“Kenapa dengan ko ni Pina, aku tengok daripada balik tadi tak tentu arah je, bukan esok ko nak ke Melaka?” soal Hafifah yang sedang melayan filem melayu di televisyen. Mukaku diperhatikannya.
“Tak ada apa-apa la Pipah..” acuh tak acuh sahaja balasku.
“Kalau tak de apa-apa tak kanlah ko macam kucing hilang anak, ke hulu ke hilir, monyok semacam je,” rungutnya. Ketara sangat ke keresahan aku ni.
“Ko ada masalah dengan En. Emeer ke?” serkap Hafifah lagi. Aku hanya menggelengkan kepala menafikannya. Malas aku nak memikirkan perkara itu lagi. Aku ingin melupakannya terus. Aku tak mahu terperangkap dalam perasaan ini lagi.
“Susah-susah sangat, ko ajak je la cik abang tu kahwin. Aku tengok korang berdua ni dah macam belangkas, En. Emeer tu pun feeling semacam je kat ko”
Muka selamba Hafifah aku tenung lama. Tak percaya sahabatku itu boleh mengutarakan idea sebegitu rupa.
“Hei.. ko gila ke Pipah. En. Emeer tu kan dah nak kahwin. Dua minggu je lagi dia nak jadi suami orang la Pipah oi,” tingkahku. Namun ada perasaan sedih menyayat hatiku. Berkaca-kaca mataku di saat itu. Aku cuba menyorokkan muka di sebalik majalah yang kupegang.
“Alah, dia mampu kalau nak kahwin dua pun Pina,” Terkedu aku mendengar jawapan Hafifah. Membuntang mataku memandangnya. Ada ke nak suruh aku bermadu. Madu tu memang la sedap, tapi bermadu tu pahit Hafifah oiii!!! Tak sanggup aku menghancurkan kebahagiaan orang lain.
“Hoh.. kuor lah mende-mende pedooh kat mulut tu, aku cubit mulut tu ketgi,” tu dia, dah keluar loghat Pekanku. Hafifah tersengeh-sengeh.
Malas hendak melayan Hafifah lebih lama, aku mengangkat kaki menuju ke bilik. Esok pagi-pagi harus bersiap untuk ke Melaka.
Mataku terkebil-kebil memandang siling, masih tidak mahu lelap. Masih terbayang-bayang kejadian siang tadi di mata. Seakan terdengar-dengar lagi kata-kata En. Emeer tadi. Resah. Pusing kanan, pusing kiri pun masih belum boleh terlelap. Kalau diikutkan hati, berbunga riang rasanya ketika En. Emeer melamarku. Lamarankah itu? Hmmm.. Tapi bila diikutkan kata akal, tak mungkin ia akan terjadi. Arghhhhhhhhhhhh… jeritku di dalam hati.
Lagu ombak rindu yang menjadi nada dering telefon bimbitku berbunyi nyaring. Segera aku mencapainya. Terpapar nama En. Emeer di skrin telefon.
“Assalamualaikum En. Emeer,”
“Waalaikumussalam, belum tidur?” balasnya. Sebak seketika bila mendengar suara itu.
“Baru nak lelapkan mata,” tipuku. Ah, tipu sunat tak apa kan . Tak kan lah aku nak mengaku yang aku tidak boleh melelapkan mata kerana teringatkan insiden siang tadi.
“Ada apa En. Emeer telefon saya ni,”
“Hmmm.. saja nak dengar suara awak. Ok, jangan tidur lewat ye. See you in the morning, good night sayang,” talian dimatikan. Hanya tinggal bunyi beep yang panjang. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Ini sudah kali kedua dia memanggilku sayang. Perasaan bagai dilambung-lambung tinggi. Izinkan aku memilikimu biar pun hanya dalam mimpi.
Usai solat subuh, aku mengetuk pintu bilik Hafifah. Kelihatan Hafifah yang sedang duduk di birai katil sambil melipat sejadah. Sebaris senyuman terlukis di bibirnya.
“Awal kau pagi ni, pukul berapa En. Emeer datang?” aju Hafifah. Aku juga melabuhkan punggung di birai katilnya.
“Pukul 7 katanya, kejap lagi tu sampailah. Aku kan kena sampai awal kat sana ,” balasku.
Kunci Myvi kuunjukkan kepada Hafifah. Bila aku tiada di rumah, Hafifahlah yang selalunya akan menjaga Myvi kesayangku itu.
