Monday 23 July 2012

Cerpen : Ajaibnya Puasa!


Salam sayang2 Kak Yus.. jemput layan sebentar Cerpen kak Yus kali ini.. sumbangan penyertaan untuk cerpen bulanan Geng Urban di FB.. 

**********************************************************************



Suluhkan cahaya hati diterang
Tunjukkan jalan
Seandainya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuh

Tegakkan semangat bila runtuh
Setibanya di sisimu aku berserah
Terimalah aku
Hambamu Allah

Oh ho oh ho
Hambamu Allah..


Berulang kali alunan merdu Akil Hay, Mawi dan imam-imam muda itu berkumandang menghentikan bebelan aku.  Kelihatan senyuman-senyuman di wajah kecil itu menandakan keriangan terlepas daripada azab berada di dalam kelas membaca yang kadang-kadang memang tidak digemari oleh mereka.  Cepat-cepat aku melangkah mendapatkan telefon bimbitku lalu alunan merdu itu aku matikan segera.  Memang sengaja aku tetapkan penggera masa supaya aku tidak terleka meladeni(diperbaiki) telatah anak-anak ini hingga mengorbankan waktu rehat mereka.  Bagi anak-anak kecil ini pula, alunan lagu itu sudah cukup sinonim dengan telinga mereka malah ada yang agak nakal, turut mengalunkannya. 

“Baiklah semua, kamu boleh tutup buku.  Simpan semula di atas rak yang kamu ambil tadi.  Kemas semula pensel dan warna, masukkan kembali ke dalam bakul cikgu di atas meja kamu tu.  Jangan lupa, tolak kerusi ke bawah meja dan kutip sampah yang kamu buat di atas lantai.”  Begitulah hari-hari pesananku tak pernah lekang.  Menguruskan anak-anak kecil begini, memang memerlukan kita sentiasa mengingati mereka.  Maklumlah, kita yang dewasa ini pun sering lupa apatah pula kanak-kanak kecil ini yang sentiasa padat akalnya memikirkan perancangan dan aktiviti yang ingin mereka lakukan.

“Dah siap cikgu,”  balas mereka serentak.

“Okey, kamu boleh turun ke bawah dan makan.  Ingat pesan cikgu, basuh tangan, baca doa sebelum makan dan selepas makan dan jangan berlari.  Cikgu tunggu kamu di sini,” pesanku lagi.

“Cikgu tak makan ke?” terdengar suara halus berani melontarkan soalan kepadaku.

“Tak, cikgu puasa hari ni,”

“Tapikan cikgu, mama kata puasa lambat lagi,” seorang lagi mula bersuara.  Masing-masing terdiam menantikan jawapanku.  Alahai anak kecil ini, harus bagaimanakah aku hendak menerangkan kepada mereka? 

“Hmm.. cikgu puasa sunat,”

“Sunat?  Bukan orang lelaki ke yang bersunat cikgu, macam abang saya.  Puasa pun ada sunat ye cikgu.” Terbatuk-batuk kecil aku mendengar soalan yang cukup bijak keluar daripada bibir nipis milik pelajar lelaki yang memang terkenal dengan kepetahannya berkata-kata.  Alahai, Zarul, macam manalah cikgu hendak menerangkan kepada kamu.

“Macam nilah, semua hendak tahu kenapa cikgu puasa kan?  Okey, kamu turun makan dahulu, selepas rehat nanti kamu naik ke kelas, cikgu akan ceritakan kepada kamu.  Boleh?” Minta-mintalah pujukan aku ini berjaya.  Sekurang-kurangnya boleh juga aku mempersiapkan diri dengan fakta-fakta dan kata-kata menyelamatkan diri apabila diserang hendap nanti.  Walau pun anak-anak ini berusia enam tahun, tetapi kadang-kadang kepintaran akal mereka mampu membuatkan kita kehilangan kata-kata.

Masing-masing mengangguk tanda bersetuju dengan  sarananku, lalu setelah memberi salam, anak-anak kecil itu berjalan menuruni tangga dalam satu barisan.  Inilah hasil didikan aku dan rakan-rakan sekerja yang lain.  Mendidik anak-anak kecil ini dengan ilmu dunia dan dalam waktu yang sama menerapkan nilai-nilai adap kesopanan dan kesusilaan ke dalam diri mereka tanpa mengenepikan didikan agama. 

Kadang-kadang aku agak kecewa dengan pandangan masyarakat terhadap golongan kami, guru-guru tadika yang nampak kerdil di mata mereka.  Mereka memandang guru-guru tadika seperti kami sebagai golongan bawahan yang hanya mampu mengajar a, b, c dan 1, 2 , 3 sahaja.  Hakikatnya, antara kami terdiri daripada lulusan Diploma, Sarjana Muda malah Sarjana juga.  Kami tidak pernah meletakkan sekeping kertas yang tertulis perkataan-perkataan itu sebagai pengukur khidmat kami kepada masyarakat.   Apa yang penting, hati kami ikhlas dalam melakarkan corak ke atas  kain putih  yang diberikan kepada kami agar tugas mencoraknya tidak seratus peratus terbeban di bahu ibu bapa.

