Tuesday, 7 February 2012

Bab 23 .. Biar Cinta Bertaburan




        Kelihatan abah, mak dan Mak Su berdiri di beranda rumah menyambut kehadiran aku bersama keluarga En. Emeer, hmm.. dah boleh panggil Emeer je kot.  Cepat-cepat aku menyalami abah, mak dan Mak Su setelah turun daripada kereta En. Emeer.  Dua buah kereta yang mengiringi kami juga telah memakir di halaman rumahku.  Abah dan mak kupeluk erat.  Mak Su juga tak lepas daripada pelukanku.  Rindu benar aku kepada mereka, walau pun hakikatnya bukanlah lama sangat aku tak balik.  Mak Su dah mula bermain mata denganku, lalu senyuman manis aku hadiahkan untuk Mak Su.

            En. Emeer juga menyalami abah, mak dan Mak Su.  Adik-adik yang berada di dalam rumah segera turun menyalami abang Emeer mereka.  Alahai, abanglah sangat.  Aku yang tercegat ni tak pun disalami.  Cepat betul berubah kasih adik-adik aku ni.  Aku berdehem-dehem kecil, barulah beratur sahaja adik-adikku mendapatkanku.

            “Amboi, dah buang kakak ye,” selorohku pura-pura merajuk.  Hanya deraian ketawa menyambut kata-kataku, malah keluarga En. Emeer pun turut tertawa melihat gelagat kami adik-beradik.

            Abah dengan ramah mempersilakan tetamu yang bertandang naik ke rumah.  Aku dapat melihat riak seronok di wajah mereka.  Mungkin kedamaian dan ketenangan di kampung halamanku ini mendamaikan hati mereka.  Jauh dari hiruk pikuk bandar yang tak pernah berkurang.  Malah, deru arus Sungai Pahang yang hanya beberapa meter daripada rumahku juga sungguh mendamaikan.  Riuh rendah bunyi kanak-kanak sedang seronok bermain tanpa perlu rasa gusar. 

            Mak Su menggamitku ke dapur.  Tak henti-henti mulut Mak Su berceloteh sambil tangannya laju sahaja menyiapkan hidangan untuk dijamu kepada keluarga En. Emeer.  Lyana yang sedari tadi asyik terintai-intai ke arah dapur sudah mula menuju kea rah kami.

            “Hish, Lyana ni, duduk je lah kat depan tu,” tegurku apabila kelibat Lyana sudah terpacak di ruang dapur.  Terseringai barisan gigi yang putih dan comel di wajah jelita itu.

            “Alah, bosanlah Ayesha.  Nak duk kat sinilah, sambil-sambil tu boleh juga jamu mata tengok semua makanan ni.  Hmmm… sedap sungguh bau nasi dagang ni,” luah Lyana sempat pula memuji. 

            Perlahan-lahan aku dan Mak Su mengangkat dulang-dulang yang berisi hidangan ke meja makan.  Mujurlah meja makan kami ini agak besar kerana abah dan mak memang selalu menerima tetamu.  Aku sempat mengerling ke arah En. Emeer yang sudah pun tersenyum-senyum memandang ke arahku.  Bukan aku tidak nampak, sedari tadi matanya tu asyik terintai-intai ke arah dapur.  Padan muka, tak dapatlah nak menyakat aku hari ni. 

            Abah dan mak sudah pun menjemput tetamu ke ruang tamu.  Mama, Papa, Datin Insyirah dan Datuk Yaakub tersenyum memandangku.  Segan juga bila berada di rumah sendiri.  Mesti nak buat penilaianlah tu.   Pak Mat dan Pak Rahim pun dijemput untuk bersama menikmati hidangan bersama.  Inilah yang membuatkan aku sangat tertarik dengan keluarga En. Emeer, walau pun mereka tergolong dalam golongan ternama, namun tidak pernah ada sikap memandang darjat antara mereka.  Pembantu rumah, tukang kebun dan pemandu tetap dilayan sama rata.  Makan pun mesti diajak bersama.

            Mama yang sibuk ingin ke dapur mengikutiku terkejut apabila melihat Lyana yang telah pun mengadap nasi dagang di meja dapur.  Mulut yang penuh itu hanya tersenyum apabila ditepuk oleh mama. 

