Thursday 19 January 2012

Bab 6... Biar Cinta Bertaburan




           Jumaat dah hari ini.  Cepat waktu berlalu.  Pejam celik, pejam celik dah lima hari berlalu.  Minggu ini merupakan minggu tersibuk aku.  Pagi-pagi tadi sibuk dengan Management Meeting dan melayan karenah bos-bos kecil di dalam bilik mesyuarat tu.  Mana sibuk nak mencatat minit mesyuarat lagi, sibuk nak tolong uruskan slide presentation jabatan, sibuk nak memastikan semuanya teratur dan paling utama sibuk nak melayan karenah En. Emeer aku tu yang semenjak dua menjak ni semakin mengada-ngada.  Ada-ada sahaja peelnya pagi-pagi ni.

          Selalunya, tak kisah pun aku nak duduk di mana dalam mesyuarat tu.  Sememangnyalah aku akan duduk di sebelah Pn. Suhaili, Manager Public Affair Department.  Boleh juga kami bersoseh-soseh semasa sela masa tu.  Pagi ni, sebelum masuk bilik mesyuarat, En. Emeer dah siap dahulu sound aku untuk duduk di sebelahnya.  Dengan nada serius lagi tu.  Ketika mesyuarat, selalunya Kak Betty yang akan sediakan minuman kepada semua ahli mesyuarat termasuk untuk aku dan En. Emeer, tapi pagi ni lain pula permintaannya.  En. Emeer tak mahu air yang Kak Betty sediakan.  Minta aku sediakan Nescafe O satu sudu gula dia tu juga.  Dah la aku kelam kelibut dengan fail-fail yang baru dihantar oleh Jabatan Tuntutan tadi.  Semua fail-fail urgent untuk perhatian bos aku tu.

          Selepas mesyuarat, Datuk Ilham, CEO syarikatku sempat pula tersenyum pada aku. 

          “Sayang betul bos awak pada awak ye Ayesha.  Ok, saya dah beritahu Admin mengenai pertukaran PA ke konvensyen tu.  Awak ada nak rekomen sapa-sapa untuk menggantikan awak?” aju Datuk Ilham sambil menghulurkan fail yang telah ditandatanganinya kepadaku.

          “Saya rasa Pn. Haryati, PA En. Azman dari Broking Department tu layak mendapat tawaran tu Datuk.  Pn. Haryati dah lebih 6 tahun bersama syarikat, lebih senior daripada saya.  Walaupun bukan di kalangan eksekutif, tapi jasa beliau dah banyak Datuk.  Saya percaya, beliau akan dapat lebih banyak ilmu di sana nanti,” balasku. 

          Memang aku selalu perhatikan Kak Haryati.  Tugasan yang diberikan selalunya dilakukan dengan baik.  Tip top.  Mungkin bukan rezekinya lagi untuk dinaikkan ke tahap eksekutif PA, tapi sekurang-kurangnya syarikat patut memberi perhargaan kepada beliau.  Dan aku, bukanlah seorang yang tamak.  Semahu-mahunya aku ingin junior-junior PA yang berada di bawah seliaanku bersedia untuk menggantikan aku nanti.

          Datuk Ilham mengangkat kening tanda kagum dengan hujahanku.  Lalu kelihatan Datul Ilham menepuk-nepuk bahu En. Emeer. 

          “Patutlah you sayang sangat kat PA you ni.  I can see why.. ,” kata-kata yang mematikan senyumanku seketika.  En. Emeer hanya tertawa halus.  Wajahku sudah kemerah-merahan apatah lagi ketika itu dua tiga orang pengurus jabatan turut berada di situ.  Cepat-cepat aku berlalu meninggalkan mereka.  Biasalah, gossip orang lelaki.

          Hampir jam lima petang, En. Emeer keluar menjengok ke arahku.  Terjojol kepalanya dari pintu yang terkuak sedikit.

          “Ayesha..awak nak balik pukul berapa ni?” soalnya sambil melihat jam Hello Kittyku yang tergantung.  Seketika, sebuah senyuman terseringai di bibirnya.  Benci!  Aku benci melihat senyuman mengejeknya setiap kali dia melihat jam dindingku itu.  Ada yang kena cubit mulut tu nanti!

