Friday 20 January 2012

Bab 8.. Biar Cinta Bertaburan




        Semuanya telah selamat.  Majlis doa selamat telah selesai dengan sempurna pada mata aku.  Ramai yang hadir tanpa kami duga.  Ternyata mak dan abah memang disenangi oleh masyarakat kampung kami.  Aku lihat En. Emeer pun tidak kekok bergaul dengan orang-orang kampung.  Bersembang dan ketawa bersama mereka.  Seolah-olah telah menjadi salah seorang daripada kariah mereka.  Sesekali aku mencuri-curi pandang juga ke arahnya.  Bimbang kalau-kalau dia tak dapat menyesuaikan diri.  Ternyata jangkaanku meleset sama sekali.  Banyak perkara yang tak aku duga tentang mamat ni.

          Lewat petang, Hafifah dan Hakimi mohon diri untuk pulang.  Hakimi akan bertugas di luar kawasan esok hari.  Memandangkan mereka datang bersama En. Emeer, maka pulang pun mestilah bersama.  Namun, lain pula cerita yang terjadi.  Perancangan awalku telah melencong sama sekali.  En. Emeer menawarkan diri untuk menghantar mak dan abah ke Lapangan Terbang Kuantan keesokannya lalu menyarankan agar Hafifah dan Hakimi pulang dengan memandu Myviku.  Memandangkan dia memandu Toyota Alphard ke rumahku, maka diusulkan kepada abah untuk memberi peluang adik-adik pun turut serta menghantar abah dan mak.  Katanya, kasihan adik-adikku.  Pada asalnya, hanya aku dan Adib yang akan menghantar abah dan mak esok. 

          Abah dengan mudah menerima pelawaan En. Emeer itu.  Wah, lain sungguh penerimaan abah terhadap En. Emeer ini.  Selalunya abah aku ni bukan mudah sangat nak menerima orang luar, apatah lagi kalau lelaki yang tidak dikenalinya.  Rakan-rakan lelakiku semasa bersekolah dulu pun tak ramai yang mendapat approvalnya.  Rashdan, anak sahabat baik abah pun tak pernah dilayan begini.  Aduhai, abah..

          Setelah menghantar Hafifah dan Hakimi di hadapan rumah, bersama pesanan agar menjaga nyawaku itu elok-elok, En. Emeer menggamitku ke arah Alphardnya  itu.  Bila masa pula mamat ni beli Alphard, soal hatiku. 

          “Ni kereta Datuk Ilham.  Saya ke rumah Uncle semalam dan Uncle lah yang suruh saya bawa Alphard ni.  Ni Auntie beri pada awak.  Yang ni untuk abah dan mak,” ujarnya seakan mengerti apa yang bermain di hatiku.  Aku menerima unjukkan beberapa buah beg kertas pemberian Datin Salina daripada tangannya.  Beriringan, kami menuju ke rumah.  Dalam hati sudah ada bunga-bunga weiii…

          Nampaknya malam ini, En. Emeer akan bermalam di rumahku.  Selesakah dia nanti, maklumlah rumah kami hanya rumah kampung.  Aku mengalihkan barang-barangku ke bilik Mak Su.  Menumpang bilik Mak Su lah aku malam ini.  Bilik aku akan digunakan oleh En. Emeer.  Segera aku mengemas bilikku, menyalin cadar dan sarung bantal, mengambil selimut dan tuala baru untuk keperluan En. Emeer. 

          Ketika aku keluar daripada bilik sebentar tadi, kelihatan mak, abah, Mak Su dan adik-adik bukan main seronok lagi berbual-bual dengan En. Emeer.  Entah apa cerita yang diceritakan tapi yang pasti namaku juga yang disebut-sebut.  En. Emeer telah melarang abah dan mak memanggilnya Encik.  Hanya Emeer katanya.  Malah adik-adikku pula disuruh memanggilnya abang.  Ya Allah, takutnya aku.  Aku takut adik-adikku akan kecewa dengan pengharapan yang diberikan kepada mereka.  Aku tahu, adik-adikku gembira dengan kehadiran En. Emeer kerana kemesraan yang mudah terjalin.  Aku tidak mahu mereka meletakkan harapan pada hubungan kami.  Takut aku tak mampu bangkit apabila melihat kesakitan itu nanti.

          Mak dan abah bukan main gembira apabila aku menghulurkan pemberian Datin Salina tadi.  Kecoh mulut mak memuji-muji jubah abaya itu.  Malah, Datuk Ilham dan Datin Salina juga menyelitkan RM500 seorang untuk mak dan abah.  Banyaknya, bisikku.  Aku harus membalas jasa mereka.  En. Emeer hanya tersenyum membalas pandanganku.  Mungkin mengerti dengan rasa besar hatiku terhadap kiriman Datuk dan Datin itu.