Sebagai guru senior dan merangkap pengetua di tadika ini, aku memastikan setiap guru mengingati tanggungjawab mereka terhadap anak-anak kecil yang menjadi amanah kami.  Apa yang kami lakukan, itulah yang akan menjadi turutan dan ikutan.  Setiap kata haruslah beralas, setiap tingkah laku haruslah berpada. 

Tidak sampai setengah jam, riuh rendah di bahagian bawah tadika sudah kembali tenang.  Kedengaran derap tapak kaki memanjat anak tangga semakin jelas.  Suara-suara halus juga mula kedengaran.  Ada kala diselang dengan tawa ria mereka.  Aku tersenyum sendiri.  Sudah tentu anak-anak ini yang menuju ke kelas kembali menuntut janjiku kepada mereka.   Entah kenapa, hati aku tenang apabila bersama mereka walau pun kerenah(diperbaiki) mereka kekadang mampu membuatkan kita hilang pertimbangan.

Kedengaran salam diberikan hampir serentak.  Kemudian, bunyi keriut kerusi ditarik memenuhi ruang kecil yang mampu menempatkan dua puluh orang pelajar genit itu.  Buku Rekod Pelajar yang ada di hadapanku(diperbaiki) perlahan kututup.  Cermin mata yang terletak elok di atas hidungku yang tidak terlalu mancung ini kutarik dan kuletakkan di atas buku itu.  Begitulah selalunya aku, hanya mengenakan cermin mata itu ketika membaca sahaja, seiringlah dengan usiaku yang sudah mula menjemput rerambut putih bertamu.

“Cikgu, cepatlah cerita,” laung Hanis yang agak manja.  Wajah manis itu kurenung lalu sebuah senyuman aku hadiahkan kepadanya.

“Baiklah, cikgu akan cerita.  Semua dah ada di sini?”

“Dah cikgu, Fuad yang akhir sekali masuk kelas,” jawab Ridzuan yang dilantik sebagai ketua kelas.  Memang selayaknyalah tugas itu dengannya.  Amanah dan rajin.

“Sebelum tu, cikgu nak tanya dahulu.  Kamu makan apa tadi?”

“French Toast dengan karipap cikgu,” serentak lagi jawapan yang aku terima.
Wah, memang bagus betul asuhan kami!  Kalau begini, mudahlah kerja untuk melatih mereka choral speaking mahu pun choir (diperbaiki) sebagai persembahan pada akhir tahun nanti.

“Siapa tahu kenapa kita berpuasa?”  Sengaja aku mengutarakan soalan itu sebelum aku bercerita lebih lanjut mengenai puasa.  Anak-anak kecil ini suka sebenarnya menjawab soalan, berebut-rebut hendak menjawab.

“Sebab rukun Islam cikgu.”

“Sebab mama saya kata kalau tak puasa tak boleh raya.”

“err.. sebab nak lawan dengan syaitan cikgu.”

            Maka bermacam-macam jenis jawabanlah yang aku terima pagi itu.  Sudahnya, aku tidak mampu lagi menahan gelak lalu tersenyum melayani petah mulut kecil mereka.

“Baiklah, sebenarnya apa itu puasa?  Puasa ialah kita menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada dosa.  Siapa tahu kenapa kita puasa?”  Tidak mahu bercakap sendirian terus, aku mengutarakan lagi soalan.  Wajah-wajah comel itu termenung memandang ke arahku.  Segera aku menyambung, mematikan persoalan yang cuba aku hadirkan dalam minda mereka. “Kita puasa untuk menunaikan tanggungjawab dan mencari pahala.”

“Oh, kalau puasa kita dapat pahala ye cikgu?”  Ada juga yang bijak inginkan lebih penjelasan.

“Iya, mestilah mendapat pahala.  Ingat tak cikgu ada bagi tahu ada dua penjaga yang selalu menulis markah kita?  Satu di sebelah kiri dan satu lagi di sebelah kanan.  Ha, kalau kita puasa, penjaga di sebelah kanan akan gembira dan memberi kita markah banyak-banyak, lagi-lagi kalau kamu semua rajin bantu cikgu, bantu ibu bapa di rumah dan berbuat baik.” 

“Sebenarnya, puasa ini ada 3 jenis, satu puasa wajib di bulan Ramadhan.  Puasa inilah yang selalu kita buat sebelum kita sambut Hari Raya Aidil Fitri. Kalau dilakukan mendapat banyak pahala tetapi kalau tidak dilakukan akan mendatangkan dosa. Satu lagi puasa wajib juga iaitu puasa ganti dan puasa nazar.  Puasa ganti ni dilakukan oleh orang yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan kerana sakit atau uzur.  Puasa nazar pula ialah puasa yang kita lakukan apabila kita berniat sesuatu.”