“Ko jangan lupa ye, belikan aku ole-ole nanti,” pesan Hafifah ketika aku berlalu keluar.
Tepat jam tujuh pagi, kereta hitam BMW 5 Series milik En. Emeer sudah berada di hadapan rumahku. En. Emeer hanya menyambutku dengan senyuman. Bagasiku dimasukkan ke dalam bonet. Hanya sebuah beg kecil untuk pakaian. Kereta memecut laju membelah kesibukan pagi menuju ke lebuhraya Utara Selatan.
Aku mengeluarkan bekas minuman kedap panas yang berisi Nescafe O satu sudu gula lalu mengunjukkan kepada En. Emeer. Pasti awal-awal pagi begini, dia belum lagi bersarapan. Aku juga telah menyediakan sandwich sardin pagi-pagi tadi sebagai bekalan kami. Menjimatkan masa daripada terpaksa berhenti untuk sarapan di Hentian Rehat.
Sekeping sandwich kuhulurkan kepada En. Emeer. Melihatkan kesukarannya memegang sandwich itu, aku akhirnya menyuakan terus ke mulut En. Emeer. Wah, mengada betul bos aku ni. Nak bermanja-manja pula. Senyuman meleret di wajahnya. Suka benar lagaknya dimanjakan begitu. Selera benar makan bersuap, tiga keping sandwich habis dimakan. Nescafe O pun hanya tinggal bekas sahaja.
“Hmmmm… kalau hari-hari macam ni pun saya sanggup jadi driver awak, Ayesha,” usiknya. Kan dah dapat hadiah jelingan daripada aku. Terkekeh-kekeh ketawanya menyakatku. Namun di sebaliknya, hatiku berbunga riang.
Kereta dipandu laju menuju ke destinasi. Syukurlah, Lebuhraya Utara Selatan menuju ke Ayer Keroh tidak sesak. Jika bukan musim cuti sekolah atau cuti umun, tidak banyak sangat kenderaan di sini. Tapi, kalau musim cuti, alamatnya lima hingga enam jam pun tak tentu lagi boleh sampai.
Kami menyusur keluar ke arah Tol Ayer Keroh. Terlihat deretan penjaja menjual buah-buahan di tepi jalan membuatkan kecur airliurku apatah lagi terpandang buah mempelam yang menguning. Hmm.. sedap sungguh. Aku mengerling En. Emeer. Berkira-kira hendak minta berhenti seketika atau tidak. Sedang aku ralit memerhatikan wajahnya, En. Emeer memaling ke arahku. Oleh kerana dek tersipu-sipu tertangkap memerhatikannya, terbantut hasratku untuk bertanya. Tak apalah, balik ke KL nanti baru aku singgah.
Tiga jam perjalanan, akhirnya kami tiba di A’Famosa Golf Resort, Melaka. Beriringan bersama En. Emeer, aku menuju ke arah Lobby Resort untuk menguruskan urusan pendaftaran masuk. Segala urusan surat-menyurat telah pun dilakukan lebih awal, cuma hari ini aku perlu melakukannya secara formal. Sepanjang menanti urusan kami mengambil kunci Villa, aku dapat menangkap berpasang-pasang mata yang asyik memandang wajah tampan En. Emeerku itu. Maklumlah, orang kalau dah tampan dan bergaya tentu sahajalah menjadi perhatian. Walau pun dengan penampilan yang ringkas, baju-T kolar warna purple gelap, dipadankan dengan jeans putih sudah cukup menyerlahkan ketampanannya. Kulitnya yang cerah semakin terserlah. Rambut yang disisir rapi menambahkan lagi keterampilannya. Tiba-tiba hatiku dipaut rasa cemburu.
Eh..eh.. bukan kami sedondon ke. Baru aku perasan, aku juga mengenakan pakaian dengan warna yang serupa. Oh! Sehati Berdansa ni…
Kami dibawa ke arah Villa yang akan menempatkan penginapan kami untuk malam nanti. Terpukau dengan kehijauan di sekeliling kawasan villa yang berhampiran dengan padang golf. Patutlah Datuk Ilham mahu kami menginap di Villa. Lagi pun jarak Villa dan padang golf yang dekat memudahkan mereka ke sana .
