Monday 25 June 2012

Cerpen : Maafkan Aku, Papa...


Salam sayang2 Kak Yus.. sudah lama Kak Yus tak menulis cerpen, rasanya dah berbulan-bulan juga.  Cerpen ini ditulis khas sebagai sumbangan karya Kak Yus untuk Group Urban di fb, moga ada manfaat dan pengajaran yang boleh dikutip di sepanjang pembacaan bicara hati ini.. 

**********************************************



Sekujur tubuh tua yang terbaring lesu di perbaringan beralaskan cadar putih bersih kurenung lama.  Mataku terus liar meratah garis-garis tua yang telah mula memenuhi wajah lelaki itu dan matanya yang terkatup rapat.  Wajah yang suatu waktu dahulu menjadi penawar tangisku, penawar rajukku dan wajah tua itu juga yang menggamit kerinduan aku bertahun lamanya.  Rindu yang kemudiannya memaksa aku menjadi seorang pembenci dan pendendam yang amat hebat.  Entah kenapa, wajah itu tidak mampu mengundang rasa simpati dan kasihku saat itu.  Entah di mana telah lama hilang perasaan itu daripadaku.  Salah akukah?

Jari jemari yang semakin berkedut dimamah usia kelihatan pucat dan lesu.  Kuraih jari jemari itu perlahan, bimbang akan menyakitinya lalu kuusap lembut.  Jari inilah yang sering membelai rambutku, jari inilah yang sering menggeletekku sehingga tawaku tak bisa berhenti dan jari ini juga yang akhirnya memisahkan aku dengan dunia bahagiaku.  Sesekali apabila jari itu kuusap, aku terlihat gerakan halus di dahi tua itu.  Malah, aku juga terasa seperti jari-jemari itu seakan menggengam jari halusku.  Saat itu, dingin udara daripada penghawa dingin tidak mampu mendinginkan perasaanku yang berkecamuk dalam peperangan hati yang tiada kesudahannya.

Iya papa, hari ini anak yang kau pisahkan dari hidupmu datang menziarah untuk pertama kali dan mungkin juga inilah pengakhirnya. Datang bertamu meninggalkan seketika kelukaan yang kau lakarkan dalam separuh perjalanan hidup ini.  Mengheret kaki dan hati yang dalam keterpaksaan demi sebuah tanggungjawab yang tergalas pada nama seorang anak.  Mungkin matamu terpejam hari ini, namun bagi aku papa, matamu telah terpejam lama pada saat kakimu melangkah pergi meninggalkan kami tanpa menoleh sedikit pun.  Namamu terpadam di hati kami pada saat laungan dan tangisan kami tidak kau hiraukan.  Bukan berhari tangisan kami, tetapi bertahun lamanya barulah tangisan itu berjaya kami hentikan dalam hidup kami.  Kami kebumikan rasa dikhianati dan disakiti itu bersama namamu seperti pintamu.  Kejamkah aku papa, jika hanya hadir hari ini setelah sekian lama kau terbaring di situ?

Apabila melihat wajah tuamu papa, aku tidak dapat menangkis ingatan ini kepada wajah tua seorang ibu yang menangis tersedu-sedu pada saat kau lafazkan pemutus bagi sebuah ikatan hati dan kasih sayang demi mengejar sebuah cinta baru yang kau temui di luar sana.  Aku tidak dapat melupakan wajah kecil seorang aku yang memaut kejap di kakimu dalam tangisan dan wajah polos adik yang tidak mengerti apa yang sedang berlaku saat itu.  Berkali-kali aku memohon padamu jangan tinggalkan kami, namun semua rayuan itu bagimu hanya bisikan di angin lalu yang tak perlu kau hiraukan.  Sungguh papa, harusnya kau menoleh seketika melihat wajah seorang wanita yang kautinggalkan terkontang-kanting sendirian bersama zuriatmu yang harus dibesarkan.  Apalah kudratnya yang ada sedangkan selama ini wanita itu hanya tahu berkhidmat untuk dirimu dan anak-anakmu ini.  Sepanjang hidupnya bersamamu, setianya tak pernah berbelah bahagi walau seinci pun. 