          Mengerti akan perjalanan yang bakal abah dan mak tempuhi esok, kami masuk ke bilik agak awal malam itu.  Mungkin keletihan pada waktu siang juga menyumbang rasa mengantuk.  Seawal jam 11 malam, suasana rumah telah sunyi.  Hanya kerlipan malap lampu di ruang tamu yang setia menemani hening malam.  Jam 12.30 malam, seperti kebiasaan jika aku berada di rumah, aku akan bangun untuk menjengok adik-adikku di bilik mereka.  Memang sudah menjadi tabiatku begitu.  Mungkin sebab aku kakak yang sulung, sudah terbiasa dengan rasa tanggungjawab sebegini. 

Tanpa mengingati ada orang asing yang bertandang ke rumah, aku keluar dari bilik dengan hanya memakai sleeveless nite-T  paras lutut menuju ke bilik Alia dan Auni.  Puas hati dengan keadaan mereka, pintu bilik kututup rapat.  Bagaikan separuh nyawaku hilang apabila terlihat kelibat orang berdiri di hadapan pintu bilikku.  Ya Allah, En. Emeer rupanya.  Barulah aku teringat yang dia juga bermalam di sini.  Renungan matanya tajam diikuti dengan senyuman nakal yang tersungging di bibirnya.  Seketika aku keliru.  Tanpa lepas, dia merenungku lagi.  Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal, pelik.  Garu kepala?? Hah!! Aduh malunya.  Baru aku sedar, aku berdiri di hadapan mamat ni dengan tidak memakai tudung bahkan dengan nite-T yang pendek ni.  Omang aiiii… patutlah tersenyum sahaja mamat ni. 

“En. Emeer tak boleh tidur ke?  Panas ye?” soalku menutup rasa malu yang mula menjelmakan dirinya di wajahku.  Kalau siang mesti dah nampak warna merah-merah beronak di mukaku ini. 

“Hmm.. dahagalah,” balasnya masih lagi dengan senyuman nakal tu.  Geramnya aku.  Tapi disebabkan nak cover line yang dah termalu sangat ni, aku berlagak selamba lagi.  Sambil mengangkat tangan menyuruhnya menunggu, aku pun bergegas berlalu ke arah bilik Mak Su. 

Kelihatan En. Emeer sudah berada di hadapan pintu bilik Mak Su menantiku yang telah siap menyalin pakaian.  Berkain batik, baju-T dan tudung.  Malam-malam ni tak kanlah nak berlawa-lawa lagi.  Kami beriringan ke dapur.  Mamat ni mesti nak Nescafe O satu sudu gulanya tu.  Aku rasa, kalau sehari tak dapat mesti penasaran mamat ni.  Tidak banyak yang kami bualkan sementara menanti En. Emeer menghabiskan minuman.  Kami lebih banyak membisu dan sesekali menjeling sesama sendiri.  Lain benar rasanya perasaan ini.  Seakan-akan terlalu dekat aku dengannya.

**********

          Awal subuh Mak Su telah menggerakku bangun untuk membantunya di dapur.  Setelah menunaikan solat, kami menyiapkan sarapan pagi.  Mak Su beria-ia benar hendak memasak nasi dagang.  Katanya, ini lah pertama kali bos aku tu bertandang ke rumah, apa salahnya menjamu tetamu dengan hidangan istimewa rumah ini.  Lagi pun malam tadi rupanya Mak Su telah merebus ikan tongkol awal-awal lagi.  Penyudahnya, aku yang menjadi tukang masak pagi itu sedangkan Mak Su hanya membantu sahaja.  Kalau tak sedap, maafkan ajelah.  Aroma nasi dagang yang sedang masak dipengukus menaikkan selera pagiku.  Kalau begini hari-hari mau satu almari pakaianku harus diganti. 

          Mak dan abah yang telah siap menunaikan solat terus ke dapur apabila mendengar riuh aku dan Mak Su berborak.  Turut bersama En. Emeer yang agaknya terganggu dengan keriuhan kami dua beranak.  Suaraku kalau di rumah sendiri memang sukar dikawal.  Naknya kalau dapat ketawa terkekek-kekek.  Semua ni gara-gara cerita lawak Mak Su lah.  Habis satu rumah terbangun. 

          “Iskh.. kamu ni Ayesha, control la sikit kalau ketawa.  Kesian Emeer ni tak boleh tidur.. riuh rendah,” marah ibu sambil mencubit lenganku.

          “Auww.. sakit la mak…” rengekku manja.  Sengaja ingin bermanja dengan mak sebelum mak pergi.  Abah yang melihat perangaiku hanya tersengih lalu mengetuk manja kepalaku.  Begitulah abah, sentiasa akan memanjakan aku. 