Terdapat 5 bilik di setiap Villa. Kami mengambil 3 buah Villa untuk menempatkan pengurus-pengurus yang datang. En. Emeer berkeras ingin tinggal di villa yang sama denganku. Setiap bilik akan menempatkan dua orang pengurus, tidak termasuk bilik En. Emeer dan Datuk Ilham. Pada awalnya, aku ditempatkan bersama Pn. Suhaili. Hanya kami berdua peserta wanita yang menyertai mesyuarat ini.
Petang semalam Pn. Suhaili memberitahuku bahawa dia akan membawa sama suami dan anak-anaknya ke sana , bermesyuarat dan terus bercuti. Maka, Pn. Suhaili telah menempah sendiri biliknya menjadikan aku tinggal berseorangan. Wah, berseorangan di kalangan lelaki-lelaki ini memang mengecutkan perutku. En. Emeer telah dimaklumkan mengenai itu. Mungkin kerana itulah juga, dia berkeras ingin menginap di villa yang sama denganku.
Agenda Budget Meeting bermula sejurus selepas makan tengah hari. Setiap laporan diperinci satu persatu. Tidak boleh ada sebarang kesilapan dalam membincangkan laporan ini. Setiap patah perkataan perlu dicatit. Menggunakan tape recorded aku merakamkan setiap perbincangan. Malah, aku telah meminta tolong salah seorang pembantu Pengurus yang hadir untuk merakamkan mesyuarat tersebut. Sangat berguna untuk rujukan pada masa hadapan.
Mesyuarat kami berhenti seketika untuk minum petang. Boleh tahan juga perkhidmatan dan layanan yang diberikan. Berbaloilah dengan harga yang dibayar.
“Ayesha Sorfina….” Tiba-tiba aku terdengar namaku disebut. Memalingkan wajah ke belakang, terlihat Rashdan sedang berdiri menghadapku. Aku agak terkejut namun segera melemparkan senyuman untuknya.
“Ash.. buat apa kat sini?” soalku.
“Hmmm.. ingat Ash yang nak Sha tadi. Ash kerja kat sini, Manager F&B Department. Sha wat apa kat sini?”
“La.. ye ke. Sha datang mesyuarat ni,” balasku.
“Oh, Sha kerja dengan syarikat ni ke. Itulah, bos Ash bagi arahan untuk supervise function syarikat Sha ni. Hmm..macam ni malam nanti boleh la Ash belanja Sha makan malam”.. ujar Rashdan semakin mendekatiku. Aku yang sememangnya agak kurang senang dengan pertemuan ini bertambah gelisah.
Malah kerlingan tajam En. Emeer tertangkap olehku. Air mukanya yang berubah memberi signal kepadaku. Cemburu kah dia. En. Emeer menapak perlahan menuju ke arah kami.
“Hmm.. tak nak kenalkan kat saya ke,” bisiknya di telingaku. Panas nafasnya menambahkan hangat di wajahku.
“Ash, kenalkan ini En. Emeer, bos Sha. En. Emeer, ini Rashdan kawan lama Sha. Satu kampung,” ujarku memperkenalkan mereka.
“Hi.. saya Emeer..” balasnya lalu mereka bersalaman. Semacam ada ketegangan terlihat saat itu.
“Sorry ye.. dah nak mula. Ayesha, shall we go,” lantas tanganku ditariknya. Aduh la mamat ni. Tak cover line langsung. Kalau setakat kami bertiga sahaja boleh la dimaafkan lagi, ini di hadapan pengurus-pengurus jabatan dan Datuk Ilham juga. Mukaku sudah semakin memerah. Malu, geram semuanya bersatu.
Agenda malam tidaklah terlalu panjang. Seawal jam sembilan setengah sudah tamat. Cepat-cepat aku menyelinap keluar sebelum sesiapa menyedarinya. Aku pun ada agenda tersendiri malam ini. Menyusuri jalan yang diterangi lampu neon memang cukup mendamaikan. Jarak antara Dewan Mesyuarat dan ‘Bikers Point’, tempat menyewa basikat hanya lebih kurang 100 meter. Tak sempat nak bermengah, sudah sampai. Petang tadi, sempat aku bertanya tentang kemudahan yang disediakan di sini melalui kaunter pertanyaan di Lobby Resort. Sungguh tertarik dengan aktiviti mengayuh basikal waktu malam begini. Aku mendaftarkan nama untuk penyewaan, beg kecil yang kubawa kutinggalkan di loker kecil yang disediakan.