Cepat benar kau melupakan pengorbanan yang diberikan oleh mama kepadamu. Pengabdian seorang isteri yang mendambakan kasih sayangmu seumur hidupnya.  Mudah benar kau beralih arah kepada cinta baru sedangkan bukankah bibirmu itu yang telah melafazkan akad yang disaksikan berpuluh-puluh pasang mata untuk menjaga mama, memberi kebahagian kepadanya dunia dan akhirat serta menjalankan amanah yang diberi oleh-Nya menjaga dan mendidik kami.  Di mana hilang semua janji yang pernah kau lafazkan itu papa?   Rapuhnya hatimu serapuh kasih sayangmu!

Papa, pemergiaanmu dari hidup kami menjemput kesengsaraan dan penderitaan yang tak bertepi.  Namun syukur papa, anakmu ini masih kuat menanggung segala penderitaan yang kau lemparkan kepada kami.  Tetapi hati ini tersayat dan robek satu persatu melihat wajah mama yang kepenatan setiap hari mencari sesuap rezeki untuk kami.  Air mata ini tak mampu tertahan melihat telapak tangan mama yang dulunya lembut dan licin bertukar menjadi kasar dan kematu dalam membesarkan kami.  Hati ini terhiris apabila terpisah dengan satu-satunya darah daging yang menjadi peneman saat suka dan duka apabila mama terpaksa menghantar adik ke kampung untuk dijaga oleh nenda demi mencari rezeki.  Jika hati anakmu ini patah, apatah lagi hati seorang ibu yang terpaksa berpisah dengan anaknya.  Di manakah kau saat itu papa?

Pandanganku singgah pada bibir tua yang seakan bergerak-gerak itu.  Bibir itulah yang sering melaungkan namaku di muka pintu setiap petang, suara yang sering kutunggu apabila angka enam tertera di muka jam.  Aku akan berlari mendapatkan papa yang berdiri menantiku dengan senyuman manis serta tangan yang terdepa untuk kuterjah.  Aku masih ingat, tubuhku yang terawangan kala papa melambung aku ke udara dan tawaku akan menghiasi ruang rumah kecil kita.  Tika itu juga akan terlihat segaris senyum bahagia di wajah mama bersama bayi kecil di dukungan.  Aku akan tertawa setiap kali melihat papa mengucup mesra pipi mama.  Bahagia!  Terasa seperti ada sejalur senyuman bermain di bibirku saat ini.  Indahkan papa saat-saat itu.  Ingatkah papa semuanya itu?  Kenapa keindahan itu tidak dapat bertahan lama walau pun dalam kotak ingatan ini.  Setiap kali aku cuba mengingatkan saat-saat indah itu, semuanya akan hancur dilitupi penderitaan dan rasa benci. 

Derita yang kau tinggalkan papa mengumpan nyilu di hati.  Mungkin ketika itu bibirmu sedang mengukir senyum dan tawa bersama isteri baru yang kaucintai, bersama anak-anak barumu.   Pada saat kau menyulam bahagia, aku dan mama hidup dalam air mata.  Pernahkah papa, kau terfikir apa hidangan kami seharian?  Setiap dinihari, seawal jam lima setengah pagi, mama dan aku berjalan menyusuri lorong gelap mengejar waktu untuk mendapatkan bas terawal supaya aku tidak lewat ke sekolah.  Hidangan pagi dan malam kami hanyalah kulit roti yang mama beli daripada kilang roti yang terletak berhampiran lorong itu setiap petang. Mujurlah, pemilik kilang roti itu ada sifat belas terhadap mama lalu sering memberi lebihan roti jualan mereka untuk kami mengalas perut.  Jerihnya mama dalam mencari rezeki dengan hanya menjadi seorang tukang cuci di pejabat sedangkan itu sepatutnya tergalas di bahumu yang bergelar seorang papa.  Malam-malam kami hanya bertemankan api pelita di rumah kayu di kawasan setinggan di dalam bandar ini.  Cahaya malap itulah yang menemani aku mengulangkaji pelajaran dan mama yang mengambil upah menyembat baju kurung untuk menampung perbelanjaan kami. 

