Thursday 26 January 2012

Bab 15 .. Biar Cinta Bertaburan




                Tepat jam 12 tengah hari, aku telah berdiri di hadapan pintu lobby.  Kelihatan kereta Datin Salina memasuki entrance bangunan.  Aku hanya mempamerkan senyum.  Pintu belakang kubuka apabila terlihat Datin Salina melambai dari dalamnya. 

          Belum sempat aku aku menutup pintu, terpacul wajah En. Emeer di situ.

          “Oppss.. sorry auntie, Meer lambat sikit. Ayesha ni nak turun bukan nak panggil Meer,” kalut En. Emeer memboloskan diri ke dalam kereta. 

          Aku tercengang-cengang di situ.  Manakan tidak, tak pula aku tahu yang dia akan menyertai kami hari ini.

          “Hmm.. tak apa la Meer,” balas Datin Salina lembut.  Aku perhatikan, setiap kali Datin Salina bercakap dengan En. Emeer, suaranya sentiasa lembut bagaikan seorang ibu.  Malah perhatian yang diberikan kepada Emeer bukan sedikit. 

          “En. Emeer pun ikut sekali ke Datin, Ayesha tak tahu pula,”  aku yang terkejut dengan kehadiran En. Emeer memberanikan diri bertanya.  En. Emeer hanya menjeling ke arah ku sambil tersenyum.

          “A’ah Ayesha, malam tadi dia yang offer nak ikut,” balas Datin Salina.  Mengada-ngada betullah mamat ni.  Asyik nak mengekor je kerjanya.

          Suasana di The Gardens, MidValley Mega Mall agak lengang.  Maklumlah, waktu bekerja memang tidak ramai pelanggan apatah lagi butik-butik yang terletak di The Gardens itu semuanya butik-butik esklusif.  Dari satu butik ke satu butik, aku menemani Datin Salina dengan rasa besar hati.  Apa tidaknya, setiap kali Datin Salina ingin membeli sesuatu, pasti Datin Salina akan meminta pendapat aku dan En. Emeer.  Peliknya, tak pula aku lihat riak kebosanan di wajah En. Emeer.  Malah, laju sahaja langkahnya menuruti kami.

          Sedang asyik berhijrah dari satu butik ke butik yang lain, aku terpandang sesuatu yang sungguh menarik perhatianku.  Seutas rantai leher platinum yang ringkas tapi sungguh unik rekaannya.  Cantik, getus hatiku.

          Tiba-tiba tanganku ditarik menghala ke dalam.  Datin Salina yang telah tersedia duduk menghadap barisan barangan kemas di dalam hanya tersenyum melihat En. Emeer menarikku ke arahnya.  Wah, shopping di Diamond & Platinum.  Gaji sebulan pun tak tentu aku mampu nak beli ni.  Memerhatikan Datin Salina yang tidak jemu-jemu membelek barangan kemas, menjadikan aku rasa teruja.  Memanglah adat orang perempuan, kalau dengan barang kemas hidup sahaja.

          En. Emeer mengarahkan pekerja D&P itu mengambil rantai yang kulihat tadi.  Aku terpempan seketika.  Eii, dia perasan ke aku duk membelek rantai tu tadi.  Janganlah dia buat pasal pulak kat sini.  Rantai yang menarik minatku terentang indah di hadapanku.  Pantas rantai itu diambil dan dihalakan kepadaku.  Terpaku.  Tudungku diselak sedikit lalu rantai itu dikalungkan ke leherku.  Aku yang masih terpaku tidak mampu mengucapkan apa-apa.

          Jari-jemariku diraih lalu dibawa ke bibirnya.  Hangat terasa kucupan bibirnya.  Tanpa memperdulikan mata-mata nakal yang tersenyum melihat kami.  Malah Datin Salina juga sudah mula tersenyum melihat tingkah En. Emeer.  Aku sudah mula termalu di situ.

          “For my sayang,” bisiknya lembut.  Aduh, goyang jantung aku kala itu. 
          “Tak perlu semua ni, awak,” balasku.  Cinta aku padanya bukan kerana darjat atau hartanya.  Cinta aku hanya kerana dia.  Hanya kerana dirinya. 
         

