Pintu bilikku diketuk berulang-ulang kali. Beg yang masih belum siap dikemas, kubiarkan di atas katil. Segera aku menguak pintu bilik. Wajah En. Emeer yang masih kelat terpacul di sebalik daun pintu.
Aku membiarkan pintu terkuak lebar. Melangkah kembali ke arah katil untuk mengemas baki pakaian yang masih bersepah di atas katil dan membiarkan sahaja En. Emeer yang tercegat di situ. Tanpa memperdulikan kelat wajahnya, aku terus membisu. Malas juga hendak bertanya.
Tiba-tiba terasa kakiku dipegang lalu diangkat sedikit. Tersentak melihat En. Emeer yang sedang melutut di atas lantai di hadapanku. Tangannya masih membelek kesan luka itu. Perlahan, jari jemarinya menggosok kakiku. Terkejut dengan perbuatannya, aku cuba menarik kakiku tapi tangannya masih kejap di situ.
“Kita pergi klinik ye, takut infection nanti,” ujarnya masih tidak melepaskan kakiku. Hangat jari-jemarinya seakan arus elektrik yang mengalir ke segenap tubuhku.
“Tak payahlah En. Emeer, sikit je tu. Nanti baiklah,” balasku lembut. Sudah terlalu banyak menyusahkannya.
Matanya merenungku dalam. Segera aku mengalihkan pandangan agar mata kami tidak bertembung. Risau jika getaran hati aku ini jelas terpancar oleh anak mata. Seketika, kami hanya terdiam. Masing-masing melayan rasa hati. Deruman kereta di luar villa bersahut-sahutan menandakan ramai pengurus-pengurus telah bertolak pulang ke Kuala Lumpur .
En. Emeer beralih duduk di sebelahku. Iskh, duduk pula di atas katil yang sama. Lagi lah hebat getaran hatiku ini.
“Kita pusing Bandar Hilir dulu nak,” ajak En. Emeer sambil memerhatikan aku yang sedang berkemas. Masih tidak berganjak di tepi ku.
“Tak apa ke nanti sampai lewat. En. Emeer tak penat?” soalku. En. Emeer hanya tersenyum seraya menggeleng tanda dia tidak kisah. Wah, hatiku sedikit berbunga riang.
Seronok juga dapat menikmati keindahan Bandar Hilir. Walau pun abah berasal daripada Melaka dan nenek pun masih ada di sini, tapi kami jarang sekali pulang. Hubungan abah dan nenek kurang baik semenjak abah berkahwin dengan mak. Khabarnya, nenek telah pun mempunyai pilihan isteri untuk abah, tapi abah menolak mentah-mentah. Semenjak itu, nenek terus menyisihkan abah dan keluarga kami. Hanya dua orang adik perempuan abah sahaja yang kerap menghubungi abah. Malah jika sesekali mereka ke Pahang, pasti rumah kami akan menjadi singgahan mereka. Maklang dan Makteh memang sayangkan mak. Kata mereka mak merupakan kakak ipar terbaik yang pernah mereka ada. Berbeza dengan isteri Paklong. Namun begitu, abah dan mak tetap menghormati nenek.
Usai solat maghrib di Masjid Bandar Hilir, kami terus ke Taman Rempah untuk menaiki Melaka River Cruise yang terkenal tu. Tiga puluh minit menunggu, barulah berpeluang untuk menaiki bot yang agak selesa. Pemandangan sepanjang sungai di waktu malam sangat menarik. Kelihatan kerdipan cahaya lampu yang indah menyinari sepanjang susur sungai. Suasana yang sungguh mengasyikkan, mataku tak melepas pandang dan menghayati keindahan rumah-rumah tradisional, bangunan lama zaman penjajahan Portugis, Belanda dan British serta jambatan-jambatan yang menarik. Sungguh indah bila bangunan-bangunan itu disimbahi cahaya lampu yang benderang.
Terasa seperti di Venice pula. Lebih mengasyikkan apabila dapat menyusuri sungai dengan pemandangan indah ini bersama orang yang tersayang. Romantik giler. Saat ini, aku ingin melupakan seketika realiti hidup yang ada. Aku ingin menikmati saat-saat indah ini bersamanya. Mungkin, tidak akan ada lagi lakaran indah seperti ini pada hari esok. Biarlah hari ini menjadi sejarahku yang tersendiri.
Aku hanya bersandar di dada sasa En. Emeer yang selesa benar melingkarkan sebelah tangannya di bahuku. Sesekali bahuku dielus-elus lembut. Hembusan nafasnya yang lembut menenangkan. Senyuman tidak pernah berhenti tergaris di bibir kami.