            Aku merenung wajah-wajah comel itu seketika.  Masing-masing sedang leka mendengar apa yang aku perkatakan.  Ajaibnya, hari ini masing-masing seperti terlalu ingin mengetahui apa itu puasa dan kenapa aku berpuasa.  Selalunya, jarang sesi informatif begini ditekuni oleh anak-anak sebaya mereka.  Melihatkan minat mereka, aku meneruskan lagi.

“Puasa seterusnya ialah puasa sunat.  Puasa sunat ni kalau dilakukan akan dapat banyak pahala, kalau tidak dilakukan tidak berdosa. Puasa sunat ni boleh dilakukan bila-bila sahaja mengikut hari-hari tertentu dan bulan-bulan Islam yang tertentu.  Kamu ingat lagi tak bulan-bulan Islam yang kita pelajari? Jom kita sebut satu persatu”

“Muharram, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah,” serentak mereka melagukan nama-nama bulan Islam yang telah dipelajari.  Sebagai seorang guru, bangga menghiasi segenap sudut hati dengan ingatan mereka.  Moga ingatan itu akan terus bersama mereka sehingga mereka meninggalkan kami di ruang kecil ini.

“Sekarang ni bulan Rejab kan cikgu, jadi sekarang ni cikgu puasa sunatlah?” Suara Hanis tiba-tiba memecah kesunyian setelah nyanyian mereka tamat.  Hanis ini memang bijak, petah dan agak matang berbeza dengan rakan-rakan sebaya yang lain.  Mungkin di rumahnya, ibu dan bapa sering mendedahkan dia dengan ajaran-ajaran agama yang lebih mendalam.  Banyak ilmu yang diketahuinya dan sering juga dia membicarakan tentang apa yang diketahuinya di ruang kecil kami ini.

“Betul tu Hanis, hari ni hari ketiga cikgu berpuasa sunat.  Tahu tak, puasa sunat di bulan Rejab ini banyak kelebihan dia?”  Masing-masing menggelengkan kepala dan masih memberi tumpuan kepadaku.  Mengharapkan aku menyambung kembali perbualan kami.

“Puasa sunat di bulan Rejab kita akan mendapat pahala yang banyak antaranya, mendapat syurga Firdaus, menjauhkan kita daripada neraka, menjauhkan kita daripada bala dan penyakit, azab kubur, dan siapa yang berpuasa di bulan Rejab selama lima belas hari, maka Allah akan ampunkan semua dosa kita.”

“Wah, bestnya cikgu,” sampuk Tariq yang mula bersuara.  Sedari tadi dia hanya berteleku di hujung meja dengan mata bulatnya hanya memerhatikan setiap gerak bibirku. 

“Bulan Rejab sahaja ke cikgu kita boleh puasa sunat?”

“Bulan Syaaban pun boleh juga, banyak pahala juga kita boleh dapati dalam bulan Syaaban seperti ganjaran pahala, dimasukkan ke syurga dan yang lebih baik, Allah akan ampunkan dosa kedua ibu bapa kita jika kita berpuasa selama lima belas hari dalam bulan syaaban.  Tapi kena ingat, selapas lima belas syaaban, tidak dibenarkan puasa sunat malainkan jika puasa wajib sahaja,”  terangku panjang lebar. 

            Sessi perbualan kami terhenti di situ apabila penggera masaku sekali lagi berbunyi dengan irama lagu yang sama.  Anak-anak kecil ini sudah terlalu faham dengan bunyi itu lalu mereka segera mengemas kembali barang-barang mereka, menolak kerusi dan beratur di muka pintu. 

“Cikgu, esok boleh tak kita bercerita lagi tentang puasa dan hari raya?”  soal Maisarah yang manis bertocang dua.

“Boleh, esok selepas kita belajar membaca kita boleh bercerita lagi, tapi dengan syarat kamu semua mesti dapat membaca dengan lancar.  Boleh?” soalku membalas soalan Mairasah sebentar tadi. 

“Boleh cikgu,” serentak jawaban mereka mengundang rasa senang di hatiku.

            Setelah mengucapkan salam dan masing-masing menyalamiku, anak-anak kecil ini aku lepaskan pulang dengan mengiringi mereka sehingga ke pintu pagar.  Keselamatan mereka bukan mainan bagi kami, malah setiap guru telah kupesan agar sentiasa menitikberatkan hal-hal keselamatan mereka.  Nyawa tiada galang ganti, walau pun mereka bukan darah daging kami, tetapi mereka tetap dekat di hati kami.  Amanah yang diberi harus dipikul sebaik-baiknya.

