Tuesday 24 January 2012

Bab 13 .. Biar Cinta Bertaburan





          Seperti semalam, masih lagi berteleku di sini.  Pohon rendang berakar panjang ini masih setia menemaniku.  Wajah tampan En. Emeer kutatap lama.  Masih teringat saat-saat di butik pengantin itu.

          “Tak mau la awak, seganlah,” ujarku menolak tangan En. Emeer yang menarikku ke studio.  Dahlah dipaksa berpakaian pengantin, nak kena bergambar pula. 

              “Please Ayesha, dah janji nak tolong saya kan,” pujuknya lembut.  

           Kelembutan dan redup sinar mata itu melembutkan hatiku.  Mengalah juga aku.  Alahai, kalau pengantin sebenar tak apa lah juga.  Ini dahlah jadi pengganti sahaja, siap nak bergambar pula.  Tak membazir ke semua ni. 

          Masih terasa hangat jemari itu memeluk bahuku, merangkul pinggangku.  Bila wajah kami bertentangan, getaran maha hebat terjalin di hati.  Pabila mata kami bersabung, satu rasa yang meluap-luap ingin dilepaskan.  Masih ingat, peluh dingin yang mengalir pabila diminta bergambar dalam posisi yang sungguh romantis.  Manis sahaja wajah En. Emeer memenuhi permintaan jurufoto.  Masih terdengar-dengar panggilan sayang yang lahir dibibirnya.  Masih terdengar sisa tawanya melihat rajukku. 

          Air mata berjuraian lagi. 

          Ya Allah, Engkaulah maha mengetahui segalanya.  Engkaulah yang telah menuliskan suratan ini.  Kepadamu Ya Allah, aku mengadu.  Kepadamu Ya Allah, tempat aku meluahkan kesakitan ini.  Aku tak pernah menyesal mengenali dia, aku tak pernah kesal mencintai dia.  Mencintainya adalah perkara yang terindah yang pernah aku alami.  Aku tidak menyesal dilukai begini.  Walau hancur robek sekali pun hatiku ini, aku tetap akan terus mencintai dia.  Hanya dia sahaja lelaki yang pernah bertahta di hatiku.  Yang pertama dan terakhir.  Ya Allah, aku rela hidup dengan rasa ini hingga akhir nafasku.  Aku rela walau hanya ditemani kenangan-kenangan manisnya.  Kau berikanlah kebahagiaan buatnya.  Kau berikanlah kekuatan untuknya.  Kebahagiaan dia lebih bermakna untukku.  Aku bahagia andai dia jua bahagia.. Biar hati ini menangis terus, aku rela….

          Masih berteleku di balkoni, memerhatikan riak ombak yang membadai lembut.  Angin laut menghembus sayu.  Terasa bagai alam menemaniku dalam sendu ini. 

          Apa khabar agaknya dia di sana.  Dah makan ke, dah minum ke.  Kak Haryati buatkan ke tidak Nescafe O satu sudu gulanya tu.  Otak kecil ini masih lagi terfikir-fikir tentang dia.  Rindu kah dia pada aku.  Nanar kah dia tanpa aku seperti mana aku di sini.  Setiap saat, setiap hela nafasku hanya ada nama dia.. Emeer Zafran.. kenapa kau tak mampu aku usir dari ingatanku.  Semakin kuusir, semakin kerap kau datang.

Bunyi beep telefon bimbit masih lagi berbunyi.  Penat aku mendengarnya.  Kasihan pula telefon ni. 

          Ayesha, awak di mana? ~ Emeer.

          Please pick up the phone Ayesha, don’t do this ~ Emeer.

          Awak, saya rindu awak ~ Emeer.

          Ayesha, come back, I need you ~ Emeer.

          Ayesha, I’m gonna crazy without you ~ Emeer.

          Sayang, please open the door.  I’m here ~ Emeer.


          Mesej terakhir membuatkan aku ternanar.  Di sini?  Di hotel ini?  Mustahil.  Tiada siapa yang tahu aku di sini.  Ketukan bertalu-talu di pintu kedengaran.  Tak mungkin dia.  Arghh.. mungkin pekerja hotel yang datang untuk mengemas bilik, fikirku.