Setelah membeli sedikit buah tangan untuk Hafifah dan rakan-rakan sekerja yang lain, kami memulakan perjalanan pulang. Agak lewat tiba di Kuala Lumpur . Kelihatan Myviku sudah diparkir elok oleh Hafifah.
“Don’t forget this weekend, Datuk invite us for lunch,” ujar En. Emeer mengingatkan aku mengenai jemputan Datuk Ilham tadi.
“Seganlah En. Emeer,” jawabku.
“Hmm.. jangan nak mengada-ngada Ayesha. Mesti Datin Salina tak sabar-sabar nak jumpa awak. Dah jadi favourite Datin awak sekarang ni. Tiap kali call saya, mesti tanya pasal awak,” balas En. Emeer. Laju jari-jemarinya mencuit hidungku. Malas nak melayan karenahnya yang satu ni.
“Dah tak marah ye kena cuit hidung, suka?” usiknya. Satu cubitan kuhadiahkan di tangannya. Dia menjerit kesakitan. Ha, kan dah dapat habuannya.
“Eeii.. lama-lama penuhlah lebam-lebam kat tangan saya ni Ayesha. Kalau lovebites tak apa jugak,” rengeknya sambil menggosok-gosok bekas cubitan. Eh, menggatal pulak mamat ni. Meletus tawa dari bibirnya melihatkan aku yang telah memuncungkan mulut.
“Sayang, buat mulut macam tu lagi, saya kiss nanti,” ugutnya bersahaja. Terus kedua tanganku menekup mulut. Membulat mataku memandang wajahnya yang bersahaja. Eeii..mulut tu memang nak kena cubit tau.
En. Emeer mengangkat bagasi serta barang-barang yang kami beli sehingga ke pintu rumah walau pun berkali-kali aku melarangnya. Hafifah yang membuka pintu hanya tersengeh melihat kami. En. Emeer menghulurkan bungkusan beg kertas kepada Hafifah. Laju sahaja Hafifah menerimanya. Wah, dapat buah tangan minah ni daripada bos aku.
Hafifah yang kesukaan terus menyambut beg kertas yang dihulurkan.
“Oh, thank you bos. Susah-susah aje,” ucap Hafifah tersenyum gembira.
“Alah, tak ada apa pun Pipah. Just to say thanks sebab awak tolong jaga Ayesha saya ni,” ujarnya menyentak jantungku. Hafifah terus tertawa melihat aku yang terkulat-kulat. Tak aku sangka, direct sahaja mamat ni nak berkata begitu. Malah, dia juga memanggil Hafifah dengan panggilan yang biasa aku gunakan.
Setelah mengucapkan selamat malam, En. Emeer beredar pulang. Hafifah yang masih belum mengantuk, sibuk mengorek cerita di Melaka. Malah kisah aku terserempak dengan Rashdan serta insiden yang berlaku di hadapan En. Emeer juga tidak terlepas daripadanya. Hampir jam 2 pagi barulah aku dapat berbaring di atas katil kesayanganku ini. Bunyi beep telefon bimbit mengganggu lelapku.
Thank you for the lovely moment.. good night and dream of me sayang ~ Emeer.
Aku tidur dengan senyuman malam itu.
*******************
Jam 9 pagi, terdengar deruman kereta En. Emeer di hadapan rumahku. Memang semalam dia telah memberitahuku akan datang awal menjemputku untuk ke rumah Datuk Ilham.
“Gorgeous,” puji En. Emeer. Itulah perkataan pertama yang terpacul dari mulutnya ketika aku berdiri di hadapannya yang bersandar di pintu kereta. Aku hanya tersenyum sambil menjongket bahu.
Nak kata cantik sangat tak adalah. Hanya berskirt labuh dan blaus biru laut serta tudung Fareeda. Simple tapi rasanya sesuailah untuk ke rumah Datuk Ilham.
Aku mengajak En. Emeer singgah sebentar di kedai bunga yang terletak tidak jauh daripada rumahku. Hajat di hatiku untuk membeli sejambak bunga untuk Datin Salina . En. Emeer tersenyum meleret melihat aku yang tenggelam dalam bunga-bungaan di kedai itu. Aku dan bunga.. hah, pantang berjumpa. Haruman semerbak bunga-bungaan sungguh menyegarkan. Salsabila, pemilik kedai bunga itu, telah faham benar dengan pe’elku. Setiap dua minggu sekali aku akan ke kedai bunganya untuk membeli bunga-bunga baru untuk bilikku dan bilik En. Emeer.