          “Siap ni saya baliklah En. Emeer.  Lagi pun esok pagi baru saya bertolak,” jawabku.  En. Emeer hanya mengangguk-anggukkan kepala. 

          “Ok, awak balik awal sikit.  Malam nanti saya ambil awak pukul lapan ye,” arahnya.  Alahai, mamat ni.  Bila masa pula dia ada buat temujanji dengan aku ni.  Dah la tak beritahu awal, suka betul buat aku macam ni.

          “Hmmm.. rasanya ….”

          “Dah.. tak payah banyak dalih.  Malam ni temankan saya sekejap ye.. tak lama pun.  Ada makan malam di rumah Datuk Ilham, baru tadi Datuk interkom saya.  Go back now, nanti sangkut dalam jam pula,”.  Aku hanya mencebikkan bibir dengan arahan itu.  Suka hati dia sahajalah nak arah aku itu ini.

          Aku pun pelik dengan sikapku sendiri.  Sering sangat aku begini.  Tidak suka dengan sikap En. Emeer yang suka mengarah aku sesuka hati tapi tak pernah pula aku menolaknya.  Adakah ini tandanya hatiku telah benar-benar suka kepadanya hingga tidak sanggup untuk menolak permintaan darinya.  Entahlah..buntu!

*****************

          Aku berjalan mundar mandir di hadapan pagar.  Jam sudah melebihi angka lapan.  Iskh.. janji Melayu macam ni  lah. Kata pukul lapan, rungutku.

          Dari jauh kelihatan kereta En. Emeer menyusuri jalan berhenti di hadapanku.  Tanpa berlengah, terus aku menyelinap masuk ke dalam kereta.  Matanya menyoroti aku yang bersahaja, tanpa rasa bersalah kerana menyusahkan aku malam-malam macam ni.

          “Baju baru eh? Cantik” pujinya.  Hatiku kembang berbunga dengan pujian yang berbunyi ikhlas itu.  Rasa yang sebal menanti tadi terus mati.  Senyuman tersungging di bibir.  Bukanlah istimewa sangat kebaya labuh biru muda ni.  Tapi baju kebaya ni asalnya daripada kain yang diberi oleh En. Emeer ketika dia pulang daripada Indonesia.  Memang kainnya cantik, apatah lagi si Hafifah tu sangat pandai menjahit sulaman dan labuci.  Maka nampak liplap-liplap lah baju aku ni.  Aku padankan pula dengan tudung Fareeda yang sedondon. 

          Suasana di hadapan rumah banglo milik Datuk Ilham riuh dengan suara para tetamu.  Ramai juga yang hadir malam itu.  Aku ingatkan majlis kecil-kecilan sahaja.  Nasib baiklah aku berpakaian sesuai.  Malu juga kalau datang dengan pakaian yang ala kadar.  Kelihatan En. Azman dan isteri menggamit kami ketika kami sampai di hadapan pintu pagar.  Khemah yang didirikan di halaman rumah penuh dengan tetamu yang menjamu selera.

          “Hai..bos, Ayesha pun ada.. wah, macam belangkas,” usik En. Azman menambahkan lagi merah hangat di wajahku.  Sudahlah berada di kalangan orang-orang besar, diperli pula.  Geram sungguh aku pada En. Emeer ni, dah terang-terang En. Azman pun ada, kenapalah nak ajak juga aku ni. 

          Setelah berbual-bual seketika dengan En. Azman dan berkenal-kenalan dengan isterinya, kami menuju ke  arah Datuk Ilham yang telah pun menyedari kehadiran kami.  Beliau menggamit kami ke arahnya.

          “Uncle… sorry la lambat sikit Meer sampai,”

          Errkk…uncle??  Apa kes pulak ni.  Datuk Ilham tu kan CEO syarikat.  Selama ini tak pernah pula aku dengar mamat ni memanggil Datuk Ilham dengan panggilan uncle.  Suspicious!!

          “It’s ok Meer, Ayesha..come.. jumpa auntie kat dalam tu.  Tidurkan Nuha agaknya..” balas Datuk Ilham mengajak kami ke dalam rumah.  Nuha tu cucu Datuk Ilham.

          “Sorry ye..saya tak bagi tau awak.  Datuk tu bapa saudara saya… adik mama saya,” bisik En. Emeer ke telingaku.  Mulutku ternganga seketika.  Mataku mengerling ke arahnya dan disambut dengan tawa halus.  Kedengaran suara Datin Salina menegur En. Emeer. 

