"Mak, orang nak pergi dah ni," laungku sambil mengikat tali kasut sukan yang baru sebulan usianya itu.
Tali beg sandang yang baru disauk ke lengan kubetulkan. Kepala kupalingkan ke belakang mengintai. Entah di mana emak tak kunjung tiba.
"Mak, ooooo mak. Orang dah la lambat ni," jeritku lagi.
Iskh mak ni, karang tak pasal-pasal orang kena hadap bos. Dah la mintak masuk lambat dengan janji manismu nak masuk sebelum jam dua. Ini lagi lima belas minit je nak pukul dua.
"Ya Allah, macam satu batu jauhnya melaung suara tu. Satu kampung boleh dengar suara tu Adik oi," bebel emak sambil melabuhkan punggung di muka pintu.
"Iya la, dah mak tu lambat sangat. Orang nak cepat ni."
"Awak tu anak dara, mana elok suara terlaung-laung macam tu. Esok kalau tak ada orang nak masuk meminang, haaa, jawabnya jadi anak dara tua lah."
Iskh.. emak ni dah mulalah tu. Kalau dibiarkan emak bersyarah, seminggu pun tak habis. Baik cepat-cepat blah. Tangan emak kutarik lalu aku salami dan kucium. Bau kunyit masih kuat tapi itulah yang membuatkan aku sayang emak. Emak tak kisah pun kuku dan jari emak kekuningan dek warna kunyit, malah kadang-kadang jari jemari emak pijar dek cili api pun emak tak pernah bersungut. Bagi emak, hatinya gembira dan puas apabila masakannya licin dimakan. Siapa lagi yang menjadi tukang santap, aku dan abah lah. Itu sahaja pun yang ada kat rumah tu selain emak.
Okey mak, orang pergi dulu. Mak duduk rumah tu jangan lupa tutup pintu," pesanku sebelum membuka pintu kereta Kancil 550 yang kini telah bertukar pemilik.
"Pesan kat orang, awak tu yang kena ingat. Bawa kereta molek-molek, jangan ingat nak drift aje. Karang cuti-cuti Malaysia kat hospital pulak."
Hanya sengihan yang mampu aku berikan. Emak ni memang la hebat. Sekilas ikan di air, jantan betina pun emak dah tahu. Tanpa melengah waktu, aku meninggalkan emak yang masih lagi bersantai di muka pintu.
No comments:
Post a Comment
Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<