            “Hish, anak dara ni.  Dia pulak yang tak menyempat-nyempat..” tegur mama lalu pecah berderai ketawa kami apabila Lyana membuat muka simpati.

            “Tak boleh tahan la auntie.. bau nasi dagang ni ummhhh..” ujarnya sambil ibu jari sudah dinaikkan.  Adib dan Aina yang juga berada di situ sudah terkekeh-kekeh ketawa.  Seronok agaknya dapat seorang lagi ahli yang sekepala. 

            “Lepas makan nanti, jangan lupa join auntie kat depan ye.  Kita nak bincang pasal Emeer dan Ayesha ni pulak,” balas mama sambil matanya merenung lembut ke arahku.  Aku hanya tersipu-sipu malu.

            Dari dapur sudah terdengar riuh suara mereka di ruang makan.  Entah apalah yang dibualkan.  Mak Su juga sekali sekala terintai-intai ingin mendengar apa yang seronok sangat dibualkan. 

            Selesai makan,  semua telah beredar ke ruang tamu.  Sudah tiba masa untuk mereka membincangkan hajat sebenar kedatangan mereka.  Aku, Mak Su dan Lyana yang volunteer untuk membantu, sibuk mengemas meja makan dan dapur.  Mak Su mengarahkan aku mengeluarkan puding yang telah disimpan di dalam peti sejuk.  Wah, nampaknya Mak Su dan mak memang beria-ia benar ingin menyambut tetamu hari ini.  Kopi yang telah dibancuh aku letakkan di atas dulang bersama puding.  Tak lupa Nescafe satu sudu gula untuk kekasih kesayanganku itu.  Segera aku berlalu ke ruang tamu bersama dulang di tanganku.  Mak Su dan Lyana juga turut mengekori.

            Kehadiranku disambut dengan senyuman oleh mama.  Sebentar tadi seakan terdengar-dengar namaku disebut-sebut.  Aku rasakan ketika itu semua mata sedang memerhatikan gerak-geriku.  Agak terketar-ketar tanganku menuang air ke cawan.  Hamboi.. macamlah tak pernah tuang air.  Janganlah kau tumpah air oiii, buat malu aje nanti..

            Sebaik sahaja aku meminta diri untuk ke dapur, abah menyuruhku turut serta di dalam perbincangan itu.  Apalah abah ni, mana ada anak gadis yang terlibat sama semasa sesi perbincangan mengenai mereka.  Nak-nak pula yang datang tu bakal mertua.  Tapi iyalah, abah aku tu kan brutal sikit.  Ikut kepala dia aje.  Aku pun mengambil tempat di tepi kaki abah.  Terasa tangan abah mengusap-usap lembut kepalaku.  Ah, rindu sungguh pada abah.

            “Sofi ni manja orangnya, tu lah selalu sangat kena buli.  Yang tak sedap tu kawan baik sendiri yang suka bawa cerita,” ujar abah seperti menyambung percakapan yang tergendala kerana kehadiran aku.  Alahai abah, malu sungguh aku dikatakan anak manja. 

            “Baru-baru ni kawannya tu datang bawa cerita yang tak sedap jugalah saya mendengarnya,” sambung abah lagi.  Semua mata tertumpu ke arah abah.

            “Iyalah, kami dah dengar daripada Ayesha.  Sebenarnya, tak salah apa yang diceritakan oleh hamba Allah tu, tapi mungkin dia tidak tahu hal yang sebenarnya,” lembut tutur papa. 

Satu persatu diungkaikan bermula daripada kisah En. Emeer diserahkan kepada Datin Insyirah sehinggalah kepada kisah pertunangan En. Emeer dan Lyana.  Sesekali Datuk Yaakub juga turut mencelah.  Aku hanya mendiamkan diri sambil sesekali mengerling ke arah En. Emeer yang sedari tadi tidak lepas-lepas memandangku. 

“Kami ni Din, datang hari ini bawa hajat Emeer ni.  Dah tak sabar-sabar lagi nak menyunting Ayesha tu,” tutur papa.  Seketika suasana menjadi hening.  Sunyi.  Setiap orang memberi tumpuan kepada papa.  Mama tersenyum kecil memandangku.  Lyana pula sudah sibuk mencuit-cuitku lembut.  Aku yang sudah termalu-malu, segera ingin melarikan diri ke dapur.  Rasa seperti tidak manis untuk turut serta dalam perbincangan itu.  Namun, tanganku ditarik lembut oleh abah. 