            Aku merenung kelam malam yang semakin dingin.  Kesuraman lampu neon yang menyinari lorong-lorong kecil di hadapan rumahku sudah cukup membantu berpasang-pasang mata melalui lorong itu.  Indah malam ini, lebih indah apabila memunggah kembali kenangan bersama si anak-anak kecil pagi tadi.  Aku puas.  Puas kerana sedikit ilmu telah dapat aku berikan kepada mereka.  Biarlah mereka terlalu kecil untuk memahami semuanya, namun aku berdoa agar ada sedikit daripada ilmu itu mampu meresap jauh ke tangkai hati mereka.  Senyuman kecil mula tersungging di bibir apabila mengenangkan keletah bijak mulut mereka membalas setiap persoalan yang aku lontarkan.  Tidak pernah jemu bertanya dan menjawab.

            Lamunanku terhenti apabila menyedari sepasang tangan terletak kemas di bahuku.  Ubun-ubunku dikucup lembut.  Seketika, empunya sepasang tangan itu telah pun melabuhkan punggung di sisiku di atas bangku kecil ini. 
“Jauh sayang termenung, kenangkan siapa agaknya,” bisik sang suami yang aku tinggalkan seketika sebentar tadi.  Setelah menunaikan solat isyak berjemaah, suamiku menyambung semula tugasnya yang belum selesai lalu aku membawa diri menikmati angin malam yang indah di laman kecil kami.

            Aku mula bercerita tentang perbualan aku dan anak-anak kecil di tadika pagi tadi.  Bercerita tentang penerimaan mereka, tentang keletah mereka dan pastinya tentang rasa hatiku yang terlalu gembira dengan setiap pengisian yang aku berikan.  Terdambar sinar kagum di wajah suamiku mendengarnya, lalu tanganku diraih lembut.

“Sayang pernah bertanya pada abang, kenapa abang pilih sayang sebagai suri hidup abang.  Ingat tak?”  Aku hanya mengangguk dan masih aku ingat pada persoalan yang pernah aku lontarkan pada malam pertama perkahwinan kami setahun nan lalu.  Namun persoalan itu tidak pernah berjawab.

“Malam ini abang jawab soalan sayang tu.  Abang tertarik pada sayang kerana sayang rajin berpuasa.  Orang yang berpuasa sunat dan mencari keredhaan Allah untuk diri sendiri dan ibu bapanya adalah amat tinggi darjatnya.  Tidak rugi disunting menjadi isteri kerana setiap amalan isteri yang soleh itu, maka suami juga akan mendapat ganjarannya.  Abang percaya, abang adalah orang yang terpilih yang Allah berikan peluang untuk mendapat seorang isteri sebaik sayang.”

            Betapa aku terpaku mendengar jawapan tulus yang lahir daripada seorang suami yang aku hormati.  Ajaibnya Ya Allah, terlalu kecil ibadahku kepadaMu, tetapi terlalu besar ganjaran yang Kau berikan untukku.  Terima kasih Allah, kerana menjadikan aku seorang aku yang terlalu menyangiMu.  Moga hidup kami sentiasa di bawah restuMu.   Amin.

**************************************

Terima kasih sudi singgah di sini, maaf untuk segala kekurangan lebih-lebih lagi typo error.. mengejar masa sehingga tidak sempat untuk melakukan segalanya.. terima kasih daun keladi, kalau sudi singgahlah lagi..

Salam kasih sayang
~Kak Yus ~

9 comments:

  1. thanx kak.. u gave some other interesting POV abt puasa.. subhanallah!

    ReplyDelete
  2. Puan Yati ~ sesuatu yg boleh dikongsi, k.yus curahkan di sini .. (masih lagi mencari pengisian di dlm diri)

    ReplyDelete
  3. thks kak yus...nnti nak suh anak baca)

    ReplyDelete
  4. Terasa seperti berada di dalam kelas bersama cikgu dan semua kanak-kanak itu... :)
    Salam Ramadhan kak yus.

    ReplyDelete
  5. Alina ~ hehehe.. malu ler k.yus, ambil yg baik2 ye..


    Bro. Salleh Kausari ~ saja je, teringat zaman mengajar anak2 kecil ni, betapa mudahnya mereka absorb ilmu yg kita bagi.. Salam Ramadhan juga..


    Ayumi Syafiqah dear ~ heh, hape yg dahsat tu.. ^^

    ReplyDelete
  6. bgs tul cerpen ni. salute kak

    ReplyDelete
    Replies
    1. time kasih Tni.. pengalaman 3-4 tahun dgn anak2 kecil ni k.yus gunakan utk cerita ni.. harap ada yg boleh digunakan ilmu tu..

      Delete
  7. seronok sangat baca.. terasa berada dalam situasi tu.. hehehe..

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com