          Aku meletakkan semula gambar kami di atas meja sisi katil.  Gambar itulah peneman lena malamku.  Pintu kukuak kecil.  Wajah En. Emeer yang tersembul mengejutkanku.  Cepat-cepat aku menolak kembali dedaun pintu namun sempat dihalang oleh tangan sasa En. Emeer.  Pintu terkuak lebar.  En. Emeer meloloskan dirinya ke dalam bilikku.  Aku terkaku.  Terkejut dengan kehadirannya.  Pintu ditutup dan dikunci rapat. 

           Aku memejamkan mata.  Tidak ingin melihat wajahnya.  Tiba-tiba tubuhku terasa didakap erat.  Mata yang terpejam kubuka perlahan.  Pandanganku gelap. Wajahku tersembam di dada sasa En. Emeer.  Hanya kedengaran degupan jantungnya yang kencang.  Nafas tak teratur En. Emeer bersabung dengan nafasku.  Pelukan En. Emeer kejap.  Tak mahu aku leraikan pelukan ini. 

          “Sayang, saya boleh gila begini.  Jangan tinggalkan saya, awak,” bisiknya.  Suara garaunya terdengar merdu di telingaku.  Degup kencang jantungnya seakan berlagu.  Terasa ubun-ubunku dikucup. 

          Air mataku laju tumpah membasahi kemeja En. Emeer.  Akal warasku hilang entah ke mana.  Aku ingin menangis sepuas-puasnya.  Aku merenggangkan pelukan En. Emeer.  Namun tangan jejaka itu lebih tangkas menangkap tanganku.  Wajahku didongak.  Air mataku diseka.  Rambutku yang berterbangan di muka, diselak lembut.  Tangan itu masih mengelus-elus pipiku.  Terasa hembusan hangat nafasnya di wajahku.  Bibir En. Emeer mula mendekati wajahku.  Aku terpempan.  Perasaanku bercampur baur.  Bibir kami bertaut, lama.  Hangat terasa ke seluruh tubuhku.  Perasaan hati mula bergelora.  Saat ini, akal dan minda sudah tidak berfungsi.  Hanya rasa hati yang mengepalai bahtera.

          “I want you Ayesha, I want only you,” hanya itu yang kedengaran. 

Kami tenggelam dalam dunia kami.  Tenggelam dalam rasa rindu yang menggunung.  Tenggelam dalam godaan makhluk tuhan yang telah berjanji akan menyesatkan anak Adam.  Tewas pada perasaan cinta kami.   Nafas kami bertaut.  Gelora jiwa sudah tidak keruan.  Hilang pertimbangan dosa dan pahala.  Di hadapan kami cuma ada cinta yang menggunung.  Cuma ada rasa ingin memiliki dan dimiliki.

Aku tersedar dari lena.  Masih terasa hangat tubuh En. Emeer memelukku.  Tangannya masih kejap melingkari pinggangku.  Nafasnya lembut terasa di kepala.  Air mata mengalir laju.  Mengenang kebodohan diri sehingga semuanya ini terjadi.  Terlalu murahkan aku.  Terlalu mudahkah aku.  Ya Allah, ampunkan aku.  Mak, abah, aku berdosa pada kalian.  Hati ingin meraung tapi apa gunanya lagi. 

“Sayang dah bangun,” lembut suara En. Emeer menyapa gegendang telinga.  Wajahku dipalingkan mengadapnya.  Wajahnya dikerutkan apabila melihat wajahku yang basah.  Air mataku diseka dengan jemarinya yang kasar.

“Let’s get married sayang.  Saya nak bertanggungjawab atas semua ni,” bisiknya.  Aku hanya membatukan diri.  Terasa bibirnya bermain-main di leherku.  Tangan yang melingkari pinggangku terus dikejapkan seolah tidak mahu aku terlepas lari. 

Kahwin!  Wahai En. Emeer, kalau aku boleh menjerit, aku akan menjerit pada dunia betapa aku memang ingin menjadi suri hidupmu.  Tapi aku tak mampu untuk memikirkannya pun.  Aku tak mampu untuk berdiri di sebelahmu dengan senyuman sedangkan ada hati yang akan hancur keranaku.  Aku tidak mahu menyulam bahagia atas kehancuran insan lain. 