          “Hmmm .. Emeer, Ayesha ni memang macam ni.  Paling manja dalam adik-beradiknya.  Kalau dengan abah dia, lagi lah.. sampai tualah macam tu,” Mak Su bersuara.  Malunya aku Mak Su ni.  Ada ke patut diceritakan kepada mamat ni.  Alahai, teruklah aku kena buli nanti.  Aku arif sangat dengan riak muka En. Emeer tu.  Senyumannya mengejek akulah tu.

          Mak Su menghidangkan nasi dagang yang baru siap dikukus bersama gulai ikan tongkol.  Sedap makan nasi dagang panas-panas ni.  Nescafe O satu sudu gula juga tidak aku lupa sediakan.  Tersenyum manis mamat tu mendapat minumannya.  Bangga juga hatiku bila masakanku dipuji abah dan mak.  En. Emeer pun seakan bersetuju dengan pujian itu.  Jika boleh dirakam waktu itu, aku ingin sekali melakukannya.  Kegembiraan keluargaku menikmati sarapan bersama, perkara yang jarang aku temui.  En. Emeer pun kulihat lebih banyak tertawa di sini.  Adakah ini tandanya ada keserasian antara kami?  Aku tidak mahu berharap.  Aku takut!

          Perjalanan ke Lapangan Terbang Kuantan hanya mengambil masa tiga puluh minit.  Aku hanya menjadi pemerhati, melihat abah dan En. Emeer yang rancak berbual di hadapan.  Sesekali aku perasan kerlingan mata En. Emeer mencuri pandang ke arahku melalui cermin depan. 

          Urusan pendaftaran masuk mak dan abah selesai diuruskan.  Kelihatan adik-adik sibuk menyalami mak dan abah.  Air mata sudah tidak dapat dibendung lagi.  Aku yang melihat tangisan adik-adik pun sudah mula terasa sayu.  Aku mencium tangan mak lalu mak memelukku erat.  Berpesan padaku untuk sentiasa menjaga adik-adik.  Hatiku lebih sayu apabila mencium tangan abah.  Aku dipeluknya erat sekali.  Kepalaku abah kucup lama.  Kepalaku abah usap seperti aku masih lagi anak kecilnya.  Kali ini, aku gagal mengawal rasa.  Biarlah air mata ini mengalir deras.

          “Sofi jaga adik-adik ye sayang.  Selalu-selalu telefon Mak Su..” ujar abah . “Emeer, pakcik minta tolong tengok-tengokkan Sofi ni ye.  Kalau ada dia buat silap, tegurkan..” semakin sebak dadaku mendengar pesanan abah kepada En. Emeer.  Tangan abah disalaminya.

          Setelah beberapa kali panggilan masuk dilakukan, mak dan abah berlalu pergi meninggalkan kami.  Aku masih lagi terduduk di atas kerusi dengan tangisan yang masih berbaki.  Terasa jariku dipaut.  Segera aku berpaling dan wajah En. Emeer begitu hampir denganku.  Seakan mengerti dengan perasaanku.  Aku tahu dia ingin menenangkanku.  Kali ini aku membiarkan saja jari-jemariku didalam genggamannya.  Aku rasa tenang.

          Kami tidak terus pulang ke rumah.  En. Emeer terlebih rajin ingin membawa adik-adikku berjalan di sekitar Bandar Kuantan.  Kami singgah di Kuantan Mega Mall.  Seronok sungguh adik-adikku dapat lepas bebas begini.  Jika keluar sesekali dengan abah, mesti ada sahaja komen mereka.  En. Emeer pula sibuk melayan karenah adik-adikku.  Puas aku membantah setiap kali melihat dia membelikan sesuatu untuk mereka.  Wah, bukan main lagi lah adik-adikku.  Mengambil kesempatan lah nampaknya. 

Kelihatan Adib tersenyum riang ke arahku.  Satu ciuman melekat di pipiku, lalu Adib menunjukkan kotak telefon bimbit yang berada di tangannya.  Seperti tidak percaya, En. Emeer membelikan telefon untuknya. Samsung Ace yang digemari sekarang.  Amboi, mahal pula tu.  Alia dan Auni menayangkan jam tangan Swatch baru mereka.  Mereka ni walau pun bukan kembar, tetapi tetap inginkan barang yang sama.  Seketika, mataku disambar cahaya flash kamera digital di tangan Alia.  Wah, Alia pun dapat kamera juga.  Masing-masing memelukku seolah-olah aku yang berbelanja. 

Aku menjeling ke arah En. Emeer yang bersahaja berjalan ke arahku.    Sedang adik-adikku menayangkan barang masing-masing, aku menarik tangan En. Emeer ke satu sudut.