Setelah berpuas hati dengan pilihan bunga yang kuambil, aku menyerahkan kepada Salsabila untuk digubah. Hmm.. hari ni biarlah orang yang pakar menggubahnya. Sambil menunggu, aku membelek-belek kuntuman segar yang ada disekelilingku. Lupa seketika dengan kehadiran En. Emeer yang setia menanti.
Tiga kuntum bunga rose merah yang digubah indah dihulurkan kepadaku. Terkejut. Hairan. Bila pula aku memilih bunga rose merah ini. Berpaling ke arah En. Emeer yang berada di belakangku bersama huluran itu. Dia tersenyum sambil mengenyit sebelah matanya.
“Untuk awak..” ujarnya. Terpaku namun segera kusambut huluran bunga itu. Manis senyuman terukir di bibirku. Mata kami bersabung seketika. Deheman Salsabila menyedarkan kami. Segera kami mengalihkan pandangan.
“Untung sungguh you Ayesha, ada orang nak bagi you tiga kuntum red roses. Kalau I la, terloncat-loncat dapat,” usik Salsabila.
“Hmmm.. I loncat dalam hati aje la Bella, malu…” balasku. Berderai tawa daripada kami berdua. Sedar gelagat kami diperhatikan En. Emeer, terus kami tersipu-sipu.
“Thank you for the roses.. I love them,” ucapku ketika kami menuju ke kereta.
“Don’t love the roses, love me instead,” balasnya. Mati kata-kataku.
Kami disambut dengan senyuman yang manis dan ramah oleh Datuk Ilham dan Datin Salina . Malah anak Datuk Ilham, Eireena turut ada bersama anaknya Nuha. Suaminya berada di luar negara mengendalikan urusan syarikat. Sesekali melihat Eireena, wajahnya iras benar dengan En. Emeer. Ye lah, mereka sepupu.
Datin Salina bukan main suka mendapat jambangan bunga daripadaku. Katanya inilah pertama kali orang menghadiahkan bunga untuknya selain Datuk Ilham. Rupanya Datin Salina pun memang gemar dengan bunga. Lihat sahaja halaman rumahnya yang penuh dengan orkid dan bunga bouganvila. Kami berbual-bual di ruang tamu sebelum Datin Salina memohon diri ke dapur untuk menyiapkan juadah makan tengah hari. Aku dan Eireena juga beriringan ke dapur meninggalkan Datuk Ilham dan En. Emeer yang sedang leka melayan Nuha.
Mak Jah dan Kak Leha pembantu rumah Datuk Ilham sedang sibuk di dapur. Datin Salina sibuk mengarahkan itu dan ini kepada pembantunya itu sambil tangannya masih lincah menyentuh lauk pauk yang ada. Datin Salina juga terpegun melihat aku menyediakan masak asam tempoyan ikan patin. Mungkin caraku agak berlainan dengan cara mereka. Hari ini, aku membuat demontrasi masakan Pekan di dapur Datin Salina . Terkejut apabila sebatang sudu dihulurkan kepadaku. Terpacul wajah En. Emeer di sebelahku sambil memegang sudu minta untuk merasa gulai asam yang sedang kumasak. Riuh dengan ketawa di ruang dapur dengan reaksi terkejutku. Entah bila lah masanya, mamat ini berada di sini.
Berpeluh-peluh Datuk Ilham dan En. Emeer menikmati gulai asam tempoyak hasil tanganku. Pujian demi pujian kuterima dengan hati yang gembira. Malah Mak Jah juga sibuk bertanyakan resepi gulai asam tempoyakku. Tak baik kedekut ilmukan.. aku menulis segala apa yang diajar oleh mak. Datin Salina yang mengetahui bahawa aku juga boleh memasak nasi dagang turut meluahkan hasratnya untuk belajar daripadaku. Semua ini gara-gara cerita En. Emeer lah. Mentang-mentanglah semenjak pulang daripada rumah mak dan abah, sudah dua kali aku masakkan nasi dagang untuknya. Mengada-ngada, tapi aku suka.
.........Di kala aku tak pasti, kau tampil dengan berani...
membimbing agar lebih yakin
dan bila hidup penuh soalan, kau berikan jawapan
melengkap semua kekurangan...........
_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me
Nampaknya semua org dah sukakan Ayesha..,bilalah nak jadi agaknya dgn en.ameer ni ya?:)
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete12.10am I was here :)
ReplyDeletemengada tpi aku suka <---- ayat nih sungguh cool .. uwaa... >_< Selalu ckp ayat ni . ehek ..
ReplyDelete