“Lapar,” bisikku.  Segaris senyuman terlukis di bibirnya.  Bibir itu lantas mengucup hidungku.  Ah, manisnya.  Alangkah indah jika semua ini benar belaka.  Jika semua ini berlaku dengan jalan yang sepatutnya. 

“Ok, jom makan.  Sayang dah kurus,” balasnya.  Tangannya masih lagi memelukku.  Kualihkan tangannya namun cepat pula En. Emeer menyambar jari-jemariku lalu dibawa ke bibirnya. 

“Wahai Ayesha Sorfina, jangan pernah sesekali berfikir untuk tinggalkan saya.  I’ll die without you,” ucapan itu menyentuh terus ke lubuk sanubariku.  Tersentuh dengan keikhlasan yang terpancar di wajahnya.  Jari-jemariku dikucup berulang kali. 

Keluar dari bilik mandi, tersilu aku melihat selambanya En. Emeer yang hanya bertuala duduk di sofa.  Mata kualihkan memandang keluar.  Kedengaran tawanya pecah berderai melihatkan wajahku yang sudah merona merah. 

“Kenapa?  Malu eh tengok saya seksi ni,” ujarnya mengusikku.  Hamboi, perasan tak sudah mamat ni.  Lantas aku melemparkan kusyen kecil ke arahnya.

“Ewah, karang tak jadi pergi makan tak tau..” usiknya lagi.  Tawanya masih tak berhenti.  Matanya masih lagi menyoroti aku yang berdiri di depan cermin.  Sinaran matanya mengasyikkan. 

“Stop it En. Emeer, mandilah.  Busuk,” balasku.  Malas betul nak layan mamat ni.  Lebih-lebih pula, dah lah perut aku terasa lapar benar.  Eh, kenapa boleh rasa lapar pula ye.  Kalau tidak, sampai tengah hari pun tak tentu lagi aku nak makan.  Ni ada kaitan ke dengan kehadiran En. Emeer.  Wah, perut pun pandai ye, mengada-ngada.

Sekali lagi tangannya melingkar di pinggangku.  Pelukan yang menggegarkan jiwaku lagi.

“Sayang, you have to learn to stop calling me En. Emeer.  Abang perhaps,” bisiknya manja.  Alahai, nak gugur jantung aku.  Mamat ni kalau tak berjiwang pagi-pagi ni, tak sah.  Dah la kat depan tu terentang banyak halangan untuk bersama, suruh pula aku panggil dia abang.  Aku merenggangkan pelukannya lalu menolaknya ke bilik air.  Kedengaran tawanya di sebalik pintu bilik air.

Abang tak abang.. aku dah lapar giler ni.  Cepat lah mandi wahai En. Emeer oiii. 

          Selepas sarapan, kami menyusuri pantai beriringan.  Menikmati keindahan laut lepas.  Meninggalkan seketika realiti kehidupan yang terbentang.  Meninggalkan seketika sebarang kemungkinan yang akan datang.  Hari ini, pohon rendang ini berkenalan dengan kekasih hatiku.  Kekasih yang telah banyak menyebabkan hatiku terluka.  Kekasih yang mungkin hanya akan kumilikki untuk sementara.  Kekasih yang telah aku serahkan jiwa dan ragaku untuknya.  Kekasih yang telah aku serahkan segalanya untuk dia. 

          Aku serahkan segalanya pada takdir.  Biarlah esok mencorak jalannya sendiri.  Aku hanya akan menjadi pengikut yang setia pada setiap babak yang telah tersurat.  Aku cinta kamu Emeer Zafran.. cinta sangat.






Jika engkau cuba mengerti.. apa yang tersirat di hati
apa lagi perlu kau ragu...ku milikmu
cubalah engkau menghayati.. isyarat cinta yang diberi
jika dirimu tahu... ku milikmu



12 comments:

  1. Awal bro.. tak keje eh??? hehehe..

    ReplyDelete
  2. harap2,en.ameer mengotakan janjinya>...klw x siap kaw..he.he

    ReplyDelete
  3. tipisnya iman sianak adam...

