan.  Kelihatan jururawat dan doktor yang bertugas bergegas menjalankan pemeriksaan terhadap Ayesha.  Seketika kelihatan doktor mula memasang salur drip di lengan Ayesha. 
          “Wife saya macam mana doktor?” soal Emeer cemas.
          “InsyaAllah, sekejap lagi sedarlah tu.  Kami sedang menjalankan ujian darah dan urin.  Bila dapat keputusan nanti saya akan beritahu encik ye.”

          Ayesha yang sudah mula sedar kelihatan terpinga-pinga.  Pelik melihat keadaan sekeliling.  Tadi di rumah, ini tiba-tiba entah di mana.  Emeer yang mundar mandir berjalan di hadapannya diseru.

          “Kat mana ni?”  Soalan pertama yang keluar dari bibirnya.
          “Sayang kat hospital Muadzam ni.  Tadi sayang pengsan.”
          “Pengsan?”
          “Iyalah, sayang pengsan.  Sayang buat apa tadi sampai pengsan ni.  Kan abang dah cakap sayang tu tak sihat, jangan buat kerja.  Nak apa-apa minta je dengan adik.  Abang dah pesan kat adik tadi jangan bagi sayang masuk dapur pun.  Sayang tu bukan boleh kira, semua benda nak buat,” ujar Emeer menjurus ke arah bebelan.
          Ayesha mengukir senyum walaupun hambar.  Tak sangka suaminya itu pun sudah pandai berleter.
          “Sayang tak buat apa-apa pun tadi.  Seingat sayang, tadi sayang cuma layan Azriel je, lepas tu rasa pening sangat kepala.  Itu je.”
          “Hmmm.. sayang ni buat abang betul-betul risaulah.  Tu dah kecoh satu masjid dengar sayang pengsan.”
          “Olorh, itu mesti abang yang terlebih kecoh tu sampai satu masjid tahu.  Alah, malulah sayang.”
          Cebikan bibir Ayesha menyejukkan hati Emeer.  Kalau dah boleh mencebik tu, tanda dah okey la tu.
          Jemari Emeer lincah menaip sesuatu di skrin telefon bimbitnya.  Segera dia memberikan updates tentang Ayesha kepada Adib yang menanti di lobi Jabatan Kecemasan.  Tidak mahu adik iparnya itu risau.  Hanya Emeer seorang sahaja yang dibenarkan menemani Ayesha. 
          Setengah jam kemudian, Emeer diminta menemui doktor yang bertugas.  Kondisi sebenar Ayesha dilaporkan.
          “Sebenarnya isteri Encik Emeer hamil enam minggu.  Masih di tahap awal dan ujian darah yang kami jalankan, Puan Ayesha didapati mengalami tekanan darah rendah.  Mungkin itu yang menyebabkan beliau pengsan tadi.  Tidak ada apa-apa yang membahayakan setakat ini.  Cuma banyakkan berehat dan makan ubat yang akan kami bekalkan nanti.  Buat masa ni kami akan pindahkan Puan Ayesha ke wad Day Care kami di sebelah hujung sana untuk pemantauan sehingga tekanan darah isteri Encik Emeer kembali normal.”
          “Tahniah untuk encik berdua,” ucap doktor muda itu.
          “Terima kasih doktor.”

          Kehadiran Emeer sambil tersenyum simpul membuatkan Ayesha tertanya-tanya.  Tadi beria-ia benar serious muka, tegang semacam ni.  Ini dah tiba-tiba tersengih bagai.
          “Apa yang happy sangat tu?” 
          “Hmmm, kan betul tekaan abang.”
          “Dah main teka teka pulak.  Bilanya yang abang meneka?”
          “Adalah...”
          “Hish, boleh main adalah pulak.  Cakaplah, apa...”
          Jemari Ayesha dicapai lalu dibawa ke bibirnya.  Kucupan kasih hinggap di jari itu, kemudian singgah pula ke pipi. 
          “Abang, control yourself.  Kat hospital ni kot.  Orang tengoklah.”
          “Biarlah diorang nak tengok.  Abang cium isteri abang, bukan isteri orang lain.”
          Geram sahaja Ayesha dengan jawapan Emeer.  Mesti ada sahaja idea untuk mematahkan kata-katanya.
          “Iyalah, ikut suka hati abanglah.  Tok kuasa nok bertaki dengan abang ni, tok menang sokmo.”  Hambik, kan dah keluar dialek Pekan tu.  Tawa Emeer kedengaran.  Senang.
          “Tadi doktor bagi tahu abang yang sayang abang ni akan bagi abang hadiah istimewa..”  Mata Ayesha tertumpu kepada wajah suaminya.  Hadiah istimewa?
          “Sayang nak bagi abang baby lagi.  Six weeks dah.”
          Ayesha menadah tangan memanjat syukur lantas meraup wajahnya.  Memang sudah lama dia menantikan perkhabaran itu.  Tidak sangka kali ini Aidil Fitri memberi khabar terindah buatnya. 
         