“Awak.. saya tak suka la awak layan adik-adik saya macam ni.  Nanti adik-adik saya ni terbiasa tau..” Opss.. aku tak pernah membahasakan dia dengan panggilan awak sebelum ini.  Niat asalku yang ingin memarahinya telah menjadi lain pula.  Dia hanya tersenyum menambahkan lagi kelat di mukaku.

“Tak apalah awak.. saja bagi mereka gembira,” balasnya mengajuk kata-kataku.  Eii.. geramnya. 

“Say cheese…” tiba-tiba suara Aina mencelah.  Kami berpaling lantas terasa tangan En. Emeer memeluk bahuku erat.  Saat itu dirakam oleh kamera Aina.  Sempat En. Emeer mengenyit mata sambil mengangkat ibu jarinya kepada Aina disambut dengan tawa mereka.  Dia hanya tersenyum melihat mukaku yang semakin mencuka.  Sekarang ni adik-adikku telah berpaling tadah, menyebelahi En. Emeer membuli aku.

Penat menjelajah Kuantan Mega Mall, kami beralih ke Pantai Teluk Cempedak.  Aku hanya duduk di benteng batu pantai memerhatikan adik-adikku yang seronok berlari-larian di gigi air.  Aina pula sibuk merakam saat-saat itu dengan kamera barunya.  Memang adikku ini gemar fotografi.  InsyaAllah, jika ada rezeki akan aku masukkan dia ke kelas fotografi agar bakatnya dapat diasah lebih lagi.

“Thank you..” perlahan aku ucapkannya, ikhlas dari hatiku kepada En. Emeer yang duduk di sebelahku.  Berbesar hati dengan kebaikannya terhadap keluargaku.  Dengan layanan first classnya terhadap adik-adikku.  Kesudiannya menjadi teman waktu aku dirundung sedih begini.  Kehadirannya bagaikan memberi satu kekuatan untukku. 

          Sebelum pulang, sempat kami bertandang sebentar ke Pejabat Cawangan Kuantan.  Sikap En. Emeer yang satu ini memang benar-benar aku puji.  Walau di mana pun dia berada, dia tidak pernah lupa pada tugasnya.  Walau pun dalam bercuti, masih En. Emeer ingin singgah berjumpa staf di pejabat cawangan kami.

          Adik-adikku hanya menunggu di restoran bersebelahan pejabat cawangan ketika aku dan En. Emeer ke sana.  Kehadiran kami merupakan satu kejutan kepada semua staf di situ.  Mungkin bangga kerana jarang dapat bertemu Pengurus Besar yang sudi datang tanpa undangan.  Kelihatan Encik Badri bergegas keluar dari biliknya menyambut kedatangan kami.  Wajahnya jelas terpancar rasa hairan melihat kami berdua di sana.  Namun senyuman tetap terpamer di bibir itu.

          Sementara En. Emeer berbual-bual dengan En. Badri di biliknya, aku sempat bertegur sapa dengan Kak Shimah.  Dahulunya, Kak Shimah ini kerani di bahagian Public Affair.  Oleh kerana keruntuhan rumahtangga yang dibinanya, dia mengalami masalah dari segi penjagaan anak-anak dan perbelanjaan.  Dia sering mengadu kepadaku kerana aku agak rapat juga dengannya selain daripada Kak Munirah.  Aku menceritakan masalahnya kepada En. Emeer dan penyelesaiannya, dia dipindahkan ke cawangan ini.  Lebih mudah untuknya berulang-alik kerana tinggal bersama keluarganya.  Malah anak-anak kak Shimah juga dijaga oleh ibubapanya sementara dia bekerja.  Kak Shimah semakin gembira kulihat.  Tak putus-putus dia mengucapkan terima kasih kepadaku.  Ah, apalah sangat dengan sedikit bantuan itu.  Persahabatan itu tak ternilai untukku.

          Lewat petang kami pulang ke rumah disambut dengan senyuman oleh Mak Su.  Seronok benar adik-adik bercerita sambil menayang barang-barang yang dibelikan untuk mereka.  Selapas Isyak, aku bermohon diri untuk pulang ke Kuala Lumpur bersama En. Emeer  mengenangkan esok En. Emeer mempunyai temujanji.

          Aku amat-amat berterima kasih untuk kegembiraan keluargaku hari ini.  Walau pun kami mungkin tak ditakdirkan bersama, sekurang-kurangnya saat-saat indah ini mampu kukenang selamanya.

          Jika benar rasa ini cinta.. biarkanlah ia hidup di situ selamanya ..



Kau dan aku .. mungkinkah bersatu...

3 comments:

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com