    ReplyDelete
  4. Ermmm...kecewa dengan emir dan ayesha. Alangkah bahagia dan indahnya hubungan jika berlandaskan syariat.berharap akan wujud penyesalan dan keinsafan atas perbuatan yg dilakukan.

    ReplyDelete
  5. Kak Intan ~ kdg2 dlm penuh berjaga2 ada masa kita kecundang juga.. moga ada pengajaran di sini..


    Aisha Rahman ~ tq dear.. benar, apa yg dilakukan mmg salah di dunia mahupun di akhirat, tp realiti di dunia tak mampu kita tolak mentah2..setiap paparan di BCB ini akak harap dpt dijadikan iktibar kpd kita.. harap sudi membaca bab seterusnya ye dear..

    ReplyDelete
  6. baru sempat membaca blog2 kegemaran..huhu..maaf kak yus..bagi sy kalo terjadi macam ni so far bole diterima kak..janji akak wrap balik..timbal balik tahap penyesalan dua2 watak ni dgn penuh sungguh2..bg penyesalan yg readers leh rasa dengan jiwa. 1 lagi sambungan plot2 kak tu agak keliru sikit..hehe..(pandai je saya kan..sowi kak kalo sy pepandai je)

    ReplyDelete
  7. sis Rehan dear ~ tq sudi menjengah di blog akak yg tak seberapa ni.. betul tu.. setiap kesilapan harus ada repent.. dlm BCB ni akak masukkan segala unsur tu.. silap, balasan, sesal, taubat.. hmm.. keliru eh..hehehe.. akak pun keliru gak kdg2 bila baca semula..hahahaha.. (tak pe..akak suka Rehan pinpointkan weaknesses akak..so akak boleh baiki mutu penulisan tu.. klu kata ok je, tp tak ok..tak syok gak..)-- lagi pun mmg itu tgjawab kita sesama penulis..menegur utk memperbaiki.. TQ again dear..jgn silu2 utk tegur lagi ye..akak harapkan tu drp Rehan..

    ReplyDelete
  8. bab seterusnya akan bagi jawapan... takde manusia yang sempurna, andai cukup didikan agama sekali pun pasti sesekali tewas jua...

    ReplyDelete
  9. Kak Yus suka quotes Fara tu.. betul tu, kadang2 kita tergelincir drp landasan yg betul, tp tak semestinya kita terus berada di gelinciran tu, harus usaha utk kembali ke jalan yg asal..

    ReplyDelete
  10. Ohh...ini lah bab yang hangat tu ya?

    point saya jelas memaksudkan bahawa kata-kata RM betul. perlu ada satu tanggungjawab penulis untuk membawakan watak itu insaf dengan perlakuan mereka. dalam ni, saya x nampak si heroin tu rasa bersalah...boleh pulak rileks2 dia okey...cuma dalam hati dia rasa bersalah dengan mak ayah keluarga etc.

    saya dah review bab ni, bab 15 dan bab 16..mohon maaf sebab saya x beli buku..masih blm sempt nak review. Pembaca seperti saya pastinya x mahu nvl ni menjadi bahan bacaan anak2 saya. spt seorang review novel di dalam fb..spt zina tu okey dibuat dan ia macam x menakutkan pembaca..so simple hukum karmanya. bak kata rm. kena ada penyesalan yang cengkam jiwa pmbaca.

    good luck kak yus. teruskan menulis dan hrp komen ni x patahkan semangat..okey? smg terus menulis.

    ReplyDelete
  11. Salam Pembaca -- terima kasih kerana sudi singgah di sini dah membaca BCB biarpun hanya utk Review.. Kak Yus sgt hargai kehadiran Pembaca di sini..