          Nasib baiklah En. Emeer menjadi peneman kami hari ini.  Kalau tidak jenuh juga nak mengangkut barang-barang yang telah dibeli oleh Datin Salina.  Aku kagum dengan citarasanya.  Walau pun mempunyai title dan harta yang banyak, namun Datin Salina tidak terlalu memilih.  Branded atau tidak, jika berkenan terus dibelinya.  Malah, cara Datin Salina berinteraksi dengan jurujual juga sangat mengagumkan.  Penuh diplomasi dan mesra.  Boleh jadi idola aku ni.
*************

          Sudah sebulan berlalu peristiwa aku melarikan diri ke Port Dickson.  Dan dalam tempoh itu juga, sudah sering En. Emeer mengusulkan hal perkahwinan.  Aku jadi kusut.  Setiap kali perkataan kahwin muncul di mulutnya, aku jadi bisu.  Kalau diturut kata hati, hendak saja aku menerimanya.  Tapi, akalku masih laju mendahului hati.  Bagaimana dengan tunangannya?  Sanggupkah aku menghancurkan hati dia.  Setiap kali aku bangkitkan hal tunangannya, setiap kali itu juga wajahnya menjadi kelat.  Dia akan mematikan setiap persoalanku dengan hal lain.

          Bingung aku memikirkan masa depan kami.  Kekadang terfikir untuk lari terus daripadanya.  Tapi apabila memikirkan apa yang telah terjadi antara kami, aku kalut. 

          “Kak Ayesha, ada orang nak jumpa akak di lobby ni,” suara Melinda, penyambut tetamu kami terdengar di interkom.

          “Oh, suruh dia tunggu sekejap ye dear,” balasku.  Siapa pula yang rajin sangat nak jumpa dengan aku ni.  Takkan lah Hafifah pula.  Kalau Hafifah tak payah la nak berintekom bagai, terus sahaja naik ke atas ni. 

          Menjengok sebentar ke bilik En. Emeer yang kosong, aku terus menghala langkah ke lobby yang terletak di tingkat satu.  Di dalam hati berkira-kira siapakah tetamu yang bertandang. 

          “Hai Melinda, siapa yang nak jumpa akak,” tegurku ke arah Melinda yang sentiasa tersenyum.  Motto syarikat, senyum dan mesra bersama pelanggan.

          “Tu kak, hensem juga orangnya ye,” tunjuk Melinda ke arah tetamu itu.  Aku mengarah pandang ke arah kelibat jejaka yang berdiri menghadap cermin tingkap itu.  Darahku menyirap. 

          Jejaka itu berpaling lalu tersenyum memandangku.  Hendak melarikan diri pun sudah tidak berguna.

          “Hai, Sha..” sapanya.  Aku hanya mampu menghulurkan senyuman.

          “Hai, maaf lama tunggu ye,” balasku berbahasa. 

          “Nak inform Sha, Ash tak ada nombor telefon.  So, dah terlanjur datang seminar kat sini, Ash terus sajalah singgah,” terangnya.  Aku hanya mengangguk. 

          “Dah waktu lunch ni, boleh temankan Ash makan?” soalnya.  Tidak sampai hati pula aku untuk menolak.  Mungkin dulu aku tidak dapat menerima hatinya tapi tidak salah rasanya jika aku melayannya sebagai seorang sahabat.  Kami beriringan menuju ke restoran yang terletak di hadapan bangunan syarikat. 

          Banyak mata-mata yang sedang memerhatikanku saat ini.  Kami memilih untuk duduk di luar restoran.  Lagi pun si Rashdan ni perokok, biarlah dia rasa bebas sedikit untuk merokok.  Aku pun tak kisah, jantung dia, hati dia, paru-paru dia, tak ada kena-mengena dengan aku.  Kalau En. Emeer tu, memang aku bising juga.

          “Sha, kenapa susah sangat Sha nak terima Ash?  Ash minta maaf kalau Sha masih marah pasal hal dulu tu, Ash memang dah hilang akal,” ujarnya.

          “Dah la Ash, Sha dah maafkan Ash.  Tapi untuk terima Ash seperti yang Ash mahu, Sha tak boleh,” balasku perlahan.  Tidak mahu memancing deria dengar pelanggan yang berdekatan. 

          “Sha, Ash mintak maaf.  Dah banyak kali Ash mintak maaf, dah banyak kali Ash cuba memperbaiki kesilapan Ash, tapi Sha tak pernah bagi peluang,”

          “Sha dah lupakan semua yang terjadi.  Walau pun hati Sha sakit tapi Sha dah maafkan.  Cukuplah.. kita tak mungkin akan bersama Ash,”  rayuku.  Namun wajah Ash sudah cukup menakutkanku.  Tadinya, riak wajah yang tenang tidak dijangka boleh menjadi begitu tegang. 

          Benar, aku telah lama memaafkan perbuatannya.  Namun untuk melupakan setiap fitnah yang dilemparkan, tidak sama sekali.  Aku, Rashdan dan Hafifah merupakan sahabat baik semenjak di sekolah rendah lagi.  Ke mana sahaja pasti ada muka kami.  Rupanya, hubungan persahabatan yang terjalin telah berubah di hatinya.  Rashdan mula menyimpan hati terhadapku dalam diam.  Sehinggalah kami belajar di IPT, dia telah menyuarakannya kepadaku.