Kesengsaaran mama bukan sekadar sebuah perpisahan dan pengkhianatan, tapi juga sebuah dugaan besar yang terpaksa mama harungi seorang diri apabila anak kecilmu yang baru berusia dua tahun itu dimasukkan ke hospital kerana mengidap epilepsi setelah berhari-hari terbaring dek demam panas yang berlarutan. Semua itu berlaku setahun selepas kau tinggalkan kami papa.  Berhari-hari mama di hospital menjaga anak kecilmu itu.  Pada mata aku yang baru berusia tujuh tahun itu, adik bukan sakit apa-apa tetapi sakit merinduimu kerna saban hari namamu yang diserunya.  Soalan di mana papa menjadi sebutannya setiap hari.  Bagaimana bisa aku menenangkan adik kecilku sedangkan hati aku sendiri bernanah luka dengan pemergianmu.  Seketika pun kau tidak pernah menoleh.  Aku meletakkan semua kesalahan ke atas bahumu papa, atas apa yang terjadi kepada adik.  Untuk itu, sedikit demi sedikit aku mula menyemai rasa benci terhadap dirimu.

Wajah tua itu kurenung lagi.  Bibir papa yang pucat, pecah dan merekah itu juga, mengingatkan aku akan kata-kata terakhir yang keluar daripada bibirnya.

“Kalau anak-anak tanya papa, katakan pada mereka papa sudah mati!”  Kata-kata keramat dan pemutus semua hubungan papa dan kami masih segar di ingatan ini.  Kata-kata itulah yang membuatkan aku menerpa berpaut pada kakimu ketika itu.  Tega hati papa menkafankan kami dalam hatimu sedangkan kami masih bernyawa dan membawa namamu di setiap penghujung nama kami.  Pada saat papa pergi tanpa sedikit pun berpaling, saat itulah aku membuangmu jauh daripada hidupku.  Aku hanya punya mama dan adik.  Itulah duniaku, itulah hidupku.

Papa, pada usia sekecil aku yang kau tinggalkan, tidak pernahkah kau ada rasa belas?  Tidak pernahkah kau terfikir saat kau bahagia bersama keluarga barumu, menyambut hari raya bersama, aku dan adik serta mama, sedaya upaya menggembirakan hati kami yang sedia gundah.  Setiap kali melihat mereka menyalami kedua ibu dan ayah mengundang rasa sebak di hati kecilku.  Melihat gembira terlakar di wajah mereka tika mendapat wang raya yang dihulurkan oleh sang ayah sedangkan aku hanya punya memori singkat bersamamu. 

Setiap kali tiba hari raya, wajah mama tidak pernah ceria.  Seawal usia enam tahun, aku mula memahami hati seorang ibu.  Seawal itu, aku mula menggalas tanggungjawab sebagai seorang kakak dan anak, dalam menjaga mama dan adik.  Setiap kali tiba hari raya, aku tidak pernah meminta mama membelikan pakaian baru yang cantik, tapi mama tetap mama.  Seorang ibu yang tidak pernah menghampakan kami.  Walau diri sendiri tidak punya apa-apa, semahu-mahunya dia ingin melihat kami tertawa gembira.  Gembirakah hati ini papa, apabila semua milik kami kau ragut begitu sahaja.  Air mata bukan lagi penawar duka kami, malah air mata ini sudah kering dan tak mampu tertumpah lagi.