    Sebelum tu suka kak yus ingin katakan bhw kak yus ini seorang yg bila berkata2 suka berkias, bila menulis, ada makna tersirat di sebalik ayat yang dibariskan.. maka begitu jugalah yg k.yus buat di sebalik setiap penceritaan yg telah saya titipkan dalam novel BCB saya.. kak yus mengharapkan pembaca membaca sepenuhnya drp awal sehingga akhir dan baca dengan 'open minded' dan mata hari..jika tidak makna yg tersirat sekadar tersurat di sebalik ayat2 itu.. MEMANG k. Yus akui, k.yus tidak bagus dlm menggarap episod2 'kekesalan' atau 'taubat' seperti yg pembaca harapkan krn pemahaman k.yus terhadap 2 perkara itu sgt berbeza. Bg k.yus taubat bukan sekadar menangis, meratap, duduk di atas sejadah sepanjang masa.. tapi taubat itu adalah drp hati di samping amalan yg kita lakukan (antara org yg berdosa & Allah -- krn siapa kita utk tentukan dosa mereka).. apa yang k.yus cuba paparkan, setiap kesalahan ada pembalasan,

    Cik Pembaca boleh lihat di Bab 14 dan 15 (pg 135 & 146 dlm novel) sendiri, Emeer sesal dengan perbuatannya dan sentiasa mengajak Ayesha segera berkahwin. Tp situasi tidak semudah itu. Harus kita fikir akan situasi sekeliling juga.

    Kemudian Bab 17 -- kak yus berikan pembalasan Allah terhadap dosa mereka; terang -- apabila Ayesha didapati mengandung. Percayalah cik Pembaca, mengandung anak luar nikah bukan semudah yg kita sangka, hanya org yg melaluinya shj tahu azabnya.. itulah salah satu pembalasan Allah bagi, azab mental dan perasaan. Cuma kita tidak pernah ambil tahu..

    Bab yg sama, (pg 162): "Mama akan jaga anak mama baik-baik, didik anak mama supaya tidak mengulangi kesilapan mama dan papa" -- bukankah ini juga salah satu drp penyesalan yg terbit di hati Ayesha??

    Bab 18 (pg 171 --173): Ada monolog2 di situ yg mohon keampunan atas kebodohan dan keterlanjuran mereka, cuma k. yus tak garap sepenuhnya dan sepanjang2nya. Bagi kak yus, Allah itu Maha Mengetahui.

    Bab 20 (pg 184): Nah, ini satu lagi pembalasan hebat yg Allah beri, mengambil sesuatu yg sgt rapat dengan diri kita.. kehilangan darah daging sendiri sebelum ia dilahirkan. Percayalah dik, kalau adik pernah berkahwin dan pernah melalui keguguran, ia sgt2 mengganggu mental dan emosi. Cuma mungkin dlm BCB, kak yus tak nyatakan terang-terangan. Terhad!

    PENGAJARAN utama yg k.yus mahu semua masyarakat lihat drp BCB ini, bukan kak yus mempermainkan/ memperlawakkan perbuatan zina tu, kerana ia memang berlaku setiap hari, setiap saat.. tapi apa yg k.yus ingin masyarakat lihat, beri peluang kpd mereka kembali ke pangkal jalan. Jgn sisih mereka.. ini tak, ramai ibu bapa kat luar sana yang sisihkan anak2 mereka yg terlanjur krn aib/conteng arang ke muka mereka. Boleh ke semua tu jadi baik dgn berbuat begitu? Akan sucikah kembali anak2 itu dgn berbuat demikian.. sudahnya, kita dihidangkan dgn kes2 pembuangan bayi dan pembunuhan janin krn sikap inilah. Kita tak boleh menolak hakikat hari ini, tp kita boleh bantu menjadikannya lebih baik dgn penerimaan kita dan bantu mereka kembali ke pangkal jalan. Setiap yg salah, ada peluang utk berubah.. itu yg harus kita khabarkan.. bukan bermakna k.yus menghalalkan perubatan mereka.. atau menggalakkan..

    Cik Pembaca, terima kasih sekali lagi kerana sudi menegur kak yus. Kak yus tak pernah patah semangat utk terus menulis, kerana k.yus meluahkan rasa melalui tulisan2 ini.. meluahkan apa yg k.yus perhatikan seharian melalui penceritaan ini.. krn semuanya benar2 terjadi.. Untuk insaf n kembali ke pangkal jalan memerlukan waktu ..bukan hanya satu malam shj boleh terus berubah.. n sgt bertuah mrk yg memiliki peluang itu..

    Terima kasih daun keladi..

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com