Wednesday, 21 December 2016

Cik Cashier Mamat Skru - #5


Sejak bertemu dengan kedua-dua beradik itu, aku dapat rasakan perasaanku amat lain. Ada semacam rasa rindu di dada yang membuak untuk bertemu lagi dengan mereka. Eh, takkanlah aku nak terjah sekolah lagi cari mereka. Nanti apa pulak kata Abang Mat. Tak pasal-pasal satu kampung gosip pasal aku. Nak terjah ke rumah budak berdua tu, tak ada alamat pula. Itulah, dalam duduk bercerita dengan dua beradik comel tu, boleh pula aku lupa nak minta alamat. Cuba kalau aku minta alamat, mesti dah boleh belanja budak berdua tu nasi kukus.
Hari ini pun aku rasa lemau sahaja nak bersiap ke tempat kerja. Jarum jam cantik melepak pada nombor lapan dan enam. 8.30 pagi. Matahari dah suku langit, kata emak. Dari tadi aku terbaring lesu di atas sofa dengan kain tuala masih berlipat kemas di tanganku. Dah satu jam kot terbaring di situ. Bercinta betul nak mandi dan bersiap.
"Tak kerja ke Firah?"
Teguran abah aku biarkan berlalu. Mataku membuang pandang ke arah abah yang sudahpun berbaju kemeja batik dan berseluar slack hitam. Tangan abah mencapai kopiah putih yang terletak di atas meja di tepi pintu. Handsome pula abah aku pagi-pagi ni. Guru Besar pencen, memanglah selalu jaga penampilan.
"Abah nak pergi mana ganteng amat pagi-pagi ni?" 
Soalan abah sebentar tadi masih belum berjawab. Aku biarkan sepi sahaja. Hatiku lebih berminat hendak mengetahui arah tuju abah.
"Ganteng ke?"
Heh, perasan pula bekas Guru Besar pencen ni. Bukan boleh orang puji sikit.
"Adik, mak dengan abah nak pergi pejabat tanah sekejap. Karang kalau Adik nak pergi kerja tutup dan kunci semua tingkap pintu. Jangan pula dibiarkan terbuka."
Oh, patutlah berlawa-lawaan bagai. Rupanya nak ke pejabat tanah. Itu mesti nak uruskan tanah pusaka arwah maktok yang terletak di Beserah tu.
"Okey mak."
Aku bangkit daripada sofa dan berjalan malas menuju ke pintu. Emak dan abah sudah pun turun ke bawah dan menyarungkan kasut. Tangan mereka aku salam dan cium.
"Gi kerja molek," pesan abah. 
Angguk. Boleh tak kalau aku jawab kat abah aku malas nak pergi kerja? Mesti abah jawab ingat restoran tu Tuan Haji Zabidi yang punya. Deep oooo.
Setelah menghantar abah dan emak dengan sorotan mataku, pintu rumah aku katup laju. Tak boleh jadi ni. Kalau ikutkan rasa malas dan lemau ni, harus hari ni aku tuang kerja. Iskhhh.. nanti Datin Nora mesti akan telefon aku 28 kali sejam selagi aku tak jawab. Tu baru Datin, belum Dato' lagi. Iskhh, jangan cari pasal.
Orang simple macam aku ni, tak payah nak bersiap ala-ala diva. Lima enam jam depan cermin. Sapu krim siang sikit, colet lipgloss sikit dan sarung tudung ekspress. Dah siap. Tak sampai lima minit. Tak perlu touch up maskara, celak atau blusher bagai.
Nyaring jeritan alarm yang aku set di telefon bimbit membuatkan aku meloncat terkejut. Dah jam 9 la tu. Comel-comel je sampai ke Nasi Kukus My Mama jam 9.30 pagi. Pekerja cemerlang kan.. mana boleh lambat. Laci almari aku selongkar mencari sepasang stokin. Ahh.. nantilah balik baru kemas. Ni kalau bakal mak mertua buat inspection bilik memang fail la jawabnya. Hajah Rosenah pun dah tak larat nak membebel.
Setelah semua tingkap dan pintu kukunci, enjin kancil kuhidupkan. Hati berharap agar nampaklah kelibat budak berdua tu di tepi pagar. Kot-kotlah sedang rehat ke. 
Rindu.

**************************************
Sayang selalu;
Kak Yus

No comments:

Post a Comment

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com