          Hampir jam tiga petang Ayesha dibenarkan pulang.  Adib yang menanti dengan sabar turut gembira mendengar berita itu.  Nampaknya selepas isterinya yang hanya menanti masa melahirkan, akan menyusul pula kakaknya sendiri.  Mungkin tak lama lagi Alia juga turut menyusul.  Semakin ramai semakin meriah.  Mesti abah dan mak gembira dengan perkhabaran itu.

          Kepulangan Ayesha disambut dengan riuh rendah.  Bukan sahaja oleh keluarganya sendiri malah jiran tetangga juga sudah ada yang menanti di rumah. 
          “Pohpalih kak Sha, glamour hari ni.  Habis puok ghabok seme mari nok tengok kak Sha.  Doh la satu sejid kecoh tadi,” ujar Auni masih mengekalkan dialek hariannya. 
          “Dah, dah.  Jangan nak riuh kat depan pintu ni pulak.  Bawa Sha tu masuk dalam.  Karang ada pulak yang beraya kat hospital sekali lagi,” tegur Puan Hayati. 
          “Ingatkan tadi Kak Linda yang nak bersalin, rupanya Kak Sha yang tumbang.  Doktor kata apa abang Meer?”  Lukman pula bersuara.
          “Hmmm.. mak dan abah nak capat cucu lagi tahun depan.”
          “Wallahhhhhhhhh, tak boleh jadi ni Yang.  Kita kena kerja keras ni nak saing Abang Meer,” ujar Lukman memandang wajah Alia yang sudah kemerah-merahan menahan malu. 
          Kata-kata Lukman itu disambut dengan tawa gembira mereka.  Tak menahan betul menantu lelaki seorang ni.  Encik Tajudin menggeleng kepala.  Hai menantu, dua-dua pun memang tak cukup skru.

          “Terima kasih sayang.”
          “Terima kasih untuk apa lagi abang?”
          “Untuk semua kegembiraan ni.  Untuk semua yang sayang berikan kepada abang.”
          “Abang sanggup ke nak jaga sayang, kalau kali ni keadaan sayang teruk sikit?”
          “Apa pun keadaannya, abang tak akan sesekali merungut.”
          “Janji?”
          “Iya.”
          “Ingat, janji harus ditepati.”
          “Olorh, politik sangat la sayang ni.”
          Hidung Emeer dicubit manja. 
          “Dahlah, jom tidur.  Sayang kena berehat banyak sikit.”  Lampu tidur dimalapkan.  Tubuh Ayesha dirangkul kemas.  Perut yang masih tidak berubah bentuk  diusap-usap perlahan.
          Anak ayah, jangan nakal-nakal ye.  Kesian ibu.  Seketika Emeer tersenyum.  Baru segumpal darah yang terbentuk di dalam rahim isterinya itu, dia pula sudah mula teruja.  Namun biar apa pun, dia tetap berdoa agar Allah memelihara isteri kesayangannya itu dalam apa jua keadaan.  Ayesha pelengkap kehidupannya.  Ayesha cahaya hidupnya.  Tak mungkin ada yang dapat mengganti Ayesha dalam hidupnya.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.. minal aidil wal faizin.

Nantikan kemunculan Emeer dan Ayesha dalam Sengketa Cinta (interprem je) dan seterusnya sulaman kasih mereka dalam BCB II.


Sayang sokmo:
Kak Yus
9.06 am @ 12/8/14
 

Blog Template by YummyLolly.com