Kesengsaraan hati kami tidak berakhir di situ papa, malah ia berterusan sehingga hari ini.  Tak pernah pudar sedikit pun luka pada kesan calar yang kau tinggalkan itu.  Cuma parut yang berbekas itu kami dinginkan dengan cara hidup kami jauh daripadamu.  Pernahkah setika kau terfikir papa, saat kau pergi bertemu guru-guru di sekolah anak-anakmu, aku juga mungkin menanti kehadiranmu?  Pernahkah kau tahu, setiap kali buku rekod pencapaianku diberi oleh guru, akulah yang menjadi dirimu.  Jari kecil aku inilah yang menandatangani setiap ruang yang seharusnya kau tandatangani.  Pernahkah papa, kau rasa bangga dengan diriku, dengan pencapaianku yang cemerlang setiap kali peperiksaan?  Soalan yang aku sendiri sudah tahu jawapannya.  Sudah tentu tidak pernah sekelumitkan ada rasa bangga itu kan, papa, kerana aku bukan sesiapa padamu.  Namun papa, harus aku ucapkan terima kasih kepadamu kerana apa yang kau lakukan kepada kamilah yang menjadi sumber kekuatanku untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.  Semangat aku berkobar-kobar setiap kali mengingatkan langkah pergimu, kerana aku mahu suatu hari nanti kau tertunduk malu apabila sampai masa aku pula menafikan hakmu pada diriku.

Tahukah kau papa, aku korbankan waktu remajaku dengan rela demi untuk membantu mama meringankan bebannya mencari sesuap nasi untuk kami.  Habis waktu persekolahan, aku bekerja di kedai-kedai makan hanya untuk mencari sedikit wang.  Hasil upah itulah aku gunakan untuk pendidikan aku dan adik.  Di manakah kau papa, saat kami memerlukan seorang papa ketika surat tawaran memasuki IPT kami terima?  Di manakah tanggungjawabmu kau tinggalkan untuk kami?

Selama dua puluh tahun aku menyimpan dendam dan benci yang menggunung terhadapmu.  Sekilas namamu disebut sudah memadai untuk menyemarakkan bara benci di hatiku ini.  Aku tak mampu memadamkannya papa, setelah apa yang kau lakukan kepada kami. 

Namun akhirnya aku gagal papa, gagal untuk membencimu terus kerana aku telah disedarkan bahawa menjadi seorang aku yang bernama anak, adalah berdosa untuk aku membenci dirimu.  Walau siapa pun kau, walau apa pun yang telah kau lakukan, aku tidak berhak untuk membencimu.  Kesedaran ini bukan hadir sendiri dalam hatiku tetapi kehadiran insan yang bergelar suami di sisiku hari ini membuka mataku terhadap qada’ dan qadar yang telah Allah tentukan kepada hambaNya.  Mungkin kerana kegagalan papa dan mama menjadi pengajaran buatku dalam memilih teman hidup sehinggalah aku ditemukan dengan suamiku.  Sujud dan syukur aku kepada-Nya.

Terima kasih papa, untuk pengajaran yang kau tinggalkan tanpa kau sedar.  Kau mengajar aku untuk menghargai pasangan hidup dan amanah yang Allah kurniakan kepada kami.  Kau mengajarku erti setia dan jujur.  Kau mengajarku bahawa sebuah perkahwinan itu adalah perkongsian suka dan duka, dan perkahwinan juga mampu menjadi syurga jika jiwa dipenuhi dengan ilmu dunia dan akhirat.  Perkahwinan bagiku adalah akad yang terlafaz sekali dalam seumur hidup.  Tiada dua, tiada tiga dan tiada juga ke-empatnya.  Bukan aku anti-poligami, anti-penceraian dan menolak apa yang dihalalkan, tapi bagi aku, setiap perbuatan ada timbal balasnya.  Setiap yang indah ada yang comotnya dan setiap yang cantik ada yang buruknya.