          Aku bukan tidak suka Rashdan tapi sukaku hanyalah sebagai sahabat.  Mana mungkin seorang sahabat yang pernah berguling bersama, bergumpal bersama, terjun longkang bersama menjadi insan istimewa di sudut hatiku.  Aku tidak boleh memberikan taraf kekasih untuknya.  Bermula dengan penolakan itu, sedikit demi sedikit merubah Rashdan kepada seorang yang tidak lagi aku kenal.

          Fitnah yang aku pernah ditidurinya menjadi igauan ngeriku.  Malah mak dan abah juga turut terasa tempiasnya apabila Mak Cik Siti datang ke rumah ingin melamarku disebabkan cerita itu.  Bermula kisah itulah menjadikan aku teramat benci kepadanya.  Bermula kisah itulah menjadikan aku menjauh daripada keluarganya.  Kalau dulu hampir setiap hari aku akan bertandang ke rumah Mak Cik Siti menghantar juadah yang dikirim emak, selepas peristiwa itu, tidak pernah sekali pun aku menjejakkan kaki ke sana.  Mujurlah abah dan mak bukan orang yang mudah mendengar hasutan orang.  Aku amat bersyukur untuk itu.

          Tiba-tiba terasa tanganku digenggam.  Aku cuba melepaskan namun semakin kejap.

          “Ash, don’t do this.  Let me go,” keras suaraku. 

          “Bagilah Ash peluang sekali lagi Sha.  Please,” rayunya semakin menjadi-jadi.  Kami sudah menjadi perhatian mata-mata di sekeliling kami.  Wajahku sudah bertukar merah.  Malu dan geram.  Menyesal pula menurutinya ke sini.  Kalau aku tahu begini sikapnya, tak ingin aku menemaninya.  Aku segera bangun dan cuba untuk melangkah pergi meninggalkannya namun pantas bahuku dicengkam.  Perit dan sakit.  Malu juga menjadi perhatian.

          “Apa ni Ash, lepaslah.  Sha tak suka lah,” jeritku namun masih mengawal suara.  Rashdan semakin kasar.  Tidak membenarkan aku melepaskan diri.  Dah gila agaknya si Rashdan ni.

          Tiba-tiba, sebiji penumbuk tepat mengenai muka Rashdan.  Rashdan jatuh terduduk di atas lantai. 

          “Kurang ajar,” tempik suara itu. 

Terus tanganku ditarik kasar melintasi jalan dan memasuki bangunan syarikat.  Aku hanya menurut langkah itu.  Pintu bilik dikuak kasar.  Badanku ditolak ke dinding.  En. Emeer merapatkan badannya ke arahku.  Tanganku digenggam kejap.  Matanya merah menyala.  Perasaan takut yang tidak pernah aku rasakan mula bertamu.  Bibirnya kasar menindih bibirku.  Aku cuba melepaskan diri, namun kederatnya yang lebih kuat tidak mampu kulawan.  Akhirnya aku biarkan sahaja bibirku menjadi mangsanya.  Kasar dan dalam.  Terasa sakit bibirku ketika dia melepaskannya. 

“You are mine Ayesha, mine!”bisiknya. 

“Who give you the right to do this,” balasku berani. 

“Do you want me to remind you what happened in PD, sayang,” sinis suaranya.  Aku menolaknya kuat lalu melepaskan diri.  Keluar daripada biliknya.  Keluar dengan hati yang sebal. 

Kepalaku terasa pening.  Pening yang amat sangat.  Pandanganku semakin kabur, segalanya kelihatan berpusing-pusing.  Pejabat yang terang benderang menjadi kelam.  Aku berpaut pada kerusi dan terasa seperti melayang-layang.  Badanku sudah terasa amat ringan.  Kakiku sudah terasa seperti tidak bermaya lagi.  Ya Allah, apa telah terjadi padaku!!!




~ cinta kau dan aku .. umpama kopi..
pekat dan pahit ..namun tanpanya
hidup bagaikan tiada erti ~

3 comments:

  1. menyampah btul dgn si rashdan..,org dah cakap x suka,..faham2lah..huh:(

    ReplyDelete
  2. gila talak kut rashdan tu..

    ReplyDelete
  3. hah.. elok sangat la Pn Alina n En. Azman nih, sehati sejiwa ye.. jgn la marah sgt kat si Rashdan tu.. desperate sgt agaknya.. hehe

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com