          Malam itu, barulah aku benar-benar kenal siapa Datuk Ilham sebenarnya.  Bukanlah seperti yang aku sangka selama ini.  Karektornya di pejabat dan di rumah sangat berbeza.  Ini menimbulkan lagi rasa hormatku kepadanya.  Layanan Datuk Ilham sekeluarga kepadaku juga sangat menyentuh hati.  Jika dilihat daripada pangkat dan darjat, siapalah aku untuk bercampur dengan mereka.  Datin Salina yang lembut itu juga tak ubah seperti seorang ibu.  Mesra berbual denganku walau pun inilah pertama kali kami bertemu. 

          Malam yang semakin lewat memaksa kami memohon diri untuk pulang.  Tidak lupa aku menjemput Datuk Ilham sekeluarga hadir ke kenduri doa selamat di rumah orang tuaku walau pun aku sedia maklum mana mungkin mereka dapat menunaikannya.  Terkejut dan tersentuh hatiku dengan ciuman di pipi yang diberikan oleh Datin Salina sejurus sebelum kami berangkat pulang.  Bahkan pipiku dielus lembut dan sempat juga Datin memesan agar aku datang lagi menziarahinya.

          “Hati-hati memandu esok, sampai kampung call saya,”  pesan En. Emeer sejurus kereta diberhentikan di hadapan rumahku.  Terpana aku dengan kata-katanya.  Begitu pentingkah aku padanya?  Aku hanya mengangguk.  Lidah kelu untuk berkata-kata.  Aku cuma mampu tersenyum.  Seketika mata kami bertembung.  Ada getar yang bertandang terlihatkan sinar matanya yang redup itu. Membuai-buai perasaanku.  Tidak! Aku harus kembali ke alam realiti.  Cepat-cepat aku memalingkan wajah.  Segera aku mencapai handbag dan ingin membuka kereta apabila tanganku dicapai.  Terhenti!

          “Boleh tak nak buat macam yang Datin buat tadi,” soalnya yang mengundang satu cubitan di tangannya. Spontan.  Aku pun tidak menyedari tindakan refleksku itu.  Mataku mencerlang ke arahnya.  Gatal!
         
          “Auch… sakitlah.  Eii.. dah pandai menyepitlah awak ni Ayesha,” rungutnya lalu tersembur ketawa dari bibir itu.  Aku semakin geram dengan sikapnya.  Dah mula la tu, ulat bulu naik daun.

          Wahai En. Emeer, janganlah layan aku begini.  Jangan kau hidangkan aku dengan harapan dan impian.  Jangan kau goda aku dengan kemesraanmu.  Aku takut aku hilang arah.  Aku takut aku tak mampu bertahan.  Aku bimbang aku tersasar bila aku kehilanganmu nanti.  Aku memang tidak bisa memilikimu.  Kau sudah pasti bukan milikku.  Aku tak ingin tersungkur dengan kemesraan ini. 

          Setelah mengucapkan selamat malam, kami berpisah di situ.  Malam ini, aku harus bersiap untuk pulang ke kampung halamanku.  Bermula malam ini, aku akan merindui suara, tawa, dan segalanya tentang mamat budget hensem tu.  Oh hati, jangan macam-macam….




Aku tidak ingin menangis...tidak ingin terluka....
bimbang sakitnya tak tertanggung dek jiwa....



_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

7 comments:

  1. panahan cinta Emmer terus ke hati Ayesha....huhuhu

    ReplyDelete
  2. ummu aiman (nurul)19 January 2012 at 07:12

    wah....nama suhaili ada jugak.....tringat ngan kak sue....

    ReplyDelete
  3. Jangan ada yang terluka sudahlah kan..

    ~Sis Nurul ~ kalau buleh semua nama nak masukkan..

    ReplyDelete
  4. bertambah hot je cite ni..suke2x..

    ReplyDelete
  5. Hehehehe menarik ok next chapter :)

    ReplyDelete
  6. Puan Hayati??? still okeh.. so proud of u sis..

    ReplyDelete
  7. encik emeer ni kalo da suke kt ayesha, xyah la kawen ngn liyana ke sape ntah 2nang dia 2... kesian ayesha...

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com