“Sofi nak pergi mana.  Duduk di sini, dengar sekali.  Senang sikit bila tuan empunya badan ada, tak payah la abah nak tanya-tanya lagi,” ujar abah.  Terasa hangat membahang mengalir ke seluruh wajahku.  En. Emeer yang duduk berhadapan sudah mula tersengih lebar.  Hish mamat ni, tersengih-sengih macam kerang busuk.  Kalau dekat-dekat mahu saja aku cubit-cubit mulut tu.  Busuk-busuk pun itulah pujaan hati kau, Ayesha Sorfina oiii..

“Itulah Din, kami ni ingat nak merisik Ayesha untuk si Emeer.  Ikutkan kami nak cepatkan tarikh menikah dan kenduri mereka ni.  Kalau setuju dalam tempoh tiga bulan jika tak ada halangan di pihak Din sekeluarga.  Majlis bertunang tu bolehlah kita buat dalam masa sebulan daripada sekarang,”  usul papa.  Semua mata sudah tertumpu ke arah abah.

“Yati, awak rasa cukup ke masa tiga bulan tu untuk bersiap?” soal abah kepada mak yang sedari tadi hanya menjadi pendengar.  Senyum mak semakin melebar. 

“Rasanya tak ada masalah abang, kenalah yang empunya diri tu rajin sikit.  Hal-hal kenduri Yati dan Suraya boleh uruskan.  Lagi pun si Ayesha ni ramai sangat mak angkatnya di kampung ni.  Masing-masing pun dah sibuk bertanya,” balas mak ceria.

“Kalau dah macam tu, kami tak ada masalahlah abang Ilham.  Hal bertunang tu, saya rasa tak perlulah.  Nanti dah sibuk untuk kenduri yang besar, banyak pula kerja kita.  Saya ni jenis yang suka buat kerja mudah bang.  Hari ni kita kira bertunang terus,” jawab abah.  Semua yang ada tersenyum mendengar jawapan abah.

“Kesian pula kat Ayesha ni, kami datang hari ni cuma bawa cincin tanda sahaja, tak ada pula bawa barang-barang hantaran,” celah mama.  Semua mata sudah tertumpu kepadaku pula.  Aku sudah bertambah-tambah malu.  Alahai, serba serbi tak kena dah aku ni.
“Alah kak, bukan penting sangat pun hantaran tu.  Nanti dah kahwin, suruh aje lah suaminya belikan.  Satu lori pun boleh kan Emeer,” usik mak.  En. Emeer yang sedari tadi merenungku terkejut dengan usikan mak lalu mengangguk-angguk mengiakan kata-kata mak.  Riuh gelak ketawa kedengaran mentertawakan En. Emeer yang terpisat-pisat malu.  Itulah, sibuk sangat nak memandang aku.  Kan dah kantoi.

“A’ah la Yati, si Emeer tu dah tak sabar-sabar dah tu.  Tak lepas-lepas merenung bakal isterinya.  Nanti dah kahwin, tenunglah sehari suntuk pun tak ada sayang oi,” giat mama. 

Aku meminta izin ke dapur ketika mereka sedang sibuk membincangkan hal-hal hantaran dan tarikh kenduri.  Rasa tak enak pula hendak berada di situ.  Mak Su dan Lyana juga sudah membuntutiku.  Teruk aku digiat oleh Lyana.

“Lyana pula macam mana, bila nak menyusul?” soal Mak Su ketika kami sama-sama menyusun pinggan-mangkuk yang telah kering.

“Lyana ingatkan Mak Su, nanti masa kenduri Ayesha nak bawa si Mikail tu datang jumpa daddy dan mummy,”  balasnya dengan wajah yang berseri-seri.  Aku mengelus lembut wajah gadis manis yang berada di depanku ini.  Tak terucap ucapan terima kasihku kepadanya.  Lyana yang sudah melihat ada genangan kecil di tubir mataku serta merta memelukku erat. 