Memandangkan agenda malam ini agak santai, jadi aku hanya mengenakan jeans hitam bersama t-shirt putih lengan panjang dan selendang. Simple. Sesuai juga untuk aktiviti berbasikal ini. Masih lagi menunggu petugas kaunter penyewaan ini mengisi borang-borang, memeriksa basikal sebelum menghulurkan kunci basikal kepadaku.
Hati berbunga riang dapat menikmati keindahan malam dengan tenang tanpa gangguan. Biarlah yang lain-lain sibuk berkaraoke di lounge resort, berseronok sesama mereka di sana . Aku lebih suka begini, menghiburkan hatiku sendiri dengan caraku. Baru sahaja hendak menolak basikal ke jalan raya, suluhan lampu kereta menyilaukan mataku. Kereta itu meminggir ke bahu jalan dan lampu dimatikan. Alahai, kenapalah mamat ni dapat jumpa aku. Baru je nak lari sekejap daripada dunia.
En. Emeer keluar daripada perut kereta mendapatkanku. Laju aku menolak basikal ingin mengelak daripada bertembung. Lebih pantas dia menahanku. Tanganku ditarik. Mata yang mencerlang memandangku menakutkan.
“What are you thinking you are doing, Ayesha,” suaranya sedikit meninggi. Aku merenung ke dalam anak matanya. Ada api kemarahan sedang bernyala di situ.
“Saya nak cycling aje keliling villa ambil angin malam,” balasku lembut. Tidak mahu memarakkan lagi api kemarahan yang ada.
“Alone?” sinis soalnya.
“Kenapa, tak boleh ke? It’s not against the rules.. agenda malam ni dah habis, tak kanlah saya tak boleh buat aktiviti saya sendiri,” suaraku sudah bercampur sendu. Seboleh-bolehnya aku tak ingin menangis di hadapan mamat ni.
“Tak salah, tapi kan bahaya cycling sorang-sorang macam ni. Awak perempuan Ayesha. Kenapa tak cakap kat saya, boleh aje saya temankan awak,” Aku hanya membisu. Mengharapkan suasana tegang akan kendur sendiri.
“Ok, awak tunggu saya. Saya ambil basikal. Kita cycling sama-sama”
Akhirnya, kami bersama-sama berbasikal mengelilingi kawasan villa itu. Malah, aku juga dapat berpusing-pusing di kawasan padang golf. Hati berterima kasih kepada En. Emeer dalam diam. Kerana dia menemaniku, jauh sedikit pemandangan yang dapat aku nikmati. Seronok berbasikal, saling berlumba bagaikan kanak-kanak ribena. Lupa seketika yang umur masing-masing sudah menghampiri zon zohor.
Ketika menuruni bukit yang sedikit berpasir, basikalku hilang kawalan. Aduss, tersungkur di tepi jalan. Sakit dan malu saling berkait. En. Emeer yang melihatkan aku sudah terduduk menahan sakit segera mendapatkanku. Darah merah mengalir dari kakiku. Terluka sedikit akibat terkena tongkat basikal yang agak tajam. Tanpa berlengah, dia menelek kakiku, mengambil sapu tangan yang berada di poket seluarnya lalu mengikat luka. Aku dicempungnya hingga ke kaunter penyewaan basikal. Nasiblah kaunter itu tidak jauh daripada tempat aku terjatuh. Oleh kerana sakit, perasaan malu itu sudah hilang dariku.
Setelah En. Emeer menyelesaikan bayaran serta memberitahu mengenai kedudukan basikal kami kepada petugas kaunter, kereta terus dipandu ke villa. Sekali lagi aku dicempung walau pun puas aku menolak. Berkali-kali aku berkeras yang aku boleh berjalan sendiri. Namun, tidak dihiraukannya. Setelah pintu bilik dibuka, dia meletakkan aku di atas katil, menanggalkan kasut sukan yang kupakai. Mengeluarkan tuala kecil daripada almari lalu terus membasahkan sedikit tuala. Saputangan yang membaluti lukaku ditanggalkan. Perlahan-lahan lukaku dibersihkan.
Bagaikan berada di alam lain, aku hanya mampu memerhati. Setiap perbuatan, setiap sentuhannya. Setelah berpuas hati dengan keadaan lukaku, En. Emeer duduk di atas sofa berhadapan denganku.
“Terima kasih..” hanya itu yang mampu aku ucapkan. En. Emeer merenungku dalam. Renungan mata itu sentiasa akan membuatkan dadaku berdebar hebat.
“Arghhh.. Ayesha, kalaulah saat ini saya boleh peluk awak…,” kata-katanya mati di situ. Seketika, En. Emeer bangun menuju ke pintu.