Aku bahagia hari ini papa, walau pun tanpa dirimu.  Bahagia yang dahulunya hanya bagai mimpi untuk kugapai.  Mama dan adik juga telah mengecapi kebahagiaan kami dalam dunia kami sendiri, jua tanpa dirimu.  Wajah mama walau pun telah disinggahi kedut-kedut dan garis tua, hari ini lebih ceria dan bahagia daripada tika mama hidup bersamamu.  Adik yang dulunya sering sakit merinduimu, hari ini tak mampu sekali pun menyebut namamu papa.  Kesakitan yang kau berikan kepadanya mengundang pengakhir bagi sebuah ikatan antara papa dan dia.  Dia juga telah bahagia, bersama isteri dan anak-anaknya.  Aku didik dia papa, agar tidak menuruti jejak langkahmu.  Aku didik dia papa agar menjadi seorang suami yang penuh dengan rasa cinta, penuh kasih sayang dan sentiasa mendahulukan insan-insan yang disayanginya dalam segala apa pun.  Aku didik dia papa, agar tidak menjadi manusia yang tega memusnahkan masa depan dan hidup darah daging sendiri.  Aku didik dia papa, agar nama yang berada di penghujung namanya menjadi sekadar sebuah nama.  Tiada siapa-siapa!

Maafkan aku papa, andai hari ini aku cuma mampu memaafkanmu kerana kau papa dan tanpamu siapalah aku.  Maafkan aku papa, aku cuma bisa memaafkan tapi tak mungkin aku dapat melupakan semua yang kau tinggalkan untuk kami.  Parut luka ini masih terasa baru dan sukar untuk sembuh selamanya.  Maafkan aku papa, tidak dapat lagi menerimamu dalam hidupku. 

Perlahan-lahan aku letakkan kembali tangan papa ke tempat asalnya lalu bangun berdiri di sisi sekujur tubuh tua yang terbaring tanpa sedar itu.  Ada pilu yang menampar hatiku saat itu.  Pilu yang telah aku buang jauh-jauh daripada hidupku dua puluh empat tahun yang lalu.  Kenapa ia bertandang kembali? 

“Selamat Hari Bapa, papa, walau pun hak itu telah lama kau gugurkan daripada dirimu.  Aku tak pernah melupakan ucapan itu walau hatiku membenci.”  Kubisikkan ucapan yang telah lama aku simpan untuk terakhir kalinya ke telinga papa.  Moga papa mendengarnya.  Tanpa lengah, kaki kususun mengatur langkah meninggalkan papa sebelum anak-anak dan isterinya tiba.  Tidak betah aku untuk bertemu dengan mereka yang menyulam bahagia atas kesengsaraanku. 

Setika, aku kembali berpaling ke arah sekujur tubuh papa yang masih terbaring, namun tiada satu pun sisa sayang yang bercambah.

.  Maafkan aku papa, aku tak bisa!

**************************************

Maaf untuk segala kekurangan dan terima kasih untuk komen2 sayang2 yang sangat Kak Yus hargai... lebiu ols as owez..

 ~Lots of Luv.. Kak Yus ~
  

5 comments:

  1. sungguh..
    memaafkan itu lebih mudah dari melupakan..
    namun percayalah, dendam takkan pernah mencambah bahagia.. semoga suatu hari nanti "aku" menyedarinya... biarpun seluruh dunia menyulam bahagia di atas lara jiwa mu... menghabisi rasa dendam tanpa bersisa akan lebih membuatkan hidup mu bermakna...

    ReplyDelete
  2. TQ Naisma.. sekadar luahan rasa, moga ada sesuatu yg dpt dipelajari drp situ..

    ReplyDelete
  3. x dpt bercakap apa..air mata je yg mgalir dipipi..sedih..

    ReplyDelete
  4. aduh sedihnya!
    nice entry kak yus!!
    btw.
    thanks letak blog sha dalam bloglist (:

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com