“Hish, janganlah sedih pula Ayesha.  Awak tu nak jadi kakak ipar saya tau, kalau awak tak ada, lagilah teruk saya kena berkorban selamanya.  Tak sanggup saya nak melayan karenah Emeer tu.  Awak sorang je yang sanggup.. eiiii,” kata-kata Lyana disambut dengan tawa oleh Mak Su.  Aku juga turut tersenyum.

Memandangkan hari sudah semakin gelap, mama, papa, Datuk Yaakub dan Datin Insyirah serta Lyana meminta izin untuk terus pulang.  Aku dan En. Emeer akan bermalam di rumah abah.  En. Emeer yang bertegas untuk tinggal sehari lagi kerana katanya ada appointment dengan Adib.  Entah apalah yang dirancang oleh mereka.

Mak dan Mak Su pula sudah sibuk membekalkan sedikit bekalan untuk tetamu.  Kelihatan beberapa beg plastik berisi ikan patin telah dimasukkan ke dalam bonet kereta.  Bukan main suka lagi mama dengan pemberian abah.  Maklumlah, bukan mudah hendak mendapat ikan patin sungai.  Harga sahaja pun sudah berganda-ganda mahalnya.

Aku menyalami mereka.  Ketika menyalami mama, satu kucupan hangat singgah di dahiku. 

“Mama, terima kasih kerana tidak menceritakan mengenai hal itu kepada keluarga Ayesha,” bisikku.  Mama tersenyum lalu tanganku digenggamnya.

“Sayang, ada masa kita perlu berterus terang, tapi ada masa juga kita harus simpan sahaja apa yang berlaku demi maruah diri serta nama baik kita.  Hati mereka kita kena jaga juga, sayang.  Mama nak Ayesha lupakan hal yang lepas, kita buka lembaran baru,” balas mama lalu badan mama kupeluk erat.  Kasihku telah tumpah kepada insan ini yang tulusnya menyayangi aku.  Aku tahu, jika abah mengetahui tentang peristiwa aku dimasukkan ke hospital dan segalanya itu, hati abah pasti kecewa.  Aku amat berterima kasih kepada insan-insan yang menyayangiku ini.

Aku beralih ke arah Datin Insyirah dan Datuk Yaakub.  Sejalur senyuman terlukis di wajah mereka.  Ketika menyalami Datuk Yaakub, terasa kepalaku dikucup lembut.  Aku mendongak lalu terlihat senyuman ikhlas yang penuh kasih sayang terpancar di wajah tua itu.

“Jangan panggil datin datuk lagi ye sayang.  Lepas ni biasa-biasakan panggil mummy dan daddy,” ujar Datin Insyirah lembut ketika aku menyalaminya.  Tangannya kukucup lembut.  Jari jemari halus itu meraih wajahku lalu pipiku diciumnya.  “Jaga anak mummy baik-baik ye sayang, mummy tahu Ayesha sahaja yang boleh membahagiakan Emeer,” bisiknya lagi.  Aku hanya mengangguk.  Air mata yang bergenang sudah mengalir ke pipi.  Jari-jari halus mummy menyeka air mataku.  Aku rasa bertuah, sangat bertuah kerana diterima oleh keluarga ini.

Tanpa kami sedari ada mata yang sedang memerhatikan kami dari jauh.  Mata yang penuh kebencian dan dendam.




~ Tiada yang terindah dalam percintaan melainkan penyatuan dua hati ~


P/s ~  maaf ye n3 utk bab ni lambat sikit..  semoga anda semua enjoy membacanya, n kalau boleh drop la 1-2 komen untuk K. Yus perbaiki lagi.. TQ sayang2ku..




_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me

7 comments:

  1. bEst2..lama dh tunggu hehe..sporting abis family Emeer ni..smbg cpt2..

    ReplyDelete
  2. hehehe sayang..akak cuba.. pecahkan kepala malam ni ehh..hik3

    ReplyDelete
  3. Terubat rindu setelah sekian lama

    ReplyDelete
  4. smkin best je..& xsabar nak baca bab seterusnya

    ReplyDelete
  5. lara dear ~ sorry ye, bila bercuti bgni lah gayanya.. insyaAllah, bab seterusnya akan menyusul secepat mungkin..tq 4 d support dear..


    adinda Alina~ hehehe.. sabar..sabar

    ReplyDelete
  6. suspen la pulak .. aish.. konflik bermula lagi~

    ReplyDelete

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com