Wednesday, 21 December 2016

Cik Cashier Mamat Skru - #2

Agaknya tu mesti tunggu abah yang belum pulang daripada masjid. Rutin abah sejak pencen, ke masjid sahajalah tempatnya menunaikan solat. Kadang-kadang maghrib dan isyak, emak pun ikut sekali menunaikan solat berjemaah di masjid nak-nak lagi sejak abah ada kereta baru ni.
Iyalah, anak-anak dah berkerjaya hebat-hebat. Sebuah kereta Perodua Alza hadiah untuk abah dan emak sudah tentulah tidak menjadi kepayahan buat mereka. Tapi itu Abang Long dan Kak Chik lah. Aku ni hanya minah cashier je, belajar pun setakat STPM. Mana mampu nak beli itu ini. Setakat belikan abah dan emak sepasang dua baju raya sahajalah yang aku mampu. Kancil ini pun abah yang berikan. Katanya eloklah aku yang gunakan untuk pergi kerja. Kesian melihat aku terkejar-kejar menunggu bas. Sayang abah!
Perjalanan dari rumah ke Restoran Nasi Kukus My Mama yang terletak di Taman Tas yang menjadi tempat aku mencari rezeki itu sepatutnya hanya lima belas minit sahaja. Jadi memang sempatlah kalau mengikut kelajuan pemanduanku setiap hari. Harap-harap Datin Nora tak masuklah hari ni. Kalau tidak kalut juga aku nak menjawab. Dapat bos yang baik, tak seronok pula dikata orang ambil kesempatan.
Elok sahaja aku membelok keluar dari simpang Taman Guru, mataku tertangkap kelibat dua orang budak kecil beruniform sekolah. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-duanya sedang duduk di atas bangku perhentian bas di hadapan pagar sekolah. Mengikut pengamitanku, mereka berdua tu dalam sekitar usia sepuluh tahun ke bawah. Aku memperlahankan Kancilku, membuang pandang ke arah mereka. Si kecil gadis sedang menangis dan yang lelaki itu pula sedang memujuk. Aku kira tentu sekali mereka itu dua beradik.

No comments:

Post a Comment

Tak Sudi Kerr Nak Coratcoret Sesuatu Untuk Kak Yus.. >__<

 

Blog Template by YummyLolly.com