“Try to sleep sayang, esok pagi saya datang tengok awak lagi,” ucapnya lalu berlalu pergi. Pintu ditutup rapat. Mujurlah villa ini menggunakan sistem autolock, setiap kali pintu ditutup akan terkunci dengan sendirinya. Entah bila, aku terlena sendiri.
Terjaga dari tidur terus aku mendapatkan telefon bimbitku. Melihatkan jam sudah hampir menginjak ke angka enam, menandakan subuh sudah tiba. Bergegas aku bangun dan segera luka di kakiku terasa sedikit pedih. Malam tadi, En. Emeer telah meletakkan ubat luka dan membalutnya. Aku membuka balutan dan puas hati dengan keadaan luka yang hanya berkesan sedikit sahaja. Tiada apa-apa yang serius.
Mujurlah bilikku ini mempunyai bilik mandinya sendiri, jadi tidak perlulah aku bimbang untuk berkongsi. Selesai bersiap, aku segera meninggalkan bilik. Acara Tee off akan bermula pada jam 7.30 pagi. Mungkin aku akan diperlukan di sana nanti walau pun aku tidak tahu apa yang boleh aku bantu. Ye lah, bukan aku yang akan bermain golf pun. En. Emeer yang melihatku telah bersiap-siap untuk menyertai mereka menerpa ke arahku. Segera dia mengarahku menaiki buggynya. Sepanjang pagi aku hanya menemani mereka.
Lewat petang, kami bersurai. Mesyuarat telah dijalankan dengan lancar. Aku berpuas hati dengan segala persiapan yang telah diatur. Tiada satu pun cacat celanya. Datuk Ilham juga mengucapkan tahniah kepada En. Emeer dan aku atas kejayaan Budget Meeting tahun ini. Datuk dengan gembira menjemput kami ke rumahnya minggu hadapan. Segan pula aku.
Semua pengurus sudah pun ke bilik rehat yang menyediakan minum petang. Tinggal aku seorang mengemas meja di depan pintu masuk dewan. Sedang sibuk-sibuk bersiap untuk pulang ke villa, kelibat Rashdan kelihatan di hadapanku. Rashdan menuju ke arahku dengan senyuman manisnya. Aku dibelit rasa serba salah.
“Dah nak balik,” sapanya. Aku hanya mengangguk.
“Tak boleh tinggal lagi di sini semalaman? Dah lama tak jumpa Ayesha.” Katanya lagi. Aku hanya tersenyum lalu menggelengkan kepala. Tindakanku yang acuh tak acuh melayannya itu rupanya mengundang rasa kurang senangnya. Bahuku ditariknya. Aku meronta minta dilepaskan.
“Kenapa Sha buat Ash macam ni. Kenapa Sha asyik nak elak dari Ash..” soalnya kasar.
“Sha tak suka Ash buat Sha macam ni. Kan Sha dah kata dari dulu lagi, kita hanya boleh berkawan sahaja. Not more,” balasku. Aku bosan dengan sikap Rashdan yang tidak mahu menerima kenyataan.
Rashdan masih berdegil, cuba menarik tanganku. Aku mengundur ke belakang dan langkahku terhenti apabila terasa ada tangan sasa memegang kedua lenganku. Tubuhku ditarik ke belakang dan tersandar di tubuhnya. Aku terpaku.
“Ada masalah apa ye,” soal empunya tangan itu. Aku kenal benar dengan suara itu. En. Emeer. Aku amat bersyukur En. Emeer berada di situ ketika itu.
Wajah Rashdan bertukar menjadi kelat. Dia terus berlalu pergi. Aku tahu, dia tentu tidak akan berhenti di situ sahaja. Pasti, dia akan cuba lagi mencari peluang untuk mendekatiku. Kemungkinan itu membuatkan aku menjadi amat takut. Namun, hangat tubuh sasa yang berada di belakangku seakan menenangkan.
En. Emeer merenungku tajam. Aku tahu dia pasti melihat adegan antara aku dan Rashdan sebentar tadi. Dan aku juga tahu, masalah baru akan timbul antara aku dengannya. Persoalan ini belum selesai..dan aku tahu pasti sepanjang perjalanan pulang nanti aku tak akan terlepas. Nasib kau lah Ayesha…
.... andai itu takdirnya .. aku terima dengan pasrah ...
Best. I like.
ReplyDelete